16 July 2012

Hantu Punya Hantu 4

Setelah air dari hampir empat puluh kolah masjid itu kami bawa balik, beberapa hari kemudian barulah Paktam Cha datang ke sekolah untuk menereuskan rawatan. Antara beberapa hari itu [kerana menunggu Paktam Cha sedikit lapang jadualnya], terjadi beberapa insiden yang memanglah tidak boleh diterima akal. Ada pelajar dan guru perempuan tiba-tiba jatuh pengsan. Ada pula yang tiba-tiba meraung tanpa tujuan, berlari tanpa ajakan, ketawa tanpa usikan..... Kacau jadinya.

(Pernah satu malam, Encik Baharom yang tinggal di tepi jalanraya berhampiran ban masuk ke Kg Perlis, datang untuk membantu pelajar puteri. Raungan puteri itu dapat didengar nyaring di rumah beliau yang terletak lebih lima ratus meter [secara lurus] dari AlFalah...Beliau berusaha sesungguh hati melakukan yang terdaya, namun puteri yang 'berhantu' itu hanya sekejap reda meraung...)

Paktam Cha datang selepas sembahyang Isya. Semua pelajar asrama dikumpulkan di dalam bilik di bawah asrama puteri yang dijadikan surau sementara. Cikgu Rahim yang menjadi lam [jurubahasa merangkap pembantu] kepada bapa saudaranya itu meminta semua yang ada agar sentiasa dalam keadaan berwuduk. Ini mudah difahami kerana sebelumnya, Paktam Cha, ketika menjadi, tahu saja siapa yang tidak bersuci dan belum bersunat.....


Saya berada di muka pintu bagi mengawasi tiada pelajar yang keluar semasa proses rawatan berlangsung. Cikgu Ramlah berada di pintu yang lagi satu, mengawasi pelajar puteri.



Telah cukup syarat dan susunan bahan yang diperlukan - semestinya yang utama bekas yang mengandungi campuran air dari kolah-kolah masjid seluruh Seberang Perai itu - selain sirih pinang, kelapa muda dan padi yang digoreng. Ada lagi bahan lain namun memori saya tidak berdaya mengingatinya. Paktam Cha memulakan acara berukyah. Akan prosesnya samalah dengan yang saya sebut dalam episod lalu, maka tidaklah perlu saya hurai lagi, atau copy dan paste semula.... Bacalah sendiri.



Setelah beberapa kali berehat dan minum, tibalah kekemuncaknya. Waktu itu hampir masuk hari baru. Yang dinamakan hantu itu telah berjaya ditangkap dan diberi amaran. Hantu-hantu [jama' kerana kemudiannya hantu dibahagikan kepada dua bekas]diminta berjanji tidak boleh datang mengganggu lagi kecuali ada syarat dipatuhi. Saya secara peribadi tidak nampak akan hantu tersebut. Tidak tahulah bagaimana dengan orang lain. Namun supaya tidak dipendekkan umur jika berkata tidak nampak, maka terpaksalah saya beraksi seperti memang nampak......hehehe.

Ada dua perkara yang perlu dilakukan semasa itu juga. Pertama, dua orang dikehendaki membawa hantu 1 dengan motorsikal ke sungai atau tali air yang mengalir airnya. Kedua, sekurang-kurangnya dua orang pula, dengan berkereta, membawa hantu 2 ke lebuhraya.

Bagi yang pertama, sebaik melepaskan bekas [kelapa muda yang dipangkas bahagian bawahnya seperti yang kita dapati di gerai kelapa muda] berkatalah kepada hantu, "Kau boleh balik ke Alfalah sekiranya bekas ini berpatah balik ke tempat ini [tempat mula di hanyutkan]" Memanglah tidak boleh balik sebab air mengalir ke kuala.


Bagi yang kedua, di atas tebing lebuh raya, sebaik meletakkan bekas [berupa dulang kertas berisi padi yang digoreng] berkatalah kepada hantu itu, "Kau boleh balik ke Alfalah sekiranya padi ini tumbuh...." Mana mungkin padi itu akan tumbuh kerana ia telah digoreng....



Siapakah yang akan membawa bekas-bekas itu? Budak asrama? Siapa antara mereka yang sanggup? Tentulah guru. Tentulah saya termasuk dalam senarai. Tentulah saya tidak boleh menolak. Tentulah tidak boleh tunjuk takut kerana "Cikgu sains bukan 'nak percaya benda-benda macam ini..." kata Cikgu Ramlah. Tentulah saya sahut tugasan itu. Tentulah tiada siapa yang nampak berdiri bulu roma saya tatkala mengangguk setuju. Tentulah para pelajar tersenyum bangga. Tentulah mereka tidak tahu bahawa saya menahan dari terkucil tatkala memegang saja bekas itu.

Saya kena membawa bekas kelapa muda. Saya tidak teringat siapa yang menjadi drebar motor tersebut. rasanya seorang pelajar senior.Bahagian berkereta pula tentulah Ustaz Fairose pemegang sterengnya. Yang bersamanya tidak pula melintas di memori. Maafkan saya, wahai wira yang tidak didendang.....

Saya dan rakan bergerak dahulu. Semasa meriba bekas itu, Allah saja yang tahu selain drebar saya. Semakin lama semakin berat. Motor pula tidak dapat bergerak seperti kelaziman spesiesnya. Berdengung dan mengerang enjinnya meneran untuk bergerak Kami berdua tidak berbual langsung. Itu syarat tambahan diberikan ketika menerima taklimat akhir tadi , juga menentukan lokasi yang mesti kami letakkan bekas itu. Motor bergerak semakin perlahan, bekas yang di ribaan semakin berat - tidak padan dengan saiz kelapa yang biasa. Ya Allah, cepatlah sampai. Itu kata hati saya. Kata hati kawan yang di depan juga kalaupun tidak sama tentulah 99.9% seiras..

Sampai di jalan raya dia membelok ke kanan. Antara perhentian bas di tepi jalan hingga dia membelok di Kg Sungai Nonang, saya hampir menitis air mata menahan pertambahan beratnya bekas.Motor punyalah perlahan, kalau berlumba dengan ulat gonggok pun mungkin seri, rasanya. Ampun!

Sampai di tepi titi Sungai Nonang ke Alor Pulai, enjin motor dimatikan. Saya turun dan dengan perlahan melangkah ke tepi tali air di hujung titi. Rasa terkucil makin tinggi. Awal hari, kawan oi! Bekas yang dibawa bukan seringan kuaci dan bukan berisi kuaci.....Dalam hati ada cuak......


Dalam remang dinihari itu, saya nampak tangan kawan drebar tadi menggawang-gawang. Tanpa suara pun saya tahu makna gawangan itu: Cepatlah, cepat! Saya membongkok, merentap sehelai daun entah apa. Melepaskan ke air. Sah mengalir ke muara yang bertembung dengan tali air paling hampir dengan laut yang akan bergerak ke Kuala Kangkong.

Saya mencapai bekas kelapa muda itu. Keberatannya masih tidak berubah. Dengan bismillah, saya lepaskannya ke air dan berkata mengikut arahan Paktam Cha: "Kau boleh balik ke Alfalah sekiranya bekas ini berpatah balik ke tempat ini"


Saya nampak buah kelapa itu perlahan dibawa air tapi tidak pula tenggelam. Pelik, kerana tadi bukan main berat? Eleh, feri yang lagi berat pun tidak tenggelam..... Tahu kenapa, murid-murid? Kalau tidak tahu sebabnya sahlah anda tidur semasa saya mengajar bab itu dulu......


Kami balik ke AlFalah. Masih tidak bercakap sesama kami. Di AlFalah, Paktam Cha menunggu di surau sementara lagi. Geng berkereta belum sampai. Saya minum entah berapa gelas air sejuk sebaik duduk di depan Paktam, kemudian dikerumuni pelajar yang ingin tahu. Saya sekadar bercerita tentang berjaya dihanyutkan - tidak lebih dari itu. Bab berat, beratlah saya hendak beritahu, bimbang menimbulkan impak lain bagi yang lemah...Sebetulnya saya sendiri lemah untuk bercerita. Mana mungkin dalam keadaan itu saya mencari frasa pula untuk bercerita sedangkan rasa terkucil pun belum reda...


Paktam Cha hanya tersenyum. Dia memberi panduan menggunakan bagaimana menggunakan air kolah yang ada di dalam bekas di hadapannya. Sampai sekarang saya tidak ingat sangat tentang itu. Yang saya tahu, besoknya semua pelajar dan guru diberikan air itu dan sepiak sirih pinang untuk dikunyah....


Akan geng berkereta juga saya sudah lupa cerita pada malam berkenaan. Agaknya samalah: dengan mematuhi arahan Paktam Cha. Ada Ustaz Fairose bercerita tapi saya yang lupa. Dia pun agaknya sudah melupakan terus hal itu. 'Dah lama 'dah......


Dengan izin Allah, kes pelajar dirasuk hantu hampir tidak kedengaran lagi selepas ikhtiar itu. Entahlah, Allah Yang Maha Tahu.....


[Bagi yang sensitif, saya mohon maaf. Sengaja saya gunakan perkataan hantu untuk catatan ini. Ada yang menyebutnya sebagai jin dan benda halus. Yang lain mungkin menyebutnya sebagai histeria. Tak apalah. Yang penting, asalkan kita tidak syirik serta janganlah sampai akidah kita tergugat. Saya sekadar mencatat satu episod yang berlaku di Alfalah.]

No comments: