Berkali-kali Budak Batas Paip [BBP] yang sedang bermukim
negeri Makyong menghantar mesej memaklumkan tentang ketidakhadiran beberapa
orang ke perjumpaan Idulfitri Alumni SMA
AlFalah di Taman Bersatu petang ini.
Bermula dengan Hesba Tgb, diikuti oleh Najib {tak tahu pula
Najib Arifin atau Najib Hashim ataukah Najib Razak….}. Kemudian ditambah lagi
dengan Eie Alor Ibus, Abby Zack serta
Cikgu Azid, juga Babuji. BBP hanya bagi tahu yang tidak dapat hadir. Tidak
seorang pun yang dapat hadir memaklumkan kepada BBP agaknya.
Terus-terang, saya kecewa apabila nama-nama besar itu disampaikan oleh BBP. Saya kira
nama-nama kecil lagilah banyak. Apa akan terjadi dengan majlis hari ini.
Semalam saya tidak dapat tidur. Begitulah saya kalau teruja
atau teruji. Dulu masa ayah cakap esoknya tok mudim mahu berkenalan dengan
saya, sepicing pun saya tidak lena pada malamnya. Masa emak cakap esoknya ada
orang mahu datang menengok saya,
demikian juga keadaannya……
Semalam, sehingga jam 2.40 pagi, saya ikut bersama
bermesyuarat pra-majlis di D’Samila – kedai menjual makanan yang tukang
masaknya datang dari negara kelahiran Ustaz Man.
Mulanya Hamzah Casablanca mahu ke kejiranan saya dan Cikgu
Non untuk mengambil projector [saya tak pasti apa nama sebenar benda alah itu]
bagi acara tayangan klip video di dewan perjumpaan kelak. Namun Hamzah sedikit
terlewat kerana masalah lalulintas semasa beraya di Kubang Rotan. Cikgu Non
serta Ahmad Nazri yang kebetulan berada di rumah cikgunya itu, juga saya,
akhirnya memutuskan supaya Hamzah menunggu sahaja di Restoran D’Samila. Saya
dan Ahmad Nazri bergerak ke situ sambil bercadang mengambil Zairi Md Ariff di
Alor Ibus. Cikgu Non akan menyusul setelah sedikit urusan keluarganya selesai.
Berhanpirab Alor Ibus, Ahmad Nazri menghubungi Zairi. Rupa-rupanya petugas di
Proton itu sedang bersama Abdul Malek di depan Kedai Mi Abas. Sedang Nazri
mengusulkan Zairi dan Malek menunggu di situ, Hamzah pula bersama tauke
Syabibah Enterprise, Muzammil Solehin [Mel]
sedang berada di atas pondok nombor lima di D”Samila.
Sebaik kami sampai di Kedai Mi Abas di Batas Paip, didapati
kedainya ada tetapi Abas serta mi tiada. Sahlah Zairi dan Malek berada di Kedai
Mi Abas di Kola. Ahmad Nazri meminta mereka menyusul kami di D’Samila nantinya.
Kami terus ke kedai yang menjadi kegemaran kami bersidang kerana sehingga jam 3
pagi pun tiada siapa di kalangan pekerja kedai
yang menjeling atau pura-pura menengok jam……
Hamzah Casablanca dan Mel memang berdua di atas pondok
nombor lima. Di depan masing-masing ada secangkir minuman pilihan. Seperti
kami, mereka tersengih apabila mata bertembung. Setelah berbual secara
akumulatifnya sekitar 3000 patah kata, barulah muncul Zairi dan Malek, yang
kelihatan sedang kekenyangan mi. Berbual
lagi. Sekitar 3000 patah kata lagi secara akumulatif, barulah Cikgu Non sampai
bersama abangnya yang balik beraya dari Kay El. Sambil itu saya bertukar mesej
dengan beberapa orang termasuk BBP. Saya
menelefon Saiful Adly bagi mendapatkan kedudukan terkini persediaan tapak dan dewan.
Saiful yang sedang berada di pusat bandaraya, berjanji akan datang ke tempat
kami bersidang sebaik selesai urusannya.
Sementara itu, meja yang kosong di depan kami diisi oleh
pinggan dan mangkuk makanan yang kami pilih. Seorang satu, melainkan Zairi dan
Malek. Silap komunikasi menyebabkan pekerja dari negara pimpinan Yingluck
Shinawatra memasak terlebih satu pinggan. Nazri sanggup menghabiskannya kerana
dia telah menyukat kemampuan usus besarnya – masih ada ruang untuk setakat
sepinggan nasi goreng tomyam. Tetapi kemudiannya Malek juga mempunyai ruang
yang sepadan dengan sepinggan makanan itu di dalam perutnya. Kepadanyalah
pinggan nasi terlebih itu kami
serahkan….
Sambil makan kami berbual. Atau sambil berbual kami makan.
Atau kami berbual sambil makan. Sambil itu Nazri sempat menghantar mesej
undangan kepada beberapa budak Falah yang baru diberikan nombor hape mereka
Banyak topik kami bualkan tetapi semuanya menjurus kepada
majlis perjumpaan petang 11 Ogos.
Tidak lama kemudian muncul Saiful memberikan situasi dewan
yang katanya sedang didirikan khemah ketika dia melintasi tempat itu yang berhampiran
dengan rumahnya.
Saya teruja. Dari perbualan itu timbul semangat yang kuat
untuk ikut memeriahkan majlis. Difahamkan dari fb, Pawang Nujum pun sedang
bersemangat untuk turun ke Taman Bersatu. Pawang bukan datang dari Hutan Betut,
Mergong, tetapi dari Jerantut, Pahang. Apalah sangat saya dari kawasan yang
sama poskod dengan Taman Bersatu itu……
Balik ke rumah, saya menghadap komputer. Saya susun klip
yang telah disediakan untuk tayangan di dewan. Ada 21 semuanya, yang saya
saring dari hasil kerja sedikit-sedikit waktu rajin pada bulan Ramadan.
Cukuplah rasanya.
Tiba-tiba saya teringat Aswad Lorongmayat pernah menulis di
dalam fb: kalau ada lagu Dayangku Intan….
BBP pula balas : apa barang….. dendang perantau
lah….
Lagu nyanyian P Ramlee itu telah ada di dalam klip
[dikompilasi dengan dua lagu lain] tapi lagu Dayangku Intan….. Lama saya cuba
selongkar almari di dalam komputer. Ada!
Masalah satu lagi: Stok foto entah telah berapa kali
berputar. Tidakkah jemu orang melihatnya? Tapi datang jawapan positif: Perlu
saya peduli? Lagi pula lagu lain, penggemarnya pun lain. Lihat saja BBP dengan
Aswad Lorongmayat. Dua individu itu pun sudah lain nafsu pada lagu raya….
Akhirnya saya kampuhkan lagu Dayangku Intan dengan lagu dari
Aman Shah, cukup untuk dimuatkan 125 foto yang saya crop
dari foto asal garapan Chik Mila. Siap. Puas hati. Hantar ke folder
yang tersedia khas untuk perjumpaan.
Kemudian saya teringat lagu Sedekah
dari XPDC. Sesuai juga untuk perjumpaan, ada unsur kenangan, tiada gejala hati dipanah arjuna……
Lebih-lebih lagi pada bait yang menyayukan:
Ada lagi yang kau tinggalkan
Ada lagi yang aku simpan
Kenangan berlalu mana mungkin lupakan
Aduhai saudara
Ada lagi yang aku simpan
Kenangan berlalu mana mungkin lupakan
Aduhai saudara
Walaupun lirik keseluruhan tulisan arwah JS Kevin ini
mungkin sukar dihadam oleh kebanyakan orang, saya rasa cukup sesuai dengan
pertemuan rakan dan sahabat warga Falah. Saya hilangkan warna semua foto yang
mahu dimuatkan di dalam klip. Siap. Puas hati. Hantar ke folder lagi….
Saya lega. Bersedia untuk menghadapi petang nanti. Sebelum
solat subuh, saya jeling fb Alumni SMA AlFalah. Mengingatkan kesedian diri,
mengingatkan kesungguhan semua orang yang terlibat dalam penyediaan – dari
peringkat tempahan dewan hinggalah ke malam terakhir – dengan pelbagai kerenah
mehnahnya, saya rasa apalah sangat untuk yang lain meluangkan sedikit masa emas
mereka untuk hadir ke majlis kelak. Maka saya titipkan pesan:
Ahli grup
sekalian. Jika anda membuka laman ni dari subuh nan hening ini hingga asar nan
kuning petang nanti, berada pula di sekitar Kedah, tetapi tidak datang ke Taman
Bersatu untuk perjumpaan raya kita, dari jam 2 - 6.30 petang, hanya dua
perkataan yang saya peruntukkan : Pada aih......
Salam Idulfitri.
Salam Idulfitri.
Paginya, selain berhubung
dengan Hamzah dan Saiful, saya ikut meninjau ke dewan selain membawa klip video
untuk diuji dan dipratonton kepada mereka. Di situ, selain mereka berdua, saya
berjumpa Aswad Lorongmayat, Sazaziz Saad, Fahrulruzi yang sedang bersarapan
nasi bungkus sambil membuat persediaan akhir termasuk membersihkan dewan, menyesuaikan
kedudukan dan fungsi projektor, sistem siaraya dan seumpamanya. Sempatlah saya
tayangkan klip berdasarkan lagu Dayangku Intan kepada Aswad Lorongmayat. “Sah
ahli PKR ‘ni….” saya sempat mengusik pemastautin tetap Selangor itu. Hehehehe.
Hampir sejam saya di
situ. Di rumah Mariam Ismail di Pulau Gezambo, Kola, pula selain bersedia
dengan menu yang dirancangkan awal, bersama suaminya Zulkifli Shamsuddin serta
bantuan beberapa rakan lain,mereka perlu menggoreng 20 ekor ayam yang
disumbangkan oleh Reny – pelajar Falah yang bergelar tauke ayam goreng. Tahun
lalu Reny menyumbangkan jumlah yang sama tetapi telah siap digoreng. Kali ini, dengan
tempahan yang terlalu banyak, dia tidak sempat menyediakan sebegitu. [Untuk
Reny, terima kasih daun keladi….]
Saya bercadang untuk ke
rumah Mariam, tetapi saya perlu pula menjenguk walau sekejap ke rumah emak
saudara yang mengadakan kenduri arwah serta menyambut menantu…… Memang betul-betul
sekejap. Tidak sempat bertegur sapa dengan sepupu-sepapat. Menunjuk muka kepada emak saudara serta memakan nasi dalam sekadar 1000 biji sahaja dengan daging dalam 20-25 ketul….
Kemudian saya ke rumah
pembuat ketupat untuk mengambil tempahan. Menunggu Fahrul yang juga sekadar mahu
menjenguk sekejap ke rumah emak saudara kami, bagi saya titipkan ketupat-ketupet
itu, saya teringat mesej dari BBP.
Kalau ramai yang tidak
datang, apalah erti semua persediaan ….. Saya membayangkan masa depan yang
suram untuk majlis tahun berikutnya. Terus terang, saya sebak mengingatkan
kesungguhan semua yang begitu tulus teruja menanti kedatangan hari perjumpaan…….
Rupanya mereka hanyalah golongan minoriti budak Falah…..
Sebaik menyerahkan
ketupat kepada Fahrul, saya balik ke rumah. Menantu emak tiada di rumah.
Dibawanya sama cucu-cucu emak ke beberapa rumah kenduri. Sudah lama masuknya
waktu Zuhur. Selesai solat, saya mendapat panggilan dari Cikgu Rahim, yang
tersilap hari, menyangkakan perjumpaan itu pada hari kelima Syawal….. Dia yang
berada di Paya Keladi menitipkan salam untuk semua. Seorang lagi sah tidak
hadir. Suram sungguh rasanya. Makin malap. Dan saya terlelap…..
Tidak lama, sekitar 2700
saat kemudian, saya terjaga. Kepala terasa berat tetapi ringan pula tangan
menghubungi Cikgu Non. Dia yang menyangka saya telah ke dewan selepas makan
kenduri terkejut kerana saya sedang di rumah…. Dia berada di sekitar Tandop, sedang
melawan kesesakan trafik. Tapi sekurang-kurangnya, saya tahu dia akan berada di
dewan tidak lama lagi. Apa-apa hal adalah tempat rujukan bagi Hamzah, Saiful,
Yaya, Fahrul, Mariam serta lainnya….
Saya bersandar di dinding
rumah. Separuh terlelap. Dapat dalam 3000 saat lagi, tentu lega rasanya.
Tiba-tiba ada panggilan.
Dari orang Jerantut, bertanyakan arah untuk ke dewan. Saya terkejut. Sambil
memberikan arah, saya bangkit. Dia datang dari Jerantut, bukan dari Hutan
Betut, bukan juga Kg Tepi Laut. Apalah sangat saya dari kawasan yang
sama poskod dengan Taman Bersatu itu……
Saya bergegas keluar.
Kalau ada sama tua mesti menjeling sakan dia melihat ketergesaan saya. Keluar
tanpa secalit mekap, malah tidak menjeling pun pada cermin, apa lagi
membetulkan tudung yang berjam-jam….. hehehehe.
Sampai di pusat Bandar
Simpang Empat [hehehe], Yaya memanggil saya, mahu dimulakan acara. Saya suruh
mulakan. Tidak perlulah tunggu saya. Sebentar kemudian Hamzah pula hubungi.
Teruskan, kata saya.
Dalam ketelitian
mengharungi jalan yang penuh dengan umat manusia itu, saya masih membayangkan
kesuraman di Taman Bersatu…..
Sembilan ratus saat
kemudian baru saya sampai.
Saya telah tersilap
jangka.
Alangkah ruginya jika
saya tidak datang. Malah terlewat sampai pun, rasanya, saya sudah rugi…..
No comments:
Post a Comment