Ustaz Hj Ahmad Fairose |
Kalau ikut cara Ramlee, Sudin dan Ajis di dalam filem Pendekar Bujang
Lapok, sejak di dalam perut lagi saya sudah mengenali Ustaz Azizan.
Betapa tidak, emak saya yang baru berkahwin,
menjadi tenaga pengajar sementara di AlFalah – atas permintaan dan
pemantauan tuan gurunya merangkap mudir
Alfalah itu. Ketika hamil pun, saya dikandungnya ke AlFalah. Hanya
selepas melahirkan saya barulah emak berhenti mengajar……
Ketika kecil saya sering dibawa ayah, emak atau Tokwan ke kawasan
AlFalah, sekitar rumah Toklang Hj Mustaffa dan Toklang Hajah Teh – ibu bapa
Ustaz Azizan. Ustaz Azizan sudah saya kenal. Beliau tidak dipanggil Ustaz oleh
orang yang rapat tetapi muda darinya, sebaliknya dipanggil Paklong atau Toklong
– mengikut tahap umur si pemanggil. Adiknya, Ustaz Mohd Fauzi dipanggil Pakngah atau
Tokngah. Isteri mereka masing-masing dipanggil Maklong/Toklong Hajah Asiah dan
Makngah/Tokngah Hajah Nafisah…..
Pada awal dekad 70-an, Ustaz Azizan berpindah ke Kg Baru,
Alma, Bukit Mertajam – menubuhkan Sekolah Agama Fajar Islam, manakala adiknya
berpindah ke Sungai Yan – menubuhkan pondok serta Pusat Pengajian Fauzi.
Terputus seketika hubungan seisi kampung dengan Ustaz Azizan dan keluarga.
AlFalah ketika itu ditadbir oleh bapa saudara mereka Tuan Guru Haji Hussain
Abdul Rahman – yang kami panggil Toksu- yang tinggal di rumah di dalam kawasan
AlFalah , berhampiran tapak kantin AlFalah sekarang.
Pada awal 1970-an, apabila Toksu Haji Hussain agak uzur dan berpindah menetap di Selarong Batak,
Ustaz Azizan kembali ke AlFalah, tetapi tidak menetap, sebaliknya hanya
mengajar seminggu sekali - pada hari
Sabtu – kepada penduduk sekitar. Saya masih ingat menghadiri kuliahnya yang
diadakan di atas bangunan dua tingkat, yang pernah dijadikan asrama puteri pada
peringkat awal penjenamaan semula AlFalah pada tahun 1983 dahulu. Selepas
mengajar, atau besoknya, beliau akan kembali ke Bukit Mertajam. Semasa beliau berulang alik itu, saya tidak begitu
rapat dengannya – malu dan segan – sebab jarang berjumpa, agaknya.
Bagaimanapun, saya lebih kerap disapa atau menyapanya
selepas kejadian biasa
pada penghujung tahun 1976. Biasa, sebab ketika saya melintasi rumahnya
dalam perjalanan ke pondok menunggu bas pada penghujung tahun itu. Dari atas
rumahnya, di tepi tingkap beliau mengangkat tangan seolah menahan saya, lalu
bertanya, “…dah ambik natijah …..err ….result dah…. ?” Beliau maksudkan
keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran [SRP] yang dikeluarkan sehari
sebelum itu. Di sebelahnya berdiri Pirud [Ahmad Fairose], anaknya yang setahun
lebih muda daripada saya, tersengih mendengar perbualan saya dengan babanya.
Sejak itu kami lebih kerap berbual. Saya bertukar belajar ke
SM Dato Syed Omar, Alor Setar tetapi tidak tinggal di asrama pada tahun
pertamanya. Setiap Sabtu saya akan menyertai generasi tua sekitar kampung
mendengar kuliahnya di atas bangunan AlFalah itu. Pirud belajar di Maktab
Mahmud, tinggal menyewa pondok di sekitar sekolah agama terkenal itu bersama
abang sulungnya, Sehabudin.
Tahun berikutnya, 1978, saya tinggal di asrama. Agak
jaranglah pula saya berkesempatan bertemu Ustaz Azizan. Bermula tahun itu,
hanya pada musim cuti saya berkesempatan mengikuti kuliah beliau di AlFalah.
Selepas peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan [STP] 1981,
saya ditakdirkan rapat semula dengan Ustaz Azizan apabila mengikut Pirud dan
hampir seluruh keluarganya yang mengusahakan sebuah restoran – El Damina
namanya – di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Ustaz Azizan juga kerap berada di
situ. Walaupun tidak lama saya berkelana di ibu negara tersebut, kami makin saling mengenal hati budi dan perilaku.
Pada masa yang sama AlFalah sedang di dalam proses
penjenamaan semula. Cikgu Rahim, Cikgu Ramlah, Ustazah Rodziah, Cikgu Som
Mariah dan Ustaz Azizan menjadi tenaga pengajarnya. Saya masih jauh dari terfikir untuk ikut
menjadi anggotanya…..
Pada waktu itu juga, Ustaz Azizan mengusahakan beberapa
hektar sawah – tidak saya ingat nama kawasannya – tidak jauh dari Bandar Bukit
Mertajam. Belum ada mesin menuai padi digunakan di kawasan berkenaan. Saya
ditakdirkan menjadi salah seorang tenaga kerja bagi membanting padi di situ,
bersama beberapa orang, yang dua daripadanya ditakdirkan pula menjadi pelajar
AlFalah pada tahun berikutnya. Ketika itu, lagu Apo Nak Dikato nyanyian Ito dari
Blues Gang sedang meletup. Sambil membanting atau menunggu di bawa balik ke
rumah Ustaz pada petangnya, sering saya berlagu bersama Pirud : Apo nak dikato,
kalau boleh nak jadi cikgu sekolah, kek sekolah Falah…… tanpa
memaksudkannya! Ustaz Azizan mungkin hanya tersenyum mendengar….
Dalam proses menuai padi itulah saya lebih mengenali Ustaz
Azizan – sentiasa menyampaikan ilmu sekalipun sedang memandu keretanya –
terutamanya ketika kami berdua mengitari kawasan sekitar sawahnya, mencari
lori, mencari penanggung guni padi, mencari kilang padi serta berurusan tentang
subsidi padi….. Saya masih ingat ceramah eksklusifnya kepada saya setelah saya
terlajak masuk ke rumah penanggung padi yang tidak ada penghuni lelaki ketika
kami singgah….. Isinya melekat hingga sekarang….
Penghujung 1982, saya bersama sahabat, Md Saad Awang a.k.a
Azmi, sepupu Ustazah Rodziah mencuba nasib menjadi pekerja di atas bot bilis di
Tanjung Dawai. Sekitar 3 bulan kami
lakukan kerja itu, sebelum pulang sebentar cadangnya, untuk mengambil upah
mengangkut padi yang sedang tiba musim menuai dan membantingnya. Sebelum itu,
ketika balik sekali-sekala dari Tanjung Dawai pun sudah terdengar Tokwan dan
emak memberitahu Ustaz Azizan sedang
mencari saya. AlFalah yang berwajah baru, dengan pendaftaran pelajar Peralihan membentuk dua kelas serta kelas tingkatan tiga
[akademik] juga terdiri dari dua kelas – kesemuanya hampir seratus orang -
ketiadaan guru pelajaran Sains. Cikgu Som Mariah bertukar ke sekolah agama
rakyat yang lain. Penggantinya, Cikgu Radzi Majid, junior saya di SMDSO,
mendapat tawaran memasuki maktab perguruan. [Cikgu Radzi, asal Kg Teluk Bulang,
telah meninggal dunia dua-tiga tahun lalu, di Kg Raga, Yan]. Saya buat tidak
faham sahaja… tetapi ketika menarik padi dengan basikal tua bersama beberapa
orang kampung pada bulan kedua tahun 1983, saya tidak berupaya menolak pelawaan
Ustaz Azizan. Entah kerana apa – agama, bangsa atau budi atau kesemuanya.
Tetapi yang pasti bukan kerana duit, sebab , terus terang cakap, sebulan elaun
di AlFalah pada tahun pertama itu, senang-senang saya perolehi dalam kurang dari
seminggu saya bersama bot pukat bilis di Tanjung Dawai…..
Sejak itu, saya, seperti guru lain, makinlah rapat dengan
Ustaz Azizan. Kalau dahulu banyak mendengar kuliah dan tegurannya, kini dapat
pula duduk semeja serta member pendapat atau ulasan dalam urusan sekolah…
Sambil itu makin banyak yang saya pelajari lagi dari Ustaz Azizan secara
langsung atau tidak. Semakin pula saya bertambah mengenalinya. Dalam
mengaguminya, beliau amat merendah, “Ana ustaz biasa saja……orang biasa…”
Sepanjang di AlFalah, ada beberapa detik yang sentiasa saya
ingat, apabila mengenang Ustaz Azizan.
Saya teringat betapa pada tahun pertama – 1983 – ketika kami
[guru-guru lelaki yang terdiri dari Cikgu Rahim, Ustaz Zubaidi, Ustaz Pirud dan
saya] sedang berehat di atas bangunan dua tingkat, [asrama belum wujud ketika
itu], terdengar jerkahan kuat Ustaz Azizan kepada satu kelas yang bising.
Terkejut juga kerana tidak pernah menyangka ustaz ada sisi garang seperti itu.
“Aku ni gila isim, tau?” katanya berulangkali. Semua [penghuni empat kelas serta satu bilik guru] terdiam
– lama sekali diamnya…… [Menurut kamus Dewan Gila Isim bermaksud gila yang disebabkan kerana menuntut (ilmu agama dll). Namun maksud Ustaz
adalah baran dan boleh melakukan sesuatu yang jika sesiapa mendapatnya, makan
tak habis, menyesal tak sudah! Pertama dan terakhir kali saya melihat Ustaz mengamuk!
Pada ketika pertama kali saya diminta berucap di dalam
majlis Muhadhoroh, saya memilih tajuk C
Untuk Cinta. Nampak ada bibit kurang manis di kalangan beberapa pelajar yang ‘berpasangan’,
yakni melibatkan perutusan surat timbal balik sesama mereka. Itu saja, bukan ‘bercengkerama
di bawah bulan purnama’ atau yang seumpama….. Saya lontarkan sisi negatif bagi
perkara itu dengan menasihatkan mereka kembali betulkan niat ke AlFalah…. Dalam
ucapan penutupnya, Ustaz Azizan naik syeikh! Disambung ulas pula ucapan saya
bersekali dengan amaran bahawa tidak teragak-agak beliau akan nikahkan pelajar
yang teringin sangat berpasangan itu, dengan memberi contoh betapa beberapa
pasangan pelajar AlFalah yang dinikahkan pada era kegemilangan AlFalah sekitar
tahun 60-an dahulu. Bersekali dengan
nama – sebahagiannya saya kenal setelah merujuk kepada emak, kemudiannya… Terkedu
kami mendengarnya. Lebih terkedu pasangan yang surat-surat luahan hati mereka
ada di dalam simpanan saya. Selepas itu hampir semuanya bertemu dengan saya,
merayu tidak didedahkan nama kepada Ustaz Azizan…..Hehehehe…Appara… Berjanji
bersetia sehingga ke akhir hayat, ketika mengayat di dalam surat; tapi rasa
gayat apabila ustaz mahu tolong percepat saja hasrat dan niat…. Demikian
selalu saya ungkit jika bertemu mereka sekarang pun….
Sekali peristiwa, saya bersama Pirud ke Alor Setar. Hari
Selasa. Petangnya ketika kami pulang, Ustaz perasan yang kami baru bergunting
rambut. Ditegurnya, tidak elok bergunting pada hari tersebut. Saya ‘melawan’
apa yang dicakapnya. “Dah hangpa ‘tu jakun!” katanya. Sila rujuk pada entri
dengan tajuk seperti lafaznya itu…. Malah beberapa hal di atas telah saya
masukkan di dalam entri-entri awal blog
ini dahulu.
Meski nampak serius, Ustaz Azizan tidaklah sentiasa begitu. Kepada anak bongsunya, Mohd Hizamy, beliau
memanggil Labu
– dengan gaya Hj Bakhil di dalam filem Labu Labi.
Jika tidak Nampak Hizamy agak lama, kami yang duduk di asrama di belakang
rumahnya akan mendengar panggilan itu: Labu….. O…. Labu…..
Demikianlah.
Sedikit coretan tentang Ustaz Azizan ketika teringatkan
arwah, tatkala orang bercakap dan menulis tajuk Ustaz Azizan Yang Saya Kenal –
mengenai Ustaz Tan Sri Hj Azizan Abd Razak, mantan MB Kedah, yang dijemput pulang
ke rahmatullah pada 26 September lalu.
Ustaz Azizan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah merangkap ADUN
Sungai Limau itu, saya kenal, pernah bertemu, tetapi arwah tidak kenal saya…..
Ustaz Azizan yang kenal saya adalah Ustaz Hj Azizan Hj
Mustaffa, pengasas dan mudir pertama SMA
AlFalah. Sebab itulah saya berikan tajuk entri ini sedemikian – Ustaz Azizan Yang Kenal Saya, kalau Ustaz Azizan Yang Saya Kenal,
dua-duanya saya kenal…..
Pirud |
Ustaz Azizan yang kenal saya itu meninggal pada suku pertama
tahun 1985. Tempatnya selaku mudir digantikan oleh Pirud, anak ketiga almarhum
merangkap sahabat saya yang sama mula mengajar di AlFalah pada tahun 1983.
Pirud [panggilan saya untuk Hj Ahmad Fairose] merupakan mudir termuda di Kedah
ketika itu – berusia 23 tahun.
Ustaz Azizan yang kenal saya itu meninggalkan dua balu serta lima anak. Almarhum pergi
sebelum sempat
bermenantu, maka tidaklah sempat pula melihat walau seorang cucu….
Jenazah beliau disembahyangkan dengan diimamkan oleh adinda
tunggalnya, Hj Mohd Fauzi, di surau Pondok Fauzi, Yan, sebelum dikebumikan di
Tanah Perkuburan Masjid Yan. Pada pergerakan awal keranda almarhum dari tangga surau berkenaan, budak-budak Falah
telah diberi keutamaan mengusungnya…..
Semoga roh almarhum sentiasa dicucuri rahmat, segala dosanya
diampunkan serta semua amal kebajikannya diterima dan diganjarkan dengan
setinggi-tinggi ganjaran oleh Allah. Aamin.
No comments:
Post a Comment