22 October 2013

Oi Bubur Kacang!


 Hujan lebat mencurah .


Saya sampai di depan pintu asrama lelaki. Kamarulzaman Baharom menyambut saya di situ – mencapai beg plastik besar berisi bungkusan barang-barang yang dipesan oleh budak asrama lelaki. Sebelum itu, ketika buah hujan sedang luruh tadi, satu beg besar lain telah saya serahkan kepada wakil penghuni asrama puteri. Kandungannya hampir sama – bungkusan-bungkusan kecil berisi barang keperluan: barangan  dapur dan barangan di bilik mandi. Kalau berbeza pun, kerana selama saya membeli barang kepada budak-budak asrama, belum pernahlah dari asrama lelaki ada pesanan barang berjenama Sanita atau Stayfree…. Walaupun kata Cikgu Non, ada kawan lelakinya pernah menggunakan benda alah itu untuk dilekatkan ke dahi sewaktu bermain sepakraga!

Meski hujan, saya mesti balik segera ke rumah, kerana ada urusan peribadi yang belum selesai. Lagi pula dalam keadaan kuyup begitu, tolol sangatlah kalau saya masuk ke dalam asrama lalu dengan selamba berbaring di atas salah satu katil….

Ketika saya menghidupkan enjin motorsikal, Yeh melompat ke jenang tingkap di tepi pintu asrama. Saya tepilanjat….

“Cikgu, nanti sat! “ katanya sambil memperkemaskan gulungan kain pelikat di pinggang. Pada dada lepernya ada sedikit bekas percikan air – entah air hujan atau air mandian. Baju- t hanya disangkutkan pada bahu kiri, bukan dipakai seperti kelaziman orang.

“Sat gi maghi pekena buboq kacang!” katanya sambil tersengih, sambil juga menggaru dada lepernya. Di tangannya ada dua tiga bungkusan yang diambil dari beg besar yang saya berikan kepada Kamarulzaman tadi.

“Tengokla….” Balas saya. Memang bubur kacang makanan kegemaran tetapi kena tengok si pembuatnyalah juga…..

“Ooo …oh! Mana boleh tengok-tengok? Maghi la sat ni….” Dia tegas, memandang muka saya. Dadanya belum hilang gatal agaknya. Masih digaru.

“Sapa buat?” tanya saya pula. Memang bubur kacang makanan kegemaran tetapi kena tengok si pembuatnyalah juga…..

“Sapa lagi…?” Yeh membalas sambil ibu jari pada tangan yang asyik menggaru tadi dihalakan kepada dadanya. Dia tersengih dan terangguk-angguk.

“Mu makanla. Sat ni saya tumpang, silap-silap tak cukup….” Kata saya memaksudkan menolak pelawaan itu. Memang bubur kacang makanan kegemaran tetapi kena tengok si pembuatnyalah juga…..

“Cikgu maghi la…. Cukup aih… Saya bagi cikgu rasmi….” Kata   Yeh lagi sambil tangan menggapai kukur kelapa yang dihulurkan oleh Mohammad Daud – budak sekampungnya – yang tiba-tiba muncul di belakang saya. Mad Dud – panggilan kebanyakan kami untuk insan bermuka bundar itu – tersengih. Tidak berbaju seperti Yeh, kain yang dipakainya hampir lencun, kesan meredah rumput berair  ketika pergi-balik dari rumah Maklang, tuanpunya kukur kelapa. Badannya juga kuyup, kerana dalam hujan lebat itu, dia hanya mengharapkan kukur kelapa sebagai pelindung kepalanya ketika berlari pulang tadi. {Dalam hujan ketika mencatat ini, Md Dud dan Yeh muncul di depan saya, segar dalam kebasahan itu!}

Apa yang berlaku selepas itu di dalam asrama, terutama di bahagian dapurnya, tidaklah saya tahu.  Saya dibawa motor ke rumah emak ayah, membelah runtuhan hujan dalam perjalanan sejauh 300 meter itu. Lama juga saya di rumah – mandi, solat, makan dan membaca akhbar serta menanti. Menanti hujan teduh. Namun seperti tiada tanda hujan akan begitu. Bunyi bumbung rumah yang ditimpanya agak melekakan.  Dan …

… feel sleepy…

Why?

Y? Zzzzzzzzzz…

…….…

Sekitar jam 5.45, saya bersiap untuk ke stadium AlFalah. Padang itu, kalau selepas hujan  begitu – malah di dalam hujan pun – cukup seronok bagi menikmati sebuah pertarungan. Boleh menggelongsor sepuas hati , menyepak air ke tubuh terutama muka pemain pasukan seteru sebelum menendang bola dan paling seronok tentulah apabila penyerang prolifik kami, siapa lagi kalau bukan Cikgu Non, dapat mencetak gol yang banyak sambil melihat wajah-wajah geram pihak yang lawan….Kena pula pengadilnya adalah kami sendiri!

Tetapi sebaik melepasi rumah Maklong/Maklang, memijak hujung jalan bertar ke surau, saya dipanggil orang. Beberapa orang. Saya menoleh ke asrama lelaki. Dua tingkap menghadap matahari jatuh itu dipenuhi oleh enam tujuh kepala manusia. Hampir semua  melambai sambil mulut memanggil  saya…

Di antara tujuh lapan orang yang berada di padang dan sedang kuyup mengejar bola, dengan enam tujuh orang di asrama, saya memilih untuk ke asrama dahulu. Lagi pula saya tidak nampak motor bernombor plat KL 6285 diparkir bersebelahan bangunan melintang [dewan] seperti selalu. Ertinya, Cikgu Non belum sampai atau mungkin mengetepikan dirinya untuk perlawanan petang itu…

“Awat?” tanya saya, sebaik sampai ke laman asrama, bertentangan dengan pintu ‘kediaman’ Ustaz Man.

Hampir serentak enam tujuh orang di muka tingkap itu bersuara. Maka tidak dapatlah saya catatkan di sini simpang-siur lontaran suara itu. Namun kesimpulannya adalah: kenapa saya datang lewat sedangkan mereka menunggu untuk saya merasmikan acara memakan bubur kacang?

Astaghfirullah……

Saya terlupa sungguh!

Helmi Zakaria, yang paling menonjol ‘marahnya’ kepada saya, terus mengheret tangan ini sebaik saya berdiri betul-betul  di muka pintu utama asrama.

“Jom gi ke dapoq…,” katanya, “ lagi cikgu tak maghi Yeh tak bagi kami sentuh langsung….”

Rakan-rakannya yang memenuhi dua tingkap tadi mengekori kami. Terasa seolah saya sebagai pesalah sedang  dibawa ke penjara…

Yeh berada di dapur. Tidak berbaju tapi memakai kopiah putih – tanda telah selesai mengerjakan solat Asar. Dia tersengih tanpa bersuara. Md Rautin kelihatan tertinjau-tinjau di belakang Yeh. Dia juga tidak berbaju, sekadar bersamping tuala yang menutupi sebahagian seluar sukan hitam yang dipakainya.

Di atas dapur minyak tanah berhampiran pintu ke bilik air terdapat satu periuk tanpa tudung sedang berasap. Di kiri kanan serta depan dapur itu kelihatan enam tujuh koleh plastik sedang ternganga. Sebaik Yeh memegang satu koleh yang diambil dari bawah meja dapur, semua koleh berdekatan dapur tadi siap dipegang tuan masing-masing.

“Mu nantila dulu! Aku nak cedok bagi kat cikgu ‘ni…” Yeh nampak tegas kepada rakan-rakan sekolehnya itu. Tetapi tersengih kepada saya. Dia mengibar tangan kanannya di atas permukaan periuk sebelum mencapai senduk kecil diselitkan pada gelugur zink dinding dapur. Mukanya didekatkan ke permukaan periuk itu. Hidungnya dipaksa menghidu …

“Piyau [Pure] aih bau dia…” Yeh menoleh ke arah saya sambil menggelengkan kepala. Saya ikut tersengih sepertinya sambil mengangguk.

Lekaihla Yeh…..” kedengaran suara Md Rautin, seorang lagi rakan sekampung Yeh, dari celahan enam tujuh orang yang berdiri itu.

“Satla dulu… Sabaqla..” balas Yeh lalu mencedok bubur ke koleh bersaiz M yang sedang dipegang di tangan kirinya. Tiga senduk. Dengan kedua-dua tangannya, koleh yang siap dimasukkan camca diserahkan kepada saya.

“Berapa orang kongsi ‘ni?” tanya saya sambil menghembus-hembus permukaan koleh yang berasap nipis.

“Dua tiga orangla…” balas Helmi. Saya nampak dia mengisyaratkan kepada Yeh supaya mencedok lagi bubur ke koleh-koleh lain.

“Satla lu….”kedengaran suara Yeh.  Dia memerhati ke arah saya yang duduk di birai katil paling hampir dengan pintu ruang asrama ke dapur. Semua mata mereka tertumpu ke arah saya. Terharu sungguh diperlakukan begitu…
 
“Kalau ada roti rendam dalam ‘ni, apa nak kata…” saya sengaja mencuit sambil menunggu bubur sejuk sedikit.

“Roti-roti tarak…” terdengar suara Md Rautin, “ biskut empat segi bulat ada! “

Saya tergelak. Mana ada biskut empat segi bulat? Itu hanya gurauan saya satu masa dahulu apabila budak asrama asyik menulis biskut empat segi pada senarai pesanan setiap kali saya mahu ke kedai.  Bukan jarang mereka tulis biskut lalu ditambah dengan lakaran empat segi sama …. Lepas itu ada pula yang bergula dan tidak. Oleh kerana terlalu rapat dengan biskut empat segi, kita hampir terlupa bahawa empat segi adalah bentuknya …. Maka disuruh menulis empat segi bulat pun, tanpa berfikir panjang ada yang menulis begitu!

Saya tergelak lagi apabila Md Rautin duduk di sisi saya sambil memegang koleh bersi bubur berasap. Di dalam koleh itu terdapat empat pecahan biskut empat segi… Rupa-rupanya ketika semua mata pemegang saham bubur kacang petang itu sedang memerhati saya, Md Rautin nan seorang  siap mencedok untuk dirinya!

“Ooo ..Oh! Mu ‘ni la….” Kata Yeh. Dia mencapai senduk kecil yang Md Rautin letakkan begitu saja di atas bendul kayu - pemisah di antara dinding bata dan dinding papan asrama – berhampiran katil yang kami duduki. “Kerja biar molek sikit, Tin!”

“Mana aci, Tin?” tokok Helmi pula sambil bergegas ke dapur.  Mad Dud dan rakan lain hanya tersengih dan menelan liur sebelum sama-sama menerpa mengikut Helmi…

Md Rautin tergelak sambil menggigit biskut empat segi yang direndam ke dalam koleh berisi bubur itu.… Saya menumpang gelaknya itu.

Saya menghirup kuah bubur  seperti menghirup teh. Sedap, walaupun saya tahu tangan yang mengggaru dada tadilah yang memerah kelapa parut bagi menghasilkan santan…Walaupun sejak mulanya hati saya berbisik:  Memang bubur kacang makanan kegemaran tetapi kena tengok si pembuatnyalah juga…..
Ada aroma pandan. Sagu kecil tidak terlalu banyak hingga memungkinkan keliru sama ada mahu dikatakan bubur kacang atau bubur sagu. Manis, masin dan lemaknya boleh dipuji bagi tukang masak sebaya Yeh. Penggemar bubur kacang tegar seperti saya pantas mengiktiraf keupayaan Yeh mendapatkan rasa yang persis dengan rasa yang saya jadikan penanda aras!

Sekali lagi saya menghirup kuah dan menghidu aroma. Kuah tidak sepanas awal tadi. Saya mencedok pula isinya lalu dimasukkan ke dalam mulut untuk di kunyah.

Prup!

“Yeh! Yeh!”
Terdengar laungan kuat Helmi dari luar pintu  dapur. Berdasarkan suaranya, saya tahu Helmi – atau Lemi, bagi teman rapatnya – berada di atas akar pokok pukul lima yang terletak di antara dapur asrama dengan bilik air/bilik mandi/tandas .

“Mu gi tengok Lemi ‘tu, Yeh….” Kata Md Rautin yang sedang menikmati kepingan terakhir rendaman biskut empat segi  direndam ke dalam  kuah bubur. Saya menghentikan kunyahan yang baru berlaku dua kali.

“Awatla Lemi?” Yeh yang terlindung di dapur dari pandangan saya bersuara.  Kedengran langkahnya menuju ke luar.

Saya meletakkan koleh berisi bubur kacang ke sisi kiri, atau sisi kanan Md Rautin yang terangguk-angguk mengunyah biskut empat segi rendamnya. Di atas pehanya ada pula tiga empat keeping biskut marie yang disambarnya dari tangan Md Dud yang melintas di depannya beberapa detik sebelum itu – detik yang hampir serentak dengan laungan Hemi tadi.

Saya menggeleng kepala dan tersenyum, mengharapkan Md Rautin segera mencedok bubur kacang. Tapi kiranya saya terpaksa menunggu sebentar. Md Rautin memecahkan dulu semua kepingan biskut marie yang disambar tadi lalu dimasukkan ke dalam koleh buburnya. Dengan menggunakan sudu, dia menekan-nekan biskut lalu menggaulnya dengan bubur.

Di luar, terdengar suara Yeh dan Helmi bergilir bercakap tetapi tidak begitu jelas buah butirnya.

Md Rautin menyilangkan kaki dengan  sambil kepala terangguk-angguk. Saya menanti dia menyuap bubur ke mulutnya.  Dia menggaul lagi bubur dengan biskut marie. Saya memerhati dengan sabar.

Akhirnya, detik yang saya tunggu tiba. Md Rautin mencedok sesudu penuh bubur dari koleh yang didekatkan ke mukanya. Dia mengunyah. Sekali. Dua kali…

“Yeh!”

Helmi yang berada di luar atau Md Dud yang berada di atas katil berselang lima enam katil dengan kedudukan kami mungkin tersentak dengan laungan garau rakan sekampung mereka itu.

Belumpun Md Rautin melaung buat kali kedua, Yeh sudah berada di depan kami. Di tangannya ada senduk, di belakangnya ada Helmi…

“Mana saya tau kacang ‘tu kena rebus dulu…. Saya ingat lepas mendidih, dah boleh makan la…” kata Yeh, dengan wajah tidak seceria tadi.

“Mu ‘ni nak kena sekeh, Yeh. Penat kukur nyiur  tak hilang lagi ‘ni…. Orang rebus dulu lepas rendam sat...Nah! Mu  gi rebus balik!” panjang juga monolog Md Rautin. Dicapainya koleh bubur saya lalu diserahkan kepada Yeh. Mujur  dia tidak sama menyerahkan koleh berisi gaulan bubur dan biskut marienya tadi.

Yeh seperti terpukau. Dia mencapai koleh bubur saya lalu beredar ke dapur. Diikuti Helmi yang sempat pula mnggayakan orang meluku kepala kepada Yeh.

Saya tersengih. Demikian juga Md Rautin.

*****************************************************************

  


Bahan-bahan ( Lebih kurang utk 5 org makan )

  • 250 gm kacang hijau
  • 1 kotak santan (200 ml)
  • 1 senduk gula merah (cairkan dengan sedikit air)
  • 1 senduk gula (terpulang pada tahap kemanisan yang anda nak)
  • Air (mengikut kepekatan santan yang anda suka)
  • 1 sudu sagu (fi xbubuh pun coz sagu takde)
  • Secubit garam (untuk menambahkan rasa lemak berkrim bubur)
  • 2 helai daun pandan

Cara-cara

  1. Rendam kacang (30 minit - 1 jam)
  2. Rebus kacang sampai betul2 kembang (kacang kelihatan pecah2)
  3. Bila dah kembang, masukkan semua bahan lain kecuali sagu. Masak hingga didih.
  4. Bila dah didih baru masukkan sagu
  5. Sedia untuk dihidang..Lagi enak makan dengan roti

No comments: