31 July 2012

Seloka Alumni AlFalah: Remix

Sesuatu yang belum cukup! Cukupkanlah dengan pantas!


Dari Sbrg Nyonya ke Tmn Bersatu,       
tempat dipilih untuk berjumpa;
sementara tibanya waktu itu,
       beri sumbangan janganlah lupa.


Tidakkah kasihan kepada Mariam,
       nak atur menu bajet tak tahu;
mujurlah si Zul suami pendiam,
       cukup faham yang isteri mahu.

Zul dan Yam janganlah s
erik,
       memang payah mendisiplinkan kawan;
minta sumbangan main tolak-tarik,
       walaupun ramai bertaraf hartawan.

 
Walau ada Raihan di ibu negara,
       bagi bantuan mengusahakan dana;
namun keresahan tidak akan setara,
       kerana dia nun jauh di sana.

Mujur ada Helwi dan Wira,
       dapatlah juga menumpahkan resah:
kalau tidak pasti bercempera,
       tiada yang mahu berkongsi susah.

Lepas raya semua bertimpa,
       bagaimana acara, makannya apa;
satu perkara yang mereka lupa,
       kutipan dana jumlahnya berapa?




Masa diberitahu semuanya sambut,
      lalu mengaku akan menyumbang;
dalam diminta secara lembut,
      belum juga duit datang terbang.

Budak Falah semua peringkat,
       marilah turut memberi khidmat;
biar berada jauh dan dekat,
       sama berhimpun untuk hari keramat.

Bukan selalu dapat berjumpa,
       semua telah beranak-pinak:
dapat bersalam bertegur sapa,
       sambil menjamah juadah enak.




Kalau semua memberi kerjasama,
       mudahlah penganjur membuat agenda:
pertemuan itu bukannya lama,
       kiranya terlepas rindu di dada.

Agar majlis teratur sempurna,
       jangan bebankan kepala pengendali;
jangan berkira hulurkanlah dana,
       cukup masa bawa keluarga sekali.




Jika dana tidak mencukupi;
       di dewan hanya tersedia sarbat;
malu pada orang depan, sisi, tepi,
       konon budak Falah ramai yang hebat.

Kalau majlis berlangsung cantik,
       tiap tahun pasti ditunggu:
AJK tetap bolehlah dilantik,
       aturkan program tanpa diganggu.



Lama-kelamaan akan bertambah,
       dewan sekolah mungkin tak cukup;
ketika itu tak perlu pun gelabah,
        Stadium Darulaman pun kita cekup!

Tapi peringkat awal kenalah teroka,
        kerjasamalah untuk grup Yam dan An ;
mereka tidak untung di segi angka,
        doakan pahala sebagai ganjaran.

Bagaimana mengimpikan himpun ribuan,
        kalau ratusan pun berbakul kerenah:
ini seloka sebuah pemberitahuan,
        ingin melihat sesuatu yang tak pernah.

Inilah peluang bertemu rakan taulan,
        yang terpisah oleh waktu dan keadaan;
pahit pedih atau rasa terkilan,
        bukankah indah dimurnikan di perjumpaan.

       
Bertemulah guru yang masih ada,
        bersalam dan mencungkil kenangan lalu;
janganlah ditunggu sehingga tiada,
        tak tahu siapa yang pergi dulu.....

Pertemuan ini moga bertahan,
       hubungan terjalin memberi kesan;
manalah tahu ketentuan Tuhan,
       sesama AlFalah boleh berbesan..............

Paling tidak jika bermesra,
       dapatlah kita memasang nawaitu;
undanglah kalau kenduri kendara,
       apa lagi bila dapat menantu.

23 Ogos mungkin tak bersama,
       tuntutan kerja, atau bergilir raya:
apa salahnya ikut menderma,
       dapat pahala, kubur bercahaya.

Tahun ini datanglah yang boleh,
       tahun depan mungkin berganda;
sekali bergerak jangan menoleh,
   teruskan tradisi walau saya tiada.


Tidak berulang detik manis itu,
       untuk kembali berbaju sekolah;
semoga dengan acara begitu,
       tersemat bangga jadi Budak AlFalah.

                            Bagi yang memang tak dapat datang,
                                  kali lain mungkin berkesempatan;
                                       berdoalah kita pagi dan petang

 ukhuwah terjalin seperti ikatan.

Mengenang manisnya hasil majlis,
       masa bergerak bukan perlahan;
apa lagi dinanti, cepatlah tulis,
       bank-inkan duit kepada Raihan!
 
Setakat inilah sumbangan hamba,
        dinukil untuk membantu pengendali;
semoga sumbangan segera tiba,
ini saja seloka terakhir kali...
 





   

30 July 2012

Rayuan Terakhir: Mestikah Sampai Menyembah?

Gajimu tiga empat ribu
saya cuma tiga per empat ribu

rumahmu berharga lebih 300 ribu, berpengawal
rumah saya sewanya 300 saja, kerja pun pengawal...

cutimu dihabiskan di bandung, guangzhou atau london
saya cuma di rumah, setahun sekali menjamah almond london

dinding rumahmu penuh gambar besar berjubah, berkali-kali konvo
dinding rumah saya ada kalendar dan gambar kecil anak taska berkonvo

anak-anakmu kenal semua menu, baik dari thai, jepun, perancis atau itali
anak-anak saya hanya sesekali dijamu kfc, paling kerap pisang bernama rastali

anak-anakmu mahir IT sejak lahir, dalam bilik bersepah pelbagai gajet
anak-anak saya hanya berbangga dengan broadband jimat bajet

ceritamu berumrah berselang tahun, ikut rombongan adik abang
saya, sejak ia dipindahkan, belum menjejak lapangan terbang

ada dalam albummu gambar berbuka di hotel lima bintang
saya berbuka dengan bubur dari menara satu bintang*                                                *masjidla 'tu

jelaslah perbezaan antara kita amat-amat ketara
rasanya perlukah lagi memanjangkan bicara

mari kita cari titik persamaan yang satu
berhimpunlah di SK Taman Bersatu

tidak akan terhakis darjat kamu
kami sekadar ingin bertemu

hulurkanlah sumbangan
walau sebelah tangan

23 Ogos nanti
satukan hati

hubungi An
atau Yam

sekian.


[Didedikasikan untuk pihak pengurusan majlis sambutan hari raya alumni sma Al Falah 2012. Anda tabah, semoga Allah mengganjarkan rahmatNya]

Mereka Pernah Singgah Di AlFalah Dan.... Di Hati

  1. Hj Azizan Hj Mustaffa
  2. Sakhawi bin Mohammad
  3. Abdul Hamid bin Hj Ismail
  4. Mustaffa bin Mohammad
  5. Fadzin bin Abd Hamid
  6. Zahari bin Ahmad
  7. Mohammad bin Abdullah
  8. Ahmad Fairose bin Hj Azizan
  9. Ahmad Amminy bin Hj Azizan
  10. Abdur Rahim bin Daud
  11. Mohd Zainon bin Puteh
  12. Maliki bin Zakaria
  13. Ahmad Faisal bin Abdul Hamid
  14. Alhamidi bin Chek Mat
  15. Md Daud bin Daie
  16. Mohd Ghausillah bin Hj Bakar
  17. Zubaidi bin Ariffin
  18. Tajuddin bin Bakar
  19. Abdul Aziz bin Husin
  20. Hasnah Zaini binti Hj Nawawi
  21. Ramlah binti Johari
  22. Norhashimah binti Mansor
  23. Siti Khamariah binti Hj Ismail
  24. Siti Khadijah binti Osman
  25. Rodziah binti Ahmad
  26. Rohana binti Hamid
  27. Zarina binti Ahmad
Demikian senarai insan yang sempat saya kenali sepanjang di AlFalah 1983-2002. Insan yang bergelar teman guru selama di situ. Mungkin ada yang tercicir. Maaflah kerana catatan ini bukan dirangka pada sebarang kertas, hanya berdasarkan yang terlintas.

Sesiapa yang menjadi pelajar AlFalah pada era tersebut pastilah pernah mengenali sekurang-kurangnya 10 daripada mereka. Di AlFalah dan nun jauh di hati kita, mereka pernah singgah........

Yang berwarna hijau itu adalah mereka yang telah berada di sana. Semoga roh mereka sentiasa dirahmati dan segala perlakuan baik walau sepatah kata berbalik menjadi amal yang bernilai.

Senarai itu mungkin ada pertambahan sedikit, jika ada rakan atau bekas pelajar membetulkannya. Yang nyata dan pasti, senarai yang berwarna hijau itu akan bertambah. Allahlah Yang Maha Tahu yang nombor berapa akan dihijaukan dulu atau bila senarai itu akan bertukar menjadi hijau sepenuhnya.....

Melihat carta/ rajah di bawah, saya tiba-tiba terkenang mereka - sahabat yang diberi peluang melalui semua takah dan sahabat  yang tidak sempat melintasi fasa-fasa terakhir dalam susunan..... Di mana pula tahap yang diizinkan untuk saya?

Kitaran kehidupan, demikianlah. Yang cantiknya adalah kitaran untuk kita tidak dipastikan akan mengikut susunan. Terkadang, orang itu mampu sampai ke semua peringkat. Terkadang orang ini hanya diizinkanNya sempat berada di takah 10. Cantik itu adalah, di peringkat mana pun kita kini, kita mesti bersiap...... Kita tidak diberitahu sampai takah berapa setiap kita ...... Sentiasalah bersedia. Bersediakah kita?



Pelajar AlFalah pastilah tidak terkecuali. Beberapa yang saya tahu, telah pergi ketika belumpun sampai ke tahap barisan kedua. Antara yang sempat diingat adalah Mohd Zamri Ishak a.k.a Foot Bear ( Kg Perigi, Yan), Burhanuddin Talib(Selarong Batak), Kholijah Awang ( Bukit Raya), dan dua orang lagi - lupa nama pada saat ini - dari Alor Ibus dan Taman Bersatu, Kuala Kedah. [Ironisnya kedua-dua yang saya lupa nama itu meninggal akibat kemalangan jalanraya. Yang dari Taman Bersatu, berita tentang kemalangan pada bulan Ramadan itu beserta gambar wajah manisnya - bertudung merah -  tersiar di muka hadapan Utusan Malaysia]. Seorang lagi yang baru diingat, juga terlupa nama, dari jalan Simpang Empat ke Kangkong.

[*Editor: Yang dari Alor Ibus Itu bernama Zaini. Ada lagi yang juga telah pergi: Rosmawati Jamil (Tebengau) dan Siti Fatimah (Alor Ibus)].

Semoga roh mereka juga sentiasa dirahmati.

Bersamalah kita menghadiahkan Al fatihah untuk mereka seiring doa itu.

Benarlah kata A Samad Said lebih setengah abad lalu [1955] dalam puisinya. Kita ini adalah tetamu senja. Bila cukup detik, kembalilah kita kepadaNya. Kita itu tidak merujuk sebarang peringkat. Sesiapa saja boleh menjadi senja, mengikut masa yang ditetapkan Ilahi.

Sentiasalah beringat!



Kita ini tetamu senja
Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik 
Kembalilah kita kepadaNya
Kita datang ini 
kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra 

kepada Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Kepada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang sekali 

Bawalah bakti padat berkat



Sesekali kita perlu disentakkan agar tidak jauh terbabas.....

Salam sepertiga Ramadan!


27 July 2012

Hello, Is It Me You're Looking For?

 

Dunia amat pesat berkembang. 

Paling terkesan adalah dunia telekomunikasi. Terutama pula tentang telefon mudah alih. Dari yang asalnya sebesar beg galas [termasuk aksesori dan pengecas serta antena] hingga kini sebesar kotak mancis hotel yang pipih itu. Dari seberat beberapa kilogram ke hanya sekitar beberapa gram. Dari yang boleh digunakan untuk membaling anjing, kata orang, ke hanya sebesar lubang telinga.... Dari yang berharga RM7-8K hingga kini ada yang serendah RM48.

Sekejap sangat terasa masa berlalu. Dulu telefon bimbit adalah barang mewah, kini budak tadika pun sudah membawanya ke sekolah untuk bermain-main.......

Teringat bapa saudara, Paktam [arwah] yang bertugas sebagai juruteknik JKR. Ketika bertugas di tapak pembinaan Jambatan Tok Pasai, yang menghubungkan dua bahagian Kuala Kedah, beliau dibekalkan satu telefon ATUR sebesar beg sekolah [seperti foto di atas]. Setiap hari arwah akan membawa pulang ke rumah set tersebut. Setiap malam, adalah beberapa orang jiran sekampung akan menggunakan telefon itu untuk menghubungi sanak-saudara, atau paling tidak menghubungi tauke kedai runcit di Kangkong, sekadar bertanya khabar....... Maklumlah, bilnya ditanggung oleh kontraktor yang membina Jambatan Tok Pasai..... 

Sekali peristiwa, kereta Paktam dimasukkan ke bengkel kerana merungut lama tidak diservis. Kereta model 70-an. Untuk servis itu, tauke bengkel mendera Paktam hampir RM300. Terpaksalah dia membayar kerana sudah namanya bengkel membaiki kenDERAan! Paktam merungut akan mahalnya dari biasa harga khidmat bengkel itu. Tauke bengkel tercengang. Masih saya ingat kata tauke itu [malangnya slanganya tidak dapat saya turunkan di sini!]: "Kawanna, itu servis u mau kira ka? U tau ka, sekali kereta u semua tolak pun, tak dapat beli itu telefonna. Haiya!"  

Rupanya dia merujuk ATUR di atas kusyen belakang kereta Paktam. Agaknya dia hairan, kereta buruk, tapi memakai set telefon yang berharga hampir RM10K! Agaknya kerana itu dia membuat penderaan poket....

Di AlFalah, seingat saya, insan pertama yang memiliki barang mewah itu adalah Cikgu Non. Saya tidak ingat sangat akan jenama serta modelnya. 

Namun masih jelas di memori betapa Cikgu Non menunjukkan cara bagaimana menyalahgunakan telefon genggam itu........ Melalui beberapa langkah, kalau tidak silap, dengan menggunakan kertas tembaga dalam kotak rokok, kami boleh mendengar secara jelas perbualan telefon antara dua orang. Maka waktu senggang, kalau dapat perbualan yang menarik, Cikgu Non akan melepaskannya kepada saya. Saya mendengar dan pada ketika-ketika tertentu akan menyampuk, walaupun saya tahu celahan saya itu tidak didengari mereka.
Kalau perbualan itu tidak menarik, dengan beberapa langkah, kami menukar siaran. Dapatlah mendengar perbualan dua pihak yang lain. Kalau tidak menarik juga, bertukar siaran lagi. Demikianlah seterusnya. Biasanya saya memilih perbualan antara pasangan kekasih dan perbualan pemuda yang sedang mengayat. Seronok....... Tapi barang diingat, kekasih semasa itu tidak serakus masa kini. Demikian pula yang sedang mengayat. Penuh dengan ayat-ayat berlapik sahaja. Kini abang Negro, yang hantar gambar pemuda Euro sebagai dirinya pun, wanita negaraku percaya sampai sanggup melagukan 'nasi lemak buah bidara'.....
Demikianlah.

Tidak banyak atau hampir tidak ada yang dapat saya coretkan tentang telefon biasa yang kemudiannya menjengah bumi AlFalah...... Cuma yang saya ingat ada tiga telefon kekal ketika itu. Di pejabat sekolah, di rumah Maklong/Maklang dan telefon awam di luar pagar berhampiran pintu masuk ke kawasan sekolah.

Baru teringat. Tentang telefon awam di luar pagar itu. Entah dari mana sifunya, Cikgu Non mengajar cara berbual secara percuma selama yang boleh menerusi telefon awam itu. Menerusi kaedah itu, sempatlah dua tiga kali saya menelefon rakan-rakan yang jauh. Percuma dan lama sehingga rakan di hujung talian kehairanan. Seumur hidup tidak pernah berbual selama ini di telefon, kini terpaksa bergilir telinga mendengar suara saya. Sampai kepada perkara titik-bengik pun saya bualkan.... 

Namun, kaedah itu tidak boleh digunapakai lagi beberapa hari kemudian. Kata Cikgu Non, pihak Telekom telah mengetahui 'kebocoran' talian itu.....

Tetapi ada satu cerita tentang telefon percuma itu yang berlaku di Kangkong. Ini diceritakan oleh Cikgu Non. Sajalah dalam keadaan sunyi di pagi Jumaat pada bulan Ramadan ini.

Arakian, di depan sebuah kedai berdekatan SK Kangkong, ada sebuah pondok telefon. Di situ ramailah yang menggunakannya untuk menghubungi buah hati atau bakal buah hati atau bakal bekas buah hati. Kalau ditanya, dari mana panggilan dibuat, dengan megahnya diberitahu bahawa panggilan dari rumah, tak kiralah rumah sendiri atau rumah kawan. Kerana pondok telefon itu terletak di tepi jalan masuk ke kampung, sesekali terdengarlah deruan enjin kenderaan. Apabila yang di sebelah sana bertanya akan bunyi itu, dijawablah itu deruan atau deruman rakan yang sedang menaikkan taraf motor. Tapi dalam satu kes, yang di sebelah sana tidak begfitu percaya, maklumlah deruman itu kedengaran pelbagai. Tetapi selagi manusia itu diberi akal, ada sahaja caranya dijumpai. Maka, setiap kali hendak membuat panggilan, akan ada seorang yang menanggung radio kaset ke pondok telefon. Sebaik panggilan diterima, suara radio kaset itu akan dikuatkan - tergambarlah bahawa itu suasana di rumah........

Demikianlah. Kepada yang tidak faham atau tidak tahu juga apa itu kaset - seperti anak saya kini - banyak-banyklah bertanya.......


 Ketika itu, telah lama popular lagu Hello nyanyian Lionel Ritchie serta lagu I Just Called To Say I Love You dari Stevie Wonder. Maka setiap kali ada panggilan masuk, senikata lagu-lagu tersebut akan dipetik bagi menaikkan taraf penerima panggilan.......                    







HELLO


I've been alone with you inside my mind
And in my dreams I've kissed your lips a thousand times
I sometimes see you pass outside my door
Hello, is it me you're looking for?

I can see it in your eyes
I can see it in your smile
You're all I've ever wanted, (and) my arms are open wide
'Cause you know just what to say
And you know just what to do
And I want to tell you so much, I love you ...
I long to see the sunlight in your hair

And tell you time and time again how much I care
Sometimes I feel my heart will overflow
Hello, I've just got to let you know

'Cause I wonder where you are
And I wonder what you do
Are you somewhere feeling lonely, or is someone loving you?
Tell me how to win your heart
For I haven't got a clue
But let me start by saying, I love you ...

Hello, is it me you're looking for?
'Cause I wonder where you are
And I wonder what you do
Are you somewhere feeling lonely or is someone loving you?
Tell me how to win your heart
For I haven't got a clue
But let me start by saying ... I love you

Sajalah catatkan ini tatkala sedang membelek satu laman milik pesantren di Jakarta. Sambil menemani menantu emak berbual. Ketika akan menerbitkan catatan ini, ada satu panggilan dari Cikgu .......

Hello, is it me you're looking for?