Dia tersenyum seorang di bilik bacaan.
Baru lima minit tadi dia berbual panjang dengan Cikgu Din. Selain bertukar khabar, dia sempat mendengar ulasan pendek Cikgu Din apabila disentuh tentang fb. Lama Cikgu Din tidak muncul di Alumni Sek Men Agama AlFalah rupanya bersebab. Setiap hari dia hanya memerhati, malah like pun tidak dikliknya. Tak berapa seronok, katanya, dan paling dihairankan, ada hamba Allah sekadar menaip huhuhuhu semata-mata untuk menunjukkan dia masih hidup.... Diberikan beberapa contoh penulisan rakan yang bernas dan beberapa contoh pula yang antah. Dicadangkan Alumni mengadakan kelas dalam talian untuk mendidik rakan yang belum dapat membezakan mesej pribadi dan mesej umum.
Dia pun huhuhuhukan saja ulasan itu pada setiap kali Cikgu Din mengambil nafas atau memulakan ayat baru. Sebetulnya dia tidak terasa sangat sebab dia juga lebih banyak melihat dari menggagahkan jari menekan papan kekunci tanpa sebab..
Kemudian tiba pada bab blog Budakfalah. Sengaja dia bertanya orang tua itu, agak-agaknya siapakah lelaki malang yang dimaksudkan dalam entri Biarlah Rahsia dua hari lalu. Sengaja bertanya. Manalah tahu, sebab di Alfalah agak ramai yang berpasangan atau dipasangkan semasa lima tahun dia berlubuk di situ. Manalah tahu dalam banyak-banyak pasangan itu ada yang berkongsi jalan cerita....
"Lagi mau tanya ka?" soal Cikgu Din di hujung talian, suaranya berkulum senyum.
"Manala 'tau,kan?" balasnya sambil menahan rasa ingin ketawa.
"Haghi 'tu, hanya soghang yang tumbuk bahu saya, dan hanya soghang yang melekat matanya ke Cdya....." Hampir serentak deraian tawa mereka bermula. Dia tahu sahlah kisahnya yang muncul hari itu.
Cikgu Din berkisah tentang dua tiga orang yang pernah berpacaran dulu, dan sahih merasakan bukan mereka yang dimaksudkan, telah menghubunginya sekadar untuk bertanya siapa dia dan Cdya itu. Mereka yang sedia untuk bertepuk tangan dan ketawa itu hampa kerana hanya mendapat jawapan ringkas "Biarlah rahsia...."
Dia sendiri dihubungi oleh dua sahabat karib semasa di AlFalah dahulu. Kedua-duanya meneka itu kisah Balotelli [bukan nama sebenar] kerana semasa mereka di Tingkatan Lima, Balotelli sering meletakkan sampul biru di dalam poket bajunya. Walaupun semua mereka tahu bahawa sampul itu adalah hasil kerajinannya mengikut Ustaz Man mengerjakan solat jenazah, seperti mana kebanyakan orang Melayu lain, mereka tetap suka syak - mengesyaki antara sampul itu mungkin terselit sampul buat Cdya!
Dia hanya terkerising. Sahlah mereka juga tidak tahu cerita sebenar. Selamat lagi. Tapi kasihan pula kepada Balotelli. Tanpa usul dia dijadikan bahan perbualan dan sangkaan. Semoga Allah merahmati sahabat yang seorang itu di mana juga dia berada kini.
Kemudian mereka mencari siapa pula Cdya? Sekali lagi sebagai Melayu, mereka juga mewarisi perkataan kut. Maka dikut-kutlah beberapa orang yang sempat diingat.
[Penting: Semua nama dalam dialog berikut adalah bukan nama sebenar.]
"Noreen Nor kut...... tapi Noreen regu dengan Roy Marten...."
"Mazuin kut...... tapi dia kan jantung hati Karim Pin?"
"Salwa Rahman kut .....tapi dia awai-awai lagi Subadron Aziz dah sambaq!"
"Kut Sheila kut... tapi....."
".....kut .........tapi.........!?"
"................."
Demikian beberapa nama puteri AlFalah disenaraipendekkan. Namun tiada yang tepat malah Cdya tidak termasuk pun di dalam senarai tersebut. Pandai Cdya mengekalkan perwatakan hingga tidak terhidu oleh sesiapa. Dia tersenyum memuji. Ertinya dia juga selamat. Rasa kasihan timbul di benaknya kepada Balotelli. Dalam bab pencarian jejaka malang itu, tidak pula ada sebarang senarai pendek - hanya suspek tunggal! Memang malang betul Balotelli!
Dalam perbualan berbalut penyiasatan itu, dia sekadar mengehuhuhuhukan saja. Rasa rugi juga menyebut nama-nama rakan sekolah dulu sedangkan sudah bersuluh terang bukan mereka yang terlibat. Selain dari tidak mahu menambah 'pahala', takut juga kalau-kalau ada di antara mereka sedang makan atau minum. Boleh tersedak dibuatnya kalau disebut nama berkali-kali. Kut-kutlah.....
Dia masih tersenyum sendirian di bilik bacaan.
Dari Cikgu Din dia mendapat maklumat terbaru tentang Cdya. Itu yang membuatkan dia begitu teruja. Sempat dia meminta orang tua yang berbangga kerana baru mendapat pengiktirafan sebagai warga emas itu berhenti bercerita sebentar. Tujuannya tidak lain ingin membantu Tan Sri Ananda Krishnan dengan memasukkan tambah nilai sebanyak RM30 ke dalam akaun syarikat orang kedua terkaya di Malaysia itu.....
Cikgu Din banyak menerima dan memenuhi jemputan kenduri kahwin pada musim cuti persekolahan baru lalu. Dalam sehari paling kurang dua, katanya. Sebagai peminat makan percuma selain mempunyai masa senggang yang banyak, biasanya dia akan pergi sekurang-kurangnya dua majlis. Dalam banyak-banyak kenduri itu ada dua daripadanya melibatkan Cdya secara tidak langsung!
Pertamanya ketika kenduri di Alor Ibus. Cikgu Din menjadi rakan semeja adik ipar kepada biras mertua Cdya. Daripadanyalah Cikgu Din tahu bahawa Cdya kini menetap di Lombok Jaya [bukan nama sebenar], bertugas sebagai hang kebun [bukan jawatan sebenar] di Isketambola [juga bukan nama sebenar], manakala suaminya berasal dari Addis Ababa [sekali lagi, bukan nama sebenar] dan dikurniakan cahaya mata sebanyak 10 [bukan angka sebenar!]
Keduanya, ketika satu majlis lain di Dewan Insaniah, Cikgu Din berkenalan dengan seorang pekerja sajian makanan yang kebetulan pernah berjiran dengan Cdya di Isketambola. Maklumat yang diperolehi menunjukkan bahawa Cdya kini cukup berbahagia [ini keadaan sebenar] dengan suaminya berdasarkan cara mereka bertemu dan berpisah setiap pagi dan petang - siap berlaga-laga tangan dan pipi .......
Dia bersyukur namun berbalut cemburu. Sekurang-kurangnya dia tahu Cdya menjalani hidup sebagaimana dia sendiri pernah impikan untuk mereka dahulu - bahagia dan romantis. Sayangnya pipi bertuah yang berlaga dengan pipi Cdya bukan dia yang punya......
Ketika ditanya samada menyimpan senarai nama dan nombor telefon rakan-rakan yang hadir pada perjumpaan hari raya tahun lalu, Cikgu Din ketawa. Ketawa yang tidak boleh dieja bunyinya.Nampak sangat orang tua itu sengaja mendera perasaannya.
"Nak buat apa? Dua-dua pelakon purba 'dah ada keluarga masing-masing....." kata Cikgu Din pada noktah tawanya.
"Sajalah. 'Nak hubungkan silaturrahim........," balasnya sekali lalu.
"Nombor Raihan dengan Mariam 'tak mau?"
Soalan yang nampak mudah tapi amat payah untuk dijawab. Namun kespontanannya mencuba juga "Nombor depa 'tu 'nak buat apa?"
Orang tua di hujung talian tertawa semula. Bunyinya makin menyakitkan rasa. Sahih aku terkena, bisiknya.
"Sahlah hero 'nak hubung silaturrahim dengan Cdya saja.....'Tu yang saya tak percaya 'tu......."
Dia diam. Benar-benar terkena. "Tak apala. Bagi nombor semua depa yang mai haghi 'tu...." Dia mengalah. "Saja 'nak simpan. Kut-kutla...."
"Mana ada?! Saya tak ambik pun...Kalau perlu baru saya mintak!"
Tiada?
Kalau bukan kerana tangan kirinya sedang memegang telefon, mahu tujuh lapan kali penumbuk padu dari tangan kanan akan hinggap di tapak tangan kiri itu......
Apalah!
"Tapi saya dengar tahun 'ni Cdya tak mai. Giliran beraya di rumah mertua pulak!" Orang tua itu memberitahu dalam nada mendatar tapi cukup untuk mengejutkannya. "Tak apalah tahun 'ni Wira pulak ada bersama kita........bla .......tolak-ansur......Tahun depan......bla..............Pawang Nujum.....bla....Aswad...........Laksa Teluk Kechai.....bla..........Cikgu Kathy........bla......Sir Midi......bla.........Zulmajdi........bla.........Cikgu Faisal.....buah tembikai........bla.......rendang...........bla........sirap hijau.........sirap biru......Nazri....bla.....Cikgu Non.......bla........kenduri rumah Ustaz Mad............."
Tidak tahulah berapa kos ditelan ketika dia membiarkan Cikgu Din menjadi seolah-olah juruhebah radio - bercakap seorang disulami pula ketawa seorang. Kasihan orang tua itu! Semuanya tidak dipedulikan. Berapa ratus atau ribu patah kata yang disusun menjadi frasa oleh bekas guru BM-nya itu tidak dihiraukan malah tidak difahami langsung!
Cdya tidak datang?
Perjumpaan itu hanya setahun sekali. Tidak bolehkah Cdya beraya dua tiga hari sahaja di rumah mertuanya? Banyak sangatkah saudara mara suami Cdya untuk dilawati sampai terpaksa melepaskan peluang untuk berjumpa dengan sahabat-sahabat di SK Seberang Nyonya nanti? Jauh sangatkah rumah mertua Cdya hingga tidak sempat datang untuk cuma satu dua jam? Tidak bolehkah beraya haji saja nanti di rumah mertua barang dua tinga minggu pun?
Apalah!
Tiba-tiba dia merasa sia-sia menempah baju Melayu raya warna oren [bukan warna sebenar! hehehe], warna kesukaan Cdya dahulu. Berkali -kali dan lama dia memujuk isterinya agar tidak memilih warna hijau muda [bukan warna sebenar juga] walaupun itulah warna tema keluarga sebelah mertuanya tahun ini. Hingga 10 Rejab lalu barulah isterinya bersetuju, itu pun dengan terma dan syarat: Baju sampingan mesti berwarna hijau muda serta raya pertama dan kedua di rumah mertua! Demi Cdya, belum habis isterinya bercakap, dia telah menyetujuinya!
Tetapi apalah ertinya kini. Cdya tidak datang!
Hajatnya bukanlah banyak.
Kalau berjumpa dengan Cdya, selain menatap wajahnya, dia sekadar ingin menyapa dan saling memperkenalkan keluarga masing-masing. Orang lain pun tidak akan perasan walaupun Cikgu Din - dan mungkin Cikgu Non - akan berdehem dalam hati! Kali ini dia nekad. Lagi pula dalam bab gosip semasa di AlFalah, dia termasuk dalam senarai putih. Siapalah dia waktu itu - tiada rupa, harta lagilah.....Lagi pula, hari itu dinamakan perjumpaan hari raya. Adakah lagi syak dan kut ketika hampir semua sudah beranak pinak?
Kemudian dia akan meminta atau memberi nombor telefon. Kemudian dia akan berhubung dengan Cdya.Sama ada Cdya akan percaya atau tidak, dia akan tetap bercerita semua yang diredahnya selepas tamat pengajian di AlFalah. Akan diceritakan betapa setiap hari dia teringatkan Cdya. Akan diceritakan betapa dia cuba untuk menghubungi Cdya. Tapi pada era itu, amat sukar untuk berhubung. Telefon rumah, dalam satu kampung mungkin ada dua tiga sahaja yang mampu. Telefon bimbit pula, kalau ada pun sebesar radio kaset dan mahal pula. Hendak berutus surat belum tentu akan sampai kepada penewrima yang hak. Kebanyakan surat hanya diletakkan oleh abang posmen di kedai runcit atau surau.
Lagi pula dia dan Cdya sama-sama pingitan. Sama-sama terikat oleh budaya.Sama-sama tahu bahawa menjaga perilaku dan menjaga nama keluarga adalah maha penting.
Dia ingin meminta maaf kerana seolah-olah pernah memberi harapan palsu. Kalaulah mereka hidup pada era ini, mungkin tidak susah untuk berhubung dan seterusnya bersatu! Biarlah selepas ini mereka melayari hidup masing-masing dengan tenang. Tiada lagi rasa bersalah dan sesal kerana demikianlah kehendak takdir.
Itu sahaja. Cinta tidak semestinya bersatu. Biarlah rahsia selama ini kekal dalam keadaan asal....
Tetapi Cdya tidak datang!
".......bla...Ustaz Fairose........bla.......Helwi.........bla.......duit.sewa...............bla.....Teluk Bagan.....bla..........dewan........bla........semua cemey.....bla........free......Maulana.....bla.......sponsor.......bla.....selesai seleghah......bla.........Yam dengan Zul............."
Laaa!
"Cikgu 'tau mana?" tiba-tiba dirasa level suara yang terlalu kuat dilontarkannya.
"Apanya?"
"Cikgu 'tau mana kata Cdya tak mai perjumpaan nanti?" Dia cuba mengawal suara agar tidak mencucuk gegendang telinga orang tua itu.
"Kut-kutla......He he he he......"
Selepas itu dia tidak ingat atau dengar apa-apa..........
Lama, selepas itu, dia tersenyum. Cikgu Din! Belum puas lagikah mendera.........
No comments:
Post a Comment