Aswad Lorongmayat aku
rumah badar juara lari atas tempurung tp xdak tulis kat blog 2.kami
juara pertama bolasepak semasa bolasepak berlangsung dlm bangunan 2
tgkt.main mcm futsal ja.... terbaikkkkk sukan rakyat!!!!!!
![]() |
Aswad |
Demikian luahan Aswad Lorongmayat dalam fb Alumni Sek Men Agama Al-Falah, Kedah sebaik membaca entri 1Sukan 1Kenangan terbitan 15 Julai 2012. Saya memahami perasaannya sebagai juara tetapi tidak didendang......
Namun saya pula berharap agar dia memahami saya sebagai pencatat nan seorang........
Bukan saya tidak mahu masukkan nama acara yang dijuarainya itu. Saya kesuntukan masa dan mengejarnya demi memastikan ada sekurang-kurangnya satu entri sehari.
Sebenarnya ada banyak lagi acara yang tidak saya tuliskan. Bukan acara itu terpinggir, tetapi saya ingin membuatnya dalam episod lain. Mungkin sempena Sukan Olimpik di London nanti. Namun , agaknya sempena Sukan Malaysia (SUKMA) yang baru berlangsung, bapa muda itu menjadi teruja mengenang zaman kejaguhannya lebih sedekad lalu. Baiklah dan biarlah serta tidak mengapalah.
Mari kita sambung bab sukan rakyat itu.
Satu lagi acara yang memerlukan tidak hanya tenaga tetapi daya kreatif adalah gusti lengan. Ini acara jantan sebenar. Ramai yang menyertainya selain kerana kehendak hati, juga ditunjukkan oleh pengurus atau ketua rumah. Maka acara terbuka tanpa kategori berat itu pasti mengumpulkan peserta bersaiz L, XL dan XXL. Setakat saiz M apa lagi S, sesuai jadi penonton dan tukang sorak sajalah. Biasanya pertandingan ini diadakan di dalam bilik kelas dan penontonnya 100% berjantina lelaki. Bukan masalah aurat, tetapi agaknya pelajar perempuan tidak digalakkan menonton acara memperagakan urat itu.... Banyak juga saya menontonnya sebagai juri atau penonton biasa. Pelbagai ragam boleh dilihat di kalangan peserta untuk menaikkan 'syeikh' sebelum bertarung. Paling diingat adalah jerkahan penaik semangat dari seorang yang terkenal sebagai pelajar dalam kategori pendiam. Kalau dia menang setiap pusingan pula lontaran jerkahannya menjadi amat mengerikan. Mungkin dia tidak sedar ketika itu. Dia adalah Ramli Mohammad, dari Teluk Intan. Hingga kini saya masih terbayang jerkahannya dan pernah sekali bersekali dengan menumbuk meja! Jangankan penonton, juri pun kecut perut!
Contoh larian sempurna |
Lari ikat kaki juga menarik ditonton. Sepasang peserta dengan seorang mengizinkan kaki kanannya diikat bersama kaki kiri rakannya. Kemudian berlari ke garisan penamat. Kedengaran mudah tapi memerlukan kerjasama yang kuat untuk bergerak secara selesa dan teratur. Jika tiada kerjasama, kemungkinan untuk tersungkur semasa berlari adalah cukup tinggi. Objektif acara ini pastilah menguji kemampuan sesuatu pasangan itu berkolaborasi dan menyeragamkan langkahan. Penonton bukan sangat teruja untuk mengetahui siapa yang menjuarai acara, sebaliknya lebih riuh untuk melihat sesuatu pasangan tunggang-langgang gagal mengkordinasikan rentak larian. Lagi ramai yang jatuh, lagi riuh deraian tawa penonton. Agaknya demikian tamsilan hidup. Kalau kita jatuh, makin ramai yang ketawa......
Contoh aksi mendebarkan |
Demikianlah untuk kali ini yang sempat saya ingat.
Untuk makluman saya tidak ada draf ketika mencatat di dalam blog. Sebaik memilih topik, jari akan bergerak mencuba menurut kelajuan memori. Selalunya jari tertewas teruk. Maka apa yang sempat jejari ini menekan punat pada papan kekunci, itulah yang terhidang. Saya tidak dibantu oleh penyelidik, pengurus arkib, penyunting dan pengatur huruf... Maka sekali lagi, jika ada yang tertinggal, maaflah. Catatan ini saya dedikasikan kepada sahabat kita yang baru beroleh cahaya mata di Kuala Selangor itu serta sahabat lamanya Zamri Khamis yang kini menetap di Tokai........
Sekian.Majulah sukan untuk negara. Hehehehe............
No comments:
Post a Comment