Tahun 1980/81, saya berada di Tingkatan Enam Kolej Bakti,
sebuah sekolah swasta di Jalan Pegawai, Alor Setar. Pirud, yang nama
berdaftarnya Ahmad Fairose, adalah teman seperjalanan saya dari AlFalah. Saya
tidak ingat Pirud belajar di mana dan di tahap mana ketika itu, mungkin masih
di Maktab Mahmud. Kena tanya tuan tubuh sendiri.
Kami menunggu bas di tepi jalan besar Yan- Alor Setar. Hampir setiap pagi persekolahan kami akan berada
di bangsal menunggu bas. Hampir,
bukan sepenuhnya atau saban hari persekolahan. Kami ada alasan untuk itu: Pirud
tinggal berseorangan di dalam sebuah rumah di kawasan AlFalah. Babanya, Ustaz
Hj Azizan serta ibunya hanya datang dari Kg Baru, Alma, pada malam atau pagi
Sabtu dan pulang ke sana pada hari Ahad atau Isnin. Saya pula: Tidaklah sampai
hati membiarkan Pirud keseorangan di rumahnya, maka saya menemaninya…
Namun alasan itu punya pokoknya: bas yang kami mahu tumpangi
selalu benar datang lebih awal dari waktu kami bersedia di tepi jalan atau
sekurang-kurangnya di sekitar tali air di jalan masuk ke AlFalah itu…
Setiap kali kami mahu naik ke atas bas, kami perlu menunggu
seseorang turun terlebih dahulu. Dia akan memberikan senyumnya dan kami
membalas sebelum naik. Jarang dapat bertegur sapa, kerana jegilan konduktor bas
lebih kami geruni…
Dia dapat kami sapa dengan ramah apabila hanya jika sudah
jauh dari konduktor bas, pada hari lain. Maksudnya jika kami baru keluar dari
kawasan AlFalah dan melihat bas sudah berlalu – jauh – sedang dia sudah menapak
ke arah kami, barulah kami akan bertukar senyum dan sapa.
“Terlepaslah pulak kak noo…” kata kami. Sambil tersengih.
Dia juga.
“Sengaja kut?” tebaknya sambil tertawa. Kami juga.
Jika begitu keadaannya, kami akan bersama berjalan ke
AlFalah. [Mahu menunggu lagi bas berikutnya di tepi jalan hanya akan membuatkan
kami sampai ke sekolah lebih dari jam lapan setengah. Terlepas dari jegilan
konduktor, terpaksa pula menghadap jegilan pengawas dan pengetua… Ahh!]
Ketika berjalan bersama begitulah kami berbual dengannya.
Cukup mesra dia melayan kami. Memasuki ke AlFalah, dia ke pejabat menyertai seorang dua rakan setugas dan kemudiannya ke kelas,
mengajar Matematik dan Bahasa Malaysia. Kami pula akan ke pejabat lain di atas rumah Pirud dan kemudiannya akan ke kelas nan
sebuah yang kadangkala masih tergantung kelambunya. Zzzzzz…..!
Demikianlah kami mula mengenali dia – Siti Ramlah Johari,
anak dara dari Kg Sungai Dedap, dalam DUN Sungai Limau, Parlimen Jerai.
Dua tiga tahun kemudian, tidak siapa dapat menduga aturan
takdir, kami sepejabat serta setugas dengannya – di AlFalah itu. Pirud bergelar
ustaz manakala saya dipanggil budak sebagai ‘cikgu’. Pirud lebih awal sebulan
dari saya mengajar di situ: mungkin berkat sering melagukan bait kalau boleh nak jadi
cikgu sekolah, kek Sekolah Falah, mengikut lagu Apo Nak Dikato dari
Blues Gang…
Saya tidak dapat menafsirkan senyum pertama Siti Ramlah
ketika melihat saya menjengah pejabat sekolah buat julung kalinya. Kalau sama
dengan saya, pastilah senyum itu kerana terkenang akan detik-detik ketinggalan
bas dua tiga tahun dahulu…
Sejak hari itu, tidak ada yang berpaling lagi. Bersama Cikgu
Siti Ramlah, AlFalah memiliki Ustazah Rodziah Ahmad, Cikgu Abdur Rahim Daud,
Ustaz Zubaidi Ariffin, Ustaz Ahmad Fairose Hj Azizan serta Ustaz Azizan Hj
Mustaffa sendiri yang semakin bersemangat sebagai mudir. Saya hanya pelengkap
kerana AlFalah kekurangan atau ketiadaan guru Sains, menggantikan Mohd Radzi
Majid [arwah] yang mendapat tawaran ke sebuah maktab perguruan.
Tahun itu buat pertama kali ada dua kelas peralihan – selain
pelajar sekitar dan setempat [masih dalam DUN Pengkalan Kundor, Parlimen Kuala
Kedah] ada juga yang datang dari luar daerah [dari cadangan Cikgu Rahim supaya
mereka yang tercicir daripada pengambilan pelajar baru Maktab Mahmud dari jauh,
diundang belajar di AlFalah]. Lima orang jauh telah sudi ke AlFalah. Siti
Kholijah Awang [arwah] dari Bukit Raya, Norhayati Che Rose dan Rubiah Baharom
dari Tanjung Pari, Baling, Junaidah Kassim dari Iboi/Tiak, juga di daerah
Baling serta Ahmad Sofi Ahmad dari Changloon/Perlis.
Tiada asrama di AlFalah. Maka mereka dari luar itu ditempatkan
di dua buah rumah – Kholijah, Rubiah dan Norhayati, tinggal di rumah mertua
Ustaz Azizan – Hj Jaafar Md Isa - bersebelahan pagar AlFalah, manakala Junaidah
dan Ahmad Sofi tinggal di rumah Hj Abd rahman Yahya, Pengerusi Lembaga Tadbir
AlFalah di Kg Hj Jamal, berdekatan rumah Cikgu Rahim.
Tahun berikutnya, asrama disediakan. Pelajar luar bertambah.
Persoalannya, siapa yang bakal menjaga pelajar perempuan di asrama? Siti
Ramlahlah - anak dara dari Sungai Dedap!
Bermulalah sebuah pengorbanan yang bukan kecil nilainya…….
Seorang gadis yang membuang kesenangan dan keselesaan di rumah ayah ibu
semata-mata mahu AlFalah tidak kembali ke zaman gerhana. Barang diingat, asrama
AlFalah ketika itu belum mendapat bekalan elektrik, belum ada air paip. Masih menggunakan cahaya lilin atau
pelita karbaid atau lampu gasoline pada malamnya. Mandi dari air telaga di
dalam hutan nipah di tepi rumah Hj Jaafar….. Minum? Air paip didalam tong tetapi diambil dari kawasan sekitar, malah sehingga ke rumah budak Falah, Mohd Sofi dan Mohd Ridwan Ariffin di Kampung Pergam!
Senangkah dicari seorang lagi gadis seperti Siti Ramlah pada
zaman ini? Akan adakah ibu ayah yang akan merelakan anak gadis mereka melalui
suasana begitu?
Saya ingin mencatat lebih panjang, tetapi ingatan tentang ‘azab’
pada zaman itu membantutkan kelajuan menaip saya…. Mata saya kabur dan
bergenang…
Biarlah seketika...
Hanya ingin disampaikan bahawa kematian Siti Ramlah Johari –
sahabat dan kakak – pada Jumaat, 20 Zulhijjah 1434, masih memberi kesan di hati
ini.
Banyak yang muncul segar di ingatan. Saat bertelingkah dan
bergembira. Saat berselisih faham dan bersependapat.
Tetapi dari semuanya, ingatan terhadap ‘azab’ Siti Ramlah
dan semua pelajar ketika bersama tinggal di asrama putera dan puteri paling
menyentuh.
Saya kehilangan kata-kata…
Nantilah, akan saya imbau dan catat lagi tentang sosok
pejuang yang tidak didendang ini.
Tentang dia yang dilupakan.
[Tiba-tiba saya teringat sekurang-kurangnya seorang di Kedah ini dapat menjadi guru Kementerian Pelajaran Malaysia melalui program penyerapan guru Sekolah Agama Rakyat dahulu. Dia sedang berbahagia sekarang, dan mungkin sedang mengutuk dasar kementerian... Pada borangnya tertulis pernah mengajar di Sekolah Menengah AlFalah, Kangkong. Sedang hakikatnya tidak pernah sekali pun menjejak ke bumi AlFalah. Bagaimanakah ini boleh berlaku? Kuasa Allah!
Mengingat itu, semakin saya terharu mengenang Siti Ramlah yang bukan guru lagi, lama sebelum dia meninggal...]
No comments:
Post a Comment