Dia mengelik (new) di dalam kurungan itu sebaik grup Alumni Sek Men Agama Al-Falah, Kedah muncul di skrin. Kehampaan berulang. Nama yang diharapkan masih belum muncul.
Dia mengetuk-ngetuk meja dengan kedua-dua jari telunjuk. Bagaimanakah akan dimulakannya hari ini dengan kehampaan yang asyik berulang itu? Tiadakah akaun fb Cdya? Ataukah tiada langsung kemudahan internet di rumah atau tempat kerjanya?
Dia memerhati kalendar yang digantung di dinding kiri biliknya. Sudah menjengah bulan Julai. Ertinya tidak sampai dua bulan, akan datanglah hari itu. Hari di mana dia berharap akan sekali lagi berpeluang bertemu Cdya. Sekali lagi....
Tahun lalu dia cukup seronok berbaur terkejut.Cdya muncul di dalam dewan ketika Ustaz Mohammad Abdullah sedang memberi ucapan di atas pentas. Dia yang duduk di sisi Cikgu Din di barisan belakang di sebelah kiri dewan, tiba-tiba hilang pendengaran! Apa yang diucapkan oleh Ustaz Mat tidak langsung didengarinya. Semuanya kosong.
Cdya!
'Mujur kita tak kena!' Demikian yang ditulisnya di atas secarik kertas lalu diselitkan dalam buku nota sains Cdya. Ketika itu seluruh kelas sedang sibuk menghulurkan simpati kepada dua pasangan yang baru sahaja menerima habuan daripada Ustaz Fairose di depan perhimpunan.
Kemujuran sentiasa sinonim dengan perhubungan mereka. Malah perhubungan itu tidak dapat dihidu oleh sesiapa sepanjang berada di AlFalah. Sejak dia mendapat balasan pertama salam perkenalan dari Cdya, dia bagaikan ingin menjerit, "Lihatlah dunia!' seperti yang dilafazkan oleh Azean Irdawaty ketika menjulang anugerah pelakon terbaik dulu. Namun dia terikat pada kalimat akhir di hujung warkah biru itu: Jika terbocor surat ini, anggaplah berakhirnya sebarang apa pun antara ana dan anta!
Berakhir ketika baru bermula? Memikirkan ayat itulah, maka dipendamnya rasa gembira tatkala mencipta sejarah buat pertama kali menerima surat dari seorang pelajar perempuan! Kawan di sebelah juga kehairanan melihatnya tersengih seorang, malah kalau agak berlebihan sengihan itu, kawan akan bertanya, "hang 'ni gila ka apa?" Demi Cdya, dianggap gila pun dia sanggup!
Telah lama hatinya tersangkut pada Cdya. Ini dapat dikesannya kerana hatinya tidak tahan setiap kali melihat Cdya dihukum atau dikomen hasil kerjanya oleh guru. Ketika rakan sekelas melihat semuanya sebagai sesuatu yang biasa, hatinya sebaliknya marah kepada guru yang mengomen sebarang kerja Cdya. Dia tahu hatinya tersangkut kian kuat kepada Cdya apabila tanpa sedar, dalam satu majlis muhadhoroh, dia duduk di barisan adik-adik tingkatan satu di belakang guru-guru. Puncanya, hari itu Cdya bersama rakan sekelas membuat persembahan nasyid. Walaupun Cdya bukanlah penasyid utama, dan berdiri pula di bahagian belakang dalam formasi dua baris itu, suara Cdyalah yang paling sedap dan nyaring baginya....
Selepas itulah dia memberanikan diri menulis semuka penuh warkah buat Cdya. Berkeping-keping kertas terbuang sebelum dia berpuashati. Bermula dengan Bismillah dan salam dalam tulisan jawi yang paling cantik baginya, dia berkisah tentang sepi seorang yang tidak dipandang di antara pelajar sekelas. Serendah mungkin dia meletakkan diri, malah menghinakan diri yang 'tiada harta,tiada rupa'.....Dia memuji ketenangan pada diri Cdya, menyatakan terpikat pada keayuan wajah Cdya yang berciri-ciri Melayu dan berharap diberi ruang dalam hati Cdya untuk menerimanya sebagai sahabat..... Surat yang diakhiri dengan kalimat popular 'pecah kaca ,pecah gelas' itu disisipkan secara rahsia pada awal pagi, ketika kelas lengang, ke dalam poket luar beg buku Cdya.
Selepas itu, sepanjang hari, setiap kali dia nampak Cdya membuka beg, dadanya berdebar. Namun, Cdya yang duduk berselang empat meja dengannya, tidak pun membuka poket luar begnya. Hinggalah waktu pulang, keadaan demikian juga. Poket luar beg itu tidak disentuh pun.
Sepanjang malam dia gelisah. Adakah surat yang dikarang dari hati itu dijumpai Cdya? Adakah Cdya akan membalasnya? Atau mungkinkah Cdya sekadar mencemik dan kemudiannya menghebahkan isi surat itu kepada itu kepada rakan sekelas? Bagaimana kalau hal itu sampai pula kepada guru-guru? Cikgu Non tentu akan tersengih memanjang apabila bertemunya. Cikgu Din tentu akan menyindir semasa kelas BM atau Kesusasteraan Melayu. Ustaz Fairose tentu akan mendapat satu lagi bola tanggung untuk dihunjam semasa perhimpunan pagi.....Akhirnya dia terlelap dan didatangi mimpi seseorang sedang diletakkan di atas meja di tengah kelas lalu diketawakan orang yang berkeliling!
Paginya, dia ke sekolah dengan perasaan berbelah bahagi. Apakah dia akan menerima balasan surat dengan penerimaan huluran salamnya atau disimbah dengan sumpah seranah dari Cdya? Demi Cdya, apa pun dia bersedia!
Di dalam kelas, suasana seperti biasa. Riuh dan sepi mengikut keadaan guru - ada atau tiada. Dia sentiasa meletakkan ekor mata pada setiap pergerakan Cdya. Hingga waktu rehat, tiada apa-apa yang memberi tanda positif untuknya. Cdya dilihat berbual dengan rakan-rakan seperti biasa, tanpa sekali pun menjeling ke arahnya, apa lagi menegur. Dia pula asyik menelan liur yang payau. Waktu rehat itu dihabiskan dengan memandang kosong ke arah rakan-rakan yang menikmati makanan di kantin. Ada juga yang sempat menyapa 'pasangan' masing-masing dengan cara tersendiri - ada yang mendepangkan tangan sebaik sengaja menyerempakkan diri, ada yang berbunyi seperti tikus kasturi, ada yang sengaja mendehem sambil mengisyaratkan sesuatu yang hanya pasangan itu dan Allah yang tahu akan maknanya...
Dia?
Sabar, kata hatinya. Mungkin Cdya belum pun menjumpai surat itu, bujuk hati lagi.
Selepas rehat, dia terpempan dan debaran dada kian kencang. Sebaik dibuka buku teks matematik sebagai persediaan menyambut kemasukan Cikgu Non, dia mendapati satu sampul merah jambu terselit di dalamnya. Cepat-cepat sampul itu disambarnya dan dia berdiri untuk memasukkannya ke dalam poket kanan seluar. Ketika berdiri itulah dia mengerling ke arah Cdya. Cdya pada ketika yang sama mendongak memandang ke arahnya dengan disekalikan sebuah senyum tipis, yang akan diingatnya sampai mati!
Selepas itu, masuklah Cikgu Non, Ustaz Mat dan Ustaz Man, dia tidak peduli. Ketika kelas digegarkan dengan ketawa, dia hanya tersengih. Ketika kelas diam dileteri, dia masih tersengih. Ketika kelas riuh tatkala pertukaran guru, dia terus tersengih. Sesekali dia meraba poket kanan seluarnya. Senyum Cdya dan keberadaan surat itu cukup membahagiakan. Bilakah akan berbunyi loceng terakhir......?
Apabila loceng terakhir benar-benar berbunyi, dia melompat pantas keluar. Cdya dilihatnya dengan tertib sedang menyusun buku-buku untuk dimasukkan ke dalam beg. Biarlah. Dia mahu cepat sampai di rumah! Ketika berebut menaiki bas, dia menjadi seperti adik-adik tingkatan satu. Mahu naik dahulu dan duduk berhampiran pemandu - agar cepat sampainya!
Di rumah, sebaik menggantungkan beg di paku di belakang dinding bilik, dia terus duduk di birai katiil sambil membuka sampul merah jambu, Walaupun di dalam bilik, dia memandang ke kiri kanan sekali sebelum mencium sampul itu. Dengan bacaan bismillah yang jahar, dia membuka sampul dan membuka helaian surat nan sekeping itu. Tulisan jawi tersusun indah. Ada bismillah dan jawapan salam. Cdya sudi menjadi sahabat berterma dan bersyarat. Tiada siapa yang perlu tahu dan tiada sebarang tanda hingga membolehkan mereka disindir oleh rakan dan guru. Hanya surat sebagai pengganti diri tetapi tidak boleh terlalu kerap berutus. Syarat itu penentu hubungan mereka,
Dia mengangguk dan berkata 'yes' pada setiap noktah pada surat itu. Beberapa kali dia mencium surat tersebut sebelum dilipatnya semula. Dimasukkan ke dalam sampul asal lalu diletakkan di atas bumbung almari pakaian.
Akhirnya!
Akhirnya dia menerima surat dari seorang gadis. Akhirnya dia boleh menulis kepada seorang gadis. Akhirnya dia tidak lagi boleh diperkononkan tentang perhubungan dengan gadis. Akhirnya dia tidak lagi akan berasa hati melihat rakan-rakan sekelas atau sebaya memperagakan surat pasangan masing-masing. Akhirnya dia mendapat satu semangat baru.
Akhirnya dia terlelap.....
Demikian dia mengenang permulaan hubungan dengan Cdya. Sejak itu mereka saling bertukar surat, bertukar rasa dan akhirnya bertukar hati! Mujurnya hubungan melalui surat itu tidak dapat dihidu sesiapa. Setiap surat disimpan di atas bumbung almari di biliknya, dibeleknya tatkala sepi datang atau rindu bertandang, terutama jika sekolah ditutup.
Saat menyakitkan tiba apabila selesai peperiksaan SPM. Ketika pasangan lain mampu bersua, meski di celah-celah pengawasan Ustaz Fairose, Cikgu Din dan Cikgu Non, dia dan Cdya hanya bertukar nota pendek di belakang dewan peperiksaan, ketika ketiadaan orang yang dikenali. Ketika perkataan 'sayang' baru cuba diucapkan, masa menjadi amat kejam - mereka berpisah dalam hiruk-pikuk rakan-rakan yang meraikan tamatnya peperiksaan.
Sejak itu, tiada lagi utusan surat. Tiada lagi luahan rasa. Dia mengubat rindu dengan mengulangkaji tulisan Cdya dalam surat-surat lama yang tersimpan elok di bumbung almari.
Ketika keputusan peperiksaan dikeluarkan, dia pergi ke sekolah untuk mengambilnya berselisih sejam dengan Cdya. Ini didasarkannya pada catatan dan tandatangan Cdya di dalam buku besar di hadapan kerani. Dia pulang hampa. Keputusan peperiksaan tidak dipedulikan.
Cdya, mungkinkah kita akan berjumpa lagi?
Perhubungan itu menjadi semakin jauh apabila dia menyambung belajar di sebuah sekolah lain. Melalui risikannya dari kawan-kawan, Cdya juga menyambung belajar tetapi tidak diketahui tempatnya secara tepat.
Cdya, mungkinkah kita akan berjumpa lagi?
Ketika dia mula bekerja, sambil belajar, sampai kepadanya berita perkahwinan Cdya dengan jejaka pilihan keluarga. Dia tiba-tiba merasa kosong dan hilang. Kesalnya tidak berusaha mencari Cdya yang sememangnya masih satu daerah tidak tergambarkan. Rasa senak di halkum, sebu di dada.Kenapalah tidak diluahkan rasa hati kepada orang tua atau sanak saudara? Kenapalah aku terlewat? Ataukah waktu yang tercepat?
Sesalan itu menyebabkannya makin menghargai gumpalan surat-surat Cdya dahulu. Disemaknya dari surat pertama hingga terakhir. Di dalamnya ada pengharapan rupanya. Tapi dia terlalu pandir untuk bertindak. Kalaulah diceritakannya kepada ahli keluarga........
Surat itu kekal disimpan elok dalam bungkusan di atas bumbung almari.
Saat dia berkahwin dengan gadis pilihan, selepas lama membujuk hati, dia tidak mampu menipu diri. Ingatannya kepada Cdya masih berbekas.Dicubanya mencari Cdya di kampungnya untuk diundang ke majlis perkahwinan namun Cdya ketika itu sedang sibuk pula dengan majlis perkahwinan adik iparnya.
Demikianlah. Ketika beranak tiga, sesekali kenangan berutus surat dengan Cdya tetap muncul. Apa lagi ketika melihat bungkusan berisi surat-surat Cdya yang tersimpan elok di atas bumbung almari di rumah ayahnya.. Tiada siapa pernah mengusik bungkusan itu selama ini. Biarlah.
Ketika mengundang Cikgu Din, yang asyik bermain tarik tali, ke majlis hari raya alumni AlFalah tahun lalu, dia terkejut dengan salah satu soalannya. "Nampak teruja sangat 'ni, ada sapa-sapa yang istimewa 'nak mai ka?"
"Awat cikgu kata lagu 'tu?" tanyanya pula.
"Mana 'tau, kan?" giat Cikgu Din.
Celaka! Jangan-jangan Cikgu Din tahu atau pernah diberitahu tentang kisahnya dahulu! Kalau Cikgu Din tahu ertinya Cikgu Non.....Adussss!
Ustaz Mat baru saja menamatkan ucapan di atas pentas. Seorang lagi guru dijemput ke atas pentas. Dia tidak ingat siapa dan apa yang diucapkan. Matanya masih menghala ke arah Cdya yang kelihatan begitu tenang menghadap ke pentas.
"Masih terserlah ayunya...." tiba-tiba Cikgu Din bersuara.
Dia terkejut. Disembunyikan rasa silu dengan menumbuk sekali bahu Cikgu Din.
"Isyh, sapa?" Dia berpura-pura lagi dalam senyum kelat.
"Dia 'tu la," sambil berbisik, tajam muncung Cikgu Din menghala ke arah Cdya. Dia menggaru pipi kanan tanpa tujuan. Rupanya lama juga dia melamun dan lama pula orang tua di sebelahnya itu melihat gerak lakunya.
"Cikgu 'tau ka?" tanyanya sebaik darjah gelabahnya menurun.
"Tau apa?"
"Err... 'dak aih...." Darjah gelabahnya mencanak semula. Celaka! Kenapa soalan begitu boleh terpacul?
"Bini oghang 'dah 'tu......" Cikgu Din berbisik lagi. Walaupun hanya sebuah bisikan serasa seluruh dewan SK Seberang Nyonya itu bergema!
"Awat cikgu kata lagu 'tu?" tanyanya pula.
"Mana 'tau, kan?" Cikgu Din menggosok lengannya sambil memberikan sebuah senyuman yang cukup menghiris! Kerana senyuman itulah dia tidak langsung berani mendekati Cdya sewaktu acara makan-makan dan sesi beramah mesra. Dia seperti masih nampak mata Cikgu Din dan Cikgu Non seperti di AlFalah dulu!
Itu kenangan tahun lalu.
Tahun ini perjumpaan itu bakal berulang. 23 Ogos nanti dia akan kembali ke dewan itu. Semoga kali ini Cdya juga datang. Biarlah bersama suaminya. Sekurang-kurangnya dapatlah berkenalan dan menghubungkan ukhuwah.
Sebelum itu, dia ingin berhubung dan berbual dengan Cdya. Namun tidak ditemuinya laman fbnya. Boleh saja ditanyakan nombor telefon Cdya kepada Raihan atau Mariam tetapi bolehkah mereka bekerjasama dan diam?
Cdya, mungkinkah kita berjumpa lagi......
No comments:
Post a Comment