29 November 2013

Dari Jauh Abang Datang...


Perjumpaan raya Alumni AlFalah kali ini menerima kehadiran beberapa muka baru. Di antara yang baru adalah Suwita Don [ tahunlepas dia muncul, tetapi ketika tuan rumah sedang bersiap untuk balik], Ustaz Md Daud Daei, Rohimi, Zawawi Hj Ali, Zamri Zain, Roslan Bakar, Fauzi Othman, Fazlan Rashid, Zulkifli Azizan, Aswad Lorongmayat, Lothfi Amir dan Shaidan Kedah. Yang perempuan pula termasuklah Aina Maya, Norrezini Nayan dan Cikgu Hasnah Zaini Hj Nawawi.

Yang lain , harap maaflah, tidak tercapai memori ketika mencatat ini.

Bagaimana pun untuk kali ini saya ingin mencatat tentang muka baru yang nama mukabukunya Pawang Nujum atawa dulu dulu dulu menggunakan nama Kuih Karas.

Dia ditunggu oleh kebanyakan peserta aktif di laman fb, grup Alumni. Bukan mereka terigau-igau akan wajahnya, tetapi di kalangan otai AlFalah, dialah yang sudi secara istiqamah menegur sapa secara bertulis di laman berkenaan.

Keistiqamahan dan keramahannya menarik perhatian ramai 'adik-adik' sehingga saya sering terpaksa menjawab tentang persona si Pawang yang lagi Nujum ini. Mereka bertanya semahunya dari pelbagai sudut dan saya menjawab sejujurnya yang mampu terhasil di hati...

Dua tiga bulan sebelum majlis dia sudah menguar-uarkan akan hadir. Makin terujalah ahli grup yang mengikuti perkembangan ini. Yang kesal tidak dapat hadir hanya menepuk dahi. Tidaklah dapat mereka mengenali dengan lebih dekat Nujum yang bijak berpawang ini. Ada yang berjanji dengan sama tua untuk beraya di rumah mertua terpaksa menelan liur. Budak Batas Paip yang teringin sangat bertemu muka dengan Pawang Nujum berdecit-decit mulutnya. Meskipun saya bukan pawang atau ahlil nujum, saya tahu apa yang ada di kepalanya: Kalaulah rumah besan emaknya itu hanya terletak di Alor Janggus, bukan di Ketereh!

Akhirnya hari yang ditetapkan tiba. Saya masih di rumah ketika Pawang menelefon bertanya lokasi majlis. Khabarnya dia sekeluarga telah terlajak sedikit. Saya memberikan  panduan sekadar a la-a la kerana jarang saya dengar orang yang ada ilmu kepawangan tidak tahu perkara yang ada di depan. Kena pula dia juga mengaku pandai menujum... Ternyata sangkaan saya tepat. Dengan mudah sahaja dia menjumpai lokasi tujuan...

Saya terlewat ke majlis dikeranakan oleh beberapa kerana, termasuk kenduri di rumah emak saudara dan menunggu penghantaran ketupat yang saya tempah. Maka terlepaslah peluang untuk melihat reaksi rakan fb sebaik bersua dengan PN. Terlepas juga untuk mendengar ucapannya di bahagian awal majlis. Khabarnya dia telah memperkenalkan namanya yang tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara. Alangkah ruginya saya...


Maka, yang terjadi tetaplah terjadi. Pertemuan telah berlaku. Perkenalan telah tumbuh. Kemesraan mekar. Semoga ikatan ukhuwah sesama bekas budak sekolah agama rakyat itu tersimpul kukuh.

Semoga mereka bertemu, bermesra dan berpisah kerana Allah, di bawah  kata kunci bersama, selamanya - AlFalah!

Terima kasih buat Pawang Nujum - juga semua otai yang saya sempat catatkan di atas, serta termasuk yang muncul buat kali kedua seperti Sofiahmad Din, Rafidi Romli dan Sharifah Maryani Syed Omar [ yang tidak hanya memperkenalkan anak, malah suaminya...].

Semoga jelak tidak bertamu di hati.

Pawang tidak akan muncul di majlis tahun berikutnya, mungkin seperti kebanyakan yang bermertuakan orang luar Kedah, telah termeterai janji bergilir tahun raya...

Kita tunggu tahun selepas itu...

Semoga ada lain kalinya.


PERTEMUAN

Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru.

Pertemuan berlaku
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.

(T.Alias Taib, Kuala Terengganu 1974)
Antologi "Di Penjuru Matamu"


27 November 2013

...Samalah Kita Terbang Pulang!


"Tak jemukah asyik menghadap gambar-gambar di majlis raya, 'tu?" Tanya tangan yang menaip ini kepada mata.

"Kau ikut sajalah apa yang dia tekan di papan kekunci 'tu...." balas mata kiri.

"Aku dok cari juga apa istimewa sangat pada foto-foto 'tu... Selalu sangat dia heret aku mencarinya, naik lemas kau dibuatnya..." muncul pula suara tetikus di tepi tangan kanan. Padanlah! Warna merah hati pada permukaannya telah pudar pada tiga tempat - belakang, klik kanan dan klik kiri.

"'Tu la hangpa tak tau. Orang tua 'ni nostalgik sikit. Walaupun hanya sekitar setengah jam saja merenung setiap kali, dia terasa masih ada di tempat 'tu... Masih baru sangat dirasanya..." sampuk hati dari dalam tubuh. Dian tara semua, mungkin dia yang mengerti benar sikap tuan tubuh itu.

"Dia tak dak kerja kut?" tanya tangan kiri yang sejak awal dulu lagi terasa bagai dianaktirikan. Mana tidak?Tetikus hanya dapat dipandang dari jauh, tidak pernah diizinkannya menyapa, apa lagi menyentuh. Menaip pun setakat tekan butang huruf A. Huruf S di sebelah A itu pun digunakan telunjuk tangan kanan.Huruf Q dan Z yang berjiran juga, jangan haraplah diizinkan dia menyentuhnya. Space bar pula hanya menjadi milik ibu jari kanan.Paling tinggi pun dibawa jari telunjuk kiri ialah jika mahu menekan Shift pada papan kekunci...

Memang dari semenjak orang tua itu menggunakan mesin taip lagi, tangan kiri tidak puas tangan. Ada sekali dulu orang tua itu belajar ilmu taip-menaip - guna buku panduan lagi - pakai sistem elok dan adil. ASDF sekurang-kurangnya menggunakan tangan kiri. Tapi sekali itulah sahaja. "Buat lambat!" kata orang tua itu yang merasakan taipan tanpa sistemnya boleh mengalahkan mana-mana kerani yang bertauliah dan bersijil...

"Isy, jangan kata lagu 'tu... Tulis entri 'ni pun kerja juga tau.... selain dapat kepuasan kat dia kerana ada orang baca, sekurang-kurangnya aku lega. Sihat dan tak sakit, tak tension. Kiranya macam terapi jugak la.." kata dahi mewakili otak kiri dan kanan.

"Aku dengar, tahun depan ada lagi majlis macam 'tu... " kata telinga, cuba menukar tajuk sedikit. Dia telah lama mendengar bahawa bila-bila masa sahaja tangan kiri akan mengadakan mogok lapar dan ingin mengadu kepada beberapa NGO kerana berlaku diskriminasi dalam penggunaan anggota ketika menaip, termasuk ketika asyik mahsyuk melayari laman sosial...

"Majlis macam 'tu..." Lidah tergerak-gerak di dalam mulut. Sesekali terjelir juga.

"Makan apa pula kali 'ni?" tanya perut sambil bernyanyi sedikit. "Ayam goreng ada lagi ka? Macam mana goreng-gorengan, ketupat, lemang campur jagung, rendang...."

"Hang kira mentekedarah saja! " tingkah mulut. " Fikirlah hal lain sama... cara nak cari dana ka, nak tambah jemputan ka..."

"Hang memang longkang betul  la mulut! 'Tu semua kerja otak...." balas perut. 

Tiba-tiba dia teringat sesuatu. "Hang kata aku kira makan no....Mentekedarah no.. Yang hang sumbat serba mak nenek kat aku, sampai tak sempat nak hadam pasai apa? Azab semua aku yang tanggung, dekat 48 jam baru boleh proses semua tau?"

"Aku kunyah saja. " balas mulut mewakili juga gigi yang sedang diusap oleh lidah. Ada lebihan tapai pagi tadi yang masih melekat pada dua tiga geraham yang kian merenggang. "Hang tanya tanganla. Dia yang sumbat..."

"Apa pulak aku? " tanya tangan yang seolah terkejut. "Mata yang kata semua 'tu nampak macam sedap...."

"Aik? Aku tengok saja, " kata mata kanan. Mata kiri sedang ditenyeh oleh telunjuk kiri yang lenguh berada di atas kunci hurug A. "Hangpa tanyalah kerongkong..."

"'Ni, apa kena mengena dengan aku pula? Dah mulut dan gigi kunyah, hantar kat aku, aku hantarlah kat perut...Peristalsis bukan proses yang boleh dirasuah. Kena tepat dan lancar, kalau tidak... tersedak!" balas kerongkong.

"Eleh, kalau hang tak telan air liur berkali-kali masa depan makanan 'tu tak akan aku tahu makanan tu sedap ke dak?..." kata perut.

"Oooo. Kalau macam 'tu hang la punya pasal..." kata mulut.

Semua yang lain tertawa hampir serentak. Perut terkedu. Dia tersilap cakap.

Tangan kanan menepuk perut. Cuba menenangkannya... Tangan kiri sedang menggaru-garu belakang tuannya. Bodeklah tu...

Perut berbunyi sedikit. Intro sebuah lagu keroncong yang perlahan sahaja.


" Ada apa-apa dak di bawah tudung saji 'tu?" tanyanya kepada mata yang sempat menjeling samatua orang tua itu yang melintas di tepi meja makan...


"Laaaa..." kata mata...

Perut terus menyanyikan lagu tadi dengan lebih kuat...

Inilah senikata lagu tersebut:

Tinggilah tinggi
Tinggi tinggi burung di awan
Akhirnya engkau turun
Akhirnya turun mencari kawan


Terbang di awan
Turn mari ke dalam taman
Kalau mencari kawan
Mencari kawan biarlah padan


Bukan sahaja
Bukan saja kita kemari

Kita bercinta
Curahkan rahsia hati ke hati


Burung tempua
Sana sini mencari sarang
Kalau hati dah suka
Samalah kita terbang pulang

26 November 2013

Sewaktu-waktu Mungkin Kita Bertemu...


Sambil anda menatap dan mendengar klip ini, saya terkenang sesuatu...

Saya muncul di AlFalah, sebagai guru, pada awal tahun 1983. Ertinya telah lebih tiga puluh tahun detik pertama itu berlalu. Ketika entri ini ditulis, pelajar SPM sedang bergelut menghadapi peperiksaan.

Pada masa yang sama, tiga puluh tahun dahulu, belum ada budak Falah yang mengambil SPM, kerana tahun 1983 itu cuma ada tingkatan tiga [akademik] paling tinggi. Hanya pada tahun 1985 barulah mereka yang melepasi SRP 1983 menduduki  SPM...

Ketika begini, cuti hujung tahun, pada 1983, pelajar lelaki tingkatan tiga tersebut sedang bergelut meruntuhkan bangunan bekas  sekolah Fajar Islam, di Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam.

Sekolah yang diasaskan oleh Ustaz Azizan itu, telah agak lama ditutup. Bangunan utamanya masih utuh. Bangunan itulah yang kami runtuhkan dan kayu serta perkakas yang masih boleh diguna semula, kami bawa ke Alfalah. selori besar, penuh.

Diturunkan semua kayu dan perkakas itu di tepi jalan utama, tempat menunggu bas, kerana lori besar memang tidak boleh menggunakan jalan ke AlFalah yang sempit. Bukan mudah pula untuk membawa selori barang itu ke tapak Alfalah.

Maka kami, yakni Cikgu Rahim Daud, Ustaz Zubaidi [abangnya Najib dan Shadah Ariffin] dan saya telah mengunjungi sekitar 30 buah rumah waris untuk menjemput mereka bergotong royong mengangkut muatan selori itu. Kami pergi ke Permatang Sala, Kangkong, Tebengau, Kg Pergam, Alor Ibus, Selarong Batak dan kampung berhampiran AlFalah.

Pelajar yang terlibat sejak dari proses meruntuhkan itu juga terlibat membuat jemputan serta ikut mengerah kudrat menanggung kayu dan segalanya.

Pendek cerita, kemudiannya kayu dan perkakas itulah yang membentuk kelas merangkap pejabat yang menghadap laman depan/pintu pagar sekolah itu, yang di depannya dahulu ada dua pokok palma.... Kini tempat yang sama menjadi pejabat kepada pihak yang sedang menjajah AlFalah.....

Masuk bulan November begini setiap tahun saya terkenang benar kepada mereka generasi pertama tingkatan tiga AlFalah itu....

Md Jin [Fazil Bakar], Latiff Rahim, Abdullah Hashim, Saidin Saad, Fazli Hj Mahmud, Kamal Bakar, Zakaria Nayan dan lainnya .....

Juga waris yang bersungguh-sungguh membantu: arwah Pakndak Mad [Ahmad Saad - ayah Ustazah Rodziah], Rahim [ayah Jamilah Rahim Selarong Batak], arwah Ramli Ahmad [ayah Nizam dan Amin Ramli] dan lainnya......

Serta tukang utama yang membangunkan semula blok itu; arwah Che Omar Adam, ayah kepada Mohd Zamri Che Omar....

Saya betul-betul terkenang....

Semoga jasa semua mereka diberi ganjaran oleh Allah. Aamin.

Di sebalik sesuatu ada pencetusnya....

... dan lebih ramai wira tak didendang di sebaliknya lagi...

Terkenang kenang wajahmu
Dengan rupa yang manis
Terbayang senyumanmu di mataku
Rasa hati ku sedih

Terbayang bayang wajahmu
Yang tak dapat ku lupa
Kau disayang hanya sepintas lalu
Seperti dipermainkan saja

Sewaktu waktu mungkinkah kita bertemu
Kepadamu yang selalu kukenang kenangkan

Ingin ku belajar kenang
Tetapi jangan marah
Namun kuharap kau tak keberatan
Sudi kiranya kau menerima


25 November 2013

Lagu Dari Fairouz


Sambil melihat-lihat foto kenangan bersama budakFalah, teringin juga dibuat klip supaya dalam masa yang singkat dapat berkongsi berpuluh-puluh foto.

Siap mengumpulkan foto, timbul pula satu hal lagi: takkanlah mahu dibiarkan sunyi sahaja.. Mana muzik latarnya?

Puas pula mencari menyaring beberapa lagu.

Lagu Negaraku? Takkanlah kut....

Lagu Lefhanded? Aswad si budak Lorong Mayyit saja yang masih setia kut...

Lagu nasyid? Dah ada dalam beberapa klip lalu...

Lagu Jepun? Baru saja dimuatkan dalam klip Arigatuo Gozaimasu...

Lagu Hindi? Kalaulah Nazri Aziz ada pada waktu ini di talian, mungkin boleh saya rujuk kepadanya...

Lagu Arab? Ya, AlFalah itu asalnya dipanggil sekolah arab, kan?.... Tapi lagu apa?


Fairoz
Tiba-tiba saya teringat kepada Fairoz atau Fairouz, penyanyi lagu irama padang pasir itu. Dia sering 'menyanyi' di rumah kenduri pada era penggunaan 'loud-speaker' yang ditambat pada pucuk kelapa... Setelah pembukaan oleh bacaan AlQuran oleh Ustaz Hj Ismail Hashim, ayah kepada Cikgu Khamariah Ismail itu, selalunya lagu-lagu Arablah yang dipilih oleh dj rumah kenduri. Dj? Sesuaikah istilah tersebut pada masa itu? DJ kependekan Disc Jockey. Zaman itu mana pakai disc, hanya tali kaset.... Ah lantaklah.... Apalah sangat istilah pada orang Malaysia. Negara khatulistiwa yang tidak ada musim luruh, musim bunga, musim sejuk ini ada juga hamba Allah anjurkan summer camp...


Abdel Halim Hafez
Sabah
Selain Fairoz, orang Arab yang selalunya datang menyanyi di rumah kenduri pada era itu adalah Farid Al-Atrash, Sabah, Umm Kulthum {orang kampung saya sebut Umi Kalsom] dan Abdel Halim Hafez.


Sambil mendengar suara Fairoz dalam lagu bersama foto-foto perjumpaan Alumni AlFalah pada majlis di Dewan Awam Taman bersatu itu, tiba-tiba saya teringat pula kepada sahabat saya: Fairose. Hj Ahmad Fairose, nama penuhnya.

Dia  tidak saya sebut Fairuz atau Fairuz, tetapi Pirud.... Abangnya kadangkala memanggilnya lagi manja: Pilud...

Dia ada datang pada perjumpaan tersebut bersama isteri dan anak-anak. Selain beramah-mesra dengan budak-budak Falah, sahabat yang saya kenali sejak zaman persekolahan kami ini, juga diminta menyampaikan duit raya kepada kana-kanak yang memeriahkan suasana pada petang tersebut. Ikut serta diminta berbuat demikian adalah Cikgu Hasnah Zaini Hj Nawawi.
Pirud

Hangpa ingat dia lagi?

Atau kalau ikut serta pada perjumpaan hari itu, hangpa sempat tak berjumpanya?

Bagi yang lupa, dialah mudir AlFalah dari tahun 1985, menggantikan babanya, Ustaz Hj Azizan Hj Mustaffa yang meninggal dunia pada tahun tersebut.

Pirud, klip ini untuk tatapan semua tetapi lagunya aku tujukan kat hang..... hehehe...

Saya tidak tahu makna lirik lagu yang iramanya banyak disadur ke lagu melayu itu. Kalau tidak langsung berkaitan dengan foto, maafkanlah hamba....

20 November 2013

Arigatou Gozaimasu



Apologi:
Baru saya tahu, ramai yang tidak boleh menonton klip di atas ketika entri ini diterbitkan buat pertama kali. Blogger.com pula tidak maklumkan kepada saya akan puncanya. Kini saya muatkan sekali lagi. Layan....

Saya teringat sebuah puisi dari penyajak Angkatan Sasterawan 50-an [ASAS 50] dari Singapura, Masuri SN. Tajuknya Ini Nasi Yang Kusuap. Bahawa nasi yang kita suap setiap hari adalah bermula dari keringat petani.

Ini nasi yang kusuap
pernah sekali menjadi padi harap,
melentok dipuput angin pokoknya
kerap
tenang berisi tunduk menatap.

Ini butir nasi yang kukunyah
sedang kutelan melalui tekak basah.
jadi dari darah mengalir
dalam badan gerak berakhir.

Angin kencang mentari khatulistiwa
membakar raga petani di sawah
panas, hujan, dan tenaga masuk kira
dan nasi yang kusuap campuran dari
semua.

Ini budi yang kusambut
pemberian lumrah
beranting dan bertaut,
ini nasi hasil dari kerja
kembali pada siapa yang
patut menerima.

Jadi yang kumakan bukan
berasal dari nasi
tapi peluh, darah, dalam isi
mengalir pasti,
jadi kutelan bukan
berasal dari padi
tapi dari urat, dari nadi
seluruh Pak Tani


Kembali ke Dewan Awam Taman Bersatu pada 4 Syawal 1434...

Ketika kita menyuap ayam goreng - serta bihun, laksa, nasi goreng, lemang, ketupat, rendang, serunding dan kuih-muih lainnya - kebanyakan kita tidak pun teringat kepada insan di sebalik tabir, yakni penyedia santapan itu.

Saya bukan jurufoto yang merakam semua acara penyediaan itu bermula. Hanya saya menumpang menghargai kesediaan beberapa sahabat menggoreng ayam serta hotdog pada pagi perjumpaan raya Idulfitri yang lalu. Terima kasih kepada jurufoto yang bersedia pula memuatkan di dalam fb.

Rakaman itu hanyalah di Pulau Gezambo, Kuala Kedah. - tepatnya di rumah pasangan ideal Zulkifli Shamsuddin dan Mariam Ismail. Boleh dibayangkan kesibukan mereka serta teman-teman pada waktu itu, dengan penyediaan dewan juga terletak di bahu mereka. Hanya Allah yang tahu dan kepada-Nyalah kita pohonkan agar sumbangan tenaga mereka diganjarkan pahala.

Namun, jangan pula kita lupakan kesibukan di dapur  Norrezini Nayan - penyedia mi dan nasi goreng, juga rendang yang dipuji ramai akan keenakannya. Demikian lagi di rumah penyedia laksa serta lainnya. Sayang sekali, kita hanya ada seorang jurufoto, yang mustahil boleh berada di semua tempat...

Bagaimanapun, seperti di dalam puisi Ini Nasi Yang Kusuap dari penyair tahun 50-an yang nama sebenarnya Masuri bin Salikun itu, semoga setiap suapan tidak hanya mengunyah kosong. Ingatlah, di sebalik sesuatu ada seseorang atau sekumpulan orang...

Terima kasih untuk semua. Hanya Allahlah sebaik-baik pemberi ganjaran.

Kalau ada sumur di ladang,
      Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur nan panjang,
      Idulfitri 1435 kita suruh lagi....

Untuk anda, sambil melihat-lihat kerja buat sahabat kita, dengarkan sebuah lagu Jepun yang iramanya mungkin anda pernah dengar...

Sekian, Terima kasih.

Arigatou Gozaimasu...

ありがとうございます

19 November 2013

Apakan Daya Masa Tak Akan Kembali...


Riang sungguh hari ini. Suasana yang telah lama sangat menjadi idaman blogger kecil seperti saya.

Setelah puas bermain acilut [tut-cak], entah mimpi apa, mudah pula Celcom mengizinkan saya memuatnaikkan klip lagu raya yang lama terperap.

Maka dengan kesempatan inilah saya naikkan kompilasi tiga lagu raya ini, dalam usaha memuatkan semua wajah yang sudi hadir pada perjumpaan raya Alumni AlFalah kali kedua [2012].

Kenanglah detik-detik gembira kita ini. Semoga persahabatan yang kembali terjalin akan berkekalan. Apa pun yang menjarakkan hati kita selama ini biarlah lenyap begitu sahaja. Kita telah dimatangkan oleh pengalaman dan kisaran masa.

Setiap kali raya, selain mendengar lagu raya malar segar di radio, bukalah blog ini. Dengarlah lagu-lagu dengan menatap wajah kita sendiri...

Dua daripada tiga penyanyi lagu di dalam klip ini telah lama pergi. Semua akan menyusul - mengikut urutan takdir -  termasuk blogger nan cipher ini...

Kalau lagu mereka menjadi kenangan abadi, semoga demikian pula kepada blog ini...

Budak Falah, seringlah ke sini, jika ingin kembali ke zaman perFalahan dulu.

Dan pintu kemaafan sesama kita biarlah sentiasa terbuka...


GEMBIRA BERSAMA DI HARI RAYA - OTHMAN HAMZAH

Hari ini sungguhlah indah
Langit cerah nampak bahagia
Hari ini aku merasa
Sungguh riang kerna hari raya

Akan ku sambut dengan riang dan gembira
Wahai kawan mari bersama suka-ria
Pada yang tua maaf di pinta
Pada kawan begitu juga

Kesalahan masa nan lalu
Lupakan saja tempuh yang baru
Pada yang jauh tak (usah) ku lupa
Agar mereka gembira bersama


DENDANG PERANTAU - Tan Sri P Ramlee

Di hari raya

Terkenang daku kepada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana
Ayah serta bondaku

Di tepian mandi
Danauku hijau yang damai selalu
Nun di sanalah tempatku bertemu
Aku dan dia

Apakan daya
Masa tak akan kembali
Hancur musnahlah semuanya

Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang-kenanganku
Hanya rangkaian kata dengan lagu
Dendang perantau



SELAMAT HARI RAYA - Fazidah Joned

Aidil fitri hari bahgia
Hari yang mulia
Mohon maaf bersama dipinta
Selamat... Selamat Hari Raya

Sembah salam ayah dan bonda
Ampunkanlah dosa
Hilangkanlah duka dan nestapa
Selamat... Selamat Hari Raya

Semoga kita berjumpa lagi
Di hari bahagia ini


Mari teman mari saudara
Kita bergembira
Lupakanlah hatimu yang duka
Selamat... Selamat Hari Raya

18 November 2013

Janganlah Sombong Kerana Pangkat


Ralat: 

Berlaku kesilapan besar semasa mahu menyediakan klip ini. Ayat alQuran yang mahu dimuatkan pada permulaan klip adalah dari surah al Hujuraat, ayat 13:

49:13

Ertinya:
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

yang bertepatan dengan lirik lagu dendangan Hajah Nur Asiah Jamil tersebut.

Malangnya, ketika mahu memasukkan ayat tersebut, dengan tidak disengajakan telah 'terklik' ayat lain yang juga tersimpan di dalam almari editor. Masih dalam surah yang sama, cuma dari ayat 11:

49:11

ertinya:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Perkara tersebut hanya disedari tatkala terlalu lewat untuk disunting semula - hanya pada pagi di mana klip tersebut sepatutnya telah diserahkan kepada Pengarah Siaraya Majlis Raya Alumni AlFalah, En. Hamzah Casablanca - semasa raptai bagi majlis pada petangnya.

Malang berikutnya, klip itu serta sebahagian klip yang lain tidak dapat dimainkan sebagaimana yang direncanakan. Saya menyerahkan sahaja kepada En. Hamzah untuk memuatkan - di dalam fb - semua klip, kecuali yang ini, kerana bimbang tidak ada kesempatan untuk dibuat penjelasan.

Malang seterusnya, fb pula tidak mahu menerima klip tanpa permit hakcipta, seperti yang dinyatakan di dalam entri dan fb grup alumni, beberapa bulan lalu. Maka terperaplah klip ini.....

Memikirkan betapa susah payahnya penggambaran dilakukan serta menuntut keringat yang bukan sedikit daripada semua pembawa watak, maka klip ini, dengan ini, dipaparkan untuk anda - teristimewa para kru dan pembawa watak sendiri...

Maafkan  kesalahan penerbit.....sambil merenung foto kenangan dan mendalami maksud ayat suci berkenaan yang dibawa ke dalam qasidah moden ini. {Ayat yang ada di dalam klip itu - ayat 11 surah Hujuraat - pun  terkait dengan peringatan untuk kita tidak memandang hina orang lain... }

Tuhan telah menjadikan manusia
dari laki-laki dan wanita
bersuku-suku dan berbangsa
untuk saling mengenal sesamanya

Tiada dipandang pangkat dan harta
semuanya sama di sisi Tuhan

Tiada lain yang lebih mulia
hanya yang takwa dan beriman

Tuhan telah menjadikan manusia
dari laki-laki dan wanita
bersuku-suku dan berbangsa
untuk saling mengenal sesamanya

Janganlah sombong kerana pangkat
janganlah bangga kerana harta

Bekali dirimu sebelum berangkat
dengan ibadah dan penuh takwa 

Tuhan telah menjadikan manusia
dari laki-laki dan wanita
bersuku-suku dan berbangsa
untuk saling mengenal sesamanya

Kita sama sahaja
bezanya cuma amalan kita......

Berdamailah Dalam Iman...





Klip ini adalah salah satu yang masih disimpan sempena perjumpaan raya Alumni AlFalah 1434. Semua foto di dalamnya pula hasil klik Chik Mila pada perjumpaan raya alumni 1433, di SK Taman Bersatu.

  

Musim raya itu makin lama berlalu. Musim baru raya akan makin menghampiri.
Jangan pedulikan tema lagi.

  
Jangan lupa bahawa kita sering berbuat salah. Maka permohonan maaf pun tidak bermusim...

   
Marilah kita sering serta saling memaafkan... Sesungguhnya damai itu indah!

   

Ku mengambil kesempatan 
untuk menghulur tangan ini
dengan hati suci bersih

Ku pohonkan kemaafan
bagi setiap kesalahanku
yang telah berlalu itu

Memang resam manusia makhluk Allah...
Tak lepas dari kesala'n selagi kau bernyawa
Tutur kata dan perbuatan yang terkasar aa...
Di dalam pergaulan haruslah kau maafkan

Ku harapkan kepadamu lupakanlah sengketa lalu
Berdamailah dalam iman

Ku mengambil kesempatan 
untuk menghulur tangan ini
dengan hati suci bersih

Ku pohonkan kemaafan 
bagi setiap kesalahanku
yang telah berlalu itu

Memang resam manusia makhluk Allah...
Tak lepas dari bersalah selagi kau bernyawa
Tutur kata dan perbuatan yang terkasar aa...
Di dalam pergaulan haruslah kau maafkan

Ku harapkan kepadamu 
lupakanlah sengketa lalu
Berdamailah dalam iman


15 November 2013

10 Muharam: Cerita Yang Mesti Diabaikan... [Akhir]

[Seperti yang diceritakan oleh Ilyas Hj Awang pada pertemuan 5 Jun 2013, serta perbualan telefon beberapa kali bagi melengkapkan catatan].

Aku mencapai bantal yang terletak di hujung katil lalu diselitkan di celah kelangkangku yang bersila kukuh… Rautin menyandar sebelah badannya pada lengan kiriku, sebentar. Menggayakan ketakutan yang amat sangat… Aku menyigungnya yang seperti mahu mengganggu permulaan cerita. Rautin tersengih.

“Aku dengar cerita ni sejak sekolah rendah lagi…..” kataku bagi memulakan pengisahan. Semua di depan dan di sisi terangguk menanti.

Maka kuceritakanlah apa yang aku tahu. Tetapi Jauh, terlalu jauh, lebih rendang daripada versi asal yang aku dan Rautin dengar di kampung beberapa tahun dahulu.

Aku tambah dengan pengenalan jalan ke stesen keretapi serta sekitar stesen Kobah , menggambarkan suasana seseram mungkin pada waktu senja, sedangkan aku sendiri tidak pun pernah ke situ.

Kutambahkan bunyi besi rel yang seakan berlaga sesama sendiri, loceng stesen yang terayun tanpa disentuh sesiapa, bunyi salakan anjing bersahutan dari arah Bukit Choras, wisel stationmaster yang berbunyi dari beberapa tempat dan arah serentak, kemunculan tubuh bermandi darah pekat tanpa kepala dan sebelah kaki, kemunculan adiwira berhadapan usikan, ketakutan seorang tukang serapah yang tercirit semasa tubuh bermandi darah muncul di belakangnya, sebuah kepala manusia tergolek di tangga keretapi lama……

Semuanya kuadun sebaik mungkin. Semua yang ada ternganga, malah makin mendekatiku agar tidak hilang sepatah pun apa yang aku tuturkan. Yang seronoknya, Rautin ikut ternganga, kerana mengetahui rakan sekolehnya ini bijak menyusun cerita. Sesekali dia mengangguk dan tersenyum dalam kesuraman malam terutama pada bahagian yang dia tahu memang aku kelentong habis. Zaha memegang lengan Md Kidam, Fazli memegang lengan Zaha ketika aku tamatkan cerita dengan adiwira mencacakkan bayonet zaman Jepun ke kepala yang tergolek tadi yang segera bertukar menjadi kelapa tua yang terbenam lama di dalam kawah lumpur bekas kerbau berkubang …..

Rautin membetulkan duduknya sebaik  aku berhenti bersuara. Yang bagusnya, sepatah pun tidak dia menyampuk sepanjang aku mengambil tugas bercerita itu. Tahap keprofesionalan kami memang terpuji…

Rautin
“Tu tak gerun lagi…..”kata Rautin.

Begitulah selalunya kami berdua. Jika aku bercerita, pasti kemudiannya, Rautin akan mengeluarkan kisah yang lebih seram dan sadis. Kalau keluar pula cerita seram dan sadis dari Rautin, kalau mahu disambung, aku pula akan berkisah dengan lebih seram, sadis dan brutal! Keluarlah cerita mana pun. A pada Rautin, aku sambung dengan B yang lebih dahsyat, C dari Rautin, aku sediakan D yang lebih menyeramkan. Pada waktu lain, dengan audien yang lain, termasuk di kampung, jika aku keluarkan D sebagai cerita pertama, maka Rautin akan menjadi C sebagai ceritanya yang lebih seram, lalu aku tokok pula cerita A sebagai paling seram….. Begitulah…

“Ni mu semua dengar aku nak cerita….”kata Rautin selanjutnya. “ Bidan Kuala Musang dengan Mak Andam Tanjung Rimau…..”

Aku terpaku. Tajuk itu tidak pernah ada dalam himpunan cerita kami. Kalau bidan berkelahi dengan mak andam berebut duda lawa yang pandai berqasidah, adalah - seperti yang kami dengar pada satu malam kenduri di kampung.  Ada sedikit unsur pelesit bertarung dengan hantu raya. Sah Rautin tengah mereka jalan cerita sendiri, fikirku. Memang dalam bab bercerita kami mendapat lesen tidak bertulis untuk menyebut sebarang tempat atau watak…. Pandai-pandailah mengolahnya.

Aku lihat makin mendekat audien ke arah Rautin dan aku. Dari bersuara deras kuat, mendekati tengah malam ini, suara Rautin seperti berbisik. Lalai sesaat  dua, akan terlepaslah satu dua kalimat penting dalam jalan cerita….

Dalam masa lebih daripada 15 minit, Rautin berjaya menamatkan cerita yang hanya sekitar 5 minit semasa kami dengar pertama kali dahulu. Audien melepaskan sesak dada sebentar. Rautin tersengih melihatku yang ikut tersengih dalam cahaya taram –temaram itu…

“Tu tak pa lagi….”aku pula mendapat semangat untuk mengambil giliran. Audien menghala wajah ke mukaku semula. Rautin juga memandangku seakan bersama satu tanda tanya - cerita mana pula yang lebih gerun, Yeh?

“Tin, mu ingat dak cerita hantu tanglung menikah dengan well-educated jin?” aku bertanya sambil memandang muka Rautin.

Rautin tergelak. Dia tahu itu cerita rekaan kami berdua semasa menunggu bas untuk ke asrama pada bulan puasa lepas. Rautin terangguk-angguk. “Ingat. Mau tak ingat. Molek tu. Mu cerita …. Mu ceritala…”katanya dalam tersengih.

“Nak cerita la ni. Mana yang aku lupa, mu tambah na, Tin…?” kataku pula dan Rautin masih terangguk-angguk.  Aku lega. Hakcipta bersama, mana boleh cerita berseorangan… Dan aku yakin, kalau bercerita secara berduet, kadang-kadang unsur tokok tambah setiap kami, masing-masing pun tidak pernah menduga, apa lagi merancang!

Aku mengukuhkan sila…

“Haram jadah! Sapa meruah berak ni?” jerkah Rautin sambil meludah sekali. Kelepuk jatuh ludahnya di atas  lutut aku yang sedikit terdedah. Haram jadah, Tin! Aku sapu kepala lututku dengan bantal yang berada di kelangkang.

“Sapa punya kerja ni?” jerkah Rautin lagi sambil bangun. Kami terpinga-pinga. Memang ada bau tahi tapi tidak tahu dari arah mana. Rautin meludah lagi. Kali ini lantai asrama menjadi tempat persinggahan gumpalan separa kahaknya itu.

“Mu apa Mail?” tanya Rautin sambil menolak dada Ismail Yaakob. Mail yang terkejut hanya menggeleng. Rautin tunduk menghidu-hidu sekitar belakang Mail. Dia tegak semula sambil hidungnya masih mencari arah bau yang tidak sesiapa pun dapat zahirkan dengan kata-kata di dalam bahasa apa pun…

 Seseorang memasang lampu yang terletak tiga katil dari katil aku tadi.

Aku dan audien kami tadi hanya menekup hidung masing-masing. Rautin melompat ke katil Adigun. Junior kami yang bermuka bulat dan bermata bundar itu mengelak sedikit apabila Rautin memijak lantai katilnya.

“Mu  ka, Adigun?” tanya Rautin. Adigun menggeleng. Rautin terus menggunakan deria baunya. Menghidu-hidu sekitar katil Adigun. Kemudian dia seperti terperasan sesuatu.

“Awat mu tidur atas tikar mengkuang ni?” tanya Rautin. Adigun membungkam. Mata bundarnya semakin mengecil memandang kami dua tiga orang.

“Mana tilammu?” tanya Rautin lagi. Adigun tidak bersuara. Hanya tangan kanannya menunjukkan arah bawah katil. Ada lipatan tilam bujang lusuh setebal dua inci di situ.

Rautin menghidu lagi.

“Awat tilam mu ni?” tanyanya. Kakinya menguis sekali dua tilam itu.

“Aku terberak…” barulah terdengar suara Adigun yang berwajah bulat bermata bundar itu.

“Haram jadah! Bakpa mu berak atas tilam?” soal Rautin semakin keras.

“Aku takut nak pi jamban…”

“Jantan apa mu ni... Penakut! Mu takut apa?”

“Dengar mu dengan Yeh cerita bab hantu…” Dua tiga orang tergelak di sisi aku. Adigun separuh mahu menangis. Tumpuan hampir semua kami mungkin menggetarkan dadanya.

“Mu bangun gi buang tilam tu….” Perintah Rautin sambil tangan kanannya diarahkan ke pintu. “Hisy! Mu ni laa…”

Rautin meludah sekali lagi. Kali ini baru dia buat pertama kali menutup hidung. Aku tak tahu apakah gunanya lagi…

“Gi  la cepat!” jerit Rautin.

“Takut….” Suara Adigun kian perlahan.

Rautin memandang ke arah kami. Sekilas.

“Mail! Mu teman Adigun sat…” perintah Rautin. Mail yang sedang mula terkernyih bagai disentap kernyihan itu. Dia menggaru-garu kepala dengan kedua-dua belah tangan. Mail memandang mukaku.

“Mu gi  la… dah namamu yang naik….” Kataku diikuti tawa kecil Fazli dan Zaha di belakang Md Kidam.

Secara amat perlahan Mail melangkah ke katil Adigun. Secara lebih perlahan pula Mail membantu Adigun mengeluarkan lipatan tilam usang dari bawah katil. Rautin melepaskan nafas kasar dua tiga kali dan meludah kosong , juga dua tiga kali..

“Mu gi buang tempat sampah. Esok  mu bakar. Minggu depan mu suruh ayahmu beli tilam baru…” panjang sekali ungkapan Rautin sambil melihat Mail dan Adigun mengheret dan mengangkat tilam usang tersebut.

Aku tergelak sambil bergerak untuk kembali duduk di birai katil. Tapi tiada siapa yang tahu makna gelakku: membayangkan tahi Adigun terbakar bersama tilamnya – di hari Asyura…..

“Haram jadah! Haram jadah! Mu buatla bagi molek sikit!” terdengar kuat sekali jerkahan Rautin.

Aku menoleh. Dua tangan Rautin sedang menggaru bahagian belakang kepalanya dengan kuat. Matanya terhala ke arah Adigun dan Mail. Tilam masih di tangan mereka. Apa lagi mu ni, Tin?

Aku bangun. Berdiri di tengah asrama, laluan antara dua bahagian katil. Rupanya, lipatan tilam Adigun tadi tidak sempurna. Ditambah dengan ketiadaan persefahaman semasa mengangkat, tahi Adigun terburai pula ke atas lantai asrama – semeter dari pintu utama…

Ada rakan yang tergelak sedang Rautin makin kerap meludah kosong ke kiri kanan dan memekup hidungnya.

“Mu gi buang tilam tu. Bawa naik air dua timba. Mu cuci la ni juga….. Hisy! Ptuih!” nampaknya seraklah suara Rautin malam ini….

Adigun dan Mail mengikut sahaja arahan Rautin.  Mana pernah ada orang yang melanggar titah perintah otai asrama itu?

Sebentar kemudian, mereka naik bersama dua timba besar air serta pulur sabut dan berus plastik. Adigun mengepung najisnya dengan pulur sabut lalu berlari laju ke tangga. Sebentar kemudian dia muncul semula. Sekali lagi mengulang proses tadi – menggunakan pulur sabut mengesat bekas najis yang tinggal. Entah di manalah, sabut bersalut najis itu dibuang Adigun… Sekejap sangat dia berlari turun dan naik semula. Mail hanya berlari di belakang Adigun, sesuai sebagai peneman, tidak pun membantu kerja buat Adigun.

Kasihan melihat Adigun seorang mencuci, Rautin ikut membantu, menuang air di atas lantai, pada bekas jatuhan najis Adigun tadi. Adigun menonyoh lantai sekuat hati. Rautin menuang air beberapa kali. Sambil itu mulutnya tetap menyuarakan teguran kepada Adigun.

Setelah berpuas hati akan bersihnya, bau juga tiada lagi,  Rautin menyuruh Adigun meletakkan timba di atas tangga berdekatan pintu. Agaknya tidak sampai hati lagi untuk mendera Adigun – dan Mail – menghantar semula timba tersebut serta berus ke dapur atau ke bilik air yang jauh itu…

Berpeluh badan Adigun, serta Mail. Memercik juga keringat Rautin ketika mereka kembali ke katil awal tadi. Sesekali kasihan juga memandang wajah bulat dan mata bundar Adigun, junior kami yang pendiam itu. Semoga dia mendapat satu pelajaran yang tiada di dalam kelas…

“Sambung cerita well-educated jin tadi Yeh…” kata Md Kidam setelah agak lama kami diam. Fazli mengangguk-angguk. Zaha juga.

Belum sempat aku membuka mulut, Rautin lebih dahulu bersuara, “ Jin ka tanglung ka, gi tidur dulu.., aku letih ni….Mu tau dak?”

Md Kidam tidak bergerak. Agaknya dia menunggu suara saya bukan suara Rautin. 'Nak tidur pun bukan boleh lena lagi...' ujarnya sedikit perlahan. Fazli dan Zaha terus mengangguk.

“Nanti aku cerita hantu tahi mu tak lena kut!....” tingkah Rautin yang menyebabkan Md Kidam cepat-cepat bangun untuk ke katilnya. Demikian pula Zaha yang sebelum ini tidur bersama Fazli di sebelah katilku.

Lampu yang tiga katil jauhnya dari katilku dipadam oleh seseorang. Suram semula. Sunyi semula.

Aku cuba untuk lena walaupun Rautin yang menumpang tidur bersamaku di atas katil masih merungut tentang Adigun.  Aku betul-betul letih dan lelah. Hal siang, hal malam di asrama tadi hanya menambah pengalaman berada di rantau demi mencari sedikit ilmu….

Z. Zzzzzzzz………

“Haram jadah!” aku terkejut mendengar suara Rautin lagi. Entah pukul berapa waktu itu tetapi rasanya baru sebentar saja aku terlelap.

“Awat Tin?” tanyaku separuh sedar.

“Hidungmu mapuh ka, Yeh?”

“Apa?” Aku tercabar. Bab 'mapuh-mapuh' bukan boleh dibuat main!

“Mu tak bau tahi ka?”

Aku berasa seperti bermimpi. Lampu yang tiga katil jaraknya dari katilku dinyalakan seseorang. Tiada orang lain yang  bangun, melainkan  Md Rautin, sahabatku. Dia terhidu-hidu seperti tadi. Tapi kali ini ke arah yang berlawanan. Sebelah katil Fazli. 

Aku ikut menggunakan deria bau. Mencari arah datangnya bau yang seteruk kalaupun bukan lebih teruk dari tilam Adigun tadi

“Mu pula meruah berak, Nieketien?” terdengar Rautin menjerkah. Dan meludah sekali. Tepat dihalanya ke arah Nieketien.

Nieketien bangun, mencapai kacamatanya di hujung bantal dan memakainya.

“Aku minta maaf….. aku terberak…. Takut nak pi jamban …..Takut...”

Rautin meludah sekali sambil bercekak pinggang. Dia meleteri sesuatu yang tidak kudengar. Yang pasti tentulah bab 'tengok kakila, geng' ada disentuhnya...

“Mail!” kemudian terdengar panggilannya. Mail tidak menyahut. Meski telinganya mendengar, agaknya dia memejamkan mata hingga berkerut kening.

“Md Kidam!” panggil Rautin lagi. Md Kidam juga seperti Mail. Agaknya, hanya telinga tidak berdaya ditutup, sedang hidung dan matanya ditutup sedikit  di bawah selimut. Selimut itu kelihatan bergerak-gerak...

“Zaha!”

Tiada jawapan.

“Tidur mapuh semua…” rungut Rautin. Aku tergelak.

“Yeh!” tiba-tiba namaku disebut.

“Tak kan aku kut Tin…” aku seperti memprotes, tapi perlahan sahaja nadanya.

“Dah tu mu nak hidu tahi dia sampai pagi esok?” 

Aku diam.

“Yeh! Mu plak gi teman Nieketien…”

Aku diam terus.

Aku 
“Yeh!”

Mu gi  la… dah namamu yang naik….” Ada satu bisikan amat perlahan dari katil Fazli, disusuli kekehan yang juga amat perlahan.

“Yeh! Telinga mu pun mapuh ka?”

“Nak gi la ni…..” kataku sambil bangun berdiri, membetulkan kain. Ada nada geram sedikit.  Bab 'mapuh-mapuh' bukan boleh dibuat main!

“Mu usung tilam dengan Nieketien, gi buang……”


Haram jadah mu, Tin!



Nota: 

Atas sebab-sebab perundangan, nama Adigun dan Nieketien terpaksa disamarkan. Hehehehe.