29 April 2012

Hakikat...


1984. Saya memasuki tahun kedua menjadi tenaga pengajar di AlFalah. Tahun inilah Sukan Olimpik musim panas bakal berlangsung di Los Angeles. California pada akhir bulan Julai.

Dua hari menjelang Hari Guru tahun itu, takdirnya di negara Uncle Sam, tepatnya di White Palins, New York, Karen melahirkan anak lelaki yang kemudian dinamakan Mark Elliot. Karen, seorang doktor sakit jiwa bersama suaminya, Edward, seorang doktor gigi, kemudian membesarkan anak lelaki tunggal itu serta tiga anak perempuan, Randi, Donna dan Arielle di Dobbs Ferry, New York.

Ketika berusia 20 tahun, Mark yang tersingkir dari  Universiti Harvard, bersama rakan sekuliah semasa di universiti itu,   Dustin MoskovitzEduardo Saverin dan Chris Hughes mengasaskan facebook. Kemudian semuanya adalah sejarah.....


1984. Hampir tiga dekad berlalu. Anak lelaki pasangan Karen dan Edward Zuckerberg muda lebih dua dekad dari saya. Terlalu muda.....


Saya tidak kisah akan kekayaan dan keberhasilannya. Tidak juga kekayaan dan keberhasilan sesiapa. Keberuntungan kita berbeza.


Namun alangkah malunya, jika anak semuda Mark boleh muncul dalam mimpi saya, bertanya apa sudah jadi dengan budak AlFalah? Kerana hendak berjumpa setahun sekali pun laman ciptaannya telah disalahgunakan.....ada kekasaran bahasa, di beberapa tempat, di beberapa ketika.


[Sebelum ini pun, saya pernah bermimpi diperli oleh Mark. Katanya rakyat Malaysia, hendak masak lauk apa untuk makan tengahari pun, menghebahkan sampai ke pengetahuannya, sedangkah telah disediakannya ruang peribadi untuk berbual... Itu belum lagi bab berjalan ke mana-mana. Satu dunia hendak diberitahu.....]


Anak muda itu pula yang menasihati saya agar mengawal keadaan. Namun, apalah daya saya. Sebagai orang tua, cipher pula, saya hanya berdiam. Mark masih menyindir saya. Katanya hanya saya bekas orang tua AlFalah yang ada bermain-main dan melepak di ruang lamannya.Dia tidak peduli walaupun saya katakan bahawa saya hanya melukut di tepi gantang. Saya hanya melepak sambil melihat anak-anak bermain. Bukan semua menggemari saya berada di laman itu. Malah ramai yang menjengah, dan keluar apa bila nampak saya. Mengerling pun tidak sudi, apa lagi menyapa.


Saya benar-benar malu dan kesal.Kerana malu itu, sudah lebih dua minggu saya tidak muncul di laman milik Mark. Tidak tahulah sehingga bila rasa malu ini akan berakhir.....


Mark, beritahu mereka, saya telah tidak ke laman anda. Jika ada nama saya tertulis di situ, itulah kenangan bahawa saya pernah ke situ, tidaklah pula diperkonon orang, hanya anak muda seperti anda yang melunyai laman itu....


Mark, jengahlah ke mimpi saya dengan cerita baru. Cerita kejayan anda membeli syarikat perisian baru, atau majlis perjumpaan dengan bekas pelajar Harvard, meskipun anda sendiri drop-out. He he he.


Sementara itu, maafkan saya.



19 April 2012

Kalaulah....


kalaulah aku pengemis di jalanan
sudikah kau menemaniku
atau malukah kau akan diriku
akan tetapkah kau menyayangiku
seperti mana sekarang
kalaulah aku seperti itu


kalaulah aku cacat anggotaku
sudikah kau mendampingiku
akan setiakah kau pada janjimu
tetap berada di sisiku selalu
seperti mana sekarang
kalaulah aku seperti itu


walaupun biduk berlalu
kiambang kan bertaut
walau usiamu melanjut
kasihku tak kan luput

apa yang kukatakan
pasti kukotakan
kalaulah aku.....

kalaulah gelap alam sekitarku
sudikah kau meneranginya
membawa cahaya dalam hidupku
selama-lama menjadi dianku
sepanjang masa dan zaman
kalaulah terjadi seperti itu
...............

18 April 2012

Ada Apa Di Alor Setar 'Tu?




Saya mengenali Alor Setar sejak di sekolah rendah. Seingat saya, ayah akan membawa saya ke ibu negeri Kedah itu setiap kali hendak membeli pakaian baru atau keperluan lain. Kalau tidak setiap 3 bulan, sekurang-kurangnya setahun 2-3 kali juga saya dibawa ayah. [Hujung 1960-an dan awal 1970-an, sekali boleh ke Alor Setar, boleh dicanang seminggu dua di kalangan rakan-rakan....]

Sepagian kami menapak dalam bandar - dari Jalan Langgar ke Pekan Rabu, ke Pekan Melayu, ke Pekan Cina dan pasti berakhir di Pasar Besar Alor Setar di Seberang Perak - membeli ikan dan sayur. Kemudian menapak lagi ke Jalan Pegawai, menunggu bas MARA berhampiran simpang Jalan Kota Tanah, untuk pulang.

Semasa dalam darjah enam, guru kelas saya, arwah Cikgu Hamzah Jaafar telah membawa kami sekelas ke rumahnya di jalan Kuala Kedah, berhampiran Masjid Aman sekarang. "Beritahu emak ayah, cikgu 'nak bawa kamu semua melawat Alor Setar!," pesannya. Saya ketawa mendengarnya.

Di rumah saya berkongsi ketawa dengan ayah. Mungkin ayah kawan-kawan sekelas pun begitu. Hendak melawat Alor Setar? Apa yang mahu dilawati?

Kerana wajib pergi, saya ikut serta. Bukan sewa bas macam rombongan biasa. Kami berkumpul di Sekolah Kebangsaan Kangkong pada paginya dan menaiki bas penumpang biasa. Bayangkan kemeriahan menaiki bas sekelas bersama penumpang lain. Waktu itu memang ada bas dari Yan yang akan memasuki Kuala Kangkong sebelum meneruskan perjalanan ke Alor Setar. Begitu juga sewaktu perjalanan sebaliknya.

Kami turun di hadapan SMK Tunku Sharifah Rodziah. Masa itu Masjid Aman pun belum ada. Kemudian berderet kami ke rumah Cikgu Hamzah. Selepas makan, kami dibawa melawat Alor Setar! Istana Anak Bukit yang pertama dan paling diingati. Petangnya kami pulang dan kali ini murid lelaki ditempatkan di rumah keluarga Cikgu Hamzah 500 meter masuk ke jalan Taman Sofia sekarang. Taman itu belum wujud rasanya ketika itu.

Malamnya, selepas Maghrib, kami pergi pula ke Pesta Kedah di Kanchut. Perjalanan pergi balik rombongan bersama cikgu itu adalah dengan menaiki Bas Bandaran Alor Setar. Dua hari satu malam kami bersama. Banyak tempat yang kami lawati. Banyak rupanya yang kami tidak tahu tentang Alor Setar. Melopong juga mulut ayah ketika saya menceritakan tentang tempat-tempat itu.


Sepanjang masa di bawah pengawasan cikgu itu, semua makan minum, tempat tinggal dan tambang menambang ditanggung oleh Cikgu Hamzah. [Adakah lagi cikgu spesies itu sekarang? Air mata bergenang mengingat cikgu Hamzah - ketika mencatat ini pun - semoga rohnya sentiasa dirahmati - beliau meninggal ketika saya dalam tingkatan satu.(1974)


Dari situlah saya belajar. Kiranya ada beza antara melawat dengan melihat-lihat.

Ramai yang pernah melihat Balai Nobat serta Muzium Diraja/Balai Besar, namun berapa orang yang pernah masuk ke dalamnya dan diberi taklimat tentangnya?

Ramai yang lalu atau masuk ke dalam Masjid Zahir namun berapa orang yang kisah tentang sejarah pembinaan serta senirekanya?

Bulatan Teluk Wanjah
Beribu orang mengelilingi Bulatan Teluk Wanjah (dulu) namun siapakah yang peduli tentang binaan berbentuk mahkota di tengah-tengahnya? Apakah motif bagi binaan yang sedemikian - pernah pula menjadi mercu tanda Alor Setar? (Bagi makluman kepada yang telah lama meninggalkan Alor Setar, bulatan itu telah tiada di tempat itu. Memberi laluan kepada jejambat merentasi rel keretapi. Binaan berbentuk mahkota itu telah dipindahkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas)

Makam kerabat diraja Kedah
Malah kampung kelahiran kita juga ada sejarah dan daya penariknya. Tetapi kerana terbiasa, kita tidak peduli dan ambil tahu.

Demikianlah halnya apabila AlFalah membuat perancangan melawat Alor Setar. Berulang pesimis dan sinis yang pernah saya alami berbelas tahun sebelumnya. Lawatan anjuran Guru Sejarah itu diketawakan. Ada  -kebanyakannnya orang yang tinggal di sekitar sekolah - serta-merta menjawab tidak mahu menyertainya. Alasannya pelbagai. Yang paling popular ialah Alor Setar tidak ada apa-apa.

 [Teringat kami pernah membawa pelajar asrama berjalan-jalan melihat laut di sekitar Alor Pulai hingga Kuala Kangkong. Ramai yang tersenyum mendengarnya. Mereka lupa, putera-puteri dari Baling dan Pendang tentulah tidak pernah menghidu aroma pantai berselut ........Bayangkan berapa peratus rakyat Laos pernah melihat pantai secara live? Orang Kangkong dan Alor Pulai pun ada yang tidak pernah melihat mesin getah dan pokok kelapa sawit secara berdepan! Demikianlah kita dengan susuk pengalaman dan geografi yang berbeza. Keberuntungan manusia tidak pernah sama.]

Namun kami berjaya juga mengumpulkan anak-anak AlFalah untuk memenuhkan sebuah bas. Banyak tempat yang dilawati dalam sehari suntuk itu. Semuanya diakui memberi pengalaman dan perspektif baru kepada pelajar hatta guru pengiring.

Paling berkesan kepada saya ialah lawatan ke Makam Diraja, Langgar.

Setelah menunjukkan surat izin melawat, kami dipandu oleh seorang pekerja di situ untuk menziarahi sekitar makam - disertakannya beberapa pantang baik di segi perbuatan dan percakapan.

Di situlah kami melihat makam Sultan-sultan Kedah, makam bonda Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (Che Manjalara binti Long Naraburi Rak) serta kerabat-kerabat lainnya.(Diceritakan serba sedikit riwayat hidup mereka serta susur galur keluarga diraja Kedah)

Makam Che Manjalara
Menariknya diceritakan tentang Almarhum Makan Dedak. Dikatakan pada zaman pemerintahan baginda, orang-orang kaya memakan dedak. manakala rakyat biasa memakan beras yang dipanggil tulang. Kiranya dedak adalah makanan eksklusif.




Dibawa juga ke makam kerabat diraja yang dikatalan berpihak kepada Raja Siam, dimakamkan di luar kawasan makam utama, namun kerana perubahan waktu dan pertambahan keluasan, makam tersebut kini berada di dalam kelompok yang sama.


Banyak lagi maklumat yang diberi dan dicatat oleh pelajar - sebanyak anggukan dan sebutan 'o' di mulut mereka.

Pada hujung taklimat, suasana tiba-tiba menjadi kelam-kabut apabila seorang pelajar pengsan di sebelah satu makam. agak jauh dari tempat kami berkumpul.. Apakah dia telah melakukan sesuatu yang melanggar arahan pemandu kami itu? Ia kekal misteri hingga kini........


17 April 2012

Sang Biru Bermuka Empat Segi

Sang berjasa yang perkasa

Semenjak pembukaan semula AlFalah pada tahun 1983, pelajar yang tidak tinggal di asrama kebanyakannya menjadikan bas MARA sebagai rakan setia. (Ada seketika, bas sekolah dari Kuala Kedah dengan pemandunya Bang Jan dan kemudiannya Bang Mi dengan konduktornya arwah Paklong Senapi - tapi itu cerita lain dan di hujung hayat AlFalah)

Kalau ada pun yang berbasikal, biasanya yang datang dari arah selatan - Kangkong, Permatang Sala, Padang Jambu dan Kampung Pisang - serta dari arah Simpang Empat. Juga pelajar-pelajar dari kampung bersebelahan. Motorsikal pula pada masa itu boleh dibilang dengan lutut. Adalah sebiji dua. Satu yang saya ingat ialah kepunyaan Pak Ya (Zakaria Nayan) dari Seberang Alor - model Suzuki RC80 merah hati. Dia belajar di situ dari tahun 1983 hingga 1986.


Jadi, kebanyakan masa di AlFalah era 80-an dan 90-an, bas MARAlah pergantungan semua.

Pelajar yang berulang biasanya terpaksa menggunakan dua bas. Bas pertama biasanya cepat penuh kerana terdapat juga di dalamnya pelajar ke Sekolah Agama Sungai Limau. Sebab itulah juga kelas akan sempurna hanya setelah bas kedua sampai. [Keadaan yang sama berlaku sewaktu pulang dari sekolah.]

Budak asrama juga menggunakannya setiap kali bermula dan berakhir cuti atau saja-saja menghabiskan duit di Alor Setar pada hari Jumaat dan Sabtu.

Guru-guru tidak ketinggalan mempunyai episod tersendiri apabila mengenangkan bas ini. Cikgu Khamariah Ismail memang sah setiap hari menggunakannya berulang alik dari Teluk Kechai. Cikgu Ramlah pula seminggu atau dua minggu sekali [semasa menjadi warden asrama], akan menaikinya. Kadangkala dibawa pula gerombolan penghuni asrama ke rumahnya. Bas inilah pengangkutnya. Kami, guru-guru lelaki pula kalau  hendak ke Alor Setar, atau  kalau Ustaz Wan Samae hendak balik melihat tanah tumpah darahnya, pastilah turut berkongsi bersama pelajar menunggu di bawah bus stand kesayangan itu...

Bas MARA adalah sebahagian dari watak penting dalam menggemilangkan AlFalah ketika itu. Begitu sinonimnya sehinggakan nama pemandu dan konduktornya kami tahu. Kebanyakan petugas bas MARA tinggal di sepanjang Jalan Batas Paip - Yan. Inspektornya pun saya kenal.

Sumber: bluesrider.blogspot.com
Sekali peristiwa, bas MARA tidak berhenti seperti selalunya, ketika pelajar mahu pulang. Hinggalah lewat petang barulah ada bas berhenti - tentunya bukan pemandu dan konduktor yang bertugas tengah hari itu. Banyak hari juga, makan tengah hari para pelajar terpaksa dijadikan makan petang atau makan malam. Mereka kenyang dengan memaki bas....

Kami tertanya-tanya. Satu perjumpaan diatur dengan pihak pengurusan Kenderaan Bas Mara di Alor Setar. Di situlah diketahui duduk perkara. Kiranya ada beberapa pelajar [sahlah lelaki] telah menunjukkan kemahiran mereka mencoret dan menggores kusyen bas (kebetulan baru dipasang), sekali gus mengguris hati pengendali bas. Walaupun telah ditegur, mereka yang ternyata dalam mata pelajaran akhlak ini, masih mengikarinya. Natijahnya, pemandu dan konduktor bas membuat keputusan untuk mengajar dengan sukatan pelajaran mereka sendiri...

Dengan janji pengetua untuk menanganinya, pihak sekolah diberi jaminan bahawa perkhidmatan tengah hari itu [hari perjumpaan] akan kembali normal. Maka, balik saja ke sekolah, satu perjumpaan dengan beberapa pelajar yang disyaki sebagai suspek diadakan,dengan disertakan amaran keras serta diberi peranan menjadi mata dan telinga sekolah. {Kata orang tua-tua, kalau tidak mahu orang yang kuat meratah lauk [di rumah kenduri], terus meratah; lantiklah dia sebagai penjaga lauk......pastilah lauk tidak diratahnya......}

Tengah hari itu, bas berhenti seperti biasa. Bas pukul 1.45 dan bas pukul 2.30. Menunggu bersama para pelajar di tengah hari yang membahang itu adalah  Hj Alias(dipanggil Pak Yeh - kini sudah arwah), inspektor bas yang diwakilkan oleh KBM untuk memastikan keadaan benar-benar normal.


Itulah satu-satunya episod pahit antara bas MARA dengan AlFalah. Kes-kes bas terlambat, kira biasalah.
Ingatan yang semakin kabur.....

Pada waktu lain - dan amat panjang pula, khidmatnya sangat terpuji.

Marilah kita mendoakan kesejahteraan wira-wira yang tak didendang ini, yang kebanyakannya telah berada di sana. Semoga tugas mereka dinilai sebagai amal baik - sedaya- upaya mereka cuba menepati masa untuk menghantar anak bangsa menimba ilmu pengetahuan. Pernahkah kita, walau sekali - ketika masih beruniform sekolah dahulu, mengucapkan terimakasih seikhlasnya atas khidmat yang penting ini?

[Bayangkan anda berlari sekuat hati ketika melihat bas muncul selepas simpang empat ke Kangkong, namun bas itu telah sampai ke jalan masuk ke AlFalah, sedang anda - dengan dibebani beg dan seumpamanya - hanya mampu sampai berhampiran ban tali air. Anda kepenatan namun lega apabila anda melihat bas masih mahu menunggu anda. Fahamilah bahawa bas itu menanti kerana pemandunya adalah manusia seperti kita.....]

Kadang-kadang kita terlupa kerana tidak menganggap itu sebagai amal bakti.

Sekadar bertanya: ingatkah lagi cikgu sekolah memandu yang memungkinkan anda memandu dengan bangga atau angkuh hari ini, dengan senyum yang dihilangkan, di bawah kacamata hitam berbingkai besar itu.......?


Wira Osman..aku dgn kak aku terpaksa bangun seawal jam 5pagi ..kmudian berjln sjauh 50 meter..utk mandi di telaga yg sejuk ...gara2 bas mara...tepat 6.15pg bas mara akan masuk selekoh batas paip....klu lewat kami kena lari ..kejar waktu....alangkah geram bila kluar jln besar nmpak bas mara belak ke jln batas paip....dah tau..kami dah lewat...bas kedua jam 7.30pg plak...tggu smbil berdiri..kerana tak ada tmpat duduk...dan takut sluar putihku kotor...
    • Wira Osman bawa duit rm2...tmbg mahal ..pi 6 kupang....balik 6 kupang..tp ada sorg kolet tu baik hati ambk 3 kupang ja ..kdg2 dia bagi tiket kdg2 tak bagi... ..bila bas mai...tgok kolet dulu...klu org lain...jahanam ...klu kolet tu...jimat 3 kupg....tp kami tetap stanby jgk 6kupg...
      · Yaya Comey samalah kita yer.... terpaksa gegas awal nak ke simpang... kadang2 terlepas bila bas mai terlalu awal dr dijadualkan. lagi simpati aku pada geng Kola terpaksa kayuh beskal dr Lorong Mayat semata2 nak menuntut ilmu... berkat dan alhamdulillah berjaya juga menjadi manusia.... yg mana jd hantu pun ada hehehe....
    • Yaya Comey aku tau sapa kolet yg Wira Osman maksudkan.... walaupun baik hati bg separuh harga, tapi aku x suka kat dia sbb dia spesis gatal... x suka... x suka... x suka...... suka sgt dok sebelah aku sambil rapat2 nak ngorat.... last2 aku nangis dlm bas tuh ckp jgn dok kat sini x suka... terus dia x berani nak kaco dah.... tp waktu dulu org ckp muka dia ala2 Shahruk Khan la.... kalau panggilan la nie org kata mcm bangla jer...

    • Wira Osman ‎:)

    • Wira Osman bila masuk tahun berikutnya ..aku ke sekolah naik motor....ala2 gila2 remaja...honda 100 ja...ingat lagi ..AX 5253

    • Yaya Comey mulalah jd gila2 remaja yer.... remoihhh menjuloq jaaa.... masa tuh mat rempit blom terkenal lg

    • Wira Osman klu ada pun ..aku tak join...x berani aku....naik 80 pun tali helmet jerat tgkok....

    • Wira Osman dulu..jln yan sempit.....klu bas mara lalu dari blkg...selisih aku....melelong kena angin...punya la lagu....pas tu dah tau pasai nmpak ja bas kat blkg....terus turun dari jln tar...biar bas potong dulu....punya berhemah...hehe

    • Wira Osman pernah berlaku bas pertama lewat... ..sparuh pelajar alfalah lewat....berkemutih duk jln mai... nmpak jauhhhh ja...

    • Wira Osman masa tu hg la rehan duk ambil nama org mai lewat....

    • Yaya Comey hehehee..... masa tu la juga ramai org dok meluat kat aku... tp kalau dah alasan bas lewat mmg dimaafkan
Pawang Nujum Balik Kampung ..Singgah Hankyu Jaya...Alor Setar....
Emzeq'Lina Saad  mana ada hankyu jaya dah aihhh la nie...dah lama tutup dah...
Masitah Haji Hussain Blh shopping & dating... Ahak ahakkk
Pawang Nujum hang dating ngan sapa Masitah Haji Hussain..
Pawang Nujum al-falah pon dah xde jugak....
Masitah Haji Hussain Rusli; dgn aweks ja..
Pawang Nujum buang karan....belia ayaq gassss
Pawang Nujum rootbeer...
Masitah Haji Hussain Beli "roti" jugak
Pawang Nujum ha ha ha
Emzeq'Lina Saad adakah sy mengenali kalian berdua....???
Masitah Haji Hussain Oh tidak... tp kami jg wrga falah

16 April 2012

Kodak Yang Bernama Fuji.....


Demikianlah anak yang baru memasuki alam remaja.

Apa saja yang disogokkan, akan diterima tanpa banyak soal. Baik atau buruk. Patut atau sebaliknya. Nasib baik kalau selepas  penerimaan itu nantinya ditemui pembetulan. Kalau tidak alamatnya akan dibawa ke hujung nyawalah apa yang diterima itu.

Teringat kepada beberapa kes di mana pembetulan kefahaman berlaku di AlFalah. Ada kesalahfahaman itu yang diterima sejak kecil lagi. Semuanya melibatkan jenama atau cap.

Saya selalu ke kedai untuk membeli barang keperluan pelajar asrama. Setiap hari sekurang-kurangnya sehelai kertas dihulurkan. Di atasnya tercatat barang yang dikehendaki. Pelbagai bentuk tulisan dan ejaan pada senarai itu. Kalaulah saya tahu akan ada blog dan facebook, pasti saya simpan sebahagian kertas itu......

Dalam banyak senarai itu, akan terselit beberapa barang yang nampak sangat cap yang mereka tahu dan mahu.

Antaranya, maggi Cintan, sabun Lux Popinjay, breeze Fab, colgate Darkie , sabun Cap Kapak  kuning dan stayfree Sanita!

Maggi Cintan ertinya belikan mi segera Cintan yang sepuluh sen lebih murah dari mi segera Maggi. Maggi bererti mi segera bagi mereka. Maka kalau saya terbeli jenama Vit's pun mereka terima. Biasanya tanpa bahan lain kecuali air sebagai kuah - kalau bergaya sedikit adalah telur - dibahamlah mi segera itu, dari mangkuk atau dari periuk! Yang kreatif  dan eksklusif sedikit akan menggunakan lidi sebagai penyepit sebelum mi ditolak ke arah mulut yang sedia muncung menghalau kepanasan mi......Slurrrrp! Yang pernah mengalami saja akan mengingati detik terindah itu!


Sabun Lux Popinjay maksudnya kena beli sabun mandi Popinjaylah yang lebih murah dari sabun mandi Lux yang memang luxury......Malah kalau saya bawakan sabun Lifebuoy juga dipanggil Lux lifebouy!



Breeze Fab. Kedua-duanya sama harga.  Namun maksud mereka, serbuk pencuci ertinya Breeze manakala Fab itu adalah jenamanya. Sebab itu kalau dibeli serbuk pencuci Harimau  pun disebut Breeze Harimau.


Sabun Cap Kapak cukup popular masa itu. Selain murah, ia lebih tahan lama berbanding serbuk pencuci. Bab bau, ada budak AlFalah ambil tau? Namun demi menjimatkan kos, ada juga yang menyuruh saya membeli Sabun Cap Kapak kuning. Mana ada? Yang sebetulnya adalah Sabun Cap Cangkul (kes plagiatlah ni) yang berwarna kuning, lebih murah.  (Jangan tak tahu Sabun Cap Kapak berwarna hijau. Harganya 20 sen sebuku. Bayangkan pula harga sabun kuning itu...)
Ubat gigi bagi mereka maknanya Colgate. Selalu ditulis Darkie (sekarang Darlie) kerana lebih murah. Satu lagi Close-up jenamanya. Kalau silap beli pun tak apa asalkan colgate.......errr ..... asalkan ubat gigi.


Paling susah kalau kena beli roti. Macam-macam jenama ada dan kadang-kala yang ditulis tidak terdapat pula di kedai - selalunya di Kangkong. Paling popular Sanita dan Stayfree serta Tampon/Tampax. Whisper tak wujud lagi kot. Kalau roti ini, tuan kedai akan membalutnya dengan kertas surat khabar. Saya pun tak tahu kenapa, walaupun sudah berpengalaman 30 tahun membelinya..... [Sekarang tuan kedai selalunya masukkan dalam plastik hitam] Kalau niatnya tak bagi orang tahu, awal-awal lagilah orang tahu sebab sudah macam standard pula, kalau beli roti mesti dibuat begitu......[Alkisahnya, sekarang (2012) seorang jiran saya tidak boleh makan buah tembikai lagi. Setiap kali nak menyuap, katanya, teringat tembikai yang diambil berlakon bersama Adibah Noor dalam iklan Libresse.......he he he]

Namun yang cukup diingat adalah seorang pelajar, dalam keterujaan untuk menyertai rombongan keesokannya, telah menulis (dan diulangnya secara lisan apabila saya sengaja bertanya kesahihan kehendaknya itu) belikan " Kodak meka (maker?) Fuji"!

[Seorang pelajar, ketika disuruh membeli akhbar ketika pagi rombongan sampai di Lumut, meminta kepada apek di gerai, "Utusan yang Berita Harian punya......"
Punyalah malu............]
Alangkah indahnya negeri tercantik itu................kini.



Wira Osman dulu klu saya p makan ...dihati nk makan bihun sup...mmg gambaran di otak bihun sup ...pi order mee sup..bila org hantar mee sup... .saya kata..salah ni.. saya order mee sup..jwbnya..haaa.. ni mee sup la....bila tgok kat mgkuk tu baru ter pikir ..ooo bihun yg kecik tu...yg kuning ni...meeeee...baru teperasan yg mana satu mee..yg mana satu bihun.....terpaksa jgk habiskan..wlupun tak minat mee