31 December 2013

… Keranamu, Pernah Tidurku Terganggu!





Saya mahu menutup tahun 2013 ini dengan satu klip yang ceria dengan menggunakan foto-foto sekitar perjumpaan raya tahun ini. Biar jemu orang melihat foto yang diulangsiar. Orang! Biarlah! Asalkan jangan budak Falah…

Cari punya cari, saya teringat lagu Dato’ DJ Dave yang meski pun payau liriknya tetapi agak ceria iramanya. Payau, sebab cerita hati orang belum bertukar status, mengenang ‘dia’ yang mungkin  telah pun beranak pinak… Tak aci marah aaa…, terutama  yang masih kekal dengan status solo. Kepada semua yang fotonya termuat di klip itu juga, maaflah. Foto sekadar hiasan….

Mahu saya muatkan klip itu sebagai entri terakhir bagi blog ini untuk tahun yang penuh suka duka . Meski siap sejak 11 Disember, saya tunggu hingga minggu terakhir untuk muatkannya.  Tetapi itu cuma rancangan saya…

Tiba-tiba masalah menimpa sahabat baik saya - atau kalau istilah samatua saya, bukan setakat sahabat baik, tetapi ‘biwi number do’ saya…

Satu pagi yang tenang, ketika mengelik membuka internet, tertera di skrin logo amaran bertanda seruan hitam dengan latar berwarna kuning. Di sebelahnya tertulis:
Disconected.
Error 619: A connection to the remote computer could not be established, so port used for this connection was closed….

Mana saya tahu apa-apa. Tukang kayu berpengalaman puluhan tahun pun bukan tahu membuat paku sendiri, tukang jahit tidak semestinya  tahu membaiki mesin jahitnya dan tauke bas kilang tidak semestinya tauke kilang bas...

Maka meloponglah saya. Tiada blog, tiada fb dan tiada pelayaran ke gudang maklumat…

Bukan setakat blog ini, blog keluarga yang lama tidak ditambah entrinya juga menjadi mangsa. Boleh saja ke kafe siber tapi masalahnya saya perlukan masa yang agak lama di situ kerana kebanyakan yang saya catat, bukan terlebih dahulu ditaipkan pada tempat lain lalu ditampal dalam blog. Saya biasanya membuka ruang 'entri baru' di dalam papan pemuka blog barulah saya catat. Ilham datang melaju ketika itu. Muka budak Falah pun kalau mahu datang ke minda biasanya, waktu itu,  ketara jelas dan terang!  Lagi pula suasana di kafe tidak begitu menyelesakan bagi ilham datang… Saya pernah alami satu peristiwa kelabu di kafe berdekatan kejiranan saya. Ada anak-anak sebaya anak sendiri asyik tertinjau-tinjau skrin saya. Yang lelaki bertanya, “Pakcik main game apa?” manakala yang lawan jenisnya pula akan bertanya, “Pakcik chat dengan sapa?”. Sedih lagi apabila anak dara penjaga kaunter bertanya, “Betulkah Pakcik ada blog sendiri?” , dan selepas setengah jam, saya terdengar dia berkata kepada kawan sembang di kaunternya, “macam tak percaya jer…. Macam tak betul jer….”  Masih tertinggal rupanya anak bangsa saya di kejiranan ini…Tuan-tuan dan puan-puan ingat ilham mahu hadir dalam ‘majlis’ begitu? Saya pun bayarkan ‘harga’ sejam di situ  lalu terus ke kedai ais kacang salji bagi mendinginkan qalbu…

Mahu menyerahkan biwi itu kepada pandaikomputer, saya belum sampai hati. Tidak tergamak berpisah lama dengannya,  kerana maharnya mungkin tinggi [difahamkan oleh seorang pandaikomputer, RAMnya pun mungkin kena ditambah dan bedasarkan  tahun kelahiran biwi, mahar untuk itu juga mungkin tinggi]  Sedangkan tiga anak dengan biwi number one sedang menghitung hari untuk memasuki kelas baru yang malangnya bukan boleh digunakan daun kesum atau daun ketum bagi membayar tiket masuk serta aksesorinya…  Maka biwi kedua kena tunggu belanjawan lain!

Semasa bebas dari belenggu internet  -  termasuk berfb  - itulah, rupanya ada sedikit kocakan di permukaan laman fb grup Alumni AlFalah. Saya tidak faham sangat punca kocakan itu kerana lebih seminggu tidak menjengah laman tersebut.  Saya hanya mendengar sedikit sinopsisnya dan supaya tidak berlaku biasan biarlah tidak saya memperkatakannya di laman berkenaan, jika pun selepas saya dapat mengunjunginya…

************

Sebelum memuatkan entri ini, saya pun melangkah ke laman fb grup Alumni AlFalah. Nampak macam panjang pula ceritanya dan seganlah untuk saya menyelongkar dan membaca semua yang dikatakan telah mengocakkan permukaan itu. Lagi pula semua telah berlalu. Biarkanlah ia berlalu. Khabarnya keadaan telah kembali tenang… Alhamdulillah.

Semoga ‘perbincangan’ secara adik beradik sesama budak Falah itu memberi manfaat kepada seluruh warga. Kita boleh berselisih pendapat, berbeza cara dan berlainan pendekatan, tetapi biarlah hasilnya adalah  bertambah keutuhan ukhuwah. Kita akan diketawakan jika dalam setahun jagung bersepakat, sudah ada bibit-bibit mufarakat!
Mari kita cari persamaan. Mari kita kembali ke akar niat. Mari kita nikmati indah nian detik-detik pertemuan.

Takdirnya, klip di atas hanya saya menonton sendiri sepanjang digantung dari berinteraksi di fb. Selain foto yang dimuatkan itu, ada ratusan lagi yang masih saya simpan dan lihat, dari  pertemuan sulung hingga yang terbaru.Masih baru rasanya semua detik itu berlalu. [macam perulangan saja frasa itu, kan?] Masih basah semuanya di ingatan. Betapa kita berjumpa atau berkenalan dan bermesra serta mengimbau masa lalu di bawah langit AlFalah. Hingga habis Syawal kita masih terasa hangatnya sapaan mesra, panasnya sambutan dan cantiknya petang itu. Ada yang terus bertanya bagaimana petang keempat Syawal berikutnya. Yang dilintang aral, menanam azam untuk muncul nantinya. Yang hadir berkongsi sama suasana itu. Yang pertama kali, tidak putus-putus teruja. Yang kesekian kali, meski membanding, tetapi tetap percaya, setiap edisi berbeza ceria dan cerita.

Maka apalah sangat dengan kocakan yang berlaku itu?

Sekali lagi, marilah kita menggarisataskan semangat sebagai warga AlFalah. Perbezaan era, atau sebarang sebarang bentuk perbezaan marilah kita kesampingkan.  AlFalah mungkin banyak di Malaysia tetapi bagi kita, AlFalah di Kangkong itu sahajalah yang kita ada. Mari kita terus bersatu.


Sudahlah, ya.

Mari kita ulang dengar dan tonton klip di atas…


                            ************

Saya dapati kedai ais kacang salji ditutup. Agaknya malam ini taukenya mahu membakar bunga api. Saya fikir elok pekenanya dulu sebelum naik ke kafe bagi menaikkan entri ini. Mana tahu kalau ada lagi cabaran seperti yang saya ceritakan tadi, pada kali ini... Semoga kedinginan awal akan memudahkan ilham tiba di tengah-tengah suasana yang tidak begitu selesa. Alternatifnya, saya pekena ais glasiar di depan kawasan kejiranan ini - ais yang teksturnya agak kasar bersama kacang yang tidak berapa empuk dan sagu yang masih keras..

Itulah siapa suruh buka blog? Kata samatua saya...

Saya hanya menggaru kening...


Selamat Tahun Baru, budak Falah!

25 December 2013

Selain Gulai Ikan Tongkol...

24 Disember. Selasa.

Hanya ada satu kenduri kahwin yang perlu dihadiri. Hari Selasa memang jarang orang Kedah buat kenduri. Semua pakat berebutkan hari Sabtu dan Ahad. Sebab itu 1, 7, 8, 14,15, 21,22 Disember lalu sampai tak terhadir semua kenduri. Paling kurang 4 kenduri. Kalau sehala atau sekawasan masih ok tapi kalau satu di Sidam, satu di Pokok Sena dan satu di Kola memang bermasalah…. 

Hari ini hanya kenduri di Alor Pulai.Tempat tepatnya, rumah kenduri betul-betul di belakang rumah Shakiroh Abdul Hamid .Tidak pasti pula samada calon SPM AlFalah tahun 1995 ikut memeriahkan dan meraikan kenduri tersebut.

Saya sampai ketika pengantin pun baru sampai. Kenduri di rumah dua pupu saya - Md Saad Ismail. Perkahwinan dua anak saudaranya dari Kola yang lama kematian ibu mereka, yakni kakak Md Saad.

Seperti biasa, lepas bersalam dengan dua pupu tersebut, saya mengambil nasi. Sebagai temannya saya sertakan seketul gulai ikan tongkol a.k.a ikan mambu alias ikan kayu serta mengutip telurnya yang banyak di dalam bekasnya. Supaya daging yang dimasak ala sup di bekas bersebelahan tidak berkecil hati, saya sendukkan pula sebelas dua belas ketul. Air asam pun menjerit-jerit minta dijodohkan dengan daging tadi, maka saya pertemukan mereka di pinggan yang sama…..

Dalam mencari tempat parkir diri di bawah khemah ,saya terserempak dengan Mazlan Mansor [ustaz dari Kola] yang baru saja saya sebut namanya kerana seiras wajahnya dengan Ustaz Zamri Hashim, mudir pusat tahfiz di Alor Ibus, dalam entri tentang kenduri di rumah Tan Sri sebelum ini.

Saya hanya mengangkat kening kepadanya yang sedang berbual dengan seseorang yang kedengaran slanganya macam bukan orang utara.
Saya mendapat tempat bersebelahan mejanya. Dimulakan dengan bismillah… dan doa makan, dalam sepuluh minit pinggan tadi kembali kepada keadaan asalnya. Tinggal bekas kuah yang tak tercapai jari…

Mazlan datang untuk bersalam tanda mahu pulang. Ada lagi kenduri di kampung samatuanya di sekitar Kebun 500, kalau tidak silap. Ayahnya juga datang ke meja saya. Kata Mazlan emak dan samatuanya juga hadir pda kenduri itu.

“Jadi lagu mana dengan depa ‘ni?” tanya saya merujuk tuan rumah yang merupakan dua pupu saya itu.

Diringkaskan, saya dua pupu sebelah ayah tuan rumah, manakala Mazlan dua pupu sebelah emak pula. Kisahnya!

Sebaik Mazlan dan ayahnya beredar, meja saya disertai pula oleh En. Mohd Nor, jiran Ustaz Ghausillah. Pada hujung tahun 60-an dulu, En. Mohd Nor ini adalah seorang guru di AlFalah, mengajar bahasa Inggeris. Kami hanya saling bertukar anggukan dan senyuman sebagai tanda menegur.

Menunggu lebih lama di bawah khemah itu, saya berkesempatan berbual dengan Ku Mohd Badri Ku Saad, budak Falah [Peralihan 1983]. Dia yang saya panggil KM, datang bersama samatuanya, Sharifah Md Zain, dua pupu saya juga, yang sama belajar di AlFalah… Mereka kini menetap di Kampung Pergam, Tebengau.

Selang semeja pula saya disapa oleh dua pupu saya yang lain, Mohd Shukor Salleh. Shukor yang senasib dengan saya – kematian isteri beberapa tahun lalu – kini tinggal di Ipoh, bertugas di hospital, adalah budak Falah seketika pada hujung 1980-an. Bersembang dengannya kemudian, rupanya nasib kami masih serupa – dapat berkahwin lain…

Di antara orang yang membantu tuan rumah melancarkan majlis ada dua orang lagi budak Falah. Abang ipar KM tadi [abang kepada Sharifah tetapi saya lupa namanya] menyapa saya dengan ramah. Begitulah tuan-puan sepupu dua pupu zaman sekarang, nama pun boleh lupa… Seorang lagi adalah Rosli Mansor, memang orang Alor Pulai, ada bau-bau bacang juga dengan saya, mungkin tiga pupu. Dia yang kini turut berbakat sebagai dj di rumah kenduri pernah tiga empat tahun belajar di AlFalah pada hujung dekad 80-an.

Di bawah khemah perempuan, selain Syarifah tadi, saya kenal satu lagi budak Falah. Saya lupa namanya. Bertubuh tinggi dan manis senyumnya. Saya mencari namanya hingga sekarang tetapi belum tercapai memori. Orang Alor Pulai juga. Pernah diberitahu Cikgu Non, anak bekas pelajar Falah itu ada belajar di sekolahnya kini di Sungai Limau. Saya jangka anaknya itu sebaya dengan anak sulung saya dari isteri sulung kerana kami selalu bertembung semasa menghantar anak di sekolah rendah dahulu. Isy, lupa sungguh namanya…. Astaghfirullah… Hah! Memori dah ok. Rohani Hamid namanya. Saya tak edit perenggan ini tak apa kut, walaupun sudah tahu namanya...

Selepas makan, saya mengikut jejak emak-emak saudara yang menziarahi ibu Shukor yang tinggal di belakang sedikit rumah kenduri. Berbual sekitar setengah jam, hal-hal keluarga dan masa silam.

Selepas itu saya kembali ke khemah kenduri. Berbual dengan beberapa saudara-mara termasuk KM yang masih di bawah khemah. Sempat juga melihat kelibat Mohd Kamal Bakar [pelajar tingkatan tiga akademik 1983 AlFalah] serta adiknya di tempat membasuh pinggan. Seorang adik Kamal itu saya lupa namanya dek kerana hanya memanggilnya sebagai Bakar sahaja setiap kali berjumpa, malah di dalam kelas dahulu. Dia adalah ‘musuh’ kepada Jefri Ismail dari Kampung Perlis semasa zaman perfalahan dahulu. Hampir setiap hari mereka saling menggiat dan berbalah lisan. Jefri Ismail? Mungkin ada rakan sekelasnya yang lupa nama itu tetapi mungkin ingat nama timangannya Iaq atau Et. Lupa juga? Bagaimana dengan nama lainnya yang unik ini: Jepun….?

Kemudian saya nampak kelibat Ustaz Ghausillah sedang makan di meja yang agak jauh dari tempat kami duduk. Saya menghampirinya, menyapanya yang tersenyum mengangguk. Nampak sihat dari dahulu, berbanding ketika bertemunya pada satu kenduri berdekatan rumahnya. “Sihat cikgu noo..” katanya. Saya mengangguk dan saling mengucapkan syukur. Ketika saya kembali ke meja awal tadi, lama kemudian saya nampak Ustaz Ghausillah beredar. Langkahnya kemas dan tidak menunjukkan tanda keuzuran seperti yang saya dengar.Selepas pulang dan mula mencatat ini, baru teringat untuk bertanyanya samada tahu atau tidak keuzuran Ustaz Man di Pattani. Tak apalah. Mungkin dia tahu dari pihak masjid – tempat Ustaz Man tidak pernah selang mengadakan tazkirah sejam sebelum solat Jumaat…

Demikianlah.

Tidak ada apa-apa untuk dicatatkan, maka inilah yang sempat. Meski hanya beberapa orang, sekurang-kurangnya dari kenduri yang saya hadiri itu, ada melibatkan dan mengingatkan tentang budak Falah.

Kalau anda kenali mereka tapi sudah lupa, inilah yang cuba saya cungkil…


Atau kalau anda kenal pun mereka, bagi yang berbeza generasi mungkin akan tahu bahawa mereka juga pernah belajar di AlFalah. Ada banyak kes sebegitu. Misalnya, Dom, abang Tan Sri, baru tahu bahawa Tarmizi Razak pernah belajar di Al Falah. Benar mereka sekampung, tetapi dari lapisan umur yang jauh berbeza…

24 December 2013

Rumah Tan Sri Lagi: Malam Kedua



Kami bersama Dom dan bapa saudaranya
Kali Kedua:

20 Disember.

Undangan datang melalui mesej setelah dua panggilan dari Tan Sri tidak saya dengar. Telefon saya tenggelam dalam baju hujan di dalam bonet motor….

Diskripkan, sebaik saya dapat membaca mesej tersebut, Cikgu Non menghubungi saya. Memaklumkan tentang undangan Tan Sri lalu mengikat janji untuk pergi lagi bersama.

Kali ini kami bertolak lebih awal. Pecutan Cikgu Non diskripkan supaya sampai sebelum majlis bacaan tahlil bermula. Lapang dada. Tidaklah menjadi bahan tontonan ketika berjalan menghala ke rumah keluarga Tan Sri seperti malam pertama dahulu.

Tiada tenda putih di tengah laman.

Setelah berdiri di tepi jalan melihat suasana, kami bersama tetamu yang lain berjalan menghala ke rumah. Tan Sri mengajak kami masuk ke rumah. Saya mengikutnya tetapi hanya memarkir punggung di bahagian luar ruang tamu setelah berat berpusing tubuh dengan memegang dinding rumah. Tan Sri tertawa. “Nak duduk pun puas aih…” Saya menjenguk sahabat saya tadi. Dia mengambil sebuah kerusi dan duduk di kakilima rumah adik Tan Sri seperti kali pertama dulu, bersama beberapa tetamu lain. Kalaulah saya tahu…

Bacaan tahlil bermula untuk berakhir sekitar 25 minit kemudian. Selepas itu, saya bersama beberapa orang yang duduk di luar ruang tamu menjadi antara orang terawal menunjal bangun. Semuanya menuju ke dua meja yang menghidangkan apa yang patut untuk malam itu. Kecuali seorang. Sayalah yang seorang itu…

Saya keluar menghampiri Cikgu Non. Najib ada di situ bersama anaknya. Dua tiga orang mengajak kami mengambil nasi tetapi kami menolak. Nantilah, kami orang jauh dan lambat baliknya…

Berada juga bersama kami adalah Tarmizi Razak. Mudah mengenali wajah calon SPM 1998 AlFalah itu kerana hampir tidak berubah, masih seperti zaman perfalahannya. Mungkin sedikit gempal. Sedikit sahaja. Tiada kumis atau janggut. “Berlakon jadi budak sekolah pun boleh lagi ‘ni…”kata saya. Tarmizi tersenyum. “Tapi jadi budak mengulang la…” Tarmizi tersengih. Maka sehingga hampir kami pulanglah Tarmizi menjadi peneman kami malam itu. Sama-sama makan dan berbual.

Tarmizi berusia 32 tahun. Berkahwin satu dan beranak satu, sedang menunggu kelahiran anak kedua awal tahun depan. Bapa mertuanya mengajar di Pondok Batu 16 dulunya dan kini di Guar Chempedak. Isterinya anak tungggal. “Tapi kami tak bercinta, cikgu…” kata Tarmizi tanpa ditanya. Agaknya takut jika terdapat soalan tentang alam percintaan dari kami…

Najib bangun dan datang semula bersama sepinggan kuih. Tepung bungkus macam malam pertama dulu dan … kuih koci. “Saya bawa dari Perlis ‘ni…” kata Najib merujuk kuih koci yang berbalut kecil dan kemas itu. Kemudian Najib pergi lagi sebentar dan datang semula bersama dua gelas minuman. Tiga biji kuih koci sempat saya ‘rasa’ selain tepung bungkus dua bungkus… Cikgu Non? Tak sempatlah pula saya bilang…

Dalam ramai berkerumun di salah satu meja hidangan, ada kelibat Sahlan Salleh. Cikgu Non yakin Sahlan tidak mengecam kami. Biarkan dulu… kata Cikgu Non.

Sebentar kemudian, Tan Sri datang bersama ugutannya: Sat gi depa angkat, tak boleh makan. Cukup jam saja…. Kami faham dan bangun mengambil nasi. Supaya tidak terasa sebentar sangat berada di meja hidangan itu, saya ambillah sama gulai ikan bersama tomato dan kacang bendi, sayur bercampur sotong serta acar rampai… Saya memilih untuk duduk di kakilima rumah ayah Tan Sri, di lorong yang memisahkan rumah itu dengan rumah adik Tan Sri.

Rupanya di situ Pak Din berada. Teman setianya, Salleh berada jauh sedikit – entah kenapa.

Ada lagi dua tiga budak Falah yang baru selesai makan di lorong pemisah itu. Ada Faizal Yahya. Ada Sobri Zakaria. Dan ada Asri Hashim bersama anaknya.

Faizal menyapa sepatah dua. Bertanya tentang kerja. Sobri sekadar tersenyum tetapi aktif menyakat Pak Din yang duduk semula di situ dengan semangkuk bubur kacang. 

“Mai kat aku bubuq ‘tu..” kata Sobri. Dia menjeling saya, mengisyaratkan supaya melihat reaksi Pak Din.

“Nak, pi ambik sendighi la… “kata Pak Din, serius. Melihat saya tergelak, dia menyambung, “panas ‘ni… hang ‘tau ‘dak?” Pak Din menghembus-hembus bubur di tangannya itu. Sobri tergelak besar.

“Ni cikgu ayah dulu….” Kata Asri yang duduk menemani saya makan sambil memperkenalkan anaknya. Dia berkisah tentang banyaknya kenduri yang masih menunggu. Kemudian dia menawarkan seekor kerbau kepada saya, jika berhajat mahu mengadakan kenduri. Rupa-rupanya, Asri ada membela kerbau dan paling baru, telah menjual kepada tuan kenduri esoknya di Sungai Nonang. Dia menawarkan kerbaunya setelah mendengar saya meminta nombor telefon Pak Din, “kut-kut ‘nak panggil makan kenduri…”

“Ingatkan, Cikgu ‘nak buat kenduri…” kata Asri.

Pak Din yang juga silap faham, menghampiri saya sebaik Asri dan anaknya meminta diri.

“Awat hang tak ambik kerbau dia?” tanya Pak Din, macam berbisik  pun ada. “Kerbau dia elok ooo..”

“Dok caghi orang tak jumpa lagi… macam mana nak buat kenduri?” kata saya.

“Hang caghi kat sapa?” Pak Din bertanya. Kali ini lebih kuat suaranya berbanding pertanyaan sebelum.

Dalam keadaan mengunyah saya tidak dapat menjawab secara lisan, maka saya mengisyaratkan ke badan saya. Pak Din terteleng, serius memerhati muka saya.

“Hang gatai aih! Nak menikah beghapa kali langsung?” katanya.

Mujurlah ketika itu saya baru sahaja menelan kunyahan. Kalau tidak terpaksalah tanah di bawah cucur atap rumah itu menerima semburan beberapa butir nasi bersalut kuah gulai dan sotong…

Pak Din… Pak Din…

Dengan gaya marah, dia bangun meninggalkan saya… Apalah? Gaya tangannya mengunjuk kepada saya ketika bangun itu cukup saya faham.

[Ada juga bertanya siapa Pak Din – dan Salleh – sebaik membaca entri Malam Pertama… Sila rujuk entri Budak Batas Paip, Alor Ibus Dan ... Yan
]

Selesai makan, saya berpindah pula ke lokasi awal tadi. Cikgu Non sedang berbual dengan seseorang yang lama tidak kami temui – Sahlan Salleh. Difahamkan memang dia tidak mengenali Cikgu Non mulanya. “Mana nak sangka mai kenduri jauh ‘ni..” katanya, separuh berdalih.

Sahlan masa di AlFalah dulu seorang yang periang. Saya memanggilnya S Sahlan, merujuk nama dua artis – S Sahlan pelakon drama yang agak popular ketika itu dengan watak bapa, serta S Sahlan, juga pelakon tetapi lebih terkenal sebagai penyanyi dalam trio KEMBARA bersama M Nasir dan A Ali.

S Sahlan memang suka menyanyi jika ada kelapangan baik di dalam mahu pun di luar kelas. Suaranya mirip suara Rahmat Ekamatra. Dia juga cukup spontan jika menjawab apa yang kita tanyakan. Tentang hal-hal luarlah, kalau hal pelajaran … kespontanan itu akan hilang!

Cikgu Non dan saya masih ingat satu hal jika mengingat nama S Sahlan.

Masa itu ada satu iklan yang agak fofular tentang serbuk pencuci Fab. Kalau tidak silap pemegang watak utamanya arwah Yusni Jaafar. Apabila seseorang bertanya, ‘baju baru ke?’, Yusni menjawab, ‘Bukan….. Fab Baru!’ merujuk keberkesanan serbuk pencuci itu menyerlahkan warna asal baju yang sudah lusuh. Bukan saya tidak tahu atau biasa dengan iklan itu. Tetapi saya alpa juga…

Satu hari Sahlan berada di tepi tingkap kantin yang ketika itu masih di depan rumah Maklong/Maklang. Saya melihatnya berbaju baru. ‘Baru’nya ketara kerana warna seluarnya agak kusam. Pelajar lain sedang berebut atau beratur di bahgian depan kantin. Saya menepuk bahunya dan berkata, “Hai, baju baru hari ‘ni, Sahlan?” Tanpa menoleh, spontan S Sahlan menjawab, “Bukan… Fab Baru!” Adus!

Hal itu masih kami sebut ketika melihatnya kali pertama – semasa dia beratur mengambil makanan – dan diulang ketika berhadapan dengannya. Dia ketawa. “Takdak Fab Baru ‘dah la ‘ni….”katanya.

Suaranya tidak berubah. Suara anak teruna 32 tahun. Wajahnya juga tidak berubah, cuma ada pertambahan hiasan – misai dan janggut yang dibiarkan agak liar.

Berkali-kali dia meminta maaf kerana tidak mengenali kami. Diulangnya kalimat, “Mana nak sangka mai kenduri jauh ‘ni…”

Lamalah juga kami berbual. Hal lama dan hal peribadi, termasuk bab arwah datuknya yang saya dan Cikgu Non kebetulan tahu dan kenal, hal perkahwinannya yang masih di peringkat mencari agaknya serta hal perniagaan yang pernah diusahakannya.

Tarmizi, rakan sekelas S Sahlan sesekali mencelah. Dia semacam membiarkan kami menemubual S Sahlan yang payah ditemui itu. Saya menunjuk Tarmizi sebagai contoh supaya S sahlan cepat-cepat berkahwin.Tersipu-sipu S Sahlan, seraya menukar tajuk…

Lama kemudian, S Sahlan bangun meminta diri. Ada kerja, katanya. Dia bersalam dengan kami. Ada sedikit penambahan ayat di dalam salam itu yang agak menyentuh. “Minta maaf banyak-banyak cikgu noo. Mana-mana, hak dulu-dulu ‘tu…” sambil berjanji akan memanggil kami jika dan apabila menagdakan kenduri perkahwinannya kelak.

Tarmizi menyambung kisah perkahwinannya dengan anak ustaz itu. Ketika berkahwin, isterinya berusia 19 tahun – tujuh tahun lebih muda darinya. “Orang tolong kira, cikgu oi… bukan bercinta pun” katanya lagi. Tidak ada soalan pun tentang itu… Takut sungguh kami bertanya sesuatu. Tetapi sesuatu itu keluar juga…

“Masa sekolah dulu dok main dengan sapa?” Cikgu Non cuba mencungkil. Menantu ustaz yang kacak itu hanya tersengih. “Takkan tak dak sapa-sapa kut…”cungkilan Cikgu Non makin besar…

“Takdak aih, cikgu…” balas Tarmizi, “kita pi sekolah cara betoi…”

Cungkilan tidak berjaya. Maka diamlah seketika. Isy, lawa dan kemas penampilan Tarmizi. Takkanlah tiada hati terkait sikit? Sedangkan yang kontra banyak dengan penampilannya pun ada hati yang tersangkut… fikir saya.

“Tapi kawan ramai…” kata Tarmizi tiba-tiba. Agaknya dia macam mahu meluahkan sesuatu yang kami tak tanya… “Tapi masa kerja la… Masa sekolah tak dak..”
Kami tak tanya, na… Dia yang cakap begitu. Dan kami biarkan dia bermonolog seketika.

“Dulu masa kerja saya kawan ramai. Hari ‘ni bawa yang ‘ni, esok bawa yang ‘tu, lusa bawa yang lain…”

Saya percaya. Orang sekacak sekemas Tarmizi cakap begitu, tentu saya percaya.

“Bawa ‘tu cadang ‘nak kenai depa la. Bawa makan-makan.Tapi tak dak sorang pun yang saya boleh buat orang rumah… Last-last ada orang Tebengau tolong kira orang rumah saya la ni….”

“Kira playboy jugak la hang dulu…” kata Cikgu Non. Saya tergelak dan teringat sesuatu…

“Kita bawa niat baik. Walaupun tak jadi, sampai la ni masih kawan. Ada yang sakit demam mak ayah depa pun masih bagitau saya…” balas Tarmizi, tersenyum. Manis.

“Tu tanda depa pernah menaruh harapan kat hang….” Saya cuba mencelah, kalau-kalau keluar kisah sampingan…

Tarak aih…” kata Tarmizi.
Saya luahkan yang saya teringat tadi. “Yang orang dok tengok Playboy Itu Suami Aku, ada sangkut paut dengan hang la..”

Tarmizi tersengih. “Tarak aih…” katanya.

Tarmizi tidak pun termakan pancingan kami. Maka kami pun menukar topik. Tentang kerja. Topik yang tak boleh dipancing apa-apa…

Sedang berbual itu, dengan kebanyakan tetamu tidak banyak lagi yang tinggal, ada deretan lebih dua puluh orang kecil besar berjubah putih dan berserban muncul di hujung laman. “Budak tahfiz ‘tu…” kata Tarmizi.

Saya tahu hanya ada satu pusat tahfiz di jalan utama di Alor Ibus itu. Tahfiz yang diasaskan oleh Zamri Hashim, budak Falah. Bukan Tahfiz Amal yang menduduki tapak AlFalah…

Berderet mereka berjalan menuju ke rumah. Di depan sekali adalah Zamri yang berjanggut nipis dan berserban besar. Dia tidak menoleh kiri-kanan. Hanya bersalam dengan orang yang berada di sepanjang jalan masuk dan di dalam rumah. Saya menghitung semua yang datang bersamanya. Dua puluh lapan orang. Mereka terus masuk ke dalam ruang tamu yang memang telah kosong. Mungkin mereka terlewat kerana menekuni jadual lain setelah solat Isyak. Lagi pula mereka datang dengan mengederai kaki masing-masing. Lumayan juga jaraknya tempat mereka belajar dengan rumah keluarga Tan Sri.  

Sebentar kemudian mereka beratur keluar sedikit dari ruang tamu untuk mengambil nasi dan lauk. Paling akhir keluar adalah ustaz mereka – Zamri. Sedang dia menyenduk nasi, saya melihatnya dibisikkan sesuatu oleh Tan Sri. Saya tahu isi bisikan itu kerana tangan Tan Sri menuding ke arah kami. Zamri menoleh. Diletakkannya kembali pinggan dan keluar dari depan rumah keluarga Tan Sri. “Makan nasi dulu…”suaraTan Sri agak jelas masuk ke telinga saya. Tidak terdengar pula ugutan: Sat gi depa angkat, tak boleh makan. Cukup jam saja…. Alangkah tak acinya!

Zamri menerpa ke arah kami. Bersalam. “Minta maaflah, tak perasan tadi. Sihat, cikgu noo?” Kami menjawab apa yang patut. Berbual dalam tiga puluh perkataan. “Saya minta diri nak pi makan, cikgu noo? Assalamu ‘alai kum!” Kami menjawab salam dan melihat Zamri yang wajahnya mengingatkan saya kepada Ustaz Mazlan Mansor[budak Falah dari Kola] berlalu. Lembut sekali suara dan pergerakannya.

Kami kembali berbual. Najib dilihat sedang membasuh pinggan berdekatan bilik air bersama saudara-mara yang lain. Berdekatannya Salleh duduk mendengar perbualan beberapa jiran sekampung. Berdasarkan pengalaman, saya pasti Salleh memang hanya mendengar dan tersenyum. Tan Sri? Tak kanlah Tan Sri diajak membasuh pinggan! Dia membawa sepinggan lagi kuih tepung bungkus dan kuih koci kepada kami.

Datang Pak Din meminta diri. Cikgu Non mengajaknya duduk berbual. “Alah, awai lagi…”katanya.

“Tak boleh. Aku mai dengan bini aku. Dia nak balik ‘dah!” Serius wajahnya. Patutlah Salleh ‘jauh’ saja dari Pak Din…

Saya pula mengajaknya duduk namun Pak Din tetap menolak. Timbul idea…

“Mana nombor telefon hang?” kata saya.

Makin seriuslah wajah Pak Din. Macam marah kepada saya. Tetapi setelah dua kali meminta, Pak Din pun membuka sedikit gulungan kain pelikatnya lalu mengeluarkan telefon.

“Mana?”

“Nanti sat! Kacaula hang ni!” kata Pak Din sambil mencari nombor telefonnya di skrin. Dia tidak mengingat nombor sendiri.

“013…” dia membacakan nombornya.

Saya tekan butang memanggil sebaik menaip nombor yang diberikannya. Saya letakkan telefon ke telinga. Tiada ‘sambutan’.

“Tak dapat pun…” kata saya. “Mai nak tengok nombor ‘tu…”

“Betoi la…” Pak Din bersuara garang. Saya meminta lagi. Dia mencari nombornya lalu menunjukkan skrin telefonnya ke pada saya. “Kacaula hang ‘ni!”

Betul nombor yang diberi tadi. Saya panggil sekali lagi. Tetap tiada sambutan.

“Tak dapat juga..”

Pak Din membelek hapenya. “Ooooh. Line takdak. Hang tengok ‘ni…” katanya. Saya mengangguk.

Sekali lagi dia bersalam dengan kami dan sekali lagi pula saya pesankan kepadanya supaya cepat tolong carikan jodoh untuk Salleh. Pak Din menjegil dan mengisyaratkan dengan tangan. Saya faham: Apalah hang ni?

Kami berbual lagi. Ada murid [bekas] Cikgu Non dari SMA Sungai Limau. Bab kerja hingga bab rumah. Lama juga.

Pelajar tahfiz mula keluar untuk pulang. Mereka bersalaman dengan tetamu yang masih ada serta dengan Tan Sri. Ustaz Zamri mereka datang semula kepada kami dan berbual sekejap sebelum meminta izin untuk berjalan pulang. “Anak-anak ‘nak tidur…”katanya. Dia pun berlalu dan saya memerhatinya sehingga hilang ditelan kegelapan malam. Sejuk mata.

Kami berbual terus. Bersama Tarmizi dan bekas murid SMA Sungai Limau tadi. Tan Sri datang. Berbual lagi tentang rumah. Entah bagaimana timbul bab rumah yang sedang kami belakangi. Cantik dan kemas. Bukan orang yang membinanya… Adik beradik Tan Sri juga. [Maaf]

Cikgu Non berkenan untuk melihat dalamannya. Tan Sri mencuba membuka pintu depan tetapi berkunci. Maka dicarinya kunci dari adiknya yan berada di dalam rumah ayah mereka. Kami masuk melihat-lihat rumah itu. Tarmizi ikut juga meninjau seketika.

[Esoknya tukang rumah yang bukan orang dengan Tan Sri itu dibawa melihat rumah Cikgu Non yang dirancang untuk dibuat ubahsuai…]. 

Keluar tidak lama kemudian, Tarmizi pun meminta izin untuk berundur…

Tinggal kami – saya, Cikgu Non dan Tan Sri. Kemudian muncul Dom, abang Tan Sri serta kemudian lagi muncul pula bapa saudara mereka yang tinggal di Gelam. Berbual santai sekitar 15 minit lagi.

Ketika itulah baru Tan Sri teringat untuk merakam suasana.

“Nak masuk dalam Facebook…” katanya. macam pernah dengar saja frasa itu...

“Facebook apa pulak… “kata bapa saudaranya.

“Jangan sampai basi sudah…”kata abangnya, tergelak. Dom merujuk rakaman pada malam pertama lalu yang mengambil masa seminggu untuk naik di laman fb grup Alumni AlFalah…

“Nak penaik la ni…” kata Tan Sri. Benar katanya, ketika saya sampai di rumah dan membuka fb, ada foto itu di timelinenya. Dimuatkan 43 minit yang lalu… "santai slps knduri arwah di alor ibus" catatnya lebihkurang…

[Sekarang, memikirkannya, alangkah baik jika semua budak Falah yang kami temui pada dua kali majlis itu dirakamkan foto mereka untuk simpanan arkib….]


Sekitar jam 11.25 malam kami pun mengundurkan diri. Kata Tan Sri, dia ada menjemput Budak Batas Paip, yang mungkin akan datang. Tetapi sehingga waktu bertolak pulang, jodoh kami belum ada untuk bertemu orang kuat perjumpaan raya Aluni AlFalah itu… Mungkin tahun depan baru dapat kami berjumpanya!

Dalam perjalanan pulang, sempat kami menjeling tapak perniagaan Rosdi, sekitar 500 meter dari rumah yang baru kami kunjungi. Ada beberapa orang pelanggan di sekitar gerai yang khabarnya dibuka sehingga dinihari itu. Patutlah Rosdi hanya mewakilkan ayahnya datang ke majlis keluargaTan Sri pada malam itu...

PERTEMUAN
Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru.

Pertemuan berlaku
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.

(T.Alias Taib, Kuala Terengganu 1974)
Antologi "Di Penjuru Matamu"