Nota:
Saya muatkan semula [secara terpisah] cerita kenduri ini kerana sudah mula mendapat kad jemputan kenduri untuk bulan Nov/Dis ini. Boleh saja anda abaikan jika pernah membacanya tahun lalu. Tapi, apa salahnya memori disegarkan semula. Eleh, lagu lama yang dirakam semula pun tetap didengar orang....Sudah hampir setahun kita lepas dari 'Kiamat' yang diuar-uarkan itu rupanya. Akan adakah lagi kenduri seperti di dalam catatan ini?
22 Disember 2012.
Saya muatkan semula [secara terpisah] cerita kenduri ini kerana sudah mula mendapat kad jemputan kenduri untuk bulan Nov/Dis ini. Boleh saja anda abaikan jika pernah membacanya tahun lalu. Tapi, apa salahnya memori disegarkan semula. Eleh, lagu lama yang dirakam semula pun tetap didengar orang....Sudah hampir setahun kita lepas dari 'Kiamat' yang diuar-uarkan itu rupanya. Akan adakah lagi kenduri seperti di dalam catatan ini?
*************************************************
22 Disember 2012.
Sehari selepas kiamat itu!
Hari yang cukup sibuk.
Ada empat jemputan kenduri.
Jiran pula bersiap untuk kenduri pada esoknya. Pagi, menantu emak membantu rakan-rakan kejiranan kami membasuh ayam yang akan digoreng pada petangnya. Saya menghadap komputer sekejap bagi menjenguk fb serta statistik blog.
Menjelang tengah hari, menantu emak mengundur diri, bersiap bersama cucu-cucu emak untuk ke dua rumah kenduri di sekitar Kubor Panjang. Mengetahui saya tidak akan dibawa bersama walaupun jenuh merengek, maka saya keluar menggoreng ayam, yang oleh sebab-sebab tersendiri, telah ditukarkan sedikit jadual asalnya…… hehehehe.
Lega.
Pertama, jemputan untuk dua kenduri selesai kerana telah ada wakilnya. Kedua, dengan perubahan jadual menggoreng ayam itu, dapatlah saya ikut serta, dan takdirnya terpaksa ditinggalkan proses itu pada petang nanti, tidaklah dikatakan saya tidak berdunia dengan jiran-jiran….
Dua kali ayam diangkat dari kawah, Cikgu Non muncul. Dia ikut membantu menggoreng ayam sambil menolong mengurangkan simpanan gula kopi dan kuih di rumah bakal tuan kenduri itu ….. Katanya dia baru saja balik dari satu kenduri di Kuala Kangkong.
“Macam mana kita petang ‘ni?” Tanya Cikgu Non. Walau ada dua orang jiran kami yang lelaki dan sepuluh lagi yang perempuan, hanya saya yang faham soalan Cikgu Non itu. Saya menjawab apa yang sepatutnya.
“Kita pi lewat sikit. Agak-agak orang tak berapa ramai ‘dah…….” Kata Cikgu Non.
“Tengok rumah Yusri hari ‘tu. Kita pi lewat, sampai depan khemah boleh parking kereta……”
“Baru boleh bersembang dengan tuan rumah…….” Kata saya yang tentunya merupakan kata Cikgu Non juga. Dalam bab kenduri ini kadangkala kami bergilir melafazkan dialog yang senada……
Ketika seorang jiran lain mencadangkan saya masuk ‘berkepak’ dahulu, sempat saya katakan kepada Cikgu Non, “Dalam pukul tiga setengah la nooo?”
Berkepak? Maksud jiran itu adalah mengangkat takbir………
Selesai solat, saya keluar sebentar. Panas memijar. Saya masuk semula. Niatnya untuk membelek fb sahaja sebentar. Namun sebaik menjengah ke blog ini untuk melihat statistik pembaca hari itu, saya teringat kepada Pakya. Masih basah ingatan akan kunjungan kami pada petang sebelumnya.
Saya membuka kotak catatan baru, mencari tajuk yang sesuai. Kerana baru sahaja menulis tentang Abby Zack, dan mengingat nama sebenar Pakya adalah Zakaria, terus datang Zack ke minda.
Bermenung seketika mencari pembuka kata, saya mencari dahulu foto motor Suzuki RC 80. Sebaik memperolehnya dan memasukkan ke dalam kotak catatan, saya pun mula menulis……..
Terlupa pada gorengan ayam ……
Telefon bergegar pada jam 3:06 petang. Panggilan dari Cikgu Abdur Rahim Daud. Dia yang dalam perjalanan pulang dari Pendang, bertanyakan soalan yang sama dengan yang Cikgu Non berikan tadi. Saya memberitahu waktu yang kami persetujui untuk ke Batas Paip. Dia akur. Sementara itu,Cikgu Rahim akan ke Kuala Kangkong terlebih dahulu, rumah yang Cikgu Non telah kunjungi awalnya.
Sebenarnya, tiga hari sebelum itu, saya sudah menghubungi Cikgu Rahim tentang dua kenduri di rumah Budak Falah itu. Dia berjanji akan memaklumkan kepada saya akan keadaannya apabila tiba hari kenduri – sama ada boleh pergi atau tidak. Dan panggilan itu memang saya tunggu….
Saya kembali tenggelam dengan kisah Pakya. Agak lambat proses mencatat kerana mencari perkataan yang sesuai bagi menggambarkan keadaan hidup Pakya kini. Sambil itu kenangan bersamanya sesekali datang menjengah……. Kian perlahanlah aliran ayat untuk mencatat.
Jam 3:56, telefon bergegar. Ada panggilan dari Cikgu Non. Tidak tahulah apa yang difikirnya melihat saya tidak keluar-keluar sejak tadi….
“Dalam sepuluh minit lagi kita pi……” itu sebahagian katanya. Suaranya bersama jiran-jiran di luar jelas kedengaran. Rupanya lama juga saya tenggelam bersama kisah Pakya……
Ketika memasuki kereta Cikgu Non, telefon bergegar pula. Panggilan dari Cikgu Rahim. Saya terlupa untuk memberitahu Cikgu Non bahawa 50 minit yang lalu Cikgu Rahim ada menelefon saya. Kami bercadang berjumpa di Batas Paip dan terus ke Changlon. Saya belum membincangkan dengan Cikgu Non rancangan ke utara Kedah itu. Tidak pasti pula sama ada Cikgu Non akan ikut ke situ.
Saya serahkan telefon kepada cikgu Non. Menyuruhnya bercakap dengan Cikgu Rahim. Selepas beberapa ‘hu dan ha’, Cikgu Non menyerahkan kembali telefon kepada saya. Sah, kami bertiga akan sekereta ke Changlon juga. Cikgu Rahim menunggu kami di Simpang Kangkong – Yan – Batas Paip. Keretanya ditinggalkan di perkarangan surau Hj Azhari, dekat situ. Demikian maklumat dari Cikgu Non.
Selepas melalui kesibukankan lalulintas yang agak teruk di Simpang Empat, sebaik melintasi SMK Tunku Abdul Aziz, Cikgu Rahim memanggil lagi. Agaknya dia terasa lama menanti kami. Saya maklumkan bahawa kami semakin menghampirinya setelah tersekat dalam kesesakan jalan.
Sekali lagi kesesakan kami alami tatkala sampai di simpang ke Batas Paip. Cikgu Rahim yang menggelisah di seberang jalan akhirnya menyertai kami pada pukul 4:25. Dia masih kekenyangan setelah baru keluar dari khemah kenduri di Kuala Kangkong.
Gerimis baru bermula manakala di arah utara kelihatan awan hitam. Sedikit ke timur - arah Simpang Kuala - kami nampak gumpalan awan telah bertukar menjadi hujan.
Apakah suasana kenduri di rumah Babuji berulang di mana kami terpaksa duduk di tapak khemah yang kebasahan?
Selepas SK Tebengau, sekali lagi jalan menjadi sesak. Lebih 250 meter dari simpang ke Teluk Bagan. Cikgu Non mula mengomel. “Hai, seumur-umur tak pernah sesak macam ‘ni di sini….” Cikgu Rahim turut mengakuinya. Lama juga kereta hanya berengsot…
Sementara itu, cikgu berdua itu merokok manakala saya menengok! Cikgu Rahim Cuma meminta rokok daun tetapi Cikgu Non mempelawa rokok bertapis…. Kemudian Cikgu Non menyuruh Cikgu Rahim menggagau di bawah tempat duduknya – ada sekarton lagi stok rokok di situ….. Soal terputus bekalan tidak perlu difikirkan!
Sampai di Batas Paip, mereka bertanya jalan ke rumah kenduri. Dalam berbual kami terlajak 15 meter dari jalan masuk – Lorong Tok Nor Tukang. Cikgu Non mengundurkan kereta. Memasuki lorong itu, ternampaklah kesan bekas hujan. Hujan baru ‘beradu’ kata orang Baling…..
Tidak banyak kereta di tepi jalan berdekatan rumah kenduri. Almaklumlah, waktu pilihan kami itu bukan waktu banyak iklan – waktu prima…..
Ketika belum keluar dari kereta lagi kami sudah nampak salah seorang anak tuan rumah. Sosok yang agak familiar. Kalau dia membelakang serta pakai sari pun kami boleh kenal….
Dia mempersilakan kami menghampiri khemah. Bersalam dengan ayahnya yang terus menjemput kami mengambil makanan. Saya menuju ke bekas nasi yang terbuka. Ada tiga bunjut sup [agaknyalah] di atas nasi tersebut. Saya menggawangkan tangan di permukaannya untuk mencari aroma. Saya capai pinggan lalu mengurangkan kandungan bekas nasi itu sesedap tangan. Saya senduki ayam dua ketul serta isi gulai ikan kering bersama penemannya, buah seribu mata – nenas. Sebelum melangkah ke kerusi, saya sempat menjeling beberapa ekor itik yang ikut memerhatikan kami dari tepi pagar mereka – berhampiran tempat memasak. Walaupun tidak bersuara sepatah pun, saya faham bahasa badan mereka. “Nasib baik betul kami hari ini!” mafhum dari bahasa itu daripada salah seekor itik di situ…
Di meja di bawah khemah bertentangan rumah pengantin, saya duduk menghadap rumah itu. Cikgu Non sampai dengan longgokan nasi dan lauk yang agak lumayan. Cikgu Rahim hanya membawa mangkuk polisterin sebesar penumbuk berisi bubur kacang berperisa durian.
“Hang tak mau nasi ka Rahim?” Tanya Cikgu Non.
“Aku baru sudah makan di rumah Halim di Kangkong tadi…” balas Cikgu Rahim.
“Sedap nasi ni…..lauk pun sedap, rugi kalau tak balun…” saya tumpang semulut. Anak tuan rumah yang mengiringi kami tersengih.
“Sat gi nak makan di Changlon pula…..”kata Cikgu Rahim.
“Kena tibai sini dulu. Kira nasibla. Sat ‘ni pi sana, lauk habih, melepas saja…” kata Cikgu Non, lebih kurang. Saya bersetuju tapi tak terucap kerana mulut sedang disumbat lauk berbalut nasi. Pakai angguk-angguk saja, macam di negeri Jepun….
Anak tuan rumah yang mengiringi kami membawakan tiga gelas air bercampur sedikit gula yang dimerahkan oleh pencelup. Kemudian dia duduk lalu memperkenalkan tiga rumah sederet di sisi khemah. Rumah abangnya paling depan manakala rumah kenduri – rumah ayahnya - terletak di belakang. Rumahnya di tengah-tengah. “Yang warna hijau!” beritahunya. Saya mencari hijau yang dikatakannya. “Kira hijaulah ‘tu…” katanya apabila saya katakan warna rumahnya bukanlah hijau sangat. Peminat tegar warna hijau dan lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin itu tersengih. Terlupa untuk bertanyanya kenapa air minuman di depan kami tidak dihijaukan sahaja. Demikian pula plastik alas meja…..Hehehehe.
Melihat keasyikan kami menyuap, dia yang masih belum kebah dari demam menggunakan gajet terbarunya terus menghalakan lensa ke arah kami. “Dia nak masuk dalam fb la ‘tu….” Kata Cikgu Non tanpa menghentikan kunyahan di mulut serta gaulan di pinggan. Saya mengikut jejaknya. Proses peristalsis sedang berlaku di dalam tenggorok kami, bagaimanakah dapat memberikan satu pos istimewa! Padanlah!
Selepas itu anak tuan rumah yang mengiringi kami, ke rumah Ustaz Jamal Huri yang sepelaung saya jaraknya dari situ, walau kami cuba menahannya.
Cikgu Rahim berjaya menghabiskan bubur yang ratusan biji kacang hijaunya itu. Aroma durian yang diaduk bersama bubur itu amat cepat meresap ke deria bau. Lebih-lebih lagi di dalam udara yang kedinginan setelah baru disergah hujan.
Ikan layaran: kau ada? |
“Cikgu nak buboq?” Tanya anak tuan rumah yang mengiringi kami, sebaik nampak saya dan Cikgu Non sedang dalam dua tiga suapan terakhir. Kami mengangguk. “Ambil mai tiga mangkuk!” pinta Cikgu Rahim. Aik!? “Sedap buboq ‘ni.” Cikgu Rahim memberi alasan kukuh – hatta boleh sependapat diterima oleh Korea Utara mahupun Korea Selatan sekali pun telah lebih setengah abad bermusuhan…..
Anak tuan rumah yang mengiringi kami memanggil kakaknya, Noraini Osman untuk bertemu bekas guru-gurunya ini. Noraini yang sejak tadi terjenguk-jenguk, datang menyapa tapi agak kekok ketika diperkenalkan kepada Cikgu Rahim. Bekas cikgu itu pula tidak sangat mengingati rupa Noraini agaknya, ikut kekok sebelum si adik, anak tuan rumah yang mengiringi kami, memperkenalkan, “Kak saya, Noraini…. “ sebelum menoleh ke arah kakaknya dan berkata pula, “Cikgu Rahim ‘ni, takkan tak ingat. Cikgu Sejarah!” Noraini dan Cikgu Rahim hampir serentak memuncungkan mulut menyebut ‘O’ tanpa bunyi.
Sudah lama masing-masing membawa haluan hidup. Masa berputar, mata berpinar, sosok bertukar. Saya sendiri masih membayangkan raut wajah Noraini dalam seragam sekolah menanti bas MARA pada awal tahun 90-an dahulu. Takdirnya jika bertembung di ‘luar sana’, mungkin saya tidak dapat mengenalinya dengan pantas. Akan Cikgu Non pula entahlah masih dapat mengecam wajah Noraini atau tidak.
Setelah berbual sebentar tentang kehidupan terkini, serta menyatakan lokasi rumahnya sambil menunjukkan suaminya yang sedang sibuk membungkus nasi dan lauk di meja berhampiran tempat memasak, bersebelahan pagar itik tadi, Noraini meminta diri.
Anak tuan rumah yang mengiringi kami meletakkan tiga mangkuk bubur kacang perisa durian di atas meja tepat ketika saya dan Cikgu Non sedang melicinkan pinggan nasi. Saya menjeling mencari air membasuh tangan. Anak tuan rumah yang mengiringi kami mengesan niat saya. Dia cepat bertindak. Itulah harinya pertama kali di rumah kenduri, ada orang mengangkat bekas yang boleh mengisi 25 liter air jernih kepada saya untuk mencuci tangan! Anda pernah alami?
Zabarina |
Azren |
[Di dalam fb kemudiannya hanya ada foto Zabarina dan Azren. Mungkin ketika Babuji hadir, anak tuan rumah yang mengiringi kami itu, sibuk....]
Ketika kami mula menikmati bubur itu, Jamal Huri muncul. Sebagai langkah keselamatan, agaknya, maka dia datang bersama salah seorang anaknya. Ustaz muda di SK Seberang Nyonya itu sudah amat lama meninggalkan kami di AlFalah, namun tetap ramah berbual. Bercerita tentang keluarga sendiri serta keluarga ayamnya yang enam tujuh ekor itu. Serta menyentuh sedikit tentang kenalan kami yang mengajar sama di sekolahnya.
Sementara itu, anak tuan rumah yang mengiringi kami, masuk ke rumah dan keluar bersama tujuh beg berisi buah tangan – kuih, gula-gula dan telur. Semuanya dilonggokkan di depan kami. Sebagai insan yang faham ilmu tatarakyat, kami tahu diri. Takkanlah tiga orang harus mencempung hingga tujuh beg! Kami menolak diperlakukan begitu. Anak tuan rumah yang mengiringi kami berkeras, “Tak apa. Semua untuk cikgu…”katanya. “Ada banyak lagi di dalam rumah!”sambungnya.
Mendengar ayat sambungan itu, saya mencapai semua beg itu lalu mencantum isinya menjadi hanya tiga beg. Buat diambilnya lagi di dalam rumah, selain malu kami membawanya nanti, takut pula hujung suku pertama tahun depan, anak kami rompong mulut dihakis manisan!
Anak tuan rumah yang mengiringi kami tersengih.
Jamal Huri terus bersama kami, terus berbual. Berkisah asal usul pengantin perempuan hari itu yang bertugas di SK Seberang Nyonya juga. Orang Kuala Nerang. Ibu tunggal beranak satu manakala pengantin lelaki pula , adik kepada anak tuan rumah yang mengiringi kami, bapa tunggal beranak dua. Demikian aturan takdir.
Seketika kemudian, tuan rumah datang bersama empat lima beg nasi bersama lauk-pauknya. Diletakkannya di atas meja di sisi saya. Kami terkejut. Kami memberitahu akan ke Changlon pula selepas ini. Lagi pula takkanlah empat lima beg itu mahu dicantum pula menjadi tiga sahaja….. Mujurlah suami Noraini datang membuat pencerahan. Selain untuk kami, dua beg selebihnya diamanahkan kepada Jamal Huri untuk diserahkan kepada dua ahli keluarganya. Lega rasa hati. Tuan rumah tersenyum, sambil sekali lagi meminta kami menerima bungkusan itu. Kami pun menerimalah dengan hati dan tangan terbuka. Tuan rumah berlalu.
“Tak kan nasi dan lauk saja. Bubur ‘tu bungkuslah sama barang lima enam bekas!” Kata saya tetapi kerana tidak tahu kepada siapa harus ditujukan, kata-kata itu saya simpan sendiri. Hehehehe.
Kami terpaksa meminta diri. Rumah kenduri berikutnya bukan di Mentalon, tetapi di Changlon! Lebih daripada 50km jauhnya.
Lagi pula, awal-awal lagi Cikgu Rahim berharap agar dapat menyaksikan perlawanan akhir bolasepak Piala AFF Suzuki pada jam 8 malam nanti. Teringin menikmati kepuasan tatkala melihat pemain dan penyokong pasukan Thailand merasakan pedihnya kekalahan…….
Jamal Huri cuba menahan. Mencuba sahaja. Kemudian terpaksa akur dan bercadang mengajak kami keluar minum teh bila-bila …… Cikgu Non tersengih dan membalas, “Hang tak tau kami macam mana….. Ready saja!”
Selepas berjumpa sekali lagi dengan tuan rumah, melintasi sekawan itik di tepi pagarnya, kami melangkah keluar. Cikgu Non meminta saya memasukkan hal itik ke dalam blog kelak. Itik-itik ikut tergelak bersama saya….. Seronoklah agaknya kerana tidak menjadi korban pada hari itu!
Anak tuan rumah yang mengiringi kami dari awal tadi, menghantar kami hingga ke jalan mini di tepi tali air. Kami mengajaknya untuk ikut ke Changlon namun ditolaknya dengan alasan yang sesuai.
Saya bertanya anak tuan rumah yang mengiringi kami, di manakah isterinya kerana sepanjang kami berada di situ, tidak sekali pun dia memperkenalkan menantu ayahnya itu. “Di dalam rumah kut…” jawabnya.
Saya sedikit kecewa. Sebabnya? Sila baca hingga titik terakhir….
Malam itu, saya sedang menghabiskan catatan tentang Pakya, apabila teringat bungkusan nasi dan lauk dari Batas Paip yang dikeluarkan dari bonet kereta Cikgu Non.
Sedap, memang. Tetapi perut telah awal lagi mengangkat bendera putih. Sementelah, awal sedikit tadi saya masih menyumbatnya dengan separuh pinggan bihun goreng ketika ikut bertahlil di rumah jiran kami.
Saya keluar ke bawah khemah di depan rumah kami. Beberapa jiran sedang berkumpul – berbual dan menumis kuah masak merah untuk disanbdingkan dengan ayam yang digoreng siangnya bagi satu menu kenduri esok. Saya mempelawa sekumpulan jiran wanita menjamah nasi dan lauk dari Batas Paip itu. Semuanya sudah kekenyangan. Mujurlah tuan rumah kenduri esoknya didatangi anak menantu yang belum makan. Ke dalam perut merekalah nasi dan lauk dari Batas Paip ditempatkan…..
Masuk ke rumah selepas lewat malam, saya membuka laman fb. Terpacullah foto ini:
Entah mengapa dengki pun datang. Hehehehe. Saya terus menghantar komen:
Berbezanya darjat depa dengan kita, Cikgu Mohd Zainon Puteh dan Cikgu Rahim Jpsb nooo. Depa dia bagi makan dalam istana, siap berkipas. Ini tidak adil,tidak adil bagi kita. Kronisme di mana-mana.... hehehehe.
Terhenti niat memulakan catatan tentang seharian itu dek meluangkan masa melayan fb....
Dua hari kemudian, setelah reda sedikit dari kenduri yang mesti dihadiri, saya menghadap komputer untuk berkisah tentang hari pertama selepas kiamat itu. Sukar rupanya untuk mencari punca bagi memulakan catatan.Saringan mesti dilakukan sebaik mungkin demi menjaga hati beberapa orang.
Dua hari kemudian, setelah reda sedikit dari kenduri yang mesti dihadiri, saya menghadap komputer untuk berkisah tentang hari pertama selepas kiamat itu. Sukar rupanya untuk mencari punca bagi memulakan catatan.Saringan mesti dilakukan sebaik mungkin demi menjaga hati beberapa orang.
Sebab itulah saya kecewa sedikit apabila tidak dapat berjumpa dengan isteri budak Batas Paip yang mengiringi kami sepanjang kehadiran di majlis kenduri di rumah ayahnya.
Saya berniat untuk meminta maaf kepada isterinya itu kerana jika di dalam blog kelak, saya tidak sekalipun menyebut nama si suami. Ini dikeranakan oleh satu kerana sahaja – ada pembaca [terutama yang dari Kuala Lumpur] yang menggigil marah kerana saya terlalu kerap menulis nama suaminya itu, di dalam beberapa entri sebelum ini. Kesihatan hati pembaca blog saya perlu juga dijaga…. Sedangkan apalah daya saya kalau sudah nama suaminya itu sinonim dengan banyak hal – jenama kasut sekolah, model kereta, dinamakan pada satu taman perumahan di Mergong, malah pada tahun 1998 pernah menjadi maskot Sukan Komanwel! Hehehehe.
No comments:
Post a Comment