Saya pernah berlawan dalam banyak permainan. Ada yang menang dan banyak juga yang kalah. Saya tahu betapa tingginya berada di puncak, apabila menang dan saya dapat pula merasakan betapa putusnya kepala apabila berada di pihak yang kalah..... Malah sebagai penyokong juga saya pernah mengalami dua suasana itu. Kalau menang, Hijau Kuning semua dimetalikkan lagi, tapi Hijau Kuning pun bertukar jadi Merah Padam apabila kalah.......
Namun, ada satu permainan yang sampai sekarang saya amat dendami, baik kepada pemain yang menewaskan saya mahupun permainan itu sendiri! Saya pernah bertanya siapakah pencipta permainan yang paling hodoh [h awal itu sebenarnya b.. hehehe] yang pernah saya tahu dan sertai itu! Kepadanya lagilah saya dendam......
Nama permainan itu kalau tidak silap adalah CERMIN. Saya hanya tahu tentang permainan ini apabila diadakan di satu majlis muhadhoroh AlFalah. Ramai guru pernah diajak bermain di atas pentas. Saya salah seorang. Tapi saya berpeluang muncul pada dua kali muhadhoroh untuk acara itu.
Permainannya mudah sahaja. Seorang yang pastinya cukup bersedia akan bertarung dengan seorang guru yang tidak tahu apa-apa. Cuma dipanggil naik ke pentas. Mereka saling menghadap. Pelajar tadi, entahlah dipanggil apa dalam permainan ini, tapi izinkan saya sebut badut, akan bergerak dan melakukan apa sahaja. Badut ini bukanlah seorang, sebaliknya bergilir dipasangkan dengan guru.Semuanya mesti ditiru oleh guru yang terkena itu. Seolah kita menghadap cermin. Agaknya kerana itulah nama permainan itu adalah CERMIN.
Kalau dia beraksi bersiul, guru kena ikut bersiul. Diikuti angkat kaki kanan atau kiri. Menyapu muka. Betulkan butang baju. Betulkan tali pinggang. Ikat tali kasut. Cungkil gigi. Mengurut misai. Keluarkan dompet. Semuanya dilakukan gaya yang mesti ditiru oleh guru. Ketika tiap aksi ini, para penonton, yang sahlah penyokong si badut tadi, akan bersorak dan bertepuk Permainan ini akan tamat apabila badut membuat sesuatu atau memegang sesuatu yang tidak mampu diikuti oleh guru. Misalnya, badut keluarkan pemadam dari poket seluarnya! Manalah si guru hendak mencari pemadam dalam poketnya? Dikira kalahlah guru tadi. Kasihan. Antara yang pernah kalah, yang saya ingat, adalah Cikgu Alhamidi, Ustaz Zahari, Ustaz Mohamad, malah Ustaz Fairose.
Saya termasuklah.
Masa saya naik ke pentas, ada pelajar sudah menjerit, "Mangsa 'ni lagi awai kena sembelih...." Saya hanya tersengih. Tidak faham apa-apa. Naik dengan yakin boleh meniru semua gerak badut. Semasa giliran saya, badut itu adalah Zamri Che Omar. Semua pergerakannya, saya ikut, diiringi sorakan pelajar. Namun beberapa frasa dari beberapa pelajar di belakang dewan, dapat saya kesan setelah agak lama Zamri mengheret saya bermain.
"Cantas!"
"Sembelihla, tunggu apa lagi!"
"Kasi hantam sama dia....!"
Akhirnya saya tewas tatkala Zamri mengangkat songkoknya. Saya mana pakai songkok......
Kerana dendam pada kekalahan itu, pada satu majlis lain, setelah seorang guru tewas, saya dengan sengaja mempelawa diri untuk bermain. Kali ini saya sudah bersedia. Bersongkok, bubuh kunci dan pen dan pensil dan sikat rambut dan pemadam dan lencana tin - hampir semua yang pernah mereka guna sebelum ini - ke dalam poket seluar dan baju. Saya yakin sungguh. Badut kali ini, kalau tidak silap, Shahrizal dari Alor Ibus.
Tapi memang dasar permainan ini tidak adil kepada satu pihak. Seperti syarat Sadiq Sigaraga [Ahmad Nisfu] kepada Abdul Wahab [Hj Mahadi] dan Abdul Wahib [S Kadarisman] untuk mengahwini anak-anaknya, dalam filem Tiga Abdul. Semuanya akan berakhir dengan kekalahan di pihak guru, kerana pihak badut lebih-lebih bersedia.
Ujung-ujung, saya [dan guru] juga yang terkena...
Alangkah tidak acinya permainan begini!
Saya pernah mencabar mereka supaya saya pula yang jadi badut itu, namun cubaan saya untuk menjadi Abdul Wahub [P Ramlee] dalam usaha menewaskan Sadiq Sigaraga tidak pernah berhasil kerana tiada siapa yang mahu menyahutnya.
Maka dendam itu saya bawa hingga kini....hehehe.
Adakah lagi acara hodoh itu dimainkan kini?
Catatan kaki:
Gula-gula Hacks dan Kiss Me tiada perasa koko atau coklat. Mengapa orang kita memanggilnya Coklat juga?
No comments:
Post a Comment