30 January 2013

Pok Tek Dan Nasi Arab




Takdir telah tertulis.

Sabtu, 19 Januari 2013.

Saya bersama Cikgu Non menumpang bas Trans Nasional menghala ke selatan – perhentian terakhirnya di Kajang.

Kenapa dan untuk apa kami ke sana tidak perlulah dinyatakan di sini. Jadi catatan ini tidak akan panjang kerana tidak akan ada cerita tentang tujuan pemergian itu.Bertanya sajalah sendiri kepada Cikgu Non. Kalau dia mahu memberitahu anda, saya sanggup gondolkan kepala anda selama setahun! Hehehehe…

Bagi saya secara peribadi, ingin sangat sejenak melupakan Kedah, tempat terletaknya AlFalah yang terjajah. Ingin melihat hujan emas…..

Maka setelah lima belas minit bas meninggalkan terminal Shahab Perdana, setelah berbual menggunakan sekitar 3500 patah kata, kami melakukan sesuatu yang telah lama tidak dilakukan bersama – lena di atas kusyen!

Entah berapa mimpi pendek muncul, barulah saya tersedar dari lena. Bas dibrek secara mengejut. Menyingkap sedikit langsir di sebelah kiri, yang pertama ditemui mata adalah papan tanda bertulis Surau AlFalah!

Bermimpikah lagi saya?

 Menyingkap lebih luas langsir itu, saya faham kami sedang melintasi Sekolah Menengah Sains Sultan Muhammad Jiwa, Sungai Petani. Surau tadi terletak di dalam kawasannya. Namun nama surau tersebut seakan berpesan: hang boleh pi ke mana pun, tapi jangan sesekali lupakan AlFalah!

Aduh! Falah juga.....

Kami turun sebentar di hentian bas ekspres Sungai Petani. Sambil bus-mate baru menaiki bas, kami menghirup hawa panas bandar yang tidak lagi dihuni oleh para petani itu. Saya sempat menziarahi tandas berdekatan kios penjual tiket, meninggalkan sedikit tanda kenangan juga bukti pernah tiba di situ…..

Sebaik perjalanan diteruskan, kami menyambung berbual sekitar 3000 patah kata, sebelum kembali terlena….

Beberapa kali terjaga dan terlena kembali, kami sampai di Terminal Aman Jaya, Ipoh. Tidak banyak pilihan untuk mengalas perut di situ – sebuah tempat yang serba lengkap dan cantik tetapi masih asing bagi bas-bas ekspres. Kami makan nasi ayam stim. Kata Cikgu Non, selepas ini, empat jam lagi baru boleh jumpa makanan. Sambil itu saya menghantar mesej kepada menantu emak: Sampai Ipoh. Tujuannya supaya dia tidak risau, bimbang saya silap bas menghala ke Bangkok pula!

Benar kata Cikgu Non, lebih empat jam kemudian baru kami menjejak Bandar Kajang, setelah sebahagian bus-mate kami turun di Hentian Duta dan Pudu Central.

Di Kajang, kami menunggu Nazri Hashim di depan sebuah restoran mamak. Untuk tidak menghampakan warga India pelayan restoran yang datang menyapa, kami memesan teh tarik ‘manis kurang’. Di tv, sedang berlangsung perlawanan antara Selangor dengan Pahang. Golllll! Pekik sebahagian penghuni kerusi di depan tv sebaik Amri Yahya Berjaya memperdayakan penjaga gol Pahang. Saya kehairanan dan kepada Cikgu Non saya ceritakan rasa hairan itu. Tidak pernah saya mendengar di mana-mana sorakan begitu tatkala Selangor menjaringkan gol. Baru tersedar saya berada di bumi Selangor……. Hehehehe.

Sambil menghirup teh tarik yang tetap manis, saya menghantar mesej kepada seorang Budak Falah memberitahu akan ketibaan kami di Kajang. Lima belas minit kemudian saya mendapat balasan mesej. Antaranya dia menulis: Ok, smoga slamat b’urusan.Saya on way blk umh makmentua. Dah lama x jengok depa tahun ni. Pa2 info bgtaulah kat saya.

Saya memberitahu isi mesej itu kepada Cikgu Non. Seperti biasa, sahabat saya itu tenang sahaja.

“Rumah mertua dia di mana?”tanyanya.

“Perak…. Kut….” Saya mengagak.

“Hang bagi tau kat dia, Perak bukan jauh. Kita pun ‘nak balik kut Perak….”kata Cikgu Non sambil menghirup teh yang sudah tiada buihnya.

Saya tersengih. Tidaklah pula saya menelefon menyatakan ungkapan Cikgu Non itu, tetapi masih memegang telefon, memerhati mesej tersebut. Frasa ‘Saya on way blk umh makmentua. Dah lama x jengok depa tahun ni ‘ agak menarik perhatian. ‘Dah lama x jengok depa tahun ni ‘.Hari ini 19 Januari, fikir saya. Tidak mengapalah. Kami yang silap, berbuah tanpa berbunga dahulu!

Takdir telah tertulis.

Sementara itu, Cikgu Non pula menelefon seorang lagi Budak Falah. Saya hanya mendengar pertuturan Cikgu Non di celah keriuhan para penghuni kerusi di depan tv yang sedang meraikan gol kedua Selangor….. Lama juga Cikgu Non berbual di telefon. “Tak apalah…” sebahagian katanya yang perlahan di hujung perbualan itu.

“Siapa?” Tanya saya sebaik Cikgu Non meletakkan telefon di atas meja. Dia menyebut satu nama yang agak lama tidak saya dengar dan sebut.

“Tapi, petang esok, dia dah plan nak pi tengok mertua……..” kata Cikgu Non. Sekali lagi kami yang silap, datang tanpa notis awal…..

Takdir telah tertulis.

Nazri masih belum sampai. “Dia kata on the way ‘dah tadi….”kata Cikgu Non sambil menyalakan sebatang rokok yang tersepit antara dua bibirnya.

Saya membelek telefon. Ramai Budak Falah di Lembah Kelang ini, kata hati saya. Aswad Lorong Mayat, Zakaria Awang, Chik Mila, Maliana Md Fazi, Wan Abdullah/ Yusnita, Nur Lathyfah, Mohd Hafizi Manap, Farihah Abdullah [kalau tidak silap] atau Suhaimi Md Shah. Malah Abdul Khodir Md Ariff serta pasangan Muzammil / Ikin pun bukannya jauh. Begitu pula Pawang Nujum di Jerantut. Hanya sepelaung telefon. Cuma masalahnya, sebahagian mereka tidak tersimpan nombor telefon di dalam memori di ketulan genggaman saya. Lagi pula, Kedah hanya membenarkan saya meninggalkannya tidak lebih 36 jam…..

Tiba-tiba saya terkenang majlis jamuan hari raya tempoh hari. Mohd Zairi Mohd Ariff ada menyuruh saya menghubunginya jika berada sekitar Lembah ini. Mulanya ingin dipanggil terus, tetapi memikirkan tenaga dalaman telefon saya yang sangat kritikal, saya sekadar menghantar mesej, untuk bermain-main. Mana tahu, dia juga punya plan untuk menemui mertuanya di Perlis…..

Salam. Rumah di area mana? Kut2 lintas bila2.

Sedang senyum saya menulis begitu belum pun hilang, telefon berbunyi. Nama Zairi muncul. Saya tertawa. Hasrat untuk bertanya banyak dan bercerita banyak terhalang oleh kudrat telefon yang telah nazak dan…… mati!

Laporan segera disalurkan ke pengetahuan Cikgu Non.

Ketika itulah Nazri sampai. Cara berpakaiannya saja kami tahu dia terburu-buru keluar setelah mengimami  solat Maghrib di surau tempatnya. Selepas bersalam lebih kurang, kami masuk ke dalam keretanya. Dia memberitahu Zairi ada menghubunginya bagi mengesahkan kehadiran kami dan akan berjumpa sebentar lagi.

Sementara itu Nazri dan Cikgu Non bercadang ke tempat sate dibakar sebagai mengalu-alukan kehadiran saya di Kajang. Namun kedengrannya seperti ada masalah pada citarasa mereka. Di tempat yang satenya sedap bagi Cikgu Non, kuahnya pula tidak kena piawai Nazri. Bagi kuah yang menepati selera Nazri, satenya pula kurang eanak di lidah Cikgu Non. Ketika satu tempat dipersetujui bersama, deretan pelanggan yang menunggu pula menakutkan kami. Saya tidak kisah sangat. Ketika perut sedang menepuk-nepuk tangkai hati bertanya bila boleh makan itu, jika dibawa ke gerai tepung talam pun, saya tidak membantah….. Lagi pula, perut berbisik ke hati, meski bentuknya mirip, tetapi dia bukan sedang mengidam!

Akhirnya satu keputusan lagi dicapai: cari tempat makan dahulu, selepas itu baru dicari sate. Nazri mencadangkan satu tempat yang selalu dikunjungi bersama keluarga….. dan satenya juga tidaklah lekeh rasanya. Apakah pilihan yang kami ada ketika stereng di tangannya?

Sambil meluncur di atas jalanraya, Nazri menghubungi Zairi. Agaknya dinyatakan tempat yang kami tuju.

Sampai di restoran itu, Village View,Nazri memandu ke lot parkir di belakang. Kereta bersusun-susun.  Di dalam pula, manusia berdedam-dedam. Tiada tersedia meja yang kosong. Nazri meminta pelayan membuka satu meja yang berlipat di satu sisi restoran, untuk kami.

 Tomyam Pok tek
Acara pertama: memesan makanan. Buku menu dihulurkan. Tiada siapa yang serius sangat memegangnya. Semua telah dipetakan di minda – Sambal petai udang, tomyam pok tek,seekor tilapia bakar, seekor kerapu tiga rasa, sotong goreng tepung, telur dadar, sayur goreng dan sup ekor  “tak mau ekor yang pangkal, mahu yang hujung” pesan Cikgu Non.

“Cukup ‘dak ‘ni?”Tanya Cikgu Non.

“Sat lagi kita tambah….”balas Nazri.

Saya tak kata apa. Saya tak kata apa-apa. Perut yang sedang membising di tempatnya pun terdiam apabila diberitahu oleh telinga akan hidangan yang dipesan itu. ‘Ada berapa perut lagi bersama kita?’ tanya perut kepada mata. ‘Dua’ bisik mata. ‘Tu dia aih….jenuh kalau ‘nak perabih!’ keluh perut. ‘Nanti ada satu perut lagi akan sampai…’ bisik telinga pula. ‘Patutlah ada satu lagi kerusi di tepi meja…’mata berbisik lagi. Perut pun diam.

Nasi? Lima pinggan.

Minuman? Sendiri pilih beserta tiga gelas air ‘suami buang I’.

“Malam ‘ni kita bagi komputer satu, kita tengok dia tulis apa….”kata Cikgu Non. Tentulah ayat itu dibina untuk pendengaran Nazri, yang tersengih memandang saya…..

Ketika minuman sampai, Zairi muncul setelah menelefon Nazri bertanyakan lokasi meja kami. Salamnya sehangat waktu di dewab SK Taman Bersatu dan senyumnya semanis juga waktu di situ..

Setelah memesan minuman, dia bercerita tentang tekaannya tentang kehadiran kami. Mustahil, tanpa sebab, tiba-tiba saya menghantar mesej bertanyakan alamat, katanya. Lalu dia menghubungi Nazri bagi tujuan pengesahan. Selepas itu, dia terus keluar setelah memberitahu isterinya untuk berjumpa dengan kami yang ditemui pada perjumpaan hari raya dahulu.

Peserta pertama sampai. Ikan tilapia bakar bersama sos pencicahnya. Asap berkelun. Aromanya kami sedut secara berjemaah!

Muncul peserta kedua  dan ketiga – telur dadar dan sayur goreng. Perut memahami  sebaik menerima isyarat dari gumpalan liur yang melintasi tekak….

Diikuti kehadiran peserta keempat – tomyam pok tek. Tomyam bersantan yang mengandungi ketam, sotong, udang dan lala itu, lebih diraikan kerana Cikgu Non segera meminta pelayan memasang satu lagi meja bagi dikembarkan dengan yang awal tadi.

“Ada lagi ‘ni….”kata Cikgu Non ketika meja telah dirapatkan.

Nasi pulamengambil giliran. Empat orang memegang pinggan masing-masing tetapi Zairi pula meminta pinggan yang tidak bertuan – pinggan kelima.

“Takkan ‘nak tambah ‘dah?” Saya teringat begitulah gurauan orang kampung saya di dalam majlis kenduri, jika belum apa-apa seseorang telah meminta pinggan nasi tambah.

“Nak buang sikit….”kata si peminta pinggan nasi tambah pula sambil memberi alasannya berbuat demikian.

“Saya baru lepas makan masa bercakap dengan cikgu tadi…..” demikian kata Zairi sebelum saya mencuba gurauan cara orang kampung tersebut……

“Laaa…” kata tiga yang lain serentak.

Ketibaan peserta lain termasuk ikan kerapu tiga rasa, sambal petai udang, sotong goreng bertepung,serta sup ekor, tetap kami sambut dengan mesranya. Cuma Cikgu Non kurang berpuas hati apabila membandingkan dua peserta ikan di atas meja itu. Yang satu baginya kelihatan tidaklah sebesar yang satu lagi.. “Kita makan dulu…”kata Nazri. Wajahnya serius. Teringat bahawa kami adalah pendatang dan kunci kereta di poket bajunya, saya tunduk dan menyuap perlahan-lahan…..hehehehe.

Sambil makan kami mengomen dan mengomel.

Komen semuanya berkait dengan lauk. Biasalah, rasa, seperti juga kecantikan adalah subjektif. Tidak akan mampu seorang chef terhandal dunia dapat memenuhi selera semua pelanggannya……

Omel pula tentulah berhubung cerita hidup kami tetapi lebih banyak difokuskan kepada Zairi. Tentang kerja  dan majikannya, tentang keluarganya, tentang isterinya yang bercuti dua tahun untuk belajar sepenuh masa, tentang abangnya, Abdul Khodir yang kini menetap di Port Dickson [Zairi mempelawa untukmembawa kami ke tempat abangnya, namun hanya tinggal 24 jam visa kami sah di situ….] dan pastinya tentang beberapa Budak Falah yang lain, yang dikenali.

Di satu sela masa, Cikgu Non menyuruh Nazri  memesan sate untuk dibawa pulang. “Berapa?”Tanya Nazri. Saya tidak mendengar jawapan Cikgu Non tapi yang pasti bukanlah lima enam cucuk….

“Sat ‘ni balik Cikgu Din kata pulak, ‘dah mai Kajang pun tak pekena sate….” Kata Cikgu Non, “sementara ‘nak tidoq sat ‘ni kita pekena sate pulak….”

‘Mampuih!’ kata perut sepatah sebaik dimaklumkan oleh telinga akan kata-kata Cikgu Non itu…

Selesai makan dan membiarkan perut agak selesa, sementelah bungkusan sate pun telah tiba ke meja, kami terpaksa mengundur diri. Ada hal lain. [Bertanya sajalah sendiri kepada Cikgu Non akan hal itu. Kalau dia mahu memberitahu anda, saya sanggup gondolkan kepala anda selama setahun! Hehehehe…]

Tidak berupayalah kami berlama dengan Zairi. Namun dia mencadangkan untuk makan tengah hari bersama kami esoknya. Kami, terutama saya, akur sahaja……

Sebelum kami berpecah mengikut haluan,  Zairi mengajak Nazri ke keretanya yang diletakkan di hadapan restoran. Manakala saya dan Cikgu Non ke kereta Nazri di belakang . Hanya tinggal kereta itu menunggal. Yang bersusun-susun tadi telah dibawa pulang oleh tuan masing-masing….

Nazri muncul tidak lama kemudian bersama sebuah beg kertas yangkemudiannya dimasukkan ke bahagian belakang kereta. “Cenderahati…” katanya, lebih kurang.

Ketika keluar dari kawasan parkir itu, Nazri menunjukkan beberapa blok bangunan bertingkat bersebelahan restoran. Cahaya menerangi setiap blok dan tingkat. Seperti bangunan sekolah.

“Cikgu teka, ‘tu bangunan apa?” katanya.

Berteka-tekilah pula.

Tapi masakan saya dapat memberikan jawapannya. Seolah pendatang asing tanpa izin dari Myanmar yang baru terselamat dari bot karam, dibawa melintasi bangunan Jabatan Imigresen Kuala Kedah pada suatu malam, ditanyakan bangunan apakah itu?

“Itulah bangunan asrama pekerja Sate Hj Samuri!” kata Nazri apabila saya sah gagal menjawabnya.

Sebagai bangsa Melayu, saya menumpang bangga mendengarnya.

                                                       **************************************


Selesai hal, yang kalau nak tahu mesti bertanyakan Cikgu Non itu, kami dibawa ke kediaman Nazri - kuarters di tempat tugasnya. Dinihari itu agak sepi. Anak dan isteri Nazri telah pun lama terlena. Kami masuk dan melepak di ruang tamu meski Nazri bersungguh meminta kami tidur di dalam bilik.

Kami membuka beg yang mengandungi cenderahati dari Zairi tadi. Tiga helai kemeja-t dan tiga rantai kunci berlogo majikan Zairi – PROTON. Kemeja –t itu seolah siap diukur saiz badan kami. Padan sahaja. Namun Nazri berkata dia jarang memakai kemeja-t dengan fabrik seperti itu. Maka di ingatan saya muncul wajah Cikgu Rahim – yang pasti juga muat dengan saiz yang ada..... Nantilah!

Nazri menyediakan seteko kopi sambil memanaskan kuah sate. Setelah itu dibawanya sate dan minuman ke hadapan kami. Sementara itu, Cikgu Non mengeluarkan laptop dan memasang beruknya [broadband]. Lama dia menunggu namun tidak juga boleh melayari internet.

Kami menjamah sate. Kami menghirup kopi. Kami menonton tv9 yangmemancarkan perlawanan bolasepak Negara-negara Afrika. Internet masih tidak boleh dilayari…….

Cikgu Non bangun bersolat di dalam bilik. Selepas itu dilihatnya laptop. Internet masih tidak boleh dilayari…….

Kalau boleh dilayari, dapatlah saya masukkan entri tentang perjalanan setakat malam itu ke dalam blog….. Setidaknya terjawablah persoalan di mukabuku.....

Saya pula bangun, bersolat di dalam bilik. Selepas itu, menjamah lagi sate sambil melihat cikgu Non merenung laptopnya. Internet masih tidak boleh dilayari…….

Selepas itu …………………

Zzzzzzzzzzzzzzzzzzz…….

Paginya setelah mandi dan bersolat subuh, kami bermalas, membelek akhbar semalam. Nazri tidak kelihatan. Hanya kedengaran lagaan beberapa peralatan dapur, menandakan isterinya sedang menyediakan sarapan.

Kemudian isterinya muncul bersama seteko kopi dan sepinggan sandwich. Kami menjamah sambil menyambung membaca akhbar yang tidak sempat dibaca seluruhnya semasa di dalam bas semalam.

Tidak lama kemudian Nazri timbul, mengajak kami bersarapan. Rupanya yang disediakan isterinya tadi tidak dinamakan sarapan! Oooo….. Pakcik baru tahu…..

Masuk kandang kambing mengembek….Terpaksalah kami ikut adat di sini. Terpaksalah perut yang baru diisi sandwich diajar menerima budaya tempatan. Di kedai makan yang nampaknya agak familiar dengan Nazri, kami memesan roti canai jantan seorang satu………..

Selesai di situ, kami berangkat ke tempat urusan hal malam tadi.

                                         **************************************************

Sementara menanti waktu yang dijanjikan dengan Zairi, kami ke Putrajaya. Menziarahi tempat indah dan gah yang sejak awal, kalau diberikan kuasa,  akan saya ubah nama tempat dan kawasan di situ kepada kemelayuan. Berbahagialah mereka yang menjumpai perkataan PRESINT  yang seolah tiada perkataan setara di dalam bahasa kebangsaan…….  Banyak lagilah, yang sukar dinyatakan oleh orang yang tiada kuasa ini, yang kekal  berbangga dengan bahasa ibunda yang kaya…..

Nak kena catatkan juga tentang Putrajaya? Suruh budak sekolah yang membuat lawatan cukuplah kut, atau rujuk saja dengan Cik Google...

Tapi untuk berlaku adil kepada pemandu kami, biarlah saya saya catat sedikit. Kami meronda hampir seluruh kawasan. Yang betul-betul singgah hanyalah Masjid Besi serta Taman Botani. Malaslah untuk bersesak dengan awek Korea dan Jepun yang asyik merakam persekitaran yang menjadi rebutan itu..... saya bukannya minat K-Pop atau J-Pop pun! Pelawat berhidung macam saya dan berkulit - pun - seperti saya lagilah ramai. Jadi pemandu pelancong kami mengitari seluruh kawasan - jangan balik Kedah orang dok perkunun! katanya berkali-kali.

Berkali-kali pula Cikgu Non berkata, selama ini dia datang, tidak pernah dibawa ke tempat itu..... Nazri  tersengih sambil mengungkapkan kata meraikan kehadiran tidak seluloi saya....

Lama juga kami di MasjidBesi [Masjid Sultan Mizan]. Sempat melawat ruang solat utama malah memberi bukti kehadiran di tandasnya yang bersih.....


Kemudian lagi lama kami berjalan di Taman Botani, menanti tibanya waktu untuk mengisi perut. Berjalan-jalan di situ sambil melihat orang lain yang juga berjalan-jalan atau berbasikal. Mahu bergambar, kami bukan serajin Budak Batas Paip.....

                                        ***************************************************
Surau Al Furqan

Menjelang Zohor, Zairi menunggu kami di luar Taman Botani. Dia membawa kami ke Precint 11, tepatnya ke Surau AlFurqan. Memarkir kereta betul-betul di bawah bumbung yang dikhususkan untuk imam dan bilal. Rupanya Zairi adalah seorang AJK satu Biro surau tersebut. Mulanya kami menyangka untuk dia menyertai kami satu kereta ke tempat yang dimaksudkannya. Kiranya telah masuk waktu Zohor dan azan akan dikumandangkan. Kami bersolat dahulu di situ sebelum kemudiannya bergerak dalam kereta Nazri ke Cyberjaya. 

Dalam asyik berbual, lagi tentang perkembangan diri serta jalan-jalan sekitar Cyberjaya, kami sampai ke sisi blok terletaknya restoran itu.  Restoran Saba namanya , yang terletak di Blok A1. Jalan Perdana, CBD Perdana.
Menurut pemandu pelancong kami… Zairi, pada kebanyakan waktu restoran itu sentiasa penuh dan pelanggan terpaksa menunggu meja dikosongkan untuk duduk memesan makanan.

Nazri pula belum pernah ke situ. Saya dan Cikgu Non? Lagi mau tanya ka?

 
Kami bernasib baik. Tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan satu meja. Sebaik duduk pelayan datang bersama menunya. Seperti selalu, kami hanya mengambil syarat – memegang menu tersebut tanpa membelek secara serius. Sudah dipetakan di minda….. Zairi. Nasi berlauk kambing. Panggilan komersilnya saya sudah lupa.

“Dua kilo cukup?”Tanya Zairi, memaksudkan berat daging kambing. Kami hanya menurut. Membiarkan Zairi memesan. Mahu menyampuk, takut terjadi kes minta ‘air kelapa bubuh nyok banyak-banyak’ pula….. Biarlah yang ahli menguruskan hal itu.
 
Akan minuman pula, Nazri yang telah biasa dengan kami di Restoran Hj Ramli Simpang Empat, pantas saja meminta mango lasse. Tetapi harganya dua kali lipatlah berbanding di Simpang Empat.... Cikgu Non juga memilih minuman serupa. Apalah daya saya lagi selain mengikut juga…… Namun ketika itu, entah kenapa, saya benar-benar teringatkan Pawang Nujum ……… Zairi sendiri meminta teh o bersama daun pudina.

Dipendekkan, tidak lama sampailah minuman diikuti makanan yang dipesan.

Satu yang tidak menepati citarasa saya tentang nasi Arab adalah air asamnya. Ketika mencuba nasi jenis itu di Mergong dan Stargate, Alor Setar, saya sentiasa membayangkan kalaulah chef Arab ini mengadunkan sedikit ciri tempatan di dalam air asamnya, tentulah lebih kerap saya berkunjung…..

Di Cyberjaya ini hal yang sama saya hadapi. Namun kelajuan menolak kambing berbalut nasi ke mulut tidaklah terjejas….. Cuma, biasalah. Rasa, seperti juga kecantikan adalah subjektif…..

Sedang menyuap itu Nazri bangun. Sebentar kemudian dia datang bersama lima bekas kecil plastik berisi dalca. “Macam mana hangpa boleh makan tak pakai kuah ‘ni….” rungutnya dengan wajah yang serius itu,, “aku tak boleh pi kalau takdak kuah….”

Saya tertawa. Hentam sajalah, Labu!
 
Kami menuang kuah  ke nasi dan berkayuh semula……

Sementara itu, Zairi sempat mengeluarkan telefonnya. Merakam aksi kami bersama.

“Nak tunjuk bukti kat bini, tanda betui mai sini….” Cikgu Non menyakatnya.

“Nak masuk dalam fb….”balas Zairi. [Beberapa jam selepas itu saya dimaklumkannya foto tersebut telah dimuatnaikkan di dalam fb AlFalah...]

Seperti semalam, kami mengomen dan mengomel. Isinya tidak laratlah hamba yang lemah ini mencatat semuanya………

Omelan masih tentang diri kami, tentang kecederaan yang membantutkan minat Zairi bermain bola, tentang rutin kerjanya, tentang tiga bidang yang diceburi untuk menambah pendapatan, tentang amah dari Kemboja yang tidak lama bersama keluarganya………..
Mohd Zairi Mohd Ariff

Setelah nasi turun ke perut, kami pun beredar. Di luar kami membanding susuk tubuh kami dulu dan kini…. sebelum naik ke kereta dan menghantar Zairi ke Surau AlFurqan semula. Dia mengajak kami mengeteh di rumahnya. Namun akan ada lain kalinya….. Insya allah. Kami berpisah dengan harapan untuk bertemu lagi dan saya menitipkan salam untuk isteri serta abangnya, Abdul Khodir.

Keharuan menyelinap melihat lambaiannya. Entah bila lain kali itu……

Terima kasih, Zairi.

Selepas itu kami kembali tempat urusan paginya, sebelum ke kediaman Nazri. Cikgu Non mandi dan kami mengambil beg untuk bertolak balik ke Kedah - tanah tumpahnya kasihku....

Terima kasih Nazri. Lambaiannya tidaklah begitu menyelinap rasa. Tiga hari selepas tarikh itu dia akan berada di Kedah. Kalau takdir tetapkan, dapatlah kami berjumpa .....

Perjalanan balik?

Lagi mau cerita ka?