30 October 2013

Antara Kacang Tanduk Dan Ais Kacang Salji



Buat pertama kalinya hari ini saya melihat Memori Kacang Tanduk hilang dari kedudukan 10 teratas entri yang paling banyak dibaca dalam tempoh seminggu. Entri itu pernah menduduki tangga teratas selama beberapa minggu dalam tempoh empat lima bulan terakhir ini.

Begitulah. Tidak disangka catatan yang tidak seberapa itu telah menarik perhatian bukan sahaja budak Falah, tetapi juga orang 'luar sana'. Mungkin mereka mencari 'Kacang Tanduk' di dalam enjin carian, lalu terjumpa entri tersebut - Terima kasih Encik Google!

Daripada maklumat, budak Falah yang baru tahu wujudnya blog ini  - terutama sejak hadir di perjumpaan raya lalu - merupakan antara pembaca yang sering mengelik entri lama termasuklah Memori Kacang Tanduk yang terpampang di bahagian kanan bawah muka blog. Rasa ingin tahu mereka tentang isi catatan membantu entri tersebut kekal lama di carta 10 teratas itu... Terima kasih daun.... ikut sukalah daun apa pun!

Mula masuk ke dalam carta itu hari ini adalah catatan lama tentang ais kacang - kebetulan sekali, kacang juga!

Ia bersebab,  yang rasanya saya tahu benar.

Restoran Dinalang - Alor Setar, MalaysiaKelmarin, saya mengunjungi kedai  - tepatnya Restoran Dinalang - di Simpang Empat itu. Saya memenuhi ajakan bapa saudara, Paktih. Kerap juga dia berbuat begitu - mengajak saya -  sebelum ini, jika rindu pada ais kacang itu sambil berbual-bual santai. [Paktih saya sudah terbiasa dengan ais itu semenjak zaman bersekolah dahulu di Pondok Hj Talib - sejak kedai itu diuruskan oleh arwah Pak Alang, diikuti oleh anaknya arwah Jamaluddin. Kiranya sudah tiga generasi pengendali kedai dengan rasa dan tekstur ais yang tidak berbeza...]

Sementara menunggunya, saya menghubungi insan yang pernah beberapa kali berjemaah dengan saya menikmati ais kacang yang kini dikenali dengan  ais kacang salji itu. Siapa lagi kalau bukan Budak Batas Paip [BBP]. Dia yang sedang berada di surau pejabatnya di sekitar kawasan DUN Kubang Rotan, hanya mampu menelan air liur....

Saya meminta sepiring ais yang pernah menjadi kegilaan budak asrama AlFalah itu. Hampir setiap meja mempunyai penghuni. Hampir semuanya pula meminta ais kacang beserta makanan pengiring - nasi ayam, bihun sup dan suku-sakatnya...


Saya memilih meja paling belakang, berhampiran kiosk nasi ayam. Rasa tersilap juga [ataukah beruntung - mengikut tafsiran masing-masing] kerana bersetentang dengan dua amoi yang bertelanjang, yang sedang menikmati ais kacang... Yang bertudung tapi berpakaian ketat ustaz kata seolah bertelanjang, apa lagi yang tidak bertudung dan tidak berpakaian lengkap menutup dada dan peha....

Tapi tidak lama mereka bertelanjang di depan saya. Sebaik Paktih sampai dan menggamit supaya duduk di meja depan restoran, dua amoi tadi sudah mahu meninggalkan meja mereka...

"Amoi aa, lain kali kalau mahu ke tempat awam macam 'ni, pakailah bagi sopan sikit, tau? " Sempat ditujukan frasa itu kepada mereka yang tersenyum ketika melintas di depan saya. "Tak payahlah tersipu-sipu bila orang perhati sepanjang masa!" sambung saya lagi di dalam hati - sama seperti frasa awal tadi...

Saya berpindah ke meja yang dipilih Paktih. Ais kacang salji yang saya minta sampai hampir serentak dengan ketibaan saya ke meja itu. Paktih memesan sama [walaupun awalnya membelek kepingan menu yang tertera foto beberapa perasa blended ice] serta semangkuk bihun sup 'spesial'.

Saya gaul ais dan semua benda alah di dalamnya - kacang sudah pastilah, kalau tidak bukan ais kacang namanya! Sambil berbual saya menyudu lalu menolaknya ke dalam mulut... Mengemam sedetik sambil mata dipejamkan. Rasanya? Lagi mau tanya ka? 

Sebentar kemudian pesanan Paktih sampai. Dia membiarkan ais kacang salji secara perlahan cair sendiri kerana memberikan perhatian kepada bihun sup 'spesial' itu. Secara begitu pun, rasa ais kacang tetap tidak berubah...

Bermacam-macam cara pernah saya lihat dan dengar tentang menikmati ais kacang resipi arwah Pak Alang ini. Paling saya ingat, seorang rakan meninggalkan kacang yang masin lemak dan melekat itu hingga hirupan ais cair yang terakhir. Saya yang menyangka dia tidak mahukan kacang itu terus menyudu dari piringnya dan dihantar ke mulut sendiri. Mengunyahnya penuh nikmat. Mata kawan itu terbeliak, tidak berkata apa-apa, melainkan sepatah: Dajey [Dajal]! Kerana itu, kami terpaksa memesan seorang sepiring lagi ais tersebut!

Saya dan Paktih terus berbual sambil menikmati ais kacang ... sambil lagi saya mengerling orang...

Hazwani Jamaluddin
Saya nampak dua tiga orang budak perempuan - entah dari IPTA mana - mengajak Hazwani [agaknya*], cucu arwah Pak Alang, anak Jamaluddin, yang menguruskan restoran itu [dengan beberapa penambahkbaikan premis] untuk bergambar bersama, berlatarbelakangkan kabinet tempat terletaknya mesin pengisar ais dengan susunan tin susu, jagung, kacang, serta air gula. Menoleh sekali lagi, saya nampak semua pekerja bahagian ais kacang pula bergambar sama. [agaknya*, sebab saya tidak kenal dua cucu Pak Alang yang menguruskan restoran tersebut - hanya mendasarkan pada paparan Utusan Malaysia, tidak tahulah yang mana yang bergambar itu].

Tengah hari itu, di dalam salah satu atau tiga laman sosial budak perempuan itu pasti ada foto-foto itu, selain foto ais kacang yang dirakam sejak awal... - bukti mereka sudah datang makan ais kacang salji. Mungkin siap dengan satu pertanyaan: kau ada? ..... hehehe

Itu sudah kira baik juga, sekurang-kurangnya memperkenalkan satu makanan kegemaran selain membantu perniagaan umat Islam. Tidaklah mengarut macam sahabat saya yang sering menghantar foto masakan tidak menjadinya untuk pengetahuan umum, termasuk Mark Zuckerberg...

Melihat merekalah saya teringat dua entri blog ini tentang ais kacang. Saya pula telah lama 'menyenangi' page Restoran Dinalang di fb. Saya diilhamkan sesuatu...

Selepas agak lama ais kacang itu berada di dalam perut, saya dan Paktih berpecah. Paktih mahu kembali ke pejabatnya manakala saya mahu menghala ke rumah.

Dalam melintas ke belakang untuk mencapai motor, saya terserempak dengan empat orang
di meja yang saya duduki awal tadi. Mereka berbaju-t warna biru. Di dada masing-masing tertulis Tumpat. Sahlah orang Kelantan itu sedang ikut beraya di sekitar DUN Sungai Limau... Sahlah juga ada sekeping dua foto akan naik lagi di laman sosial salah seorang mereka berdasarkan caranya menghalakan kamera telefon ke arah meja.

Dua dari mereka mengangguk ke arah saya sambil tersenyum. Saya ikut perilaku mereka - mengangguk dan tersenyum. Tidak sepatah bersuara. Ada sekurang-kurangnya dua sebab utama. Pertama, tidak mahu bertanya soalan bodoh: datang dari mana dan untuk apa... Kedua, walaupun hampir khatam belajar bahasa, dialek negeri yang mencuba untuk mengekalkan Piala Malaysia tahun ini amatlah saya lemah. Buatnya tersilap sebut.... Lainlah kalau orang seperti BBP yang memang mempunyai mertua orang Kelantan!

Saya balik.

Menghadap komputer kemudiannya, saya buka blog ini. Keluarkan dua entri tentang ais kacang: Ais Kacang 'Tu Ada Lagi Ka? dan  Ais Kacang 'Tu: Double Revisited. Saya buka page Restoran Dinalang  lalu mengeposkan kedua-duanya ke situ.

Saya biarkan. Entah admin page itu baca atau tidak.... Sekurang-kurangnya, perihal blog ini sempat muncul di situ.

Pagi ini, sebaik membuka muka blog ini, saya nampak perubahan pada senarai Utama Seminggu. Kedua-dua entri berkenaan terselit. Entri tentang kacang tanduk tiada...

Saya semak statistik pada board saya. Banyak juga rupanya yang membaca entri lama itu. Masing-masing berada pada kedudukan ketujuh dan kesepuluh. Selepas ini tentulah ada pula yang merujuk pada ruang Utama Seminggu, akan mengelik entri-entri berkenaan.

Atau anda yang membaca catatan ini, yang belum pernah melihat entri berkenaan, akan ikut mengelik....

Jangan marah, cik......

Terima kasih.

Situasi menang-menang.... hehehehe.

Jom pekena ais kacang salji!

Maila ke Simpang Empat!

Maila cek oi cek mai...

Hehehehe.

No comments: