9 February 2014

Dari Inai Di Jari Hingga Anaknya Lima




{Nama-nama yang diwarnakan hijau adalah nama bekas pelajar atau petugas di SMA AlFalah}

Disc Jockey.

Singkatannya DJ.

Pengendali disk [disc]@ cakera @ piringhitam.

Pemacu lagu pun ya juga.
 
Asalnya digunakan untuk petugas di disko. Memutarkan lagu-lagu pilihan pengunjung atau lagu popular semasa yang terdapat di dalam cakera atau disc. Maka terkinja-kinjalah pengunjung disko melatam lantai dewan tarian.
Juruhebah adalah nama lain untuk penyiar di radio. Selain menyiarkan lagu, sering ada hebahan yang dilakukan dari semasa ke semasa.

Juruhebah di radio. DJ di disko.

Namun sekarang hampir orang terlupa akan perkataan JURUHEBAH itu. Petugas di radio sendiri mengaku mereka adalah DJ. Mungkin benar jika hanya memutarkan lagu menjadi tugas asasinya. Tetapi mereka juga berceloteh dan membuat hebahan…

 Demikian nasib perkataan JURUHEBAH. Sesiapa yang ketiadaan bahan untuk membuat tesis, bolehlah membuka muzium atau arkib bagi mengkaji perkataan ‘kuno’ itu, mengkaji pengembangan dan penguncupannya…

Di rumah kenduri, DJ juga muncul. Tetapi lazimnya, sahabat kita ini akan ikut berceloteh dengan ramahnya, termasuk mempersilakan tetamu masuk ke khemah atau mewakili keluarga mengucapkan terimakasih kepada tetamu yang bakal pulang… Di celah-celah celoteh itu, dimainkanlah lagu-lagu pilihan hati, tidak semestinya hanya yang bertemakan perkahwinan. Bukan setakat lagu Melayu, adakala dipasang juga lagu Hindi, lagu Arab, lagu Inggeris, malah lagu Siam!

Zul dan Mariam pada 1 Februari 2013 [foto BBP]
4 Februari lalu, hari Selasa, saya ke rumah keluarga Zulkifli Shamsuddin di Kampung Lahar Buaya, Tebengau. Hari itu berlangsung majlis resepsi buat pasangan Roqieeb & Baini, anak dan menantu terbaru Pakcik Shamsuddin.[Maaf, saya tidak dapat menyertakan nama penuh pasangan pengantin baru itu kerana tidak melihat/mendapat kad undangan. Undangan untuk saya via telefon. Nama mereka hanya saya dapati apabila membelek kepilan pada beg buahtangan yang dibawa pulang…]

Saya pergi bersendiri. Cikgu Non yang mendapat undangan agak terlewat sedikit dari saya, ketika dihubungi, memaklumkan mungkin tidak dapat ikut sama. Maklumlah, Selasa adalah hari persekolahan di semua negeri di Malaysia. Cikgu Non berada di sekolahnya di Sungai Limau sehingga jam 6 – ada kegiatan ko-kurikulum.

Saya sampai lebih sedikit dari jam 2 petang. Jalan ban timur dan barat rumah keluarga Zul dipenuhi kenderaan.  Saya mencelah dan dapat memarkir motor lebih seratus meter dari kepala titi ke rumah kenduri. Di situ saya bertembung dengan Mansuruddin. Tauke kain baju di beberapa pekan sehari ini masih sependiam dulu. Hanya tersenyum melihat saya. Mula bersuara, hanya setelah saya bersuara menyapa dan bertanya. Kebetulan motor kami berada bersebelahan. Dia dalam proses untuk pulang manakala saya dalam operasi untuk mengisi perut…

“Kaki tak berapa kuat dah…” katanya dalam ayat paling panjang yang diucapkan hari itu, ketika menolak motornya ke tengah jalan sebelum menendang benda alah di bahagian kanan bawah. Saya tersengih kerana melihat dia juga cuma tersengih sebelum memasukkan gear dan berlalu…
Dari atas titi, saya nampak Zul berdiri di penjuru luar khemah paling hampir dengan tali air, menyalami semua tetamu lelaki yang baru datang atau yang mahu pulang. Wajahnya bagai ditampal senyum yang melekat kuat. Tidak lekang-lekang.

Saya melepasi titi sebaik lagu tahun 60-an, Inai Di Jari, berkumandang di tong speaker. Nyanyian S Jibeng, versi tahun 80-an yang lebih 10 saat dari durasi versi asal, 3:17. Bagi saya, versi asal lebih menarik muziknya – terutama bahagian intro dan penutup -  yang menggunakan sepenuhnya gitar, manakala versi kemudian menggunakan accordion atau keyboard. Lirik kedua-duanya juga ada banyak perbezaan. Suara arwah Jaafar Sidek [nama asal Jibeng] pula pastilah berbeza untuk dua era berkenaan. Akan kesannya kepada pendengar yang merasakan dirinyalah yang menyanyi dan berhiba itu tidaklah saya arif lirik mana yang lebih menghiris…

Versi 60-an
 
Inai disapu di jari tandanya mesra
memberitahu hai dikau sudah dipunya
merah bercahaya bibirnya penuh bermakna
di jarinya manisnya tersarung cincin permata

Alangkah indah temasya di malam itu
 dua insan karam di lautan madu
menanam dendam berahi satu persatu
berkucup alas di bibir merayu-rayu

Apa kiranya semua dendamnya itu
Dalam gembira hai penuh duka sengsara
Seorang insan turut memendam rasa
Patah hatinya terkorban dalam bercinta

Alangkah indah temasya di malam itu
 dua insan karam di lautan madu
Menanam dendam berahi satu persatu
Berkucup alas di bibir merayu-rayu

Andainya itu sayang berupa erti
Setahun janji ditempa hilang sendiri
Membuat aku sedar diri sendiri
Inai merahmu tanda sudah bersuami

Versi 80-an

Engkau ketawa gembira di malam itu
Dikelilingi hai ramai sanak saudara
Sedangkan aku berduka kerana janjimu
Yang manis bermadu tetapi bagai hempedu

Alangkah indah temasya di malam itu
Jejarimu di inai satu persatu
Memberitahu dirimu sudah berpunya
Tinggallah aku sendiri jiwa merana

Andainya itu sayang berupa erti
Setahun janji ditempa hilang sehari
Membuat aku sedar diri sendiri
Betapa hinanya padamu diriku ini

Saya menjeling DJ di bawah khemah comelnya di sebelah kiri. Agak keras wajahnya tetapi mesra tersenyum di depan sebuah mikrofon. Di sekelilingnya, beberapa orang pengagum tegarnya sedang memerhati ke arah benda alah yang sedang dikawal di atas meja khas.

Zul menyambut saya. Bertanya tentang Cikgu Non dan saya menjawab setepatnya. Saya bertanya pula tentang budak Falah yang dijemputnya. Zul menjawab seadanya. [Setakat yang saya tahu, ketika menghubungi YB dari Nilai, NS kelmarinnya, dimaklumkan dia ada mengunjungi Zul kerana terpaksa bertolak balik ke negeri Adat Perpatih itu lebih awal – tidak sempat lagi makan kenduri. Malah ketika bercakap itu, dia dan samatuanya sedang berada sekitar Tapah, Perak, menghala ke selatan…] Tidak pula saya tahu berapa ramai di kalangan budak Falah yang Zul jemput, maka hal berkenaan terhenti di situ.

Zul menyuruh saya ke acara kegemaran: menyenduk nasi dan lauk. Saya yang sememangnya menyediakan satu sudut di dasar usus untuk itu, tidak bertangguh lagi. Tambahan pula tetamu Zul bukan hanya saya. Biarlah dia menyalami orang lain lagi…

Ketika saya menyenduk nasi, berkumandang pula lagu Takwa Dan Iman, nyanyian Dato’ Ahmad Jais, [berdurasi 4 minit setengah]. Saya menoleh ke arah khemah DJ. Walaupun tidak dilihatnya, saya berikan satu senyuman khas untuk sang DJ. Pandai dia memilih lagu. 

Saya jodohkan nasi tadi dengan seketul ayam goreng berempah dan dua senduk gulai daging serta sedikit pemanis – kuah paceri nenas. Lengkap, dan rasanya muat untuk ruang yang telah disimpan buat mereka.

Semasa berpusing mencari tempat parkir punggung, saya berselisih dengan Mohd Fazli Hj Mahmud. Tetapi kesibukannya mengawal pinggan polisterin berisi penuh yang sedikit melayah membuatkan matanya tidak bertembung mata saya. Dia menuju ke arah bertentangan. Dia ke khemah di barat manakala saya menghala ke khemah di sebelah timur. Biarlah dulu…
Saya mencari-cari meja yang sesuai. Meja di khemah tetamu lelaki itu hampir penuh. Saya nampak Zulkifli Azizan menggamit saya, apabila saya memerhatinya agak lama, mendera memori mencari nama penuhnya, setelah cam bahawa itu memanglah dia – anak murid saya dari Sungai Nonang/Sungai Papan. Salah seorang saudaranya kini berkahwin dengan gadis sekampung saya, berselang hanya beberapa buah rumah, Salmiah Hassan.

Tetapi saya tidak pun menghampirinya. Kerusi di sekeliling mejanya penuh ‘penduduknya’. Tidak patutlah saya memaksa salah seorang bangun begitu sahaja. Saya berdiri terus sehinggalah seseorang yang bersama dua anaknya di meja paling hampir dengan tiang tiba-tiba bangun. Agaknya mereka hanya duduk-duduk sahaja sambil menunggu salah seorang anaknya menghabiskan semangkuk bubur kacang.

Saya letakkan pinggan nasi di situ, diiringi suara arwah Ahmad Jais. Saya berpatah ke meja lauk tadi untuk mendapatkan segelas sirap yang terletak di atas kerus di sampingnya. Saya letakkan gelas polisterin itu berhampiran pinggan nasi. Saya ke luar sedikit dari khemah itu untuk melembabkan tangan. Saya letakkan diri di atas kerusi lalu menadah tangan sedikit ,berdoa.

Maka bermulalah acara menyuap, mengunyah, menelan dan memerhati. DJ memainkan pula lagu dari kumpulan Hijjaz , bertajuk Sumayyah. Saya menikmati nasi dan lauk sambil menghayati lirik dari lantunan suara utama kumpulan nasyid itu, Munif Ahmad.

Sendiri di meja yang boleh digunakan oleh enam orang itu, lagi pula memang hanya ada satu kenduri pada hari itu, saya menyuap dengan amat santai, mengunyah perlahan sambil mata memerhati tetamu yang bertali arus. Hairan agaknya kerongkong kerana lama-lama sekali barulah mendapat tugas untuk menghantar hasil kunyahan ke usus besar…

Saya nampak kelibat Khozali Something, budak Falah yang Cikgu Non cukup ingat satu tabiatnya – sambil mata dikebilkan, dia akan mengetuk-ngetuk jari telunjuk ke bahagian kanan dahi setiap kali disoal secara lisan, seolah-olah ada jawapan di dalam tengkoraknya ketika itu, sedangkan jawapan tidak pernah pun dizahirkan.  [Saya bubuh Something kerana memang lupa nama bapanya]. Khozali sedang berbual bersama rakannya di bawah khemah yang lain. Ingin berjumpanya selepas itu, malangnya saya terlupa ketika berlalu kemudiannya.

Habis lagu Sumayyah, dimainkan pula lagu Nur Kasih nyanyian kumpulan Inteam, sepanjang 4 minit 33 saat. Lembut, mendayu dan entah kenapa, menyayukan pula.

Mahu benar saya kenali DJ di khemah khas itu. Bukan sekadar pilihan lagu yang sesuai didengari dan tidak membingitkan seperti di sesetengah rumah kenduri, dia sendiri seolah berfungsi sebagai Disc Jockey sejati, yang asli. Semenjak saya masuk ke kampung keluarga Zul sehinggalah lagu keempat yang didengari itu, belum sepatah pun keluar ucapan atau celotehnya. Tidaklah terjerit-jerit atau bersuara seperti penjual ubat kuat di kakilima. Bukan sekali saya jumpa DJ di rumah kenduri yang terlalu ramah. Siap ada teka-teki, mengulas baju tetamu yang dikenalinya, mengulang-ulang menu yang semua tetamu tahu dan seumpamanya. Paling saya tidak faham, sibuk sangatkah hingga perlu bercakap ketika saya dan tetamu lain sedang menikmati sama lagu yang diputarkan…

Berfikir begitu sambil mengunyah, saya ternampak Syarifah Maryani Syed Omar bersama anaknya di meja kedua di bawah khemah tetamu perempuan. Rakan samatua Zul, Mariam Ismail itu sedang berbual dengan seorang ibu muda sambil masing-masing menyuap nasi. Lama juga saya memerhatinya tetapi matanya yang juga sesekali melilau melihat tetamu lain, tidak pula bertembung dengan mata saya.

Tiba-tiba bahu saya ditepuk. Saya mendongak. Seorang lelaki yang wajahnya saya kenal menghulurkan tangan. Namanya? Ini sedikit masalah sebab memori saya agak perlahan mengimbas. Dia tersenyum.

“Tak ingat apa?” katanya.

“Ingat. Mana boleh tak ingat” balas saya separuh berbohong. Tahu dia budak Falah era awal 80-an tapi tidak perasan akan namanya…

Wajahnya tidak berubah. Cuma matanya pada bahagian kornea agak kelabu, atau kekuningan. Ishak? Ya, Ishak … err… Ishak apa, ya?

Ishak Ibrahim, ‘kan?” kata saya yakin setelah memori kembali normal.

Dia mengangguk, tersenyum. Senyum saya lagi lebar agaknya kerana berjaya mengesan nama penuhnya sekali.

“Cam lagi noo?” Ishak mengemukakan soalan yang cukup klise.

“Cam… Cuma keliru tengok mata ‘tu… Ghona [warna] dia lain banyak dari dulu…” saya cuba menyembunyikan kekalutan mencari namanya tadi.

“Mata tua, cikgu oii..” balas Ishak, terus tersenyum.

“Umur berapa la ‘ni?” tanya saya pula.

“Empat puluh sembilan…” kata Ishak. 

Saya tersengih. Mendengar Ishak menyebut angka usianya, macamlah saya pula baru berusia dua puluh sembilan…

Saya mengajaknya duduk walaupun dua kali ditolaknya kerana ada urusan sedikit di Simpang Empat. Akhirnya Ishak duduk juga di depan saya setelah timbul soal kerjabuatnya sekarang.

Ishak adalah generasi perintis penjenamaan semula AlFalah pada tahun 1983. Memang asal dari Tebengau, pernah sekali saya ke rumahnya kerana satu majlis kenduri serta dua tiga kali pula singgah beraya di situ ketika zaman guru-guru lelaki Falah dahulu yang masih bujang [ Cikgu Rahim Daud, Ustaz Zubaidi Ariffin dan saya] rajin berkonvoi bersama budak Falah menjelajah dari kampung ke kampung sepanjang musim raya.
Ada sekali dua saya berjumpa Ishak setelah tamat zaman perFalahannya. Kali terakhir ketika dia pulang bercuti dari Langkawi. ‘Itu cerita lama. Bermacam kerja saya buat selepas itu. La ‘ni dok buat bendang saja…’ kata Ishak dalam perbualan itu.

Saya terlupa bertanya jumlah anaknya. Cuma yang pasti ada seorang anak daranya – sulung - berusia suku abad, tinggal di Kay El. Saya tersenyum mendengarnya kerana berdasarkan umur mereka berdua, paling lewat Ishak berkahwin adalah pada usianya 23 tahun. Usia di mana saya dan para sahabat saya - Cikgu Non, Cikgu Rahim, Ustaz Fairose dan Cikgu Ahmad Ammini - masih belum pun terfikir untuk bermertua…

Daripada Ishak juga saya mendapat tahu tentang rakan sekampungnya, Abd Latif Ibrahim @ Rahim, ketua pelajar AlFalah tahun 1983-1986, kini mengajar di sebuah sekolah agama di Beseri. [Satu sumber lain menyatakan Ustaz Latif mengajar di Titi Besi. Entahlah. Kalau ada sesiapa yang tahu yang mana tepat, sila maklumkan di ruang komen].

Sedang berbual itu, Ishak menunjukkan seorang perempuan berbaju biru yang sedang melintas di depan kami adalah isterinya. Kami bertukar senyum. Ishak pula bangun dan bersalam, meminta diri. “Kalau buat kenduri, jangan lupa panggay noo..” kata saya. Ishak tersenyum, meminta nombor rumah dan lorong di kejiranan saya. Entah disimpan atau tidak, tetapi saya ingatkan sekali lagi, kalau tidak jumpa, pesankan saja kepada Zul… Insyaallah, kalau tiada lintangan aral, saya akan sampai… Ishak tersenyum, mengangguk, lalu beredar ke arah rumah keluarga Zul seketika, sebelum melintas kembali di depan saya dengan memberikan satu lambaian lembut.

Entah lagu apa yang dimainkan semasa kami berbual itu. Keterujaan berjumpa rakan sembang itu membuatkan telinga saya terlalai sedikit.
Saya bangun mendapatkan semangkuk bubur kacang dan segelas lagi sirap. Sekali lagi, ini kenduri tunggal pada hari berkenaan. Saya tidak perlu gopoh. Masih ada ruang di hati… err.. di poerut untuk semagkuk bubur kacang.
Saya memerhati Zul yang memang ada gaya sebagai tuan rumah. Tersenyum mempersilakan tetamu yang baru disalami masuk ke dalam khemah, mengangguk hormat kepada tetamu perempuan. Tidak nampak pun kelibat samatuanya, Mariam.

Dari tong speaker, muncul lagu Ala Baladi, versi ghazal parti. Bukan versi asal dari Oum Kalthom atau penyanyi buta dari Kelantan yang terkenal dengan nama Abd Rahman Alabaladi itu. Sebelum itu adalah sekali saya mendengar DJ bersuara mempersilakan tetamu masuk ke khemah, mengambil makanan. Boleh tahan juga suara dan nadanya. A la arwah Pak Din [Azharuddin Othman], juruhebah popular di Radio Malaysia Alor Setar [kini Kedah FM] dahulu.

Sedang menghembus bubur yang agak panas, saya ternampak Mohd Fazli Hj Mahmud, yang di zaman perFalahan dahulu saya panggil CINONI, bangun. Dia menghala ke arah saya. Pengiring ADUN Pengkalan Kundor [dulunya Exco Kanan Negeri Kedah] itu tersenyum ramah ketika menyalami dan bertanya khabar saya. Menyangka saya bukan orang dengan keluarga Zul. Saya cuma katakan: Bukan orang dalam konteks bekas warga Falah… Tidak lama kami berbual kerana dia akan mengunjungi seorang rakan yang bakal turun petang itu untuk mengerjakan umrah. Melihat gayanya melihat jam, ketara ciri-ciri kesuntukan masa seorang YB… Saya lepaskan dia dengan mengimbau sedikit detik bersamanya di AlFalah sekitar TIGA PULUH tahun dahulu. Sama seperti Latif dan Ishak, Fazli berada di situ pada tahun 1983-86.

Lagu Ala Baladi belum habis. Bunyi arkodion dan seruling menenggelamkan suara penyanyinya. Rakaman studio amatur, bunyinya agak kurang memuaskan.

Saya menghabiskan bubur dan sirap. Tiada lagi teman berbual nampaknya. Saya menoleh ke arah Syarifah Maryani, kalau-kalau dia sudah selesai makan. Di situ baru saya nampak Mariam ada bersama sambil matanya menghala kepada samatuanya, Zul, yang sejarak 50 meter. Ingin juga menyapa mereka serta memaklumkan kehadiran diri ini tetapi memandangkan meja serta khemah mereka dipenuhi insan bertudung berwarna-warni, saya merasa kekok pula. Takut tetamu-tetamu itu menyangka saya tersilap khemah…

Saya bangun melangkah ke arah Zul. Bersalam dengannya sambil menitipkan salam buat Syarifah Maryani dan Mariam. Zul berikan saya satu bungkusan buah tangan.

Akhir sekali saya telah bertanya satu soalan yang membuatkan saya kesal hingga hari ini. Terasa amat bodoh. Melihat hanya Zul yang menyambut tetamu sejak awal tadi, saya pun bertanya kepadanya: “Lama mana ‘dah ayah takdak…?” 

Saya rasa senyum Zul menjadi kelat tiba-tiba. “Aih ada aih. Tu… ayah. Dekat tiang khemah ‘tu…” kata Zul. Saya memandang ke arah yang Zul tunjukkan. Hujung khemah berdekatan pintu rumah. Pakcik Shamsuddin sedang duduk [mungkin uzur] dan berbual serta bersalaman dengan beberapa tetamu lelaki. 

Patutlah selepas bersalam dengan saya tadi, Ishak menghala pula ke rumah tuan kenduri… 

Saya rasa cukup bersalah. Kesal yang amat sangat. Maaf, Zul.

Rasa kesal dan bersalah itulah yang membuatkan saya terlupa untuk bertanya tentang saudara kandung Zul, Siti Hawa

Saya berlalu dengan perasaan kesal dan bersalah itu. 

DJ memainkan lagu berdurasi 3 minit 32 saat, Anak Yang Pertama nyanyian Dato’ M Daud Kilau, setelah bercakap sedikit mengalu-alukan tetamu yang baru sampai.

Saya menoleh kepada DJ ketika melintasi khemahnya. Kami berbalas senyum dan saling mengangkat tangan serta mengangguk. 

Pandai betul DJ itu berperanan serta memilih lagu yang sesuai, kata hati saya ketika meniti titi untuk ke tempat motor diparkir.

Namun, sering terjadi, kalau saya memuji sahaja akan adalah yang menjadi tidak kenanya. 

Entah dipengaruhi atau diminta oleh sesiapa, ketika saya sedang memasukkan gear motor, DJ memasang lagu Anaknya Lima. Lagu nyanyian asli Oma Irama dan Inneke Kusumawati itu dinyanyikan semula oleh sepasang penyanyi dari Malaysia, yang gubahan muziknya ala kadar sahaja. [Oma Irama adalah nama asal RHOMA Irama, raja dangdut Indonesia yang kuat berdakwah itu. RH pada namanya itu bermaksud Raden Haji, digunakan sebaik pulang dari mengerjakan rukun Islam yang kelima].

Apa yang tidak kenanya? 

Kalau lagu Anak Yang Pertama tadi [lagu saduran yang asalnya juga dinyanyikan oleh Oma Irama], walaupun tidaklah begitu sesuai lagi tetapi bolehlah dianggap ditujukan kepada pengantin agar teruja dan cepat untuk menimang cahaya mata.

Tapi kalau lagu Anaknya Lima? [sebelum ejaan BM dan BI - Bahasa Indonesia - diseragamkan ejaannya pada tahun 70-an, dieja Anaknja Lima dipetik dari album Di Rumah Sadja]
 
Lihatlah liriknya:

Mahu ke mana adik yang manis
Jalan sendiri tiada berkawan
Di tengah rintiknya hujan gerimis
Hingga basah kuyup aku kasihan

Saya merenung ke langit. Silau mata.  Panas Tariquk… kata Sudin ketika membaca surat dari Rose, anak Pendekar Mustar, dalam filem Pendekar Bujang Lapok...

Aku hendak pergi ke rumah paman
Yang tiada jauh dari kampungku
Tiada kusangka hari ‘kan hujan
Hingga basah kuyup seluruh tubuh…

Saya membuka butang baju paling atas. Panas betul. Belakang baju saya dibasahi peluh.

Darjah kekaguman pada sang DJ tadi sedikit menurun…

Eh, apa yang saya repekkan ini?

Sekali lagi, saya memohon maaf, Zul.




2 comments:

Pawang Nujum said...

tidak dapat mengesan sebarang kesilapan kerana pilihan lagu yg tiada dalam senarai kotak fikiran...

Anonymous said...

Sy pun SMAAF thn 95-97CIKGU SHON USTAZ MAT RAMBO USTAZ MID CIKGU NON AJAQ MATE