Foto koleksi Yusnita Mohd Yusof |
Ini sudut pandangan dari depan bilik Ustaz Wan Osman [Waesamae]. Pokok di sebelah kiri adalah bersebelahan tingkap bahagian belakang rumak Maklong/Maklang.
[Binaan berbalam di sebelah kiri, dilindungi sepohon mempelam genit itu ditiadakan ceritanya di dalam catatan ini.....]
Di sebelah kanan foto adalah bumbung semurup surau dengan bumbung kolah tempat takungan air/berwuduk di bawahnya. Kisah lengkapnya terdapat dalam entri Hilang Di Mata, Kekal di Minda.
Bangunan surau |
Di bahagian bawah pernah menjadi bilik kelas dan bilik guru, malah dewan muhadhoroh pada awalnya. Di bilik inilah pelajar Peralihan 1983 [dua kelas] memulakan sesi bersejarah mereka. Tambahan bangunan yang agak rendah itu merupakan bilik buku teks merangkap bilik guru pada satu ketika.
Kini bahagian dua tingkat itu telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan satu tingkat sahaja - dijadikan asrama putera pada akhir 1990-an.
Abu Bakar Rautin |
Dr Sulaiman Daud |
Hari itu dalam musim cuti persekolahan. Saya kebetulan bersama-sama beberapa pelajar Tingkatan Lima sedang mengecat semula bangunan surau. Maka takdir menentukan saya yang terserempak dengan Dato' Abu Bakar [pernah menjadi Pengerusi LKIM] lalu menerima surat tersebut, di bawah bayang bumbung semurup surau [yang kelihatan di kanan foto di atas].
Fakta ini penting sebab ketika bangunan itu sedang dalam proses pembinaan ada seseorang mengaku mempunyai saham usaha dan berkat dalam memungkinkan bangunan itu didirikan.......Seseorang ini, sebenarnya, hanya muncul di AlFalah lama sesudah surat itu kami baca.... Namun kami tidak mampu menghalang sebahagian insan mempercayai dabikan dada seseorang tersebut. Biasalah namun biarlah.... Semoga Allah merahmati wira tidak didendang, insan-insan sebenar, yang terlibat dalam semua proses - bermula dari sekeping surat permohonan hinggalah membolehkan bangunan itu dimanfaatkan. Allah Maha Tahu.
Kontraktor yang memenangi tender membina bangunan itu adalah Encik Mohd Salleh Md Noor, bekas guru yang berasal dari Selarong Batak/Alor Ibus. Pelbagai cabaran dan kerenah yang beliau hadapi sebelum berjaya menyelesaikan tugas. Semuanya tersimpan kemas dalam kotak memori kami. Apabila siap ia dijadikan dua kelas di bahagian bawah manakala di bahagian atas sebuah kelas dan sebuah bilik perpustakaan. Grill kemudian dipasangkan pada tetingkap bilik perpustakaan.
Menyentuh tentang perpustakaan, rasanya ia adalah yang paling lengkap dengan aneka buku ilmiah/agama sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia [YPEIM] dan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, KPM. Saya yang dipertanggungjawab mengawasi dan menyusun letak buku itu berani menyatakan bahawa ia paling lengkap kerana terdapat beratus tajuk buku meliputi pelbagai disiplin ilmu. Bermula dari peringkat rendah [mengenal huruf dan sebutan] hingga ke peringkat tinggi. Ada dalam bahasa Arab, Inggeris dan ibunda. Kebanyakan buku/kitab tebal adalah terjemahan yang diterbitkan di Indonesia. Ada terjemahan hasil tulisan ulama muktabar dan silam. Al Quran dengan cetakan bertanda tajwid ada 120 buah.Tafsir al Quran sahaja ada pelbagai edisi - Ibn Katsir, al Qurtubi, al Maraghi, al Tabari dan lainnya. Demikian juga tentang hadis, sirah, ekonomi dan siasah. Kalau dinilaikan, berdasarkan harga pada waktu itu pun,rasanya mencecah ratusan ribu ringgit. Pernah secara jenaka seorang guru berkata, "Kalaulah tidak perlu berguru, sesiapa yang menghadam semua buku di dalam perpustakaan ini akan keluar sebagai ahli dalam semua bidang......."
Demikianlah.
Bagaimanakah kedudukan semua buku dan keadaan perpustakaan tersebut sekarang? Marilah nanti kita tanyakan kepada pihak pentadbir Pusat Tahfiz Amal yang cukup terkenal dengan tebaran pelajarnya itu. Mereka menerima sepenuhnya sebuah perpustakaan yang tidak ternilai itu, ketika pengambilalihan dulu. Semoga semuanya dalam keadaan sihat wal afiat seperti mula....
Akan bas sekolah yang menjadi objek ketara kerana orennya di dalam foto, sebenarnya milik AlFalah! Jangan tidak tahu bahawa AlFalah pernah satu ketika itu [1998] membeli sebuah bas, walaupun kondisinya tidaklah begitu memuaskan. Saya tidak ingat lama manakah bas itu digunakan atau bila pula ia ditolak.... Namun, saya masih ingat pernah menumpangnya beberapa kali ketika menghantar pelajar hingga ke Kuala Kedah dan berpatah balik. Saja mencari thrill....he he he... Pemandunya adalah Zuna atau Adin atau Zukefli Basari, salah seorang bekas murid pertama merangkap jiran saya di kampung. Baca saja di sini. Ramai pelajar era hujung 90-an tentu ingat akan bas dan pemandunya ini. Zuna sekarang bekerja dan bermastautin di Johor, manakala bas sekolah itu tidak diketahui kedudukan terkininya.
Sementara itu, nampakkah objek biru di tengah-tengah foto? Kedudukannya demikian kerana demikian juga fokus sebenar jurufoto! Itulah salah satu objek paling berjasa pernah ada di AlFalah. Walaupun sering merendah dan merasa cacat kerana hanya memiliki satu roda, jasanya dalam mengangkut tanah, batu, pasir, simen, kelapa malah sampah tidak akan terbalas. Cukup pendiam dan tidak pernah mengeluh dalam menghadapi sebarang tekanan dan bebanan! Kadang-kadang ada beberapa nangoi bergilir-gilir menaikinya merentas seluruh pelosok AlFalah, sesekali diiringi tempikan tuannya......Memang jasanya tidak terbalas. Selepas usia persaraan, khabarnya, dalam keadaan remuk jiwa raga, ia telah dibawa jauh menaiki lori oleh dua lelaki India yang cukup seronok menyokong kempen kitar semula ......
Sekeping gambar......
No comments:
Post a Comment