29 August 2012

Airmata Lelaki......



  Apabila hati tersentuh, mudah sahaja kelopak mata menakung air.  Hanya yang empunya diri yang dapat menentukannya - samada membiarkan air itu berjurai, terurai atau kekal bergenang.

Ia dialami oleh semua tanpa mengira gender. Hanya mitos menyebut lelaki amat payah menunjukkan kebasahan pipi dek airmata. Ada yang mengatakan keegoanlah penyebab utamanya. Entahlah. Tetapi akan ada waktunya lelaki juga turut menangis!

Apabila hati tersentuh.....

Berkaitan majlis perjumpaan hari raya alumni Alfalah pada 23 Ogos 2012, ada airmata lelaki yang tumpah.

Yang pasti saya melihat air di penjuru mata Mohd Rafidi Ramli tatkala memeluk saya, Cikgu Rahim dan Cikgu Non, setelah dua dekad tidak bertemu. Walau cuba dikeringkan dengan sekaan jari, saya masih berupaya melihat bekasnya dari jarak dekat....


Di satu sudut, nun jauh di Jerantut, Pahang, Pawang Nujum yang ingin mengetahui perkembangan majlis, mengaku di dalam catatan fb, beliau menangis melihat gambar-gambar yang dimuatkan oleh jurufoto amatur itu. Beliau menangis - ertinya yang keluar dari matanya bukanlah debu atau cahaya laser!

Saya yang sepanjang majlis berlangsung sekadar cuba menahan sebak dengan pelbagai perkara yang cukup menyentuh, mengaku hanya menangis keesokannya apabila menerima sms dari SMS [Suhaimi Md Shah] yang agak panjang. Di antaranya menghargai kesediaan saya menjadi pendengar yang baik akan cerita perjalanan laranya, sehari sebelum majlis, di rumah saya. Pagi sebelum majlis, saya sempat mengunjungi rumah keluarganya di Kola untuk menziarahi emaknya yang sedang uzur. Di sepanjang majlis pula dia teruja dan gembira. Ucapan dalam smsnya amat menyentuh. Walau tidak sejelas air yang mengalir dari mata pelakon drama pilu  raya, tetes yang keluar di penjuru mata saya memang boleh dikategorikan sebagai airmata.



Mulanya saya bertahan, meski sebak mengenang salam dan pertukaran maaf dengan beberapa pelajar lama AlFalah, misalnya. Tetapi mengingatkan seorang Pawang Nujum yang gagah perkasa boleh menangis, apalah saya yang serba lemah ini....

Demikianlah.

Itu kisah yang saya tahu pasti. Bagaimana pun, ada juga dikhabarkan beberapa mata lelaki lain - sama ada yang hadir atau yang gagal hadir - turut kebasahan, dengan sebab-sebab yang berbeza. Yang hadir sebahagiannya menangisi masa lalu yang tidak akan berulang, dipantulkan pada wajah-wajah yang ditemui sepanjang majlis. Yang tidak hadir menangisi kekangan yang dihadapi hingga gagal untuk bersama rakan sesekolah, menjejak masa-masa silam ketika bersama di dalam pakaian seragam putih/ biru-putih. Sebahagian lagi tertanya-tanya: adakah lagi peluang yang bakal diberikan-Nya untuk bertemu pada majlis berikutnya.....

Apa pun sebabnya, ternyata hati jantan mereka telah tersentuh..... 

Keegoanlah yang menghalang mereka dari mengakui hakikat.......

********************************************************************************

Kepada lelaki yang mahu belajar menangis dan berfikir atau ingin hati disentuh, hayatilah titipan rakan fb ini:

 Untukmu Lelaki
Wahai Lelaki,

Tugasmu adalah
memuliakan
perempuan.
Ibumu,isterimu,dan anak-anakperempuanmu. 
Di Pundakmu mereka bertumpu.
Maka sepatutnya kau malu; 
jika tanganmu masih berpangku 
dan hatimu tidak tergerak 
untuk menjadikan mereka mulia. 
Wahai Lelaki,
Tugasmu adalah
memuliakan perempuan.
Ibumu tiga kali lebih berhak
engkau hormati daripada ayahmu.
Bahkan jika engkau
sudah menggendongnya keliling dunia; 
nescaya tidak akan terbalas 
kemuliaan ibunda padamu.
Isterimu adalah
indikator kebaikanmu.
Kemuliaannya melalui
tanganmu adalah pemberat amalmu di akhirat kelak.
Anak-anak perempuanmu
adalah cermin dirimu.
Kesenangan mereka akibat perbuatanmu 
adalah perisaimu dari api neraka. 
Wahai Lelaki,
Tugasmu adalah
memuliakah perempuan.
Memuliakan,
menjadikan mereka mulia,
di dunia dan disisi-Nya. 
Maka janganlah sekali-kali
berhitung ketika menafkahi Ibumu. 
Apakah Ibumu pernah
menagihmu atas air susu yang
menjadikanmu siapa dirimu sekarang? 
Jangan pula merasa berat saat
mencukupi keperluan isterimu.
Bukankah seharusnya
kehormatanmu boleh memenuhinya?
Pun merasa sempit saat memberikan kesenangan dunia 
pada anak-anak perempuanmu.
Perisai api neraka tidak sebanding
dengan apapun di dunia. 
Wahai Lelaki,
Tugasmu adalah
memuliakan perempuan.
Mulia ,bukan saja di dunia;
tapi juga menjadikan
mereka mulia di hadapan-Nya. 
Jangan berharap
mereka mendirikan perintah-Nya;
manakala dirimu sendiri lalai terhadap-Nya.
Jangan berfikir mereka akan menaatimu; 
jika dirimu mungkin tidak layak
untuk ditaati. 
Jangan pula
berharap iringan doa dan redha mereka 
jika mereka terlewat dari doa-doamu. 
Wahai Lelaki,
Tugasmu adalah
memuliakan perempuan.
Namun,sungguh,merekalah yang menjadi sebab kejayaanmu;
sebagaimana mereka pula
mungkin menjadi sebab bagi kehinaanmu. 
Maka bangunan megah di dunia saja tidak cukup bagi mereka untuk menjadi mulia;
ajarkanlah mereka membangun istana di syurga-Nya. 
Hilangkanlah rasa sempitmu;
nescaya Allah Azza Wa Jalla 
akan mencukupkanmu
untuk mencukupi mereka. 
Berlemah lembutlah pada mereka; 
nescaya Allah Azza Wa Jalla pun 
akan melembutkan mereka 
untuk berlemah lembut padamu. 
Berbahagialah, wahai Lelaki,
jika demikian berat
amanahmu di muka bumi;
maka Allah Azza Wa Jalla pasti telah menyediakan
tempat yang mulia bagi dirimu
yang telah menjadikan perempuan mulia di sisi-Nya. 
- R S El-Mubarok

************************************************************************************************ 

Mungkinkah
kita kan berjumpa
lagi......?

[Aku dan kenangan - Brain Connections]

No comments: