18 October 2013

Aku Tak 'Kan Bertanya...



  





Satu majlis perjumpaan raya berjalan lancar. Ramai pengunjungnya - berbual sambil makan atau makan sambil berbual. Bergambar, bertukar khabar. Menjelang hujung Asar, majlis pun bubar.Tetamu pulang sambil menitipkan harapan " Majlis sebegini biarlah ada saban tahun...". 


Kenangan di majlis akan tersimpan untuk beberapa ketika. Tetapi siapa tahu jerih perih ketika mahu menganjurkan, menyediakan tempat dan tapak, mencari 'isi' acara, 'isi' tabung dana dan 'isi' buat perut tetamu. Siapa peduli majlis dua jam itu persediaannya lebih dua bulan, persiapan pra-majlis tidak cukup dua hari, pengemasan seusai majlisnya pula memerlukan juga dua hari? Siapa yang menelan pahit getir dari  setiap titik-bengik,  semua kekurangan, sebarang kesilapan dan segala ketidakpuasan? 




Sebuah sekolah agama rakyat berkembang baik. Pelajar bertambah setiap tahun. Bangunan tambahan - sekalipun yang serba sederhana - mesti disediakan.  Turun naik dada pengerusi dan AJK yang mahu berfungsi. Turun naik semua tangga birokrasi. Turun naik darah guru-guru menjadi saksi: pelajar turun naik prestasi. Dari taraf bertatih diubah hingga boleh berlari. Apa yang mampu seluruhnya diberi. Nama dan graf pencapaian sekolah - meski secara perlahan - tetap mahu dilonjak. Tambahlah apa jua cabaran,  niat asal tetap tidak berganjak.Permata di perlimbahan  berjaya digilap, bakat berjaya digarap. dan keluarga tidak putus berharap.Ramai yang cemerlang berkembang sayap, bertebaran merayap,  serata ceruk dihinggap. Siapa peduli kepada pelontar, penyokong serta pelaksana idea? Siapa penepis hujah sang pesimis - yang tidak percaya bahawa sebuah sekolah yang berdiri hanya bermodalkan dana dankeringat rakyat biasa boleh berkepak begitu? Siapa peduli kepada pembimbing  yang bertahun menekuni peranan,  menghantar bimbingan hingga ke gerbang?

Di atas itu hanya dua situasi.

Tentulah banyak lagi jika mahu dicatatkan tentang 'lilin' yang berada di sekitar kita. Yang pernah hadir dalam hidup kita. Biar dinilai kecil, mereka muncul di rumah kenduri, di majlis berkhatan, atau di jalanan, di kejiranan, hatta di dalam rumah sendiri! 

Di kampung, di mukim, di daerah, di negeri dan di negara, pasti ada 'lilin' - yang terbakar dan dilupakan, sedang yang menerima cahaya - sebahagiannya - menepuk atau membusung dada......

Untuk semua 'lilin' yang tidak didendang - dan mungkin tidak dikenal - ini, marilah kita ucapkan TERIMA KASIH yang AMAT SANGAT. 

Tidak semua telah sedia ada atau secara tiba-tiba ada atawa menjadi di depan kita. Tentu ada pencetusnya dan sudah pasti ada penggeraknya - yang kadang-kala tidak kita nampak atau tahu. Yang jelas, mereka lakukan dengan ikhlas, tanpa bertanya apakah akan dibalas.......

Biarku menjadi lilin
memberikan cahaya
terangi sekeliling 
dengan diri terbakar
tak siapa yang sedar

Di saat kegelapan 
rela aku berkorban
Demi satu harapan

Biar masa berlari
dan kau terus mendaki
aku tenang di sini
dengan sabar menanti
tanpa dendam dan benci

Andainya kau terjatuh 
terluka dan tersungkur
kurawat biar sembuh
Aku tak kan bertanya
apakah nanti balasannya
setiap pengorbanan 
setiap pemberian
demi satu ikatan
Keikhlasan di hati
walaupun sering kauragui
pada suatu masa 
dan suatu ketika
akan ketara jua
Biarku menjadi lilin
memberikan cahaya
saat kau kesepian
saat kau kegelapan
kurela menerangkan
Aku senang begini
dapat terus berbakti
dengan cara sendiri


Chik Mila
Chik Mila
Nota:

Semua foto di dalam entri ini adalah dari lensa Chik Mila, seorang bekas pelajar AlFalah. Demikian pula halnya dengan foto-foto di dalam klip di atas. Semoga Chik Mila pun tidak akan bertanya apakah nanti balasannya atas ihsan mengelik dan memuatnaik semua foto berkenaan...


No comments: