AlFalah tidak ketinggalan walaupun tidaklah serancak sekolah-sekolah lain dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dan sekolah. Kekangan dana menjadi punca jarangnya program sebegitu dianjurkan. Pada tahun-tahun tertentu sahaja AlFalah mampu mengadakan semua, tetapi biasanya sekadar menganjurkan majlis bacaan yasin.
Saya teringat pada sekali peristiwa.
Cikgu Siti Khadijah [gambar kiri] pernah membawa seorang motivator ke AlFalah. Beliau mengenali motivator tersebut ketika hadir dalam satu perjumpaan sembang niaga di Simpang Kuala. Kalau tidak salah ingatan, syarikat berkenaan terkenal dengan nama pendek SMC. Nama panjangnya sudah terpadam dari memori. Menurutnya, cara penyampaian motivator berkenaan cukup menarik dan paling penting bayaran yang dikenakan adalah mengikut ihsan sekolah.
Pada hari yang ditetapkan, pelajar yang bakal menduduki peperiksaan peringkat nasional [PMR dan SPM] dikumpulkan dalam dewan bersejarah AlFalah. Mana lagi kalau bukan bangunan melintang panjang menghadap sawah dan jalan raya, yang terdapat tiga tiang bendera di sisinya....? Ketika itu tempat penceramah diletakkan berbeza dari kebiasaan dewan itu digunakan, yakni membelakangi dinding yang berhampiran jalan mini masuk ke kampung.
Motivator itu datang berdua - bersama pembantunya.. Maaf, saya terlupa namanya. Untuk memudahkan catatan ini, marilah kita namakan motivator itu Mr Lobaloba. Boleh? Prop yang dibawanyanya sedikit sahaja yang saya ingat - sebilah keris dan sebuah radio kaset. Memanglah ada benda lain yang sekolah sediakan seperti whiteboard dan sahabat-sahabatnya.
Program yang dijadualkan sehari itu tidak saya tekuni sepenuhnya. Sekadar masuk di belakang barisan pelajar sekali-sekala apabila tiada kelas. Guru-guru mengajar seperti biasa di dalam kelas-kelas yang pelajarnya tidak terlibat dalam program.
Seperti dimaklumkan, memang Mr Lobaloba itu bijak mengendalikan suasana. Adakala suasana riuh dengan humornya dan adakala pula sepi mencengkam apabila dia serius melontarkan kata-kata perangsang.
Dalam beberapa kali keluar masuk dewan itu, ada tiga perkara yang kekal dalam memori.
Pertama, ketika saya baru berada di dewan itu, saya nampak Mr Lobaloba menghunuskan keris lalu menusuk ke badan seorang pelajar yang dipanggil ke depan - kalau tidak silap bernama Rizal [Jan] atau seumpamanya, seorang yang tinggi lampai, pengawas sekolah. Ia satu gimik untuk menarik perhatian tetapi ada sesuatu yang tidak kena hari itu berbanding skrip asal.Gimik itu tidak menjadi kerana saya melihat Mr Lobaloba agak cemas sambil memeriksa bahagian badan yang ditusuk. Mungkin ada kesan luka kecil. Seperti hati, meski kecil amat lukanya namun tetap memedihkan.....hehehehe.... Pada penghujung program petangnya, Mr Lobaloba ada menghulurkan RM20 [kut] kepada Rizal, sambil meminta maaf atas kejadian tersasar tusukan itu....
Ketiga, ketika Mr Lobaloba bercerita tentang keperitan hidup terutama semasa zaman persekolahannya. Arwah Ustaz Abdul Hamid yang duduk bersama saya ketika itu, beberapa kali menyeka air mata. Sedih kerana membandingkan kisah itu dengan pengalamannya sendiri, katanya. Begitulah hidupnya gaya penceritaan Mr Lobaloba. Pelajar mungkin juga menangis tapi kerana berada di belakng mereka tidaklah dapat saya memastikannya.
Dia berkisah terpaksa berkotor pakaian kerana menunggang basikal dari kampungnya hingga ke pekan Kubur Panjang bagi mendapat ilmu di sekolah di situ. Setelah tinggal di asrama sekolah di Alor Setar kemudiannya, setiap kali cuti, dia akan pulang ke kampung bagi membantu emak ayah menoreh getah. Semasa hendak pulang ke asrama, juga terpaksa dia menempuh jalan yang becak untuk keluar dari kampung sebelum bersama ayah berkayuh lagi hingga ke pekan Kubur Panjang. Ketika itu, tiada perkhidmatan Bas Mara masuk hingga ke jalan luar berhampiran kampungnya. Demikian dia mengharungi kesukaran - termasuk juga kesusahan hidup keluarga di kampung - dalam menggapai cita-cita menjadi seseorang.
Siapa juga yang pernah merasai kesengsaraan sedemikian akan tersentuh tatkala mendengarnya.
Berkotor dan melalui jalan tanah merah itu diceritakannnya secara amat detail. Orang yang pernah naik basikal dengan keadaan tayar yang tidak mahu bergerak kerana telah tersekat oleh banyaknya tanah yang terhimpun antara tayar dan mud-guard tentu faham maksud saya. Terpaksa mencungkil tanah itu untuk dipenuhi semula kemudiannya setelah berkayuh tidak sampai sepuluh meter - kadangkala hingga patah kayu pencungkil tersebut. Kadangkala dihumban saja ke dalam parit atau tempat berair banyak bagi membuang selut atau tanah yang liat melekat.
Adakah saya tersentuh sebagaimana Ustaz Mid?
Semestinyalah, malah lebih lagi! Sebabnya, kampung yang didiami keluarga Mr Lobaloba itu pernah beberapa kali saya sampai semasa fasa pertama kali menjadi suami . Selalunya saya ke situ apabila menemani bapa atau ibu mertua ke majis kenduri kahwin. Memang jalannya amat teruk. Belum bertar. Musim panas/kemarau jalan berdebu. Musim hujan, becaknya Allah dan penduduknya yang tahu. Motor terpaksa mengikut lopak yang ditinggalkan oleh bekas laluan kereta atau lori agar tidak banyak tanah tersangkut. Lekat tetap lekat tanah itu ke motor namun setakat itulah caranya untuk diminimumkan....
Ketika akan menulis catatan ini sebentar tadi, saya menghubungi anak buah di kampung arwah isteri. Beliau mengesahkan baru dua tiga tahun ini jalan itu bertar. [Dia tidak terkejut apabila saya kejutkannya di hujung malam bertanya situsai kampung Kayu Tiga. Kerana saya pernah bercerita kepadanya, tepat dia mengagak bahawa saya sedang menulis tentang Mr Lobaloba].Bayangkan keadaan kampung tersebut sebelum itu dan lebih-lebih lagi semasa Mr Lobaloba masih bergelar penuntut. Kiranya semasa saya pernah pergi ke situ adalah pertengahan jarak masa antara zaman yang diceritakan Mr Lobaloba dengan cerita terbaru tentang kampung itu oleh anak buah tadi.
Semestinya saya lebih tersentuh kerana saya mengalami atau menyaksikan keperitan melalui jalan masuk ke kampung itu. Silap laluan atau jejak saja, motor boleh tersasar ke dalam sawah di kiri kanan jalan tanah merah berkenaan. Pernah saya merungut kepada arwah isteri, "Zaman yang begini canggih, rupanya ada yang ketinggalan di segi kemudahan asas...."
Itulah kampung yang bernama Kayu Tiga. Kalau tuan ke Kubur Panjang, selepas simpangnya ke kanan tuan akan berjumpa secara berturutan Kg Lubuk Batu, Kg Lahar Tunjung, Kg Nangka Siam, Kg Nangka Melayu [kampung kelahiran Ustaz Mohammad Abdullah], Kg Belat, Kg Tok Dam [kampung mertua pertama saya], Kg Sungai Korok dan Kg Pokok Asam. Selepas itu, setelah melalui titi pendek [kerana jarak antara dua tebing sungai yang kecil], sempadan antara Kg Sungai Korok dan Kg Pulau Tengah, di sebelah kanan, adalah jalan masuk ke Kg Bukit Tok Aji. Ini adalah jalan yang belum bertar ketika itu. Kemudian ada satu simpang kiri. Inilah jalan ke Kg Kayu Tiga. Sahihlah juga belum bertar. Inilah jalan yang diceritakan oleh Mr Lobaloba. Kalau tuan pernah melalui jalan sepanjang semua kampung itu, makinlah mudah anda membayangkan betapa jauhnya jarak dari kampung berkenaan ke Kubur Panjang. Dengan berbasikal pula!
Bayangkan bagaimana peritnya mengayuh basikal dalam panas terik atau lebat hujan dari rumah ke sekolah dan sebaliknya. Bayangkan lagi kalau rantai basikal jatuh atau putus ditambah tanah merah yang melekat tadi...... Orang yang mengalami saja yang tahu akan azabnya...
Ketika beberapa guru bersembang dengan Mr Lobaloba setelah selesai program, saya sempat bertanya keadaan terkini kampungnya itu. Belum sempat dia menjawab, atau memang takdirnya demikian, beliau dipanggil oleh Cikgu Khadijah yang menghulurkan sampul bayaran untuk khidmatnya hari itu. Soalan saya tadi tergantung. Selepas minum sedikit, Mr Lobaloba dan pembantunya minta diri maka kami pun memberikan diri itu......
Malamnya, ketika berbual di rumah Maklong/Maklang, entah dalam bab berapa kurungan berapa, timbul nama Mr Lobaloba. Rupanya dia menantu kepada adik beradik Maklong, tinggal di Alor Setar dan memang orang Alor Setar yang kini bergelar bandaraya itu. Seorang usahawan. Keluarganya dan keluarga mertua tergolong orang ada-ada. Jadi, cerita berapa punya elok di dewan siang tadi adalah imaginasinya, atau mungkin kisah benar kawannya, atau apa-apalah, yang diadaptasi bagi menaikkan semangat pelajar....
Saya tersentuh. Pertama, dia berjaya bercerita dengan baik. Kedua, mati-mati saya percaya, hidup-hidup saya ditipu. Patutlah soalan saya tentang kampung itu disengajakan agar tergantung......
Saya tidak salahkannya kerana berjaya menyedarkan pelajar dengan cerita rekaan sedemikian. Demikianlah peranan motivator. Mengolah sesuatu untuk menggerak atau mengubah pemikiran seseorang - menganjak paradigma, kata orang. Dengan cara tersendiri.
Tapi jangan pula salahkan saya jika ada motivator bercakap tentang sesuatu, saya tidak percaya kalau dia katakan itu berdasarkan pengalaman diri. Besar kemungkinan itu cuma rekaan atau berdasarkan pengalaman orang lain yang diolah menjadi pengalaman sendiri...
Maka sejak itu saya sentiasa merasakan sesiapa juga boleh memotivasikan orang asalkan pandai mengolah dan yang penting lagi pandai bercakap.
Anda menggumi seseorang motivator? Tak apalah. Kita kutip isinya, jangan ceritanya.
Anda mahu jadi seorang motivator? Tak apalah. Jaga isinya, tentang cerita.....jangan ceritalah!
Berapakah pula harga yang dibayar bagi program motivasi berkenaan? Saya tahu, kerana diberitahu oleh Cikgu Khadijah. Tapi untuk anda, agar lebih sahih tanyakan kepada Cikgu Khadijah. Tolak RM20 [kut] kepada Rizal, ada lagi sebanyak.........tanya Cikgu Kathylah!
1 comment:
Shahrizal Mohd Nor yang saya catat di dalam entri ini sekarang menjadi pegawai polis di Johor, isterinya seorang doktor.
Post a Comment