23 September 2013

Adegan Yang Tidak Sanggup Anda Lihat [ Apa Lagi Alami]!



Amaran: Bukan semua orang digalakkan membaca catatan ini. Bagi sesetengah orang, catatan ini hanya sesuai dibaca sekiranya sudah selesai makan. Penulis tidak mahu dipersalahkan jika kandungan catatan ini akan lama merasuk emosi anda.

Aduka bin Taruna [bukan nama sebenar] merupakan pelajar  baru bagi AlFalah. Baru di sini bermaksud bukan pelajar asal, bermula dari tingkatan Peralihan ataupun Tingkatan Satu, seperti kebanyakan rakan sekelasnya yang lain.

Aduka seorang yang cukup peramah dan mudah mesra dengan rakan serta guru. Dalam masa yang singkat dia berjaya mendapatkan ramai kenalan yang senang pula bergaul dengannya.

Namun, bagaikan tidak lengkap lingkaran hayat seorang pelajar AlFalah jika tidak menghadapi sesuatu onak. Akan ada sahaja insan atau objek yang berperanan sebagai antagonis.

Sekurang-kurangnya satu watak hitam muncul di dalam kisah Aduka di AlFalah.

Komeng bin Gading [bukan nama sebenar] amat suka mengusik Aduka. Entah apa yang tidak kena di matanya tentang Aduka tidak siapa pun yang tahu. Ada-ada sahaja yang diperlakukan Komeng bagi menyakat serta menyakitkan hati Aduka. Kadangkala Komeng melakukan onarnya secara berjemaah, dengan mengajak dua tiga rakan sebagai makmumnya.

Sebagai orang baru, [ sehingga lama kemudian pun masih dikatakan orang baru, dek hanya bukan pelajar asal AlFalah], Aduka tetap bertahan dan bersabar. Sekurang-kurangnya itulah yang dilihat secara zahir oleh rakan-rakan sekelas, sebas atau sesekolah. Di dalam hatinya? Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu….

Bukan tidak ada yang bersimpati kepada Aduka. Bagi mereka, Aduka yang sentiasa berpeluh badannya itu telah dilayan secara tidak elok oleh Komeng.

Jika tiada guru di dalam kelas, Aduka biasanya bersendirian melakukan hobi utama – tidur. Dalam mengemaskan tuala kecil yang melingkari tengkok dan lehernya  [Aduka memang terkenal dengan imej begitu – bertuala kecil yang aslinya putih tetapi sedikit kekuningan setelah berada lama dilehernya], dia amat cepat meresap ke alam mimpi. Sesekali dia akan mengilirkan tuala itu ke leher,  dengan mata tetap terpejam! Kebisingan rakan sekelas tidak pernah mengganggu Aduka dalam meneruskan hobi  tersebut. Malah lazimnya hingga ternganga-nganga…..

Ketika begitulah biasanya kesempatan  telah diambil oleh Komeng, yang kadangkala disertai oleh konco-konconya, Little Bit, Kerambit dan Ketumbit [semuanya bukan nama sebenar].

Modus operandi  Komeng adalah cukup mudah tetapi sadis. Dimulakannya dengan acara menanggalkan setokinnya. [ Info tambahan untuk dibayangkan: Setokin tersebut, seperti yang dimiliki oleh pelajar lain di seluruh negara,  aslinya putih bersih. Namun kerana peredaran waktu serta penggunaannya yang acap, ditambah pula hanya kadang-kadang dicuci, warna dan baunya tentulah amat  jauh jurangnya jika mahu dibandingkan dengan yang segar dari kilang atau kedai…]

Diletakkannyalah atau lebih sedap lagi kalimatnya: disumbatkanlah setokin  tersebut ke mulut Aduka yang sedang terbuka di dalam lena itu…  Apa reaksi anda jika berada di posisi Aduka tatkala terjaga dengan di mulut – serta semestinya di lidah – ada rasa yang tidak pernah anda ingini? Jika anda menjawabnya di dalam hati pun, sudah memadai buat saya. Namun. rasanya tidak akan ada seorang pun yang mungkin berkata dia akan melirik senyum sambil bangun bersalam dengan Komeng , juga menyertakan ucapan terima kasih……

Aduka terpaksa menelan kejadian itu. Kepada siapa dia harus mengadu?  Apakah bukti yang boleh ditunjukkan jika diminta? Masakan mahu digonggong setokin tersebut lalu dibawa ke bilik pengetua atau guru disiplin?

Kebungkaman Aduka rupanya makin menggembirakan Komeng serta rakan subahatnya. Mereka tahu Aduka tidak boleh berbuat apa-apa. Malah Little Bit, Kerambit dan Ketumbit yang tidak tahu apa puncanya imam mereka, Komeng, begitu sekali sanggup menyusahkan Aduka, akan segera mengisyaratkan kepada Komeng agar dilakukan hal yang sama ke atas Aduka sebaik terlihat insan malang itu mula melangkah ke alam mimpi, pada kesempatan lain.

Mereka seronok. Mereka ketawa secara berjemaah, dengan imam membunyikan tawa itu  secara jahar yang super. Bukan hanya tatkala melihat Aduka terkial-kial meludah setelah lidahnya merasa setokin atau hidungnya menghidu aroma yang datang bersama, malah apabila terserempak dengan Aduka di kantin, atau di perhentian bas, ketika waktu pulang. Baik pada hari yang sama atau pada minggu lain.

Aduka tidak berbuat apa-apa juga. Komeng makin seronok. Dadanya makin membusung. Perlakuan itu diteruskan juga. Komeng sendiri sampai terlupa kenapa dia berbuat begitu kepada Aduka mula dulu. Yang nyata dia menjadi semakin ketagih untuk melihat Aduka terludah-ludah sambil memakinya secara amat perlahan manakala dia boleh pula tertawa terbahak-bahak bersama pengikut setianya.

Dalam asyik terkena begitulah, Aduka sedapat mungkin cuba membuang hobi tersebut – terutama di dalam kelas itu. Meski payah, akhirnya dia berjaya melawan kantuk ketika kelas ketiadaan guru. Natijahnya, lama kelamaan, tiada langsung peluang bagi Komeng serta rakan sekoleh untuk mengenakan Aduka.

Sebagai alternatifnya, Komeng akan mengimbau semua gelagat serta gaya  Aduka ketika terkena dahulu. Rakan subahat akan ikut tertawa yang kekuatan volumenya disengajakan tinggi. Tujuan mereka tidak lain dari cuba menyakitkan hati Aduka. Namun bagi Aduka, apalah sangat rasa sakit hati jika mahu dibandingkan dengan rasa asli setokin masam! Maka dibiarkanlah mereka tertawa semahu-mahu. Dia tidak peduli…..

Ketiadaan peluang menyakat dan menyakitkan hati itu membuatkan Komeng alpa……..

Suatu hari, ketika ketiadaan guru, Komeng – entah di mana silapnya – boleh pula terlena. Sebiji gayanya dengan bentuk lena Aduka. Mata terpejam mulut terbuka.

Kelas ketika itu riuh seperti biasa. Rakan setia pun ketika itu sedang bercanda dengan rakan-rakan sekelas yang lain. Tiada sesiapa di dalam kelas yang melihat kelekaan Komeng dibuai mimpi. Kecuali seorang. Ya, Cuma seorang yang dengan penuh minat memerhati mulut Komeng yang ternganga….

Kelas tetap riuh. Guru yang sepatutnya mengajar di kelas itu entah di mana.

Tiba-tiba seluruh kelas terdiam. Terpempan dan terkejut.

Semuanya melihat pergerakan Komeng yang amat pantas berlari keluar kelas. Di kaki lima kelas, mereka nampak Komeng tertunduk dan termuntah. Little Bit, Kerambit dan Ketumbit meluru ke arah rakan karib mereka itu untuk bertanya duduk perkara. Mereka melihat Komeng masih termuntah. Di atas lantai kakilima, apa yang dimakan sewaktu rehat tadi yang belum begitu dihadamkan sepenuhnya bertompok-tompok di sana sini. Muntah hijau, kata orang tua-tua.

Mata Komeng berair meneran keluar semua yang ada di dalam perutnya. Tidak pernah dia merasa keadaan sebegitu sepanjang 16-17 tahun usianya!

Di dalam kelas, semua pelajar tertanya-tanya, kehairanan.  Kecuali seorang yang sedang tersenyum….

Aduka mengurut lehernya. Nampak gayanya besok dia terpaksa menggunakan tuala kecil yang baru bagi melilit leher dan tengkuknya seperti selalu. Bukan dia mahu bergaya. Tetapi itulah caranya menyeka peluh yang sentiasa membasahi baju putihnya.

Dia menjeling ke lantai di bawah meja Komeng. Tuala yang telah seminggu tidak berbasuh yang digunakan untuk melilit tengkuk bajunya itu telah terlalu tua. Lagi pula tuala itu telah sedikit tercemar. Ada bekas bibir dan lidah basah Komeng bersalut dengan sedikit muntahan…..



Demikian kisah benar di AlFalah, seperti yang diceritakan oleh seorang ustaz bekas pelajar AlFalah kepada sepupunya, juga budak Falah tatkala saya tinggalkan mereka setelah bertandang di rumah sang sepupu itu. Saya nukilkan secara bebas bagi anda sendiri mencari iktibar yang tersirat . Tidak pasti sama ada Aduka dan Komeng sudah berbaik sejak kejadian itu……

No comments: