[Seperti yang diceritakan oleh Ilyas Hj Awang pada pertemuan 5 Jun 2013, serta perbualan telefon beberapa kali bagi melengkapkan catatan].
Aku |
Sebenarnya malam ini, aku – malah semua, rasanya – dalam
keletihan. Maklumlah sepanjang petang tenaga kami perah bagi mengangkut barang
dari asrama berhampiran bilik Ustaz Man di belakang itu ke bangunan dua tingkat
ini. Entah apa alasannya, kami kena bertukar asrama dengan budak perempuan
pula. Mereka mengambil tempat kami dahulu di belakang rumah Maklong/Maklang,
manakala kami berpindah ke tempat tinggi ini – bangunan berlantai papan di
tingkat atas dan berlantai konkrit di tingkat bawah. Di bawah masih digunakan
sebagai kelas serta bilik guru lelaki.
Khabarnya, supaya keselamatan pelajar puteri lebih terjaga.
Mungkin itu alasan yang munasabah kerana bangunan ini terletak agak jauh dari
bilik Ustaz Man. Tetapi, dulu, bertahun juga budak perempuan tinggal di blok
ini tapi tidak pula bermasalah. Kakak aku pun tinggal di asrama atas kelas itu.
Mungkin ketika itu ada warden, misalnya Cikgu Ramlah dan kemudiannya Kak Om.
Atau mungkin ketika itu geng jahat di kawasan ini belum ramai… Entahlah.
Aku tak kisah sangat. Tinggal di tempat tinggi macam ini pun
ok
juga. Boleh nampak benda jauh. Boleh nampak bas lalu. Boleh tahu marka
aku sampai atau belum. Boleh mudah masuk ke kelas. Kalau terlupa kitab atau
buku, boleh dengan mudah menyelinap naik mengambilnya – tidaklah terhendap-hendap
melintas surau dan rumah Maklang/Maklong, seperti dahulu lagi.
Masalahnya satu sahaja. Bagi aku dan kesemua putera asrama. Bilik air menjadi jauh.
Ertinya tandas juga tentulah jauh. Kena ke tandas dan bilik air yang di
belakang surau itu juga, bezanya budak perempuan di bilik air berhampiran pagar
yang memisahkan AlFalah dengan rumah Bang Man/ Ustazah Rodziah, manakala kami
di blok kecil berdekatan belakang surau itu.
Aku punya agaklah, sebab itulah budak perempuan dipindahkan
ke asrama belakang. Boleh jadi mereka ada pelobi yang baik untuk berhujah di
depan Ustaz Fairose atau Ustaz Zahari. Tengok gaya Cikgu Non dengan Cikgu Din
terkerisin semasa kami diminta berpindah dua tiga hari lalu pun, aku rasa ada
yang tidak kena. Silap-silap mereka berdua yang merupakan tuan empunya cadangan
tersebut…
Tapi tak kisahlah. Kami budak asrama kena patuh. Takkanlah
mahu buat protes dengan alasan jamban jauh. Malulah kaum…
Rautin |
“Takkan mu nak tido dah, Yeh? Relaksla. Esok cuti. Meh kita
pekena kopi o!” kata Rautin sambil memperagakan koleh plastik berwarna merah di
tangannya. Ada asap melintuk di permukaannya.
Aku terpaksa bangun. Tidak tahan dengan aroma kopi yang
menyentuh deria bauku. Rautin bukannya membawa cawan lain, sebaliknya terus
mengunjukkan koleh tersebut ke mukaku. Aku capai dan tanpa berfikir panjang
malah tanpa sempat melafazkan Bismillah, mulut koleh itu kuhalakan ke bibir. Seteguk
tapi banyak kuantitinya. Panas betul. Terasa kepanasannya melintasi kerongkong.
Tetapi pure. Sedap. Pekat, melekat.
Kemudian muncul pula Md Kidam. Di tangan kanannya koleh juga
berisi teh o, di tangan kirinya sepinggan bubur asyura – lebihan petang tadi,
pemberian seorang jiran AlFalah. Aku mencapai seketul. Sejuk sahaja melintasi
kerongkong. Ditokok pula oleh seteguk lagi kopi panas Rautin. Ada rasa yang
tidak boleh aku gambarkan di tenggorokku.
Md Kidam duduk di birai katil bersebelahan. Kami menghadap,
makan-minum-bersembang. Di atas katil yang sama terbujur tubuh Fazli dan Zaha yang sekadar mendengar suara kami.
Mereka, seperti kebanyakan kami, selain keletihan mengangkut barang sendiri
petang tadi, turut kelelahan menolong pelajar puteri pula mengangkat barangan
mereka. Letih dan lelah itu ditambah pula dengan berebut memakan bubur asyura
yang baru dihantar oleh jiran AlFalah berkenaan. Dua talam semuanya untuk
putera sahaja dan bakinya itulah yang dibawa oleh Md Kidam tadi.
Di sebelah katilku adalah tempat tidur Adigun [bukan nama
sebenar], junior kami yang datang dari kampung sekitar daerah kami juga –
Pendang. Dia sekadar meniarap melihat kami dari belakang. Di sebelah katil yang
diduduki Md Kidam dan dua rakan itu pula, Nieketien [juga bukan nama sebenar]
ikut terbaring keletihan dan kekenyangan. Nieketien berasal dari Kuala Kedah.
Rakan-rakan lain kebanyakannya berada di katil masing-masing
dengan hal sendiri-sendiri. Cuma tiga orang yang kedengaran riuh berhampiran
pintu di atas tangga asrama, mengatakan jauh dan susah juga kalau tandas dan
bilik air tidak ada berdekatan asrama. Mereka adalah kumpulan pertama yang
menggunakan tandas semenjak berlaku perpindahan rasmi sejak petang tadi. Dua
dari mereka kulihat masih menepuk perut, agaknya masih terasa kembung dengan
proses penghadaman bubur asyura yang dibaham
semasa berebut senja tadi…
“Tin, malam ni cerita apa yang molek?” tanyaku, sengaja
mencari topik bagi melayan mata yang kembali segar. Memang aku tahu, selain
aku, hanya Rautin yang mampu bercerita secara lisan dengan amat berkesan!
“Malam ni malam Jumaat. Apa lagi, bab hantula…” balas Rautin
sambil mengukuhkan silanya. Dia mggaru-garu dadanya yang telanjang. Kemudian
tangan yang menggaru itu mencapai pula, seketul bubur asyura di pinggan di atas
ribaan Md Kidam. Sebaik masuk ke mulut, tangan yang sama mencapai pula koleh
kopi di tanganku lalu menghantar ke mulutnya…
“Mu ceritala dulu. Lepas mu, aku pula cerita…” kataku pula.
“Hangpa ni tak dak kerja lain. Kalau cerita mesti bab hantu.
Banyak sangatka hantu di kawasan hangpa?” tiba-tiba Nieketien mencelah. Meski
agak suram kerana lampu kalimantang yang paling dekat pun berada bertepatan
tiga katil lain dari yang aku duduki, aku nampak Nieketien yang tadinya
menelentang, berada di posisi meniarap. Kacamatanya diletakkan di hujung
kepalanya. Kepalanya ditelengkan ke arah
kami.
“Mu takutla tuuu…” kata Rautin. Dia memanjangkan leher bagi
menatap muka Nieketien.
“Apa takut? Tengok kakila, geng!” balas Nieketien. Sambil
itu dia menyelimut tubuhnya dengan kain yang dipakai sehingga ke paras dada.
“Mu cerita, Tin! Cerita langsuir di Pokok Tai tu….”Aku
bersuara. Cerita itu telah acap kali aku
dengar. Bukan sahaja dari Rautin malah dari orang tua di kampung. Tapi sengaja
aku ingin mendengar versi Rautin sebab, seperti aku, bab menokok tambah cerita
yang khabarnya asli itu, Rautin cukup cekap…
Maka Rautin pun bercerita. Tiga orang yang berada dekat
pintu tadi menghampiri katil kami. Menumpang dengar dengan jelas.
Rautin pandai mengolah cerita, seperti juga aku. Sehasta
yang kami dengar di kampung, dia tarik dan tokok menjadi dua setengah hasta.
Kalau pengarah filem atau David Teo ada, pasti ceritanya dijadikan filem seram.
Aku yang mengetahui setakat sehasta pun terpegun dibuatnya. Tapi aku juga
tertarik kepada audien di sekitar dua katil itu. Ternganga-nganga. Beberapa
kali Md Kidam menepis tangan Zaha yang terasa hampir memegang pinggangnya,
agaknya semasa adegan paling menyeramkan yang digambarkan oleh Rautin.
“Mu cerita pula, Yeh! Cerita hantu Bukit Perak!” kata Rautin
sebaik menamatkan kisah pertamanya dalam masa lima belas minit.
“Hak tu mu la cerita. Mu yang dengar molek. Aku nak cerita
hantu keretapi Kobah dulu…” balasku.
Terasa bersemangat melihat audien yang begitu memberi
tumpuan terhadap cerita Rautin tadi. Di dalam hatiku telah tersedia tambahan
yang perlu bagi mengindahkan dan menghidupkan lagi cerita ku pula.
“Teh mu ada lagi dak, Kidam? Beri sikit…” Rautin mengengsot
menjauhi tubuhku serta himpitan seorang lagi penumpang mendengar di sebelahnya.
“Ada sikit lagi di dapur nuu. Gi la ambik…dekat periuk Yeh…”
kata Md Kidam.
Rautin menoleh, seolah mencari sesuatu.
“Mu gi ambik sat, Mail!”
Rautin menyuakan kolehnya kepada Ismail Yaakob. Mail tidak bersuara. Dia
memegang besi hujung katilku. Menggeleng pun tidak. Sekadar tersengih.
“Takutla tu…” tiba-tiba terdengar suara Nieketien dari katil
di belakang katil yang diduduki Md Kidam dan dua tiga yang lain.
“Eleh, mu pun takut…. Tu tarik selimut sampai tutup kepala
dah….” Balas Rautin sambil bangun menghala ke pintu.
“Apa takut? Tengok kakila, geng!” balas semula Nieketien,
seperti tadi. Betul kata Rautin. Aku nampak hujung kain sedang menutupi separuh
hidung Nieketien…
“Ceritala Yeh!” pinta Fazli yang meniarap di belakang Md
Kidam. Dia yang kusangkakan sudah terlena rupanya sedang menanti ceritaku pula.
Makinlah aku bersemangat.
“Sabar…sabar… tunggu Tin naik dulu….” Kataku sambil sekali
lagi mengukuhkan sila. Rasa letih dan kantuk awal tadi seperti terbang entah ke
mana.
Seseorang telah memadam lampu paling hampir dengan kami
tadi. Suasama semakin suram. Hanya bergantung kepada lampu di atas tangga serta
lampu tunggal di dalam asrama di bahagian hujung menghala matahari jatuh. Lampu
dari bangunan kelas di bawah yang dipasang sepanjang malam hanya memberikan
sedikit sinarnya ke atas asrama.
Lama benar Rautin turun. Aku sudah tidak sabar. Tetapi ada juga kebaikannya. Aku dapat mengolah
skrip di dalam kepada beberapa kali. Kalau tadi aku terpegun dengan cerita
Rautin, biarlah kali ini dia pula ternganga
mendengar pengisahanku, walaupun kami sama-sama tahu isi cerita
tersebut. Biarlah yang sehasta dapat kutarik menjadi tiga empat hasta!
“Mana Tin ni?”
“Sementara tu, kalau ada sapa-sapa yang penakut, baik gi main jauh-jauh.
Mana tahu, nanti termimpi pulak, puas nak kena turut Ustaz Man buat penawar…”kataku
seolah memberikan mukadimah. “Nieketien, mu lena dak lagi?” tanyaku sambil
memanjangkan leher memerhati ke tempat tidur budak Kola yang putih gebu itu.
“Tengok kaki la geng….” Balas Nieketien dari dalam
selimutnya.
“Tengok kaki buat apa…. Tengok kain tu… Ntah dah basah….” Tiba-tiba
Rautin yang baru naik bersama kolehnya bersuara. Dia menampar sedikit peha Mail
untuk duduk kembali ke tempatnya yang tadi.
“Tengok kaki la geng….” Ulang Nieketien lagi dari dalam
selimutnya.
“Piiiiiirah!” Rautin bersuara lagi. “ Aku kenai mu…”
“Mu gi mana lama sangat Tin?”Aku bertanya sebaik Rautin berada
di sisi.
“Aku gi kecing. Jauh juga bilik air tu… Berdiri juga bulu
roma, apa lagi teringat ni malam Jumaat…” Rauntin menjawab sambil menggayakan
badan menggigil.
“10 Muharam, Tin…” kata saya.
“Mu ceritala hantu keretapi Kobah tu…” kata Md Kidam yang
semakin bosan menunggu.
“Ni nak cerita la ni…” balasku.
Buat kali ketiga aku mengukuhkan sila. Tergambar jelas apa
yang mahu dijelmakan di dalam pengisahanku.
Siaplah!
bersambung...
No comments:
Post a Comment