Tiga anak saya terlena di ruang depan, dalam keletihan menunggu waktu berbuka. Yang tua sudah 12, yang tengah 11, dan si kecil menginjak 9. Semuanya sudah baligh. Semua ketidakpatuhan mereka pada hukum Allah akan naik ke pundak saya sama....
Kegemaran mereka adalah bergaduh. Pilihlah apa saja puncanya, mereka mesti ada! Cuma saiz pergaduhan itu saja yang tidak sama - kadangkala xl, sesekali l atau m namun yang kerapnya s.
Bermula bangun pagi, mereka sentiasa mencari pemenang untuk acara-acara:
- siapa yang mandi paling lewat.
- siapa yang bersalam dengan saya dulu.
- siapa yang duduk di bahagian depan ketika menantu emak menghantar ke sekolah.
- siapa yang pegang alat kawalan tv
- siapa yang mandi terakhir
- siapa yang awal dan lama menghadap komputer
- siapa yang tidak kena melipat pakaian
- siapa yang tidak kena menyimpan pakaian berlipat
- siapa yang berus gigi dahulu
- siapa yang tidak perlu pastikan tv, kipas dan lampu ditutup
Tahun hadapan, yang paling tua mungkin tinggal di asrama. Saya memerhati naik turun perutnya dalam lena itu. Kata orang, marah macam mana pun kepada anak-anak, akan hilang apabila melihat mereka lena....
Semalam saya cuba membawanya ke masa depan. Dengan keadaan sekarang, bagaimana dia akan menghadapi suasana hidup tanpa emak dan ayah. Setakat ini, dalam kebanyakan acara di atas, dialah yang mengunggulinya!
Saya berkisah tentang budak AlFalah yang datang ke asrama pada usia 13 tahun. Bersedia untuk memasak dan membasuh pakaian dan bersaing dalam menggunakan bilik air. Ada yang setahun kemudian, menerima amanah pula menjaga adik yang baru masuk. Berselang tahun ada lagi adik yang datang. Saya teringat beberapa contoh: Ahmad Sofi Ahmad tiga bersaudara, Basri Zakaria [PakMid] bersaudara, Maryam Awang bersaudara, Siti Nurliza Abdul Hamid [tiga bersaudara] Nor Hayati Che Rose bersaudara, Rubiah baharom bersaudara ............ Ramai lagi selepas mereka, tapi setakat ini , itulah yang muncul.
Saya sentiasa mengagumi kekentalan semangat mereka. Memasak dan membasuh pakaian dengan tidak pula mengabaikan pelajaran di sekolah. Kemudian pada waktu petang, masih lagi berkesempatan memenuhi padang untuk beriadah. Semasa mereka di AlFalah, saya masih jauh dari memikirkan akan punya anak yang seusia mereka.....
Apabila tiba bulan Ramadan, si abang atau si kakak, akan memastikan akan ada kuih untuk berbuka. Dengan wang saku yang tidak seberapa, adalah lebih baik dan ekonomi, lauk dan kuih disediakan sendiri. Tentang lauk,saya tidak terkesan sangat kerana pada bulan-bulan biasa juga mereka menyediakannya walau dengan resipi seminimalnya. Nasi berlaukkan telur goreng berenjiskan kicap pun sudah memadai. Ikan sardin King Cup di sebalik setengah kilo bawang besar berhiris juga sedap dikunyah bersama nasi. Campur pula gorengan daun kangkung segar dari ladang di belakang surau atau di dalam parit di belakang asrama...... Yang advance sedikit, siap berkerabu bunga paku rawan yang juga segar dipetik di sekitar sawah di sekeliling AlFalah. Campur pula dengan sedikit kerang atau udang .... Fuhh!
Tetapi, pada bab kuih, saya tabik. Tabikan yang tulus.
Teringat pada Maklang yang bising-bising kerana pengukur kelapa yang sering berarak antara asrama putera dan puteri...........Itu peralatan asas untuk menghasilkan makanan lemak bersari!
Masih nampak Ahmad Sofi Ahmad memetik daun pandan untuk membuat kuih.......bayangkan dalam usia belum mencecah hujung belasan, dia telah mahir membuat kuih-kuih tradisi. Kalau melibatkan air daun pandan, pastilah bukan kuih semudah jemput-jemput bilis atau peknga....Kemudahan mendapatkan kelapa di kawasan sekolah turut dimanfaatkannya. Bertanyalah sendiri kepada beliau yang masih sihat di sekitar Baling: apakah tau berapakah jenis kuih yang pernah dibuatnya di AlFalah semasa bulan puasa.... Malah, beliaulah pelopor acara menebar roti canai di atas papan hitam/hijau di asrama dan mungkin di dunia! Dan barang diingat Ahmad Sofi itu bukannya berjantina perempuan serta bukan pula ala-ala lembut!
Anak saya terlopong - antara mengantuk dan takjub.
Akankah dia memiliki sifat kemandirian begitu? Saya dan menantu emak sentiasa pesimis di depannya, namun hakikatnya amatlah kami berharap dia memiliki sikap seperti budak AlFalah itu. Menantu emak juga pernah tinggal di rumah sewa sejak usia 13 tatkala menuntut di Maktab Mahmud. Siap menjahit baju sendiri lagi. Harap-harap anak-anak ada mewarisi gen bahagian itu dari ibu mereka.
Sepanjang musim persekolahan, asrama adalah tempat paling sibuk dengan kepelbagaian aktiviti rutin penghuninya. Mencuci pakaian, memasak, menunaikan kewajiban di surau, bermain di arena AlFalah, serta mengulangkaji pelajaran di sekolah. Namun kesibukan itu akan lebih ketara apabila tibanya bulan Ramadan.
Ketika anak sebaya mereka kini dirungutkan oleh ibubapa sebagai 'masih tidak tahu buat apa', saya percaya sesiapa juga yang pernah tinggal di asrama AlFalah dulu, akan tersengih. Mereka generasi hebat. Namun saya juga percaya, anak-anak mereka sendiri kini, dalam usia awal belasan, ramai yang 'masih tidak tahu buat apa'.........Maklumlah, ayah ibu mereka paling tidak pun orang kelas pertengahan. Manakala ayah ibu kepada ayah ibu mereka dahulu kebanyakannya pula bukanlah orang ada-ada....
Demikianlah.
No comments:
Post a Comment