27 November 2013

...Samalah Kita Terbang Pulang!


"Tak jemukah asyik menghadap gambar-gambar di majlis raya, 'tu?" Tanya tangan yang menaip ini kepada mata.

"Kau ikut sajalah apa yang dia tekan di papan kekunci 'tu...." balas mata kiri.

"Aku dok cari juga apa istimewa sangat pada foto-foto 'tu... Selalu sangat dia heret aku mencarinya, naik lemas kau dibuatnya..." muncul pula suara tetikus di tepi tangan kanan. Padanlah! Warna merah hati pada permukaannya telah pudar pada tiga tempat - belakang, klik kanan dan klik kiri.

"'Tu la hangpa tak tau. Orang tua 'ni nostalgik sikit. Walaupun hanya sekitar setengah jam saja merenung setiap kali, dia terasa masih ada di tempat 'tu... Masih baru sangat dirasanya..." sampuk hati dari dalam tubuh. Dian tara semua, mungkin dia yang mengerti benar sikap tuan tubuh itu.

"Dia tak dak kerja kut?" tanya tangan kiri yang sejak awal dulu lagi terasa bagai dianaktirikan. Mana tidak?Tetikus hanya dapat dipandang dari jauh, tidak pernah diizinkannya menyapa, apa lagi menyentuh. Menaip pun setakat tekan butang huruf A. Huruf S di sebelah A itu pun digunakan telunjuk tangan kanan.Huruf Q dan Z yang berjiran juga, jangan haraplah diizinkan dia menyentuhnya. Space bar pula hanya menjadi milik ibu jari kanan.Paling tinggi pun dibawa jari telunjuk kiri ialah jika mahu menekan Shift pada papan kekunci...

Memang dari semenjak orang tua itu menggunakan mesin taip lagi, tangan kiri tidak puas tangan. Ada sekali dulu orang tua itu belajar ilmu taip-menaip - guna buku panduan lagi - pakai sistem elok dan adil. ASDF sekurang-kurangnya menggunakan tangan kiri. Tapi sekali itulah sahaja. "Buat lambat!" kata orang tua itu yang merasakan taipan tanpa sistemnya boleh mengalahkan mana-mana kerani yang bertauliah dan bersijil...

"Isy, jangan kata lagu 'tu... Tulis entri 'ni pun kerja juga tau.... selain dapat kepuasan kat dia kerana ada orang baca, sekurang-kurangnya aku lega. Sihat dan tak sakit, tak tension. Kiranya macam terapi jugak la.." kata dahi mewakili otak kiri dan kanan.

"Aku dengar, tahun depan ada lagi majlis macam 'tu... " kata telinga, cuba menukar tajuk sedikit. Dia telah lama mendengar bahawa bila-bila masa sahaja tangan kiri akan mengadakan mogok lapar dan ingin mengadu kepada beberapa NGO kerana berlaku diskriminasi dalam penggunaan anggota ketika menaip, termasuk ketika asyik mahsyuk melayari laman sosial...

"Majlis macam 'tu..." Lidah tergerak-gerak di dalam mulut. Sesekali terjelir juga.

"Makan apa pula kali 'ni?" tanya perut sambil bernyanyi sedikit. "Ayam goreng ada lagi ka? Macam mana goreng-gorengan, ketupat, lemang campur jagung, rendang...."

"Hang kira mentekedarah saja! " tingkah mulut. " Fikirlah hal lain sama... cara nak cari dana ka, nak tambah jemputan ka..."

"Hang memang longkang betul  la mulut! 'Tu semua kerja otak...." balas perut. 

Tiba-tiba dia teringat sesuatu. "Hang kata aku kira makan no....Mentekedarah no.. Yang hang sumbat serba mak nenek kat aku, sampai tak sempat nak hadam pasai apa? Azab semua aku yang tanggung, dekat 48 jam baru boleh proses semua tau?"

"Aku kunyah saja. " balas mulut mewakili juga gigi yang sedang diusap oleh lidah. Ada lebihan tapai pagi tadi yang masih melekat pada dua tiga geraham yang kian merenggang. "Hang tanya tanganla. Dia yang sumbat..."

"Apa pulak aku? " tanya tangan yang seolah terkejut. "Mata yang kata semua 'tu nampak macam sedap...."

"Aik? Aku tengok saja, " kata mata kanan. Mata kiri sedang ditenyeh oleh telunjuk kiri yang lenguh berada di atas kunci hurug A. "Hangpa tanyalah kerongkong..."

"'Ni, apa kena mengena dengan aku pula? Dah mulut dan gigi kunyah, hantar kat aku, aku hantarlah kat perut...Peristalsis bukan proses yang boleh dirasuah. Kena tepat dan lancar, kalau tidak... tersedak!" balas kerongkong.

"Eleh, kalau hang tak telan air liur berkali-kali masa depan makanan 'tu tak akan aku tahu makanan tu sedap ke dak?..." kata perut.

"Oooo. Kalau macam 'tu hang la punya pasal..." kata mulut.

Semua yang lain tertawa hampir serentak. Perut terkedu. Dia tersilap cakap.

Tangan kanan menepuk perut. Cuba menenangkannya... Tangan kiri sedang menggaru-garu belakang tuannya. Bodeklah tu...

Perut berbunyi sedikit. Intro sebuah lagu keroncong yang perlahan sahaja.


" Ada apa-apa dak di bawah tudung saji 'tu?" tanyanya kepada mata yang sempat menjeling samatua orang tua itu yang melintas di tepi meja makan...


"Laaaa..." kata mata...

Perut terus menyanyikan lagu tadi dengan lebih kuat...

Inilah senikata lagu tersebut:

Tinggilah tinggi
Tinggi tinggi burung di awan
Akhirnya engkau turun
Akhirnya turun mencari kawan


Terbang di awan
Turn mari ke dalam taman
Kalau mencari kawan
Mencari kawan biarlah padan


Bukan sahaja
Bukan saja kita kemari

Kita bercinta
Curahkan rahsia hati ke hati


Burung tempua
Sana sini mencari sarang
Kalau hati dah suka
Samalah kita terbang pulang

No comments: