..............
Kita saling kasihi
Jadikanlah itu memori
Sayangku moga engkau tahu
Tidak semua cinta bersatu
Kita saling kasihi
Jadikanlah itu memori
Sayangku moga engkau tahu
Tidak semua cinta bersatu
5 Jun 2012.
Lama saya, Cikgu Non dan Nazri Hashim berbual kali ini.
Bermula dari Nazri menjemput kami di rumah, kemudian ke Sungai Limau bagi mengisi perut yang sememangnya berisi, dan balik semula lalu melekat di rumah Cikgu Non.
Dari pukul 9.00 malam hingga jam 3.30 pagi. Catatan ini dibuat selepas melihat Nazri bertolak pulang.
Perbualan berskala maraton itu meliputi beberapa tajuk. Menyentuh suasana kehidupan masa kini masing-masing serta beberapa rakan Nazri. Dan tentunya, apa lagi dalam pertemuan sesama warga AlFalah, mengimbau kenangan semasa di situ.
Antara yang paling menggamit adalah tentang pasangan-pasangan yang pernah hadir di bumi AlFalah, yang kami ketahui pada era Nazri.
Semuanya hanyalah mainan rasa. Meski banyak cerita yang ketika itu mungkin pahit berbungkus duka, kini menjadi manis untuk dikenang.
Cerita kemarahan beberapa Uda dan Dara kepada guru yang sentiasa memantau tidak hanya pergerakan, malah pemikiran mereka. Lebih-lebih lagilah guru-guru itu sendiri masih hidup berseorangan....
Cerita tentang bagaimana modus operandi beberapa Uda untuk berjaya mendekati Dara pujaan masing-masing.. Vice versa.
Betapa mudahnya mengesan Dara pujaan seorang Uda kerana dibelikan aiskrim colek hanya satu. Kalau dia seorang strategis, pasti dibelikan empat lima aiskrim itu untuk rakan pendamping Dara....
Betapa ada ayah ibu yang sanggup meredah malam menjengah anak yang sedang di dalam kelas tuisyen, semata-mata untuk turut sama melihat wajah bakal menantu....
Betapa seorang Uda yang baru menulis perenggan pertama perutusan cinta, kecewa kerana helaian itu dirampas guru...
Betapa seorang Uda menggunakan tangan kanan untuk menumbuk telapak tangan kirinya berkali-kali apabila rancangan untuk menumpangkan si Dara cepat dihidu guru - meski dia meletakkan motornya jauh dari kawasan sekolah.
Betapa sepasang pelajar ditampar di hadapan perhimpunan oleh Ustaz Fairose gara-gara hubungan mereka ketahuan.
Betapa pengorbanan Uda membelah jalan raya pulang ke rumah mengopek kelapa hingga licin tempurungnya, sebagai tanda hati untuk si Dara menggulai di dapur asrama. Menjadi misteri kerana AlFalah sendiri begitu sinonim dengan jajaran pohon kelapa ketika itu.
Betapa kerana ketahuan, dalam kepekatan satu malam, seorang Dara mengugut untuk terjun bangunan yang baru dibina jika guru mendekatinya untuk mengetahui siapa empunya diri itu.......
Sejak berzaman, kisah cinta cukup banyak jalan ceritanya.
Di Alfalah tentulah tidak terkecuali. Banyak babak dendam, marah, mendebarkan, lucu dan sedih. Kalau hendak difilemkan mungkin ada yang lebih menyayat dari Titanic atau Ketika Cinta Bertasbih.....
Namun satu kesimpulan boleh dibuat apabila melihat peratus kegagalan percintaan para kekasih di AlFalah: Cinta Tidak Semestinya Bersatu.
Mereka mungkin meraung atau merintih atas kegagalan itu dahulu. Namun kini, dengan semuanya telah berbahagia dengan pasangan yang ditentukan takdir, cerita lama itu hanya mencipta secarik senyuman apabila dikenang. Alah, zaman berhingus dan masih nangoi.... Biasalah...
Tidak dinafikan, ada juga yang berjaya hidup bersama pujaan semasa zaman persekolahan. Tahniah atas keberuntungan itu. Kalaulah tidak keberatan menjawab, ingin sekali ditanyakan: samakah realiti hidup dengan fantasi semasa terawang dilambung bayu asmara? Sedangkan lidah lagi tergigit...... kata Abdul Wahib dan Ghasidah ketika tidur di kandang kuda....
Maaf jika omelan ini menyinggung. Sekadar menumbuhkan rasa insaf betapa Allahlah Yang Maha Pengatur. Kita hanya mampu berangan dan merancang. Bersyukurlah dengan apa yang kita dapat.
Untuk Nazri: seperti anda, saya juga pernah merancang tetapi.....
Padan muka kita!
Hingga jam ini, saya masih terkebil-kebil mendatangi masa itu.....
Sementara itu, Nazri, hayatilah lirik lagu Dato' Shake ini:
Bicara Tentang Cinta
Ku pasti terkenang padamu
Di manakah kau berada kini
Ingatkah pada diriku lagi
Bila saja bicara tentang cinta
Masa silam kembali terbayang
Dimana letaknya kesilapan
Sehingga memutuskan perhubungan kita
Melalui detik-detik waktu
Terubat sudah luka ku
Tiada lagi yang ku kesalkan
Segalanya hanya kenangan
Bila saja bicara tentang cinta
Ku tersenyum sinis sendirian
Potret wajah juga surat cintamu
Kubakar semua menjadi abu
Potret wajah juga surat cintamu kubakar semua menjadi abu! Begitu kuatnya cubaan untuk melupakan masa silam yang penuh luka!
Tapi ada yang masih menyimpan elok surat-surat yang diterima semasa di AlFalah dulu.......Saya tahulah sebab diberitahu begitu......he he he he.
No comments:
Post a Comment