Ketika berpatah balik, saya teringat akan empat kiriman salam bekas budak AlFalah kepada Cikgu Rahim. Ia perlu pula disampaikan. Saya menelefonnya yang berada di rumah, memberitahu dalam masa singkat saya akan berada di depan pintu rumah itu.
Sekitar lima minit kemudian, benar-benar saya berdiri di pintu rumahnya. Saya menjeling dalam balam malam dinding rumah lamanya yang tinggal sebelah yang penuh kenangan kepada pelajar AlFalah sekitar 1983 - 1990. Sedang memori merentas ke masa itu, saya dipelawa masuk ke rumah barunya dan mengambil tempat bersebelahan Cikgu Rahim di sofa. Maka bermulalah kisah malam ini......
Pertama, sebelum terlupa, saya sampaikan salam untuknya dari empat bekas budak AlFalah itu. Semuanya saya jumpa di kedai makan sekitar Alor Setar.
Kemudian kami bertukar cerita. Maklumlah sejak kami berjumpa ketika meraikan kedatangan Pawang Nujum di Simpang Empat tempoh hari, baru inilah kami bertemu semula. Banyak yang kami sentuh. Dari bidang ekonomi, ke perihal anak-anak, ke hal kematian Ustaz Fadzil yang tidak diketahuinya lagi. Berpindah ke bab perjumpaan alumni AlFalah. Berubah pula kepada kesukaran dan cabaran dalam kehidupan. Kemudian beralih ke hal-hal lain. Disusuli rehat sebentar ketika ada huluran dua cawan kopi dari balik dinding.....
Sambil menghirup air hitam kelat pekat itu, saya menelefon Ustaz Man dua kali, namun tidak berjawab. Agaknya sedang berdakwah lagi.
Masuk separuh masa kedua. Topik masih sama, cuma urutannya mengikut apa yang terlintas di benak kami. Culang-caling. Sesekali timbul cerita dan khabar beberapa budak AlFalah yang kami tahu. Selalunya begitulah. Tiada pertemuan tanpa menyentuh soal AlFalah atau budaknya.
Menjelang jam 2210 Ustaz Man menelefon. Saya memberitahu hajat untuk berjumpanya dan dia hanya akan berada di rumah sekitar setengah jam lagi. Kini sedang menunaikan hajat anak murid untuk melihatnya mengisi perut setelah selesai kuliah di Kota Sarang Semut.
Saya pula mengisi perut dengan hirupan terakhir ketika Cikgu Rahim mencadangkan kami keluar "pekena apa yang patut". Cadangan yang sangat bernas itu saya terima dengan kerongkong terbuka.
Kami keluar dengan menaiki kereta Cikgu Rahim. Di dalam kereta saya masih tertanya-tanya di manakah tempatnya yang patut kami pekena itu? Rupanya dia ingin ke Kuala Kedah. "Kita pekena mi Abbas," katanya. Ada dua lagi kedai mi [ejaan begini tidak akan anda temui di kedai sebenar...] Abbas sebelum sampai ke Kola, namun di cawangan Kola juga pilihan Cikgu Rahim. Saya tidak tahu kenapa dan tidak pula teringin untuk bertanya. Dengan kerongkong yang sedang terbuka, dibuatnya berpatah balik kerana banyak bertanya, bukankah membazirkan masa saja?
Mi rebus Abbas Kola. -juadahmalaysia.com- |
Kedai Mi Abbas Kola pada waktu siang. Malam itu, kami duduk di meja berdekatan lelaki yang berdiri di kanan foto. |
Sedang menunggu tibanya pesanan, kami sambung perbualan dengan topik culang-caling itu. Sambil Cikgu Rahim menyedut rokok, saya menyedut udara segar Kola. Ketika itulah saya teringat beberapa budak AlFalah yang berada di sekitar Kola. Saya ingin mendail semua nombor budak Kola yang saya simpan, tapi melihat ke kaca tv kedai Abbas, keinginan itu terbantut. Tidak tergamak rasanya mengganggu konsentrasi mereka yang sedang melayan Hrithik Roshan dan Amisha Patel datang menerusi Kaho Naa... Pyaar Hai di TV2.
Namun supaya tidak dianggap masuk tempat orang macam Yahudi, saya sempat menghubungi Encik Wira Osman, pegawai pemasaran di PNKK. Dia sedang melepak di rumah bersama ipar-duai dan anak-anak. Dengan pantas saya minta dia datang ke pekan Kola dan dengan pantas dia sampai.
Plan lokasi kedai mi Abbas Kola |
Saya kira Wira [gambar kiri]tidak pernah berjumpa Cikgu Rahim. Namun sebelum dia duduk, ketika saya ingin mengetahui sama ada dia kenal atau tidak, dengan tepat dia meneka,"dulu cikgu ajar Sejarah, kan?" Sahlah malam ini pekerja kedai Abbas kena menguap beberapa kali sebelum kami balik...... Sayangnya, Wira menolak untuk berjemaah dengan kami menjamah mi rebus. Alasannya, masih kenyang kerana baru lepas makan kuaci! Adaka? Namun, untuk tidak menghampakan pekerja kedai Abbas yang datang bertanya, dia memesan segelas minuman sejuk.
Kami bertukar-tukar khabar. Bermula dengan kes kemalangan suami Zabarina Ahmad. Berpindah kepada sekitar tugasan dan kerjaya Wira. Lama juga masa diambil untuk sesi Wira ini. Berpindah sedikit kepada kedudukan terkini perjumpaan raya alumni AlFalah. Beralih kepada hal-hal keibubapaan serta keagamaan. Seperti biasa, akan terungkit juga nostalgia semasa di AlFalah......Kemudian diikuti hal-hal lain. Kemudian berputar culang-caling semua topik tadi, mengikut gerak hati dan lidah.
Ustaz Man menelefon, bertanya lokasi saya, mungkin kerana telah jenuh menghitung pusingan jarum jam. Saya memberitahu yang sebenar. Setelah itu saya menghantar pesanan kepada menantu emak yang tinggal di rumah: Awak, suami awak ada di Kola. Nanti dia baliklah, awak. Awak tidurlah dulu.Selepas pihak Celcom mengesahkan pesanan itu sudah diterima, saya terus matikan telefon! Jangan ada gangguan.......
Cikgu Rahim menggamit pekerja kedai mi Abbas. Laju saja dia datang untuk mengira, tapi cepat kami pintas dengan memesan dua teh tarik dan satu teh o ais. Appara! Mungkin demikian kata hati pekerja tersebut yang kelihatan mengantuk kerana ketika itu trio kamilah pelanggan yang ada di kedainya.
Perbualan bersambung sebelum dan sesudah minuman sampai. Topiknya agak rencam.Kami bersilih ganti menyusun frasa supaya setiap detik terisi dengan suara kami. Nampak keserasian Wira dengan Cikgu Rahim walaupun masing-masing telah meninggalkan AlFalah hampir dua dekad dan tidak pernah berjumpa sejak itu. Mungkin untuk membuktikan keserasian itulah, Wira mencapai kotak rokok kepunyaan Cikgu Rahim. "Rokok daun tertinggal di rumah," katanya bagi membuatkan tindakannya itu menjadi relevan....
Malam itu banyak yang kami sepakati tentang isu makanan suci dan halal, keperluan mendidik anak ke jalan yang diredai, keperluan ikhlas dan jujur dalam kehidupan serta kekangan-kekangan kepada kemajuan bangsa. Demikianlah jika mahu dimurni dan diperindahkan isi perbualan kami.....
Pekerja kedai yang tinggal seorang mula melipat meja yang terletak di luar serta menyusunnya bersama kerusi di dalam kedai. Gaya lipatannya bersekali dengan menendang kaki meja sebuah dua memberikan makna yang kucing pun akan faham.....
Sedang perbualan menjurus kepada pengalaman kami berada di AlFalah di peringkat awal penstrukturan semula pada era 80-an, kami terpaksa bangkit. Tinggal meja dan kerusi yang kami gunakan sahaja yang masih belum diangkut oleh pekerja kedai mi Abbas. Matanya tidak dapat ditumpukan ke skrin tv di dalam kedai sepenuhnya. Sesekali dia menjeling ke arah kami. Agar tidak dikatakan duduk di tempat orang macam Yahudi, kami menoktahkan perbualan bertiga beberapa saat sebelum pukul satu.
Ketika menaiki kereta selepas bersalam dengan Wira [serta berharap berjumpa lagi, Insya Allah], radio baru memulakan berita jam satu pagi. Mulanya saya ingin mencadangkan satu tempat lain di pekan Kola bagi menyambung perbualan. Namun mengenangkan Cikgu Rahim dan Wira tidak pernah bersengkang mata begitu, bimbang pula trauma yang bakal ditanggung oleh isteri mereka lain kali, apabila mengetahui saya yang menjadi teman berbual suami mereka.....
Sepanjang perjalanan pulang, kami masih menokok apa yang patut tentang topik di kedai tadi. Sampai di Kg Perlis, kami memasuki ban untuk ke rumah mini Ustaz Man. Kasihan ustaz. Hingga terlena dia menunggu saya. Cikgu Rahim membunyikan hon sekali. Terdengar ada pergerakan di dalam rumah ustaz. Beliau bangun membuka lampu dan pintu. Berbasa-basi 40-50 patah kata, kami minta diri setelah saya menyampaikan amanah orang kepadanya. Sebelum naik ke kereta, sempat juga kami menitipkan salam kepada Kak Jah, isterinya serta keluarga kerana besok pagi ustaz akan balik kampung - menyambut Ramadan dan 1Syawal di Pattani.
Kami balik dengan melintasi rumah Ustazah Rodziah. Sebaik melalui belakang bekas asrama AlFalah, kelihatan zink-zink lama bumbung asrama disandarkan di pagar kawasan itu. Saya tahu sayu yang menyerbu di kalbu Cikgu Rahim dengan sekadar separuh mengeluh, "'Ni yang tinggal di AlFalah, noooo..."
Kami melintasi rumah Maklong/Maklang serta bangunan melintang AlFalah dulu yang sedang diserkup sepi dan gelap. Masing-masing melayan perasaan entah apa kerana tiada suara yang kami lontarkan hinggalah selepas melewati bendang di hadapan AlFalah, menuju ke jalan raya. Hanya kedengaran Amir [Ukay's]
meraung dalam lagu Seksa:
walaupun lenaku panjang
tiada mimpi bertandang
menghitung hari berlalu
seksanya aku......
Sampai di rumah Cikgu Rahim, saya turun dan menghala ke bekas rumah lama beliau.
Di situlah pernah Mat Jin [Mohd Fazil Bakar], Saidin Saad dan lainnya berguling-gantang ketika bersedia menghadapi SRP 1983 atau SPM 1985. Memasak nasi dan lauk. Dalam balam malam saya melihat bekas tempat itu.
Serasa baru saja mereka meratah lauk di penjuru dapur dan berebut mandi di bilik air luar rumah. Serasa ada suara nakal memanggil Hamidah, gadis comel pelajar AlFalah yang tinggal 200 meter di belakang rumah itu. Serasa ada pertengkaran kecil di atas rumah berhubung penipuan di papan dam..... Seorang di dapur sedang menggaul garam kunyit kepada ikan puyu yang telah disiang dan dicuci di luar pintu, sambil melagukan Hati Luka [Matahari]:
tapi tiba-tiba kaumembisu
tiada lagi semesra dulu
pedih hati ini bila kutahu
kaumencintai teman baikku.......
Masih jelas, emak Cikgu Rahim, [arwah] Roknah Shafie, tersenyum bersandar di tiang seri rumah sambil menggobek sirih pinang, melihat telatah hampir sedozen budak AlFalah itu........[Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya]
Seakan.......
"Sofi [Ahmad] mai sini dulu, tunjukkan tempat kita memasak nasi dulu," Cikgu Rahim memancung igauan saya, "terkejut bini dia...."
Saya tersentak. Rupanya waktu telah menghampiri jam 2 pagi!
Saya bersalam dengan Cikgu Rahim lalu pulang bersama bahan-bahan untuk entri ini.
Di rumah, saya disambut menantu emak yang kelihatan lega melihat kemunculan anak mertuanya.
"Awak, awak belum tidur lagi ka, awak?" saya meniru perbualan dalam drama tv masa kini......
Menantu emak hanya tersenyum secubit. Tidak sempat saya menafsirkannya
Di bilik, dua cucu emak meniarap di atas katil. Ada gegaran kecil pada badan mereka. Sahlah mereka belum lena dan baru melompat ke katil sebaik mendengar saya pulang.
"'Tu, baru tutup komputer 'tu. Esok susah 'nak bangun, siap!" Frasa pertama menantu emak tujukan kepada saya sebagai acuman, manakala frasa kedua mungkin ditujukan kepada cucu emak dan saya serentak! Dia tahu selepas solat, pasti saya menghadap komputer, mencatat entri......
No comments:
Post a Comment