December 24, 2013 6:18 pm
rumahnya di mana chek?
Kami tidak pernah saling mengenal. Saya tidak pun tahu kewujudannya selama ini. Kalaupun
dia pula tahu kewujudan saya, mungkin sebab pernah mendengar dari
rakan-rakannya yang mengenali saya. Sekadar mendengar, kerana kami memang tidak
pernah bertemu.
Hanya pada satu malam musim raya puasa 1434, kalau tidak silap
raya keenam, kami bertemu. Itu pun secara membelakang. Saya duduk di sofa di
belakangnya manakala dia sedang bersimpuh dalam satu bulatan menikmati makan
malam. Turut membentuk bulatan itu adalah rakan-rakannya yang mengenali saya – Asnisah Teh, Azura
Ayob, Sazaziz Saad, Mohd Nasir Hassan dan samatua Azura, Saifol Adly Hassan. Bulatan itu dilengkapkan oleh
sahabat merangkap jiran alias rakan
setugas saya semasa di AlFalah, Cikgu Non.
Ya. Mereka sedang dijamu nasi berlaukkan udang dan ayam serta
satu dua ‘mata’ lagi oleh Cikgu Non di rumahnya, sempena lawatan tidak rasmi
mereka berenam ke beberapa buah rumah bekas guru AlFalah yang tinggal di
kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Parlimen Yan. [Rumah saya tidak termasuk
kerana berada di luar radar - tiada di dalam data SPR serta Google Maps…]
Sila rujuk entri Buah CempedakDi Dalam Besen.
Kerana hanya membelakang dan berpaling setelah saya bertanya
siapa gerangan dia [dan menjawab beberapa soalan mudah], mustahillah saya akan
dapat mengenalnya jika berjumpa semula di tempat lain pada waktu lain. Saya
tidak sempat mengecam wajahnya untuk di simpan di dalam kotak memori…
Tidak lama kemudian, saya dan Nik Ainiy menjadi rakan. Rakan segrup dalam fb.. Tetapi
kami tidak pula ‘berbual’ sepatah pun selama di dalam grup itu.
Sehinggalah datangnya undangan kenduri di dalam kotak PM saya
pada hari itu. Saya pun membalas seperti di awal tadi.
Itu saja.
Dalam dua tiga pertemuan dengan rakan fb saya di Batas Paip –
Saiful Adly, Sazaziz, Budak Batas Paip,
serta Mohd Nasir – saya memaklumkan tentang undangan tersebut serta jawapan
balas saya. Tidak terkurang sepatah kata pun.
Saiful Adly memaklumkan bahawa dia ada menerima wakil dari Nik
Ainiy untuk mengedarkan kad jemputan.
Malangnya, kad tersebut tertinggal di rumah. Pada satu perjumpaan lain, kad itu
masih tertinggal juga. Saya hanya
mengambil plan rumah Nik Ainiy secara lisan dari Saiful dan Sazaziz yang sememangnya
rakan rapat Nik Ainiy. Dan saya menanam azam untuk hadir di rumah Nik Ainiy
pada tarikh yang ditetapkan. Insyaallah.
Satu pagi, sedang membelek laman fb, saya terklik ruang PM di
bahagian atas skrin setelah melihat warna merah dengan angka sekitar 40-an.
Saya jarang membuka petak itu sekiranya saya lama tidak ‘berbual’ kerana
selalunya yang ada hanyalah beberapa pertanyaan atau pernyataan tidak penting.
Kadangkala hanya ada ‘OK”, sebuah jawapan dari ‘perbualan’ saya dengan si
penjawab itu dua tiga minggu sebelumnya…
Rupanya telah terselit jawapan Nik Ainiy
mengenai plan ke rumahnya. Jauh lebih awal dari yang saya dapatkan secara lisan
tersebut. Hanya saya yang tidak membelek…
December 24, 2013 9:25 pm
Tidak mengapalah.
Enam hari sebelum majlis kenduri berlangsung, barulah saya
mendapat kad undangan yang sebenar. Kad dengan muka depannya terdapat lima
kuntum ros merah serta satu tepak sirih berwarna keemasan. Tertera nama Ainiy
& Nadzrul. Saya membelek sekali lalu bahagian dalamnya. Maklumlah hari,
tarikh dan alamatnya telah saya tahu lebih awal secara lisan… Demikian juga
dengan bahagian belakang – plan ke rumah pengantin. Saya jeling sahaja. Cuma
saya tertarik, dalam beberapa penunjuk ke rumahnya, terselit ‘Surau Hj Hussain’.
Sebabnya nama surau tersebut mengembalikan ingatan saya kepada Toksu Hj Hussain
[panggilan saya kepada Tuan Guru Hj Hussain Hj Abdul Rahman] yang
rumahnya terletak di sebelah surau tersebut. Seperti
yang pernah saya catatkan di dalam beberapa entri terdahulu, arwahToksu Hj
Hussain ini merupakan guru AlFalah pada tahun 60-an serta pernah menjadi mudir
menggantikan Ustaz Hj Azizan yang berpindah dan membuka Sekolah Agama Fajar Islam di Kg Baru, Alma, Bukit
Mertajam pada awal dekad 70-an. Semasa itu, Toksu Hj Hussain tinggal di kawasan
AlFalah – di rumah yang tapaknya kini menjadi tapak kantin.Toksu Hj Hussain
berpindah ke Selarong Batak [kampung Nik Ainiy] setelah tidak lagi menjadi
mudir AlFalah. Saya pernah beberapa kali ke rumahnya itu yang pada kini telah
menjadi tapak rumah orang lain. Isteri arwah, Toksu Hjh Mariam, sekarang
tinggal bersama anak perempuan tunggalnya di Kajang, Selangor [Dua anak Toksu
tinggal di Kajang, seorang di Alor Ibus dan seorang lagi – telah meninggal
dunia - di Seberang Perai].
Sazaziz, Nasir dan Saifol |
Kad undangan tersebut disampaikan oleh dua rakan Nik Ainiy - Saiful
dan Sazaziz – yang datang ke tempat kerja saya. Terlanjur datang, kami pun
berbual dua tiga belas tajuk lain di hadapan dua meja berlainan, mengambil masa
hanya tiga jam…. Nantilah saya catatkan, kalau ada kudrat…
Selain untuk saya, mereka titipkan juga satu kad lagi kepada
bekas guru Sains dan Matematik Nik Ainiy di AlFalah dahulu, Cikgu Non. Akan
bekas guru-guru lain tidaklah saya tahu dititipkan kepada siapa. Cuma
difahamkan kepada guru tunggal yang
tinggal di Parlimen Yan, Sazaziz bersedia untuk menyampaikannya.
Petang itu juga saya terus sampaikan kad berkenaan kepada
Cikgu Non. Sebaik mendengar tarikh kenduri, Cikgu Non terus meluahkan rasa
kesal. Dia mungkin tidak dapat menghadirinya kerana memenuhi satu komitmen lain
yang tidak kurang pentingnya.
Apo nak dikato…
*************
18 Januari 2014. Sabtu.
Tidak banyak undangan. Hanya lima. Tiga boleh capai, dua
mungkin tak sampai. Paling jauh di Lepai.
Tiga tempat mampu capai itu adalah di Restoran Nasi Kandar Hj
Ramli, Simpang Empat, sempena perkahwinan anak bongsu Haji Ramli sendiri, di Kg
Permatang Ibus, rumah tepi jalan Yan –
Batas Paip, sekitar 100 meter dari jalan masuk ke wilayah yang sedang
terjajah di AlFalah, dan di rumah Nik Ainiy.
Kalau semua undangan tidak mengehadkan waktu makan mungkin
yang dua lagi pun saya boleh sampai. Dengan satu syarat lain: perut boleh
dipakaibuang macam lampin berjenama Drypers atau i-pad tanpa i berjenama Whisper……
Jam 9.00 pagi.
Saya sedang mengambil hati samatua dengan mengikut satu sunnah
Nabi – membantu isteri. Samatua tiada di rumah, tetapi ditinggalkannya sejaras pakaian
berbasuh yang siap diperah. Maka proses pengeringanlah yang saya bantu itu…
Cikgu Non yang dalam proses menaiktaraf rumah, memarkir salah
satu keretanya di hadapan rumah jiran yang bersetentang dengan rumah saya.
Ketika saya sedang di peringkat akhir berbuat baik dengan ampaian, Cikgu Non
yang berpakaian kemas – kerana siap memasukkan hujung baju ke dalam - menghidupkan enjin kereta itu.
“Jom!” kata Cikgu Non, sebaik menurunkan sedikit cermin
tingkap di kirinya.
Saya tahu komitmen yang menuntut kehadirannya pada pagi itu.
Saya pula tidak mahu ketinggalan tiga kenduri… Kalau saya ikut Cikgu Non…
“Jom aa..” kata Cikgu Non lagi. “Kita pi tengok-tengok sat, takkan
sampai petang kut…, tengah hari sat ‘ni kita teghuih pi kendughi..”
Kendughi?
Maksudnya, Cikgu Non boleh ke rumah Nik Ainiy!
Apo nak dikato laei…
Saya hanya meminta tempoh sedikit. Pertama untuk menghabiskan
penyidaian pakaian berbasuh berperah. Kedua untuk menukar baju. Eleh, manusia
spesies saya! Tidak perlu bermekap, tidak perlu mengenakan assessori – baik
yang ori atau yang auta, yang dibeli atau yang dipinjam… – tidak perlu
memastikan matching tak matching pakaian, malah tidak perlu pun
melihat cermin…
Lima minit kemudian kami telah berada di luar kawasan
kejiranan kami – menuju ke utara.
************************
Samatua Cikgu Non menghadiri kenduri di sekitar kampung
asalnya – Tobiar.
Samatua saya mungkin dapat menghadiri kenduri di Restoran Nasi
Kandar Hj Ramli. Eleh, bukan jauh pun dari rumah kami. Masih dalam satu kariah.
Boleh singgah dalam perjalanan balik ke rumah.
Maka saya dan Cikgu Non yang akan ke rumah Nik Ainiy bolehlah
berlama sedikit, jika suasananya di situ memungkinkan begitu – jika ada teman
bersembang atau bertembung dengan mana-mana budak Falah…
Selepas itu, bolehlah pula saya singgah – barang seketika - di
rumah yang berdekatan AlFalah itu. Walaupun sekampung, kami - warga kampung -
tidak perlu membantu di segi menyiang daging atau memasak, misalnya, kerana
awal-awal lagi tuan rumah memaklumkan mengunakan khidmat caterer…
{Rumah yang kedua itu adalah rumah pupu-poyang
saya juga. Kalau ikut perbendaharaan kata Cikgu Non, rumah puak-laghak sayalah juga.
Salah seorang puak-laghak saya itu pernah belajar di AlFalah. Namanya Salmah Saad. Dia sekelas dengan Mazura Mansor – kakak kepada Ustaz Mazlan, Mazni dan Mazlina – dari Lorong 8, Kola itu yang
semuanya pernah menghuni kelas di AlFalah.
Saya tidak ingat rakan sekelas Salmah dan Mazura
ini, walaupun tidak ramai. Tidak sampai pun 10 orang. Kelas akademik yang
terakhir, kalau tidak silap. Yang saya cukup ingat adalah keunikan kelas
mereka. Ketika itu bangunan yang terdapat pejabat yang menghadap pintu pagar
itu kami gunakan sebagai kelas untuk mereka. Bukan kelas kiri kanan seperti
yang mungkin pernah dihuni oleh sebahagian budak Falah, dengan pejabat berada
di tengah-tengah. Sebaliknya pejabat yang lebarnya tidak sampai 15 kaki itulah
yang kami jadikan bilik kelas, manakala ‘pejabat’ AlFalah ketika itu
dipindahkan ke bilik kelas di sebelahnya. Rasanya hanya Salmah, Mazura dan
rakan sekelas mereka sahaja yang pernah ditempatkan di situ…}
Melepasi jam 2:00, kami masuk ke stesen minyak Petronas Batas
Paip setelah Cikgu Non mendapat isyarat bahawa keretanya hampir kehausan. Sambil
itu, saya menghubungi Saiful Adly. Dia sedang di rumah, mahu bersolat dan
mengandaikan dalam 10 minit lagi akan ke rumah Nik Ainiy. Samatuanya, Azura,
katanya telah pun pergi ke rumah rakan mereka itu.
Awal sebelum itu, pada pukul 9:40, ketika sampai ke tempat saya
perlu menunggu Cikgu Non memenuhi komitmen lainnya itu, saya telah menghubungi
Saiful, bertanyakan waktu dia akan berada di rumah Nik Ainiy. Segan juga jika
tidak berjumpa Saiful atau rakan-rakan seFalahnya, kerana selain Nik Ainiy,
kami tidak mengenali sesiapa ahli keluarganya… Apa yang akan kami bualkan jika
pun ada di antara ahli keluarganya sudi menjadi teman berbual sepanjang kami
berada di bawah khemah kelak?
Kata Saiful, dia sedang berada di kampungnya kerana
mengunjungi rumah jiran yang salah seorang ahli keluarga baru meninggal dunia. Saiful
memberitahu mungkin akan ke rumah Nik Ainiy selepas solat Zohor.
Selepas itu, pada jam 2:11 saya cuba pula hubungi Budak Batas
Paip untuk bertanyakan sudahkah menghadiri kenduri tersebut. Malangnya,
panggilan itu tidak bersahut…
Maka setelah kantung bahan bakar kereta Cikgu Non dipenuhkan,
kami langsung ke rumah Nik Ainiy. Tanpa memegang kad undangan, dengan mengingat
rumahnya tidak jauh dari Surau Haji Hussain yang saya telah tahu lokasinya,
tidak sukar mencari rumah Nik Ainiy. Tambahan lagi, berdasarkan khabar dari
Sazaziz ketika bertemu sebelum itu, pada hari berkenaan, tidak ada kenduri lain
di sekitar Kampung
Selarong Batak.
Tidak lama berada di jalan utama, kami sudah nampak deretan
kereta tetamu di kedua-dua sisi jalan. Cuma saya jangkakan rumah Nik Ainiy jauh
dari jalan utama. Tetapi sebaik sampai, barulah saya tahu rumah itu terletak hanya
di pinggir jalan tersebut.
Sedang Cikgu Non mencari ruang untuk memarkir kereta, saya
pula mencari petunjuk bahawa ada sekurang-kurangnya seorang yang kami kenali di
luar atau di bawah khemah. Ketika itulah saya nampak seseorang yang memakai
jersi oren bernombor 20, sedang berjalan memasuki khemah. Macam kenal jer…
macam familiar jer…
“Tu Sazaziz ‘tu…” kata saya. Seronok dan bersemangat macam
orang Afrika yang lama berjalan bersendirian di tengah pasar malam Kola
tiba-tiba ternampak seorang rakan sebenua jauh di satu sudut .
Malah ketika masih di dalam kereta itu, saya sudah nampak Nik
Ainiy – berbusana serba kuning sedang berdiri di tepi jalan, berdekatan salah
satu khemah untuk tetamu perempuan.
Cikgu Non kebetulan mendapat satu ruang parkir di kanan jalan
menghala ke AlFalah – 10 meter dari rumah pengantin.
Turun dari kereta, melangkah
seiring, kami nampak Nik Ainiy sedang menyambut beberapa tetamu sebayanya di
tepi jalan. Mungkin rakan sekerjanya. Suaminya juga berada di tepi jalan itu
tetapi terpisah dari Nik Ainiy dalam jarak 10 meter – di seberang jalan pula –
juga seperti menyambut rakan rapat. Memang saya tidak kenal suami Nik Ainiy,
yang khabarnya orang dari satu kuala yang bukan di tepi laut itu. Tetapi
rasanya tidak pernahlah sepanjang sejarah, saya temui tetamu kenduri lelaki yang
datang dengan pakaian bertempah khas, berwarna sedondon dengan pengantin
perempuan dan siap bertengkolok …
Saya dan Cikgu Non melintasi betul-betul di depan Nik Ainiy
yang sedang berbual dengan sepasang tetamu sebayanya. Betul-betul
di depan Nik Ainiy, sebab saya boleh mendengar tetamu yang bersuara
perlahan itu mengucapkan tahniah kepada Nik Ainiy. Insan yang mendapat ucapan
itu pun tersenyum bahagia.
“Ni kami mai ‘ni! Tahniah dan Selamat Pengantin Baru la noo…”
Itulah yang akan saya katakan sebaik Nik Ainiy nampak kami.
Tetapi Nik Ainiy tak memandang kami. Menjeling pun tidak. Maka
kalimat yang telah saya sediakan itu tertinggallah di dalam halkum…
“Dia tak kenai kita
apa?” kata Cikgu Non sambil melangkah ke arah khemah tetamu di pinggir jalan.
“Takkanlah dia tak kenai hang. Aku mungkin dia tak kenai…”
kata saya, lebih kepada membujuk halkum yang masih menyimpan kalimat tadi…
Sukar saya membayangkan budak Falah dari tahun 1987 hingga tahun
penutupan AlFalah pada awal millennium baru tidak kenal Cikgu Non! Sahabat saya
itu tidak pernah berubah wajahnya sejak dulu. Kalau pun ada hanyalah pada warna
rambut dan jambang yang disesuaikannya dengan suasana semasa…
“Dia tak pakai spek, tu yang dia tak perasan kut..” kata Cikgu
Non pula, bersangka baik kepada Nik Ainiy, yang hanya setahun belajar di
AlFalah dahulu.
Baru saya perasan bahawa Nik Ainiy memang berkacamata semasa
kali pertama dan terakhir saya berjumpanya di rumah Cikgu Non dahulu.
“Kehendak ‘tok tukang’ la ‘tu…” balas saya pula. [Bagi
pembaca dari planet lain, tok tukang adalah istilah klasik orang kampung
saya kepada pengandam pengantin].
“Awat dia tak bubuh contact
lens?” tanya pula Cikgu Non.
Laaa…..
Saya memang tiada jawapan untuk itu. Mujurlah kami sudah pun
sampai ke salah sebuah khemah untuk tetamu lelaki. Niat awalnya untuk terus ke
meja Sazaziz di khemah paling hujung, tetapi insan berbaju –t oren itu
mengisyaratkan supaya kami mengambil makanan dahulu. Siapalah kami untuk mengengkari isyarat
tersebut. Sazaziz orang tempatan. Mungkin dia lebih tahu adat di situ. Sebelum
duduk di mana-mana kerusi, kenalah ada pinggan berisi makanan dahulu…
Maka saya pun mencapai pinggan. Memasukkan dua senduk nasi.
Tiga senduk gulai daging termasuk seketul kecil tulang beserta kuah yang
sengaja dibanjirkan. Ada ayam goreng
tetapi saya tidak mahukannya. Saya perlu tinggalkan sedikit ruang di sudut
perut untuk satu lagi kenduri… ‘Takkan saya solo sahaja kut?’ bisik kuah gulai
kepada nasi yang sedang cuba bermesra dengan kuah yang kelihatannya sedap,
dengan aroma yang juga sedap itu. Mendengar bisikan tersebut, saya senduki pula
kuah pajeri, dengan sehiris nenas. Takut nenas pula berbisik atau meraung
ditinggalkan oleh kuahnya…
Di luar khemah, saya capai gelas untuk dipenuhkan dengan air tebu segar. Segar, sebab semasa saya
melangkah tadi pun saya nampak satu longgokan hampas tebu di tepi satu tiang
khemah. Takkanlah hampas yang kelihatan baru itu saja-saja datang ke rumah kenduri?
Selepas itu barulah saya duduk berhadapan Sazaziz. Bersalam
dengannya. Sazaziz tidak mengulas tentang langkah-langkah yang saya buat dari
meja makanan dan bekas air tebu tadi. Sahlah, saya telah mengikut prosedur yang
betul…
Cikgu Non yang turut membawa sepinggan nasi berlauk dan
segelas air tebu, mengambil tempat di kerusi di hujung meja. Mungkin dari jauh
nampak seperti dia sedang mempengerusikan satu mesyuarat. Sekali pandang pula
mungkin macam pendakwaraya dan peguambela sedang menghadapi seorang hakim di
kamarnya.
Kalau dari dekat?
Memang pun macam mesyuarat. Agenda utamanya cuma satu: Mencari Jodoh.
Siap dengan perkara berbangkit. Hal-hal lain hanya muncul sepintas lalu
kemudiannya.
Memang pun macam dalam kamar hakim. Peguambela adalah Sazaziz.
Hakim dan pendakwaraya? Hehehe.
“Hang dok tunggu apa lagi, Aziz…” kata Cikgu Non, lebih kurang,
sebagai mukadimah.
“Pelan-pelanlah. Sampai masa adalah… “ kata Sazaziz, lebih
kurang. Saya tahu, dia telah bersedia dengan hujahnya jika perlu. Bukan sekali
dua saya mendengar malah terlibat dalam percakapan tentang hal itu.
Cikgu Non meneruskan hujahnya. Panjang dan bersemangat. Tidak
sempatlah saya menyimpan semuanya tetapi dapat dirumuskan menghala ke arah
melihat Sazaziz lekas bergelar suami.
Sazaziz menyuruh kami makan dahulu. Dia sendiri masih belum
makan. Masih mahu menunggu Saiful datang untuk makan bersama. Demikian semangat
setiakawannya. Bertuah siapa yang menjadi kawannya. Bertuah lagi siapa yang
menjadi samatuanya. Saya yakin lelaki yang mempunyai semangat setiakawan, biasanya mempunyai juga semangat setiakasih…
Cikgu Non meneruskan hujahnya. Bertanya Sazaziz, pattern
mana suri yang diimpikannya. Cikgu Non menyebut dua tiga daripadanya. Ada yang
jelik dan pelik dan ada yang tulus dan mulus.
“Hang nak yang macam mana pun ada, nak yang umur berapa pun
ada…” kata Cikgu Non sambil menyuap lauk yang dibalut dengan nasi.
Sazaziz tersenyum.
“Hang bawak mai katalog la bagi dia pilih…” Saya pula
bertindak sebagai nasi tambah. Sazaziz tersengih terus.
Cikgu Non makin rancak bermonolog, mengeluarkan hujah. Jika
berhenti berhujah pula, mulutnya rancak pula membuat kunyahan. Saya pun
terikut-ikut dengan aksinya yang kedua itu…
“Tapi ada seorang…” Cikgu Non memberikan fakta dari hatinya.
“yang ‘ni saya cukup berkenan…”
Sazaziz masih tersenyum
tetapi sedikit menunduk menggosok-gosok permukaan meja. Tidak tahulah samada
sudah bosan mendengar perihal jodoh atau sedang menanti penuh debar hal gadis
yang Cikgu Non mahu ceritakan itu.
Saya pula sedikit memanggung. Suapan pun terhenti. Suspens
juga kerana Cikgu Non pun berhenti pula bersuara. Rupanya dia sedang mengunyah
nasi lama sedikit agar proses penghadaman menjadi lebih mudah di dalam usus.
Kemudian dia menelan, ertinya sebaik gumpalan nasi tadi melepasi kerongkong,
Cikgu Non akan mula bercakap lagi. Maka saya pun cepat-cepat menyuap pula nasi ke
mulut sendiri. Takut tertinggal sepatah dua kalimat. Sambil mengunyah dapatlah
saya mendengar sambungan hujah Cikgu Non…
“…segak, muda….”
“…lemah lembut, sopan, cakap pelan …”
“…bukan lembik…. tapi ada adab….”
“… tengok time makan sudahla… suap pun tertib … kunyah
pelan-pelan…tang ‘tu pun saya berkenan ‘dah…”
“Macam mana boleh tengok dia makan?” Sazaziz bersuara. Macam
tak yakin jer… atau macam berminat jer…
“Laaa… masa makan di kantin la….” Balas Cikgu Non, spontan.
Sazaziz tersengih. Agaknya terlupa yang cikgunya itu masih mengajar di Sungai
Limau.
Panjang lagi yang Cikgu Non hurai. Semuanya positif, tiada
cela. Sehinggakan saya sempat meletakkan diri ini ke tempat Sazaziz. Tahu apa
yang ingin saya – sebagai Sazaziz -katakan kepada Cikgu Non? “Cikgu, esok Cikgu
pi jumpa keluarga dia. Raya Cina ‘ni akad nikah, sebelum posa buat kenduri!”
Isy! Sayang sekali saya bukan Sazaziz…
Dalam banyak-banyak perincian tentang gadis itu, ada satu
bahagian ungkapan yang membuatkan Sazaziz terpaku.
“Kalau saya tak menikah lagi, saya ambik budak ‘tu!” ucap
Cikgu Non, serius dan tegas.
“ Kalau tak menikah lagi la…” sambung Cikgu Non tetapi
bertukar nada menjadi datar sedikit…
Saya kagum dengan cara sahabat saya itu menggaru hati Sazaziz.
Terkedu sekejap orang bujang itu dibuatnya. Saya yang tidak layak ini pun
menumpang terkedu.
“Macam mana?” tanya Cikgu Non sambil merenung tepat ke muka
Sazaziz. Saya nampak Sazaziz menggaru pipi kanannya dan menyangka dia akan
menjawab ketika sorot matanya berpindah dua tiga kali dari mata Cikgu Non ke
mata saya. Tetapi dia hanya menelan liur sambil tersenyum. Tiada sebarang bunyi
lisan. Isy!
“Kalau saya kata budak ‘tu elok, elok la!” tambah Cikgu Non.
Satu ayat jaminan mutu…
Sazaziz hanya tersenyum. Manakala saya pula yang menelan liur.
Teringin mahu menengok ‘budak’ yang Cikgu Non katakan itu…
Demikianlah sedikit catatan minit mesyuarat dari bawah khemah
kenduri…
Akan hal-hal lain di dalam agenda mesyuarat tersebut, yang
muncul semasa dan selepas agenda utama itu termasuklah saya mendapat panggilan dari
Budak Batas Paip. Katanya, dia tidak tahu pun
tentang kenduri tersebut. Manalah saya tahu, kerana semasa perbualan di Batas
Paip sebelum itu, rasanya semua yang ada telah diundang oleh Saiful selaku
wakil Nik Ainiy. Lalu saya serahkan kepada Sazaziz untuk membuat sedikit
pencerahan kepada rakan yang rupanya sedang di dalam tugas di sekitar Kola…
Antara sela masa berbual juga, saya melihat ‘konvoi’ rakan sama gender Nik Ainiy
berjalan melintasi khemah kami. Anggota konvoi adalah Azura, Asnisah Teh dan
Ira Man. Ada juga peserta cilik, kalau tidak salah. Mereka menuju ke arah
khemah khas untuk kaum mereka atau mungkin terus kepada Permaisuri Sehari.
Warna baju mereka... |
Selang beberapa minit kemudian, muncul Saiful, dengan baju
bercorak pelikat berwarna koko
kecoklat-coklatan atau coklat
kekoko-kokoan. Datang bersama buah cinta tunggalnya. Mereka mengambil nasi
dan lauk serta air tebu sebelum duduk semeja dengan kami. Makan sambil
bersembang atau bersembang sambil makan.
Ketika memandang ke arah jalan ke khemah perempuan, saya
ternampak kelibat Nurrezini Nayan sedang
berjalan masuk. Di belakangnya, kalau tidak salah mata tua ini, adalah
kakaknya, Yasmin. Di antara mereka pula, ada
seorang wanita. “Boleh jadi emak depa..” kata saya kepada ahli mesyuarat yang ikut memerhati ke arah
yang saya tuding. Nurrezini dan Yasmin adalah bekas pelajar AlFalah pada era
1980-an. Bagi yang menghadiri majlis perjumpaan raya Alumni AlFalah yang lalu, rendang
ayam dan daging serta nasi goreng adalah dari air tangan Nurrezini dan
samatuanya, Chef Zubir. Mungkin keluarga
Nurrezini merupakan puak laghak keluarga Nik Ainiy …
Saya berkisah tentang Nik Ainiy yang tidak mengenali kami,
terutamanya Cikgu Non, ketika sampai tadi. Saya meminta nombor telefon Ira Man yang
agaknya sedang menyuap nasi di khemah berdekatan rumah pengantin untuk
menitipkan salam kepada Nik Ainiy. Malangnya, nada dering di telefon wanita
yang sedang berbadan dua itu tenggelam dalam keriuhan suara para tetamu… Saya pesankan
kepada Sazaziz agar menitipkan salam kami kepada Nik Ainiy jika terjumpanya
nanti. Katakan juga bahawa saya dan Cikgu Non ‘ada’ datang…
Tidak lama kemudian, dari arah jalan ke AlFalah, muncul pula
Mohd Nasir Hassan, yang dikhabarkan tidak berapa sihat sebelumnya. Mungkin
masih belum sihat sepenuhnya, namun tetap datang untuk meraikan hari bahagia
rakan sekelasnya di AlFalah pada tahun 2001 itu.
Hanya seminit dua setelah Nasir duduk di sisi Sazaziz, saya
dan Cikgu Non pula terpaksa bangun untuk beredar.
Laa… itulah yang kalau tidak silap menjadi
ungkapan awal Nasir, sebelum disambung dengan beberapa patah kata yang lain…
Apa daya, saya ada lagi satu kenduri di kampung. Segan pula
nanti jika pergi terlalu lewat untuk ke rumah kenduri di kampung sendiri… Cikgu
Non juga mungkin mempunyai urusan lain pada petang itu.
Saya dan Cikgu Non bangun untuk berjumpa datuk Nik Ainiy yang
‘berbaju hijau ‘tu’, tunjuk Sazaziz ketika kami tanyakan siapa tuan rumah yang
perlu kami temui. Pakngah Nik Hussein [merujuk
panggilan tetamu di depan kami] sedang duduk di kerusi, berbual dengan beberapa
tetamunya di celah antara dua khemah.
Ketika berjalan ke arah datuk Nik Ainiy itu, saya teringat
sesuatu, lalu saya kembali ke meja tadi. Saiful yang agaknya sudah pun membuka
topik baru kepada dua sahabatnya itu, terkejut apabila mendengar suara saya.
“Ingatkan balik dah…” katanya.
Saya berpatah balik itu sekadar untuk mengingatkan Sazaziz: Malam ‘ni buat solat istikharah tentang gadis yang Cikgu
Non cadangkan tadi…
Sazaziz, Saiful dan Nasir sama tersenyum. Cuma ‘rasa’
salah satu senyum itu yang sedikit
berbeza. Rasa kelat
datangnya dari muka Sazaziz…
Selepas bersalaman dengan Pakngah Nik Hussein, kami melangkah
untuk ke kereta, masing-masing bersama sebuah beg berisi buah tangan.
Di hadapan khemah perempuan, di mana bahagian belakangnya
paling hampir dengan meja makan pengantin yang berlapik kain putih dengan renda
merah, berdiri rakan seFalah Nik Ainiy yang berkonvoi tadi – Azura, Asnisah Teh
dan Ira Man. Sang Permaisuri Sehari kelihatan tergesa datang menghulurkan pula
dua beg berisi bunga tangan, agaknya diberitahu sebelumnya oleh trio rakannya
tentang kehadiran kami. Maka terbatallah pesanan yang saya titipkan kepada
Sazaziz sebelum itu.
“Selamat!” kata saya kepada Nik Ainiy.
“‘Selamat’ apa?” tanya salah seorang dari trio tadi. “Bagi
habisla…”
“Selamat semuala…”balas saya. Nik Ainiy tersenyum. Oleh kerana
saya tidak pernah melihat jelas wajah Nik Ainiy sebelumnya, kalau tuan-tuan
bertanya perbezaan wajah cerah Nik Ainiy di antara hari lain dengan hari itu,
memang saya tidak akan mampu menjawabnya…
Cikgu Non menyatakan kemunculan kami yang tidak dikesan oleh
kornea Nik Ainiy tadi dan Nik Ainiy mengaku agak silau tanpa cermin mata pada
hari itu. Lagi pula orang sedang ramai datang. “Biasalah. Raja dan Permaisuri
memang tidak mungkin nampak semua rakyat, tetapi semua rakyat pasti nampak Raja
dan Permaisuri” kata saya. Di dalam hati. Hati seorang yang bukan hanya sekali
pernah merasai detik yang Nik Ainiy sedang alami itu…
Ira dan Asnisah [paling kiri] pada perjumpaan raya dulu |
Cikgu Non mengusik Asnisah Teh, yang di dalam mana-mana borang
bancian pun, pada petak ‘status’, masih sama tarafnya dengan Sazaziz tadi.
Kalau tidak silap, ada suara nakal di situ yang mencadangkan disatukan saja dua
insan tersebut. Entah suara siapa… Cikgu
Non pula memaklumkan boleh menyediakan katalog calon – seperti yang saya
cadangkan di bawah khemah tadi - untuk dipilih Asnisah…
Ada lagi yang Cikgu Non usik atau ucapkan tetapi saya tidak
mendengarnya. Saya telah pun melangkah meninggalkan mereka setelah berjaya
membuatkan Ira Man bersusah-payah mengeluarkan telefonnya dari dalam beg yang
disandangnya. Ira Man memerhatikan satu nombor muncul beberapa minit lalu di dalam status panggilan yang tidak dijawab…
Ada sebab kenapa saya cepat berlalu. Saya takut di celah
perbualan di tepi jalan itu, Cikgu Non bertanyakan usia kandungan Ira Man, yang
hari itu mengenakan baju mengandung, jahitan sendiri tentunya. Dan saya telah
bersangka buruk sedikit. [Maafkan saya].Saya takut muncul pula soalan dari Ira
Man, tukang jahit mahir itu, tentang usia ‘kandungan’ saya…
Demikianlah.
Selamat berbahagia sehingga ke negeri abadi buat Nik Ainiy bersama
pasangannya, Mohd Nadzrul Mohd Nasir.
Nik Ainiy, terima kasih kerana mengundang saya. Era kita
memang berbeza, tetapi kita mempunyai satu persamaan: kita pernah berada di
bawah langit AlFalah…
1 comment:
Selamat pengantin baharu...
Post a Comment