12 December 2013

Doa Untuk Da'ei

Ustaz Man

Cikgu… ada mna?  

Penghantar:
Saifol Adli
+6017410****

Diterima:
 21:15:49
12-12-2013

Saya menjangkakan soalan itu – seperti selalu – adalah mukadimah untuk satu pertemuan.

Menganggap begitu, serta sedang keletihan seharian di rumah keluarga samatua yang mengadakan kenduri kahwin, saya abaikan sekejap mesej tersebut. Saya bersihkan diri dan hati dahulu…

Selepas itu – lima belas minit kemudian – dengan badan yang sedikit segar dan tekak juga terasa bersedia untuk berjemaah minum-minum serta telinga dan lidah  yakin untuk selingan perbualan, saya pun menelefon Saifol.

Telahan saya salah.

Saifol yang berada di kampung keluarganya di Batas Paip ingin merungkaikan persoalan: Ustaz Man [Wae Samae Wae Mat] Kena Stroke?

Berita itu didengarnya dari Mohd Nasir Hassan yang bertemunya ketika dalam perjalanan ke rumah mertua di Perlis. Saifol yang terkejut cuba mendapatkan jawapan dari Budak Batas Paip yang juga tidak tahu mengenai kejadian yang menguji ustaz dari Pattani itu. Dia lantas menghantar mesej dan inginkan kepastias dari saya.

Saya juga terkejut. Baru minggu lepas saya berjumpa dengan Ustaz Man. Tapi memikirkan semula, apa sangat dengan minggu lepas, sedangkan kalau mahu diuji baru berjumpa dua tiga minit lepas pun akan dapat juga…

Sungguh, saya tidak tahu. Kesibukan kenduri dan berjumpa saudara mara mungkin boleh diberikan sebagai pelapik cakap. Tapi sesungguhnya, saya tidak tahu hal yang menimpa sahabat dan guru saya itu. Tidak sesiapa dari Kg Perlis yang menghubungi saya.

Maka selepas memutuskan perbualan dengan Saifol saya menghubungi seseorang di Kg Perlis. Tidak berjawab. Baru saya teringat. Malam ini malam Jumaat. Mungkin sumber saya itu sedang memukat pahala pada malam berkat ini. Mungkin sedang berwirid, mungkin sedang membaca Quran – terutama surah al Kahfi, mungkin sedang bersolat sunat. Mungkin. Hanya setiausahanya yang menjawab dalam bahasa Inggeris yang agak monotonous.

Malam Jumat

Malam ini malam Jumaat
Luangkan masamu sesaat
Kirimkan doa pada yang tiada
Semoga aman di sana

………………………………..

Di surau sana menantimu
Di rumah pula menunggu
Lupakan dulu laluan pesta
Kita renungi cerita tua..

…………………………………

[lagu Herman Tino]

Saya hubungi seorang sumber lagi. Sepupu Ustazah RodziahMd Saad Awang a.k.a  Mi Pakndak Mat. Dia juga agaknya sedang memukat pahala….

Ketika saya berkira-kira untuk mendail nombor telefon sumber ketiga, Mi Pakndak Mat menghubungi saya. Sahlah bahawa Ustaz Man telah diserang stroke dua tiga hari lepas. Mi bercadang untuk melawat di hospital tetapi dimaklumkan Ustaz Man telah dihantar ke negaranya. Kata Mi, dia tidak pasti sama ada sempat atau tidak Ustaz Man dibawa terlebih dahulu ke hospital di Alor Setar. Mi difahamkan, orang kampung hanya menghantar Ustaz Man setakat sempadan, manakala Kak Jah [isteri Ustaz Man] mengambil ustaz di situ. [Fakta yang hampir seiras, kerana kata Saifol sebelumnya, orang kampung menghantar kepada keluarga  ustaz di sempadan…]

Mi meminta saya menghubungi keluarga ustaz kerana dia tiada nombor telefon di pihak sana. Saya hanya dapat berjanji untuk mencari nombor yang tidak pernah saya dail itu [kalau tidak silap pernah diberikan oleh Ustaz Man lebih setahun dulu. “kok ado kecemase…”katanya]

“Jangan call. Dia telan kredit habih… Aku besa kena…” demikian kata table-mate saya di depan kedai mamak di Simpang Empat yang mendengar dengan penuh minat perbualan telefon tadi sekali gus bertidak sebagai saksi saya…

Nak buat panggilan atau tidak. To be or not to be. Saya teringat tulisan Shakespeare.

Apalah sangat kredit yang ditelan, berbanding sahabat yang entah bagaimana di Thailand?

Saya mencari nombor Ustaz Man – yang khusus untuk dihubungi di seberang sempadan, bukan nombor yang digunakannya di Malaysia ini. Satu masalah juga kerana nobor itu tidak saya letakkan nama Ustaz Man. Nama lain. Nama kod yang hanya Allah dan saya sahaja yang tahu…

Tapi dipermudahkan-Nya saya menjumpai setelah tiga kali meneka huruf pangkal kod itu. 0066836******.

Saya tekan butang ‘panggil’.

Lama juga barulah diangkat. Agaknya pihak di sebelah sana tertanya-tanya siapa yang menelefon. Kalau ustaz yang mengangkat ,lainlah…

Satu suara perempuan memberi salam. Suaranya lembut. Tentulah Kak Jah, kerana telefon itu adalah milik suaminya. Saya hanya mengagak selepas menjawab salamnya.

“Kak Jah ka ni?” tanya saya.

“Ya… err.. sapo ‘ni?” balas Kak Jah.

 “Errr … Din…. Err… Cikgu Din!”

“Cikgu Deng?” Begitulah nama saya dalam slanga Kak Jah.

Saya mengangguk dan mengharapkan Kak Jah melihat anggukan itu dengan mengatakan “ Ya!”

“Cikgu Deng Malaysiya ‘ni?”

“Ya. Cikgu Din Falah dulu….”

“Ooooo. Cikgu Deng ada  di mana ‘ni ?

“Di rumah….”

“Di Malaysiya?”

“Ya.”

Pause. Lama sekali. Table-mate saya tadi mengisyaratkan agar saya putuskan talian. Saya faham maksudnya. Tetapi dia tidak faham niat saya…

“Halo..”

“Ya.”

“Macam mana dengan ustaz?” tanya saya. Table-mate ikut merapatkan telinganya ke arah saya walaupun dia tidak mendengar apa-apa.

Saya tahu Kak Jah sedang sebak dan mungkin sedikit gelabah. Dua tiga kali dia menyebut ‘ya’ walaupun soalan saya itu masih tidak dijawabnya. Sebak kerana melihat suami yang sedang terlantar, dan gelabah kerana inilah kali pertama kami bercakap dalam talian...

“Apa khabar ustaz?” tanya saya semula.

“Ya. Segar sikit dah… Terima kasih..”

“Boleh bergerak….”

“Boleh. Boleh. Alhamdulillah”

“Alhamdulilah. Boleh bercakap molek?”

“Ya?”

“Boleh bercakap….”

Pause lagi.

Kemudian saya  mendengar seperti Kak Jah menggerak Ustaz Man. Jelas terdengar suaranya kerana agaknya Kak Jah tidak menjauhkan telefon dari pipinya.

“Buya, Cikgu Deng nak cakap….”

Saya terkejut. Bukan niat saya pun. Saya hanya mahu tahu perkembangan ustaz. 

“Buya, Cikgu Deng nak cakap….”

Mungkin Ustaz Man sedang tidur. Saya merasa amat menggangunya. Dan ‘halo’ saya kepada Kak Jah agar tidak mengejutkan ustaz tidak didengarnya, walaupun setiap butir bicaranya kepada ustaz dapat saya dengar.

Kemudian saya mendengar suara Ustaz Man yang garau tetapi tidak jelas bicaranya.

Saya memberikan salam. Kemudian, mengucapkan selamat dalam bahasa ibunda. Ustaz Man hanya berkata ‘ya’.

“Saya baru tahu, ustaz. …” kata saya. Ada nada sebak sedikit. “ Ustaz di rumah ka….”

“Di spital…” jawab Ustaz Man.

“Minta maaf, ustaz…” Benar-benar saya rasa seperti mengganggunya. “Saya tak tahu yang ustaz…”

“Tak po…. Tak po..” terdengar suara ustaz yang masih lemah.  Rasa kesal sedikit menyerbu. Tapi bukan salah saya, sebenarnya. Kak Jah yang menyodorkan telefon ke telinga ustaz…

Setelah bercakap tidak sampai tiga puluh kata serta memintanya berehat dan bersabar, saya mengucapkan salam. Terdengar garau jawaban salam dari ustaz.

Saya ingin bercakap sedikit lagi dengan Kak Jah tetapi sayangnya talian telah terputus…

Namun saya lega. Sekurang-kurangnya perkembangan ustaz berada di kepala. Kalau ada yang bertanya, bolehlah saya menjawabnya dengan yakin. Tidaklah perlu mendengar pelbagai versi dari sumber-sumber yang semuanya mengaku mendapat berita terkini….

Saya membuat hirupan terakhir ke atas minuman di atas meja. Saya mahu bergegas memuatkan hal ustaz ini ke dalam blog. 

Saya teringat murid sepanjang hayat Ustaz Man - Imam Muda Yusri Haron - yang saya temui di pasar malam Simpang Tiga Bukit Kechong beberapa jam lalu. Dia  bersama menantu emaknya yang dalam perjalanan menziarahi anak mereka di sebuah pusat Tahfiz di Kubor Panjang pastilah belum tahu akan keadaan ustaz kesayangannya itu. Kalau tidak, pasti itulah yang akan disebutnya ketika bersalam dengannya tadi. Esok sahajalah saya maklumkan...

Sebelum itu, saya perlu ceritakan sedikit keadaan Ustaz Man itu kepada saya yang tidak sabar bertanya….

Budak Falah, bersamalah kita berdoa.

Marilah kita mendoakan agar Ustaz Man segera sembuh. Semoga daie yang satu ini diberi kekuatan dan kesihatan asal bagi terus menyebarkan syiar Islam.. Masih banyak yang boleh dicurahkannya kepada umat. Marilah kita mendoakan agar dikembalikan kefasihannya mengajar dan memberi penerangan atau kefahaman. 

Usianya masih muda untuk direhatkan seperti sekarang...

Sahabat

Salam kasih untuk sahabat
Yang bersusah kerana kesusahanku
Memberiku pinjaman
Apa yang sukar aku bayarkan
Memberiku kefahaman
Apa yang dulu aku kelirukan

Salam kasih untuk sahabat
Yang mengajarku jangan jemu
Ilmu tidak tawar oleh ulangan
Jiwa tidak luntur oleh sumpahan
Salam hormat setingginya, sahabat
Aku kagum pada hujahmu

Aku pernah tiba pada tempat
Di mana pujian semakin murah
Cacian juga semakin cepat
Aku pernah tiba pada padang
Di mana kebenaran semakin jarang

Kini di sini aku berdiri
Dengan kaki peribadi sendiri
Pertemuan singkat denganmu sahabat
Menghadiahkan aku makna hakikat....


[Rahman Shaari]

No comments: