30 September 2013

Cikgu [dan Ustaz], Selamat Pagi.......



Sajak Usman Awang di bawah telah lama ditulis. Dideklamasikan saban tahun terutamanya sepanjang sambutan Hari Guru. Dipetik sepenuh atau sebahagiannya di dalam ucapan, entri blog atau di laman fb.

Maka kali ini saya salin selengkapnya untuk entri blog ini. Untuk kita simpan dan renung karya arwah Sasterawan Negara yang lembut di dalam berkias dan menegur.

“GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
 

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Selain sajak ini, saya tertarik tafsiran Pak Usman tentang bangsa Melayu di dalam sajak Melayu. Anda cari dan rujuklah di mana-mana laman……

Dalam genre drama dan novel, saya meminati karyanya yang bertajuk Tulang-tulang Berserakan dan Tamu Dari Bukit Kenny.

Untuk sajak Guru oh Guru , di atas,  saya tertarik pada dua tempat:

1] Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
    Semakin bererti tugasnya kepada negara.

2]  Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku


Bersendiri, berlapang dada, tanpa gangguan dan desakan ala siasah, renungkanlah dua bahagian itu dahulu…. selain menghayati seluruhnya, jika berkesempatan….. maklumlah, masa anda cukup berharga…. 

27 September 2013

Mereka Yang Sudi

Terima kasih dari kami sekeluarga


Pengantin
14 September lalu, di rumah tinggalan emak-ayah, keluarga saya mengadakan sedikit kenduri arwah sempena berlangsungnya perkahwinan adik lelaki bongsu.

Buat pertama kali nama saya dicetak di kad undangan kerana kami anak yatim piatu dan saya pula,  dalam sembilan beradik, ditakdirkan paling awal meninggalkan rahim ibu ....

Selain orang kampung, kaum kerabat, keluarga besan emak-ayah dan rakan-rakan kami masing-masing, saya menjemput bekas warga AlFalah. Jemputan di buat di dalam grup Alumni AlFalah di laman fb, melalui beberapa mesej ringkas di telefon serta sedikit dari huluran kad. [Ahli grup fb hanya 120 orang, 75 % ada di luar Kedah. Yang ada di Kedah pun 10% daripadanya saja yang dijangkakan sudi hadir....beranilah saya buat jemputan terbuka ke teratak kami. Cuba kalau ahli 10000 dan 25% saja yang duduk di luar Kedah....]

Ramai juga yang sudi hadir rupanya. Terima kasih sesangatlah. Kalau terjumpa perkataan lain yang lebih baik dari TERIMA KASIH, akan saya ucapkan nanti...

Bermula dengan kehadiran seorang Budak Falah pada malam menjelang hari kenduri - dengan apologi kerana dia tidak dapat muncul pada hari siang esoknya - berakhir dengan kedatangan Budak Batas Paip bersama tuasamanya dan anak-anak.

Di antara masa kedatangan mereka itu, termasuklah Sofiahmad Din yang muncul dengan samatuanya dan anak-anak pada pukul 9.58 pagi. Memang tepat catatan masa ini kerana saya menjeling jam di dalam kereta ketika melihatnya berjalan ke depan khemah sedang saya baru sampai dari Simpang Empat atas satu hal mustahak....

Dia bercadang untuk datang pada petang, tetapi Allah tidak mengaturnya begitu. Anaknya yang sedang belajar di Maktab Mahmud pulang ke rumah pada petang Khamis, perlu sampai ke sekolah semula sebelum jam 8 pagi Sabtu. Maka awallah dia berada di sekitar Alor Setar. Takkanlah dia perlu menunggu sehingga petang pula baru hendak bertandang ke majlis saya, sedangkan masih ada dua kenduri yang perlu dihadiri di sekitar kediamannya di Parlimen Baling....

Maka dia sekeluarga tidak dapatlah merasa masakan kami. Hanya sirap sahaja yang dihidang. Walaupun boleh diwarnakan biru, hijau atau kuning, merah juga yang dipilih oleh pembuat keputusan ketika membeli warna. Air sejuk dengan pewarna itulah yang Sofi teguk bersama anak sedang samatuanya hanya berdiri memerhati... Namun  Sofi bertuah. Hanya dia di kalangan tetamu dari warga Falah yang sempat berjumpa dengan Ustaz Man yang sedang berbual dan bersarapan di depan rumah Tokwan saya. Kerana selepas memimpin majlis tahlil dan bacaan doa selamat kemudiannya, kelibat ustaz asal Pattani itu terus lenyap. Eksklusif juga Ustaz Man ini. Bukan senang untuk ditemui....

Selepas itulah munculnya sekumpulan budak Falah sekitar 130 orang, yang tidak saya tahu nama walau seorang pun - lelaki perempuan.  Penuh khemah buat seketika.... Saya cukup seronok. Mereka makan tanpa mengomen apa-apa. Semasa mahu pulang, budak Falah yang lelaki - 63 orang  semuanya - bersalam dengan saya sambil menjinjing beg kecil sebagai cenderaperut. Budak Falah yang perempuan pula bersalam dengan adik-adik atau emak saudara saya.....

Selepas grup itu pulang, barulah muncul budak-budak Falah yang saya kenal nama mereka. Tetapi mereka tidak datang secara berkumpulan seperti yang awal tadi. Berselang seli dengan kumpulan tetamu yang lain. Berselang seli pula dengan Cikgu Haji Mohd Faisol, Cikgu Non, Ustaz Hj Ahmad Fairose, Ustaz Zahari serta Cikgu Abd Aziz Saidin [dari Ayer Hitam yang pernah beberapa kali muncul di AlFalah dahulu mengendalikan bengkel pelajaran Matematik].

Dekat atau jauh budak Falah yang datang tetap sama penghargaan yang saya berikan. [Jika nama yang saya catat dan ingat  tidak anda kenali, apalah daya saya...Jika tidak tercatat kerana tidak diingat atau terlupa nama, apatah pula daya saya....]

Ira Man, Nisah Teh dan Umi Mohamad datang serentak, tentunya memang dijadualkan begitu. Sempat berselisih bahu dengan Cikgu kesayangan mereka, Hj Faisal dan sempat pula diperkenalkan kepada isteri kedua saya. Yang lain, seperti Suharnie Hj Saad, Zuraini Ali, Mariam Hj Hashim, Salmiah Hassan,  Nazliah Hashim dan Rosnah Ismail, umpamanya hanya mengangguk apabila terpandang saya yang berdiri di luar khemah sedang mereka menyuap nasi di bawah khemah. Agaknya segan atau gerun melihat janggut saya..... Beberapa orang yang sejantina dengan mereka tidak pula saya sempat melihatnya melainkan tahu kehadiran mereka berdasarkan titipan salam yang ditinggalkan kepada samatua saya atau adik saya.

Dari kalangan lelaki, saya ingat Ibrahim Kadir, Rahim Ismail, Hj Nawawi [tauke bengkel besi di Kota sarang Semut]. Sobri Bukit Selambau, Ustaz Husin Lateh, Jefri Ismail, Sobri Ismail, Senapi Saad, Rosli Mansor, Nazri Shuib, Paksu Yeh [Ilyas Hj Awang] dan Md Rautin - kedua-duanya dari Gajah Mati,

Beberapa lagi memang sejak di Alfalah dahulu saya hanya memanggil nama bapa atau nama manja mereka: Pak Manaf, Pijan, Halim, Pak Said dan Jamil..

Siapa lagi, ya?

Inilah padahnyanya kerana lambat mencatat untuk dimuatkan ke sini....

Zamri Dahaman [yang sering saya panggil Dahaman, pernah saya ceritakan di dalam satu entri] datang setelah menyemak mesej yang saya hantar hanya semalamnya.... Kalau sudah rezeki kami!

Sazaziz Saad yang masih solo itu datang bersama Saiful Adly Hassan yang cuba meniru sahabat baiknya itu, mahu hadir berseorangan juga ... Merekalah di antara yang bergambar di depan AlFalah bagi menggali kenangan. Kemudian berdua pula ke rumah sahabat lain, kata mereka - saya rasa mungkin menziarahi Nasir Hassan di hujung kampung yang tidak muncul di majlis saya.....

Rosli Basari pelajar AlFalah era 80-an yang pernah pula berjiran dengan saya datang bersama dengan isterinya, Alina, budak Falah yang merupakan kakak kepada seorang lagi budak Falah, Bafuri Abd Razak.

Zulkifli Shamsuddin datang bersama buah hatinya sejak di AlFalah dahulu, Mariam Ismail serta anak mereka.... Sempat dia bertemu dengan Ustaz Fairose dan Ustaz Zahari selain berbual panjang dengan rakannya, Ustaz Husin Lateh.

Siapa lagi......

Maaf, saya benar-benar tidak dapat mengingat beberapa yang lain ketika mencatat ini. Maklumlah saya tidak menulis di mana-mana sebelum menghadap komputer, hanya berdasarkan memori keluaran tahun 1961..... Insya Allah akan saya edit jika teringat atau diperingatkan....

Babuji! Macam mana boleh terlupa Tok Imam itu? Yusri Haron datang bersama isterinya yang kebetulan semukim dengan samatua saya. Maka lamalah juga mereka berbual sesudah mengisi usus.

Abby Zack! Bagaimana boleh saya tidak teringat kepada tauke belacan yang memberikan saya lima ketul besar belacan - 'buat kenduri', katanya - ketika saya menghantar kad undangan ke rumahnya dahulu? Abu Bakar Zainol datang bersama isteri serta anak-anak - termasuk si kecil yang saya anggap sebagai replika ayahnya sewaktu kanak-kanak!

Ustaz Mazlan Mansor juga datang bersama isteri, dengan mengenakan pakaian yang sedondon warnanya.

Mohd Hizamy Hj Azizan, adik Ustaz Fairose muncul di majlis bersama abang sulungnya, Hj Sehabudin pada pertengahan hari.

Norlizah Saad dan abangnya Saidin datang bersama samatua masing-masing pada petangnya serta pelajar senior AlFalah. Siapa lagi kalau bukan ayah mereka Pak Saad yang sebaik sampai berpeluk sakan dengan rakan sekelasnya pada tahun 60-an dahulu - Hj Mansor Hj Zakaria, Paklang saya. Pertemuan semula selepas lebih empat dekad!

Paling akhir tetamu dari kalangan yang ada bau dengan AlFalah adalah Budak Batas Paip. Sebelum datang dirisiknya dahulu dengan menelefon saya sama ada masih tersisa lauk.... Agaknya dia mencari kelainan. Jika itu hajatnya, kira tercapailah, kerana hanya dia yang menelefon begitu....  Lewat petang hadirnya tetapi panjang juga perbualannya bersama adik saya merangkap rakan sekelasnya pada tahun 1991-93, Fahrulruzi. 

Saya menumpang semeja dengannya sekeluarga untuk pertama kali menelan nasi pada hari itu. Keseronokan menyambut deretan tetamu ataukah ketiadaan masa sesuai menyebabkan saya tidak makan nasi sejak kumpulan ramai budak Falah datang sebaik Ustaz Man selesai membaca doa sebelum jam 11.30 tadi? Entah, mungkin kedua-duanya.

Bagi yang tidak tahu, 130 budak Falah yang datang pada awal majlis berkenaan adalah pelajar pusat tahfiz paling terkenal di seluruh negara - Pusat Tahfiz Amal - yang menghuni tapak yang dahulunya adalah AlFalah kita. Kira budak Falah jugalah, kan? ....... Hehehehe...

Sebelum emosi beberapa orang budak lama Alfalah naik, biarlah saya tamatkan entri ini dengan sekali lagi menaipkan: TERIMA KASIH kepada yang sudi hadir ke teratak warisan kami untuk majlis yang tidak sepertinya itu. Semoga anda sudi lagi jika ada lain kalinya.......

23 September 2013

Adegan Yang Tidak Sanggup Anda Lihat [ Apa Lagi Alami]!



Amaran: Bukan semua orang digalakkan membaca catatan ini. Bagi sesetengah orang, catatan ini hanya sesuai dibaca sekiranya sudah selesai makan. Penulis tidak mahu dipersalahkan jika kandungan catatan ini akan lama merasuk emosi anda.

Aduka bin Taruna [bukan nama sebenar] merupakan pelajar  baru bagi AlFalah. Baru di sini bermaksud bukan pelajar asal, bermula dari tingkatan Peralihan ataupun Tingkatan Satu, seperti kebanyakan rakan sekelasnya yang lain.

Aduka seorang yang cukup peramah dan mudah mesra dengan rakan serta guru. Dalam masa yang singkat dia berjaya mendapatkan ramai kenalan yang senang pula bergaul dengannya.

Namun, bagaikan tidak lengkap lingkaran hayat seorang pelajar AlFalah jika tidak menghadapi sesuatu onak. Akan ada sahaja insan atau objek yang berperanan sebagai antagonis.

Sekurang-kurangnya satu watak hitam muncul di dalam kisah Aduka di AlFalah.

Komeng bin Gading [bukan nama sebenar] amat suka mengusik Aduka. Entah apa yang tidak kena di matanya tentang Aduka tidak siapa pun yang tahu. Ada-ada sahaja yang diperlakukan Komeng bagi menyakat serta menyakitkan hati Aduka. Kadangkala Komeng melakukan onarnya secara berjemaah, dengan mengajak dua tiga rakan sebagai makmumnya.

Sebagai orang baru, [ sehingga lama kemudian pun masih dikatakan orang baru, dek hanya bukan pelajar asal AlFalah], Aduka tetap bertahan dan bersabar. Sekurang-kurangnya itulah yang dilihat secara zahir oleh rakan-rakan sekelas, sebas atau sesekolah. Di dalam hatinya? Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu….

Bukan tidak ada yang bersimpati kepada Aduka. Bagi mereka, Aduka yang sentiasa berpeluh badannya itu telah dilayan secara tidak elok oleh Komeng.

Jika tiada guru di dalam kelas, Aduka biasanya bersendirian melakukan hobi utama – tidur. Dalam mengemaskan tuala kecil yang melingkari tengkok dan lehernya  [Aduka memang terkenal dengan imej begitu – bertuala kecil yang aslinya putih tetapi sedikit kekuningan setelah berada lama dilehernya], dia amat cepat meresap ke alam mimpi. Sesekali dia akan mengilirkan tuala itu ke leher,  dengan mata tetap terpejam! Kebisingan rakan sekelas tidak pernah mengganggu Aduka dalam meneruskan hobi  tersebut. Malah lazimnya hingga ternganga-nganga…..

Ketika begitulah biasanya kesempatan  telah diambil oleh Komeng, yang kadangkala disertai oleh konco-konconya, Little Bit, Kerambit dan Ketumbit [semuanya bukan nama sebenar].

Modus operandi  Komeng adalah cukup mudah tetapi sadis. Dimulakannya dengan acara menanggalkan setokinnya. [ Info tambahan untuk dibayangkan: Setokin tersebut, seperti yang dimiliki oleh pelajar lain di seluruh negara,  aslinya putih bersih. Namun kerana peredaran waktu serta penggunaannya yang acap, ditambah pula hanya kadang-kadang dicuci, warna dan baunya tentulah amat  jauh jurangnya jika mahu dibandingkan dengan yang segar dari kilang atau kedai…]

Diletakkannyalah atau lebih sedap lagi kalimatnya: disumbatkanlah setokin  tersebut ke mulut Aduka yang sedang terbuka di dalam lena itu…  Apa reaksi anda jika berada di posisi Aduka tatkala terjaga dengan di mulut – serta semestinya di lidah – ada rasa yang tidak pernah anda ingini? Jika anda menjawabnya di dalam hati pun, sudah memadai buat saya. Namun. rasanya tidak akan ada seorang pun yang mungkin berkata dia akan melirik senyum sambil bangun bersalam dengan Komeng , juga menyertakan ucapan terima kasih……

Aduka terpaksa menelan kejadian itu. Kepada siapa dia harus mengadu?  Apakah bukti yang boleh ditunjukkan jika diminta? Masakan mahu digonggong setokin tersebut lalu dibawa ke bilik pengetua atau guru disiplin?

Kebungkaman Aduka rupanya makin menggembirakan Komeng serta rakan subahatnya. Mereka tahu Aduka tidak boleh berbuat apa-apa. Malah Little Bit, Kerambit dan Ketumbit yang tidak tahu apa puncanya imam mereka, Komeng, begitu sekali sanggup menyusahkan Aduka, akan segera mengisyaratkan kepada Komeng agar dilakukan hal yang sama ke atas Aduka sebaik terlihat insan malang itu mula melangkah ke alam mimpi, pada kesempatan lain.

Mereka seronok. Mereka ketawa secara berjemaah, dengan imam membunyikan tawa itu  secara jahar yang super. Bukan hanya tatkala melihat Aduka terkial-kial meludah setelah lidahnya merasa setokin atau hidungnya menghidu aroma yang datang bersama, malah apabila terserempak dengan Aduka di kantin, atau di perhentian bas, ketika waktu pulang. Baik pada hari yang sama atau pada minggu lain.

Aduka tidak berbuat apa-apa juga. Komeng makin seronok. Dadanya makin membusung. Perlakuan itu diteruskan juga. Komeng sendiri sampai terlupa kenapa dia berbuat begitu kepada Aduka mula dulu. Yang nyata dia menjadi semakin ketagih untuk melihat Aduka terludah-ludah sambil memakinya secara amat perlahan manakala dia boleh pula tertawa terbahak-bahak bersama pengikut setianya.

Dalam asyik terkena begitulah, Aduka sedapat mungkin cuba membuang hobi tersebut – terutama di dalam kelas itu. Meski payah, akhirnya dia berjaya melawan kantuk ketika kelas ketiadaan guru. Natijahnya, lama kelamaan, tiada langsung peluang bagi Komeng serta rakan sekoleh untuk mengenakan Aduka.

Sebagai alternatifnya, Komeng akan mengimbau semua gelagat serta gaya  Aduka ketika terkena dahulu. Rakan subahat akan ikut tertawa yang kekuatan volumenya disengajakan tinggi. Tujuan mereka tidak lain dari cuba menyakitkan hati Aduka. Namun bagi Aduka, apalah sangat rasa sakit hati jika mahu dibandingkan dengan rasa asli setokin masam! Maka dibiarkanlah mereka tertawa semahu-mahu. Dia tidak peduli…..

Ketiadaan peluang menyakat dan menyakitkan hati itu membuatkan Komeng alpa……..

Suatu hari, ketika ketiadaan guru, Komeng – entah di mana silapnya – boleh pula terlena. Sebiji gayanya dengan bentuk lena Aduka. Mata terpejam mulut terbuka.

Kelas ketika itu riuh seperti biasa. Rakan setia pun ketika itu sedang bercanda dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Tiada sesiapa di dalam kelas yang melihat kelekaan Komeng dibuai mimpi. Kecuali seorang. Ya, Cuma seorang yang dengan penuh minat memerhati mulut Komeng yang ternganga….

Kelas tetap riuh. Guru yang sepatutnya mengajar di kelas itu entah di mana.

Tiba-tiba seluruh kelas terdiam. Terpempan dan terkejut.

Semuanya melihat pergerakan Komeng yang amat pantas berlari keluar kelas. Di kaki lima kelas, mereka nampak Komeng tertunduk dan termuntah. Little Bit, Kerambit dan Ketumbit meluru ke arah rakan karib mereka itu untuk bertanya duduk perkara. Mereka melihat Komeng masih termuntah. Di atas lantai kakilima, apa yang dimakan sewaktu rehat tadi yang belum begitu dihadamkan sepenuhnya bertompok-tompok di sana sini. Muntah hijau, kata orang tua-tua.

Mata Komeng berair meneran keluar semua yang ada di dalam perutnya. Tidak pernah dia merasa keadaan sebegitu sepanjang 16-17 tahun usianya!

Di dalam kelas, semua pelajar tertanya-tanya, kehairanan.  Kecuali seorang yang sedang tersenyum….

Aduka mengurut lehernya. Nampak gayanya besok dia terpaksa menggunakan tuala kecil yang baru bagi melilit leher dan tengkuknya seperti selalu. Bukan dia mahu bergaya. Tetapi itulah caranya menyeka peluh yang sentiasa membasahi baju putihnya.

Dia menjeling ke lantai di bawah meja Komeng. Tuala yang telah seminggu tidak berbasuh yang digunakan untuk melilit tengkuk bajunya itu telah terlalu tua. Lagi pula tuala itu telah sedikit tercemar. Ada bekas bibir dan lidah basah Komeng bersalut dengan sedikit muntahan…..



Demikian kisah benar di AlFalah, seperti yang diceritakan oleh seorang ustaz bekas pelajar AlFalah kepada sepupunya, juga budak Falah tatkala saya tinggalkan mereka setelah bertandang di rumah sang sepupu itu. Saya nukilkan secara bebas bagi anda sendiri mencari iktibar yang tersirat . Tidak pasti sama ada Aduka dan Komeng sudah berbaik sejak kejadian itu……

22 September 2013

Daun-daun, Terima Kasihlah!

Sejak 11 September, setelah memuatkan entri Assalamu'alaikum, Budak Falah, yang mengandungi klip untuk lagu nyanyian arwah Ustaz Asri itu, saya tidak lagi memasukkan sebarang catatan ke dalam blog ini.

Sembilan (9) hari tidak bersiaran. Malah perjalanan statistik blog in pun tidak saya peduli.

Hanya pada 20 September barulah saya naikkan dua entri - DIA: Terasa Ramai Bila Bersama dan Gelombang Sekali Lagi - jua mengandungi klip buatan sendiri. Yang pertama mengandungi 44 nama ahli grup fb Alumni SMA AlFalah, manakala yang kedua sengaja dimuatkan lagi foto sekitar AlFalah dulu dan kini - kembar kepada entri dan klip yang memuatkan lagu sama, Gelombang,  mula muncul di skrin pada 21 Ogos.

Bagai dijangka, entri yang mengandungi klip lagu Isteri Solehah, mendapat perhatian lebih sedikit berbanding entri lagi satu. Dijangka, sebab saya serukan nama 44 orang ahli grup fb yang terdapat di dalam klip tersebut, maka sebahagiannya telah membuka blog ini di mana sebahagian yang membuka pula telah memberitahu samatua atau anak-anak mereka akan kemunculan klip itu.....hehehehe.

Namun, saya tertarik pada satu hal apabila dengan sedikit tumpuan, memerhatikan statistik pada blog ini.

Sepanjang tanpa bahan baru, berdasarkan sumber sahih dari blogger.com, didapati blog Budak Falah ini tetap dibaca orang. Lihatlah ruang Utama Seminggu di sebelah bawah kanan blog ini.

Ada sepuluh entri yang sering dibaca sepanjang minggu. Entri Memori Kacang Tanduk berada di dalam senarai teratas. Terdapat juga entri-entri lama iaitu Pek Nga dan Roti Kesot, Dato' Haji Ismail Hashim Di AlFalah dan Paprik Dari Pattani.

Ini cukup memberikan semangat kepada saya. Bukti bahawa masih ada pembaca - mungkin budak Falah - yang masih sudi menyelongkar kandungan blog ini meski dalam beberapa minggu ini semakin sedikit yang sempat saya muatkan. Boleh jadi mereka baru terjumpa blog ini atau sekadar ingin mengimbau masa yang telah lama ditinggalkan atau me4ninggalkan....

Apa pun, terima kasih tidak terhingga kepada yang sudi membaca. Perangkaan yang blogger.com sediakan cukup untuk memberikan tonik bagi saya terus mencungkil dan mencatat biar sekelumit tentang AlFalah....

Ada klip untuk santapan anda, malangnya terdapat pula masalah ketika mahu memuatkannya. Nantilah.....

Terima kasih daun keladi,
Seboleh-boleh dibuat baik lagi.

Terima kasih daun gelenggang,
Tidak sia-sia masa disenggang.

Terima kasih daun semalu,
Kalau boleh kunjungilah selalu.

Terima kasih daun kelapa,
Ajak famili pun tidak mengapa.

Terima kasih daun ketumbar,
Dari sini mungkin terjumpa khabar.

Terima kasih daun mengkuang,
Baca saja, bukan diminta wang....

Terima kasih daun ......




20 September 2013

Gelombang Sekali Lagi


Pada 14 September lalu. Sabtu, sempena kenduri kahwin adik saya di Kg Permatang Ibus, di belakang tapak AlFalah yang dolu dolu dolu, ramai juga budak Falah yang sudi bertandang. Jumlah yang datang itu sama banyak dengan jumlah yang pulang..... hehehehe. Nantilah jika ada kesempatan saya catat khusus tentang itu.

Ira merakam Nisah Teh dan Umi
di depan kelas
Sazaziz di depan kelas
Sazaziz di laman AlFalah
Saya tertarik kepada beberapa orang yang khabarnya sempat singgah dan bergambar di AlFalah yang telah bertukar kepada Pusat Tahfiz Amal itu. Ada beberapa keping foto dimuatkan di laman fb. Saya muatkan pula di sini sekadar penyendal kepada rindu ...... [Kredit foto untuk Sazaziz Saad, Saiful Adly Hassan dan Ira Man]

Salah seorang bekas budak Falah dari Parlimen Sungai Petani bagaikan tidak dapat menahan sebaknya ketika saya tanyakan di mana dia parkirkan keretanya. "Depan pintu kelas yang cikgu baling saya dengan pemadam......" jawabnya perlahan. Dia tersedu di bawah pokok petai belalang berhampiran sawah di sebelah khemah tetamu. Matanya berkaca, cepat saja dicapai cermin mata hitam di dalam poket bajunya, lalu dikenakan ke muka.... Saya menepuk bahunya. Menenangkannya serta jiwa sendiri.....


Itu bukan kali pertama saya hadapi budak Falah yang agak beremosi apabila perbualan menyentuh bab bekas sekolah itu. Betapapun tegap dan teguh badan, namun jika ada sekelumit nostalgia di AlFalah sedang hati pula mudah tersentuh, saya pernah melihat orang menangis di depan anak bininya dan anak bini saya.....

Dia tunjukkan foto dari telefon, yang diambil ketika berjalan ke rumah keluarga saya pada hari itu. Hiba katanya melihat tempat berkubang dulu, sekarang sedang dikuasai orang.... Kehibaan itu bertambah apabila melintasai pagar yang dulunya, di sebelah itu adalah asrama lelaki.... Jangankan bumbung atau tiang, tembok batanya pun sudah tidak tidak begitu kelihatan... Dia mengelik ke arah itu, sekadar untuk ditunjukkan kepada anak isteri dan sebagai simpanan arkib peribadi.

Berkali-kali pula dia menyebut "sayang" apabila diberitahu salah seorang legenda AlFalah, Md Rautin Md Desa, dari Gajah Mati, baru saja meninggalkan majlis. Sudah hampir dua dekad mereka tidak bertemu, semenjak dia meninggalkan AlkFalah pada tahun 1994. Saya hanya memberikan nombor telefon Md Rautin untuk dibuat susulan sepatutnya....

Demikianlah secoret yang dapat saya catat setakat ini. Sebagai himpunan kata bagi mengiringi klip di atas.

Marilah kita terus bernostalgia dan berdoa agar AlFalah yang dolu dolu dolu dapat dikembalikan suasananya kepada generasi anak-cucu kita......

DIA: Terasa Ramai Bila Bersama



Ruang fb grup Alumni AlFalah sepi sejak hampir seminggu lalu. Entah apa yang membuatkan budak Falah begitu sibuk sehingga tiada sebarang huluran kata. Kalaupun ada mungkin dari Budak Batas Paip yang sememangnya sering memantau aliran di gerbang grup.

Saya pula baru kebah daripada satu demam yang amat lama - menguruskan kenduri di rumah tinggalan emak ayah. Mahu memuatkan cerita kenduri di blog ini, sedikit sangat kaitannya dengan AlFalah. Kalaupun ada ilham untuk itu, mungkin pada waktu lain, kerana saya juga sedang menyediakan liputan acara tersebut untuk blog lain - blog keluarga, yang tentunya lebih berkait dengan kenduri tersebut......

Sedang mencari-cari bahan untuk entri terbaru, saya teringat klip-klip yang terperosok di dalam simpanan. Yang sepatutnya disiarkan pada perjumpaan raya di Taman Bersatu dahulu.{Mungkin Hamzah Casablanca sahaja yang menontonnya kerana dia ada menyimpan himpunan klip berkenaan...}Tetapi terfikir pula, adakah lagi relevan bagi dimuatkan lagu raya pada bulan Zulkaedah? Ah, pedulilah, dikeranakan oleh beberapa kerana:

a] klip-klip itu saya buat sendiri, jadi ikut suka sayalah mahu dimuatkan atau tidak

b] perlu apa dihiraukan pada kerelevanan, sedangkan ada satu lagu kahwin berbunyi: kompang dipalu, pengantin malu.... padahal sebelum acara kenduri itu, tanpa malu-malu mereka - termasuk yang masih dalam fasa berkenalan atau dalam fasa bertunang, telah ke hulu ke hilir bersama-sama....

c] blog ini pun saya yang kendalikan, jadi ikut suka sayalah mahu diisi dengan apa bahannya......

Hehehehehe untuk a], b] dan c] di atas......

Maka saya pilih klip dengan lagu Isteri Solehah untuk tatapan semua.

Selamat tersengih bagi yang foto mereka termuat di dalam klip itu, disertakan dengan apologi kerana tidak memohon izin. [Dalam sekitar lima minit itu, tidak perasan saya telah muatkan lebih 40 nama.....]

Bagi yang bergelar isteri, tanyalah diri dan sang suami, termasukkah anda sebagai solehah.

Bagi yang bergelar suami, hayatilah lirik lagu ini - kalau ada yang berniat untuk menambah, tanyalah dulu: kurang apakah pada yang sedang dimiliki? Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula tercicir.....

Bagi yang belum berstatus suami atau isteri, letihlah mahu diseru: dapatkanlah status itu!

Isteri Solehah

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran
Di rumah dia isteri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran
Di rumah dia istri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran
Di rumah dia isteri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat sibuta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran
Di rumah dia istri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

Dia umpama tongkat sibuta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan
(istri cerdik yang sholehah)

Dia umpama tongkat sibuta
Bila tiada satu kehilangan
(istri cerdik yang sholehah)
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran
Di rumah dia isteri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran
Di rumah dia istri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

11 September 2013

Assalamu'alaikum, Budak Falah!


Tumpang rajin dan berkesempatan, saya muatkanlah klip di atas ini.

Kalau lebih rajin dan lebih pula berkesempatan, akan saya olah ayat-ayat di dalam entri ini.

Jika tidak, tidak mengapalah. Kata sesetengah ahli foto, sekeping gambar mempunyai beratus patah kata penghuraian, maka klip di atas telah menghimpunkan beratus ribu kata .......

Selamat menonton. Bagi yang ingin tersengih apabila ada foto yang bermakna kepada diri, apa daya saya untuk menahannya......

10 September 2013

Kau Yang Bernama aSri.......

Md Rautin Md Desa, yang begitu dekat dengan sebahagian besar budak Falah pada penghujung dekad 80-an sehingga pertengahan dekad 90-an, lebih dikenali sebagai Ali di kampungnya, Kg Gajah Mati, Pendang. Begitu juga dengan seniornya, Basri Zakaria, dari kampung yang sama: dia lebih dikenali sebagai Pak Mid

(Saiful Adly bin Hassan  - dari Batas Paip -  dikenali sebagai Pak Ali di kalangan teman sekelasnya tetapi itu tidaklah menghairankan kerana ambilan hujung namanya, sebagaimana Thakiyuddin Abdullah - dari Alor Ibus - popular sebagai Pak Din, atau Zawawi bin Hj Ali - dari Kangkong - dikenali sebagai Awi @ Awie......)

Di Kampung Permatang Ibus, Kangkong, ayah kepada Mohd Amin dan Mohd Nizam Ramli [kedua-duanya budak Falah, masing-masing memasuki Peralihan pada tahun 1983 dan 1990] lebih dikenali dengan nama Md Nor serta, bagi yang lebih rapat, dipanggil Wak. Md Amin sendiri, di kalangan teman sekampung, sehingga sekarang dikenali sebagai Zaidi

*******

10 Ogos 2013. Malam.

Saya bersama Ahmad Nazri Hashim sedang dalam perjalanan untuk bertemu Hamzah Casablanca bagi menyerahkan benda alah yang akan digunakan untuk menayang klip ketika berlangsungnya jamuan raya Alumni AlFalah, sehari dua lagi. Destinasi kami: Restoran D Samila, Jalan Kola. Cikgu Non bakal menyusul kami setelah urusan keluarganya selesai. Kami bertolak dari Simpang Empat. Melalui jalan ke Alor Setar tentulah lebih dekat. Tetapi Nazri memilih jalan jauh - melalui jalan ke Kangkong sebelum membelok ke Jalan Batas Paip.

"Kita ambik Pak Lid sat......" katanya mencuba memadamkan kehairanan saya. Tapi tidak pun terpadam....

Pak Lid?

Nazri terkekeh dengan gaya yang memang tersendiri.

"Zairi..... kami panggil Pak Lid...... Sebenarnya ayah dia yang dipanggil Paklid, tapi kami hentam panggil anak dia pun mcm tu juga....."

Demikian lebih kurang penjelasan Nazri tentang teman sekampungnya Zairi Md Ariff

Pak Ariff jadi Pak Lid.... Saya menerawang sendiri. 


********

Di AlFalah dahulu, ramai pelajarnya saya kenali degan memanggil nama bapa masing-masing. Misalnya, Pak Usin bagi Zamri bin Hashim [Pak Usin adalah panggilan lain untuk arwah Paklong Hashim bin Noh, bendahari ALP AlFalah - dari Telok Bagan],  Khamis untuk Zamri Khamis, Mukhyi anak lelaki Din untuk Zulkifli bin Muhyi@Din, dan Baat untuk Shahbani bin Baat.


********

Demikianlah.

Maka tercari-carilah saya siapa Asri bin Don, budak Falah, ketika membaca pos daripada Hesba Tgb berikut ini, pada 20 Julai lalu :

MAKLUMAN
AL-FATIHAH..AYAH SAHABAT KITA US ASRI BIN DON TELAH MENINGGAL PAGI TADI DI KG TEBENGAU. Moga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin, syuhadak di sana..amin
Like ·  · Unfollow Post · July 20 at 12:17am

Entah di mana silapnya urat minda diri, saya tidak terfikir untuk menghubungi Hesba Tgb bagi mendapatkan sebarang pencerahan.......

Seingat saya, hanya ada satu Don yang menjadi waris pelajar AlFalah sepanjang saya berada di sekolah agama rakyat itu. Itulah ayah Suwita bin Don, pelajar Peralihan tahun 1983. Tiada pula saya tahu dia mempunyai adik lelaki bernama Asri, pernah belajar di AlFalah, berdasarkan ayat AYAH SAHABAT KITA sebagai yang ditulis oleh Hesba Tgb......

Siapa Asri?

Dua hari saya tertanya sendiri.

Hinggalah datang satu saat, saya teringat: arwah ayah  pernah menyatakan bahawa ada rakannya dari Tebengau ada belajar di AlFalah pada tahun 60-an dahulu, dipanggil Don atau Dun tapi nama sebenarnya Abdul Hamid....... Tapi anak kepada Don itu - kalau betul - yang pernah belajar di AlFalah adalah Jamaliah dan adiknya Husain bermula pada tahun 1983 juga - sama dengan Suwita...... Tiada yang bernama Asri......

Saya juga teringat, pada perjumpaan raya tahun 1433, Hesba Tgb ada menyatakan dia berjiran dengan Hussain tetapi tidak mengetahui bahawa ustaz yang berkhidmat dengan KAGAT itu pernah belajar di AlFalah. Demikian pula, Hussain - tidak mengetahui bahawa Hesba Tgb merupakan pelajar AlFalah pada era lain......


Memang hendak dijadikan cerita, saya berbual dengan seorang warga Tebengau yang cukup ramah pada petang itu tatkala membelek-belek longgokan ikan kembung di tepi jalan berhampiran jalan masuk ke kampung Hussain dan Hesba Tgb.


Saya bertanyakan siapa yang meninggal di sekitar situ dalam dua hari lepas.


"Don, ayah Ustaz Asri......" katanya.


"Ustaz Asri mana?" tanya saya.


"Ustaz Asri itu nama betulnya.....setengah orang kampung panggil Hussain......"


Pulak!


"Ayah dia nama Hamid.... kami pangil Don...."


Ooooooooo.......


Saya tersenyum. Memandang wajah lelaki ramah itu.


Maka terjadilah dialog berikut:


"Kalau tuan nak tahu: nama sebenar ustaz itu Hussain bin Abdul Hamid. Ejaan Hussain tu saya tak pastilah, tapi namanya memang Hussain..." kata saya.


"Sejak dulu, orang kata nama betul dia Asri......" balas lelaki itu, seperti tidak mahu mengurangkan keramahannya.


"Tapi nama penuhnya bukan Asri bin Hamid!" balas saya.


"Mana encik tahu?" soal lelaki ramah dengan nada yang agak tinggi.


"Saya tahulah, sebab saya ada daftar namanya semasa dia masuk ke AlFalah tahun 1983 dulu!" Saya juga mula meninggikan suara.


"Encik ni siapa pulak?" tanya lelaki tersebut.


Saya menepuk dada. " Kalau tuan nak tahu, sayalah guru di AlFalah dari tahun 1983 hingga tahun 2000!"


Lelaki itu mencuit lengan saya. "....cik ni orang mana?" 


Saya terpempan. Rupanya yang bertulisan hijau di atas hanyalah ilusi.........

Ustaz Asri  bersama keluarga pada majlis kita pada 4 Syawal 1433
"Orang Permatang Ibus....." jawab saya perlahan sambil menyambut huluran tangannya, tanda meminta diri.

Demikianlah.


Kerana kalimah AYAH SAHABAT KITA US ASRI BIN DON, maka tiadalah respon dari Sofiahmad Din dalam ruang komen khabar yang diposkan oleh Hesba Tgb tersebut, sedangkan ustaz yang bertugas di daerah Baling tersebut adalah rakan sekelas di AlFalah dengan Ustaz Hussain...... Sofiahmad Din tidak pun tahu siapa Ustaz Asri bin Don.....


Sofiahmad Din hanya mengetahui berita lara tersebut ketika kami berbual sebentar di depan dewan ketika jamuan raya pada 4 Syawal yang lalu.......

Fahamlah kami jika Ustaz itu tidak muncul pada petang itu.


**********************************