22 September 2012

Roti Nan dan Rindu Nan Terubat


Selepas bertemu Ustaz Md Daud Daei pada 25 Ogos di rumah kenduri [lihat entri Selepas Hari Itu... ], saya bertembung sekali lagi dengannya di Hospital Sultanah Bahiyah. Ketika itu - petang 8 September - dia bersama isteri baru menziarahi saudara manakala saya dan isteri tengah bersama anak-anak berjemaah menikmati juadah di kafetaria hospital setelah melawat bapa saudara.

Dia yang kelihatan bergegas - mungkin mengejar masa untuk ke kuliah Maghribnya - sempat berbual sebentar sahaja. Namun saya tidak lupa bertanyakan malam apa yang tidak padat jadualnya dan sesuai untuk berjumpa. "Malam Jumaat!" katanya.

Beberapa hari sebelum itu, Cikgu Abdur Rahim Daud memberitahu saya bahawa Ustaz Daud ada menelefonnya. Mulanya menyamar dengan gaya bahasa biasa - bersaya-saya - untuk menduga sama ada dikenali atau tidak. Akhirnya setelah dia menukar kepada kelaziman ganti diri ana - enta, segera Cikgu Rahim dapat mengecamnya!

Menoleh ke belakang, rupa-rupanya telah 22 tahun mereka tidak berjumpa apa lagi bertegur-sapa!

Maka dicadangkanlah untuk bertemu di sebarang tempat dalam waktu senggang masing-masing - termasuk saya sebagai orang ketiga...... Sebab itulah, apabila berjumpa kali kedua itu, saya tanyakan malam yang sesuai lalu memaklumkan kepada Cikgu Rahim.

Petang 20 September. Saya teringat tentang waktu sesuai bagi Ustaz Daud. Saya hubungi Cikgu Rahim pada jam 19:18:51, bagi memastikan dia benar-benar lapang pada malamnya. Dia yang sedang berbuka puasa di rumahnya memberi lampu hijau tua dan saya katakan akan memaklumkannya selepas menghubungi Ustaz Daud pula selepas solat Maghrib nanti. Kalau saya hubungi Ustaz dahulu tetapi Cikgu Rahim tiada kelapangan, sia-sia pula.

Pada jam 20:01:32, saya menghubungi Ustaz Daud. Dia yang baru saja balik dari menziarahi anak saudara, bersedia untuk berjumpa. Ketika saya tanyakan tempatnya, kepada saya pula soalan dikembalikan. Akhirnya setelah berbual selama 1 minit 25 saat, kami memutuskan untuk menentukannya selepas solat Isyak nanti.

Ketika berkira-kira untuk menghubungi Cikgu Rahim, jam 20:04:21, saya mendapat mesej dari Ustaz Daud: kita pekena roti nan d jalan tok kumbar lepas fly over highway.

Jam 20:08:07, saya memaklumkan kepada Cikgu Rahim tentang perkara tersebut dan dia akur....

Sementara menunggu masuknya Isyak, jam 20:27:57, saya bertanya kepada jiran, Cikgu Non, sama ada dia dapat ikut serta dalam perjumpaan nanti. Beliau menyatakan tidak untuk kali ini kerana ada komitmen lain serta sibuk dengan urusan sekolahnya.

Jam 20:52:18, telefon berdering. Ustaz Daud bertanya sama ada kami sudah bertolak dan saya sekadar menyatakan masih di Simpang Empat - menunggu Cikgu Rahim menjemput.

Jam 21:03:06, saya menghubungi Cikgu Rahim yang sedang berhenti di lampu isyarat Simpang Empat. Tetapi hampir lapan minit kemudian baru kami bertemu setelah beliau tersilap jalan untuk ke rumah saya.

Sebaik memasuki jalan pintas ke Simpang Kuala, jam 21:10:15, satu mesej diterima dari Ustaz Daud: dah keluaq ka? sampai mana dah? Saya menjawab sepatah: Tandop.

Ketika kami melintasi SM Sultanah Asma di Jalan Langgar, jam  21:31:19, satu lagi mesej masuk: ana dah sampai, lalu saya membalasnya sebaik Cikgu Rahim membelok ke Jalan Dato' Kumbar.

Tidak sukar mencari lokasi yang dipilih Ustaz Daud kerana terletak di tepi jalan utama yang ketika itu tidak sibuk. Cuma lama sedikit masa diperlukan untuk memarkir kereta kerana tepi jalan kebanyakannya berlopak air selepas hujan lebat pada petangnya

Kami sampai di kakilima Restoran Aminah, Jalan Dato' Kumbar itu pada jam 21:34:56.

Fuh! Lega setelah menulis catatan di atas. Mungkin agak terperinci kerana ini pertemuan yang bukan alang-alang dari dua insan bekas guru AlFalah ini. Dua puluh tahun lebih tidak berjumpa walaupun dari segi perbatuannya, menggunakan Jalan Yan-Batas Paip - Alor Setar - Jalan Langgar, rumah mereka terpisah hanya sekitar 20 batu!

Tuntutan hidup dan kekangan masa menjarakkan mereka sedemikian rupa....

Maka tidak hairanlah saya menyaksikan mereka berpelukan erat dan lama sebaik bertemu ketika Cikgu Rahim melihat Ustaz Daud sedang berjalan mendapatkan sepiring kuah pemedas. Saya juga memeluk Ustaz tetapi tidak adillah untuk saya memberikan markah keeratannya. Lagi pula kami pernah bertemu beberapa kali sebelum itu.....

Di atas meja yang berdekatan dinding pemisah kedai dua pintu itu telah tersedia 3 keping roti nan, kuah kacang parpu dan ayam tandoori - ditambah kuah pemedas yang baru diambil Ustaz - serta segelas minuman barli suami buang 'i'. Di satu penjuru meja terdapat satu pamplet berwarna hijau. Cikgu Rahim memesan barli air manakala saya meminta teh o ais. Ustaz memerah limau kasturi ke atas ketulan ayam dan sahabat-sahabat sebekasnya - hirisan timun dan bawang besar, lalu menjemput kami menjamah menu kegemarannya itu.

Kata Ustaz, ketika saya bertanya tempat awal tadi, tidak mampu dijawabnya secara spontan. Namun kemudian dia teringat restoran roti nan itu - lalu bagai tidak sabar untuk segera sampai. Inilah salah satu tempat yang kerap dikunjunginya untuk melapik perut pada malam hari. Malah dia mengakui mula melanggan roti nan dan capati serta mengenali taukenya, seorang India Muslim yang berkahwin dengan wanita Melayu tempatan, lama sebelum restoran dibuka di tapak sekarang. Dulunya, hanya sebuah gerai kecil, agak jauh dari situ, masih di Jalan Dato' Kumbar, dijadikan tempat perniagaan.

Ustaz dan Cikgu Rahim saling bertukar-tukar penilai luaran masing masing. Ustaz dikatakan tidak banyak berubah  - kecuali beruban, saya mencelah - manakala Cikgu Rahim dirasakan tidak sebulat dulu wajahnya.

Rupa-rupanya takdir untuk pertemuan ini tertulis cantik. Selalunya Ustaz Daud tidak pulang ke rumah menjelang Maghrib. Dia selesa terus ke masjid, tanpa membawa telefon. Tetapi malam tersebut, dia tergerak untuk pulang bersolat di rumah. Jika tidak...

Kami  berbual tentang kegiatan terkini serta perkembangan hidup ustaz.

Termaklum, selain malam Jumaat, jadual kelasnya agak padat. Paling jauh, dia mengajar di Masjid Bendang Raja. [Seketika selepas kami berbicara tentang suasana sambutan penduduk kampung kelahiran Ustaz Wan Akashah Wan Hamid, penceramah dan suami kepada Ustazah Norbahyah Mahamood itu, muncul wajah pasangan tersebut di kaca tv mengendalikan program Semanis Kurma di TV9. "Panjang umur depa....." kata saya].

Banyak lagi tempat beliau mengajar termasuk di Masjid Kubor Panjang dan Taman Rakyat, Alor Setar. Kelas qiraati yang diasaskannya dulu masih beroperasi. Selain itu, beliau lebih banyak duduk di rumah. Jarang keluar ke bandar seperti dahulu. Keselesaan dengan corak rutin begitu menjadi sebab dia tidak berhubungan dengan ramai rakan lama.

Ditanya bagaimana menjaga kesihatannya, beliau menyuakan pamplet hijau di sisi kepada Cikgu Rahim. Pamplet Pati Minyak Zaitun Olive House. Minyak itulah yang diamalkan meminumnya saban hari malah kini turut menjadi pengedarnya. Sambil mencicah roti dan ayam ke kuah kacang parpu, ustaz bercerita tentang khasiat dan manfaat minyak zaitun yang diimport terus dari Aleppo, Syria itu.
Saya tertarik untuk turut membelek pamplet tersebut, sambil membiarkan rahang bersenam membantu geraham yang sudah tidak sebanyak dahulu, menghancurkan roti dan daging ayam. Kebetulan, di rumah memang ada dua botol minyak zaiton berlabel Bertolli keluaran negara Pakcik Sam, diminum oleh menantu emak setiap malam atas saranan saudaranya bagi pelbagai tujuan. Rasanya selepas ini menantu emak kena bertukar kepada label syarikat kepunyaan anak Kedah pula.
     
Ustaz telah mengerjakan ibadah haji pada tahun 1999. Dua tahun sebelum itu dia telah mengembara bersendirian di beberapa negara Timur Tengah - sempat diceritakan beberapa pengalaman menariknya terutama di Jordan [beliau menggunakan khidmat penerbangan Royal Jordanian di mana Amman, ibukota Jordan menjadi tempat transit utama] dan Mesir. Bagaimana beberapa kebetulan membolehkannya melawat dua negara tersebut secara santai.


Ketika Cikgu Rahim bercerita tentang pengalamannya mengerjakan umrah pada bulan Mac lalu dan berkenalan dengan Nasi Mandi/Mandy, nasi cara Arab -  berlaukkan kambing atau ayam - ustaz kita ini nampak teruja dan turut berkongsi pengalamannya, termasuk membuat penilaian peribadinya terhadap nasi itu yang disediakan di dua restoran makanan Arab berdekatan Tesco Mergong dan Tesco Stargate, Tandop. Saya dan Cikgu Rahim pula teruja apabila ustaz memberitahu bahawa beliau juga boleh memasak nasi itu - sekadar 80% dari negara asal, katanya. Tetapi berdasarkan rasa nasi serta sos yang katanya sebiji dengan yang di negara Arab, malah anak-anaknya yang tidak sukakan daging kambing juga mula menggemarinya, kami sependapat peratusan yang diberikannya tidaklah tepat - mungkin sekitar 95%. Ketika hati tergaru-garu menyuruh mulut menyuarakan agar ustaz memasak sekali untuk kami rasa, beliau berkata, "La 'ni mudah saja. Dalam internet pun boleh belajar....". Hasrat yang mula terkulum itu terpaksalah ditelan, dan ketika melintasi hati, saya tahu hasrat pasti terjelir-jelir.... Malu kepada ustaz , bakal menginjak usia 60 tahun pada 2013 nanti, yang rajin memanfaatkan internet....

Tibalah menu wajib bagi perbualan mana-mana bekas warga AlFalah - apa lagi jika bukan tentang sekolah yang hilang itu.....

Ustaz teringat beberapa pelajar, terutama pelajar yang beliau pernah menjadi guru kelasnya. Antara yang disebutnya adalah arwah Burhanuddin Talib, arwah Rosmawati Md Jamil, Helwi Shahril serta Rohana Jalil dan Nurezzini Nayan. Saya terpaksa menunda membantu setakat terdaya kerana kebanyakannya telah terpadam dari memorinya. Tidak juga dapat mengingati Cikgu Faisol, walaupun tahu itu adalah anak Ustaz Abdul Hamid. Nyata masa yang berlalu lama dengan pelbagai perkara berlaku di dalamnya, ingatan terhadap AlFalah juga tenggelam timbul.Dia dapat mengingati anak Cikgu Yunos, misalnya, tetapi tidak dapat mengenali anak lelaki Othman yang bernama Wira, yang sekelas, walaupun ditenungnya di laman fb. Nama-nama yang saya sebut, hanya beberapa orang yang dapat dikenang wajah semasa bersekolah itu.[Ustaz mengaku dia tidak lagi pernah mengunjungi AlFalah semenjak melangkah keluar pada pertengahan dekad 90-an] Beliau bertanyakan tentang kehidupan mereka sekarang. Saya dan Cikgu Rahim dapat memaklumkan sekadar beberapa orang yang diketahui.

Bercakap tentang majlis perjumpaan hari raya di SK Taman Bersatu tempoh hari, terkesan rasa kesalnya. Ustaz bersetuju diadakan pada hari raya ketiga/keempat agar tidak bertembung dengan majlis kenduri seperti tahun ini. Beliau mengagumi usaha yang bukan senang dihadapi pihak penganjur dan bertanyakan tentang tulang belakang menjayakan majlis. Beliau berjanji berusaha untuk hadir pada tahun hadapan. "Kalau ada lagi...." katanya, dan saya berharap dia merujuk kepada majlis itu BUKAN yang lainnya.....

Ustaz berharap agar AlFalah dapat dikembalikan ke suasana dahulu. Sayang, katanya berulang-kali. Kesalnya dengan penyalahgunaan sekolah sebagai 'tiket' mengutip derma, amat ketara. Sekolah yang berjaya melahirkan ramai insan berguna itu mesti dipulangkan ke landasan asalnya, lebih-lebih lagi dengan harapan yang tersemat di dada pengasas dan  para pewakaf tanah tapak sekolah.....

Ketika jam melewati 23:15:00, kami membuat keputusan untuk beredar. "Nampak Cikgu Rahim mengantuk," kata Ustaz Daud. Walaupun kenyataan itu benar, tapi hakikat utamanya adalah simpati kami kepada ustaz yang akan ke sebuah surau di Taman Rakyat, Lebuhraya Sultanah Bahiyah seawal jam 05:30 esok untuk bersolat dan seterusnya memberi kuliah Subuh.

Kami berpecah setelah ustaz memberikan saya dan Cikgu Rahim sesalinan maklumat kebaikan minyak zaitun yang diedarnya dan berjanji untuk lebih sering bertemu dan berhubung.

Selepas meninggalkan restoran, dalam perjalanan pulang melalui Jalan Dato' Kumbar - Tajar, pada jam 23:29:41, saya menghubungi seorang budak Falah - memaklumkan perjumpaan kami tadi. Namun dia yang sedang melayan 'game' dengan anaknya di rumah, tentu dapat mengesan tujuan sebenar panggilan itu - tiada yang lain dari melayur atau 'menunjuk-nunjuk' ................

No comments: