{Nama-nama
yang diwarnakan hijau adalah nama bekas
pelajar atau petugas di SMA AlFalah}
Disc Jockey.
Singkatannya DJ.
Pengendali disk [disc]@ cakera @
piringhitam.
Pemacu lagu pun ya juga.
Asalnya digunakan untuk petugas
di disko. Memutarkan lagu-lagu pilihan pengunjung atau lagu popular semasa yang
terdapat di dalam cakera atau disc. Maka terkinja-kinjalah pengunjung disko
melatam lantai dewan tarian.
Juruhebah adalah nama lain untuk
penyiar di radio. Selain menyiarkan lagu, sering ada hebahan yang dilakukan
dari semasa ke semasa.
Juruhebah di radio. DJ di disko.
Namun sekarang hampir orang
terlupa akan perkataan JURUHEBAH itu. Petugas di radio sendiri mengaku mereka
adalah DJ. Mungkin benar jika hanya memutarkan lagu menjadi tugas asasinya.
Tetapi mereka juga berceloteh dan membuat hebahan…
Demikian nasib perkataan JURUHEBAH. Sesiapa
yang ketiadaan bahan untuk membuat tesis, bolehlah membuka muzium atau arkib
bagi mengkaji perkataan ‘kuno’ itu, mengkaji pengembangan dan penguncupannya…
Di rumah kenduri, DJ juga muncul.
Tetapi lazimnya, sahabat kita ini akan ikut berceloteh dengan ramahnya,
termasuk mempersilakan tetamu masuk ke khemah atau mewakili keluarga
mengucapkan terimakasih kepada tetamu yang bakal pulang… Di celah-celah celoteh
itu, dimainkanlah lagu-lagu pilihan hati, tidak semestinya hanya yang
bertemakan perkahwinan. Bukan setakat lagu Melayu, adakala dipasang juga lagu
Hindi, lagu Arab, lagu Inggeris, malah lagu Siam!
Zul dan Mariam pada 1 Februari 2013 [foto BBP] |
4 Februari lalu, hari Selasa,
saya ke rumah keluarga Zulkifli Shamsuddin
di Kampung Lahar Buaya, Tebengau. Hari itu berlangsung majlis resepsi buat
pasangan Roqieeb
& Baini, anak dan menantu terbaru Pakcik Shamsuddin.[Maaf, saya
tidak dapat menyertakan nama penuh pasangan pengantin baru itu kerana tidak
melihat/mendapat kad undangan. Undangan untuk saya via telefon. Nama mereka hanya saya dapati apabila membelek kepilan
pada beg buahtangan yang dibawa pulang…]
Saya pergi bersendiri. Cikgu Non yang mendapat undangan agak terlewat
sedikit dari saya, ketika dihubungi, memaklumkan mungkin tidak dapat ikut sama.
Maklumlah, Selasa adalah hari persekolahan di semua negeri di Malaysia. Cikgu
Non berada di sekolahnya di Sungai Limau sehingga jam 6 – ada kegiatan
ko-kurikulum.
Saya sampai lebih sedikit dari
jam 2 petang. Jalan ban timur dan barat rumah keluarga Zul dipenuhi
kenderaan. Saya mencelah dan dapat
memarkir motor lebih seratus meter dari kepala titi ke rumah kenduri. Di situ
saya bertembung dengan Mansuruddin. Tauke
kain baju di beberapa pekan sehari ini masih sependiam dulu. Hanya tersenyum
melihat saya. Mula bersuara, hanya setelah saya bersuara menyapa dan bertanya.
Kebetulan motor kami berada bersebelahan. Dia dalam proses untuk pulang
manakala saya dalam operasi untuk mengisi perut…
“Kaki tak berapa kuat dah…” katanya
dalam ayat paling panjang yang diucapkan hari itu, ketika menolak motornya ke
tengah jalan sebelum menendang benda alah
di bahagian kanan bawah. Saya tersengih kerana melihat dia juga cuma tersengih
sebelum memasukkan gear dan berlalu…
Dari atas titi, saya nampak Zul
berdiri di penjuru luar khemah paling hampir dengan tali air, menyalami semua
tetamu lelaki yang baru datang atau yang mahu pulang. Wajahnya bagai ditampal
senyum yang melekat kuat. Tidak lekang-lekang.
Saya melepasi titi sebaik lagu tahun
60-an, Inai Di Jari, berkumandang di tong
speaker. Nyanyian S Jibeng, versi tahun 80-an
yang lebih 10 saat dari durasi versi asal, 3:17. Bagi saya, versi asal lebih
menarik muziknya – terutama bahagian intro dan penutup - yang menggunakan sepenuhnya gitar, manakala
versi kemudian menggunakan accordion atau keyboard. Lirik kedua-duanya juga ada
banyak perbezaan. Suara arwah Jaafar Sidek [nama
asal Jibeng] pula pastilah berbeza untuk dua era
berkenaan. Akan kesannya kepada pendengar yang merasakan dirinyalah yang menyanyi dan berhiba itu tidaklah saya
arif lirik mana yang lebih menghiris…
Versi 60-an
Inai
disapu di jari tandanya mesra
memberitahu
hai dikau sudah dipunya
merah
bercahaya bibirnya penuh bermakna
di
jarinya manisnya tersarung cincin permata
Alangkah
indah temasya di malam itu
dua insan karam di lautan madu
menanam dendam
berahi satu persatu
berkucup alas
di bibir merayu-rayu
Apa
kiranya semua dendamnya itu
Dalam
gembira hai penuh duka sengsara
Seorang
insan turut memendam rasa
Patah
hatinya terkorban dalam bercinta
Alangkah
indah temasya di malam itu
dua insan
karam di lautan madu
Menanam
dendam berahi satu persatu
Berkucup alas
di bibir merayu-rayu
Andainya
itu sayang berupa erti
Setahun
janji ditempa hilang sendiri
Membuat
aku sedar diri sendiri
Inai
merahmu tanda sudah bersuami
Versi 80-an
Engkau
ketawa gembira di malam itu
Dikelilingi
hai ramai sanak saudara
Sedangkan
aku berduka kerana janjimu
Yang
manis bermadu tetapi bagai hempedu
Alangkah
indah temasya di malam itu
Jejarimu
di inai satu persatu
Memberitahu
dirimu sudah berpunya
Tinggallah
aku sendiri jiwa merana
Andainya
itu sayang berupa erti
Setahun
janji ditempa hilang sehari
Membuat
aku sedar diri sendiri
Betapa
hinanya padamu diriku ini
Saya menjeling DJ di bawah khemah
comelnya di sebelah kiri. Agak keras wajahnya tetapi mesra tersenyum di depan
sebuah mikrofon. Di sekelilingnya, beberapa orang pengagum tegarnya sedang
memerhati ke arah benda alah yang
sedang dikawal di atas meja khas.
Zul menyambut saya. Bertanya
tentang Cikgu Non dan saya menjawab setepatnya. Saya bertanya pula tentang
budak Falah yang dijemputnya. Zul menjawab seadanya. [Setakat yang saya tahu,
ketika menghubungi YB dari Nilai, NS kelmarinnya, dimaklumkan dia ada
mengunjungi Zul kerana terpaksa bertolak balik ke negeri Adat Perpatih itu
lebih awal – tidak sempat lagi makan kenduri. Malah ketika bercakap itu, dia
dan samatuanya sedang berada sekitar Tapah, Perak, menghala ke selatan…] Tidak
pula saya tahu berapa ramai di kalangan budak Falah yang Zul jemput, maka hal
berkenaan terhenti di situ.
Zul menyuruh saya ke acara
kegemaran: menyenduk nasi dan lauk. Saya yang sememangnya menyediakan satu
sudut di dasar usus untuk itu, tidak bertangguh lagi. Tambahan pula tetamu Zul
bukan hanya saya. Biarlah dia menyalami orang lain lagi…
Ketika saya menyenduk nasi,
berkumandang pula lagu Takwa Dan Iman, nyanyian Dato’ Ahmad Jais, [berdurasi 4 minit setengah]. Saya
menoleh ke arah khemah DJ. Walaupun tidak dilihatnya, saya berikan satu
senyuman khas untuk sang DJ. Pandai dia memilih lagu.
Saya jodohkan nasi tadi dengan
seketul ayam goreng berempah dan dua senduk gulai daging serta sedikit pemanis
– kuah paceri nenas. Lengkap, dan rasanya muat untuk ruang yang telah disimpan
buat mereka.
Semasa berpusing mencari tempat
parkir punggung, saya berselisih dengan Mohd Fazli
Hj Mahmud. Tetapi kesibukannya mengawal pinggan polisterin berisi penuh yang
sedikit melayah membuatkan matanya tidak bertembung mata saya. Dia menuju ke
arah bertentangan. Dia ke khemah di barat manakala saya menghala ke khemah di
sebelah timur. Biarlah dulu…
Saya mencari-cari meja yang
sesuai. Meja di khemah tetamu lelaki itu hampir penuh. Saya nampak Zulkifli Azizan menggamit saya, apabila saya
memerhatinya agak lama, mendera memori mencari nama penuhnya, setelah cam
bahawa itu memanglah dia – anak murid saya dari Sungai Nonang/Sungai Papan.
Salah seorang saudaranya kini berkahwin dengan gadis sekampung saya, berselang
hanya beberapa buah rumah, Salmiah Hassan.
Tetapi saya tidak pun
menghampirinya. Kerusi di sekeliling mejanya penuh ‘penduduknya’. Tidak
patutlah saya memaksa salah seorang bangun begitu sahaja. Saya berdiri terus
sehinggalah seseorang yang bersama dua anaknya di meja paling hampir dengan
tiang tiba-tiba bangun. Agaknya mereka hanya duduk-duduk sahaja sambil menunggu
salah seorang anaknya menghabiskan semangkuk bubur kacang.
Saya letakkan pinggan nasi di
situ, diiringi suara arwah Ahmad Jais. Saya berpatah ke meja lauk tadi untuk
mendapatkan segelas sirap yang terletak di atas kerus di sampingnya. Saya
letakkan gelas polisterin itu berhampiran pinggan nasi. Saya ke luar sedikit
dari khemah itu untuk melembabkan tangan. Saya letakkan diri di atas kerusi
lalu menadah tangan sedikit ,berdoa.
Maka bermulalah acara menyuap,
mengunyah, menelan dan memerhati. DJ memainkan pula lagu dari kumpulan Hijjaz , bertajuk Sumayyah.
Saya menikmati nasi dan lauk sambil menghayati lirik dari lantunan suara utama kumpulan
nasyid itu, Munif Ahmad.
Sendiri di meja yang boleh
digunakan oleh enam orang itu, lagi pula memang hanya ada satu kenduri pada
hari itu, saya menyuap dengan amat santai, mengunyah perlahan sambil mata
memerhati tetamu yang bertali arus. Hairan agaknya kerongkong kerana lama-lama
sekali barulah mendapat tugas untuk menghantar hasil kunyahan ke usus besar…
Saya nampak kelibat Khozali Something, budak Falah yang Cikgu Non
cukup ingat satu tabiatnya – sambil mata dikebilkan, dia akan mengetuk-ngetuk
jari telunjuk ke bahagian kanan dahi setiap kali disoal secara lisan,
seolah-olah ada jawapan di dalam tengkoraknya ketika itu, sedangkan jawapan
tidak pernah pun dizahirkan. [Saya bubuh
Something kerana memang lupa nama bapanya].
Khozali sedang berbual bersama rakannya di bawah khemah yang lain. Ingin
berjumpanya selepas itu, malangnya saya terlupa ketika berlalu kemudiannya.
Habis lagu Sumayyah, dimainkan
pula lagu Nur Kasih nyanyian kumpulan Inteam, sepanjang 4 minit 33 saat. Lembut, mendayu dan
entah kenapa, menyayukan pula.
Mahu benar saya kenali DJ di
khemah khas itu. Bukan sekadar pilihan lagu yang sesuai didengari dan tidak
membingitkan seperti di sesetengah rumah kenduri, dia sendiri seolah berfungsi
sebagai Disc Jockey sejati, yang asli. Semenjak saya masuk ke kampung keluarga
Zul sehinggalah lagu keempat yang didengari itu, belum sepatah pun keluar
ucapan atau celotehnya. Tidaklah terjerit-jerit atau bersuara seperti penjual
ubat kuat di kakilima. Bukan sekali saya jumpa DJ di rumah kenduri yang terlalu
ramah. Siap ada teka-teki, mengulas baju tetamu yang dikenalinya,
mengulang-ulang menu yang semua tetamu tahu dan seumpamanya. Paling saya tidak
faham, sibuk sangatkah hingga perlu bercakap ketika saya dan tetamu lain sedang
menikmati sama lagu yang diputarkan…
Berfikir begitu sambil mengunyah,
saya ternampak Syarifah Maryani Syed Omar
bersama anaknya di meja kedua di bawah khemah tetamu perempuan. Rakan samatua
Zul, Mariam Ismail itu sedang berbual dengan
seorang ibu muda sambil masing-masing menyuap nasi. Lama juga saya memerhatinya
tetapi matanya yang juga sesekali melilau melihat tetamu lain, tidak pula
bertembung dengan mata saya.
Tiba-tiba bahu saya ditepuk. Saya
mendongak. Seorang lelaki yang wajahnya saya kenal menghulurkan tangan.
Namanya? Ini sedikit masalah sebab memori saya agak perlahan mengimbas. Dia
tersenyum.
“Tak ingat apa?” katanya.
“Ingat. Mana boleh tak ingat”
balas saya separuh berbohong. Tahu dia budak Falah era awal 80-an tapi tidak
perasan akan namanya…
Wajahnya tidak berubah. Cuma
matanya pada bahagian kornea agak kelabu, atau kekuningan. Ishak? Ya, Ishak …
err… Ishak apa, ya?
“Ishak
Ibrahim, ‘kan?” kata saya yakin setelah memori kembali normal.
Dia mengangguk, tersenyum. Senyum
saya lagi lebar agaknya kerana berjaya mengesan nama penuhnya sekali.
“Cam lagi noo?” Ishak
mengemukakan soalan yang cukup klise.
“Cam… Cuma keliru tengok mata
‘tu… Ghona [warna] dia lain banyak
dari dulu…” saya cuba menyembunyikan kekalutan mencari namanya tadi.
“Mata tua, cikgu oii..” balas
Ishak, terus tersenyum.
“Umur berapa la ‘ni?” tanya saya
pula.
“Empat puluh sembilan…” kata
Ishak.
Saya tersengih. Mendengar Ishak
menyebut angka usianya, macamlah saya pula baru berusia dua puluh sembilan…
Saya mengajaknya duduk walaupun
dua kali ditolaknya kerana ada urusan sedikit di Simpang Empat. Akhirnya Ishak
duduk juga di depan saya setelah timbul soal kerjabuatnya sekarang.
Ishak adalah generasi perintis
penjenamaan semula AlFalah pada tahun 1983. Memang asal dari Tebengau, pernah
sekali saya ke rumahnya kerana satu majlis kenduri serta dua tiga kali pula
singgah beraya di situ ketika zaman guru-guru lelaki Falah dahulu yang masih
bujang [ Cikgu Rahim Daud, Ustaz Zubaidi Ariffin dan saya] rajin berkonvoi
bersama budak Falah menjelajah dari kampung ke kampung sepanjang musim raya.
Ada sekali dua saya berjumpa
Ishak setelah tamat zaman perFalahannya. Kali terakhir ketika dia pulang
bercuti dari Langkawi. ‘Itu cerita lama. Bermacam kerja saya buat selepas itu.
La ‘ni dok buat bendang saja…’ kata Ishak dalam perbualan itu.
Saya terlupa bertanya jumlah
anaknya. Cuma yang pasti ada seorang anak daranya – sulung - berusia suku abad,
tinggal di Kay El. Saya tersenyum mendengarnya kerana berdasarkan umur mereka
berdua, paling lewat Ishak berkahwin adalah pada usianya 23 tahun. Usia di mana
saya dan para sahabat saya - Cikgu Non, Cikgu Rahim, Ustaz
Fairose dan Cikgu Ahmad Ammini -
masih belum pun terfikir untuk bermertua…
Daripada Ishak juga saya mendapat
tahu tentang rakan sekampungnya, Abd Latif Ibrahim @ Rahim, ketua pelajar AlFalah tahun
1983-1986, kini mengajar di sebuah sekolah agama di Beseri. [Satu sumber lain
menyatakan Ustaz Latif mengajar di Titi Besi. Entahlah. Kalau ada sesiapa yang
tahu yang mana tepat, sila maklumkan di ruang
komen].
Sedang berbual itu, Ishak
menunjukkan seorang perempuan berbaju biru yang sedang melintas di depan kami
adalah isterinya. Kami bertukar senyum. Ishak pula bangun dan bersalam, meminta
diri. “Kalau buat kenduri, jangan lupa panggay
noo..” kata saya. Ishak tersenyum, meminta nombor rumah dan lorong di
kejiranan saya. Entah disimpan atau tidak, tetapi saya ingatkan sekali lagi,
kalau tidak jumpa, pesankan saja kepada Zul… Insyaallah, kalau tiada lintangan
aral, saya akan sampai… Ishak tersenyum, mengangguk, lalu beredar ke arah rumah
keluarga Zul seketika, sebelum melintas kembali di depan saya dengan memberikan
satu lambaian lembut.
Entah lagu apa yang dimainkan
semasa kami berbual itu. Keterujaan berjumpa rakan sembang itu membuatkan
telinga saya terlalai sedikit.
Saya bangun mendapatkan semangkuk
bubur kacang dan segelas lagi sirap. Sekali lagi, ini kenduri tunggal pada hari
berkenaan. Saya tidak perlu gopoh. Masih ada ruang di hati… err.. di poerut
untuk semagkuk bubur kacang.
Saya memerhati Zul yang memang
ada gaya sebagai tuan rumah. Tersenyum mempersilakan tetamu yang baru disalami
masuk ke dalam khemah, mengangguk hormat kepada tetamu perempuan. Tidak nampak
pun kelibat samatuanya, Mariam.
Dari tong speaker, muncul lagu Ala Baladi, versi ghazal parti. Bukan versi asal dari Oum Kalthom atau penyanyi buta dari Kelantan yang
terkenal dengan nama Abd Rahman Alabaladi itu.
Sebelum itu adalah sekali saya mendengar DJ bersuara mempersilakan tetamu masuk
ke khemah, mengambil makanan. Boleh tahan juga suara dan nadanya. A la arwah Pak
Din [Azharuddin Othman], juruhebah popular di Radio Malaysia Alor Setar
[kini Kedah FM] dahulu.
Sedang menghembus bubur yang agak
panas, saya ternampak Mohd Fazli Hj Mahmud, yang di zaman perFalahan dahulu
saya panggil CINONI,
bangun. Dia menghala ke arah saya. Pengiring ADUN Pengkalan Kundor [dulunya
Exco Kanan Negeri Kedah] itu tersenyum ramah ketika menyalami dan bertanya
khabar saya. Menyangka saya bukan orang dengan
keluarga Zul. Saya cuma katakan: Bukan orang
dalam konteks bekas warga Falah… Tidak lama kami berbual kerana dia akan
mengunjungi seorang rakan yang bakal turun
petang itu untuk mengerjakan umrah. Melihat gayanya melihat jam, ketara
ciri-ciri kesuntukan masa seorang YB… Saya lepaskan dia dengan mengimbau
sedikit detik bersamanya di AlFalah sekitar TIGA PULUH tahun dahulu. Sama
seperti Latif dan Ishak, Fazli berada di situ pada tahun 1983-86.
Lagu Ala Baladi belum habis.
Bunyi arkodion dan seruling menenggelamkan suara penyanyinya. Rakaman studio
amatur, bunyinya agak kurang memuaskan.
Saya menghabiskan bubur dan
sirap. Tiada lagi teman berbual nampaknya. Saya menoleh ke arah Syarifah
Maryani, kalau-kalau dia sudah selesai makan. Di situ baru saya nampak Mariam
ada bersama sambil matanya menghala kepada samatuanya, Zul, yang sejarak 50
meter. Ingin juga menyapa mereka serta memaklumkan kehadiran diri ini tetapi
memandangkan meja serta khemah mereka dipenuhi insan bertudung berwarna-warni,
saya merasa kekok pula. Takut tetamu-tetamu itu menyangka saya tersilap khemah…
Saya bangun melangkah ke arah
Zul. Bersalam dengannya sambil menitipkan salam buat Syarifah Maryani dan
Mariam. Zul berikan saya satu bungkusan buah tangan.
Akhir sekali saya telah bertanya
satu soalan yang membuatkan saya kesal hingga hari ini. Terasa amat bodoh.
Melihat hanya Zul yang menyambut tetamu sejak awal tadi, saya pun bertanya
kepadanya: “Lama mana ‘dah ayah takdak…?”
Saya rasa senyum Zul menjadi
kelat tiba-tiba. “Aih ada aih. Tu… ayah. Dekat tiang khemah ‘tu…” kata Zul.
Saya memandang ke arah yang Zul tunjukkan. Hujung khemah berdekatan pintu
rumah. Pakcik Shamsuddin sedang duduk [mungkin uzur] dan berbual serta
bersalaman dengan beberapa tetamu lelaki.
Patutlah selepas bersalam dengan
saya tadi, Ishak menghala pula ke rumah tuan kenduri…
Saya rasa cukup bersalah. Kesal
yang amat sangat. Maaf, Zul.
Rasa kesal dan bersalah itulah
yang membuatkan saya terlupa untuk bertanya tentang saudara kandung Zul, Siti Hawa …
Saya berlalu dengan perasaan
kesal dan bersalah itu.
DJ memainkan lagu berdurasi 3
minit 32 saat, Anak Yang Pertama nyanyian Dato’ M Daud Kilau, setelah bercakap sedikit
mengalu-alukan tetamu yang baru sampai.
Saya menoleh kepada DJ ketika
melintasi khemahnya. Kami berbalas senyum dan saling mengangkat tangan serta
mengangguk.
Pandai betul DJ itu berperanan
serta memilih lagu yang sesuai, kata hati saya ketika meniti titi untuk ke
tempat motor diparkir.
Namun, sering terjadi, kalau saya
memuji sahaja akan adalah yang menjadi tidak kenanya.
Entah dipengaruhi atau diminta
oleh sesiapa, ketika saya sedang memasukkan gear motor, DJ memasang lagu Anaknya Lima. Lagu nyanyian asli Oma Irama dan Inneke
Kusumawati itu dinyanyikan semula oleh sepasang penyanyi dari Malaysia,
yang gubahan muziknya ala kadar sahaja. [Oma Irama adalah nama asal RHOMA Irama, raja dangdut Indonesia yang kuat
berdakwah itu. RH pada namanya itu bermaksud Raden Haji, digunakan sebaik pulang dari mengerjakan
rukun Islam yang kelima].
Apa yang tidak kenanya?
Kalau lagu Anak Yang Pertama tadi [lagu saduran yang asalnya juga
dinyanyikan oleh Oma Irama], walaupun tidaklah begitu sesuai lagi tetapi
bolehlah dianggap ditujukan kepada pengantin agar teruja dan cepat untuk menimang
cahaya mata.
Tapi kalau lagu Anaknya Lima? [sebelum ejaan BM dan BI - Bahasa Indonesia - diseragamkan ejaannya pada tahun 70-an, dieja Anaknja Lima dipetik dari album Di Rumah Sadja]
Lihatlah liriknya:
Mahu ke mana adik
yang manis
Jalan sendiri tiada
berkawan
Di tengah rintiknya
hujan gerimis
Hingga basah kuyup aku kasihan
Saya merenung ke langit. Silau
mata. Panas
Tariquk… kata Sudin ketika membaca surat
dari Rose, anak Pendekar
Mustar, dalam filem Pendekar Bujang Lapok...
Aku hendak pergi ke
rumah paman
Yang tiada jauh
dari kampungku
Tiada kusangka hari ‘kan hujan
Hingga basah kuyup seluruh tubuh…
Saya membuka butang baju paling
atas. Panas betul. Belakang baju saya dibasahi peluh.
Darjah kekaguman pada sang DJ
tadi sedikit menurun…
Eh, apa yang saya repekkan ini?
Sekali lagi, saya memohon maaf,
Zul.
2 comments:
tidak dapat mengesan sebarang kesilapan kerana pilihan lagu yg tiada dalam senarai kotak fikiran...
Sy pun SMAAF thn 95-97CIKGU SHON USTAZ MAT RAMBO USTAZ MID CIKGU NON AJAQ MATE
Post a Comment