9 July 2012

Indahnya Namamu, BAHAGIA!

Syeikh Mahmood  Naim 
Seperti sekolah-sekolah lain, AlFalah tidak pernah ketinggalan dikunjungi oleh pihak atasan - sama ada dijemput khas atau sebaliknya. Dijemput khas biasanya bermaksud dipelawa untuk merasmikan sesuatu acara seperti ihtifal atau mesyuarat agung lembaga tadbir sekolah.

Sebagai sekolah agama rakyat, AlFalah paling banyak dikunjungi oleh pihak atasan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah {JHEAIK], Majlis Agama Islam Kedah [MAIK] dan Jabatan Zakat Negeri Kedah.

Paling dikenang adalah kunjungan Setia Usaha Jabatan Zakat Negeri Kedah iaitu Dato' Syeikh Mahmood Bin Haji Ismail Naim atau lebih popular dipanggil Syeikh Mahmood Naim sahaja.

Beliau dijemput atas cadangan Syeikh Abdul Razak Yusoff, Pendaftar Sekolah-Sekolah Agama Negeri ketika itu. Berlaku sedikit perselisihan antara beberapa orang guru yang telah sampai ke pengetahuan pihak MAIK. Sekurang-kurangnya dua orang guru telah dipanggil untuk mendengar duduk perkara yang jika dikenang hari ini tidak lebih dari sebuah salah faham berskala sederhana.......

Kebetulan, dalam masa terdekat itu, sekolah akan mengadakan satu majlis perjumpaan dengan ibu-bapa kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada suku terakhir tahun berkenaan.  Syeikh Abdul Razak Yusoff, yang sebelumnya mendengar keterangan guru-guru tentang perselisihan tersebut menyatakan ketidaksesuaiannya untuk berucap dalam majlis berkenaan. Beliau lalu mencadangkan Syeikh Mahmood Naim dan berjanji akan menyalurkan maklumat tentang keadaan guru-guru serta meminta Syeikh Mahmood menyentuh hal itu dalam ucapannya.


Pada hari yang ditetapkan, di dalam dewan bangunan panjang yang melintang menghadap sawah dan jalan utama, di hadapan guru-guru, pelajar-pelajar dan para waris, Syeikh Mahmood benar-benar memberi nasihat dalam kiasan yang dalam. Antaranya berkisar tentang perlunya perpaduan di kalangan guru-guru dan ibu-bapa dalam memungkinkan para pelajar dan sekolah secara umum memperolehi kejayaan.


Banyak lagi anekdot-anekdot yang disampaikannya dan dihadam oleh semua yang ada. Bagi yang tidak tahu apa-apa, terutama waris dan pelajar, mungkin terpinga-pinga mendengar Syeikh Mahmood beberapa kali mengulangi dan menekankan peri perlunya perpaduan......


Saya tidak mungkin mengingati seluruh ucapan tersebut. Namun ada satu ayatnya yang saya kenang hingga hari ini: "Betapa hanya dua kumpulan yang tidak akan cemburu dan dengki dengan kejayaan kita. Dua kumpulan itu adalah ibu-bapa kita dan guru kita. Adik beradik? Belum tentu....."

Hari ini, menoleh ke belakang dan menyemak diri -  sesudah merasai menjadi guru sekejap serta menjadi bapa - saya mengakui kata-kata tokoh tersebut, yang mempunyai rekod kerjaya yang sangat menarik dan penuh warna-warni seperti di bawah ini:


Guru Maktab Mahmud (Jun 1957 - 1962)
Pengarah Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH), Negeri Kedah (1 Julai 1963 - 1979)
Ketua Pegawai Perhubungan Lembaga Urusan Tabung Haji (2 Oktober 1979 - Mei 1980)
Pegawai Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Perdana Menteri (1981 - 1984)
Ahli Majlis Agama Islam Negeri Kedah
Ahli Lembaga Tadbir Maktab Mahmud
Ahli Lembaga Maahad Tahfiz
Ahli Jawatankuasa Siasah Syariah Zakat Antarabangsa
Guru Maahad Tahfiz

Sejak lama, saya didatangi berita kejayaan demi kejayaan yang ditempuh dalam kehidupan bekas pelajar AlFalah yang cukup saya kenal. Semakin tinggi kejayaan malah kekayaan yang mereka kecapi, semakin tinggi rasa bangga saya. Dari jauh saya menumpangnya. Semoga semakin berjaya dan berbahagia, budak Falah!

Cemburu? Dengki?

Demi Allah, benar sekali kata-kata Syeikh Mahmood dulu, tidak sekelumit pun!

Kejayaan didasarkan tidak hanya dari berapa digit pendapatan atau seumpamanya, tetapi juga kejayaan sehidup semati dengan buah hati semasa di AlFalah! Saya tumpang berbangga.

Cemburu? Dengki?

Untuk apa?

Supaya berlaku adil, sebenarnya saya juga menumpang lara yang ditempuh pasangan yang berjanji sehidup semati tapi tidak ditakdirkan Allah demikian. Sungguh! Derita anda derita hati saya pula....Sabarlah.

Apa pun yang ditakdirkan dalam menjalani kehidupan ini, sebenarnya kita sedang diuji. Akur dan syukur. Jangan kufur dan takbur.

Saya catatkan ini apabila seorang bekas pelajar bertanya secara eksklusif  dalam fb: Tidakkah cikgu cemburu dengan kejayaan beberapa bekas budak Falah?

[Disenaraikan beberapa rakan AlFalahnya yang berjaya itu. Penanda aras mana yang digunakan untuk mengukur kejayaan itu tidak pula dimaklumkan. Tetapi berdasarkan lokasi, situasi dan informasi rakan-rakan berkenaan, saya seperti tahu sendiri unit ukuran itu].

Cemburu?

Untuk apa?

Benar mereka telah berjaya dalam hidup. Dalam masa yang sama mereka membuatkan saya amat berbangga.

Saya bangga kerana mereka tidak segan mengaku pernah menghuni di bawah kepanasan bumbung zink Alfalah. Tidak malu memberitahu betapa gatalnya badan digigit nyamuk ketika bersembunyi di balik hutan keladi kerana nampak kelibat saya tatkala sedang berbalas pantun dengan teman mesra..... Tidak kisah bercerita dijerkah Maklang kerana membedal mangga yang baru berputik........Tidak kekok berkisah bermain acilut dengan Ustaz Man ketika masuk waktu solat. Tidak mengelak untuk mengakui pernah terniat untuk menumbuk saya kerana dikritik karangannya dengan tajam. Tidak menafikan pernah menerima habuan kerana menulis surat kepada pujaan di kelas sebelah. Tidak silu mengenang kisah menyonyot aiskrim Malaysia berharga sekupang. Tidak lupa hirupan dan aroma sup dalam mangkuk bihun Paklong Man di kantin.........

Mereka yang berjaya itu pernah berada dalam sekurang-kurangnya satu situasi daripada yang di atas. Mereka pernah berada di depan mata saya.

Untuk apa saya cemburu?

Mereka bahagia?

Saya pun!

Akur dan syukur!


No comments: