Pertengahan tahun 1991.
Kelas Tingkatan Lima terletak di bangunan melintang –
dewan muhadhoroh. Paling hujung berhampiran pagar sekolah dan jalan mini menuju
ke kampung – Kg Perlis dan Kg Permatang Ibus.
Saya masuk ke kelas itu sebaik habis waktu rehat.
PERBAHASAN.
Demikian saya tulis besar-besar di atas papan hijau
yang membelakangkan dinding kelas yang hanya tiga depa dari pagar sekolah.
WAAAAAAA….
Hampir serentak pelajar kelas itu meluahkan rasa
terkejut. Ini saya fahami. Dua minggu lepas, karangan berbentuk PERBAHASAN yang
mereka tulis, saya ‘belasah’ dan bahaskan cukup-cukup.
Mana tidaknya. Saya berikan satu soalan berkait dengan
perbahasan. Semua mereka memberikan hasil karangan yang cukup di segi bilangan
patah kata, malah lebih dari yang dikehendaki. Isinya pula tidak kurang
daripada tiga. Berapi-api nadanya. Tapi saya hanya bagi markah kasihan - 5%. Markah
tulis, kata saya. Sebabnya semua menulis berdasarkan tajuk perbahasan,
sedangkan di hujung soalan itu – pada perenggan lain – ada tertulis, lebih
kurang, sebagai pihak pembangkang, anda
dikehendaki…..bla..bla.. Maksudnya, isi yang mereka berikan adalah seolah
mereka di pihak pencadang….
“Perbahasan lagi!...”rungut seorang pelajar lelaki di
meja paling depan bersebelahan tingkap yang dua tiga keping kacanya telah
tiada, di sebelah mentari naik, paling dekat dengan kantin yang Bang Man
kendalikan.
Saya memandang pelajar itu. Maaf saya lupa namanya
ketika mencatat ini. Dia seperti serba-salah. Tidak menyangka rungutannya
hinggap di telinga saya.
Mata saya mengitari seluruh kelas, melihat kesemua
wajah. Semua diam. Tapi kalau jarum galah jatuh pun tetap tidak boleh
didengari. Kelas sebelah – bangunan itu menempatkan tiga kelas mudah alih [supaya
dapat dibuka, dijadikan dewan] – sedang berpesta sakan kerana gurunya belum
masuk. Gamaknyalah, berdasarkan bentuk keriuhan yang sempat dirakam…
Saya menoleh semula ke papan hijau. Dengan pemadam,
saya buang huruf N dan di antara huruf R dan B saya selitkan huruf I. Eleh,
huruf I…Luas mana sangat mahu disempilnya…
“Cikgu ‘ni laaaa…”kata seorang pelajar perempuan yang
di meja paling depan di kiri kelas. Kemudiannya, barulah satu kelas bersuara ,
mungkin kepada diri masing-masing. Kampuhan suara itu menghasilkan gelombang
besar lalu singgah ke telinga saya. Saya menoleh mengitari seluruh kelas.
Nampak sangat tema PERBAHASAN bukanlah bentuk karangan yang mereka suka…
Saya pun mulakan …..
Bla…bla…bla…
“Esok hantaq…”kata saya menutup kes…
Saya tetap ingat episod hari itu. Segar-bugar. Kerana
ada sedikit kelainan yang cukup bersejarah.
Di antara waktu mengajar itu, saya memadam tulisan
kekal sejak awal tahun pada penjuru kiri atas papan hijau. Biasanya di penjuru
kanan atas, ditulis tarikh – yang berubah pada setiap hari. Di penjuru kiri
atas tertulis TKN 5. Saya padam dan gantikan dengan LIMA’91.
Belum pun sempat pelajar bertanya saya sudah maklumkan
bahawa di akhbar pada hari itu telah ada pengenalan logo rasmi LIMA’91. Langkawi
International Maritime Aerospace…..
Ya, LIMA ’91 akan berlangsung pada hujung tahun kelak
di Langkawi.
“Kamu bertuah…Ingat, kamu tingkatan lima sama dengan
tahun acara sulung di Langkawi tu….”kata saya. Sebahagian mereka ternganga –
antara teruja atau baru tahu.
“Tahun depan takdak…tahun ’93 baru ada pulak…selang
setahun…tahun ganjil…cadangnya…Dr Mahathir habaq kemaghin…”sambung saya lagi.
“Mudahla kamu ingat kelas kamu ni nanti bila tua
esok-esok… Lima ’91…”sambung saya lagi.
Terlupa mahu menunjukkan mereka logo yang termuat di
dalam akhbar hari itu. Tetapi saya nampak dua pelajar lelaki paling depan siap
menulis besar-besar LIMA’91 pada kulit buku karangan mereka….
Ah, kenangan.
Sayang saya terlupa sebahagian kumpulan pelajar LIMA’91.
Kalau terbayang spontan sekarang mungkin Nurrezini Md Nayan dari Teluk Bulang.
Kelas mereka terletak di bawah surau, menghadap mentari
jatuh, menghadap kolah besar tempat budak asrama [lelaki] mencuci pakaian dan
mencuci badan…
LIMA ’95 di AlFalah banyak yang saya ingat. Sementelah itulah
tahunnya saya kehilangan Permata Pertama…. Kelasnya bersebelahan pejabat
sekolah, di bangunan depan menghadap jalan dan pintu masuk sekolah. Di antara
pelajarnya: Mariam Ismail, Nor Asyiqin Hassan, Sabariah Muhammadan, Hamzah
Yahya, Fahrulruzi Mohd Jusoh….
LIMA ’97 dan LIMA’99 di AlFalah, saya tidak ingat
langsung secara tepat siapa pelajarnya. Mungkin kalau disemak semula tahun kemasukan
pelajar di antara tahun 1992 dan 1994 dapatlah dikesan. Maaf, terlalu ramai
untuk saya ingat secara spontan dan selintas sambil menulis ini. Mungkin
termasuk sama Najwa Ahmad & co…atau Aziz Saad, Zamri Sharif & D’Gang…atau
Aswad LorongMayat & D’ Kliks….ataukah Zainol Abidin Zain dan kumpulannya…Maaf,
kena rujuk arkib…
Namun dua kelas itu berada di bangunan baru dua tingkat
yang turut menempatkan perpustakaan sekolah. Satu di tingkat atas bersebelahan
perpustakaan manakala satu lagi di tingkat bawah di bawah perpustakaan.
Sekejap masa berlalu. Ini ayat klise.
Tapi benar, sekejap amat.
Masih ternampak kelas LIMA ’91…Hari saya perkenalkan
nama LIMA’91 di kelas mereka. Sudah 24 tahun berlalu…
Masih terbayang kelas LIMA ’93. Tak percaya? Saya masih
ingat satu hari wakil mereka bertanya kepada saya di dalam kelas: Betuika cikgu
cerita tentang kelas kami kat budak Tingkatan Empat? Ketika itu ada satu kes pembelajaran.
Wakil itu dan/atau rakannya mungkin mendengar sesuatu daripada junior mereka yang tahun
berikutnya merupakan LIMA’94 [maaf tiada LIMA’94 di Langkawi….] Saya kagumi
keberaniannya bertanya sambil duduk santai di kerusi.Saya nafikan. Saya nafikan
sebab saya tidak ceritakan kepada pelajar Tingakatan Empat, sebaliknya hanya
kepada pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga….Seorang dua dari tingkatan bawah
itulah gamaknya yang sampaikan kepada pelajar Tingkatan Empat…. Telah berlalu
22 tahun…
Masih jelas lagi kedudukan kelas LIMA ’95. Tak percaya juga? Terserahlah.
Tahun itu ramai yang menangis dengan sebab dan punca yang tidak serupa. Saya
ikut menangis… Dua puluh tahun telah berlalu…
Demikianlah.
Dalam mengenang LIMA di AlFalah, hati disapa rasa hiba.
Bermula dengan puluhan pemamer, kini di Langkawi ada ratusan pemamer. Bermula dengan ratusan pelajar, AlFalah kini tinggal nama...
LIMA’03 di Langkawi, tiada LIMA ’03 di AlFalah…Begitulah
seterusnya. LIMA ’15 di Langkawi, pun tiada LIMA ’15 di AlFalah.
Mungkinkah kelak LIMA’ 21 ada di Langkawi dan di
AlFalah?
1 comment:
1995...tahun tukar status bujang4 kpd bujang3...
Post a Comment