25 January 2014

Sayang, Saya Bukan Sazaziz...

December 24, 2013 6:18 pm
cikgu..sya jmput cikgu skeluarga mai knuri kwin sy 18/1/2014





rumahnya di mana chek?

Kami tidak pernah saling mengenal.  Saya tidak pun tahu kewujudannya selama ini. Kalaupun dia pula tahu kewujudan saya, mungkin sebab pernah mendengar dari rakan-rakannya yang mengenali saya. Sekadar mendengar, kerana kami memang tidak pernah bertemu.

Hanya pada satu malam musim raya puasa 1434, kalau tidak silap raya keenam, kami bertemu. Itu pun secara membelakang. Saya duduk di sofa di belakangnya manakala dia sedang bersimpuh dalam satu bulatan menikmati makan malam. Turut membentuk bulatan itu adalah rakan-rakannya yang mengenali saya – Asnisah Teh, Azura Ayob, Sazaziz Saad, Mohd Nasir Hassan dan samatua Azura, Saifol Adly Hassan. Bulatan itu dilengkapkan oleh sahabat merangkap jiran alias rakan setugas saya semasa di AlFalah, Cikgu Non.

Ya. Mereka sedang dijamu nasi berlaukkan udang dan ayam serta satu dua ‘mata’ lagi oleh Cikgu Non di rumahnya, sempena lawatan tidak rasmi mereka berenam ke beberapa buah rumah bekas guru AlFalah yang tinggal di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Parlimen Yan. [Rumah saya tidak termasuk kerana berada di luar radar - tiada di dalam data SPR serta Google Maps…]

Sila rujuk entri Buah CempedakDi Dalam Besen.

Kerana hanya membelakang dan berpaling setelah saya bertanya siapa gerangan dia [dan menjawab beberapa soalan mudah], mustahillah saya akan dapat mengenalnya jika berjumpa semula di tempat lain pada waktu lain. Saya tidak sempat mengecam wajahnya untuk di simpan di dalam kotak memori…

Nik AiniyTidak lama kemudian, saya dan Nik Ainiy menjadi rakan. Rakan segrup dalam fb.. Tetapi kami tidak pula ‘berbual’ sepatah pun selama di dalam grup itu.

Sehinggalah datangnya undangan kenduri di dalam kotak PM saya pada hari itu. Saya pun membalas seperti di awal tadi.

Itu saja.

Dalam dua tiga pertemuan dengan rakan fb saya di Batas Paip – Saiful Adly, Sazaziz, Budak Batas Paip, serta Mohd Nasir – saya memaklumkan tentang undangan tersebut serta jawapan balas saya. Tidak terkurang sepatah kata pun.

Saiful Adly memaklumkan bahawa dia ada menerima wakil dari Nik Ainiy untuk  mengedarkan kad jemputan. Malangnya, kad tersebut tertinggal di rumah. Pada satu perjumpaan lain, kad itu masih tertinggal juga.  Saya hanya mengambil plan rumah Nik Ainiy secara lisan dari Saiful dan Sazaziz yang sememangnya rakan rapat Nik Ainiy. Dan saya menanam azam untuk hadir di rumah Nik Ainiy pada tarikh yang ditetapkan. Insyaallah.

Satu pagi, sedang membelek laman fb, saya terklik ruang PM di bahagian atas skrin setelah melihat warna merah dengan angka sekitar 40-an. Saya jarang membuka petak itu sekiranya saya lama tidak ‘berbual’ kerana selalunya yang ada hanyalah beberapa pertanyaan atau pernyataan tidak penting. Kadangkala hanya ada ‘OK”, sebuah jawapan dari ‘perbualan’ saya dengan si penjawab itu dua tiga minggu sebelumnya…

Rupanya telah terselit jawapan Nik Ainiy mengenai plan ke rumahnya. Jauh lebih awal dari yang saya dapatkan secara lisan tersebut. Hanya saya yang tidak membelek…

December 24, 2013 9:25 pm
kg selarong batak..sebelum tmn bersatu..





Tidak mengapalah.

Enam hari sebelum majlis kenduri berlangsung, barulah saya mendapat kad undangan yang sebenar. Kad dengan muka depannya terdapat lima kuntum ros merah serta satu tepak sirih berwarna keemasan. Tertera nama Ainiy & Nadzrul. Saya membelek sekali lalu bahagian dalamnya. Maklumlah hari, tarikh dan alamatnya telah saya tahu lebih awal secara lisan… Demikian juga dengan bahagian belakang – plan ke rumah pengantin. Saya jeling sahaja. Cuma saya tertarik, dalam beberapa penunjuk ke rumahnya, terselit ‘Surau Hj Hussain’. Sebabnya nama surau tersebut mengembalikan ingatan saya kepada Toksu Hj Hussain [panggilan saya kepada Tuan Guru Hj Hussain Hj Abdul Rahman] yang rumahnya terletak di sebelah surau tersebut. Seperti yang pernah saya catatkan di dalam beberapa entri terdahulu, arwahToksu Hj Hussain ini merupakan guru AlFalah pada tahun 60-an serta pernah menjadi mudir menggantikan Ustaz Hj Azizan yang berpindah dan membuka Sekolah Agama Fajar Islam di Kg Baru, Alma, Bukit Mertajam pada awal dekad 70-an. Semasa itu, Toksu Hj Hussain tinggal di kawasan AlFalah – di rumah yang tapaknya kini menjadi tapak kantin.Toksu Hj Hussain berpindah ke Selarong Batak [kampung Nik Ainiy] setelah tidak lagi menjadi mudir AlFalah. Saya pernah beberapa kali ke rumahnya itu yang pada kini telah menjadi tapak rumah orang lain. Isteri arwah, Toksu Hjh Mariam, sekarang tinggal bersama anak perempuan tunggalnya di Kajang, Selangor [Dua anak Toksu tinggal di Kajang, seorang di Alor Ibus dan seorang lagi – telah meninggal dunia - di Seberang Perai].

Sazaziz, Nasir dan Saifol
Kad undangan tersebut disampaikan oleh dua rakan Nik Ainiy - Saiful dan Sazaziz – yang datang ke tempat kerja saya. Terlanjur datang, kami pun berbual dua tiga belas tajuk lain di hadapan dua meja berlainan, mengambil masa hanya tiga jam…. Nantilah saya catatkan, kalau ada kudrat…


Selain untuk saya, mereka titipkan juga satu kad lagi kepada bekas guru Sains dan Matematik Nik Ainiy di AlFalah dahulu, Cikgu Non. Akan bekas guru-guru lain tidaklah saya tahu dititipkan kepada siapa. Cuma difahamkan  kepada guru tunggal yang tinggal di Parlimen Yan, Sazaziz bersedia untuk menyampaikannya.

Petang itu juga saya terus sampaikan kad berkenaan kepada Cikgu Non. Sebaik mendengar tarikh kenduri, Cikgu Non terus meluahkan rasa kesal. Dia mungkin tidak dapat menghadirinya kerana memenuhi satu komitmen lain yang tidak kurang pentingnya.

Apo nak dikato…

*************

18 Januari 2014. Sabtu.

Tidak banyak undangan. Hanya lima. Tiga boleh capai, dua mungkin tak sampai. Paling jauh di Lepai.

Tiga tempat mampu capai itu adalah di Restoran Nasi Kandar Hj Ramli, Simpang Empat, sempena perkahwinan anak bongsu Haji Ramli sendiri, di Kg Permatang Ibus, rumah tepi jalan Yan –  Batas Paip, sekitar 100 meter dari jalan masuk ke wilayah yang sedang terjajah di AlFalah, dan di rumah Nik Ainiy.

Kalau semua undangan tidak mengehadkan waktu makan mungkin yang dua lagi pun saya boleh sampai. Dengan satu syarat lain: perut boleh dipakaibuang macam lampin berjenama Drypers atau i-pad  tanpa i berjenama Whisper……

Jam 9.00 pagi.

Saya sedang mengambil hati samatua dengan mengikut satu sunnah Nabi – membantu isteri. Samatua tiada di rumah, tetapi ditinggalkannya sejaras pakaian berbasuh yang siap diperah. Maka proses pengeringanlah yang saya bantu itu…

Cikgu Non yang dalam proses menaiktaraf rumah, memarkir salah satu keretanya di hadapan rumah jiran yang bersetentang dengan rumah saya. Ketika saya sedang di peringkat akhir berbuat baik dengan ampaian, Cikgu Non yang berpakaian kemas – kerana siap memasukkan hujung baju ke dalam  - menghidupkan enjin kereta itu.

“Jom!” kata Cikgu Non, sebaik menurunkan sedikit cermin tingkap di kirinya.

Saya tahu komitmen yang menuntut kehadirannya pada pagi itu. Saya pula tidak mahu ketinggalan tiga kenduri… Kalau saya ikut Cikgu Non…

“Jom aa..” kata Cikgu Non lagi. “Kita pi tengok-tengok sat, takkan sampai petang kut…, tengah hari sat ‘ni kita teghuih pi kendughi..”

Kendughi?

Maksudnya, Cikgu Non boleh ke rumah Nik Ainiy!

Apo nak dikato laei…

Saya hanya meminta tempoh sedikit. Pertama untuk menghabiskan penyidaian pakaian berbasuh berperah. Kedua untuk menukar baju. Eleh, manusia spesies saya! Tidak perlu bermekap, tidak perlu mengenakan assessori – baik yang ori atau yang auta, yang dibeli atau yang dipinjam… – tidak perlu memastikan matching tak matching pakaian, malah tidak perlu pun melihat cermin…

Lima minit kemudian kami telah berada di luar kawasan kejiranan kami – menuju ke utara.

************************

Samatua Cikgu Non menghadiri kenduri di sekitar kampung asalnya – Tobiar.

Samatua saya mungkin dapat menghadiri kenduri di Restoran Nasi Kandar Hj Ramli. Eleh, bukan jauh pun dari rumah kami. Masih dalam satu kariah. Boleh singgah dalam perjalanan balik ke rumah.

Maka saya dan Cikgu Non yang akan ke rumah Nik Ainiy bolehlah berlama sedikit, jika suasananya di situ memungkinkan begitu – jika ada teman bersembang atau bertembung dengan mana-mana budak Falah…

Selepas itu, bolehlah pula saya singgah – barang seketika - di rumah yang berdekatan AlFalah itu. Walaupun sekampung, kami - warga kampung - tidak perlu membantu di segi menyiang daging atau memasak, misalnya, kerana awal-awal lagi tuan rumah memaklumkan mengunakan khidmat caterer

{Rumah yang kedua itu adalah rumah pupu-poyang saya juga. Kalau ikut perbendaharaan kata Cikgu Non, rumah puak-laghak sayalah juga. Salah seorang puak-laghak saya itu pernah belajar di AlFalah. Namanya Salmah Saad. Dia sekelas dengan Mazura Mansor – kakak kepada Ustaz Mazlan, Mazni dan Mazlina – dari Lorong 8, Kola itu yang semuanya pernah menghuni kelas di AlFalah.
                                       
Saya tidak ingat rakan sekelas Salmah dan Mazura ini, walaupun tidak ramai. Tidak sampai pun 10 orang. Kelas akademik yang terakhir, kalau tidak silap. Yang saya cukup ingat adalah keunikan kelas mereka. Ketika itu bangunan yang terdapat pejabat yang menghadap pintu pagar itu kami gunakan sebagai kelas untuk mereka. Bukan kelas kiri kanan seperti yang mungkin pernah dihuni oleh sebahagian budak Falah, dengan pejabat berada di tengah-tengah. Sebaliknya pejabat yang lebarnya tidak sampai 15 kaki itulah yang kami jadikan bilik kelas, manakala ‘pejabat’ AlFalah ketika itu dipindahkan ke bilik kelas di sebelahnya. Rasanya hanya Salmah, Mazura dan rakan sekelas mereka sahaja yang pernah ditempatkan di situ…}

Melepasi jam 2:00, kami masuk ke stesen minyak Petronas Batas Paip setelah Cikgu Non mendapat isyarat bahawa keretanya hampir kehausan. Sambil itu, saya menghubungi Saiful Adly. Dia sedang di rumah, mahu bersolat dan mengandaikan dalam 10 minit lagi akan ke rumah Nik Ainiy. Samatuanya, Azura, katanya telah pun pergi ke rumah rakan mereka itu.

Awal sebelum itu, pada pukul 9:40, ketika sampai ke tempat saya perlu menunggu Cikgu Non memenuhi komitmen lainnya itu, saya telah menghubungi Saiful, bertanyakan waktu dia akan berada di rumah Nik Ainiy. Segan juga jika tidak berjumpa Saiful atau rakan-rakan seFalahnya, kerana selain Nik Ainiy, kami tidak mengenali sesiapa ahli keluarganya… Apa yang akan kami bualkan jika pun ada di antara ahli keluarganya sudi menjadi teman berbual sepanjang kami berada di bawah khemah kelak?

Kata Saiful, dia sedang berada di kampungnya kerana mengunjungi rumah jiran yang salah seorang ahli keluarga baru meninggal dunia. Saiful memberitahu mungkin akan ke rumah Nik Ainiy selepas solat Zohor.

Selepas itu, pada jam 2:11 saya cuba pula hubungi Budak Batas Paip untuk bertanyakan sudahkah menghadiri kenduri tersebut. Malangnya, panggilan itu tidak bersahut…

Maka setelah kantung bahan bakar kereta Cikgu Non dipenuhkan, kami langsung ke rumah Nik Ainiy. Tanpa memegang kad undangan, dengan mengingat rumahnya tidak jauh dari Surau Haji Hussain yang saya telah tahu lokasinya, tidak sukar mencari rumah Nik Ainiy. Tambahan lagi, berdasarkan khabar dari Sazaziz ketika bertemu sebelum itu, pada hari berkenaan, tidak ada kenduri lain di sekitar Kampung Selarong Batak.

Tidak lama berada di jalan utama, kami sudah nampak deretan kereta tetamu di kedua-dua sisi jalan. Cuma saya jangkakan rumah Nik Ainiy jauh dari jalan utama. Tetapi sebaik sampai, barulah saya tahu rumah itu terletak hanya di pinggir jalan tersebut.

Sedang Cikgu Non mencari ruang untuk memarkir kereta, saya pula mencari petunjuk bahawa ada sekurang-kurangnya seorang yang kami kenali di luar atau di bawah khemah. Ketika itulah saya nampak seseorang yang memakai jersi oren bernombor 20, sedang berjalan memasuki khemah. Macam kenal jer… macam familiar jer…

“Tu Sazaziz ‘tu…” kata saya. Seronok dan bersemangat macam orang Afrika yang lama berjalan bersendirian di tengah pasar malam Kola tiba-tiba ternampak seorang rakan sebenua jauh di satu sudut .

Malah ketika masih di dalam kereta itu, saya sudah nampak Nik Ainiy – berbusana serba kuning sedang berdiri di tepi jalan, berdekatan salah satu khemah untuk tetamu perempuan.

Cikgu Non kebetulan mendapat satu ruang parkir di kanan jalan menghala ke AlFalah – 10 meter dari rumah pengantin.

Turun dari kereta,  melangkah seiring, kami nampak Nik Ainiy sedang menyambut beberapa tetamu sebayanya di tepi jalan. Mungkin rakan sekerjanya. Suaminya juga berada di tepi jalan itu tetapi terpisah dari Nik Ainiy dalam jarak 10 meter – di seberang jalan pula – juga seperti menyambut rakan rapat. Memang saya tidak kenal suami Nik Ainiy, yang khabarnya orang dari satu kuala yang bukan di tepi laut itu. Tetapi rasanya tidak pernahlah sepanjang sejarah, saya temui tetamu kenduri lelaki yang datang dengan pakaian bertempah khas, berwarna sedondon dengan pengantin perempuan dan siap bertengkolok …

Saya dan Cikgu Non melintasi betul-betul di depan Nik Ainiy yang sedang berbual dengan sepasang tetamu sebayanya. Betul-betul di depan Nik Ainiy, sebab saya boleh mendengar tetamu yang bersuara perlahan itu mengucapkan tahniah kepada Nik Ainiy. Insan yang mendapat ucapan itu pun tersenyum bahagia.

“Ni kami mai ‘ni! Tahniah dan Selamat Pengantin Baru la noo…”

Itulah yang akan saya katakan sebaik Nik Ainiy nampak kami.

Tetapi Nik Ainiy tak memandang kami. Menjeling pun tidak. Maka kalimat yang telah saya sediakan itu tertinggallah di dalam halkum…

“Dia tak kenai kita apa?” kata Cikgu Non sambil melangkah ke arah khemah tetamu di pinggir jalan.

“Takkanlah dia tak kenai hang. Aku mungkin dia tak kenai…” kata saya, lebih kepada membujuk halkum yang masih menyimpan kalimat tadi…

Sukar saya membayangkan budak Falah dari tahun 1987 hingga tahun penutupan AlFalah pada awal millennium baru tidak kenal Cikgu Non! Sahabat saya itu tidak pernah berubah wajahnya sejak dulu. Kalau pun ada hanyalah pada warna rambut dan jambang yang disesuaikannya dengan suasana semasa…

“Dia tak pakai spek, tu yang dia tak perasan kut..” kata Cikgu Non pula, bersangka baik kepada Nik Ainiy, yang hanya setahun belajar di AlFalah dahulu.

Baru saya perasan bahawa Nik Ainiy memang berkacamata semasa kali pertama dan terakhir saya berjumpanya di rumah Cikgu Non dahulu.

“Kehendak ‘tok tukang’ la ‘tu…” balas saya pula. [Bagi pembaca dari planet lain, tok tukang adalah istilah klasik orang kampung saya kepada pengandam pengantin].

“Awat dia tak bubuh contact lens?” tanya pula Cikgu Non.

Laaa…..

Saya memang tiada jawapan untuk itu. Mujurlah kami sudah pun sampai ke salah sebuah khemah untuk tetamu lelaki. Niat awalnya untuk terus ke meja Sazaziz di khemah paling hujung, tetapi insan berbaju –t oren itu mengisyaratkan supaya kami mengambil makanan dahulu.  Siapalah kami untuk mengengkari isyarat tersebut. Sazaziz orang tempatan. Mungkin dia lebih tahu adat di situ. Sebelum duduk di mana-mana kerusi, kenalah ada pinggan berisi makanan dahulu…

Maka saya pun mencapai pinggan. Memasukkan dua senduk nasi. Tiga senduk gulai daging termasuk seketul kecil tulang beserta kuah yang sengaja dibanjirkan. Ada ayam goreng tetapi saya tidak mahukannya. Saya perlu tinggalkan sedikit ruang di sudut perut untuk satu lagi kenduri… ‘Takkan saya solo sahaja kut?’ bisik kuah gulai kepada nasi yang sedang cuba bermesra dengan kuah yang kelihatannya sedap, dengan aroma yang juga sedap itu. Mendengar bisikan tersebut, saya senduki pula kuah pajeri, dengan sehiris nenas. Takut nenas pula berbisik atau meraung ditinggalkan oleh kuahnya…

Di luar khemah, saya capai gelas untuk dipenuhkan dengan air tebu segar. Segar, sebab semasa saya melangkah tadi pun saya nampak satu longgokan hampas tebu di tepi satu tiang khemah. Takkanlah hampas yang kelihatan baru itu saja-saja datang ke rumah kenduri?

Selepas itu barulah saya duduk berhadapan Sazaziz. Bersalam dengannya. Sazaziz tidak mengulas tentang langkah-langkah yang saya buat dari meja makanan dan bekas air tebu tadi. Sahlah, saya telah mengikut prosedur yang betul…

Cikgu Non yang turut membawa sepinggan nasi berlauk dan segelas air tebu, mengambil tempat di kerusi di hujung meja. Mungkin dari jauh nampak seperti dia sedang mempengerusikan satu mesyuarat. Sekali pandang pula mungkin macam pendakwaraya dan peguambela sedang menghadapi seorang hakim di kamarnya.

Kalau dari dekat?

Memang pun macam mesyuarat. Agenda utamanya cuma satu: Mencari Jodoh. Siap dengan perkara berbangkit. Hal-hal lain hanya muncul sepintas lalu kemudiannya.

Memang pun macam dalam kamar hakim. Peguambela adalah Sazaziz. Hakim dan pendakwaraya? Hehehe.

“Hang dok tunggu apa lagi, Aziz…” kata Cikgu Non, lebih kurang, sebagai mukadimah.

“Pelan-pelanlah. Sampai masa adalah… “ kata Sazaziz, lebih kurang. Saya tahu, dia telah bersedia dengan hujahnya jika perlu. Bukan sekali dua saya mendengar malah terlibat dalam percakapan tentang hal itu.

Cikgu Non meneruskan hujahnya. Panjang dan bersemangat. Tidak sempatlah saya menyimpan semuanya tetapi dapat dirumuskan menghala ke arah melihat Sazaziz lekas bergelar suami.

Sazaziz menyuruh kami makan dahulu. Dia sendiri masih belum makan. Masih mahu menunggu Saiful datang untuk makan bersama. Demikian semangat setiakawannya. Bertuah siapa yang menjadi kawannya. Bertuah lagi siapa yang menjadi samatuanya. Saya yakin lelaki yang mempunyai semangat setiakawan, biasanya mempunyai juga semangat setiakasih

Cikgu Non meneruskan hujahnya. Bertanya Sazaziz, pattern mana suri yang diimpikannya. Cikgu Non menyebut dua tiga daripadanya. Ada yang jelik dan pelik dan ada yang tulus dan mulus.

“Hang nak yang macam mana pun ada, nak yang umur berapa pun ada…” kata Cikgu Non sambil menyuap lauk yang dibalut dengan nasi.

Sazaziz tersenyum.

“Hang bawak mai katalog la bagi dia pilih…” Saya pula bertindak sebagai nasi tambah. Sazaziz tersengih terus.

Cikgu Non makin rancak bermonolog, mengeluarkan hujah. Jika berhenti berhujah pula, mulutnya rancak pula membuat kunyahan. Saya pun terikut-ikut dengan aksinya yang kedua itu…

“Tapi ada seorang…” Cikgu Non memberikan fakta dari hatinya. “yang ‘ni saya cukup berkenan…”

Sazaziz  masih tersenyum tetapi sedikit menunduk menggosok-gosok permukaan meja. Tidak tahulah samada sudah bosan mendengar perihal jodoh atau sedang menanti penuh debar hal gadis yang Cikgu Non mahu ceritakan itu.

Saya pula sedikit memanggung. Suapan pun terhenti. Suspens juga kerana Cikgu Non pun berhenti pula bersuara. Rupanya dia sedang mengunyah nasi lama sedikit agar proses penghadaman menjadi lebih mudah di dalam usus. Kemudian dia menelan, ertinya sebaik gumpalan nasi tadi melepasi kerongkong, Cikgu Non akan mula bercakap lagi. Maka saya pun cepat-cepat menyuap pula nasi ke mulut sendiri. Takut tertinggal sepatah dua kalimat. Sambil mengunyah dapatlah saya mendengar sambungan hujah Cikgu Non…

“…segak, muda….”

“…lemah lembut, sopan, cakap pelan …”

“…bukan lembik…. tapi ada adab….”

“… tengok time makan sudahla… suap pun tertib … kunyah pelan-pelan…tang ‘tu pun saya berkenan ‘dah…”

“Macam mana boleh tengok dia makan?” Sazaziz bersuara. Macam tak yakin jer… atau macam berminat jer…

“Laaa… masa makan di kantin la….” Balas Cikgu Non, spontan. Sazaziz tersengih. Agaknya terlupa yang cikgunya itu masih mengajar di Sungai Limau.

Panjang lagi yang Cikgu Non hurai. Semuanya positif, tiada cela. Sehinggakan saya sempat meletakkan diri ini ke tempat Sazaziz. Tahu apa yang ingin saya – sebagai Sazaziz -katakan kepada Cikgu Non? “Cikgu, esok Cikgu pi jumpa keluarga dia. Raya Cina ‘ni akad nikah, sebelum posa buat kenduri!”

Isy! Sayang sekali saya bukan Sazaziz…

Dalam banyak-banyak perincian tentang gadis itu, ada satu bahagian ungkapan yang membuatkan Sazaziz terpaku.

“Kalau saya tak menikah lagi, saya ambik budak ‘tu!” ucap Cikgu Non, serius dan tegas.

“ Kalau tak menikah lagi la…” sambung Cikgu Non tetapi bertukar nada menjadi datar sedikit…

Saya kagum dengan cara sahabat saya itu menggaru hati Sazaziz. Terkedu sekejap orang bujang itu dibuatnya. Saya yang tidak layak ini pun menumpang terkedu.

“Macam mana?” tanya Cikgu Non sambil merenung tepat ke muka Sazaziz. Saya nampak Sazaziz menggaru pipi kanannya dan menyangka dia akan menjawab ketika sorot matanya berpindah dua tiga kali dari mata Cikgu Non ke mata saya. Tetapi dia hanya menelan liur sambil tersenyum. Tiada sebarang bunyi lisan. Isy!

“Kalau saya kata budak ‘tu elok, elok la!” tambah Cikgu Non. Satu ayat jaminan mutu…

Sazaziz hanya tersenyum. Manakala saya pula yang menelan liur. Teringin mahu menengok ‘budak’ yang Cikgu Non katakan itu…

Demikianlah sedikit catatan minit mesyuarat dari bawah khemah kenduri…

Akan hal-hal lain di dalam agenda mesyuarat tersebut, yang muncul semasa dan selepas agenda utama itu termasuklah saya mendapat panggilan dari Budak Batas Paip. Katanya, dia tidak tahu pun tentang kenduri tersebut. Manalah saya tahu, kerana semasa perbualan di Batas Paip sebelum itu, rasanya semua yang ada telah diundang oleh Saiful selaku wakil Nik Ainiy. Lalu saya serahkan kepada Sazaziz untuk membuat sedikit pencerahan kepada rakan yang rupanya sedang di dalam tugas di sekitar Kola…

Antara sela masa berbual juga, saya melihat ‘konvoi’ rakan sama gender Nik Ainiy berjalan melintasi khemah kami. Anggota konvoi adalah Azura, Asnisah Teh dan Ira Man. Ada juga peserta cilik, kalau tidak salah. Mereka menuju ke arah khemah khas untuk kaum mereka atau mungkin terus kepada Permaisuri Sehari.
Warna baju mereka...

Selang beberapa minit kemudian, muncul Saiful, dengan baju bercorak pelikat berwarna koko kecoklat-coklatan atau coklat kekoko-kokoan. Datang bersama buah cinta tunggalnya. Mereka mengambil nasi dan lauk serta air tebu sebelum duduk semeja dengan kami. Makan sambil bersembang atau bersembang sambil makan.

Ketika memandang ke arah jalan ke khemah perempuan, saya ternampak kelibat Nurrezini Nayan sedang berjalan masuk. Di belakangnya, kalau tidak salah mata tua ini, adalah kakaknya, Yasmin. Di antara mereka pula, ada seorang wanita. “Boleh jadi emak depa..” kata saya kepada ahli mesyuarat yang ikut memerhati ke arah yang saya tuding. Nurrezini dan Yasmin adalah bekas pelajar AlFalah pada era 1980-an. Bagi yang menghadiri majlis perjumpaan raya Alumni AlFalah yang lalu, rendang ayam dan daging serta nasi goreng adalah dari air tangan Nurrezini dan samatuanya, Chef Zubir. Mungkin keluarga Nurrezini merupakan puak laghak keluarga Nik Ainiy …

Saya berkisah tentang Nik Ainiy yang tidak mengenali kami, terutamanya Cikgu Non, ketika sampai tadi. Saya meminta nombor telefon Ira Man yang agaknya sedang menyuap nasi di khemah berdekatan rumah pengantin untuk menitipkan salam kepada Nik Ainiy. Malangnya, nada dering di telefon wanita yang sedang berbadan dua itu tenggelam dalam keriuhan suara para tetamu… Saya pesankan kepada Sazaziz agar menitipkan salam kami kepada Nik Ainiy jika terjumpanya nanti. Katakan juga bahawa saya dan Cikgu Non ‘ada’ datang…

Tidak lama kemudian, dari arah jalan ke AlFalah, muncul pula Mohd Nasir Hassan, yang dikhabarkan tidak berapa sihat sebelumnya. Mungkin masih belum sihat sepenuhnya, namun tetap datang untuk meraikan hari bahagia rakan sekelasnya di AlFalah pada tahun 2001 itu.

Hanya seminit dua setelah Nasir duduk di sisi Sazaziz, saya dan Cikgu Non pula terpaksa bangun untuk beredar.

Laa… itulah yang kalau tidak silap menjadi ungkapan awal Nasir, sebelum disambung dengan beberapa patah kata yang lain…

Apa daya, saya ada lagi satu kenduri di kampung. Segan pula nanti jika pergi terlalu lewat untuk ke rumah kenduri di kampung sendiri… Cikgu Non juga mungkin mempunyai urusan lain pada petang itu.

Saya dan Cikgu Non bangun untuk berjumpa datuk Nik Ainiy yang ‘berbaju hijau ‘tu’, tunjuk Sazaziz ketika kami tanyakan siapa tuan rumah yang perlu kami temui. Pakngah Nik Hussein [merujuk panggilan tetamu di depan kami] sedang duduk di kerusi, berbual dengan beberapa tetamunya di celah antara dua khemah.

Ketika berjalan ke arah datuk Nik Ainiy itu, saya teringat sesuatu, lalu saya kembali ke meja tadi. Saiful yang agaknya sudah pun membuka topik baru kepada dua sahabatnya itu, terkejut apabila mendengar suara saya. “Ingatkan balik dah…” katanya.

Saya berpatah balik itu sekadar untuk mengingatkan Sazaziz: Malam ‘ni buat solat istikharah tentang gadis yang Cikgu Non cadangkan tadi…


Sazaziz, Saiful dan Nasir sama tersenyum. Cuma ‘rasa’  salah satu senyum itu yang sedikit berbeza. Rasa kelat datangnya dari muka Sazaziz…

Selepas bersalaman dengan Pakngah Nik Hussein, kami melangkah untuk ke kereta, masing-masing bersama sebuah beg berisi buah tangan.

Di hadapan khemah perempuan, di mana bahagian belakangnya paling hampir dengan meja makan pengantin yang berlapik kain putih dengan renda merah, berdiri rakan seFalah Nik Ainiy yang berkonvoi tadi – Azura, Asnisah Teh dan Ira Man. Sang Permaisuri Sehari kelihatan tergesa datang menghulurkan pula dua beg berisi bunga tangan, agaknya diberitahu sebelumnya oleh trio rakannya tentang kehadiran kami. Maka terbatallah pesanan yang saya titipkan kepada Sazaziz sebelum itu.

“Selamat!” kata saya kepada Nik Ainiy.

“‘Selamat’ apa?” tanya salah seorang dari trio tadi. “Bagi habisla…”

“Selamat semuala…”balas saya. Nik Ainiy tersenyum. Oleh kerana saya tidak pernah melihat jelas wajah Nik Ainiy sebelumnya, kalau tuan-tuan bertanya perbezaan wajah cerah Nik Ainiy di antara hari lain dengan hari itu, memang saya tidak akan mampu menjawabnya…

Cikgu Non menyatakan kemunculan kami yang tidak dikesan oleh kornea Nik Ainiy tadi dan Nik Ainiy mengaku agak silau tanpa cermin mata pada hari itu. Lagi pula orang sedang ramai datang. “Biasalah. Raja dan Permaisuri memang tidak mungkin nampak semua rakyat, tetapi semua rakyat pasti nampak Raja dan Permaisuri” kata saya. Di dalam hati. Hati seorang yang bukan hanya sekali pernah merasai detik yang Nik Ainiy sedang alami itu…

Ira  dan Asnisah [paling kiri] pada perjumpaan raya dulu
Cikgu Non mengusik Asnisah Teh, yang di dalam mana-mana borang bancian pun, pada petak ‘status’, masih sama tarafnya dengan Sazaziz tadi. Kalau tidak silap, ada suara nakal di situ yang mencadangkan disatukan saja dua insan tersebut. Entah suara siapa…  Cikgu Non pula memaklumkan boleh menyediakan katalog calon – seperti yang saya cadangkan di bawah khemah tadi - untuk dipilih Asnisah…

Ada lagi yang Cikgu Non usik atau ucapkan tetapi saya tidak mendengarnya. Saya telah pun melangkah meninggalkan mereka setelah berjaya membuatkan Ira Man bersusah-payah mengeluarkan telefonnya dari dalam beg yang disandangnya. Ira Man memerhatikan satu nombor muncul beberapa minit  lalu di dalam status panggilan yang tidak dijawab

Ada sebab kenapa saya cepat berlalu. Saya takut di celah perbualan di tepi jalan itu, Cikgu Non bertanyakan usia kandungan Ira Man, yang hari itu mengenakan baju mengandung, jahitan sendiri tentunya. Dan saya telah bersangka buruk sedikit. [Maafkan saya].Saya takut muncul pula soalan dari Ira Man, tukang jahit mahir itu, tentang usia ‘kandungan’ saya…

Demikianlah.

Selamat berbahagia sehingga ke negeri abadi buat Nik Ainiy bersama pasangannya, Mohd Nadzrul Mohd Nasir.

Nik Ainiy, terima kasih kerana mengundang saya. Era kita memang berbeza, tetapi kita mempunyai satu persamaan: kita pernah berada di bawah langit AlFalah

21 January 2014

Bertemu Mahathir, Terlupa Pula Tentang Marina


Saya jarang singgah di pekan Tebengau walaupun kerap melintasinya.

Baik pagi atau petang, pasti ada budak Falah di kawasan itu. Sekurang-kurangnya ada lima yang boleh ditemui secara tetap. Empat daripadanya menjual ikan di sepanjang jalan di sekitar situ manakala seorang lagi [dua beradik sebenarnya] membantu keluarga menguruskan satu-satunya kiosk minyak di Tebengau.

Saya pernah bergurau dengan ABBY ZACK, tauke belacan yang menetap di Tebengau walaupun jenama belacannya adalah Belacan Alor Ibus…

Saya katakan, kalau berhimpun semua pembeli ikan dan sayur dan penjualnya di Tebengau di satu padang awam, lambungkan satu bola ke atas mereka, dalam tiga kali, pasti sekali akan mengena kepala bekas budak Falah… Abby Zack tertawa.

Ramai budak Falah berasal dari sekitar Tebengau…

Bukan kerana ramai budak Falah, saya tidak mahu singgah di Tebengau. Tetapi ada hal lain. Tuan-tuan bayangkanlah. Pernah tiga kali saya minum dan makan roti canai, ketiga-tiga kalinya duit saya tidak laku. Tuan kedai tidak mahu menerimanya. Agaknya kerana tahu duit saya bernasib begitu, ada saja budak Falah tolong bayarkan lebih awal…

Singgah membeli ikan pula. Minta sekilo temenung lemak, diberinya hampir dua kilo tanpa ditimbang, siap dengan amaran keras: Jangan Membayar!

Kalau sekali tidaklah mengapa. Ini berkali-kali. Kalau seorang tidaklah mengapa. Ini tiga empat orang. Saya kasihan dan segan kepada mereka…Seperti kata Badim sendirian  kepada Osman anak Orang Kaya Bakar yang tidak mengambil duit sewa rumahnya, dalam filem Keluarga 69: Kalau ada sepuluh macam ini di Malaysia……… sepuluh-sepuluh bankrap!

Mujurlah budak Falah yang menjaga kiosk petrol tidak bersikap begitu…

Malah dengan Abby Zack pun pernah terjadi. Saya hanya berikan sekeping kad jemputan kenduri. Dibalasnya hampir sedozen keping belacan semasa mahu pulang. Bayangkan kalau saya berikan sedozen dua kad jemputan. Agaknya patahlah tiang bonet motorsikal saya…

Akhirnya saya putuskan: saya hanya mengambil bau Tebengau sahaja. Sekadar melintas, tidak singgah.

Lama sungguh saya mematuhi keputusan itu. Tetapi kelmarin, 20 Januari, saya terpaksa melanggarnya sedikit.

Saya bersama Tuan Hj Sehabudin, abang Ustaz Fairose, sengaja singgah di sebuah kedai makan berhadapan SK Tebengau, setelah selesai satu urusan peribadi. Sebelum itu kami singgah di kiosk minyak yang saya catat tadi. Saja-saja, sebab kereta Tuan Haji itu mengadu merasa dahaga…

Di kedai makan tersebut, kami memesan minuman pilihan dengan seorang sebiji roti canai. Kemudian meja kami dikongsi pula oleh seorang budak Falah generasi 60-an yang tinggal di Kg Hj Jamal, tidak jauh dari rumah Cikgu Rahim Daud.

Kami berbual sambil minum. Kami makan sambil bersembang. Kami bersembang sambil bersembang! Maklumlah banyak subtopik – bab Falah [termasuk hal Pusat Tahfiz Amal dan hal bekas Pengerusi Lembaga Tadbir AlFalah tahun 1980an – Ustaz Abby [sila rujuk entri tentangnya], bab bendang, bab ehwal sesama gender, dan bab makan minum .

Tv di dalam kedai itu menayangkan filem Ong Bak entah sekuelnya yang mana. Saya memerhatikan semua mata penghuni meja lain asyik bertumpu ke skrin tv. Masing-masing sambil pula mengunyah atau menelan sesuatu.

Tiba-tiba di meja yang menghadap saya tiimbul sedikit kekecohan. Halnya kecil sahaja. Gelas teh ais salah seorang daripada penghuninya terbalik. Dua orang yang terlibat pula hanya belajar silat tetapi tidak berminat dengan bola jaring atau bola baling. Maka mereka hanya melompat mengelak dari terkena air yang tumpah tetapi tidak pun menangkap gelas yang sedang bergolek jatuh. Riuhlah sedikit.

Saya tertarik kepada salah seorang daripada mereka, setelah keadaan Berjaya ditenteramkan oleh tuan kedai.

Wajah seorang budak Falah. Dia memerhati kami ketika mengambil balik posisi asal untuk melihat skrin tv sambil mengunyah makanan.

Saya yakin dia budak Falah. Siap lekat di kepala tahunnya di Peralihan. Tahun 1984. Siap lekat lagi beberapa rakan sekelasnya – Zaini Salleh dan bapa saudaranya Md Isa Saidin, Basri Zakaria [Pak Mid], Pawang Nujum dan Mohd Hizamy [adik Ustaz Fairose]. Rakan sekelas yang berlainan jantina dengannya pun saya cukup ingat. Tidak perlulah saya catat di sini. Sila rujuk sahaja senarai pelajar tahun itu yang telah lama saya muatkan.

Dia tersengih ketika membetulkan kuda-kuda kerusinya.

Saya yakin mengenalinya. Tetapi tidakkah dia mengenali saya? Biasanya kalau namanya budak Falah, sebaik yakin bahawa saya adalah saya yang mereka pernah kenal, terus mereka menegur atau menyapa. Biasanyalah. Tetapi yang luarbiasa pun ramai juga.

Adakah dia termasuk dalam kumpulan kecil luarbiasa itu? Yakni yang [dengan alasan tersendiri] lari menjauh apabila nampak saya…

Ataukah dia termasuk dalam kumpulan yang satu lagi, iaitu yang tidak lagi mengingat wajah saya, seperti yang saya catatkan tentang Latiff Rahim [pelajar Tingkatan Tiga Akademik 1983] di dalam dua entri lama.

Seorang penumpang di meja mereka yang baru meletakkan pinggan berisi nasi berlauk, datang menyalami kami bertiga sebaik nampak dan perasan kewujudan kami di depannya.  Tertib orangnya. Anak menantu siapalah agaknya….. Sebenarnya dia tinggal di kampung bersebelahan AlFalah, prihatin dengan kedudukan AlFalah serta berjawatan tinggi juga di dalam satu organisasi amal. Seorang usahawan pula. Tak apalah.

Tetapi saya melihat salamnya itu membuka satu peluang.

Setelah kami menunaikan tegukan terakhir [juga tanpa perlu saya membayar…], kami bangun. Dalam melangkah keluar kedai, saya mengambil peluang yang saya katakana itu. Saya membalas menyalami insan yang menyalami kami tadi. Sambil itu, supaya tidak dikatakan memilih bulu, saya menyalami semua penghuni meja tersebut. Termasuk tuan gelas teh terbalik tadi yang sedang gembira mendapat gelas baharu dengan isi yang penuh… Akhir sekali saya berdiri di belakang budak Falah tersebut.

Dia menyuakan tangan untuk bersalam seperti yang lain. Sebaliknya, kerana yakin bahawa dia adalah dia yang pernah saya kenal dulu, saya menggunakan dua tangan untuk mencekak bahunya. Tentulah dia tepilanjat!

“Mahathir, ‘kan?” tanya saya.

Dia mendongak dan memusingkan sedikit kepala untuk mencari mata saya.

“Ya…” balasnya. “Sapa….”

“Tak kenai ka?” saya merenung ke wajahnya.

“Cikgu Din ka?” Dia tersengih. Dia menggengam tangan saya. Lama dan kejap.

“Cikgu kita dulu ‘ni….” katanya, entah memperkenalkan saya kepada rakan yang tertumpah air tadi atau kepada dirinya sendiri..

“Macam mana boleh tak kenai ‘ni…. Minta maaf la cikgu noo…. Tak perasan sungguh!” Bersungguh sekali dia berkata. Saya tersengih. Kata-kata yang biasa, apabila lahir dari lubuk jiwa, menjadikan saya bangga dan terharu.

Mahathir  Jamaludin.

Hitam manis kulitnya, berbanding rakan sekelas yang lain Mahathir kecil seperti Pawang Nujum. Tetapi mulutnya boleh tahan ramah. Paling saya ingat bunyi ketawanya yang mengekek. Memang dia suka ketawa dengan mata terpejam.

Mahathir [depan, dua dri kiri]

Saya teringat ada foto kami bersama sebahagian rakan sekelasnya. Saya guru kelas mereka pada tahun itu. Bilik kelas usang yang boleh dialih menjadi dewan bila-bila masa. Entah siapa pernah muatkan di dalam fb Alumni AlFalah. Mungkin kawan sesaiznya, Pawang Nujum. Lihatlah dia yang terpejam mata menahan tawa  ketika jurufoto mengelik punat kamera.

“Anak berapa ‘dah?” tanya saya. Satu soalan yang lazim apabila bertemu pertama kali bekas budak Falah.

“Baru satu..” katanya. Tersenyum.

Baru… Ertinya banyak lagi yang nak mai ‘tu…” kata saya.

Mahathir ketawa. Mengekek dan terpejamlah matanya…

Masa mungkin banyak berbeza. Tetapi kekekan dan pejaman mata dalam tawanya tidak berubah.

Selepas bercakap lagi beberapa hal, dengan harapan akan ada pertemuan kali lain, saya mohon untuk beredar. Barulah dilepaskannya tangan saya.

“Ih, cikgu kita ‘ni…. “ kata Mahathir sambil bangun dan menepuk  bahu dan belakang saya dua tiga kali. Mujurlah dia tidak menepuk bahagian yang bertentangan…

Sebelum melangkah jauh, saya mengunjukkan Tuan Haji kepadanya. “ Tu abang Hizamy!”

Mahathir mengerutkan keningnya. Saya faham. “Hizamy di Falah dulu… anak Ustaz Azizan!” kata saya.

Mahathir  memuncungkan mulut, menyebut ‘o’ yang tidak berbunyi, dengan mata mengarah ke bumbung kedai. Entah apa dicarinya.

Saya melangkah semula. Tetapi Mahathir memegang semula bahu saya. Saya menoleh.

“Hizamy!.... O… tau, tau. Ingat, ingat….” kata Mahathir. 

Kemudian saya mendengar kekekan tawanya. Saya memandang matanya. Tidak kelihatan. Entah apa yang diingatnya tentang kelasnya di AlFalah dahulu.

Bukanlah jauh Tebengau dengan AlFalah. Sama YBnya, sama posmennya dan sama poskodnya. Mahathir sudah berkahwin da punya anak satu. Menetap di Tebengau. Hairannya, setelah lebih suku abad, barulah kami berjumpa…

Entah berapa ramai lagi orang Tebengau bekas budak Falah yang tidak pernah lagi saya temui sebaik tamat zaman perfalahan mereka…

Patutkah saya tarik balik keputusan untuk sekadar melintasi pekan kecil itu?

Di dalam kereta, setelah lebih sekilometer dari kedai tadi barulah saya teringat.

Selain Mahathir, ada seorang kakaknya, yang pernah belajar di AlFalah. Berbanding Mahathir, kakaknya bertubuh tinggi lampai. Peramah dan sering tersenyum. Kalaupun ketawa, tidaklah sehingga terpejam mata atau mengekek bunyinya.Saya tidak ingat sehingga peringkat mana kakaknya belajar di AlFalah. Nama kakaknya Marina Jamaluddin.

Terlupa saya tentang Marina semasa bertemu Mahathir tadi.

Entah berapa anaknya kini dan di mana dia menetap.

Nantilah. Saya akan tanyakan kepada Mahathir.