9 April 2015

Guru Terbaik Di Dunia

 Image result for jus oren


Terbaik!

Terlalu umum atau ‘murah’ kalimat itu sekarang.

Hirup teh tarik di sebuah gerai mamak, di pinggir Alor Setar, terus dihantar foto gelas yang tinggal separuh isi dengan 30% adalah busa teh, ke mana-mana grup sembang. Kapsyennya: Terbaik!

Seorang ahli grup, di Ipoh, juga menghirup teh di sebuah gerai entah milik mamak atau siapa. Dia tidak mahu kalah. Dihantar foto gelas yang sudah hampir kosong cuma berbaki sedikit busanya. Kapsyennya: Terbaik!!

Di Jerantut, seorang ahli grup yang mulanya tidak mahu seluruh grup tahu bahawa dia sedang mengeteh di sebuah gerai bersama dua tiga rakan masjid, dalam melayan isu semasa di situ, akhirnya tergerak sama untuk menghantar foto  gelas teh  yang belum surut busanya. Terbaik!!! Demikian tulisnya sambil ditokok lima ikon ibu jari.

Ada lagi....

Tapi kita ambil yang tiga itu sahaja dahulu. Sebenarnya, manakah teh tarik yang TERbaik? Yang di Alor Setar, atau yang di Ipoh, ataukah yang di Jerantut?

Itu baru teh tarik.

Bagaimana dengan mi udang, nasi lemak, laksa, bihun sup....

Itu baru makanan.

Bagaimana pula dengan foto atau kalimat motivasi yang hampir semuanya diulas sebagai TERBAIK? 

Yang mana terbaik?

TERBAIK mempunyai maksud asal PALING BAIK. AMAT baik. 

Tetapi jika sudah ada dua saja yang TERbaik kita sudah keliru, apa pula jika ada berdozen terbaiknya?

Tidak usah bertengkar atau mempertahankan terbaik masing-masing. Mari kita bercakap dengan kepala yang dingin....

Terbaik itu subjektif. Terbaik bagi ABZ, belum tentu begitu bagi GST. XYZ mungkin tidak setuju dengan yang terbaik bagi BBP. Begitu seterusnya...

Mudah kata, setiap orang, setiap kumpulan, setiap komuniti pasti mempunyai sesuatu yang TERBAIK dalam semua hal. Sekali lagi, anggapan sedemikian pastilah tidak akan sama dengan orang, kumpulan atau komuniti yan lain.

Biarkan kerana demikian pula lumrahnya.

Air tangan emak memang TERBAIK. Oleh kerana kita tidak berkongsi emak, maka masing-masing emak punya masakanlah yang terbaik! Tidak boleh dipaksakan orang menerima masakan emak kita sebagai terbaik. Sepertilah juga orang tidak boleh memaksakan kita menganggap masakan emaknya sebagai terbaik….

Itu baru di antara atau sesama kita. Terbaik di kalangan kita. Di negeri atau negara kita.

Bagaimana pula TERBAIK DI DUNIA?

Seluas dunia inilah subjektifnya….

***************************************
Kita pilih satu juzuk TERBAIK.

GURU TERBAIK.

Setiap orang pasti mempunyai  GURU TERBAIK. Kriteria penilaian mungkin berbeza di antara setiap seorang bagi menunjukkan seorang guru itu menjadi terbaik di mata dan hatinya…

Ada yang mendasarkan kepada penyampaian di dalam kelas, keprihatinan terhadap individu penilai, kebolehan atau keupayaan yang dikagumi dan sebagainya.

Tidak berlebihan akan ada pula guru yang terbaik di dunia. Di dunia individu penilai itu…

{Ini tidak berkait dengan GURU TERBAIK DUNIA yang rasmi di mana sudah ada calonnya dari Malaysia}.

AlFalah satu komuniti kecil.

Satu ketika – hujung dekad 80-an - Jabatan Agama Islam Negeri Kedah telah menghantar seorang guru perempuan ke AlFalah.

Zarina Abu Bakar.

Manis orangnya, bersuamikan seorang mualaf dari Sabah. Saya tidak ingat ketika itu pasangan tersebut sudah dikurniakan cahayamata atau belum.

Cikgu Zarina tinggal di Gurun. Kg Sungai Badak, kalau tidak salah  ingatan saya.

Cikgu Zarina melalui sekurang-kurangnya dua fasa setiap hari untuk sampai ke AlFalah. Dari Gurun, beliau menggunakan bas UTC, turun di Simpang Empat. Di pekan kecil itu, sedia menunggu – bersama motorsikalnya -seorang budak Falah [BF].  Mohd Zahir Ismail ketika itu tinggal di Kg Padang Jambu. Dia akan ke Simpang Empat setiap pagi, menunggu tibanya bas yang membawa Cikgu Zarina. Dari situlah, Zahir akan membawa Cikgu Zarina ke AlFalah.

Tengah hari, waktu pulang, jalan yang sama dilalui oleh Cikgu Zarina dan Mohd Zahir. Dari AlFalah, mereka ke Simpang Empat. Mohd Zahir akan pastikan Cikgu Zarina siap melintas jalan utama untuk ke perhentian bas, sebelum dia sendiri berpatah balik, ke rumahnya di Kg Padang Jambu.

Setiap hari persekolahan demikianlah rutin mereka berdua. Bayaran yang disediakan Cikgu Zarina bagi kenderaan dari Simpang empat Ke AlFalah itu, tidak pernah saya tanyakan, baik kepadanya mahu pun kepada ‘drebarnya’…

Cikgu Zarina mengajar pelajaran Sains. Pelajaran lain, tidak saya ingat, mungkin Bahasa Inggeris, kerana beliau merupakan lulusan ITM.

Kehadirannya ke AlFalah meringankan tugasan guru sains yang sedia ada…

Dia ditugaskan mengendalikan pelajaran itu di peringkat menengah atas – tingkatan empat dan lima.

Sayangnya tidak lama Cikgu Zarina sempat mencurahkan bakti di bumi AlFalah. Dari awal lagi, beberapa minggu selepas ditempatkan di sekolah rakyat tertua di mukim Kangkong itu, dia meminta ditukarkan ke sekolah yang lebih dekat dengan tempat tinggalnya. Semua guru dan murid faham situasi yang dihadapinya.

Meski singkat tempoh khidmatnya, kenangan yang ditingggalkan cukup sukar dipadam.

Secara peribadi, saya mengaguminya. Pada waktu senggang, di bilik guru, dia sering merujuk  hal-hal berkaitan agama kepada para ustaz, terutamanya Allahyarham Ustaz Abd Hamid Ismail. “Saya tidak pandai sangat bab agama ini…”katanya selalu, merendah diri. Tetapi berdasarkan soalan dan isi perbualan, saya tahu pengetahuannya tentang agama cukup luas. “Saya ada murid untuk diajar dengan betul dan teliti…”demikian katanya pada satu hari. Dia merujuk anak murid itu adalah suaminya sendiri – seorang mualaf – yang mungkin dikenali semasa sama menuntut di kampus.

Pada hari perpisahan – sempena pertukarannya – kami, guru-guru dan pelajar, telah menganjurkan satu acara yang cukup meriah.

Sehari khas diisi dengan acara untuknya.

Masing-masing berbagi tugas. Baik guru-guru dan seluruh pelajar.

Selain ucapan dari wakil guru, wakil pelajar dan semestinya dari Cikgu Zarina sendiri, gamknya ada acara pemberian hadiah dari pelajar dan pihak sekolah. Gamakan saja, sebab saya memang tidak ada di dalam dewan ketika acara berlangsung.

Kalau anda membaca entri Ais salji Pun Terbakar, anda mungkin dapat tahu puncanya.

Dalam menyusun menu bagi jamuan di hujung acara, selain ais kacang salji yang diuruskan oleh dua tiga pelajar, air kelapa muda dikatakan minuman kegemaran Cikgu Zarina. Saya – entah bagaimana – telah terpilih menyediakan menu itu.

Dengan bantuan seorang dua pelajar [termasuk pelajar yang saya catatkan di dalam entri tadi], kami menurunkan dua tiga tandan kelapa muda. Siapa yang memanjat tidak saya ingat. Maaf. Semoga Allah memberkati mereka.

Yang saya cukup ingat, di bawah surau, berlapikkan entah tunggul atau kayu apa, saya memancung bontot kelapa, menuang ke dalam bekas, membelah kelapa dan pelajar tadi mencungkil isinya yang lembut lalu dimasukkan ke dalam bekas yang sama.

Acara sedang berlansung di dewan. Saya mendengar tepukan berselangseli dengan ucapan yang sayup-sayup. Setandan kelapa baru setengah dipancung dan dibelah….

Baju yang baru – kesayangan saya pula – telah banyak terpercik ‘getah’ kulit kelapa. Terlupa untuk menukarnya sedangkan bukan jauh pun surau dengan asrama lelaki – tempat saya ikut bersemayam…

Ada pelajar perempuan – AJK Jamuan – datang mengangkat bekas berisi air dan isi kelapa….belumpun sempat peluh kering, mereka datang dengan bekas tadi meminta lagi air dan isi kelapa…

Saya dan pelajar yang ‘malang’ itu terpaksa meneruskan tugas. Hanya telinga sesekali mendengar tepukan manakala ucapan seseorang telah semakin hilang di bawa angin..

Sebaik selesai tugasan, banyak masa juga diperlukan bagi mengeringkan badan serta ke asrama bagi menukar baju.

Saya sampai ke dewan ketika acara makan-makan berada pada suku akhir ketiga…

Seperti acara selalunya, bukan makan minum yang diutamakan. Kepuasan melihat acara berjalan lancar adalah yang utama.

Ketika berbual dengan guru-guru, saya mendengar satu ayat dari Cikgu Zarina yang saya ingat sampai kini. “Acara hari ni lebih meriah dari hari perkahwinan saya!” Ada getar pada ucapan itu yang hanya Allah dan Cikgu Zarina yang tahu maksud sebenarnya. Kami, guru-guru lain, kemudiannya hanya mampu meneka…

Ketika saya nyatakan kepuasan kerana dapat ikut menjayakan acara hari itu dengan orang yang diraikan sejujurnya melahirkan kegembiraan, kepada budak asrama, barulah saya tahu: Cikgu Zarina menyatakan hal berkenaan juga di dalam ucapannya yang mengharukan di dalam dewan…

Cikgu Zarina telah ditukarkan ke SMA Merbok. Saya lupa nama Arabnya. Ada perkataan Darain tapi yang penuhnya saya tidak ingat.

Tempatnya di AlFalah diambil oleh seorang guru dari Alor Setar yang mengajar di Merbok itu. Kiranya seperti pertukaran suka sama suka. Cumanya saya tidak tahu berapa pula jarak di antara rumah Cikgu Zarina ke sekolah berkenaan. Namun tentulah lebih dekat berbanding jarak di antara Gurun ke AlFalah….

Guru dari Alor Setar yang menggantikan Cikgu Zarina adalah Cikgu AlHamidi Che Mat, yang tidak mengambil masa yang lama untuk sesuai di bawah langit AlFalah – dipanggil Sir kerana pengkhususannya dalam mengajar bahasa Inggeris….

Selepas pertukaran itu, tidak lagi saya berkesempatan bertemu dengan Cikgu Zarina di mana-mana, di tempat berkursus, misalnya. Lama kemudian, saya difahamkan, Cikgu Zarina telah melepaskan jawatan guru kerana mendapat rezeki bertugas di sebuah bank terkemuka di ibunegara. Ada budak Falah pernah berjumpanya di sana. Paling akhir, seorang BF yang pernah bertemunya – dan sempat bercerita kepada saya - adalah Suhaimi Md Shah. Sayangnya BF dari Kola itu tidak pun mengambil sebarang maklumat bagi berhubung terus dengan Cikgu Zarina. Sayang… atau malangnya….

Semoga Cikgu Zarina berbahagia sepanjang hayatnya, biar di mana pun dia dan keluarga berada.

Mohd Zahir, drebar Cikgu Zarina dahulu, kini tinggal di Kg Perlis. Rumahnya berhampiran ban kampung – tidak sampai 1KM dari AlFalah. Dia kini hilang upaya setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya.

Mengingat Cikgu Zarina, saya terkenang satu episod.

Semasa dia mengajar di AlFalah cerita ini telah saya dengar sepintas lalu. Betapa ada  dua pelajar lelaki berpuashati dan kagum dengan pengajaran Sains guru itu.

Selepas pertukarannya, hal itu berbangkit. Barulah saya tanyakan kepada dua pelajar tersebut secara jelas. Mereka berikan satu contoh.

[Barang diingat sekolah agama rakyat ketika itu memang tidak ada makmal sains. Proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bagi subjek itu sama sahaja dengan dengan proses untuk subjek BM. …..]

Akan Cikgu Zarina, bagi menghuraikan tentang deria rasa dan bau, telah melakukan satu eksperimen. Dikisarnya dua tiga jenis buah di rumahnya, dibawa ke sekolah. Dibuat bentuk pasta dan jus. Dimasukkan setiap jenis kisaran buah itu di dalam bekas kecil. Pelajar ditutup mata dan diminta merasa serta membau/menghidu….

Kaedah itu – sememangnya pun – akan lebih membuatkan para pelajar memahami topik yang dibincangkan…

“Cikgu Zarina memang terbaik…” kata salah seorang BF itu.

“Ya.”tokok rakannya pula. “Cikgu Zarina memang guru terbaik di dunia!

Saya mengangguk faham.

Memang, setiap kita pernah ada seorang atau beberapa orang guru terbaik.


Dan beruntunglah kita jika mendapat pula guru terbaik di dunia!

4 April 2015

Hentikan Fitnahmu!

Ini album ketiga - terakhir - Carefree. Kumpulan ini hanya sempat merakamkan tiga album. Kebebasan, Kebebasan II dan Kebebasan III.

Terbitan 1980 sebelum kumpulan ini berpecah dua tahun kemudian.

Ada sebuah lagu dalam album ini yang paling saya minati. Tidak hanya untuk orang sedang putus cinta. Sesuai untuk sebilang masa...

Sebaik album ini muncul, itulah lagu siulan saya. Memahami makna tetapi tidak pernah merasa apa-apa.

Lagu yang terletak pada track keempat, muka pertama piring hitam- Hentikan Fitnahmu. Lagu ciptaan penerbit album, S Atan manakala lirik garapan arwah Haron Abdul Majid.

Lama lagu itu tidak disiulkan...

Pagi ini saya teringat untuk menyiulkan. Saya cari melodinya selain merangkak memanggil semula bait-bait liriknya...

Puncanya, dari dua sudut mata angin, berselang sehari, saya ditusuk dua anak panah. Pedih yang amat sangat. Mujurlah tusukan itu dapat dirawat. Saya cabut anak panahnya, saya patahkan hujung tajam dengan rukyah lalu menampal luka tusukan itu dengan rukyah juga.

Namun, difahamkan ada mungkin puluhan anak panah lain yang sedang menerawang di udara dari semua arah mata angin,  menuju ke tubuh saya. Sudah lama masing-masing dilepaskan busur. Kalau sampai ke tubuh, insya Allah dapat dirawat. Bagaimana jika busur itu hanya menerawang tidak pun menyentuh tubuh ini? Kekallah mata anak panahnya dengan ucap yang lebih bahaya dari getah ipoh....

Selain berdoa, jangan bercambah pula lagi busur begitu, izinkan saya menyiulkan lagu yang kini saya sudah faham makna dan mula merasa sesuatu....



Aku rayu kepada mu 
Hentikanlah oh fitnah mu 

Cukup sudah seksa dan derita kurasa 

Akibat perbuatanmu


Mengapakah kau tergamak 
Sebar cerita bukan-bukan 

Memburukkan nama menjatuhkan maruahku 

Membuatku terhina


Tidak pernah aku sakitimu 
Tidak pernah aku mengganggumu 

Tapi diri ini kau khianati 

Menyebabkan kawan-kawan membenciku


Hanya pada Maha Kuasa 
Aku pinta dan berdoa 

Agarkau hentikan fitnah mu terhadap ku 

Biar ku hidup bahagia


Alangkah tidak seronoknya melihat daun kalendar di dinding, di depan saya.

Setelah bersiul, saya koyak helaian Julainya!

3 April 2015

Kebetulan Atau Suratan?


Empat entri sebelum ini berturut-turut berkisar soal kematian.

Ahmad Munif
Pertama, kematian isteri BF, yang juga cucu pengasas AlFalah.  Ahmad Munif Sehabudin kehilangan isteri yang belum pun dua minggu dinikahi. Munif dan arwah isterinya berusia 24 tahun.

Kedua, kematian Mohd Subki Hj Ali pada awal bulan lalu.  Subki atau di kalangan orang kampung serta teman rapat sejak sekolah rendah, dikenali sebagai Pak Utih, meninggal pada usia 35 tahun.

Ketiga, serta keempat, kematian Azren Lateh, yang hilang di laut semasa bertugas di atas sebuah bot nelayan.

Kebetulan.

Itu yang saya jawab kepada pertanyaan seorang pembaca blog ini – bukan BF – dari Tanjung Piandang. Dia – saya tulis namanya sebagai ST -  yang gemar membaca blog seiras yang ini di segi isi, hairan kenapa berturut-turut entri berkisar hal yang sama.

Saya yang menulis berdasarkan gerak rasa hati tidak mengaturkan begitu. Apa yang terlintas, ditambah punya masa dan keafiatan mood. Itulah yang saya tulis. Tidak kira bab kronologi langsung

Selepas ditanya barulah saya dapat mengesan.

Terima kasih, ST….

Kebetulan.

Mungkin tepat jawapan itu.

Dan sebaik menjawab untuk ST, perkataan KEBETULAN menerawang ke ruang minda.

Bukan SURATAN?

Tidakkah itu yang lebih tepat?

Image result for kenny tay
Kenny
Image result for habsah hassan
Habsah
Minda tiba-tiba bertanya sebaik terlintas jodol sebuah lagu retro ciptaan Kenny Tay dan lirik oleh Hjh Habsah Hassan, nyanyian Kenny sendiri dari trio KRM [Kenny, Remy dan Martin]. Sebuah lagu yang cukup popular pada awal 90-an serta sering menjadi pilihan penerbit drama tv, sebagai lagu tema...

Entahlah.

Ikutkan semua telah tersurat…

KEBETULAN [atau SUDAH TERSURAT…]

Norhayatul Akmar Md Nasir, isteri Munif, meninggal pada malam Jumaat, dikebumikan pada siangnya.

Azren
Pak Utih terjatuh lalu dibawa ke hospital pada tengah hari, menjelang waktu orang lelaki bergerak ke masjid bagi menunaikan Solat Jumaat.

Azren yang hilang pada pagi Ahad, dijumpai mayatnya pada petang Khamis/ malam Jumaat, dan disemadikan jenazah selepas solat Asar hari Jumaat.

Ahmad Munif sebaya usia dengan isterinya. Cuma berdasarkan tarikh lahir, Yat [panggilan manja untuk Nurhayatul Akmar] tua 32 hari dari suaminya.

Subki berusia 35 tahun. Demikian pula Azren. Tidak pasti , dari segi bulan dan hari, siapa yang lebih tua…

Subki dan Azren serentak menjadi BF mulai tahun 1993. Memasuki kelas peralihan pada tahun awal itu.

[Saya  - KEBETULAN atau TERSURAT sebagai guru kelas mereka semasa di Tingkatan TIGA - segera merujuk daftar nama pada entri tentang Kelas Peralihan AlFalah 1993. Nama Azren dan Subki dipisahkan oleh seorang rakan – Mohd Sayuti Osman – di dalam senarai itu…]

Ya. Ikutkan semua telah tersurat…

KEBETULAN atau TERSURAT tidak terhenti…
Ada sepupu saya bertugas di Pejabat Agama Islam Kulim. Dia, seperti sepupu sepapat yang membaca tentang kematian Yat mellaui WhatsApp famili mahu pun blog ini, memaklumkan keesokannya [sehari setelah entri tentang Yat dan Munif dinaikkan] bahawa pada hari muncul cerita lara itu, petangnya, Munif telah pergi ke Pejabat Agama bagi mengambil surat nikah. Mahu saya sambung episod itu dalam entri lain, tetapi cukuplah rasanya, nanti ada lagi soalan seperti dari ST…
Saya tanyakan sepupu itu, adakah dia sempat bersembang dengan Munif. Ini jawapannya. {Tolong jangan betulkan mata anda – bagi yang akan menduduki sebarang peperiksaan bahasa ibunda, abaikan ejaan di dalam jawapan ini. ….Ini adalah lumrah orang ber’wasap’…]
xsmbng pown ngan dia..yg pngntin pmpuan xsain lg sjil nkah..staf pjbt tnya dia istri mai dk sbb kna sain sjil nkah..pastu dia gtw istri dia mnggal..berayaq jgk la mta dia wktu hbq tu..

Berayaq jgk la mta saya wktu membaca apa yang dihbq tu…

**********

ST dan saudara-saudari pembaca.

Catatan kali ini bukan apa-apa. Cuma bercerita tentang empat episod berkenaan.

Untuk rekod, entri tentang kematian Yat paling menjadi tumpuan, kerana ada pertambahan pembaca blog ini secara mendadak. Ini tidak menghairankan. Maklumat kematian itu ada di dalam beberapa grup WhatsApp yang saya sertai – dengan niat supaya semua insaf bahawa kematian berlaku di dalam detik dan ketika yang pelbagai…- lalu menyarankan mereka membaca blog ini bagi mendapatkan sedikit perincian saya. Maka ramai yang sudi membaca atau mengeliknya….

Naiklah jumlah pengunjung ke sini untuk hari itu…Lebih dari hari-hari biasa, malah lebih dari semua entri  - dalam sehari - yang pernah tersiar . Semoga dari yang bertandang secara ‘terpaksa’ itu, akan ada yang kekal menjadi pengunjung setia…seperti ST dan beberapa lagi, yang bukan pun budak Falah…

Hidup ini singkat. Kita tidak dapat mengalami semuanya. Hanya dengan membaca/menonton pengalaman orang, kita dapat mengetahui sedikit tentang yang di luar pengalaman kita…

Anda mungkin bukan BF. Dengan membaca di sini, anda mungkin mengetahui sesuatu yang tidak sempat alami itu…Seperti saya mendapat sesuatu yang asing dengan membaca blog atau berita/cerita di media lain…

Terima kasih.

p.s.

ST, sampai hati mengatakan saya buang tabiat….asyik tulis bab mati!

Bila Izrail datang hampiri
Tinggallah harta emas dan perak
Nafas terhenti lemahlah diri 
Jasad terbaring tidak bergerak

Tiada lagi teman ketawa 
Tinggallah pangkat harta melimpah
Ke tempat sunyi jasad dibawa
Dalam keranda dibawa pindah

Di liang lahad muat seorang 
Gelapnya wahai tidak terperi 
Selesai tanah ditimbus orang
Tinggallah badan seorang diri

Segala harta dan menantu 
Tidakkan dapat mengambil alih
Hanyalah amal dapat membantu
Dan doa dari anak yang solih

2 April 2015

Senandung Abang Yang Tinggal

Azren Lateh 
Azan Asar pada peringkat pertengahan dilaungkan di Masjid Tandop ketika saya melepasinya sebentar tadi.

Azan Asar dari Masjid Aman juga pada peringkat pertengahan ketika saya membelok ke Jalan Kuala Kedah seketika kemudian.

Semoga sempat bersolat Asar berjemaah di Masjid Telok Kechai nanti, bisik hati. 

Semoga sempat pula ikut menyolatkan jenazah Azren.

Motorsikal melatam jalan yang tidak terlalu sibuk pada petang Jumaat yang agak terik itu.

Saya memasuki perkarangan Masjid Telok Kechai, ketika bahagian depannya tidak berorang. Sunyi. Sahlah solat berjemaah sedang berlangsung.

Saya parkir motor berhampiran pagar, di sebelah sebuah kereta - macam pernah dilihat kereta itu...

Seorang anak kecil muncul dari luar pintu pagar bertutup berhampiran kereta itu. Abdullah Fahmi tersengih. Ibunya, Suhana mengekori. "Mana Bakaq?"tanya saya. "Sembahyang di dalam.."balas isteri Abby Zack itu. Patutlah macam pernah kenal dengan kereta tadi…

Saya bergegas mahu mengangkat wuduk di belakang masjid. Langkah diperlahankan apabila terpandang sekumpulan kaum ibu sedang memenuhi bahagian sisi belakang masjid itu. Pelbagai peringkat umur mereka.

Saya berpatah balik lalu menggunakan paip di tepi tangga masjid untuk berwuduk.

Alhamdulillah. Solat jemaah di dalam masjid sedang dalam akhir rakaat kedua…

Usai solat, saya terus melirik mencari sosok Abby Zack.

Ada.

Dia memakai kemeja-t dan berseluar. Janggal sedikit rasa diri ini– masih dengan pakaian solat Jumaat empat jam lalu…– masih dalam baju Melayu dan bersarung pelikat…

Selepas bersalam dengannya dan tidak nampak sesiapa lagi BF, saya bertanya satu nama. Wira Islam.

Sambil duduk di sisi satu tiang tengah masjid, Abby mengunjukkan ke satu arah.  Mata saya mengikut unjukkannya. Nampak Wira Islam sedang menghadap imam  di tengah ruang utama. Mesra sekali kelihatan dua hamba Allah itu berbual.

Kumpulan perempuan di luar masjid tadi masuk. Fahamlah bahawa saya tersalah anggap. Disangkakan tadinya mereka adalah ahli keluarga Husin, sebaliknya mereka adalah keluarga kepada pasangan yang bakal dinikahkan sebentar nanti. Patutlah kebanyakan riak wajah mereka di luar tadi tidak menunjukkan tanda sedang berduka….

“Kita dok tang ni la….kut-kut imam panggil kita jadi saksi…”kata saya sambil duduk menghadap Abby. Tauke barangan terlarang di bandar kediaman Kasim Baba dan Ali Baba [mengikut filem P Ramlee ] itu separuh menahan tawa.

Wira menyertai kami. “Ingatkan mahu jadi saksi…dapatla dua puluh ringgit…”kata saya semasa bersalam dengannya. Wira tergelak. Imam itu bertanyakan Wira yang sudah jarang berjemaah di masjid itu. Wira yang kerap kini di Masjid Batu Enam atau Taman Bersatu menerangkan duduk perkara. Itul;ah yang dibisikkan kepada kami.

Memang Wira mahir dan mesra dengan warga di situ. Bapa pengantin perempuan yang bakal dinikahkan pun dia tahu nama dan alamatnya…

Sedang bersiap rombongan tadi menyambut sebuah pernikahan, Hesba Tgb pula menyertai kami. Dia baru balik mengambil anak lelakinya dari kelas tuisyen, terus ke situ kerana menjangkakan jenazah Azren sudah atau hampir sampai.

Sempatlah kami ikut mengaminkan doa dari imam, sempat juga melihat acara akad nikah dari jarak agak dekat. Sempat juga melihat sepintas lalu ahli rombongan yang perempuan itu…

“Tengok anak orang, teringat anak kita…”kata Wira, mungkin melihat seorang dua anak kecil berlari riang di belakang ahli rombongan yang membentuk satu bulatan besar di depan kami. Saya tergelak kerana tahu akan ada sambungan bagi ayat itu. Seperti selalu….

“Tengok bini orang, terlupa bini kita….”sambung Wira. Kali ini Abby dan Helwi ikut tergelak tetapi terkawal.

Sambil memehati gelagat rombongan pengantin, kami berbual tentang hal Husin dan keluarganya. Bagaimana mayat dijumpai dan bagaimana setiap kami mula mendapat khabar.

Jam sudah menunjukkan lagi 30 minit ke pukul enam.

Saya nampak Shamsul Saad bersolat di penjuru belakang masjid. Sendirian. Selepas solat, dia hanya mengangkat tangan sebelum keluar walaupun saya menggamitnya beberapa kali.

“Ada Faizal di luaq….”kata Hesba Tgb.

Merasakan sudah lama di situ, saya hubungi telefon Husin. Mahu bertanyakan kedudukannya yang terkini.

Husin menyatakan dia baru melepasi Sungai Dua, Seberang Perai. Menurutnya, dia terpaksa berpatahbalik ke hospital - tadinya - kerana ada dokumen yang belum lengkap atau tertinggal. Van jenazah, katanya, meneruskan perjalanan mengikut pergerakan pertamanya tadi.

Saya beritahukan hal berkenaan kepada BF tiga sahabat.

Sungai Dua.

Mungkin lama lagilah sampainya jenazah walaupun hanya Husin yang berpatah balik tadi.

Menimbangkan hal itu, kami memutuskan untuk turun dari masjid terlebih dahulu. Ada cadangan untuk ke kedai minuman.

Di luar masjid, di tempat parkir, Shamsul Saad sedang berbual dengan Faizal Yahya. Kami menyertai dua rakan sekelas Husin di Alfalah dahulu itu. Kemudian, Hesba Tgb memutuskan untuk menghantar pulang dahulu anaknya dan akan datang semula nanti. Abby melintasi jalanraya untuk mencari penghilang haus anaknya, Abdullah Fahmi.

Hari Jumaat. Sukar untuk mencari kedai minuman yang dibuka pada petang begitu. Restoran Laksa Telok Kechai tersohor yang dua itu  pun – masing-masing di bawah nama Zakaria Laksa  dan Din Laksa - tidak dibuka. Tetapi saya kemudiannya teringat salah satunya dibuka kerana kelihatan ada deretan kereta tatkala saya lepasinya tadi.

Saya nyatakan kepada Wira. Kami berdua ke situ dengan menaiki motorsikalnya.  Shamsul dan Faizal mahu tetap di perkarangan itu manakala Abby masih di kedai runcit di seberang jalan.

Benar, salah satu restoran itu dibuka. Agak ramai pelanggannya. Kami memilih untuk duduk di meja di belakang gerai sate. Minuman dipesan, bersama dua pinggan laksa. Sementara menunggu pesanan sampai, Wira sempat meratah sebungkus pulut sambal.

Terfikir juga Abby mungkin teringin menghilangkan haus, saya menyuruh Wira mengambilnya di depan masjid. Sebentar sahaja masa yang diperlukan untuk menjadikan meja tadi dihuni tiga orang. Selain minuman, Abby memesan 20 cucuk sate. “Kuah taruh atas – sekali….”pesannya kepada pelayan kedai yang sedikit kaget dengan cara hidangan sate begitu.

Sambil itu kami tergelak mermbayangkan akan pulang nanti bertiga membonceng motorsikal Wira. Kami sama-sama merenung saiz diri setiap orang. Tersepit gamaknya Wira…

Laksa berjaya kami habiskan. Namun tatkala pinggan sate baru diletakkan ke atas meja, ada panggilan untuk Abby. Isterinya menyatakan van jenazah sudah sampai.

Hah?

Saya teringat Hesba Tgb yang mungkin masih di sekitar Tandop, kejiranannya. Saya dail nombornya tetapi tidak berangkat. Dua kali didail. Tetap gagal dihubungi.

Bagaimana sekarang?

20 puluh cucuk sate di depan kami belum  disentuh. Kami perlu habiskan sebelum ke masjid untuk solat jenazah.

Tetapi kami bertiga manusia biasa. Kunyahan mesti ada. Tumakninah juga perlu bagi setiap cucuk sate yang selesai ditelan…

Wira hanya mampu dalam dua tiga cucuk. “Tak boleh pi dah….”katanya.

 Abby mungkin terdaya  lima enam cucuk.  “Tak peraya dah saya…”katanya pula

Sate selebihnya? 
……….

 Selesai makan dan minum itu barulah Abby dihantar dahulu ke masjid oleh Wira. Saya berjalan kaki sekitar seratus meter sebelum Wira berpatah balik. Sempatlah – walau sekejap – sekitar sedozen cucuk sate, sepinggan laksa dan segelas teh ais bermesraan bergaul di dalam usus…

“Depa sembahyang dah…”kata Wira ketika saya memegang bahunya untuk membonceng motor.

Ketika kami sampai, keranda sedang dibawa keluar dari pintu masjid. Van bertulis Hospital Balik Pulau di dindingnya sedang menunggu.

Ramai jemaah solat sedang bergerak pulang. Dalam ramai yang turun dari masjid itu saya terpandang dua sosok BF.

Mohd Thakiyuddin Abdullah dan Saleh Husin. Regu sepupu dari Alor Ibus.

Tersengih Thakiyuddin melihat saya. Seperti selalu Saleh hanya tersenyum malu-malu.

Saya meminta izin untuk mengelik wajah mereka.

“Hang tau siapa yang mati ni?”Tanya saya.

“Sapa?”soalan balas daripada PakDin, panggilan mesra untuk Thakiyuddin, anak salah seorang AJK Lembaga Tadbir AlFalah pada dekad 80-an.

“Azren…adik Husin…Ustaz Husin…” kata saya yang sempat vmelihat saleh mengangguk manakala PakDin sedikit melopong, mendongak – mencari…

“Yang duduk di Batas Paip tu…”saya membantu.

Berjaya. “Ooooo….”demikian kata Pakdin. Tetapi… “hak janggut panjang, badan tinggi tu?”

“Haisy!”tukas saya. Saya menunjuk kepada insan yang Pakdin maksudkan, sedang berbual dengan dengan kumpulan BF tadi , kini termasuk Zulkarnain, suami Norshahida Said. Saya tergelak mengetahui yang PakDin maksudkan adalah seorang lagi BF dari Batas Paip, Wira Islam, yang saya perkenalkan kepadanya pada satu pertemuan di depan Kedai Mi abas, lama dahulu…

PakDin tersipu-sipu kerana salah bayangan orang.

Mereka berdua tidak lama sempat dimesrai. Segera mereka menaiki motor berdua untuk pulang. Hesba Tgb hanya sempat menyapa Saleh yang tersenyum melambai ketika motor yang ditunggangi PakDin melintasi kumpulan BF itu. PakDin member isyarat masih ada kerja lain menanti…

Hesba Tgb memberitahu ketika hampir sampai ke kejiranannya, dia ternampak van bertulis Balik Pulau itu. Sebaik menurunkan anaknya, dia terus memecut semula ke Telok Kechai. Sempatlah dia ikut menyolatkan jenazah Azren.

Kami juga yang terlepas…

Sebaik van jenazah bertolak, muncul Jamal Huri Bakar, sepupu sepapat Wira. Dia baru mengetahui kes Azren dan kebetulan pula baru sampai dari Sarawak – bercuti di kampung kelahiran isterinya.

Kami berbual sebentar di situ, sebelum Jamal Huri atau mesra dipanggil Nasir di kalangan keluarga dan penduduk setempat, memohon diri untuk ikut ke kubur. Demikian pula Wira. Abby, Shamsul, Faizal, Zulkarnain dan Hesba Tgb tidak bercadang ke kubur. Mereka terus berbual di situ ketika saya juga meminta diri untuk sama ke tanah perkuburan.

Sebelum itu, Hesba Tgb menyatakan ada nampak kelibat kereta Rosdi Mansor membelok ke jalan arah kubur.

Di tanah perkuburan, memang ada Rosdi di situ. Dia tergesa tadinya kerana tahu jenazah telah disolatkan dan dibawa ke kubur.

Azren telah dikebumikan. Tanah pusaranya telah diratakan. Talkin mula dibacakan. Saya mengitari dengan mata mencari wajkah sayu bonda dan ayahanda Azren.

Sayu menyerkup tatkala pembaca talkin pertama –imam solat tadi - menyebut “Ya Azren bin Che Olah…”. Saya lihat bonda Azren tunduk memandang tikar yang didudukinya di belakang tempat imam. Setiap kali seruan nama itu muncul sayaakan melirik ke wajah sayu Che Olah sebelum berpindah ke wajah Pak Lateh.

Di luar tembok tanah perkuburan, dari jarak 30 meter, dari bondanya, saya nampak kelibat Azman, abang Azren, bertinggung menghayati talkin sambil memandang ke  arah tanah merah yang menimbusi keranda adiknya.

Selesai tahlil pendek dari pembaca talkin kedua, kami mengaminkan doa yang sederhana panjang. Setelah itu Azman menjadi orang pertama bangun menghampiri pusara adiknya. Dihulurkannya jag air kepada Che Olah untuk menyiram pusara. Hampir seluruh keluarga melakukannnya dengan Azman bertindak sebagai penjaga jag air…

Saya mengelik sekali dua suasana yang disuramkan pula oleh waktu yang di hujung petang itu.

Selepas melihat Rosdi berangkat ke luar  kawasan perkuburan di mana keretanya diparkirpulang, saya nampak Wira ke arah bertentangan – mengunjungi pusara ayahnya.

Saya menunggang motor melalui jalan tengah kawasan kubur, nampak Wira sedang berdoa di atas pusara ayahnya, sebelum ke luar ke jalan utama, dan pulang melalui Jalan Yan-Batas Paip.

Saya teringat Husin. Sehingga jenazah adiknya dikebumikan, kelibatnya tidak ada. Masih dalam perjalanan.

Simpati saya buat Husin.
  
Entah bagaimana tiba-tiba tiga bait lirik lagu dari Indonesia menerjah ke minda. Bukan kerap pun saya mendengar lagu tersebut, ciptaan Deddy Dores bagi mengenang kepergian penyanyi remaja sedang top [1995] Nike Ardilla akibat kemalangan jalanraya.

Mungkin saat itu saya betul-betul teringatkan Husin yang sepanjang minggu menguruskan hal Azren, di Kedah dandi Pulau Pinang serta terbayangkan dua beradik anak Pak Lateh dan Che Olah itu di atas pentas muhadhoroh Alfalah dahulu...

Entahlah.

Saya dapat menyelami perasaan Husin serta keluarganya pada saat sukar ini. Azren baru berusia 35 tahun. Masih panjang jalan yang terbentang buat insan seusianya. Namun takdir telah tertulis: hanya setakat itu dunia ini dapat dikongsinya.

Lazimnya kita malu melafazkan tetapi di dalam hati Allah tahu: kita tetap sayang dan cintakan adik-beradik, apalagi seibu-sebapa....

Minda membayangkan Husin sedang bersenandung dengan bait-bait  pilu itu...


Saya sedang menunggang motorsikal melintasi Surau Hj Hussain, Selarong Batak ketika tiga bait berkenaan menerawang di minda. Tepatnya sebaik berhenti secara mengejut kerana demikian pula dilakukan oleh pemandu sebuah kereta di depan saya…

Setelah aku mendengar beritamu
Rasanya hatiku tak percaya
Engkau telah pergi meninggalkan dunia
Dan kita semua...

Hanya doa yang dapat kupanjatkan
Untuk adikku yang tercinta
Semoga Tuhan Yang Maha Pengasih
Menerima disisiNya 

Oh Tuhan..
Mengapa begitu cepat Kau panggil dia
Masih kuingat dia bernyanyi
Syair lagu yang kutulis