![]() |
...tgk mcm kenai... |
![]() |
Mohd Zairi |
Dharmawijaya nama pena penyair Kamaruzzaman Abd Kadir.
Za'aba adalah pendita. Beliaulah yang memastikan nahu bahasa kita digunakan hingga hari ini. Nama yang digunakan itu adalah kependekan bagi nama asalnya, Zainal 'Abidin bin Ahmad.
Wijaya Mala adalah nama pena Abu Yazid Abidin. Arwah terkenal sebagai penulis novel. Satu novelnya yang saya suka adalah Sejuk-sejuk Tokyo - dalam novel ini tidak sekali pun di gunakan perkataan 'itu'. Bayangkan dan carilah satu cerpen atau novel lain yang boleh ditiadakan perkataan 'itu'...
Keris Mas [Sasterawan Negara yang pertama] - penulis novel termasuk Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur - adalah nama pena Kamaluddin Mohammad.
Zaihasra - terkenal dengan sajak Lautan Di Waktu Subuh - adalah nama pena arwah Zaiton Abdullah. Jaafa HS, bekas suaminya, juga penyair yang nama asalnya Syed Jaafar Syed Husin.
Baha Zain [seorang lagi Sasterawan Negara] adalah kependekan nama sebenarnya Baharuddin Zainal.
Yang menarik nama pena bagi Hj Ali Hj Ahmad, sasterawan era70-an yang kemudiannya menjadi penulis ruang agama. Nama penanya: NORA!
Demikianlah dulunya saya mengingat nama penulis yang ramai menggunakan nama samaran. Ada sebahagiannya hingga peminat pun tidak tahu nama sebenar. Seperti Punggok, Awamil Serkam, Atondra dan Malungun.
Artis pun ramai guna nama samaran atau nama pentas. S Jibeng [Jaafar Sidek], Mr Os [Yusof Hamid] dan Imuda [Abd Rahim Muda] adalah contohnya. P Ramlee pun tidak menggunakan nama betulnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh.....Isterinya, Saloma, nama asalnya Salmah Ismail. Kakak iparnya, Mariam ditukar kepada Mariani......
A Galak, Mat Sentol, Yuna, Deja Moss, Ella, Amy, bla....bla.... tidak tertulis pun nama mereka sebegitu di Jabatan Pendaftaran Negara. Kena faham elok-elok ayat itu, sebab walaupun ada kependekan nama seorang dua, tetap tidak terdaftar di jabatan itu.... Jamal Abdillah pun nama terdaftarnya Jamal Ubaidillah.....
Cukuplah setakat itu. Kita mahu beralih ke AlFalah....
Di AlFalah, tentulah payah juga nak jumpa nama samaran, kecualilah kalau di antara sesama kawan atau sesama uda dan daranya..... Takkanlah di buku nota mahu ditulis YuHa bagi Yusri Haron atau Aswara bagi Aswad Abd Rahim atau Emar MD bagi Md Rautin Md Desa atau Zulkif Sham bagi Zulkifli Shamsuddin. Lagi haru kalau Ismail Hamid mengikut Hj Ali Hj Ahmad di atas - digunanya nama Noreen pula..... Dan takkanlah guru tingkatan akan menulis di buku laporan kemajuan [dan kemunduran] pelajar dengan nama Deja Man, misalnya, untuk Siti Khadijah Othman, semata-mata mengikut cara Khadija Hj Moss mendapat nama Deja Moss?
Begitulah. Payah kita nak jumpa nama samaran. Kalau yang paling terkenal pun, terutama di kalangan penghuni asrama - tapi dia bukan budak Falah - adalah Azliza Baizura, seorang budak kampung bersebelahan AlFalah yang menggunakan nama samaran untuk berutus surat dengan sahabat pena tetapi menggunakan pula alamat sekolah. Sila rujuk entri tentang namanya itu dolu dolu dolu.....
![]() |
Pawang Nujum |
Baru-baru ini muncul satu nama di dalam grup AlFalah. Bagusnya dia meletakkan gambar diri sendiri dalam profil, tidaklah wajah anak seperti beberapa orang atau watak kartun oleh seseorang tu..... Namun nama yang digunakan bukanlah nama sebenar.
Mohd Zairi Mohd Ariff [bukan nama samaran] melihat wajah itu dan merasakan mengenalinya tetapi melihat akan namanya, Zairi jadi keliru. Tidak pernah didengar nama itu.
Agaknya kerana tidak mampu merungkai dan masih tidak terlerai di fikiran, malam terakhir bulan September, pukul 11.21, dia menghantar pertanyaan kepada Cikgu Din: Apa nm sebenar ********** tu?..tgk link mcm x-classmate
[Sengaja diubah sedikit dari teks asal - ditandakan ********** - supaya anda tertanya juga sedikit....]
Kerana bermasalah dengan 'beruk' yang disewa dari Celcom, bekas cikgunya itu tidak terus menjawab melalui petak chat di fb. Dia menjawab - juga dengan kad sim dari Celcom - melalui telefon, akan nama sebenar insan yang mengelirukan fikiran Zairi itu. Sambil itu Cikgu Din membuka blog ini, mencari entri tentang budak Peralihan AlFalah 1987, kelas mula Zairi masuk dahulu. Nama Zairi pada kedudukan xxiv manakala insan yang ditanyanya berada pada kedudukan vi......Sahlah mereka rakan sekelas. Sahlah Zairi tidak salah pandang. Sahlah ingatannya masih tajam. Cuma nama yang dilihatnya itu menyebabkan kekeliruan.
Malangnya, Zairi mungkin telah memasuki alam mimpi ketika sistem yang amat perlahan itu dihubungkan ke telefonnya. Agaknya kerana itulah, hanya pada pukul 7.15 pagi 1 Oktober dijawabnya mesej dari Cikgu Din itu: Laa.. puas pikiaq...tgk mcm kenai...tp nm mcm x wujud
Demikianlah yang dihantarnya. Mujurlah sekarang Zairi sedang berbahagia bersama kerjaya dan keluarga di Lembah Kelang. Kalau tulisan begitu digunakan semasa masih belajar di AlFalah dahulu, agaknya libang-libu juga Cikgu Din mahu memberikan markah pada ejaan dan ayat yang digunakan. Pastilah bukannya 0%. Mungkin sekitar -5%.......
Selepas yakin bahawa itulah rakan sekelas dahulu - cuma dengan nama baru - mereka pun bertegur-sapalah di laman grup. Bertanya dan bercerita khabar orang kampung...
Demikianlah.
Zairi dapat ber'bual' semula dengan teman sekelas yang pernah bersama menghidu udara bumi AlFalah. Mungkin mereka tidak perbah bertemu lagi semenjak meninggalkan bangku sekolah.
Jadi Mark Zuckerberg berjaya mempertemukan mereka semula. Kalau anda ditanya - atau diminta menulis karangan - tentang kebaikan facebook, kaitkan sedikit dengan catatan ini...
No comments:
Post a Comment