Tiada talian telefon. Tiada liputan untuk telefon genggam - malah bagi telefon jenis tersebut, pengedarnya sekarang masih di buaian ketika itu.
Surat-surat yang ditinggalkan posmen di pejabat sekolah, biasanya ditapis, namun lama-kelamaan amalan itu ditinggalkan. Akhlak penulis surat ketika itu cukup terpuji. Tiada kandungan yang memudaratkan pembaca baik di segi pemikiran mahupun akidah...Maka semua surat itu diserahkan kepada penama yang tertulis di depan sampul.
Namun ada satu nama yang, malangnya, tiada dalam daftar pelajar AlFalah. Setiap kali encik posmen datang, pasti ada beberapa surat untuknya. Puas ditanyakan, tiada siapa yang mengaku. Akhirnya, kami membuat kesimpulan bahawa surat itu mungkin untuk seseorang di asrama puteri. Kalau untuk pelajar yang berulang, pasti surat itu diutuskan ke alamat rumah.....
Namanya Azliza Baizura binti *****. Sengaja di*****kan nama si ayah, kerana beliau tidak tahu menahu akan hal ini....
Setiap malam, sekitar jam 10.30, penghuni asrama yang mengulangkaji di beberapa bilik kelas, dikumpulkan di salah satu bilik, untuk mendengar taklimat, teguran dan leteran saya. Melibatkan semua bab. Adakalanya sesi itu berlarutan hingga awal pagi - bergantung kepada isu.
Dalam sesi inilah, kalau ada, saya akan membacakan isi beberapa surat bagi menyeru roh Azliza Baizura datang.....

Waktu itu, Mark Zuckerberg baru boleh bercakap pelat di rumahnya di Amerika Syarikat. Book pun disebutnya Boot. Yalah, kalau Melayu, buku disebut butu.Kalaulah ada facebook semasa itu ...............
Slot pembukaan dan pembacaan surat-surat kepada Azliza Baizura itu berterusan agak lama. Malah seolah menjadi hiburan unik. Adakala jika saya tidak membacakannya di depan perhimpunan budak asrama itu dua tiga malam, ada nada kecewa kedengaran setelah majlis ditutup begitu sahaja. Pernah seorang pelajar yang baru saya leteri bertanya, setelah mendapat bahagiannya, "Surat untuk Azliza Baizura tak adakah?"!
Mereka seronok. Pertama, kerana Azliza Baizura itu, bukan mereka. Kedua, ada isi surat yang lucu walaupun romantik. Ketiga, level leteran saya terhadap mereka rendah, jika ada sesi bacaan surat itu.
Akhirnya, dirumuskan bahawa memang bukan budak AlFalah si Azliza ini, kerana hingga bertimbun surat diterima, tiada individu yang muncul mengaku dirinya Azliza Baizura.
Lalu slot untuknya dihentikan. Surat-surat untuknya dilupuskan. Ceritanya pula menjadi abu.....
Silap siapa?
Kini, keluarga insan yang menggunakan nama samaran Azliza Baizura itu masih berada di sekitar AlFalah. Dia sendiri pun tinggal tidak sampai 10km dari AlFalah. Telah menjadi menantu orang,isteri orang dan emak orang.
Sesekali saya terserempak Azliza di tempat bertugasnya, namun tiada sebarang sapaan. Memang sejak suntinya saya tidak pernah bertegur sapa dengannya. Begitu juga dengan insan sejenisnya dan sebayanya. Takut emak marah.....
Sampai kini, saya tidak tahu, adakah dia tahu bahawa saya tahu dialah Azliza Baizura yang agak lama popular dalam misteri di AlFalah.....
No comments:
Post a Comment