Tidak sampai 24 jam setelah perjumpaan Idulfitri Alumni SMA AlFalah usai, usaha cuba menaikkan klip yang sepatutnya berjumlah 21 buah ke laman fb Alumni menemui jalan buntu. Hamzah Casablanca di Manjung bertukar-tukar rasa hairan dengan saya. Gelabah pun kami rasa juga apabila seperti ada masalah dengan akaun fb kami. Ada kemungkinan, jika masih ketegar - kata pihak facebook.com - akaun kami mungkin disita....
Puncanya kerana mereka mendapati kami tidak memegang hakcipta untuk audio - maksudnya lagu - di dalam klip yang cuba dimuatnaikkan. Mana sangka niat untuk suka-suka sesama kita, rupanya ditakluk juga dengan akta dan undang-undang.Kalau ada saman dari tuan punya copyright semua lagu, dengan sahnya saya tak akan mampu membayar walau satu dirham, paling koman pun, dengan lebih dua dozen lagu, kurang-kurang 10 tahun kena berkelana di dalam sel tahanan - terlepas 10 kali perjumpaan hari raya AlFalah...kalau pun agi idup....
Biarlah Luncai, terjunlah dengan labu-labu engkau itu....
Maka, ketika cuba memuatkan foto sekitar perjumpaan terbaru kita itu, saya terfikir untuk mendapatkan audio yang walaupun mungkin ada pemegang hakciptanya, tetapi lambatlah sedikit untuk dijumpai....
Saya teringat lagu-lagu persembahan ghazal parti yang pernah saya dengar. Lagu-lagu ini mungkin tidak dilindungi atau dipantau oleh persatuan atau badan hakcipta kut..... Anggota ghazal parti pun asyik bertukar macam tukar lampin pakai buang, takkanlah ada di antara mereka mahu berpakat menuntut bayaran royalti dari kita....
Lalu saya pilih sebuah lagu berdurasi lebih 6 minit agar semua foto yang sempat saya cilok [ini pun entah disaman dek tuan foto] dari laman fb Alumni dapat dimuatkan. Ada banyak permintaan supaya jangan tunggu sehingga perjumpaan tahun hadapan barulah dapat ditonton klip dengan foto tahun ini....
Ini sahajalah yang mampu saya usahakan setakat ini. Semoga budakFalah berpuashati, meski lagu yang mengiringi foto tersebut, seakan di luar tema....
[Di Utara Semenanjung, persembahan ghazal parti amat popular beberapa dekad dahulu. Berbeza dengan persembahan ghazal di Johor, ghazal parti adalah sebuah persembahan dengan lagu-lagu Arab - disebut lagu berirama padang pasir - dengan alat muzik utamanya accordian, gambus, seruling, biola dan percussion. Bagaimana pun, untuk memenuhi selera semua generasi, disampaikan juga lagu-lagu melayu serta hindustan, diselitkan dengan kemunculan pelawak serta penampilan penari-penari 'gelek' yang biasanya terdiri daripada golongan maknyah - istilah popular di utara adalah 'darai'.Selari dengan perkembangan masa, ada sesetengah instrumen dari band moden juga digunakan, seperti gitar, bass dan keyboard.
Bagaimanapun, persembahan ghazal parti telah semakin pupus pada masa ini, mungkin kerana tidak ramai lagi penggemar lagu-lagu klasik 'irama padang pasir'itu.]
Selain lagu ghazal hasil selongkaran di dalam almari maya ini, saya ada membuat satu klip dengan iringan lagu seorang seniman dari Kedah. Lama sebelum raya dulu sudah disiapkan, dimasukkan ke dalam senarai klip yang mahu dimainkan pada 11 Ogos 2013 lalu. Malangnya, dikeranakan oleh beberapa kerana berbentuk teknikal dan logistik, tidak sempatlah ditayangkan oleh pengarah siaraya pada hari itu, Hamzah Casablanca ....
Lagu apa dan siapa seniman itu? Nantikan hasil muatnaik di dalam blog ini tidak lama lagi....
No comments:
Post a Comment