24 July 2012

Kacang Kuda Dan Ikan Temenung

 logobaka





Budak Falah dulu, kini kebanyakannya telah menjadi emak dan ayah kepada seseorang atau beberapa orang. Malah saya dapat mengesan sekurang-kurangnya seorang telah pun bergelar datuk - sudah bercucu. [Nanti saya perkenalkan datuk itu, sekiranya saya menjumpainya untuk meminta kedudukan terkini]

Bila sudah beranak pinak, senakal mana pun kita semasa bersekolah dahulu, pasti mahukan zuriat yang terbaik sahsiah dan terbaik prestasi di sekolah. Semuanya mahukan zuriat tidak mengulangi kesilapan-kesilapan lalu kita. Biasalah dan eloklah begitu.....

Selain dari didikan yang diberikan, dengan segala macam peraturan yang disediakan, beriring pula doa kita, mestilah ada lagi benda lain yang perlu perhatikan.

Makanan mereka. Semestinyalah dari bahan yang halal dan sumbernya juga halal. Itu semua kita, apa lagi bekas budak AlFalah, tentu faham - walau ada kala kita terbabas.........atau pandang terlepas!

Dalam banyak-banyak bahan yang menjadi makanan, tentu pula kita pernah bertanya seseorang atau sesiapa yang mempunyai anak yang 'terpilih' di sekolah: hang bagi makan apa anak hang 'tu, hingga setiap tahun dapat anugerah cemerlang?

Maka, kalau bukan rahsia keluarga berkenaan, akan muncullah pelbagai petua dan panduan:
  • bagi makan kismis 7 biji setiap pagi dan malam
  • bagi minum susu jenama DotdotPapapunla
  • bagi minum jus kurma
  • bagi makan epal yang telah dihembus doa
  • bagi minum air yang telah dibacakan 30 juzuk Al Quran
  • dan seumpamanyalah..........
Semua itu sesuai diamalkan. Malangnya bukan pula sesuai untuk semua spesies anak....... Namun, sebagai emak dan ayah, kita berdoalah. Tempat berdoa juga mesti dijaga, seeloknya di atas sejadah. Kalau sejadah kita pun berabuk, susahlah mahu diulas........

Membaca pelbagai iklan untuk mencerdikkan anak di akhbar, saya terkenang satu kisah di AlFalah. [Sebelum terlupa, saya pernah hairan dengan Summer Camp yang dianjurkan di sana sini, kenapa tidak ada Winter Camp juga......Demikian hebatnya negara kita. Ada summer macam di USA!]

Sekali peristiwa, datanglah peluang untuk budak AlFalah dan guru AlFalah...

AlFalah dipilih untuk mengadakan program BAKA selama tiga hari. Cikgu Mohd Faisal mungkin ingat apa maksud penuh B.A.K.A sebab dia banyak berbual dengan pengasas program, iaitu  Dr Azman Wan Chik, asalnya professor di Universiti Malaya. Di Fakulti Pendidikan UM inilah sebenarnya diasaskan BAKA pada tahun 1980. BAKA maksud biasanya adalah benih - mungkin tujuan program mencambahkan benih supaya berpotensi memberi hasil yang terbaik. Untuk kesejahteraan manusialah.............

Saya tidak berapa ingat tahun bila program itu diadakan, pelajar lapis mana yang terlibat dan apa yang ada di dalam program tersebut. Bukan tidak peduli. Saya sentiasa ada sepanjang program itu berjalan. Begitu juga dengan guru-guru yang lain.

Cuma waktu itu saya tidak sempat walau sekali pun menjengah ke dewan di mana program berlangsung. Puncanya? Saya, arwah Ustaz Fadzin dan Cikgu Siti Khadijah telah menyanggupi untuk menyediakan minuman jam sepuluh, makanan tengah hari dan minuman petang untuk peserta [budak AlFalahlah maksudnya] serta petugas BAKA dan guru-guru AlFalah. Adalah bayaran yang dijanjikan.....

Cikgu Faisal bertindak di kedua-dua bahagian. Kadangkala bersama Dr Azman di dewan atau pejabat, dan kadangkala [kebanyakannya] menyertai kami yang memasak di bawah bangunan dua tingkat yang belum digunakan. Akan Cikgu Non, saya tidak berapa ingat sangat - sama ada dia ada di AlFalah sewaktu itu atau sedang mengajar di Pondok G Talib[SMA Ihya', Simpang Empat]

Bab menyediakan makan ini membuatkan kami cukup sibuk. Masa berjalan rasanya cukup cepat. Ikan dan sayur kami yang siang, cuci sendiri, masak sendiri dan rasa sendiri. Syok pun sendiri-sendiri! Pelbagai kenangan indah di situ.Di situ terbentuk satu perpaduan yang sukar diterjemahkan. Seronok yang paling banyak mengambil tempat. Selesai orang semua makan, kami sedikan cucur pula untuk petang/tamat sesi hari itu. Apalagi yang mudah selain jemput-jemput bilis atau cucur udang. Sedap atau tidak, amat tidak beradablah kalau kami yang menceritakannnya....Tapi yang penting, licin semua bekas....

Dalam pada itu adalah beberapa episod pahit. Paling diingati bagi saya ialah kemarahan Cikgu Kathy apabila ada seorang guru mengomen tentang satu masakan pada salah satu hari itu. Saya dan arwah ustaz Fadzin turut terasa lalu berkongsi marah. Sakit ooooo.

Selain dari makanan tersebut, satu kemestian pada setiap sesi minum pagi dan petang ialah kacang kuda rebus! Ini bukan sengaja kami sediakan, tetapi syarat yang ditetapkan dalam menu yang ditentukan oleh Dr Azman Wan Chik. Katanya, kacang ini banyak membantu pembentukan minda cerdas manusia. Disertakan satu carta kandungan kacang kuda dan kebaikannya kepada tisu-tisu otak. Itu saja yang saya ingat. Mungkin kerana ingkar tidak makan kacang kuda rebus secara beristiqamah.......

Yang nyata, penganjuran program BAKA di AlFalah cukup meninggalkan kesan kepada semua. Semua orang seronok. Peserta seronok sebab mendapat ilmu.Guru-guru seronok  berehat sambil makan saja. Budak asrama seronok sebab tidak payah memasak. Tauke kedai pun seronok sebab banyak barang laku.
Saya, ustaz Fadzin dan Cikgu Khaty? Seronok biasa-biasa kerana keseronokan itu tertangguh sedikit..... Sebabnya, semua kos makan minum kami kena tanggung dahulu. Setelah tamat program barulah pihak BAKA membuat pembayaran. Setelah ditolak modal, pembahagian pun dibuat. Dapatlah kami merasa sedikit keuntungan. Mujurlah menunya sekadar ikan temenung{kembung}, tamban dan kacang kuda. Kalaulah dimintanya tenggiri dan kacang pistachio yang orang kita panggil kacang cerdik itu......

Membaca pelbagai petua makanan pembentukan minda, apa kata kita amalkan juga kacang kuda ini. Memang ada kajian terbukti namun tidak lagi dipopularkan oleh geng yang makan kacang kuda itu sendiri kepada anak-anak mereka. Kosnya pun tidak tinggi. Ini pun termasuk dalam bab ikhtiar juga.....


Saya difahamkan bahawa Dato' Dr Azman Wan Chik - tokoh pendidik dan penulis - telah meninggal dunia pada bulan Ramadan 1430 [2009] lalu. Sudah empat tahun beliau meninggalkan kita. Sempena bulan mulia ini marilah kita sedekahkan AlFatihah kepada beliau. Semoga jasanya menjadi amal solehnya.Semoga rohnya sentiasa dirahmati. Amin.

Demikianlah.



No comments: