18 March 2015

Lima Kali LIMA


Pertengahan tahun 1991.

Kelas Tingkatan Lima terletak di bangunan melintang – dewan muhadhoroh. Paling hujung berhampiran pagar sekolah dan jalan mini menuju ke kampung – Kg Perlis dan Kg Permatang Ibus.

Saya masuk ke kelas itu sebaik habis waktu rehat.

PERBAHASAN.

Demikian saya tulis besar-besar di atas papan hijau yang membelakangkan dinding kelas yang hanya tiga depa dari pagar sekolah.

WAAAAAAA….

Hampir serentak pelajar kelas itu meluahkan rasa terkejut. Ini saya fahami. Dua minggu lepas, karangan berbentuk PERBAHASAN yang mereka tulis, saya ‘belasah’ dan bahaskan cukup-cukup.

Mana tidaknya. Saya berikan satu soalan berkait dengan perbahasan. Semua mereka memberikan hasil karangan yang cukup di segi bilangan patah kata, malah lebih dari yang dikehendaki. Isinya pula tidak kurang daripada tiga. Berapi-api nadanya. Tapi saya hanya bagi markah kasihan - 5%. Markah tulis, kata saya. Sebabnya semua menulis berdasarkan tajuk perbahasan, sedangkan di hujung soalan itu – pada perenggan lain – ada tertulis, lebih kurang, sebagai pihak pembangkang, anda dikehendaki…..bla..bla.. Maksudnya, isi yang mereka berikan adalah seolah mereka di pihak pencadang….

“Perbahasan lagi!...”rungut seorang pelajar lelaki di meja paling depan bersebelahan tingkap yang dua tiga keping kacanya telah tiada, di sebelah mentari naik, paling dekat dengan kantin yang Bang Man kendalikan.

Saya memandang pelajar itu. Maaf saya lupa namanya ketika mencatat ini. Dia seperti serba-salah. Tidak menyangka rungutannya hinggap di telinga saya.

Mata saya mengitari seluruh kelas, melihat kesemua wajah. Semua diam. Tapi kalau jarum galah jatuh pun tetap tidak boleh didengari. Kelas sebelah – bangunan itu menempatkan tiga kelas mudah alih [supaya dapat dibuka, dijadikan dewan] – sedang berpesta sakan kerana gurunya belum masuk. Gamaknyalah, berdasarkan bentuk keriuhan yang sempat dirakam…

Saya menoleh semula ke papan hijau. Dengan pemadam, saya buang huruf N dan di antara huruf R dan B saya selitkan huruf I. Eleh, huruf I…Luas mana sangat mahu disempilnya…

“Cikgu ‘ni laaaa…”kata seorang pelajar perempuan yang di meja paling depan di kiri kelas. Kemudiannya, barulah satu kelas bersuara , mungkin kepada diri masing-masing. Kampuhan suara itu menghasilkan gelombang besar lalu singgah ke telinga saya. Saya menoleh mengitari seluruh kelas. Nampak sangat tema PERBAHASAN bukanlah bentuk karangan yang mereka suka…

Saya pun mulakan …..

Bla…bla…bla…

“Esok hantaq…”kata saya menutup kes…

Saya tetap ingat episod hari itu. Segar-bugar. Kerana ada sedikit kelainan yang cukup bersejarah.

Di antara waktu mengajar itu, saya memadam tulisan kekal sejak awal tahun pada penjuru kiri atas papan hijau. Biasanya di penjuru kanan atas, ditulis tarikh – yang berubah pada setiap hari. Di penjuru kiri atas tertulis TKN 5. Saya padam dan gantikan dengan LIMA’91.

Belum pun sempat pelajar bertanya saya sudah maklumkan bahawa di akhbar pada hari itu telah ada pengenalan logo rasmi LIMA’91. Langkawi International Maritime Aerospace…..

Ya, LIMA ’91 akan berlangsung pada hujung tahun kelak di Langkawi.
“Kamu bertuah…Ingat, kamu tingkatan lima sama dengan tahun acara sulung di Langkawi tu….”kata saya. Sebahagian mereka ternganga – antara teruja atau baru tahu.

“Tahun depan takdak…tahun ’93 baru ada pulak…selang setahun…tahun ganjil…cadangnya…Dr Mahathir habaq kemaghin…”sambung saya lagi.

“Mudahla kamu ingat kelas kamu ni nanti bila tua esok-esok… Lima ’91…”sambung saya lagi.

Terlupa mahu menunjukkan mereka logo yang termuat di dalam akhbar hari itu. Tetapi saya nampak dua pelajar lelaki paling depan siap menulis besar-besar LIMA’91 pada kulit buku karangan mereka….

Ah, kenangan.

Sayang saya terlupa sebahagian kumpulan pelajar LIMA’91. Kalau terbayang spontan sekarang mungkin Nurrezini Md Nayan dari Teluk Bulang.

Image result for lima '91 langkawiLIMA ’93 di AlFalah kebanyakannya saya ingat. Burhanuddin Talib, Rosmawati Jamil [kedua-duanya telah meninggal dunia . Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh mereka. Aamiin], Helwi Shahril Ariffin, Rohana Jalil…
Kelas mereka terletak di bawah surau, menghadap mentari jatuh, menghadap kolah besar tempat budak asrama [lelaki] mencuci pakaian dan mencuci badan…

LIMA ’95 di AlFalah banyak yang saya ingat. Sementelah itulah tahunnya saya kehilangan Permata Pertama…. Kelasnya bersebelahan pejabat sekolah, di bangunan depan menghadap jalan dan pintu masuk sekolah. Di antara pelajarnya: Mariam Ismail, Nor Asyiqin Hassan, Sabariah Muhammadan, Hamzah Yahya, Fahrulruzi Mohd Jusoh….

LIMA ’97 dan LIMA’99 di AlFalah, saya tidak ingat langsung secara tepat siapa pelajarnya. Mungkin kalau disemak semula tahun kemasukan pelajar di antara tahun 1992 dan 1994 dapatlah dikesan. Maaf, terlalu ramai untuk saya ingat secara spontan dan selintas sambil menulis ini. Mungkin termasuk sama Najwa Ahmad & co…atau Aziz Saad, Zamri Sharif & D’Gang…atau Aswad LorongMayat & D’ Kliks….ataukah Zainol Abidin Zain dan kumpulannya…Maaf, kena rujuk arkib…

Namun dua kelas itu berada di bangunan baru dua tingkat yang turut menempatkan perpustakaan sekolah. Satu di tingkat atas bersebelahan perpustakaan manakala satu lagi di tingkat bawah di bawah perpustakaan.

Sekejap masa berlalu. Ini ayat klise.

Tapi benar, sekejap amat.

Masih ternampak kelas LIMA ’91…Hari saya perkenalkan nama LIMA’91 di kelas mereka. Sudah 24 tahun berlalu…

Masih terbayang kelas LIMA ’93. Tak percaya? Saya masih ingat satu hari wakil mereka bertanya kepada saya di dalam kelas: Betuika cikgu cerita tentang kelas kami kat budak Tingkatan Empat? Ketika itu ada satu kes pembelajaran. Wakil itu dan/atau rakannya mungkin mendengar sesuatu daripada junior mereka yang tahun berikutnya merupakan LIMA’94 [maaf tiada LIMA’94 di Langkawi….] Saya kagumi keberaniannya bertanya sambil duduk santai di kerusi.Saya nafikan. Saya nafikan sebab saya tidak ceritakan kepada pelajar Tingakatan Empat, sebaliknya hanya kepada pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga….Seorang dua dari tingkatan bawah itulah gamaknya yang sampaikan kepada pelajar Tingkatan Empat…. Telah berlalu 22 tahun…

Masih jelas lagi  kedudukan kelas LIMA ’95. Tak percaya juga? Terserahlah. Tahun itu ramai yang menangis dengan sebab dan punca yang tidak serupa. Saya ikut menangis… Dua puluh tahun telah berlalu…

Demikianlah.

Image result for lima 2015Tahun ini, bermula 17 Mac, LIMA’15 pula berlangsung. Sejak beberapa edisi lalu acara tumpuan  ini dilangsungkan pada awal tahun. Edisi yang keberapa? Anda carilah.

Dalam mengenang LIMA di AlFalah, hati disapa rasa hiba.

Bermula dengan puluhan pemamer, kini di Langkawi ada ratusan pemamer. Bermula dengan ratusan pelajar, AlFalah kini tinggal nama...

LIMA’03 di Langkawi, tiada LIMA ’03 di AlFalah…Begitulah seterusnya. LIMA ’15 di Langkawi, pun tiada LIMA ’15 di AlFalah.


Mungkinkah kelak LIMA’ 21 ada di Langkawi dan di AlFalah?

1 comment:

RUSLI BIN HASSAN said...

1995...tahun tukar status bujang4 kpd bujang3...