31 August 2012

"Cikgu Kenai Saya Lagi?"

"Cikgu ingat saya dak?"

"Cikgu kenai saya lagi?"

Demikian dua soalan yang paling popular setiap kali saya berjumpa budak Falah. Selalunya terjumpa di rumah kenduri atau di pasar, tak kiralah siang atau malam. Itu yang rasa, saya kenal mereka dan ingin menegur. Syukurlah. Ada juga - ramai sebenarnya - buat-buat atau betul-betul tidak kenal, tetapi saya pula mengenali dan mengecamnya. Malanglah.

Bagi dua soalan di atas, jawapan yang diberikan sudah pasti dapat diteka: Kenal! Atau jawapan panjangnya: Pasai apa pula tak kenai?!

Yalah. Kalau orang sudah sebut 'cikgu', pastilah itu budak Falah. Budak SMK Sultanah Bahiyah atau Sekolah Sukan Bukit Jalil, apa lagi misalnya SMK Elopura, Sandakan, tidak akan memanggil saya demikian......

Maka, dalam mengaku kenal itu, ada juga yang terpaksa saya merujuk orang lain. Maklumlah. Untuk mengingat seseorang secara menyeluruh amatlah mustahil. Ada sebahagiannya telah dua setengah dekad tidak berjumpa. Sebut nama sahaja, saya hanya terbayang wajahnya semasa berseragam sekolah dulu......

Lama-lama sekali saya mendapat  mesej. Entah daripada siapa mereka mendapat nombor saya tidaklah pula dinyatakan atau ditanyakan. Biarlah. Sekurang-kurangnya ada tanda mereka masih mengingati saya.....

Ada yang sekadar bertanya khabar. Yang lebih rajin sedikit, menokok dengan mengulas isi blog ini. Yang rajin lagi, menambah dengan bercerita kedudukan dan keadaannya kini. Yang agak advance, bersyukur kerana saya masih hidup! Entah media mana yang mengumumkan kematian saya.....Adusss!

Namun kebanyakan mengemukakan dua soalan awal di atas....... Sudah pasti saya jawab di dalam hati: kenal dan ingat!

Ada juga yang menguji dengan sekadar menyatakan nama sendiri tanpa bin atau binti. Tidak apalah, sekurang-kurangnya saya tahu mereka ingin melihat memori saya membuat senaman regang!

Misalnya, mesej dari Zairi dulu. Zairi mana? Saya ada sekurang-kurangnya 3 Zairi di dalam fail memori [subtopik: AlFalah 1983-2000]. Oleh kerana ada disebutnya nama Nazri Hashim, maka saya mendapatkan hamba Allah berasal dari Alor Ibus itu. Sahlah Zairi itu adik kepada Abdul Khodir Md Ariff. Terus muncul wajah dua beradik itu berpakaian sekolah. Si abang agak gempal rendang, manakala si adik agak melidi dengan rambut agak tercacak. Lalu dimasukkan info terbaru tentang tempat kerjanya dan isteri.

Seorang lagi berasal dari Teluk Bulang. Saya terus hubunginya. Ambil panduan dari rumah Suwita Don [rakan sekelas Abdul Khodir Md Ariff semasa Peralihan 1983], saya bertanya arah rumahnya. Dia terkejut kerana saya kenal Suwita dan tidak tahu pula Suwita pernah menjadi warga AlFalah. Teluk Bulang bukannya jauh tapi besar pula dunia ini rupanya sebab kami tidak pernah bertemu sejak dia meninggalkan AlFalah pada hujung 90-an. Dialah yang menyangka saya telah meninggal.....

Pada perjumpaan hari raya di dewan SK Taman Bersatu, 23 Ogos 2012, soalan yang sama berulang. Paling diingati adalah ketika bertemu sepasang suami isteri berpakaian kelabu sedondon. Saya terus mengakui kenal sebaik ditanya sedangkan memori teraba-raba. Selepas berbual sedikit, saya ke meja pendaftaran bagi memastikan siapa yang baru masuk ke dewan itu. Hashimah Azizan! Mungkin perubahan wajah yang tidak dilihat hampir dua dekad mengganggu aliran ingatan - sedangkan fotonya berambut kerinting [ketika foto itu diambil untuk membuat kad pengenalan sulung, agaknya, dia belum bertudung] yang dilekatkan pada buku pendaftaran semasa kelas Peralihan AlFalah dulu tertancap kukuh hingga kini....

Dua tiga kali saya sebenarnya saya berbuat demikian sambil memberitahu 'pegawai' pendaftaran tujuan saya menyemak senarai yang mendaftar...... semuanya melibatkan pelajar perempuan. Agaknya selepas lama bergelar isteri, apalagi menjadi ibu, 'kulit' wajah semasa di AlFalah terus hilang....
Rosmida dan Siti Nor

Pada petang itu juga, awal sedikit, sebaik saya menyebut namanya ketika terserempak di meja pendaftaran, Che Hasnah Derani terus berkata, "Laa, cikgu kenai saya lagi ka...." Tetapi pada masa yang sama saya terlupa nama Siti Nor dan Rosmida walaupun sempat berbual. Ketika wajah mereka muncul dalam fb, barulah saya rujuk kepada rakan-rakan mereka.

Demikianlah.

Petang kelmarin, di fb alumni AlFalah, saya ber'bual' dengan Muhamad Jamil Md Isa, yang baru menjadi ahli keluarga grup. Lihatlah sedikit sedutannya:
Demikianlah.

Dalam perbualan dengan Abu Bakar Zainol pada bulan puasa lalu, nama Jamil kami sebut beberapa kali. Malah sempat saya coretkan kenangan saudagar belacan itu dengan Jamil. Sila lihat entri 'Apa Bakar, Encik Kabar?'

Sebenarnya, kita saling teringat walaupun mungkin terletak, tersimpan terlalu jauh di dalam bakul usang memori. Tempat jatuh lagi dikenang, kata tok tua....

Jamil meninggalkan AlFalah sudah lebih dua dekad, dan tidak pernah kami berjumpa sejak itu. Namun seperti yang lain, kenangan bersamanya , dengan izin Allah, masih tersimpan..... Malah saya masih menyimpan Kamus Dewan Cetakan Pertama (Edisi Baru) 1989, yang ditinggalkannya ketika bertukar ke Langgar...

Kami saling berjanji untuk berbual lagi, sebelum saya meminta diri.


Namun, ada satu soalan dan sangkaan dari Jamil yang cukup mengejutkan saya sebaik diberitahu Cikgu Non (gambar sebelah) dan saya duduk berjiran. Petikan ini adalah bukti yang sering saya sebut: kalau melibatkan Alfalah, kadangkala kita merasakan seolah-olah amat baru detik itu berlalu. Bayangkan anggapan Jamil, tatkala dia sendiri sudah beranak tiga!

  • Muhamad Jamil Md IsaMuhamad Jamil Md Isa
    • ya ka...skrg ckgu mengajaq mn...ckgu non sht ka...dah kwn ka
  • Salahuddin Mohd JusohSalahuddin Mohd Jusoh
    • saya tak mengajar dah, cg non mngajar di sg limau. dah ada anak 5
    • jamil ada berapa anak, keja apa
  • Muhamad Jamil Md IsaMuhamad Jamil Md Isa
    • ya ka...ckgu buat apa skrg...sy ada 3 ank....keje bomba...ckgu non dh kawin ka
  • Salahuddin Mohd JusohSalahuddin Mohd Jusoh
    • cg non yg anak lima tu, saya empat saja
    • boleh bg no fon dak. saya punya 0194194408.
  • Muhamad Jamil Md IsaMuhamad Jamil Md Isa
    • igat ckgu non x kwin lg....blh ni no phone sy...0165395701..adk ckgu sht ka..lupa la nm dia

      Hmmmm.....

30 August 2012

Rahsia Itu: Sebuah Penamat!


  

Empat lelaki yang hadir pada tahun lepas, tidak muncul pada majlis tahun ini.

Demikian statistiknya. Kata Cikgu Din, itu adalah usaha Nor Raihan dalam merungkai misteri.

Dia mengurut dada. Selamat. Kalau hanya seorang yang ada dalam statistik itu, pasti ramai yang akan tahu rahsianya. Semua ini salah Cikgu Din. Ketika ramai bertanyakan siapa jejaka malang dalam catatannya, dinyatakan pula tahun ini jejaka itu tidak datang. Mujurlah yang tidak datang itu empat.....

Malam sebelum majlis dia telah menelefon Cikgu Din memberitahu tidak boleh hadir. Cikgu yang sedang dalam perjalanan ke rumah Ustaz Mohammad di Paya Nekong bersama Cikgu Non dan Cikgu Rahim tertawa dalam telefon. "Rugilah kalau Cdya mai..." kata cikgu itu, menggiat. Dia hanya tersengih sambil menyepak perlahan pokok jejarum di laman rumah mertuanya.

"Tak ada untung pun, kalau saya ada. Dia pun sudah berpunya.." balasnya. Saya juga... sambungnya di dalam hati.

Cikgu Din tertawa lagi sebelum memberitahu sedang memasuki jalan tar mini ke rumah Ustaz Mat itu. Dia mematikan perbualan, membiarkan semua cikgu itu selesa mengunjungi ustaz yang berkenduri menyambut menantu sulung pada siangnya.

Malam itu, lenanya tidak begitu nyenyak. Masih terbayang kemeriahan majlis sambutan hari raya tahun lalu. Meskipun kali ini bertukar tempat, dia pasti kemeriahan itu akan berulang, malah mungkin lebih kerana khabarnya ramai senior yang akan ikut serta. Cdya juga akan datang......

Kalaulah mertuanya tidak berhajat berkumpul sekeluarga besar pada hari raya kelima itu.....

Siangnya ketika orang kampung sibuk memasak dan berbual di belakang rumah mertuanya, dia sempat menelefon Cikgu Din lagi. Kali ini cikgu berada di Kuala Kedah, dalam perjalanan ke rumah Suhaimi Md Shah, berdekatan Masjid Tunku Ahmad Tajuddin, Kg Ulu. Hajatnya ingin bertanya persediaan majlis terbantut kerana asyik mendengar ketawa orang tua itu menggiatnya lagi. "Pemidang sudah Pak Un gantung, senanglah Cdya jumpa dewan 'tu..." Dia hanya tersengih. Dua budak yang berlari berdekatannya sambil membawa sampul duit empat lima keping seorang dilihatnya sekecil anak kucing sahaja......

Dia bukan hendak sangat berjumpa dengan Cdya kali ini. Niatnya sekadar turut sama memeriahkan majlis. Berjumpa dengan semua lapisan bekas pelajar Alfalah. Seorang guru berasal dari kampungnya akan turut serta dan baru diketahui bahawa rakan sekampung itu juga pernah belajar di AlFalah. Dua malam sebelum raya, ketika lepas bertarawih di masjid, dalam berbual panjang bertanyakan khabar dan sejarah, mereka tersebut nama Cikgu Din dan Cikgu Rahim serta Cikgu Non. Rakan itu pernah belajar ketika era Cikgu Rahim dan Cikgu Din manakala dia sendiri ketika era Cikgu Din dan Cikgu Non.... Rupanya mereka sesekolah... Rakan itulah yang memberitahu kemungkinan ramai rakan sekelasnya ikut serta.

Kalau secara peribadi dia ingin sangat berjumpa Nazri Hashim. Kasihan sahabat itu. Beberapa orang secara amat yakin menyatakan bahawa Nazrilah yang Cikgu Din ceritakan dalam dua episod Biarlah Rahsia dahulu. Dia berasa bersalah membiarkan Nazri ditohmah begitu. Demikian juga dengan Cdya. Apabila melibatkan Nazri, mesti Cdya adalah........., kata mereka. Walaupun berkali Cikgu Din menafikan, tekaan itu tidak banyak berkurang.

Tersenyum Meski Dimangsai!
Kalau suasana mengizinkan, dia ingin secara peribadi memohon maaf kepada Nazri. Syaratnya, jangan beritahu sesiapa dan dia yakin Nazri seorang yang amanah dalam berahsia.Cikgu Din pernah memberitahu bahawa Nazri tetap tenang ketika cikgu menyatakan ramai yang menyangka dirinya sebagai jejaka yang difokuskan. Malah boleh tertawa mengekek. "Bukan kita, 'nak marah buat apa. Biarlah..." Demikian Nazri mengungkapkan kepada Cikgu Din.

Kalaulah mertuanya tidak berhajat berkumpul sekeluarga besar pada hari raya kelima itu.....

Ketika melayan tetamu luar yang kesemuanya adalah sanak saudara mertuanya pada tengah hari itu, hatinya masih di majlis jamuan di SK Taman Bersatu. 

Tentu seronok di situ. Makan-makan, bergambar dan berbual dengan Husin, Bakar, Helwi, Wira, Fahrulruzi, Zulkifli, Yusri, Raihan, Hasliza, Muzammil, Mariam dan lainnya. Tambah pula dengan kemunculan generasi lebih awal pelajar Alfalah. Tambah lagi pula dengan guru-guru yang mungkin lebih ramai dari tahun lalu.. Tahun lepas, sekeping gambarnya pun tidak diambil....Kali ini dia lebih bersedia dengan kamera sendiri - dipinjam dari anak saudaranya - yang digunakan sejak malam raya...

Cdya?

Datang atau tidak, dia tidak kisah lagi. Cdya kini tidak lebih dari rakan-rakan yang lain. Untuk apa lagi dikenang detik-detik zaman berhingus dulu.

Memang pernah mereka berutus surat, saling memberi harap. Namun kini, meski dalam gelak perli Cikgu Din, orang tua itu kerap memberi nasihat untuk dia menerima hakikat. Allah telah mengaturkan takdir. Jodoh kita masing-masing telah ditetapkan. Redha sahaja.

Ketika dia asyik meminta nombor telefon Cdya dulu, bukan sekali dua Cikgu Din asyik berdalih dan berceramah. Insan yang sedang bangga digolongkan sebagai warga emas itu berkisah tentang dua kali perkahwinannya tanpa percintaan awal. Tapi tetap bahagia: satunya hingga ke mati dan satu lagi hingga kini. Diakuinya pernah jatuh hati dan tahu isterinya juga demikian. Tapi siapalah kita untuk melawan ketentuan Ilahi?

Pernah sekali, sedang mereka berbual, Cikgu Din yang sedang menghadap komputernya, meletakkan telefon dekat ke peti bunyi - sengaja menguatkan untuknya alunan Haida dalam bahagian akhir lagu Hajat:

Kita saling kasihi
jadikan itu satu memori
Sayangku, 
moga kautahu
tidak semua cinta bersatu....

Aduss....

Cikgu Din memang sukar dimengerti. Dalam berleter, menyuruh menerima hakikat, boleh pula mendera rasa. Sedang  berjaya melupakan Cdya, pernah dia mainkan di telefon lagu Memori Duka dari Sons of Adam terutama bahagian:

malam kian memaksa
lagu menghanyut pilu 
wajah-wajah duka pun hilang 
jika tersua lagi 
mungkin aku menangis 
menahan getaran hati yang musnah
 
Aduss...

Ketika moodnya tidak berapa baik, dia akan menerima lagu Lemak Manis dari Roslan Madun:

Sopan santun anak melayu
Senyum terukir bila disapa
Dalam pantun kukirim rindu
Rindu mengalir di dalam kata

Pohon sena pohon meranti
Di tengah-tengah buluh perindu
Adik di sana abang di sini
Di tengah-tengah rindu menderu

Hujan di hulu tak reda-reda
Ributlah turun bertalu-talu
Abang di hulu adik di kuala
Kuhanyut rindu dalam perahu

Lemak manis ala amboi amboi
Santan kelapa ala amboi amboi
Ku pandang lah manis ala amboi amboi
Anak siapa .
Ciss ciss ciss.......

Terkadang Cikgu Din menghantar petikan lirik luka lagu-lagu Orkes El Suraya, Medan:

·          
      Usah diingat dikenang lagi
Jangan ditanya juga dibilang
Biarlah saat  yag lalu pergi
Biarlah masa yang silam hilang    [Usah Dikenang]

Tinggal kuntum di tengah laman
Tinggallah padi sedang berbuah
Hantarkan daku dengan senyuman
Membawa hati membuang tuah ….
 ...........................................
Andai kilat sabung-menyabung
Badai bertiup menghempas buas
Kurela diri hanyut terapung
Namun hatiku merasa puas…….[Pilihan Terakhir]


Selamat tinggal teman dahulu
Juga handai serta sahabat
Semua rakan damai selalu
Lukaku bawa  dapat terubat…
…………………………….
Andai terdengar hamba tak pulang
Hilang lenyap tidak kembali
Jenguk pusara taburkan kembang
Walau setahun hanya sekali.....           [Perpisahan]

Aduss dan cisss!

Semacam beroleh kepuasan pula orang tua itu tatkala mendera.Kerana rahsia yang disimpan, dialah mangsanya..... Namun dia gembira juga dimangsai!

Pada waktu lain, Cikgu Din berleter semula, bertanya tentang apa kurangnya isteri sendiri. Anak-anak  yang terhasil dari perkahwinan sahnya adalah buah cinta - sesuatu yang seolah dinafikan. Bayangkan perasaan isteri yang terjeruk dengan tingkah suami mengenang kekasil awal.

Bayangkan jika isteri pula melakukan hal yang sama.....

Dia terpempan. Kenyataan hanya ingin berbual dan bertanya khabar apabila mendapat nombor telefon Cdya, dikekehkan oleh tawa Cikgu Din.

"Kononnya!" kata Cikgu Din. "Akan ada panggilan kedua lagi. Ketiga dan seterusnya....Kena jaga perasaan pasangan masing-masing juga!" Sambung Cikgu Din kemudiannya, sambil membuat petua yang diikutnya hingga kini, "Setiap malam, lihat turun naik dada anak kecil yang sedang lena, rasakankan sendiri suasana itu....Si ayah akan tahu diri!."

Dia tidak ingat apa yang dibalasnya dalam perbualan dalam telefon itu.

Hingga sudah, Cikgu Din langsung tidak memberi nombor telefon Cdya.

"Kalau nak juga minta pada Raihan atau Yam!" Itu keputusan yangdisalurkan melalui teks.

"Nak mampus? Kalau Raihan tahu, seluruh Malaysia akan tahu. Dia kan kerja di Arkib Negara....." Begitu pula balasnya.

Cikgu Din hanya menjawab dengan menekan huruf H dan E kecil masing-masing lima kali secara berselang. Sukalah 'tu....

Malam itu dia tidak mahu mendengar tawa bersalut giatan Cikgu Din. Maka dihantar teks sahaja, bertanyakan perkembangan majlis. Rupanya orang tua itu sedang menghadap komputer . Dia mendapat balasan mesej yang dihantar melalui kemudahan diberikan broadband. Panjanglah yang ditulis. Hampir lengkap laporannya. Disenaraikan guru-guru yang muncul - Siti Khadijah Osman, Abdurrahim Daud, Abd Aziz Hussin, Mohd Faisal Abdul Hamid, selain Cikgu Non dan Hjh Roselah, bekas kerani. Demikian juga beberapa nama pelajar senior AlFalah seperti Abd Khodir Md Ariff. serta adiknya Mohd Zairi, Ahmad Sofi Ahmad, Hussain Abd Hamid, Suhaimi Md Shah, Norlizah Saad, Norhayati ramli, Puteh Md Arif, Che Hasnah Derani, Rafidi Romli, Ashadi Ibrahim....Sebahagiannya tidak dikenali langsung. Ditulis beberapa nama lagi termasuk Cdya yang sengaja dihurufbesarkan nama penuhnya."Pandai Cdya membawa diri. Tiada siapa menyoalnya tentang masa lalu itu, rasanya" Tulis Cikgu Din.

Mesej itu di akhiri dengan perkataan 'dan....'

"Dan?" itu sepatah pula yang dihantar semula kepada Cikgu Din. Memang dia terdera dengan gaya mesej begitu.

Lama kemudian, ketika dia di bilik air untuk berwuduk, baru balasan diterima.

"Depa tercari dan bertanya tentang jejaka 'tu. Saya cuma kata, hero tak mai hari ni. Cdya saja ada...Raihan kata pening, pening....hehehe. Biarlah rahsia...."

Lenanya dibantu oleh letih dan lega.

Siangnya dia cuba membuka fb tapi terpaksa mengalah dengan anak-anak saudara yang hendak memasukkan gambar beraya mereka untuk dihantar kepada kawan rakan. Apalah sangat bangganya menghantar gambar dengan aksi sama - terkerising terkernyih beramai-ramai - cuma dalam lokasi rumah berbeza, cemiknya tatkala melihat gelagat mereka di ruang tamu.

Malamnya pula, ketika memandu untuk pulang ke  ****** [hehehe],  dia menerima mesej dari Cikgu Din, memaklumkan Wira dan Hamzah ada di rumahnya sebelum ke rumah Cikgu Non. Dia meneka sendiri: kalau bersama kedua-dua orang tua itu, santak sampai ke pagilah mereka bersembang dan pasti tersembul berbagai-bagai cerita menarik dan menolak....Tapi mengingatkan cakap Cikgu Din yang Cikgu Non tidak pernah bertanyakan tentang Dia dan Cdya, dia rasa tenang.

Dia memandang isteri yang terlena di sebelahnya. Tangan kirinya mencapai tangan kanan isteri yang terkulai di peha. Kemudian menggenggam erat hingga si isteri tergerak sedikit sebelum menyambung lenanya.

Di luar ada renyai hujan. Sesekali cahaya dari kereta arah hadapan menyuluh mukanya dan isteri. Sesekali dia mengerling anak-anak yang terlena keletihan di bahagian belakang.

"Engkaulah isteriku, dunia dan akhirat..." bisiknya di bibir dan terus ke hati. Ada kesayuan yang tidak akan mungkin dapat diterjemahkan. Dia menarik tangan isteri dan menciumnya. Si isteri bergerak, mengengsot sedikit, melentokkan kepala ke kanan dan meneruskan lena...

Renyai di luar bertempias ke pipinya....

Dia terus memandu.  Jalan di hadapan lurus dan masih jauh....

Kehidupan juga demikianlah.

Siang itu, sekitar jam sebelas, ketika anak-anak dan isteri bertanya khabar jiran yang juga baru sampai dari kampung, dia menelefon Cikgu Din.

"Apa cerita semalam?" tanyanya.

Rupanya tiga perkataan itu merupakan kata kunci bagi membuka semuanya. Dia hanya sempat mencelah dengan berkata "Oo" atau "Hmm". Itu pun hanya ketika Cikgu Din berhenti bercakap untuk menelan liur...

Cikgu itu berkisah tentang pertemuan dan perbualan di rumahnya, di rumah Cikgu Non, di Restoran Sala Kitchen, sebelum balik semula ke rumah Cikgu Non. Semua yang diceritakan dia faham sebab disertakan sekali huraian serta tafsirnya!


Depa yang bercerita....
Namun yang paling disukainya adalah cerita betapa pada malam sebelumnya Wira, Hamzah dan Fahrulruzi menunggu Hafizi di Kedai Kuetiau Iman. Di situlah, dalam berborak, terkeluar cerita Biarlah Rahsia. Semua mereka menjadi serba tahu. Semua sepakat bahawa yang diceritakan itu adalah tentang Nazri dan pasangannya. Walaupun difahamkan Cikgu Din memberitahu Raihan bahawa di majlis jamuan raya itu, hero tidak datang, yang muncul hanya Cdya, Fahrul pula dengan yakin menyatakan Cikgu Din sengaja menukar watak - heronya, Nazri, datang; Cdya yang tidak!

Demikian cerita Wira dan Hamzah kepada Cikgu Din yang dipanjangkan kepadanya.....

Untuk kesekian kalinya, dia cukup bersimpati kepada Nazri!

Nasib....

Hehehehehe.

29 August 2012

Airmata Lelaki......



  Apabila hati tersentuh, mudah sahaja kelopak mata menakung air.  Hanya yang empunya diri yang dapat menentukannya - samada membiarkan air itu berjurai, terurai atau kekal bergenang.

Ia dialami oleh semua tanpa mengira gender. Hanya mitos menyebut lelaki amat payah menunjukkan kebasahan pipi dek airmata. Ada yang mengatakan keegoanlah penyebab utamanya. Entahlah. Tetapi akan ada waktunya lelaki juga turut menangis!

Apabila hati tersentuh.....

Berkaitan majlis perjumpaan hari raya alumni Alfalah pada 23 Ogos 2012, ada airmata lelaki yang tumpah.

Yang pasti saya melihat air di penjuru mata Mohd Rafidi Ramli tatkala memeluk saya, Cikgu Rahim dan Cikgu Non, setelah dua dekad tidak bertemu. Walau cuba dikeringkan dengan sekaan jari, saya masih berupaya melihat bekasnya dari jarak dekat....


Di satu sudut, nun jauh di Jerantut, Pahang, Pawang Nujum yang ingin mengetahui perkembangan majlis, mengaku di dalam catatan fb, beliau menangis melihat gambar-gambar yang dimuatkan oleh jurufoto amatur itu. Beliau menangis - ertinya yang keluar dari matanya bukanlah debu atau cahaya laser!

Saya yang sepanjang majlis berlangsung sekadar cuba menahan sebak dengan pelbagai perkara yang cukup menyentuh, mengaku hanya menangis keesokannya apabila menerima sms dari SMS [Suhaimi Md Shah] yang agak panjang. Di antaranya menghargai kesediaan saya menjadi pendengar yang baik akan cerita perjalanan laranya, sehari sebelum majlis, di rumah saya. Pagi sebelum majlis, saya sempat mengunjungi rumah keluarganya di Kola untuk menziarahi emaknya yang sedang uzur. Di sepanjang majlis pula dia teruja dan gembira. Ucapan dalam smsnya amat menyentuh. Walau tidak sejelas air yang mengalir dari mata pelakon drama pilu  raya, tetes yang keluar di penjuru mata saya memang boleh dikategorikan sebagai airmata.



Mulanya saya bertahan, meski sebak mengenang salam dan pertukaran maaf dengan beberapa pelajar lama AlFalah, misalnya. Tetapi mengingatkan seorang Pawang Nujum yang gagah perkasa boleh menangis, apalah saya yang serba lemah ini....

Demikianlah.

Itu kisah yang saya tahu pasti. Bagaimana pun, ada juga dikhabarkan beberapa mata lelaki lain - sama ada yang hadir atau yang gagal hadir - turut kebasahan, dengan sebab-sebab yang berbeza. Yang hadir sebahagiannya menangisi masa lalu yang tidak akan berulang, dipantulkan pada wajah-wajah yang ditemui sepanjang majlis. Yang tidak hadir menangisi kekangan yang dihadapi hingga gagal untuk bersama rakan sesekolah, menjejak masa-masa silam ketika bersama di dalam pakaian seragam putih/ biru-putih. Sebahagian lagi tertanya-tanya: adakah lagi peluang yang bakal diberikan-Nya untuk bertemu pada majlis berikutnya.....

Apa pun sebabnya, ternyata hati jantan mereka telah tersentuh..... 

Keegoanlah yang menghalang mereka dari mengakui hakikat.......

********************************************************************************

Kepada lelaki yang mahu belajar menangis dan berfikir atau ingin hati disentuh, hayatilah titipan rakan fb ini:

 Untukmu Lelaki
Wahai Lelaki,

Tugasmu adalah
memuliakan
perempuan.
Ibumu,isterimu,dan anak-anakperempuanmu. 
Di Pundakmu mereka bertumpu.
Maka sepatutnya kau malu; 
jika tanganmu masih berpangku 
dan hatimu tidak tergerak 
untuk menjadikan mereka mulia. 
Wahai Lelaki,
Tugasmu adalah
memuliakan perempuan.
Ibumu tiga kali lebih berhak
engkau hormati daripada ayahmu.
Bahkan jika engkau
sudah menggendongnya keliling dunia; 
nescaya tidak akan terbalas 
kemuliaan ibunda padamu.
Isterimu adalah
indikator kebaikanmu.
Kemuliaannya melalui
tanganmu adalah pemberat amalmu di akhirat kelak.
Anak-anak perempuanmu
adalah cermin dirimu.
Kesenangan mereka akibat perbuatanmu 
adalah perisaimu dari api neraka. 
Wahai Lelaki,
Tugasmu adalah
memuliakah perempuan.
Memuliakan,
menjadikan mereka mulia,
di dunia dan disisi-Nya. 
Maka janganlah sekali-kali
berhitung ketika menafkahi Ibumu. 
Apakah Ibumu pernah
menagihmu atas air susu yang
menjadikanmu siapa dirimu sekarang? 
Jangan pula merasa berat saat
mencukupi keperluan isterimu.
Bukankah seharusnya
kehormatanmu boleh memenuhinya?
Pun merasa sempit saat memberikan kesenangan dunia 
pada anak-anak perempuanmu.
Perisai api neraka tidak sebanding
dengan apapun di dunia. 
Wahai Lelaki,
Tugasmu adalah
memuliakan perempuan.
Mulia ,bukan saja di dunia;
tapi juga menjadikan
mereka mulia di hadapan-Nya. 
Jangan berharap
mereka mendirikan perintah-Nya;
manakala dirimu sendiri lalai terhadap-Nya.
Jangan berfikir mereka akan menaatimu; 
jika dirimu mungkin tidak layak
untuk ditaati. 
Jangan pula
berharap iringan doa dan redha mereka 
jika mereka terlewat dari doa-doamu. 
Wahai Lelaki,
Tugasmu adalah
memuliakan perempuan.
Namun,sungguh,merekalah yang menjadi sebab kejayaanmu;
sebagaimana mereka pula
mungkin menjadi sebab bagi kehinaanmu. 
Maka bangunan megah di dunia saja tidak cukup bagi mereka untuk menjadi mulia;
ajarkanlah mereka membangun istana di syurga-Nya. 
Hilangkanlah rasa sempitmu;
nescaya Allah Azza Wa Jalla 
akan mencukupkanmu
untuk mencukupi mereka. 
Berlemah lembutlah pada mereka; 
nescaya Allah Azza Wa Jalla pun 
akan melembutkan mereka 
untuk berlemah lembut padamu. 
Berbahagialah, wahai Lelaki,
jika demikian berat
amanahmu di muka bumi;
maka Allah Azza Wa Jalla pasti telah menyediakan
tempat yang mulia bagi dirimu
yang telah menjadikan perempuan mulia di sisi-Nya. 
- R S El-Mubarok

************************************************************************************************ 

Mungkinkah
kita kan berjumpa
lagi......?

[Aku dan kenangan - Brain Connections]