30 August 2012

Rahsia Itu: Sebuah Penamat!


  

Empat lelaki yang hadir pada tahun lepas, tidak muncul pada majlis tahun ini.

Demikian statistiknya. Kata Cikgu Din, itu adalah usaha Nor Raihan dalam merungkai misteri.

Dia mengurut dada. Selamat. Kalau hanya seorang yang ada dalam statistik itu, pasti ramai yang akan tahu rahsianya. Semua ini salah Cikgu Din. Ketika ramai bertanyakan siapa jejaka malang dalam catatannya, dinyatakan pula tahun ini jejaka itu tidak datang. Mujurlah yang tidak datang itu empat.....

Malam sebelum majlis dia telah menelefon Cikgu Din memberitahu tidak boleh hadir. Cikgu yang sedang dalam perjalanan ke rumah Ustaz Mohammad di Paya Nekong bersama Cikgu Non dan Cikgu Rahim tertawa dalam telefon. "Rugilah kalau Cdya mai..." kata cikgu itu, menggiat. Dia hanya tersengih sambil menyepak perlahan pokok jejarum di laman rumah mertuanya.

"Tak ada untung pun, kalau saya ada. Dia pun sudah berpunya.." balasnya. Saya juga... sambungnya di dalam hati.

Cikgu Din tertawa lagi sebelum memberitahu sedang memasuki jalan tar mini ke rumah Ustaz Mat itu. Dia mematikan perbualan, membiarkan semua cikgu itu selesa mengunjungi ustaz yang berkenduri menyambut menantu sulung pada siangnya.

Malam itu, lenanya tidak begitu nyenyak. Masih terbayang kemeriahan majlis sambutan hari raya tahun lalu. Meskipun kali ini bertukar tempat, dia pasti kemeriahan itu akan berulang, malah mungkin lebih kerana khabarnya ramai senior yang akan ikut serta. Cdya juga akan datang......

Kalaulah mertuanya tidak berhajat berkumpul sekeluarga besar pada hari raya kelima itu.....

Siangnya ketika orang kampung sibuk memasak dan berbual di belakang rumah mertuanya, dia sempat menelefon Cikgu Din lagi. Kali ini cikgu berada di Kuala Kedah, dalam perjalanan ke rumah Suhaimi Md Shah, berdekatan Masjid Tunku Ahmad Tajuddin, Kg Ulu. Hajatnya ingin bertanya persediaan majlis terbantut kerana asyik mendengar ketawa orang tua itu menggiatnya lagi. "Pemidang sudah Pak Un gantung, senanglah Cdya jumpa dewan 'tu..." Dia hanya tersengih. Dua budak yang berlari berdekatannya sambil membawa sampul duit empat lima keping seorang dilihatnya sekecil anak kucing sahaja......

Dia bukan hendak sangat berjumpa dengan Cdya kali ini. Niatnya sekadar turut sama memeriahkan majlis. Berjumpa dengan semua lapisan bekas pelajar Alfalah. Seorang guru berasal dari kampungnya akan turut serta dan baru diketahui bahawa rakan sekampung itu juga pernah belajar di AlFalah. Dua malam sebelum raya, ketika lepas bertarawih di masjid, dalam berbual panjang bertanyakan khabar dan sejarah, mereka tersebut nama Cikgu Din dan Cikgu Rahim serta Cikgu Non. Rakan itu pernah belajar ketika era Cikgu Rahim dan Cikgu Din manakala dia sendiri ketika era Cikgu Din dan Cikgu Non.... Rupanya mereka sesekolah... Rakan itulah yang memberitahu kemungkinan ramai rakan sekelasnya ikut serta.

Kalau secara peribadi dia ingin sangat berjumpa Nazri Hashim. Kasihan sahabat itu. Beberapa orang secara amat yakin menyatakan bahawa Nazrilah yang Cikgu Din ceritakan dalam dua episod Biarlah Rahsia dahulu. Dia berasa bersalah membiarkan Nazri ditohmah begitu. Demikian juga dengan Cdya. Apabila melibatkan Nazri, mesti Cdya adalah........., kata mereka. Walaupun berkali Cikgu Din menafikan, tekaan itu tidak banyak berkurang.

Tersenyum Meski Dimangsai!
Kalau suasana mengizinkan, dia ingin secara peribadi memohon maaf kepada Nazri. Syaratnya, jangan beritahu sesiapa dan dia yakin Nazri seorang yang amanah dalam berahsia.Cikgu Din pernah memberitahu bahawa Nazri tetap tenang ketika cikgu menyatakan ramai yang menyangka dirinya sebagai jejaka yang difokuskan. Malah boleh tertawa mengekek. "Bukan kita, 'nak marah buat apa. Biarlah..." Demikian Nazri mengungkapkan kepada Cikgu Din.

Kalaulah mertuanya tidak berhajat berkumpul sekeluarga besar pada hari raya kelima itu.....

Ketika melayan tetamu luar yang kesemuanya adalah sanak saudara mertuanya pada tengah hari itu, hatinya masih di majlis jamuan di SK Taman Bersatu. 

Tentu seronok di situ. Makan-makan, bergambar dan berbual dengan Husin, Bakar, Helwi, Wira, Fahrulruzi, Zulkifli, Yusri, Raihan, Hasliza, Muzammil, Mariam dan lainnya. Tambah pula dengan kemunculan generasi lebih awal pelajar Alfalah. Tambah lagi pula dengan guru-guru yang mungkin lebih ramai dari tahun lalu.. Tahun lepas, sekeping gambarnya pun tidak diambil....Kali ini dia lebih bersedia dengan kamera sendiri - dipinjam dari anak saudaranya - yang digunakan sejak malam raya...

Cdya?

Datang atau tidak, dia tidak kisah lagi. Cdya kini tidak lebih dari rakan-rakan yang lain. Untuk apa lagi dikenang detik-detik zaman berhingus dulu.

Memang pernah mereka berutus surat, saling memberi harap. Namun kini, meski dalam gelak perli Cikgu Din, orang tua itu kerap memberi nasihat untuk dia menerima hakikat. Allah telah mengaturkan takdir. Jodoh kita masing-masing telah ditetapkan. Redha sahaja.

Ketika dia asyik meminta nombor telefon Cdya dulu, bukan sekali dua Cikgu Din asyik berdalih dan berceramah. Insan yang sedang bangga digolongkan sebagai warga emas itu berkisah tentang dua kali perkahwinannya tanpa percintaan awal. Tapi tetap bahagia: satunya hingga ke mati dan satu lagi hingga kini. Diakuinya pernah jatuh hati dan tahu isterinya juga demikian. Tapi siapalah kita untuk melawan ketentuan Ilahi?

Pernah sekali, sedang mereka berbual, Cikgu Din yang sedang menghadap komputernya, meletakkan telefon dekat ke peti bunyi - sengaja menguatkan untuknya alunan Haida dalam bahagian akhir lagu Hajat:

Kita saling kasihi
jadikan itu satu memori
Sayangku, 
moga kautahu
tidak semua cinta bersatu....

Aduss....

Cikgu Din memang sukar dimengerti. Dalam berleter, menyuruh menerima hakikat, boleh pula mendera rasa. Sedang  berjaya melupakan Cdya, pernah dia mainkan di telefon lagu Memori Duka dari Sons of Adam terutama bahagian:

malam kian memaksa
lagu menghanyut pilu 
wajah-wajah duka pun hilang 
jika tersua lagi 
mungkin aku menangis 
menahan getaran hati yang musnah
 
Aduss...

Ketika moodnya tidak berapa baik, dia akan menerima lagu Lemak Manis dari Roslan Madun:

Sopan santun anak melayu
Senyum terukir bila disapa
Dalam pantun kukirim rindu
Rindu mengalir di dalam kata

Pohon sena pohon meranti
Di tengah-tengah buluh perindu
Adik di sana abang di sini
Di tengah-tengah rindu menderu

Hujan di hulu tak reda-reda
Ributlah turun bertalu-talu
Abang di hulu adik di kuala
Kuhanyut rindu dalam perahu

Lemak manis ala amboi amboi
Santan kelapa ala amboi amboi
Ku pandang lah manis ala amboi amboi
Anak siapa .
Ciss ciss ciss.......

Terkadang Cikgu Din menghantar petikan lirik luka lagu-lagu Orkes El Suraya, Medan:

·          
      Usah diingat dikenang lagi
Jangan ditanya juga dibilang
Biarlah saat  yag lalu pergi
Biarlah masa yang silam hilang    [Usah Dikenang]

Tinggal kuntum di tengah laman
Tinggallah padi sedang berbuah
Hantarkan daku dengan senyuman
Membawa hati membuang tuah ….
 ...........................................
Andai kilat sabung-menyabung
Badai bertiup menghempas buas
Kurela diri hanyut terapung
Namun hatiku merasa puas…….[Pilihan Terakhir]


Selamat tinggal teman dahulu
Juga handai serta sahabat
Semua rakan damai selalu
Lukaku bawa  dapat terubat…
…………………………….
Andai terdengar hamba tak pulang
Hilang lenyap tidak kembali
Jenguk pusara taburkan kembang
Walau setahun hanya sekali.....           [Perpisahan]

Aduss dan cisss!

Semacam beroleh kepuasan pula orang tua itu tatkala mendera.Kerana rahsia yang disimpan, dialah mangsanya..... Namun dia gembira juga dimangsai!

Pada waktu lain, Cikgu Din berleter semula, bertanya tentang apa kurangnya isteri sendiri. Anak-anak  yang terhasil dari perkahwinan sahnya adalah buah cinta - sesuatu yang seolah dinafikan. Bayangkan perasaan isteri yang terjeruk dengan tingkah suami mengenang kekasil awal.

Bayangkan jika isteri pula melakukan hal yang sama.....

Dia terpempan. Kenyataan hanya ingin berbual dan bertanya khabar apabila mendapat nombor telefon Cdya, dikekehkan oleh tawa Cikgu Din.

"Kononnya!" kata Cikgu Din. "Akan ada panggilan kedua lagi. Ketiga dan seterusnya....Kena jaga perasaan pasangan masing-masing juga!" Sambung Cikgu Din kemudiannya, sambil membuat petua yang diikutnya hingga kini, "Setiap malam, lihat turun naik dada anak kecil yang sedang lena, rasakankan sendiri suasana itu....Si ayah akan tahu diri!."

Dia tidak ingat apa yang dibalasnya dalam perbualan dalam telefon itu.

Hingga sudah, Cikgu Din langsung tidak memberi nombor telefon Cdya.

"Kalau nak juga minta pada Raihan atau Yam!" Itu keputusan yangdisalurkan melalui teks.

"Nak mampus? Kalau Raihan tahu, seluruh Malaysia akan tahu. Dia kan kerja di Arkib Negara....." Begitu pula balasnya.

Cikgu Din hanya menjawab dengan menekan huruf H dan E kecil masing-masing lima kali secara berselang. Sukalah 'tu....

Malam itu dia tidak mahu mendengar tawa bersalut giatan Cikgu Din. Maka dihantar teks sahaja, bertanyakan perkembangan majlis. Rupanya orang tua itu sedang menghadap komputer . Dia mendapat balasan mesej yang dihantar melalui kemudahan diberikan broadband. Panjanglah yang ditulis. Hampir lengkap laporannya. Disenaraikan guru-guru yang muncul - Siti Khadijah Osman, Abdurrahim Daud, Abd Aziz Hussin, Mohd Faisal Abdul Hamid, selain Cikgu Non dan Hjh Roselah, bekas kerani. Demikian juga beberapa nama pelajar senior AlFalah seperti Abd Khodir Md Ariff. serta adiknya Mohd Zairi, Ahmad Sofi Ahmad, Hussain Abd Hamid, Suhaimi Md Shah, Norlizah Saad, Norhayati ramli, Puteh Md Arif, Che Hasnah Derani, Rafidi Romli, Ashadi Ibrahim....Sebahagiannya tidak dikenali langsung. Ditulis beberapa nama lagi termasuk Cdya yang sengaja dihurufbesarkan nama penuhnya."Pandai Cdya membawa diri. Tiada siapa menyoalnya tentang masa lalu itu, rasanya" Tulis Cikgu Din.

Mesej itu di akhiri dengan perkataan 'dan....'

"Dan?" itu sepatah pula yang dihantar semula kepada Cikgu Din. Memang dia terdera dengan gaya mesej begitu.

Lama kemudian, ketika dia di bilik air untuk berwuduk, baru balasan diterima.

"Depa tercari dan bertanya tentang jejaka 'tu. Saya cuma kata, hero tak mai hari ni. Cdya saja ada...Raihan kata pening, pening....hehehe. Biarlah rahsia...."

Lenanya dibantu oleh letih dan lega.

Siangnya dia cuba membuka fb tapi terpaksa mengalah dengan anak-anak saudara yang hendak memasukkan gambar beraya mereka untuk dihantar kepada kawan rakan. Apalah sangat bangganya menghantar gambar dengan aksi sama - terkerising terkernyih beramai-ramai - cuma dalam lokasi rumah berbeza, cemiknya tatkala melihat gelagat mereka di ruang tamu.

Malamnya pula, ketika memandu untuk pulang ke  ****** [hehehe],  dia menerima mesej dari Cikgu Din, memaklumkan Wira dan Hamzah ada di rumahnya sebelum ke rumah Cikgu Non. Dia meneka sendiri: kalau bersama kedua-dua orang tua itu, santak sampai ke pagilah mereka bersembang dan pasti tersembul berbagai-bagai cerita menarik dan menolak....Tapi mengingatkan cakap Cikgu Din yang Cikgu Non tidak pernah bertanyakan tentang Dia dan Cdya, dia rasa tenang.

Dia memandang isteri yang terlena di sebelahnya. Tangan kirinya mencapai tangan kanan isteri yang terkulai di peha. Kemudian menggenggam erat hingga si isteri tergerak sedikit sebelum menyambung lenanya.

Di luar ada renyai hujan. Sesekali cahaya dari kereta arah hadapan menyuluh mukanya dan isteri. Sesekali dia mengerling anak-anak yang terlena keletihan di bahagian belakang.

"Engkaulah isteriku, dunia dan akhirat..." bisiknya di bibir dan terus ke hati. Ada kesayuan yang tidak akan mungkin dapat diterjemahkan. Dia menarik tangan isteri dan menciumnya. Si isteri bergerak, mengengsot sedikit, melentokkan kepala ke kanan dan meneruskan lena...

Renyai di luar bertempias ke pipinya....

Dia terus memandu.  Jalan di hadapan lurus dan masih jauh....

Kehidupan juga demikianlah.

Siang itu, sekitar jam sebelas, ketika anak-anak dan isteri bertanya khabar jiran yang juga baru sampai dari kampung, dia menelefon Cikgu Din.

"Apa cerita semalam?" tanyanya.

Rupanya tiga perkataan itu merupakan kata kunci bagi membuka semuanya. Dia hanya sempat mencelah dengan berkata "Oo" atau "Hmm". Itu pun hanya ketika Cikgu Din berhenti bercakap untuk menelan liur...

Cikgu itu berkisah tentang pertemuan dan perbualan di rumahnya, di rumah Cikgu Non, di Restoran Sala Kitchen, sebelum balik semula ke rumah Cikgu Non. Semua yang diceritakan dia faham sebab disertakan sekali huraian serta tafsirnya!


Depa yang bercerita....
Namun yang paling disukainya adalah cerita betapa pada malam sebelumnya Wira, Hamzah dan Fahrulruzi menunggu Hafizi di Kedai Kuetiau Iman. Di situlah, dalam berborak, terkeluar cerita Biarlah Rahsia. Semua mereka menjadi serba tahu. Semua sepakat bahawa yang diceritakan itu adalah tentang Nazri dan pasangannya. Walaupun difahamkan Cikgu Din memberitahu Raihan bahawa di majlis jamuan raya itu, hero tidak datang, yang muncul hanya Cdya, Fahrul pula dengan yakin menyatakan Cikgu Din sengaja menukar watak - heronya, Nazri, datang; Cdya yang tidak!

Demikian cerita Wira dan Hamzah kepada Cikgu Din yang dipanjangkan kepadanya.....

Untuk kesekian kalinya, dia cukup bersimpati kepada Nazri!

Nasib....

Hehehehehe.

No comments: