Saya baru melangkah ke ruang tamu seorang sahabat di Taman Seri Kota, Jalan Kuala Kedah, tatkala telefon berbunyi.
Pukul 9.15 malam.
Menjangkakan hanya perbualan biasa, sambil berdiri dan membelek skrin telefon, dengan satu nombor pemanggil yang tidak berdaftar dengan telefon saya, punat menjawab ditekan.
Tidak disangka - disaksikan anak dan isteri sahabat tadi - saya berdiri hampir setengah jam menguruskan sebuah perbualan!
Kaifa haluka?
Tanya si pemanggil, sebaik bertukar-tukar salam. Saya terpempan. Boleh menjawab tetapi bagaimana jika ayat berikutnya juga di dalam bahasa sapaan itu?
Kaifa haluka?
Tanya si pemanggil lagi. Isy, Arab sesat mana pula malam-malam begini? Fikir saya.
Saya terus diam. Nak jawab atau tidak...
"Nak clue sikit ka?" pemanggil itu bertanya sambil tertawa. Slanganya kalau bukan dari Pantai Timur pastilah Selatan Thailand.
"Elok juga..." balas saya yang seperti bosan sedikit. Tadi menyapa dalam bahasa Arab, ini mahu adakan clue pula...
Siapa dia ni dan apa mahunya?
Saya menunggu pembayang yang mahu diberikan.
Sebelum bersuara lagi dia jadikan tawa sebagai muqaddimah...
Laaaa... belum apa-apa...
"Ingat dak cerita sekam ..." dia ketawa sebelum menyambung, " ...dengan papan sekeping..."
Hantu betul!
Saya pula tertawa. Dia ikut juga. Hampir setengah minit. Tidak ada kata-kata.
Hantu betul!
...dan dalam tawa ada keharuan....
Zubaidi Ariffin.
Ustaz di AlFalah dahulu. Menjadi pegawai polis kemudiannya. Samatuanya budak Falah juga, Rubiah Baharom. Adik Rubiah, Kamarulzaman dan adik Zubaidi [Najib dan Shadah] adalah juga BF.
Dua dekad lebih kurang tidak saya temui ustaz itu. Entah apa mimpinya atau dari mana dicapainya nombor telefon saya.
Dia seusia Ustaz Fairose, muda setahun daripada saya, dua tahun daripada Cikgu Rahim dan lima tahun daripada umur kemerdekaan negara.
Bekas pelajar Maktab Mahmud dan Kolej Islam Kelang [dulu] itu adalah sahabat susah senang suka duka tatkala AlFalah di peringkat penjenamaan semula pada tahun 1983 dahulu.
Berkongsi saat gembira, bersama menghadapi detik pedih. Menjadi akrab walau sesekali ada berselisih...
Tapi dia tidak lama di AlFalah. Sekitar tiga tahun, kalau tidak salah hitungan. Dia menyertai pasukan keselamatan.
Tidak lama tapi amat bermakna kehadirannya. Demikian di mana-mana jua -kesan yang ditinggalkan oleh peneroka...
Kami terus berbual dengan saya terus berdiri - diperhatikan oleh sahabat [serta anak isterinya] yang saya kunjungi, yang kehairanan....
Saya sebetulnya terpelanting ke masa silam...
Terbayang cerita sekam dan papan...
Terbayang betapa kami pernah berselisih faham...
Terkenang saat kami berkongsi waktu dengan Cikgu Rahim dan Ustaz Fairose, dengan pelajar, dengan penghuni asrama AlFalah lebih tiga dekad lepas...
Terkenang saat kami bertiga mengiringinya ke acara akad nikah di Kg Rambong, Baling dua puluh tujuh tahun lalu...
Siang tadi dia bersama samatuanya singgah di AlFalah. Dari situlah diperoleh nombor telefon saya dan Ustaz Fairose. Sengaja dia tidak mahu Hj Sehabudin, abang Ustaz Fairose , menghubungi saya bagi memaklumkan kedatangannya.
Mahu bikin surprise, katanya. Demikian juga dengan Ustaz Fairose. Nanti akan disurprisekan sahabat yang berada di selatan Kedah itu...
"Clue yang sama - sekam dan papan - akan digunakan..."kata Zubaidi sambil tertawa.
Keluarganya menetap hanya beberapa kilometer daripada AlFalah dan rumah emak ayah saya. Di Alor Pulai. Tetapi kerana tiada izin-Nya, tidak pernah kami bertemu. Sesekali dia pulang ke kampung kelahirannya itu, tidak pula saya tahu waktunya. Kenduri di rumah abangnya, hujung tahun lalu juga tidak berkesempatan kami bertemu.
Demikian yang tertulis.
Seingat saya, kali terakhir kami bertemu - dan berbual lama - adalah pada tahun pernikahannya! Sehari sebelum kenduri di sebelah pihaknya.
Pernah dia dan samatua - beberapa kali, sebenarnya - datang ke AlFalah, tetapi pada waktu yang sama, saya berada entah di mana-mana bahagian negeri ini... Dijengahnya pada musim raya, saya pula sedang beraya sakan di tempat lain....Ketika saya pula menjengah AlFalah, hanya khabar tentang kehadirannya yang saya perolehi.
Ada sekali peristiwa, sewaktu bertugas di sempadan Kelantan - Thailand, dalam satu ops pasukannya, saya melihat wajahnya di tv...
Itulah gamaknya membuat saya tidak selesa sedikit berbual dengannya. Selain slanga pantai timur yang masih ada, dia membahasakan dirinya SAYA....Macam ada jurang... Tapi kami terus berbual dengan saya terus berdiri di depan sahabat yang ternganga...
Selepas di AlFalah, dia singgah pula di rumah Cikgu Rahim, setelah tahu bahawa sahabat kami itu dicuba dengan kemerosotan kesihatan. Cikgu Rahim dalam fasa mahu pulang dari pusat perubatan setelah tiga empat hari berada di situ, mengikut makluman dari kakaknya. Tidaklah Zubaidi dan Rubiah menunggu kerana ada banyak tempat lagi mahu disinggahi. Mereka sebetulnya keluar rumah semenjak awal pagi menuju ke Perlis.
Semasa menelefon itu, mereka sekeluarga sudah hampir dengan kediaman. Singgah sebentar di kedai makan. Saya segera membayangkan kehairanan tuan kedai dan pelanggan lain [kalau ada] melihat sahabat saya itu berbual kuat dengan sesekali meluahkan tawa...
Bekas ustaz AlFalah itu telah lebih setahun bersara dari pasukan polis. Ini saya tahu juga dari adiknya, Najib, dalam pertemuan di Pulau Gezambo beberapa bulan lalu.
Kini menetap daerah Baling. Tidak jauh dari rumah mertuanya, gamaknya. Saya menggamak sahaja sebab masih tidak tahu jaraknya. Masih di daerah yang sama, tentulah dekat... Lainlah kalau mertua di Baling manakala dia di Kubang Pasu...
Kini dia bertani. Badan juga tidak berisi seperti dahulu, katanya, hasil dari bersenam di dalam kebun...
Saya teringat sesuatu.
Dia tidak berisi. Cikgu Rahim, seperti yang saya lihat minggu lalu, jauh dari figura yang dibayangkan oleh bekas muridnya. Kini hanya sekitar 60-70 kg.
Mereka yang tiga dekad lalu umpama dua guni sekam....
Saya memboyot, Ustaz Fairose membulat....
Kami yang tiga dekad lalu diumpamakan dua keping papan...
Bekas pegawai polis itu tertawa senang apabila saya ceritakan secara ringkas keadaan fizikal dua keping papan dahulu itu.
Demikianlah.
Setengah jam berbual sambil berdiri.
Banyak yang sempat dicungkil dan ditambah ke minda. Kebanyakannya, tidaklah saya mampu muatkan di sini.
Satu yang utama ialah tentang anak sulungnya sudah berusia 26 tahun.
26 tahun...
Masih terbayang saat akad nikah perkahwinan Zubaidi -Rubiah. Acara berlangsung di rumah jiran atau saudara Pakcik Baharom, di belakang rumah kenduri. Dipisahkan oleh sebatang sungai kecil. Selepas akad, kami berarak ke rumah kenduri. Bersama meratah juadah untuk pengantin...
Kini mereka pula akan menerima menantu.
19 Mac nanti adalah majlis kenduri di rumah mereka.
Mengedarkan kad jemputan ke majlis itulah membuatkan mereka seharian di jalan...
Berbahagialah hendaknya sahabatku, Zubaidi dan muridku,Rubiah.
Berbahagialah juga anak menantu mereka.
![]() |
Rubiah [berdiri, tiga dari kiri] |
Dengan janji akan saling berhubung, kami tutup perbualan itu.
Saya titipkan salam untuk Rubiah Bagaimana gamaknya rupa terkini BF yang kini berusia 43 tahun itu..
19 Mac nanti, kalau tertulis boleh berjumpa, tahulah saya....
1 comment:
ما شاء االه...
Post a Comment