23 July 2012

Nazri Dan Sebuah Cerita Biasa-Biasa


Ini
cerita
malam tadi.
Cikgu Non kata
Nazri Hashim ada
akan bertemulah nanti.
Jam hampir sebelas malam
baru kami berjumpa menyapa
katanya sudah dua hari ada di sini
ayah sakit dan dia pulang sekeluarga.

Tempat yang mula dia ingat tentulah di situ -
Taman Pandan di mana letaknya gerai kuetiau
namun dia hampa kerana petang baru sampai itu
dia sudah tahu Iman tidak berniaga sempena puasa
saya mengagak Iman mahu beramal sepanjang bulan
atau sebab baru masuk Ramadan, dia rehatlah seketika.

Kasihan Nazri yang kempunan menelan kuetiau kegemaran
saya ceritakan baru empat malam lepas bersama Cikgu Rahim
kami pekena mi Abbas di Kuala Kedah bersama jemputan khas
siapa lagi kalau bukannya Encik Wira Osman orang kuat kawasan
Cikgu Non bertanya ke mana pula kami hendak meneroka sekali ini
Nazri berkata dia tidak banyak pengetahuan tentang sekitar Alor Setar
lainlah kalau ditanya tempat istimewa menjamu selera di Lembah Kelang.

Dalam asyik berbual kami sudah melepasi lampu isyarat untuk ke lebuhraya
Cikgu Non mencadangkan sampai di Pekan Simpang Kuala saja belok ke kanan
ikut saja, rupanya dia mencadangkan agar kami pergi ke Restoran Sala Classic.
Nazri bertanya sama ada terdapat makanan a la barat bagi mengalas perut nanti
saya kata kalau di depan lagi ada pula Sala Kitchen, rumah kedai bangunan baru
Cikgu Non kata kita turun tengok dahulu apa yang ada, kalau sesuai kita hentamlah.
Kami pilih tempat yang terbuka dengan satu bumbung tetapi hanya duduk kami bertiga
lalu datang pelayan menawarkan chicken chop yang katanya antara menu paling istimewa
Cikgu Non tak mahu ayam, saya dan Nazri mahu cuba lamb chop serta minuman berbeza
akhirnya menu seragam apabila kami meminta tiga set lamb chop yang diharap juga istimewa

Sambil menanti pesanan sampai, kami berbual, semua tajuk yang kami sepakati secara spontan
bab kenderaan, forex dan kawan-kawan, tidak lupa diselangi dengan cerita pertemuan alumni
saya sempat membisikkan kepada Nazri tentang cinta tidak kesampaian di dalam budakfalah
ramai yang kata cerita Biarlah Rahsia dan Akan Rahsia Itu, Biarlah.... adalah tentang dirinya.
Dia tertawa sampai terpejam mata. Saya juga menafikan setiap kali jika ada yang bertanya.
Itu bukan tentang Nazri. Kalau mahu tahu carilah gambar perjumpaan lalu, lihatlah teliti,
siapa yang duduk di sebelah saya. Tapi saya percaya tidak akan ada gambar sebegitu,
kerana tiada jurugambar yang sudi menghala ke arah kami. Maka, kekallah rahsia!

Sampai pesanan, kami pun makan. Sambil itu terus berbual, bercampur topik lagi.
Nazri bercerita tentang adik Abdul Khodir Md Ariff,yang kami panggil Pak Lid.
Tidak tahu nama sebenar. Tepatnya terlupa. Kini bekerja dengan grup Proton.
Berkisah jua tentang Fadzil Nor, adik Fazilah Ahmad, yang baru saja jumpa.
Katanya sudah berpangkat dalam tentera, kakaknya guru pendidikan khas.
Saya bercerita tentang Aswad yang terlupa nama seorang rakan sekelas,
yang katanya belajar sebentar di AlFalah, Cikgu Non mungkinlah tahu,
tapi bila saya ajukan, dia tidak perasan. Cikgu Non bercerita tentang
Noraini yang Nazri tahu tinggal dekat pencawang telekomunikasi.
Kami menyebut juga Dom [Nizam] abang Nazri, juga Pak Din,
serta abang-abangnya Pak Ei dan Ustaz Lutfi Amir Abdullah.

Sambil itu saya merungut pula tentang banyaknya nyamuk
menghurung kaki bersandal, gatalnya yang bukan main.
Hairan melihat dua pasangan remaja di khemah lain
yang lelakinya bersahaja dengan seluar sekerat,
tak pernah walau sekali menampar nyamuk,
alangkah tidak adilnya grup nyamuk di situ.

Jam sudah menghampiri ke angka satu,
takkanlah masih kami melekat di situ?
Nyamuk kian banyak alasan utama
beredar ke keretalah jawabnya.

Sebelum berpisah sempat lagi
mencadang Nazri esok siang
menjengah ke kuetiau Iman,
tersengih dia peraga gigi,
lepas berbuka nanti
dia bertolak balik
dengan berjanji
akan jumpa
raya nanti
jikalau
diizin-
Nya.

No comments: