3 August 2012

King Cup - Sebuah 'Piala' Tak Tergapai.....

 


Entri sebelum ini, Bicara Kecil tentang Kemandirian... mungkin catatan biasa bagi kebanyakan orang. Secara sepintas, saya berkisah tentang salah satu menu utama di asrama, ikan sardin. Begini yang saya catat: Ikan sardin King Cup di sebalik setengah kilo bawang besar berhiris juga sedap dikunyah bersama nasi.

Rupanya ia telah mencungkil satu rahsia yang tersimpan selama 3 dekad!

Seorang budak Falah, pernah belajar di situ hampir 5 tahun, menghubungi saya. Katanya, dia memperolehi nombor saya daripada seorang ahli grup fb alumni. Alhamdulillah. Tiga kali dia mencuba menghubungi saya, tapi tidak berjawab. Memang saya tidak melayan nombor yang agak asing bermula dengan 010....itu. Kemudian dia menghantar mesej pengenalan. Barulah dia menghubungi saya dan bercakap agak panjang. Dia tahu saya pasti akan masukkan dalam blog, maka diminta selindungkan segala tentang profilnya dan Insya Allah saya pegang pesannya.

Dia agak emosional. Sejak mula membaca catatan di dalam blog mulai April lalu, entri Bicara Kecil tentang Kemandirian... itulah yang paling menyentuh. Apabila terbaca tentang sardin King Cup, semuanya menyerbu ke dada. Rindu pada masa silam, rindu pada rakan sekoleh dan dendam kepada sardin di dalam tin berwarna merah itu!

Dia berada di asrama dengan duit poket paling tinggi RM30 untuk dua minggu! Maka berhematlah dan berjimatlah dia selama boleh. Beras dan sedikit ikan kering biasanya dibawa dari rumah beserta bawang, cabai kering dan gula garam. Setelah habis ikan kering bekalan, dia akan membeli pula ikan bilis atau tamban kering.

Sesekali apabila teringinkan sardin, itu pun hanya setin kecil, dia akan memesannya kepada saya yang bertindak sebagai jurubeli barang runcit untuk pelajar asrama - yang sejak dulu berslogankan you name it, you got it, if you pay it! Tetapi bukanlah jenama King Cup.

Mengikut ranking ketika itu, jenama sardin yang paling mahal adalah Ayam Brand [bukan cap ayam...], diikuti King Cup. Bawah lagi adalah jenama Botan dan Cinta. Ada juga keluaran Pertima dari Terengganu namun mungkin rasanya tidak menepati cita budak asrama....

Maka jenama Cinta atau Botanlah yang menjadi pilihannya.

Kenapa bukan jenama King Cup?

Harga setin kecilnya ketika itu kalau tidak silap saya 90 sen. Jenama Ayam Brand jangan cakaplah - 50-60 sen lebih mahal. Jenama cap ayam [bukan Ayam Brand tau....] sekitar 60-70 sen.

Maka pilihan yang ada adalah jenama Botan atau Cinta. Rasa sosnya kurang enak dari keluaran King Cup, tekstur isi ikannya - walau tetap reput seperti yang berharga mahal -  juga kasar dan keras! Memang keinginan ada untuk membeli jenama yang bersos lebih sedap dengan tekstur ikan yang lembut dan halus gebu itu. Namun, demi kelangsungan hidup, keinginan itu terpaksa dipendamkan. Dua puluh atau tiga puluh sen dari penjimatan itu cukup besar nilainya.

Ada sekali peristiwa yang hingga kini
cukup melekat di ingatannya. Seorang  rakan menumis untuk memasak sardin King Cup, pada Rabu minggu kedua,[esoknya akan pulang ke kampung],  apatah lagi duit di dalam poket hanya cukup untuk tambang bas, dia menelan liur. Kerana tidak tertahan dengan keinginan, dia laju berlari ke bilik air lalu mandi kerbau sepuasnya .... sambil mengusap air di muka yang sesekali berbaur airmata!


Memang dia dipelawa oleh rakan itu untuk turut menjamah masak asam sardin berampai bawang besar atau bendi atau kentang itu, namun berapa kalikah harus dia menebalkan muka , sedang dia tidak mampu menawarkan rakan itu apa-apa selain ikan tamban tergeliat goreng!
                                                                                               
Sehingga akhir pengajiannya di AlFalah, sekali pun tidak pernah dia membeli sardin keluaran King Cup. Setiap kali keinginan timbul, dia akan berfikir tentang penjimatan yang boleh dilakukan. Tiga puluh sen bererti 4-5 ekor ikan tamban atau  3 biji kuih cokia di kantin atau tiga batang ais krim Malaysia - semua pilihan itu adalah untuk 3 hari pula! Dia teringat emak ayah yang teraba-raba mencukupkan duit untuk diberikan setiap giliran Sabtu dia balik kampung. Dia teringat adik-adik yang hanya berbekalkan nasi lemak air tangan emak - sepertinya dulu juga- untuk ke sekolah.

Sardin Botan dan Cinta  itu pun hanya sesekali, jika hati tidak mampu dibendung. Itu pun, seingatnya, sepanjang di AlFalah, tidak lebih dua dozen dibelinya.

[Sempat diselitnya kekesalan dengan pandang rendah anak-anak sekolah sekarang tentang sen-sen ini. Dia yang kini berjaya dan bergaya dalam hidupnya  sentiasa bercerita tentang masa silamnya merangkap masa sukar itu kepada anak-anak. Sukar juga untuk meyakinkan mereka bahawa kisah benar itu benar-benar dialami si ayah. Namun perulangan yang konsisten, dengan sesekali, dalam sebak dia bercerita, akhirnya mereka yakin: itulah sebenar-benar kisah. Setakat ini anak-anaknya faham erti berjimat dan menghargai setiap sen yang dihulurnya. Ketika ditanyakan akan hal emak ayahnya, dia diam seketika. Dia teringat emaknya pernah dua kali berkata - sekali tatkala segak kemas hendak pergi ke temuduga kerja kali pertama dan sekali lagi ketika dia segak siap untuk melangkah ke majlis pernikahannya: "Tengoklah berkat ikan keghin, oghang kata tak banyak vitamin, tapi hang besaq macam oghang  lain jugak, tidak terbantut apa-apa......" Dia terasa disindir manja emaknya kerana pernah beberapa kali merungut tentang menu lauk yang serupa sepanjang di AlFalah....Senyum manis emak ketika melontarkan kata-kata itu akan dikenang hingga mati! Dan kini, si emak telah meninggal pada tahun November 2006, manakala ayah pula sedang uzur di rumah adiknya di selatan Kedah. Mereka [lima beradik] bergilir secara bulanan menjaga ayah. Syukurlah.]

Dendamnya kepada sardin King Cup cukup mendalam.

Ketika bekerja di kiosk minyak - sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM - sardinlah yang pertama diangankan jika mendapat gaji pertama!

Benar. Pada petang mendapat gaji itu, dia membeli 4 tin besar sardin King Cup. Malam itu dia sekeluarga menyantap masak asam sardin sepuasnya. Menjelang waktu tidur, dia membaham pula dua keping sandwich sardin.

Ketika menekan perut yang kekenyangan, dalam kegelapan malam, di bilik tidurnya, dia menangis! Dia teringatkan waktu di AlFalah.......

....dan dia tahu, dia tidak berseorangan mendendami tin berwarna merah itu semasa di AlFalah......

<Terima kasih kepada diri berkenaan kerana mengizinkan saya mencatat secara bebas luahannya>


Titip Rindu Buat Ayah  - Ebiet G Ade

Di matamu masih tersimpan selaksa peristiwa             
Benturan dan hempasan terpahat di keningku
Kau nampak tua dan lelah
Keringat mengucur deras
Namun kau tetap tabah
Meski nafasmu, kadang tersengal, 
memikul beban yang makin sarat
Kau tetap bertahan

Engkau telah mengerti hitam dan merah jalan ini

Keriput tulang pipimu, gambaran perjuangan
Bahumu yang dulu kekar, legam terbakar matahari
Kini kurus dan terbungkuk
Namun semangat tak pernah pudar
Meski langkahmu kadang gemetar
Kau tetap setia

Ayah...

Dalam hening sepi ku rindu
Untuk menuai padi milik kita
Tapi...
Kerinduan tinggal hanya kerinduan
Anakmu sekarang
Banyak menanggung beban.

No comments: