Jumaat 22 Jun 2012. 2 Sya’aban 1432.
Pukul 8.27 pagi saya menerima berita kematian Ustaz
Fadzin Hamid dari Cikgu Mohd Zainon. Innalilahi wa inna ilaihi rajiuun. Cikgu Non berada di satu daerah di Selangor. Malam tadi saya difahamkan Nazri Hashim mendera geraham Cikgu Non mengunyah sate....
Saya
kehilangan seorang lagi sahabat. AlFalah kehilangan seorang lagi bekas guru.
Saya menghubungi beberapa rakan termasuklah Ustaz
Mohammad Abdullah, keluarga Maklong/Maklang, Bang Man Kantin serta kenalan saya
dan Ustaz Fadzin yang saya sempat ingat. Ada yang menjawab dan ramai pula yang dibantu suara merdu setiausaha masing-masing: "Harap maaf. Nombor yang ....bla....bla....." Kepada Cikgu Khaty/Kathy, saya kirimkan mesej.
Seperti ulangan pula.
Jumaat sebelumnya, saya menghubungi sebahagian mereka untuk memberitahu bahawa
Ustaz Fadzin telah dimasukkan ke Kedah Medical Center kerana diserang stroke.
Beberapa rakan pergi melawatnya petang itu, termasuklah Cikgu Faisol. Petang di
mana saya, Cikgu Non dan Cikgu Rahim berjumpa Pawang Nujum. Saya hanya sempat
menziarahinya setelah diberitahu bahawa beliau dimasukkan kali kedua ke tempat
dan bilik yang sama dua hari kemudian kerana keadaannya yang semakin uzur.
Ketika fikiran bercelaru, saya teringat alumni
AlFalah. Saya hubungi Raihan untuk memaklumkan dalam fb. Malangnya dia bercuti, fbnya juga ikut serta berehat. Saya serahkan kepadanya untuk memaklumkan kepada sesiapa yang difikirkan patut.
Dia menghubungi Wira [Maaf Encik Wira, sepatutnya encik yang saya hubungi juga] dan Farihah. Saya tidak tahu bagaimana rupa makluman itu.
Wira ada menghantar mesej bertanyakan
kampung Ustaz Fadzin dan waktu jenazah dikebumikan. Saya membalas setakat yang saya tahu.
Jam 10.15 saya bersama seorang jiran mengunjungi
rumah mertua Ustaz Fadzin di Kampung Gelam 2, berdekatan Kota Sarang Semut.
Saya tidak hafal alamat lengkapnya. Cikgu Faisol bersama isteri dalam
perjalanan setelah selesai kursus haji di Teroi. Ustaz Mohammad dan keluarga
juga dalam perjalanan setelah menghadiri kursus haji di Masjid Sultanah
Bahiyah, Alor Setar.
Sepanjang perjalanan, tidak banyak yang kami
bualkan. Jiran saya, yang mengenali Ustaz Fadzin sejak lima tahun lalu, bagai
masih bermimpi. Baru Jumaat lepas dia melihat Ustaz Fadzin dengan berselera
mengunyah apum yang dibawanya, berbual sambil menunjukkan keupayaannya
mengangkat tangan dan kaki di atas katil wad. Wajahnya licin kerana baru saja
mencukur jambang, katanya.
Saya melantun ke masa silam. Jalan tar mini
bersimpang siur dari jalan utama, mengingatkan saya kepada kali pertama saya
dan rakan-rakan ke rumahnya lebih lima belas tahun lalu. Seorang rakan, kerana jauhnya jalan masuk,
berseloroh,”Bagaimana hang boleh cari bini di dalam macam ‘ni?” Selamba saja Ustaz Fadzin menjawab dalam slanga
Jenerinya, “ Aku bukan cari di sini, jumpa broker saja…”
Selepas itu, banyak kali juga saya ke rumahnya,
termasuk ke rumah baru yang dibeli di kampung itu dan ke rumah mertuanya kalau
ada kenduri kendara. Setelah berhenti dari mengajar di AlFalah, saya tidak lagi
ke kampung itu, kerana beliau sendiri telah berpindah ke Taman Impian, Kota
Sarang Semut, menjadi jiran setaman Ustaz Zahari Ahmad.Beliau membuka kelas
qiraati di situ, selain menjadi guru KAFA dan guru ta’mir di beberapa tempat.
Kemudian beliau mengembangkan kelas qiraatinya ke Gurun dan Simpang Empat. Di
Taman Seri Simpang Jaya, Simpang Empat, beliau turut menyediakan khidmat taman
didikan/asuhan dinamakan Wardah Dinamik. Di sinilah jiran saya tadi menghantar
dua anaknya dan bermulalah perkenalan mereka.
Ustaz Fadzin di AlFalah mungkin sekitar empat tahun,
pada pertengahan 90-an. Saya tidak ingat sangat. Ketika itu, pasukan bilik guru
lelaki termasuk arwah Ustaz Abdul Hamid, Cikgu Abdul Aziz, arwah Cikgu Mustafa
Mohammad, Cikgu Faisol, Ustaz Mohammad, Ustaz Zahari, Cikgu Non, Cipher dan
seketika Ustaz Hashim Din serta Cikgu Alhamidi. Boleh dikatakan bagai satu keluarga besar. Cukup
seronok. Kami berkongsi semua cerita suka duka termasuk yang bersifat peribadi.
Saya tidak ingat bagaimana beliau boleh muncul di
AlFalah. Tetapi saya masih teringat kepekatan slanga Jenerinya ketika mula-mula
bertugas. Paling saya minat mendengar adalah ayat: Baso ‘ni/'tu yang aku tak berkenan! Merujuk kepada apa saja yang tidak
disukainya. Baso berasal dari bangsa
yang bermaksud jenis.
Jika dia tidak menggemari sesuatu, itulah ayat muktamadnya….
Satu lagi perkataan kegemarannya adalah bork [bor], loghat Kedah yang bermaksud joran atau
mata kail.
Baginya setiap sumber pendapatan adalah satu bork. Banyak bork, banyaklah
pendapatan. Kita kena tahan bork bagi banyak, begitu katanya selalu. Ini
dilafazkannya ketika kami menggiatnya kerana selain mengajar di AlFalah, dia
juga mengajar kelas KAFA dan ta’amir seperti saya catatkan tadi. Kayalah Ustaz
Fadzin, kata kami. Mudah saja dibalasnya, “’Dah bork banyak…..”
Sejak itu, setiap kali kami bertemu, soalan tentang
bork akan timbul. Selain berapa banyak bork, ditambah lagi berapa besar saiz
bork itu. Dia akan tertawa jika saya katakan borknya makin besar, merujuk
pertambahan aset yang diceritakannya.
Kalau nampak orang berjualan di tepi
jalan, dan kelihatan laris pula, segera diucapnya, “Pandai depa tahan
bork…” Ketika dia memaklumkan bahawa akan dibukanya Tadika Wardah Dinamik berhampiran kawasan perumahan saya dan Cikgu Non, saya mengulangi frasa itu: "Pandai hang tahan bork...." Dia tertawa kuat.
Dia cukup berbangga dengan pertambahan kelas qiraatinya. Pernah sekali dia bercerita, sepupunya, Ustaz Sidik yang mengasaskan sebuah sekolah agama di Padang Kasap, dalam berseloroh berkata, "Dalam ramai anak murid Ustaz Ya Jeneri, aku yang menjadi mudir sekolah!" Lalu dibalasnya, "Aku jadi mudir di TIGA tempat......"
Begitulah.
Kami sampai ke rumah kampungnya ketika aliran orang
keluar masuk kian ramai. Saya terus melangkah ke sisi mayat. Rasa sebak
menerpa. Wajah putihnya seperti minggu lalu atau kalau sesiapa mengenalinya
lebih lama, wajahnya tidak berubah. Tunggul-tunggul jambang memenuhi pipinya.
Dia tidak terlantar lama, maka tiadalah bekas cengkung orang sakit. Dia
kelihatan tegap seperti saya melihatnya minggu lalu atau melihat kelibatnya dua
tiga minggu lalu di depan kelas Wardah Dinamiknya. Ketika berdoa untuknya, ada
genangan air di kelopak mata, ada sekatan di rongga tenggorok saya. Dia seusia
saya. Banyak kenangan bersamanya. Banyak ceritanya dikongsi dengan saya,
terutama ketika sama-sama berkelana di AlFalah.
Selamat jalan sahabat.
Ketika seseorang menarik kain tipis menutup mukanya,
wajah itu tetap kekal di minda saya. Mana mungkin dapat saya melupakan
satu-satunya ustaz yang saya kenal, yang membahasakan dalam perbualan kami, hang - aku. Semua ustaz lain membahasakan anta - ana, atau sekurang kurangnya Din, Bang Din, Pak
Din [ikut umur ustaz] – saya!
Di luar, dalam satu kelompok, sempat kami berbual dengan
mertuanya.Darinyalah saya mendapat info lebih tepat. Katanya, Ustaz Fadzin
dikeluarkan dari KMC malam tadi. Terus dibawa ke sebuah klinik di Pauh, Perlis,
sebagai ikhtiar lanjut bagi mengubatinya. Dapat nombor 22 dalam senarai
pelanggan yang menunggu di luar klinik. Namun keadaannya kian uzur. Selepas
berjumpa doktor, dia dibawa pulang. Paginya, sekitar jam 7.45, dia menghembus
nafas terakhir di hadapan isteri, dua anak gadis dan keluarganya. Sebelum ini
saya difahamkan beliau meninggal di KMC. Pemberi maklumat mungkin tersilap,
kerana sehingga semalam beliau masih di KMC. Tak apalah.
Cikgu Faisol saya hubungi sekali lagi kerana masa mungkin agak suntuk apabila dimaklumkan jenazah akan dikebumikan pada jam 3.00 petang. Hari ini hari Jumaat pula. Cikgu Faisol
memberitahu bahawa dia hampir sampai. Saya hubungi lagi Ustaz Mohammad. Masih
dalam perjalanan.
Ketika saya keluar, kami berselisih dengan kereta Cikgu
Faisol. Jalan yang sempit menghalang saya mengisyaratkan kedudukan saya. Ketika
saya sudah di jalan utama, barulah beliau menelefon.
Ketika bersembahyang Jumaat di Masjid Batu 8, Simpang Empat, sepanjang khutbah yang mengupas tahap kecintaan kita kepada Nabi Muhammad S.A.W, saya melencong banyak kali ke zaman bersama Ustaz
Fadzin. Sayu rasa hati tidak akan mampu disusun dari deretan aksara qwerty….
di atas papan kekunci ini.
Selamat jalan
sahabat. Aku dan semua akan menyusul. Lambat laun…..
mengimamkan solat Jumaat membacakan surah Al Ankabut bermula ayat 57,.كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ Mata saya kembali memijar… Merangkak-rangkak saya cuba menterjemah ayat itu dan ayat berikutnya.Ya Allah, kebetulan apakah ini? Saya memejamkan mata serapat mungkin, cuba meminimumkan air yang bergenang di kelopaknya.
Pukul 3.00 petang, jadualnya jenazah akan dikebumikan. Pada jam 2.43 Ustaz Mohammad menelefon memberitahu dia tersesat dan belum menjumpai rumah arwah. Saya tidak mampu memberi arah kerana jalan ke kampung itu memang berselirat. Saya hanya meminta Ustaz Mat terus mencari dan bertanya. Ketika jam 4.00 saya menghubungi Ustaz Mat sekali lagi. katanya, tetap tidak berjumpa dan dia kini berada di Tokai, dalam perjalanan pulang. Demikian takdirnya.
Selepas Maghrib, saya ke rumah Maklong/Maklang. Bercerita tentang perjalanan akhir Ustaz Fadzin. Rupanya Ustaz Fairose tidak diberitahu lalu saya menelefonnya yang kedengaran terkejut. "Sedekahkan apa yang patut," pesan saya.
Selepas itu saya menghubungi Ustaz Wan Osman [Wae Samae] yang pagi tadi diberitahu oleh setiausahanya : Harap maaf...itu. Rupanya waktu itu beliau sedang mengajar di satu kampung dan hanya pulang pada jam 11.30 sebelum ke Masjid Alor Pulai untuk mengajar lagi....Demikian sibuknya seorang da'i.
Pukul 9.49, saya hubungi Cikgu Alhamidi yang nombornya baru saya perolehi dari Tuan Hj Sehabudin Azizan. Setelah berbasa-basi ala kadar, maklumlah lama tidak bertemu, saya memberitahu khabar duka itu...
Demikianlah hari Jumaat minggu pertama Syaaban ini.
Malam ini saya gagahi mengingat perjalanan masa itu dan mencatat di sini.
Marilah kita doakan kesejahteraan roh sahabat saya dan bekas guru Alfalah, Ustaz Fadzin Abdul Hamid. Semoga segala amal kebajikannya sepanjang hayat diterima manakala segala dosanya diampunkan. Amin.
Marilah kita doakan kesejahteraan roh sahabat saya dan bekas guru Alfalah, Ustaz Fadzin Abdul Hamid. Semoga segala amal kebajikannya sepanjang hayat diterima manakala segala dosanya diampunkan. Amin.
Selamat jalan, sahabat!
Malam ini aku benar-benar terasa
Pemergianmu kucatat dalam blogku
Pemergianku nanti?
Mati
dalam pada lambatnya
jarum itu bergerak
dari saat ke saat
dari minit ke minit
dar jam ke jam
dari hari ke hari
dari minggu ke mingggu
dari bulan ke bulan
dari tahun ke tahun
tapi akhirnya
akan sampai jua aku
kepada
MATI.
Zahari Hasib
1 comment:
Salam. dekat setahun, baru saya tau ustaz Fazil dah meninggal
Inna lillah....
Post a Comment