26 November 2012

Budak Batas Paip, Alor Ibus Dan ... Yan


Jumaat. 23 November 2012. 9 Muharram 1434. Jam 1515.

Saya bercadang untuk ke pra-kenduri  di rumah seorang sahabat di Taman Seri Kota, Jalan Kuala Kedah. Mengetahui majlis akad nikah bakal berlangsung selepas solat Asar, saya melencong ke Batas Paip. Di situ saya teringat seorang bekas budak ‘buas’ AlFalah dahulu. Dia yang sedang bersedia untuk menunjukkan keperwiraannya di gelanggang virtual, saya hubungi. Mencabarnya untuk bersemuka di Kedai Mee Abbas, Kompleks Perniagaan Nakhoda, berhampiran simpang tiga  menghala ke Yan. Dia menyahut cabaran itu. Tapi yang tidak acinya, dia siap dengan pengawal peribadi – anak pertama bersama isteri sulungnya…… Saya yang datang sebatang kara mula berasa cemas.

Kami duduk menghadap meja di kaki lima kedai. Pelanggan tidak begitu ramai. Demikian juga suasana sekitar. Kawasan yang baru lepas menerima hujan itu agak lengang. Mungkin yang pergi solat Jumaat awalnya,  sedang melayan mata di rumah, manakala yang tidak bersolat Jumaat mungkin enak menyambung tidur.

Dua beranak itu hanya meminta minuman, tidak mahu makan dengan alasan skima: baru lepas makan.

Agak lama kami tidak bertemu – semenjak dia beraya sakan di negeri besan emaknya pada minggu kedua Zulhijjah 1433. Kami saling bertukar khabar. Tentang pencapaian anak masing-masing di dalam UPSR, tentang ‘mangoes’, tentang ‘kehilangan’ dari laman AlFalah, etcetera.

Minuman sampai berturutan dengan gorengan mi yang saya pesan awal, sebaik menelefonnya tadi.  Ketika baru satu suapan berjaya dilakukan, kelibat dua insan melintas di belakang kami. Saya menoleh.

Maha Suci Allah. Kiranya dua insan itu adalah dua bekas pelajar AlFalah – Mohd Takhiyuddin Abdullah dan Salleh Hussin!

Budak Batas Paip tadi mengenali Salleh sahaja. Mohd Takhiyuddin begitu asing baginya. Saya perkenalkan adik kepada Ustaz Lutfi Amir itu. Si abang merupakan penceramah agama yang mula menempa nama di sebelah utara ini. Kini pensyarah di POLIMAS, Jitra. Sebelum ke Mesir dahulu, beliau pernah sekejap mengajar di AlFalah. Takhiyuddin mempunyai seorang saudara kembar, Asri, kini bertugasdi Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kedah Selatan, yang sama-sama menuntut di AlFalah.

Takhiyuddin a.k.a  Pakdin, seperti dahulu riuhnya, manakala Salleh, juga seperti dahulu, agak malu-malu.

Pakdin ada juga sesekali saya jumpai ketika menyempurnakan solat jenazah di beberapa masjid sekitar. Itu pun sekadar  ‘berjumpa’, tidak pernah menegur.  Khabar dirinya ada juga saya ketahui  sedikit dari kembarnya yang bermertuakan orang Simpang Empat. Salleh pula hanya sekali dua saya nampak duduk di hadapan rumahnya, dalam sesekali saya melintas kawasan Alor Ibus. Sesekali itu terjadi kerana entah kenapa telah lama saya AMAT jarang melalui Alor Ibus.

Salleh duduk diam, tertunduk, malu-malu, di kanan saya. Sepatah ditanya, sebanyak itulah juga jawapannya, dalam nada yang perlahan. Entah apa ada di benaknya sebaik bertemu saya. Mungkin sedang ternampak dirinya terbang ke era dia masih dalam seragam sekolah, menunggu bas untuk ke AlFalah, atau menunggu bas lagi untuk pulang pada tengah harinya. Di kelas dahulu, demikianlah juga sikap dan sifatnya. Semoga Allah merahmatinya. Salleh masih belum berkahwin dalam usia 39 tahun. Kini tinggal bersama emaknya.

Pakdin sudah berkahwin sembilan tahun lalu, mempunyai cahaya mata tunggal - seorang puteri – berusia 6 tahun. Dia mengahwini sepupunya yang tinggal di Kampung Padang Jambu. Terkejut dia kerana saya tahu perkembangannya itu. “Hang ‘tau noo?” katanya dengan suara yang masih seperti dua puluh tahun lalu.  “Eleh, Padang Jambu bukan jauh pun dari Permatang Ibus….” Balas saya. Pakdin tersengih. “Hang kenduri pun tak panggil saya….” Saya mencandanya. Ada jawapan dari Pakdin, tetapi sukar juga saya menafsir jawapan itu. Begitulah Pakdin. Kadangkala jawapannya tenggelam, kadangkala berulang.

Maka berkali-kalilah dia mengagumi saiz saya. “Dulu abang kughuih saja…. La ‘ni… hah!” Dia mengembangkan/mengepak kedua-dua lengannya. Bahasa badan bagi menunjukkan keadaan badan sayalah agaknya. Biarlah. Namun saya tertarik pada perkataan abang itu. Sekejap dia gunakan abang, sekejap cikgu manakala ada ketikanya disebut hang saja. Demikianlah Pakdin. Di sekolah dulu pun begitulah cara interaksinya dengan saya. Saya teringat – malah dia sendiri mengulangnya di depan kedai mamak itu – kalau saya menghukumnya di dalam kelas, sebelum saya keluar, dia akan datang kepada saya dan berkata, “Hang cengey sungguh noo…..!”

Berkali-kali juga dia mengulangi ‘lama sungguh tak jumpa’saya. Sedang berbual itu, saya bertanya adakah dia tahu nama saya, sekadar menguji ingatannya. Kerana Cikgu Siti Ramlah Johari dipanggil Cikgu Melah,  Cikgu Norhashimah Mansor disebutnya ‘Mah apa tak tau’ manakala Ustaz Fairose Hj Azizan dibantainya sebagai ‘Farok’, ketika bertanya khabar mereka. Cepat dia menjawab, “Cikgu Din!” Kemudian disebutnya nama sebenar saya. Bukan nama penuh. Sah dia tidak tahu nama ayah saya. Budak Batas Paip tersenyum. Begitu juga dengan Salleh yang masih menunduk. 

Dua tiga hari lepas Pakdin bertemu Cikgu Abdur Rahim Daud. Cikgu Rahim kaya, pakai kereta ‘hah’! Cerita Pakdin sambil sekali lagi menggunakan ketiak dan lengannya…… Cikgu Rahim bawa mesin apa entah dalam keretanya. “Dia berlagak la ‘ni….” Saya tergelak, tahu berlagak itu adalah kata di dalam perbendaharaan yang sempat dijumpainya untuk menggambarkan ‘berjaya’.  Saya menyakatnya untuk memberitahu itu kepada Cikgu Rahim. Dia tersengih sambil kepala digelengkan…..

“Hang mengajaq mana?” tanyanya serius.

“Tak mengajaq dah. Umuq 60 lebih dah…….” Saya menyakatnya. Dia merenung agak lama ke muka saya. Agaknya membandingkan rakan-rakan solat jenazah berusia 60-an dengan saya. Cantiknya dia tidak pula bertanya betul atau tidak usia saya sedemikian….  Atau mungkinkah tidak sampai hati untuk menzahirkan kata: “Tak lama ‘dah orang tua ‘ni….”

“Ustat apa tu…..Ustat Zahari?” Muncul soalannya setelah lama terdiam.

“Ustat Zahari mengajaq lagi. Dia muda dari saya ……” saya terus menyakat. Pakdin mengangguk juga. Salleh diam sahaja. Tertunduk ke arah meja. Tersenyum. Budak Batas Paip hanya mendengar. Anaknya? Tak tahulah.

“Dia mengajaq mana?”

 “Sungai Limau. Sama dengan Cikgu Non…… Hang kenai Cikgu Non?”

Pakdin tercari-cari sekejap sebelum mengangguk. “Dia ada lagi ka?”

Saya terkejut. Tersedak pun, ya juga. Tetapi bersama-sama budak Batas Paip, saya tertawa. Salleh hanya tersenyum mendengar.

“Ada……..dia muda lagi…..”

“Ustazah apa belakang sekolah ‘tu ……….?” Pakdin tetap serius, matanya terpejam seketika, mencari-cari.
Ustazah Rodziah.” Saya membantunya.

“Ha. Diah…… dia mengajaq lagi ka?”

“Mengajaq lagi. Di Bukit Besaq.”

Pakdin mengangguk.

 “Hang dok mana la ‘ni?” tiba-tiba dia berputar 90 darjah.

“Dok Simpang Empat. Dekat rumah Cikgu Non…” saya menjawab, sengaja memancingnya.

Pancingan itu mengena. Saya dan budak Batas Paip tertawa manakala Salleh tetap tersenyum apabila Pakdin sekali lagi berkata, “Cikgu Non ada lagi nooo….”.

“Dia nak pi mana. Yang saya dengaq, hang yang tak dak dah…..!” Saya sengaja ingin melihat reaksinya.

Huih!!!!” Pakdin merenung tepat ke muka saya. Ada yang dituturkannya tetapi deria dengar saya agak lemah untuk menangkapnya.  Marah agaknya kerana dianggap telah tiada……
“Ustat Mid yang tak dak nooo….” Pakdin seolah memberitahu dirinya. Saya ingin memberitahu kepergian Cikgu Mustaffa Mohamed dan Ustaz Fadzin Abdul Hamid juga, tetapi menjangkakan dia akan bertanya pula siapa mereka itu, saya pendamkan sahaja keinginan itu. Dua arwah bekas guru AlFalah itu mungkin asing baginya. Manakala kematian Ustaz Sakhawi Hj Mohamad lama dahulu pasti diketahuinya kerana guru yang merupakan ipar kepada Ustaz Fauzi , adik Ustaz Azizan Hj Mustaffa, pengasas bersama AlFalah, berasal dari Alor Ibus.
Pakdin cukup istimewa di dalam kelasnya. Tawa, senyum atau amarahnya sukar dibaca. Kalau takdirnya dia ditanya dan tidak diketahui akan jawapannya, dengan rela dia ‘menyerah’ diri. Dendalah apa pun, dia menerima dalam senyum atau amarah yang tidak terbacakan itu. Paling jauh dia akan berkata,”….cukuplah sikit-sikit, esok  pun hang nak denda lagi………”

Dia peramah namun kadangkala omelannya tidak saya fahami sepenuhnya. Kerapnya, jika dia tahu saya keliru, sambil menghala tapak tangan ke arah saya dan menelengkan kepala serta mencemik, dia akan berkata,”Apa la hang…..!”

Ayahnya pada satu ketika pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Lembaga Tadbir AlFalah – bersama-sama antaranya En. Hashim Noh, En. Md Fadzil Ibrahim dan Pn Hjh Hatiah Md Isa.  Maka sempatlah kami saling mengenal. Tidak tahulah sama ada kini beliau masih mengingati saya….. Beberapa kali jugalah saya pernah ke rumahnya ketika itu.

[Paklong Usin - panggilan kesemua guru untuk arwah Hashim Noh –  sebagai Bendahari Lembaga Tadbir itu, dari Kg Tengah, Teluk Bagan,adalah ayah kepada Mohd Zamri Hashim, Zamzurina  dan Naslina, bekas pelajar AlFalah. Hjh Hatiah dari Selarong Batak, adalah ibu kepada Fatimah Zakaria manakala En Md Fadzil dari Alor Ibus, merupakan bapa kepada Mohd Nazri. Fatimah –yang awalnya belajar di SM Tun Sharifah Rodziah - dan Nazri adalah pelajar Peralihan 1983 di AlFalah.]

Pakdin dan Salleh sebenarnya baru pulang dari membayar bil utiliti di salah sebuah bank di Jalan Pegawai, Alor Setar. Berdasarkan pemerhatian, mereka berdua cukup rapat, boleh sama-sama berkongsi  urusan serta hal peribadi. Sengaja mereka singgah di situ untuk melapik perut dengan mi goreng. Takdirnya mereka dipertemukan dengan saya. Juga dengan budak Batas Paip beserta pengawalnya.

Siapa boleh menduga aturan takdir?

Dua dekad lebih. Demikianlah masa menjarakkan kami. Seperti selalu, rindu pun terubat. Bertemu bekas budak Falah seolah terapi terbaik untuk saya. Syaratnya bekas budak Falah yang mahu bertegur sapalah.  Yang sekadar berpaling ke arah lain sebaik berselisih, minta selisihlah…….

“Hang caghilah kat Salleh ‘ni….. Kesian dok soghang…..” Saya memandang Pakdin setelah Salleh maklumkan statusnya dan memberitahu tahun kelahirannya pada 1973.

“Dia tak mau….” Cepat Pakdin membalas.

“Kut Padang Jambu pun ada aih….” Kata saya.

Pakdin cepat pula memalingkan wajahnya ke arah Salleh.. “Hang mau?”tanyanya serius. “Abang sughuh ‘tu….” Abang pula……

Salleh diam sahaja. Tertunduk ke arah meja. Tersenyum.

“Payah dia ‘ni….” Pakdin mengisyaratkan dengan tangan kirinya ke arah Salleh sambil mata yang dipicingkan sebelah dihala kepada saya.

Saya mengurut lengan kiri Salleh. Ya Allah, semoga Salleh dipertemukan dengan jodohnya, doa saya di dalam hati. Hiba juga. Entah mengapa. Mungkin melihat Salleh yang menunduk dengan senyum yang berterusan…. Indah dan ikhlas sungguh senyum itu, bagi saya.
 
Pakdin berkisah pula tentang seorang lagi bekas budak Falah, tinggal tidak jauh dari rumah Salleh, juga belum berkahwin. Saya berdoa di dalam hati lagi untuk insan itu pula. Sejenak lintasan tentangnya hadir. Dia yang sentiasa saya tukarkan nama asalnya kepada Habibi Ya Habibi, sempena sebuah lagu nasyid dendangan arwah Ahmadi Hassan yang sedang popular semasa itu. Sebak juga mengenang lelaki yang saya kenal belum bertemu jodoh walau sekali….

Sedang berbual itu, muncul Saifol Adli Hassan. Katanya baru selesai tugas dan sedang demam, datang membeli ubat sekitar situ. Meski berbeza jauh umur, Saifol kenal Pakdin. Budak Batas Paip sedikit kehairanan. “Ustaz - abang dia -  kita kenai, takkanlah adik kita tak kenai…..” Saifol merungkai. Malah dalam beberapa hal, Saifol lebih kenal orang Alor Ibus berbanding Pakdin yang asyik memberi  jawapan “…tak tau……aku tak tau….” apabila saya bertanyakan tentang perkembangan beberapa orang budak Falah.

“Hang buat apa?” Tanya Pakdin, ramah.

Saifol menjawab tetapi tidak difahami segera oleh Pakdin. Kebetulan sungguh, ketika itu melintas sebuah lori/van melepasi jalan Kuala Kedah. Saya dan Budak batas Paip menunjukkan ke lori/van itu.  Di badannya tertulis besar logo dan jenama produk yang dibawanya – roti resepi dari Amerika Syarikat yang sungguh enak dimakan begitu saja….. “……bawa van ‘tu la…” Pakdin mengangguk.

Banyak juga yang kami bualkan. Agak panjang masa diambil. Sempat juga Saifol mengundang semua yang ada  ke kenduri aqiqah/bersunat keluarganya pada hari pertama bulan terakhir tahun ini.

Lama kemudian, teringat Saifol yang tidak disapa pelayan, saya cadangkan kami meminta minuman pusingan kedua. Saya, budak Batas Paip, pengawal peribadinya dan Saifol memesan minuman manakala Pakdin dan Salleh hanya menepuk perut masing-masing, tidak mahu diisi air lagi. Setelah berbual sedikit lagi, Pakdin bangun, membayar mi dan minuman pusingan pertama tadi.

 Kemudian dia bersama Salleh menghulurkan tangan – meminta diri.

Ketika bersalam dengan Salleh, rasa sebak timbul semula. Berpisah dua dekad dan kini berpisah lagi. Entah bila akan terserempak semula. “Kalau kenduri, panggil tau!” pesan akhir saya. Salleh tersenyum. Saya menepuk lengannya yang dililit jam tangan hitam metalik. Ah, Salleh!

Saya menolak untuk bersalam dengan Pakdin melangkau meja. “Hang ‘ni la!” Omelnya sambil melintas di belakang budak Batas Paip dua beranak. Pakdin separa memeluk tengkuk saya selepas bersalam. Mencuit sedikit bahagian berwarna perak pada kepala saya. “Dia ‘ni cukup cengey dengan aku ni!” katanya.  Saya tertawa sambil menitipkan salam kepada ayahnya.

Mereka berlalu.

Siapa boleh menduga aturan takdir?

Kami yang tinggal terus berbual. Semuanya berkisar kerja seharian dan citra beberapa bekas budak Falah.

Hanya sedikit kami menyentuh  tentang harapan dan corak masa depan AlFalah yang masih terjajah.  Ditambah sedikit lagi perbandingan dahulu dan kini tentang penilaian dan penerimaan orang {baca: masyarakat} terhadap sekolah agama.

Dari Saifol, kami tahu proses pengedaran roti yang cukup popular di Malaysia itu. Saifol mengedar di kawasan Kepala Batas/Jitra dan rutin kerjanya bermula pada jam 04:30 pagi. Paling penting: bagaimana komisen dikira untuk para pengedarnya…… Budak Batas Paip dan saya cuba mencongak  sambil mendongak, manakala Saifol sekadar berkata , “Alhamdulillah, bolehlah….”.  Apa-apalah. {Kami juga difahamkan, seorang lagi budak Falah, Ahmad Sayuti Abdul Rashid turut menjadi pengedar jenama tersebut, di sekitar pekan Gurun, Kedah}.

Dari Saifol, kami tahu tentang sepupunya, bekas budak Falah, yang menaja nasi ayam goreng berempah yang lumayan pada perjumpaan hari raya lalu. Semoga rezekinya sentiasa bertambah dan perniagaannya terus berkembang. 

Saifol bercerita detik akhir seorang lagi budak Falah sepupunya - Norashikin Azmi -yang meninggal  ketika sedang mengandung enam bulan, secara tidak sengaja dilanggar oleh kereta penarik suaminya.

Sebelum itu dia bercerita bagaimana memecut dengan kereta Kancil dari Selangor sebaik mengetahui kematian rakan sekelasnya, Syahril Aznan. Dalam perjalanan itu, dia singgah mengambil beberapa rakan di Pulau Pinang dan berhimpit menuju ke Kuala Kedah……

Saifol berkisah tentang seseorang bergelar di AlFalah – Shahrizal Mohd Nor. Kini menjadi anggota polis berpangkat  inspektor dan bertugas di Johor, isterinya juga berjawatan tinggi tapi ketika mencatat ini saya terlupa akan jawatan itu…… Kami – saya dan Saifol sahaja, budak Batas Paip, apa lagi anaknya, tidak mengenali Shahrizal itu - terkenang akan ketrampilannya di AlFalah. Mulanya saya tercari-cari juga sosoknya kerana ramai yang bernama Shah+, tetapi apabila diperingatkan bagaimana dia bermotorsikal ke AlFalah, terus saya kembali ke zaman itu…… Shahrizal seorang yang cukup berbesar hati tatkala dilantik sebagai salah seorang pengawas, sentiasa berpakaian kemas, rapat dengan guru.

Ketika Cikgu Siti Khadijah Othman membawakan seorang motivator  untuk memberi semangat kepada calon-calon PMR dan SPM, Shahrizal mendapat malang dan tuah sekaligus. Dalam satu slot, sang motivator itu menggunakan keris, kalau tidak silap, untuk satu demonstrasi. Shahrizal diundang sebagai watak pembantu. Entah di mana silapnya, benda tajam itu menggores sedikit perut Sharizal. Gelabah juga sang motivator dan pembantunya melihat Shahrizal menahan kesakitan. Pihak penganjur – terutama Cikgu KD – lagilah. Sang motivator menggunakan kebolehannya  untuk ‘merawat’. Pada hujung sesi, sang motivator  menghulurkan dari poketnya tiga puluh ringgit serta meminta maaf kepada Shahrizal…..

Pada hujung petangnya, saya bertanya kepada Cikgu KD, berapakah bayaran untuk motivator yang dikenalinya sering mengendalikan sesi motivasi untuk sebuah syarikat jualan terus milik bumiputera – SMC – di Simpang Kuala. Jawapan dari Cikgu KD membuatkan saya tersentak. Cikgu KD bercakap benar tatkala menghulurkan sampul berisi wang kepada motivator tadi. “Ini sumbangan kami dan ini yang kami mampu…” Demikian katanya. Sesuailah dengan mukadimah awal pagi , agaknya, apabila sang motivator berkata yang penting baginya adalah memberi khidmat kepada anak bangsa…. Ertinya wang bukanlah keutamaannya. Maka legalah saya membayangkan dia membuka sampul, mendapati –setelah ditolak duit yang diberikan kepada Shahrizal – perolehan bersih untuk dibagi kepada dua poket adalah sebanyak dua puluh ringgit….

Ada gegaran di poket seluar saya. Saya kembali ke alam nyata.

Telefon saya keluarkan. Di skrinnya muncul nama Shon - yang saya masukkan ke dalam direktori bagi diri yang bernama Ahmad Faisal abdul Hamid. Sempat saya memberitahu teman semeja, “Cikgu Shon! Dia balik Mekah pun kami tak pi ziarah lagi…Cikgu Non kata kita pi masa orang tak ramai dah….” lalu menekan butang hijau dan melontar salam.

“Hang dok mana?” tanya Cikgu Shon.

“Batas Paip….” balas saya dan memberitahu sedang berbual dengan budak  AlFalah. Cikgu Shon memang rapat dengan Saifol dan Azura, isteri Saifol kini, semasa mengajar di AlFalah. Malah pernah juga Saifol dan rakan-rakan makan nasi di rumah Cikgu Shon ketika sering berkelah di Kg Perigi, Yan dahulu.

“Cuba hang dengaq suara ‘ni. Kenai dak?” Saya memberikan telefon kepada Saifol. Ketika saya ulangi bahawa Cikgu Shon baru balik dari Mekah, terus sahabat kita itu menyapa, “Apa khabar, bang Aji…..”.

Saya biarkan mereka berbual. Budak Batas Paip masih keliru, sebab dia sudah meninggalkan AlFalah ketika Cikgu Shon bertukar dari sekolah di Keplu [sekolah diasaskan oleh keluarga Dato’ Badaruddin Hj Ahmad, Mufti Kedah kini], untuk menyertai ayahandanya almarhum Ustaz Abdul Hamid Hj Ismail, berkhidmat di AlFalah. Saya jernihkan dengan menggambarkan sosok bangun Cikgu Shon yang datang bersama isteri semasa perjumpaan hari raya di SK Taman Bersatu dahulu. Beberapa saat saja budak Batas Paip sudah mengangguk.

Entah apa yang Cikgu Shon dan Saifol bualkan. Hanya di hujungnya saya mendengar Saifol berkata, “…tanya dia la…” dua tiga kali sebelum menyerahkan telefon kepada saya.

“Hang kenai sogha dia no?” saya melahirkan kekaguman.

Cikgu Shon tertawa. “Awat pulak tak kenai…”, katanya.

“Pakai baju merah pulak!”terdengar suara perempuan, agak jauh, dalam telefon itu. Suara isterinya.

Hah?

Saya menoleh ke luar kedai. Nampak Cikgu Shon di dalam kereta, di sebalik cermin tingkap yang diturunkan sedikit. Hantu sungguh! Spontan kata hati saya. Saya menggamitnya serentak memberitahu rakan semeja. Cikgu Shon menggerakkan keretanya. Saya menjangkakan dia akan memarkir keretanya di mana-mana. Lama kemudian baru saya tahu dia sudah ke jalan raya dan menghala ke Kuala Kedah. Agaknya dia sekeluarga ke rumah mertua.

Jam sudah 1750. Saya hubungi Cikgu Shon. Dia berkata sekejap lagi akan berpatah balik.Dia bertanya apa yang sedap di kedai Abbas itu. Sedap itu subjektif maka saya jawab secara subjektiflah. Dia menyuruh kami menunggu.

Budak Batas Paip dua beranak, Saifol dan saya belum bersolat Asar. Sejam lebih saja lagi Maghrib akan menjengah. Maka kami putuskan untuk meninggalkan tempat itu. Budak Batas Paip menyuruh pengawalnya membayar minuman kami dan mempelawa saya kerumahnya. Saya terpaksa, buat sekian kali, menolak. Ada banyak lagi ‘lain kali’, Insya Allah….

Setelah semua pergi, jam 1758, saya teringat untuk memaklumkan kepada Cikgu Shon. Saya hantar pesanan ringkas: Kami balik dulu. Asar dak lgi ni. Lalu saya membiarkan motor bergerak membelah kabus selepas hujan….

Seratus lima puluh meter dari Kompleks Perniagaan Nakhoda itu, Cikgu Shon menelefon saya. Dia memberitahu sudah berada di kawasan kompleks dan nampak saya meninggalkan kedai tadi. Entah kenapa, saya tidak pun menoleh sebaliknya  memberi alasan kami tadi: belum solat Asar. Dia akur.

Walaupun ingin bertemu dengan sahabat kami, Haji yang baru itu, dan Hajahnya juga, saya terpaksa urungkan dahulu keinginan tersebut. Simpang Empat dengan Batas Paip masih dalam kawasan parlimen yang sama – Kuala Kedah. Beberapa marhalah sahaja..…..

Untuk singgah sekejap bersolat, misalnya di surau berdekatan Batas Paip atau di Surau Haji Hussain, Selarong Batak – dinamakan sempena nama pengasasnya almarhum Hj Hussain Abdul Rahman, bekas tuan guru di AlFalah, yang pernah tinggal di sebelah surau tersebut – juga tidak akan mampu menyelesaikan masalah.

Masalah?

Masalahnya ialah, kami – selalunya saya dan Cikgu Non – kalau berjumpa Cikgu Shon memerlukan sekurang-kurangnya seratus minit sebelum berjumpa titik penamat perbualan. Jika setakat lima belas minit, muqaddimah pun belum tentu lepas…..Sebab itulah kami selalu berjumpa pada waktu malam di kedai-kedai yang beroperasi hingga dinihari…..

Saya tahu Tuan Haji kita itu faham.

Akan datang detik itu……

3 comments:

wiraosman said...

BBP

Zulhilmi Bin Shokhawi said...

Assalamualaikum..........tersentuh bila baca catatan dalam blog ini.Mengimbau kenangan lama.walaupun sy bukan pelajar di situ.......saya Zulhilmi Bin Shokhawi.....rasanya bedasarkan nama ini saudara boleh mengagak siapa saya......masih ada lg insan yg mengingati allahyarham bapa saya...

Unknown said...

Pak din dan salleh..ialah sepupu dengan emak saya..yg kedua2nya saya kena panggil pak su~ Dom