Dia mengelik (new) di dalam kurungan itu sebaik grup Alumni Sek Men Agama
Al-Falah, Kedah muncul di skrin. Kehampaan berulang. Nama yang
diharapkan masih belum muncul.
Dia mengetuk-ngetuk meja dengan kedua-dua
jari telunjuk. Bagaimanakah akan dimulakannya hari ini dengan kehampaan yang
asyik berulang itu? Tiadakah akaun fb Cdya? Ataukah tiada langsung kemudahan
internet di rumah atau tempat kerjanya?
Dia memerhati kalendar yang digantung di
dinding kiri biliknya. Sudah menjengah bulan Julai. Ertinya tidak sampai dua
bulan, akan datanglah hari itu. Hari di mana dia berharap akan sekali lagi
berpeluang bertemu Cdya. Sekali lagi....
Tahun lalu dia cukup seronok berbaur
terkejut.Cdya muncul di dalam dewan ketika Ustaz Mohammad Abdullah sedang
memberi ucapan di atas pentas. Dia yang duduk di sisi Cikgu Din di barisan
belakang di sebelah kiri dewan, tiba-tiba hilang pendengaran! Apa yang
diucapkan oleh Ustaz Mat tidak langsung didengarinya. Semuanya kosong.
Cdya!
'Mujur kita tak kena!' Demikian yang ditulisnya di atas secarik
kertas lalu diselitkan dalam buku nota sains Cdya. Ketika itu seluruh kelas
sedang sibuk menghulurkan simpati kepada dua pasangan yang baru sahaja menerima habuan daripada Ustaz Fairose di depan
perhimpunan.
Kemujuran sentiasa sinonim dengan
perhubungan mereka. Malah perhubungan itu tidak dapat dihidu oleh sesiapa
sepanjang berada di AlFalah. Sejak dia mendapat balasan pertama salam perkenalan
dari Cdya, dia bagaikan ingin menjerit, "Lihatlah dunia!' seperti yang dilafazkan oleh Azean
Irdawaty ketika menjulang anugerah pelakon terbaik dulu. Namun dia terikat pada
kalimat akhir di hujung warkah biru itu: Jika terbocor surat ini, anggaplah
berakhirnya sebarang apa pun antara ana dan anta!
Berakhir ketika baru bermula? Memikirkan
ayat itulah, maka dipendamnya rasa gembira tatkala mencipta sejarah buat
pertama kali menerima surat dari seorang pelajar perempuan! Kawan di sebelah
juga kehairanan melihatnya tersengih seorang, malah kalau agak berlebihan
sengihan itu, kawan akan bertanya, "hang 'ni gila ka apa?" Demi Cdya,
dianggap gila pun dia sanggup!
Telah lama hatinya tersangkut pada Cdya.
Ini dapat dikesannya kerana hatinya tidak tahan setiap kali melihat Cdya
dihukum atau dikomen hasil kerjanya oleh guru. Ketika rakan sekelas melihat
semuanya sebagai sesuatu yang biasa, hatinya sebaliknya marah kepada guru yang
mengomen sebarang kerja Cdya. Dia tahu hatinya tersangkut kian kuat kepada Cdya
apabila tanpa sedar, dalam satu majlis muhadhoroh, dia duduk di barisan
adik-adik tingkatan satu di belakang guru-guru. Puncanya, hari itu Cdya bersama
rakan sekelas membuat persembahan nasyid. Walaupun Cdya bukanlah penasyid
utama, dan berdiri pula di bahagian belakang dalam formasi dua baris itu, suara
Cdyalah yang paling sedap dan nyaring baginya....
Selepas itulah dia memberanikan diri
menulis semuka penuh warkah buat Cdya. Berkeping-keping kertas terbuang sebelum
dia berpuashati. Bermula dengan Bismillah dan salam dalam tulisan jawi yang
paling cantik baginya, dia berkisah tentang sepi seorang yang tidak dipandang
di antara pelajar sekelas. Serendah mungkin dia meletakkan diri, malah
menghinakan diri yang 'tiada harta,tiada rupa'.....Dia memuji ketenangan pada
diri Cdya, menyatakan terpikat pada keayuan wajah Cdya yang berciri-ciri Melayu
dan berharap diberi ruang dalam hati Cdya untuk menerimanya sebagai
sahabat..... Surat yang diakhiri dengan kalimat popular 'pecah kaca ,pecah
gelas' itu disisipkan secara rahsia pada awal pagi, ketika kelas lengang, ke
dalam poket luar beg buku Cdya.
Selepas itu, sepanjang hari, setiap kali
dia nampak Cdya membuka beg, dadanya berdebar. Namun, Cdya yang duduk berselang
empat meja dengannya, tidak pun membuka poket luar begnya. Hinggalah waktu
pulang, keadaan demikian juga. Poket luar beg itu tidak disentuh pun.
Sepanjang malam dia gelisah. Adakah surat
yang dikarang dari hati itu dijumpai Cdya? Adakah Cdya akan membalasnya? Atau
mungkinkah Cdya sekadar mencemik dan kemudiannya menghebahkan isi surat itu
kepada itu kepada rakan sekelas? Bagaimana kalau hal itu sampai pula kepada
guru-guru? Cikgu Non tentu akan tersengih memanjang apabila bertemunya. Cikgu
Din tentu akan menyindir semasa kelas BM atau Kesusasteraan Melayu. Ustaz
Fairose tentu akan mendapat satu lagi bola tanggung untuk dihunjam semasa
perhimpunan pagi.....Akhirnya dia terlelap dan didatangi mimpi seseorang sedang
diletakkan di atas meja di tengah kelas lalu diketawakan orang yang
berkeliling!
Paginya, dia ke sekolah dengan perasaan
berbelah bahagi. Apakah dia akan menerima balasan surat dengan penerimaan
huluran salamnya atau disimbah dengan sumpah seranah dari Cdya? Demi Cdya, apa
pun dia bersedia!
Di dalam kelas, suasana seperti biasa.
Riuh dan sepi mengikut keadaan guru - ada atau tiada. Dia sentiasa meletakkan
ekor mata pada setiap pergerakan Cdya. Hingga waktu rehat, tiada apa-apa yang
memberi tanda positif untuknya. Cdya dilihat berbual dengan rakan-rakan seperti
biasa, tanpa sekali pun menjeling ke arahnya, apa lagi menegur. Dia pula asyik
menelan liur yang payau. Waktu rehat itu dihabiskan dengan memandang kosong ke
arah rakan-rakan yang menikmati makanan di kantin. Ada juga yang sempat menyapa
'pasangan' masing-masing dengan cara tersendiri - ada yang mendepangkan tangan
sebaik sengaja menyerempakkan diri, ada yang berbunyi seperti tikus kasturi,
ada yang sengaja mendehem sambil mengisyaratkan sesuatu yang hanya pasangan itu
dan Allah yang tahu akan maknanya...
Dia?
Sabar, kata hatinya. Mungkin Cdya belum
pun menjumpai surat itu, bujuk hati lagi.
Selepas rehat, dia terpempan dan debaran
dada kian kencang. Sebaik dibuka buku teks matematik sebagai persediaan
menyambut kemasukan Cikgu Non, dia mendapati satu sampul merah jambu terselit
di dalamnya. Cepat-cepat sampul itu disambarnya dan dia berdiri untuk
memasukkannya ke dalam poket kanan seluar. Ketika berdiri itulah dia mengerling
ke arah Cdya. Cdya pada ketika yang sama mendongak memandang ke arahnya dengan
disekalikan sebuah senyum tipis, yang akan diingatnya sampai mati!
Selepas itu, masuklah Cikgu Non, Ustaz Mat
dan Ustaz Man, dia tidak peduli. Ketika kelas digegarkan dengan ketawa, dia
hanya tersengih. Ketika kelas diam dileteri, dia masih tersengih. Ketika kelas
riuh tatkala pertukaran guru, dia terus tersengih. Sesekali dia meraba poket
kanan seluarnya. Senyum Cdya dan keberadaan surat itu cukup membahagiakan.
Bilakah akan berbunyi loceng terakhir......?
Apabila loceng terakhir benar-benar
berbunyi, dia melompat pantas keluar. Cdya dilihatnya dengan tertib sedang
menyusun buku-buku untuk dimasukkan ke dalam beg. Biarlah. Dia mahu cepat
sampai di rumah! Ketika berebut menaiki bas, dia menjadi seperti adik-adik
tingkatan satu. Mahu naik dahulu dan duduk berhampiran pemandu - agar cepat
sampainya!
Di rumah, sebaik menggantungkan beg di
paku di belakang dinding bilik, dia terus duduk di birai katiil sambil membuka
sampul merah jambu, Walaupun di dalam bilik, dia memandang ke kiri kanan sekali
sebelum mencium sampul itu. Dengan bacaan bismillah yang jahar, dia membuka
sampul dan membuka helaian surat nan sekeping itu. Tulisan jawi tersusun indah.
Ada bismillah dan jawapan salam. Cdya sudi menjadi sahabat berterma dan
bersyarat. Tiada siapa yang perlu tahu dan tiada sebarang tanda hingga
membolehkan mereka disindir oleh rakan dan guru. Hanya surat sebagai pengganti
diri tetapi tidak boleh terlalu kerap berutus. Syarat itu penentu hubungan
mereka,
Dia mengangguk dan berkata 'yes' pada setiap
noktah pada surat itu. Beberapa kali dia mencium surat tersebut sebelum
dilipatnya semula. Dimasukkan ke dalam sampul asal lalu diletakkan di atas
bumbung almari pakaian.
Akhirnya!
Akhirnya dia menerima surat dari seorang
gadis. Akhirnya dia boleh menulis kepada seorang gadis. Akhirnya dia tidak lagi
boleh diperkononkan tentang perhubungan dengan gadis. Akhirnya dia tidak lagi
akan berasa hati melihat rakan-rakan sekelas atau sebaya memperagakan surat
pasangan masing-masing. Akhirnya dia mendapat satu semangat baru.
Akhirnya dia terlelap.....
Demikian dia mengenang permulaan hubungan
dengan Cdya. Sejak itu mereka saling bertukar surat, bertukar rasa dan akhirnya
bertukar hati! Mujurnya hubungan melalui surat itu tidak dapat dihidu sesiapa.
Setiap surat disimpan di atas bumbung almari di biliknya, dibeleknya tatkala
sepi datang atau rindu bertandang, terutama jika sekolah ditutup.
Saat menyakitkan tiba apabila selesai
peperiksaan SPM. Ketika pasangan lain mampu bersua, meski di celah-celah pengawasan Ustaz Fairose, Cikgu Din
dan Cikgu Non, dia dan Cdya hanya bertukar nota pendek di belakang dewan
peperiksaan, ketika ketiadaan orang yang dikenali. Ketika perkataan 'sayang' baru cuba diucapkan, masa menjadi amat kejam - mereka
berpisah dalam hiruk-pikuk rakan-rakan yang meraikan tamatnya peperiksaan.
Sejak itu, tiada lagi utusan surat. Tiada
lagi luahan rasa. Dia mengubat rindu dengan mengulangkaji tulisan Cdya dalam
surat-surat lama yang tersimpan
elok di bumbung almari.
Ketika keputusan peperiksaan dikeluarkan,
dia pergi ke sekolah untuk mengambilnya berselisih sejam dengan Cdya. Ini
didasarkannya pada catatan dan tandatangan Cdya di dalam buku besar di hadapan
kerani. Dia pulang hampa. Keputusan peperiksaan tidak dipedulikan.
Cdya, mungkinkah kita akan berjumpa lagi?
Perhubungan itu menjadi semakin jauh
apabila dia menyambung belajar di sebuah sekolah lain. Melalui risikannya dari
kawan-kawan, Cdya juga menyambung belajar tetapi tidak diketahui tempatnya
secara tepat.
Cdya, mungkinkah kita akan berjumpa lagi?
Ketika dia mula bekerja, sambil belajar,
sampai kepadanya berita perkahwinan Cdya dengan jejaka pilihan keluarga. Dia
tiba-tiba merasa kosong dan hilang. Kesalnya tidak berusaha mencari Cdya yang
sememangnya masih satu daerah tidak tergambarkan. Rasa senak di halkum, sebu di
dada.Kenapalah tidak diluahkan rasa hati kepada orang tua atau sanak saudara?
Kenapalah aku terlewat? Ataukah waktu yang tercepat?
Sesalan itu menyebabkannya makin
menghargai gumpalan surat-surat Cdya dahulu. Disemaknya dari surat pertama
hingga terakhir. Di dalamnya ada pengharapan rupanya. Tapi dia terlalu pandir
untuk bertindak. Kalaulah diceritakannya kepada ahli keluarga........
Surat itu kekal disimpan elok dalam
bungkusan di atas bumbung almari.
Saat dia berkahwin dengan gadis pilihan,
selepas lama membujuk hati, dia tidak mampu menipu diri. Ingatannya kepada Cdya
masih berbekas.Dicubanya mencari Cdya di kampungnya untuk diundang ke majlis
perkahwinan namun Cdya ketika itu sedang sibuk pula dengan majlis perkahwinan
adik iparnya.
Demikianlah. Ketika beranak tiga, sesekali
kenangan berutus surat dengan Cdya tetap muncul. Apa lagi ketika melihat
bungkusan berisi surat-surat Cdya yang tersimpan elok di atas bumbung almari di
rumah ayahnya.. Tiada siapa pernah mengusik bungkusan itu selama ini. Biarlah.
Ketika mengundang Cikgu Din, yang asyik
bermain tarik tali, ke majlis hari raya alumni AlFalah tahun lalu, dia terkejut
dengan salah satu soalannya. "Nampak teruja sangat 'ni, ada sapa-sapa yang istimewa 'nak mai ka?"
"Awat cikgu kata lagu 'tu?"
tanyanya pula.
"Mana 'tau, kan?" giat Cikgu
Din.
Celaka! Jangan-jangan Cikgu Din tahu atau
pernah diberitahu tentang kisahnya dahulu! Kalau Cikgu Din tahu ertinya Cikgu
Non.....Adussss!
Ustaz Mat baru saja menamatkan ucapan di
atas pentas. Seorang lagi guru dijemput ke atas pentas. Dia tidak ingat siapa
dan apa yang diucapkan. Matanya masih menghala ke arah Cdya yang kelihatan
begitu tenang menghadap ke pentas.
"Masih terserlah ayunya...."
tiba-tiba Cikgu Din bersuara.
Dia terkejut. Disembunyikan rasa silu
dengan menumbuk sekali bahu Cikgu Din.
"Isyh, sapa?" Dia
berpura-pura lagi dalam senyum kelat.
"Dia 'tu la," sambil berbisik,
tajam muncung Cikgu Din menghala ke arah Cdya. Dia menggaru pipi kanan tanpa
tujuan. Rupanya lama juga dia melamun dan lama pula orang tua di sebelahnya itu
melihat gerak lakunya.
"Cikgu 'tau ka?" tanyanya sebaik
darjah gelabahnya menurun.
"Tau apa?"
"Err... 'dak aih...." Darjah
gelabahnya mencanak semula. Celaka! Kenapa soalan begitu boleh terpacul?
"Bini oghang 'dah 'tu......"
Cikgu Din berbisik lagi. Walaupun hanya sebuah bisikan serasa seluruh dewan SK
Seberang Nyonya itu bergema!
"Awat cikgu kata lagu 'tu?"
tanyanya pula.
"Mana 'tau, kan?" Cikgu Din
menggosok lengannya sambil memberikan sebuah senyuman yang cukup menghiris!
Kerana senyuman itulah dia tidak langsung berani mendekati Cdya sewaktu acara
makan-makan dan sesi beramah mesra. Dia seperti masih nampak mata Cikgu Din dan
Cikgu Non seperti di AlFalah dulu!
Itu kenangan tahun lalu.
Tahun ini perjumpaan itu bakal berulang.
23 Ogos nanti dia akan kembali ke dewan itu. Semoga kali ini Cdya juga datang.
Biarlah bersama suaminya. Sekurang-kurangnya dapatlah berkenalan dan
menghubungkan ukhuwah.
Sebelum itu, dia ingin berhubung dan berbual dengan Cdya. Namun tidak ditemuinya laman
fbnya. Boleh saja ditanyakan nombor telefon Cdya kepada Raihan atau Mariam
tetapi bolehkah mereka bekerjasama dan diam?
Cdya, mungkinkah kita berjumpa lagi......
2
Dia tersenyum seorang di bilik bacaan.
Baru lima minit tadi dia berbual panjang
dengan Cikgu Din. Selain bertukar khabar, dia sempat mendengar ulasan pendek
Cikgu Din apabila disentuh tentang fb. Lama Cikgu Din tidak muncul di Alumni Sek Men Agama AlFalah rupanya bersebab. Setiap hari dia hanya
memerhati, malah like pun tidak dikliknya. Tak berapa seronok,
katanya, dan paling dihairankan, ada hamba Allah sekadar menaip huhuhuhu semata-mata untuk menunjukkan dia masih hidup....
Diberikan beberapa contoh penulisan rakan yang bernas dan beberapa contoh pula
yang antah. Dicadangkan Alumni mengadakan kelas
dalam talian untuk mendidik rakan yang belum dapat membezakan mesej pribadi dan
mesej umum.
Dia pun huhuhuhukan saja ulasan itu pada setiap kali Cikgu Din mengambil nafas
atau memulakan ayat baru. Sebetulnya dia tidak terasa sangat sebab dia juga
lebih banyak melihat dari menggagahkan jari menekan papan
kekunci tanpa sebab..
Kemudian tiba pada bab blog Budakfalah. Sengaja dia bertanya orang tua itu,
agak-agaknya siapakah lelaki malang yang dimaksudkan dalam entri Biarlah
Rahsia dua hari lalu. Sengaja bertanya. Manalah
tahu, sebab di Alfalah agak ramai yang berpasangan atau dipasangkan semasa lima tahun dia berlubuk di situ.
Manalah tahu dalam banyak-banyak pasangan itu ada yang berkongsi jalan
cerita....
"Lagi mau tanya ka?" soal Cikgu
Din di hujung talian, suaranya berkulum senyum.
"Manala 'tau,kan?" balasnya
sambil menahan rasa ingin ketawa.
"Haghi 'tu, hanya soghang yang tumbuk
bahu saya, dan hanya soghang yang melekat matanya ke Cdya....." Hampir
serentak deraian tawa mereka bermula. Dia tahu sahlah kisahnya yang muncul hari
itu.
Cikgu Din berkisah tentang dua tiga orang
yang pernah berpacaran dulu, dan sahih merasakan bukan mereka yang dimaksudkan,
telah menghubunginya sekadar untuk bertanya siapa dia dan Cdya itu. Mereka yang sedia untuk bertepuk
tangan dan ketawa itu hampa kerana hanya mendapat jawapan ringkas "Biarlah
rahsia...."
Dia sendiri dihubungi oleh dua sahabat
karib semasa di AlFalah dahulu. Kedua-duanya meneka itu kisah Balotelli [bukan nama sebenar] kerana semasa mereka
di Tingkatan Lima, Balotelli sering meletakkan sampul biru di dalam poket
bajunya. Walaupun semua mereka tahu bahawa sampul itu adalah hasil kerajinannya
mengikut Ustaz Man mengerjakan solat jenazah, seperti mana kebanyakan orang
Melayu lain, mereka tetap suka syak - mengesyaki antara sampul itu mungkin
terselit sampul buat Cdya!
Dia hanya terkerising. Sahlah mereka juga
tidak tahu cerita sebenar. Selamat lagi. Tapi kasihan pula kepada Balotelli.
Tanpa usul dia dijadikan bahan perbualan dan sangkaan. Semoga Allah merahmati
sahabat yang seorang itu di mana juga dia berada kini.
Kemudian mereka mencari siapa pula Cdya?
Sekali lagi sebagai Melayu, mereka juga mewarisi perkataan kut. Maka dikut-kutlah
beberapa orang yang sempat diingat.
[Penting:
Semua nama dalam dialog berikut adalah bukan nama sebenar.]
"Noreen Nor kut...... tapi Noreen regu dengan Roy Marten...."
"Mazuin kut...... tapi dia kan jantung hati Karim Pin?"
"Salwa Rahman kut .....tapi dia awai-awai lagi Subadron Aziz dah sambaq!"
"Kut Sheila kut... tapi....."
".....kut
.........tapi.........!?"
"................."
emikian beberapa nama puteri AlFalah
disenaraipendekkan. Namun tiada yang tepat malah Cdya tidak termasuk pun di
dalam senarai tersebut. Pandai Cdya mengekalkan perwatakan hingga tidak
terhidu oleh sesiapa. Dia tersenyum memuji. Ertinya dia juga selamat. Rasa
kasihan timbul di benaknya kepada Balotelli. Dalam bab pencarian jejaka
malang itu, tidak pula ada sebarang senarai pendek - hanya suspek tunggal!
Memang malang betul Balotelli!
Dalam perbualan berbalut penyiasatan itu,
dia sekadar mengehuhuhuhukan saja. Rasa
rugi juga menyebut nama-nama rakan sekolah dulu sedangkan sudah bersuluh terang
bukan mereka yang terlibat. Selain dari tidak mahu menambah 'pahala', takut
juga kalau-kalau ada di antara mereka sedang makan atau minum. Boleh tersedak
dibuatnya kalau disebut nama berkali-kali. Kut-kutlah.....
Dia masih tersenyum sendirian di bilik
bacaan.
Dari Cikgu Din dia mendapat maklumat
terbaru tentang Cdya. Itu yang membuatkan dia begitu teruja. Sempat dia meminta
orang tua yang berbangga kerana baru mendapat pengiktirafan sebagai warga emas
itu berhenti bercerita sebentar. Tujuannya tidak lain ingin membantu Tan Sri
Ananda Krishnan dengan memasukkan tambah nilai sebanyak RM30 ke dalam akaun
syarikat orang kedua terkaya di Malaysia itu.....
Cikgu Din banyak menerima dan memenuhi
jemputan kenduri kahwin pada musim cuti persekolahan baru lalu. Dalam sehari
paling kurang dua, katanya. Sebagai peminat makan percuma selain mempunyai masa
senggang yang banyak, biasanya dia akan pergi sekurang-kurangnya dua majlis.
Dalam banyak-banyak kenduri itu ada dua daripadanya melibatkan Cdya secara tidak langsung!
Pertamanya ketika kenduri di Alor Ibus.
Cikgu Din menjadi rakan semeja adik ipar kepada biras mertua Cdya.
Daripadanyalah Cikgu Din tahu bahawa Cdya kini menetap di Lombok Jaya [bukan nama sebenar], bertugas sebagai hang kebun [bukan jawatan sebenar] di Isketambola [juga bukan nama sebenar], manakala
suaminya berasal dari Addis Ababa [sekali lagi, bukan nama sebenar]
dan dikurniakan cahaya mata sebanyak 10 [bukan angka sebenar!]
Keduanya, ketika satu majlis lain di Dewan
Insaniah, Cikgu Din berkenalan dengan seorang pekerja sajian makanan yang
kebetulan pernah berjiran dengan Cdya di Isketambola. Maklumat yang diperolehi
menunjukkan bahawa Cdya kini cukup berbahagia [ini keadaan sebenar]
dengan suaminya berdasarkan cara mereka bertemu dan berpisah setiap pagi dan
petang - siap berlaga-laga tangan dan pipi .......
Dia bersyukur namun berbalut cemburu.
Sekurang-kurangnya dia tahu Cdya menjalani hidup sebagaimana dia sendiri pernah
impikan untuk mereka dahulu - bahagia dan romantis. Sayangnya pipi bertuah yang
berlaga dengan pipi Cdya bukan dia yang punya......
Ketika ditanya samada menyimpan senarai
nama dan nombor telefon rakan-rakan yang hadir pada perjumpaan hari raya tahun
lalu, Cikgu Din ketawa. Ketawa yang tidak boleh dieja bunyinya.Nampak sangat
orang tua itu sengaja mendera perasaannya.
"Nak buat apa? Dua-dua pelakon purba
'dah ada keluarga masing-masing....." kata Cikgu Din pada noktah tawanya.
"Sajalah. 'Nak hubungkan
silaturrahim........," balasnya sekali lalu.
"Nombor Raihan dengan Mariam 'tak mau?"
Soalan yang nampak mudah tapi amat payah
untuk dijawab. Namun kespontanannya mencuba juga "Nombor depa 'tu 'nak buat apa?"
Orang tua di hujung talian tertawa semula.
Bunyinya makin menyakitkan rasa. Sahih aku terkena, bisiknya.
"Sahlah hero 'nak hubung silaturrahim
dengan Cdya saja.....'Tu yang saya tak percaya 'tu......."
Dia diam. Benar-benar terkena. "Tak
apala. Bagi nombor semua depa yang mai haghi 'tu...." Dia mengalah.
"Saja 'nak simpan. Kut-kutla...."
"Mana ada?! Saya tak ambik
pun...Kalau perlu baru saya mintak!"
Tiada?
Kalau bukan kerana tangan kirinya sedang
memegang telefon, mahu tujuh lapan kali penumbuk padu dari tangan kanan akan
hinggap di tapak tangan kiri itu......
Apalah!
"Tapi saya dengar tahun 'ni Cdya tak
mai. Giliran beraya di rumah mertua pulak!" Orang tua itu memberitahu
dalam nada mendatar tapi cukup untuk mengejutkannya. "Tak apalah tahun 'ni Wira pulak ada bersama kita........bla .......tolak-ansur......Tahun
depan......bla..............Pawang
Nujum.....bla....Aswad...........Laksa
Teluk Kechai.....bla..........Cikgu Kathy........bla......Sir Midi......bla.........Zulmajdi........bla.........Cikgu Faisal.....buah
tembikai........bla.......rendang...........bla........sirap hijau.........sirap
biru......Nazri....bla.....Cikgu
Non.......bla........kenduri
rumah Ustaz Mad............."
Tidak tahulah berapa kos ditelan ketika
dia membiarkan Cikgu Din menjadi seolah-olah juruhebah radio - bercakap seorang
disulami pula ketawa seorang. Kasihan orang tua itu! Semuanya tidak
dipedulikan. Berapa ratus atau ribu patah kata yang disusun menjadi frasa oleh
bekas guru BM-nya itu tidak dihiraukan malah tidak difahami langsung!
Cdya tidak datang?
Perjumpaan itu hanya setahun sekali. Tidak
bolehkah Cdya beraya dua tiga hari sahaja di rumah mertuanya? Banyak sangatkah
saudara mara suami Cdya untuk dilawati sampai terpaksa melepaskan peluang untuk
berjumpa dengan sahabat-sahabat di SK Seberang Nyonya nanti? Jauh sangatkah rumah mertua Cdya
hingga tidak sempat datang untuk cuma satu dua jam? Tidak bolehkah beraya haji
saja nanti di rumah mertua barang dua tinga minggu pun?
Apalah!
Tiba-tiba dia merasa sia-sia menempah baju
Melayu raya warna oren [bukan warna sebenar! hehehe], warna kesukaan
Cdya dahulu. Berkali -kali dan lama dia memujuk isterinya agar tidak
memilih warna hijau muda [bukan warna sebenar juga] walaupun itulah
warna tema keluarga sebelah mertuanya tahun ini. Hingga 10 Rejab lalu barulah
isterinya bersetuju, itu pun dengan terma dan syarat: Baju sampingan mesti
berwarna hijau muda serta raya pertama dan kedua di rumah mertua! Demi Cdya,
belum habis isterinya bercakap, dia telah menyetujuinya!
Tetapi apalah ertinya kini. Cdya tidak
datang!
Hajatnya bukanlah banyak.
Kalau berjumpa dengan Cdya, selain menatap
wajahnya, dia sekadar ingin menyapa dan saling memperkenalkan keluarga
masing-masing. Orang lain pun tidak akan perasan walaupun Cikgu Din - dan
mungkin Cikgu Non - akan berdehem dalam hati! Kali ini dia nekad. Lagi pula
dalam bab gosip semasa di AlFalah, dia termasuk dalam senarai putih. Siapalah
dia waktu itu - tiada rupa, harta lagilah.....Lagi pula, hari itu dinamakan
perjumpaan hari raya. Adakah lagi syak dan kut ketika hampir semua sudah
beranak pinak?
Kemudian dia akan meminta atau memberi
nombor telefon. Kemudian dia akan berhubung dengan Cdya.Sama ada Cdya akan
percaya atau tidak, dia akan tetap bercerita semua yang diredahnya selepas
tamat pengajian di AlFalah. Akan diceritakan betapa setiap hari dia teringatkan
Cdya. Akan diceritakan betapa dia cuba untuk menghubungi Cdya. Tapi pada era
itu, amat sukar untuk berhubung. Telefon rumah, dalam satu kampung mungkin ada
dua tiga sahaja yang mampu. Telefon bimbit pula, kalau ada pun sebesar radio
kaset dan mahal pula. Hendak berutus surat belum tentu akan sampai kepada
penewrima yang hak. Kebanyakan surat hanya diletakkan oleh abang posmen di
kedai runcit atau surau.
Lagi pula dia dan Cdya sama-sama pingitan.
Sama-sama terikat oleh budaya.Sama-sama tahu bahawa menjaga perilaku dan
menjaga nama keluarga adalah maha penting.
Dia ingin meminta maaf kerana seolah-olah
pernah memberi harapan palsu. Kalaulah mereka hidup pada era ini, mungkin tidak
susah untuk berhubung dan seterusnya bersatu! Biarlah selepas ini mereka
melayari hidup masing-masing dengan tenang. Tiada lagi rasa bersalah dan sesal
kerana demikianlah kehendak takdir.
Itu sahaja. Cinta tidak semestinya bersatu. Biarlah rahsia selama ini kekal dalam
keadaan asal....
Tetapi Cdya tidak datang!
".......bla...Ustaz Fairose........bla.......Helwi.........bla.......duit.sewa...............bla.....Teluk Bagan.....bla..........dewan........bla........semua
cemey.....bla........free......Maulana.....bla.......sponsor.......bla.....selesai
seleghah......bla.........Yam
dengan Zul............."
Laaa!
"Cikgu 'tau mana?" tiba-tiba
dirasa level suara yang terlalu kuat
dilontarkannya.
"Apanya?"
"Cikgu 'tau mana kata Cdya tak mai
perjumpaan nanti?" Dia cuba mengawal suara agar tidak mencucuk gegendang
telinga orang tua itu.
"Kut-kutla......He
he he he......"
Selepas itu dia tidak ingat atau dengar
apa-apa..........
Lama, selepas itu, dia tersenyum. Cikgu
Din! Belum puas lagikah mendera.........
3
Empat lelaki yang hadir pada tahun lepas, tidak muncul pada majlis tahun ini.
Demikian statistiknya.
Kata Cikgu Din, itu adalah usaha Nor Raihan dalam merungkai
misteri.
Dia mengurut dada.
Selamat. Kalau hanya seorang yang ada dalam statistik itu, pasti ramai yang
akan tahu rahsianya. Semua ini salah Cikgu Din. Ketika ramai bertanyakan siapa
jejaka malang dalam catatannya, dinyatakan pula tahun ini jejaka itu tidak
datang. Mujurlah yang tidak datang itu empat.....
Malam sebelum majlis dia
telah menelefon Cikgu Din memberitahu tidak boleh hadir. Cikgu yang sedang
dalam perjalanan ke rumah Ustaz Mohammad di Paya Nekong bersama Cikgu Non dan
Cikgu Rahim tertawa dalam telefon. "Rugilah kalau Cdya mai..." kata
cikgu itu, menggiat. Dia hanya tersengih sambil menyepak perlahan pokok jejarum
di laman rumah mertuanya.
"Tak ada untung
pun, kalau saya ada. Dia pun sudah berpunya.." balasnya. Saya juga...
sambungnya di dalam hati.
Cikgu Din tertawa lagi
sebelum memberitahu sedang memasuki jalan tar mini ke rumah Ustaz Mat itu. Dia
mematikan perbualan, membiarkan semua cikgu itu selesa mengunjungi ustaz yang
berkenduri menyambut menantu sulung pada siangnya.
Malam itu, lenanya tidak
begitu nyenyak. Masih terbayang kemeriahan majlis sambutan hari raya tahun
lalu. Meskipun kali ini bertukar tempat, dia pasti kemeriahan itu akan
berulang, malah mungkin lebih kerana khabarnya ramai senior yang akan ikut
serta. Cdya juga akan datang......
Kalaulah mertuanya tidak
berhajat berkumpul sekeluarga besar pada hari raya kelima itu.....
Siangnya ketika orang
kampung sibuk memasak dan berbual di belakang rumah mertuanya, dia sempat
menelefon Cikgu Din lagi. Kali ini cikgu berada di Kuala Kedah, dalam
perjalanan ke rumah Suhaimi Md Shah, berdekatan Masjid Tunku Ahmad Tajuddin, Kg Ulu. Hajatnya ingin bertanya persediaan majlis
terbantut kerana asyik mendengar ketawa orang tua itu menggiatnya lagi.
"Pemidang sudah Pak Un gantung, senanglah Cdya jumpa dewan 'tu..."
Dia hanya tersengih. Dua budak yang berlari berdekatannya sambil membawa sampul
duit empat lima keping seorang dilihatnya sekecil anak kucing sahaja......
Dia bukan hendak sangat
berjumpa dengan Cdya kali ini. Niatnya sekadar turut sama memeriahkan majlis.
Berjumpa dengan semua lapisan bekas pelajar Alfalah. Seorang guru berasal dari
kampungnya akan turut serta dan baru diketahui bahawa rakan sekampung itu juga
pernah belajar di AlFalah. Dua malam sebelum raya, ketika lepas bertarawih di
masjid, dalam berbual panjang bertanyakan khabar dan sejarah, mereka tersebut
nama Cikgu Din dan Cikgu Rahim serta Cikgu Non. Rakan itu pernah belajar ketika
era Cikgu Rahim dan Cikgu Din manakala dia sendiri ketika era Cikgu Din dan
Cikgu Non.... Rupanya mereka sesekolah... Rakan itulah yang memberitahu
kemungkinan ramai rakan sekelasnya ikut serta.
Kalau secara peribadi
dia ingin sangat berjumpa Nazri
Hashim. Kasihan sahabat itu.
Beberapa orang secara amat yakin menyatakan bahawa Nazrilah yang Cikgu Din
ceritakan dalam dua episod Biarlah
Rahsia dahulu. Dia berasa bersalah membiarkan Nazri ditohmah begitu.
Demikian juga dengan Cdya. Apabila melibatkan Nazri, mesti Cdya
adalah........., kata mereka. Walaupun berkali Cikgu Din menafikan, tekaan itu
tidak banyak berkurang.
|
Kalau suasana
mengizinkan, dia ingin secara peribadi memohon maaf kepada Nazri. Syaratnya,
jangan beritahu sesiapa dan dia yakin Nazri seorang yang amanah dalam
berahsia.Cikgu Din pernah memberitahu bahawa Nazri tetap tenang ketika cikgu
menyatakan ramai yang menyangka dirinya sebagai jejaka yang difokuskan. Malah
boleh tertawa mengekek. "Bukan kita, 'nak marah buat apa. Biarlah..."
Demikian Nazri mengungkapkan kepada Cikgu Din.
Kalaulah mertuanya tidak
berhajat berkumpul sekeluarga besar pada hari raya kelima itu.....
Ketika melayan tetamu
luar yang kesemuanya adalah sanak saudara mertuanya pada tengah hari itu,
hatinya masih di majlis jamuan di SK Taman Bersatu.
Tentu seronok di situ.
Makan-makan, bergambar dan berbual dengan Husin, Bakar, Helwi, Wira, Fahrulruzi, Zulkifli, Yusri, Raihan,
Hasliza, Muzammil, Mariam dan lainnya.
Tambah pula dengan kemunculan generasi lebih awal pelajar Alfalah. Tambah lagi
pula dengan guru-guru yang mungkin lebih ramai dari tahun lalu.. Tahun lepas,
sekeping gambarnya pun tidak diambil....Kali ini dia lebih bersedia dengan
kamera sendiri - dipinjam dari anak saudaranya - yang digunakan sejak malam
raya...
Cdya?
Datang atau tidak, dia
tidak kisah lagi. Cdya kini tidak lebih dari rakan-rakan yang lain. Untuk apa
lagi dikenang detik-detik zaman berhingus dulu.
Memang pernah mereka
berutus surat, saling memberi harap. Namun kini, meski dalam gelak perli Cikgu
Din, orang tua itu kerap memberi nasihat untuk dia menerima hakikat. Allah
telah mengaturkan takdir. Jodoh kita masing-masing telah ditetapkan. Redha
sahaja.
Ketika dia asyik meminta
nombor telefon Cdya dulu, bukan sekali dua Cikgu Din asyik berdalih dan berceramah.
Insan yang sedang bangga digolongkan sebagai warga emas itu berkisah tentang
dua kali perkahwinannya tanpa percintaan awal. Tapi tetap bahagia: satunya
hingga ke mati dan satu lagi hingga kini. Diakuinya pernah jatuh hati dan tahu
isterinya juga demikian. Tapi siapalah kita untuk melawan ketentuan Ilahi?
Pernah sekali, sedang
mereka berbual, Cikgu Din yang sedang menghadap komputernya, meletakkan telefon
dekat ke peti bunyi - sengaja menguatkan untuknya alunan Haida dalam bahagian akhir lagu Hajat:
Kita
saling kasihi
jadikan
itu satu memori
Sayangku,
moga
kautahu
tidak
semua cinta bersatu....
Aduss....
Cikgu Din memang sukar
dimengerti. Dalam berleter, menyuruh menerima hakikat, boleh pula
mendera rasa. Sedang berjaya melupakan Cdya, pernah dia mainkan di
telefon lagu Memori Duka dari Sons of Adam terutama bahagian:
malam
kian memaksa
lagu
menghanyut pilu
wajah-wajah
duka pun hilang
jika
tersua lagi
mungkin
aku menangis
menahan
getaran hati yang musnah
Aduss...
Ketika moodnya tidak
berapa baik, dia akan menerima lagu Lemak Manis dari Roslan Madun:
Sopan santun anak
melayu
Senyum terukir bila
disapa
Dalam pantun kukirim
rindu
Rindu mengalir di
dalam kata
Pohon sena pohon
meranti
Di tengah-tengah buluh
perindu
Adik di sana abang di
sini
Di tengah-tengah rindu
menderu
Hujan di hulu tak
reda-reda
Ributlah turun
bertalu-talu
Abang di hulu adik di
kuala
Kuhanyut rindu dalam
perahu
Lemak manis ala amboi
amboi
Santan kelapa ala
amboi amboi
Ku pandang lah manis
ala amboi amboi
Anak siapa .
Ciss ciss ciss.......
Terkadang Cikgu Din
menghantar petikan lirik luka lagu-lagu Orkes El Suraya, Medan:
·
Usah diingat dikenang lagi
Jangan ditanya juga
dibilang
Biarlah saat yag
lalu pergi
Biarlah masa yang
silam hilang [Usah Dikenang]
Tinggal kuntum di
tengah laman
Tinggallah padi sedang
berbuah
Hantarkan daku dengan
senyuman
Membawa hati membuang
tuah ….
...........................................
Andai kilat
sabung-menyabung
Badai bertiup
menghempas buas
Kurela diri hanyut
terapung
Namun hatiku merasa
puas…….[Pilihan Terakhir]
Selamat tinggal teman
dahulu
Juga handai serta
sahabat
Semua rakan damai
selalu
Lukaku bawa dapat
terubat…
…………………………….
Andai terdengar hamba
tak pulang
Hilang lenyap tidak
kembali
Jenguk pusara taburkan
kembang
Walau setahun hanya
sekali..... [Perpisahan]
Aduss dan cisss!
Semacam beroleh kepuasan
pula orang tua itu tatkala mendera.Kerana rahsia yang disimpan, dialah
mangsanya..... Namun dia gembira juga dimangsai!
Pada waktu lain, Cikgu
Din berleter semula, bertanya tentang apa kurangnya isteri
sendiri. Anak-anak yang terhasil dari perkahwinan sahnya adalah buah
cinta - sesuatu yang seolah dinafikan. Bayangkan perasaan isteri yang terjeruk
dengan tingkah suami mengenang kekasil awal.
Bayangkan jika isteri
pula melakukan hal yang sama.....
Dia terpempan. Kenyataan
hanya ingin berbual dan bertanya khabar apabila mendapat nombor telefon Cdya,
dikekehkan oleh tawa Cikgu Din.
"Kononnya!"
kata Cikgu Din. "Akan ada panggilan kedua lagi. Ketiga dan
seterusnya....Kena jaga perasaan pasangan masing-masing juga!" Sambung
Cikgu Din kemudiannya, sambil membuat petua yang diikutnya hingga kini,
"Setiap malam, lihat turun naik dada anak kecil yang sedang lena,
rasakankan sendiri suasana itu....Si ayah akan tahu diri!."
Dia tidak ingat apa yang
dibalasnya dalam perbualan dalam telefon itu.
Hingga sudah, Cikgu Din
langsung tidak memberi nombor telefon Cdya.
"Kalau nak juga minta pada Raihan atau Yam!" Itu keputusan yangdisalurkan melalui
teks.
"Nak mampus? Kalau Raihan tahu, seluruh
Malaysia akan tahu. Dia kan kerja di Arkib Negara....." Begitu pula balasnya.
Cikgu Din hanya menjawab
dengan menekan huruf H dan E kecil
masing-masing lima kali secara berselang. Sukalah 'tu....
Malam itu dia tidak mahu
mendengar tawa bersalut giatan Cikgu Din. Maka dihantar teks sahaja, bertanyakan
perkembangan majlis. Rupanya orang tua itu sedang menghadap komputer . Dia
mendapat balasan mesej yang dihantar melalui kemudahan diberikan broadband.
Panjanglah yang ditulis. Hampir lengkap laporannya. Disenaraikan guru-guru yang
muncul - Siti Khadijah Osman,
Abdurrahim Daud, Abd Aziz Hussin, Mohd Faisal Abdul Hamid, selain Cikgu Non dan Hjh Roselah, bekas kerani. Demikian juga beberapa nama
pelajar senior AlFalah seperti Abd Khodir Md Ariff. serta adiknya Mohd Zairi, Ahmad Sofi Ahmad, Hussain Abd Hamid, Suhaimi Md
Shah, Norlizah Saad, Norhayati ramli, Puteh Md Arif, Che Hasnah Derani, Rafidi
Romli, Ashadi Ibrahim....Sebahagiannya tidak
dikenali langsung. Ditulis beberapa nama lagi termasuk Cdya yang sengaja
dihurufbesarkan nama penuhnya."Pandai Cdya membawa diri. Tiada siapa menyoalnya tentang masa
lalu itu, rasanya" Tulis Cikgu Din.
Mesej itu di akhiri
dengan perkataan 'dan....'
"Dan?" itu sepatah pula yang dihantar semula kepada Cikgu Din.
Memang dia terdera dengan gaya mesej begitu.
Lama kemudian, ketika
dia di bilik air untuk berwuduk, baru balasan diterima.
"Depa tercari dan bertanya tentang jejaka 'tu.
Saya cuma kata, hero tak mai hari ni. Cdya saja ada...Raihan kata pening,
pening....hehehe. Biarlah rahsia...."
Lenanya dibantu oleh
letih dan lega.
Siangnya dia cuba
membuka fb tapi terpaksa mengalah dengan anak-anak saudara yang hendak
memasukkan gambar beraya mereka untuk dihantar kepada kawan rakan. Apalah
sangat bangganya menghantar gambar dengan aksi sama - terkerising terkernyih
beramai-ramai - cuma dalam lokasi rumah berbeza, cemiknya tatkala melihat
gelagat mereka di ruang tamu.
Malamnya pula, ketika
memandu untuk pulang ke ****** [hehehe], dia menerima mesej dari
Cikgu Din, memaklumkan Wira dan Hamzah ada di rumahnya sebelum ke rumah Cikgu
Non. Dia meneka sendiri: kalau bersama kedua-dua orang tua itu, santak sampai
ke pagilah mereka bersembang dan pasti tersembul berbagai-bagai cerita menarik
dan menolak....Tapi mengingatkan cakap Cikgu Din yang Cikgu Non tidak pernah
bertanyakan tentang Dia dan Cdya, dia rasa tenang.
Dia memandang isteri
yang terlena di sebelahnya. Tangan kirinya mencapai tangan kanan isteri yang
terkulai di peha. Kemudian menggenggam erat hingga si isteri tergerak sedikit
sebelum menyambung lenanya.
Di luar ada renyai
hujan. Sesekali cahaya dari kereta arah hadapan menyuluh mukanya dan isteri.
Sesekali dia mengerling anak-anak yang terlena keletihan di bahagian belakang.
"Engkaulah isteriku, dunia dan akhirat..." bisiknya di bibir dan terus ke hati. Ada
kesayuan yang tidak akan mungkin dapat diterjemahkan. Dia menarik tangan isteri
dan menciumnya. Si isteri bergerak, mengengsot sedikit, melentokkan kepala ke
kanan dan meneruskan lena...
Renyai di luar
bertempias ke pipinya....
Dia terus memandu.
Jalan di hadapan lurus dan masih jauh....
Kehidupan juga
demikianlah.
Siang itu, sekitar jam
sebelas, ketika anak-anak dan isteri bertanya khabar jiran yang juga baru
sampai dari kampung, dia menelefon Cikgu Din.
"Apa cerita semalam?"
tanyanya.
Rupanya tiga perkataan
itu merupakan kata kunci bagi membuka semuanya. Dia hanya sempat mencelah
dengan berkata "Oo" atau "Hmm". Itu pun hanya ketika Cikgu
Din berhenti bercakap untuk menelan liur...
Cikgu itu berkisah
tentang pertemuan dan perbualan di rumahnya, di rumah Cikgu Non, di Restoran
Sala Kitchen, sebelum balik semula ke rumah Cikgu Non. Semua yang diceritakan
dia faham sebab disertakan sekali huraian serta tafsirnya!
|
Namun yang paling
disukainya adalah cerita betapa pada malam sebelumnya Wira, Hamzah dan Fahrulruzi menunggu Hafizi di Kedai Kuetiau Iman. Di situlah, dalam berborak, terkeluar cerita Biarlah
Rahsia. Semua mereka menjadi serba tahu. Semua sepakat bahawa yang
diceritakan itu adalah tentang Nazri dan pasangannya. Walaupun difahamkan Cikgu
Din memberitahu Raihan bahawa di majlis jamuan raya itu, hero
tidak datang, yang muncul hanya Cdya, Fahrul pula dengan yakin menyatakan Cikgu
Din sengaja menukar watak - heronya, Nazri, datang; Cdya yang tidak!
Demikian cerita Wira dan
Hamzah kepada Cikgu Din yang dipanjangkan kepadanya.....
Untuk kesekian kalinya,
dia cukup bersimpati kepada Nazri!
Nasib....
Hehehehehe.
No comments:
Post a Comment