Kami bersama Dom dan bapa saudaranya |
Kali
Kedua:
20
Disember.
Undangan
datang melalui mesej setelah dua panggilan dari Tan Sri tidak saya dengar.
Telefon saya tenggelam dalam baju hujan di dalam bonet motor….
Diskripkan,
sebaik saya dapat membaca mesej tersebut, Cikgu Non menghubungi saya.
Memaklumkan tentang undangan Tan Sri lalu mengikat janji untuk pergi lagi
bersama.
Kali ini
kami bertolak lebih awal. Pecutan Cikgu Non diskripkan supaya sampai sebelum
majlis bacaan tahlil bermula. Lapang dada. Tidaklah menjadi bahan tontonan ketika
berjalan menghala ke rumah keluarga Tan Sri seperti malam pertama dahulu.
Tiada
tenda putih di tengah laman.
Setelah
berdiri di tepi jalan melihat suasana, kami bersama tetamu yang lain berjalan
menghala ke rumah. Tan Sri mengajak kami masuk ke rumah. Saya mengikutnya
tetapi hanya memarkir punggung di bahagian luar ruang tamu setelah berat
berpusing tubuh dengan memegang dinding rumah. Tan Sri tertawa. “Nak duduk pun
puas aih…” Saya menjenguk sahabat saya tadi. Dia mengambil sebuah kerusi dan
duduk di kakilima rumah adik Tan Sri seperti kali pertama dulu, bersama
beberapa tetamu lain. Kalaulah saya tahu…
Bacaan
tahlil bermula untuk berakhir sekitar 25 minit kemudian. Selepas itu, saya
bersama beberapa orang yang duduk di luar ruang tamu menjadi antara orang
terawal menunjal bangun. Semuanya menuju ke dua meja yang menghidangkan apa yang patut untuk
malam itu. Kecuali seorang. Sayalah yang seorang itu…
Saya
keluar menghampiri Cikgu Non. Najib ada di situ bersama anaknya. Dua tiga orang
mengajak kami mengambil nasi tetapi kami menolak. Nantilah, kami orang jauh dan
lambat baliknya…
Berada juga
bersama kami adalah Tarmizi
Razak. Mudah mengenali wajah calon SPM 1998 AlFalah itu kerana hampir
tidak berubah, masih seperti zaman perfalahannya. Mungkin sedikit gempal.
Sedikit sahaja. Tiada kumis atau janggut. “Berlakon jadi budak sekolah pun
boleh lagi ‘ni…”kata saya. Tarmizi tersenyum. “Tapi jadi budak mengulang la…”
Tarmizi tersengih. Maka sehingga hampir kami pulanglah Tarmizi menjadi peneman
kami malam itu. Sama-sama makan dan berbual.
Tarmizi
berusia 32 tahun. Berkahwin satu dan beranak satu, sedang menunggu kelahiran
anak kedua awal tahun depan. Bapa mertuanya mengajar di Pondok Batu 16 dulunya
dan kini di Guar Chempedak. Isterinya anak tungggal. “Tapi kami tak bercinta,
cikgu…” kata Tarmizi tanpa ditanya. Agaknya takut jika terdapat soalan tentang
alam percintaan dari kami…
Najib
bangun dan datang semula bersama sepinggan kuih. Tepung bungkus macam malam
pertama dulu dan … kuih koci. “Saya bawa dari Perlis ‘ni…” kata Najib merujuk
kuih koci yang berbalut kecil dan kemas itu. Kemudian Najib pergi lagi sebentar
dan datang semula bersama dua gelas minuman. Tiga biji kuih koci sempat saya
‘rasa’ selain tepung bungkus dua bungkus… Cikgu
Non? Tak sempatlah pula saya bilang…
Dalam
ramai berkerumun di salah satu meja hidangan, ada kelibat Sahlan Salleh. Cikgu
Non yakin Sahlan tidak mengecam kami. Biarkan
dulu… kata Cikgu Non.
Sebentar
kemudian, Tan Sri datang bersama ugutannya: Sat gi
depa angkat, tak boleh makan. Cukup jam saja…. Kami
faham dan bangun mengambil nasi. Supaya tidak terasa sebentar sangat berada di
meja hidangan itu, saya ambillah sama gulai ikan bersama tomato dan kacang
bendi, sayur bercampur sotong serta acar rampai… Saya memilih untuk duduk di
kakilima rumah ayah Tan Sri, di lorong yang memisahkan rumah itu dengan rumah
adik Tan Sri.
Rupanya
di situ Pak Din berada.
Teman setianya, Salleh berada
jauh sedikit – entah kenapa.
Ada lagi
dua tiga budak Falah yang baru selesai makan di lorong pemisah itu. Ada Faizal Yahya. Ada Sobri Zakaria. Dan ada
Asri Hashim bersama
anaknya.
Faizal
menyapa sepatah dua. Bertanya tentang kerja. Sobri sekadar tersenyum tetapi
aktif menyakat Pak Din yang duduk semula di situ dengan semangkuk bubur kacang.
“Mai kat
aku bubuq ‘tu..” kata Sobri. Dia menjeling saya, mengisyaratkan supaya melihat
reaksi Pak Din.
“Nak, pi
ambik sendighi la… “kata Pak Din, serius. Melihat saya tergelak, dia
menyambung, “panas ‘ni… hang ‘tau ‘dak?” Pak Din menghembus-hembus bubur di
tangannya itu. Sobri tergelak besar.
“Ni cikgu
ayah dulu….” Kata Asri yang duduk menemani saya makan sambil memperkenalkan
anaknya. Dia berkisah tentang banyaknya kenduri yang masih menunggu. Kemudian
dia menawarkan seekor kerbau kepada saya, jika berhajat mahu mengadakan
kenduri. Rupa-rupanya, Asri ada membela kerbau dan paling baru, telah menjual
kepada tuan kenduri esoknya di Sungai Nonang. Dia menawarkan kerbaunya setelah
mendengar saya meminta nombor telefon Pak Din, “kut-kut ‘nak panggil makan
kenduri…”
“Ingatkan,
Cikgu ‘nak buat kenduri…” kata Asri.
Pak Din
yang juga silap faham, menghampiri saya sebaik Asri dan anaknya meminta diri.
“Awat
hang tak ambik kerbau dia?” tanya Pak Din, macam berbisik pun ada. “Kerbau dia elok ooo..”
“Dok
caghi orang tak jumpa lagi… macam mana nak buat kenduri?” kata saya.
“Hang
caghi kat sapa?” Pak
Din bertanya. Kali ini lebih kuat suaranya berbanding pertanyaan sebelum.
Dalam
keadaan mengunyah saya tidak dapat menjawab secara lisan, maka saya
mengisyaratkan ke badan saya. Pak Din terteleng, serius memerhati muka saya.
“Hang
gatai aih! Nak menikah beghapa kali langsung?” katanya.
Mujurlah
ketika itu saya baru sahaja menelan kunyahan. Kalau tidak terpaksalah tanah di
bawah cucur atap rumah itu menerima semburan beberapa butir nasi bersalut kuah
gulai dan sotong…
Pak Din…
Pak Din…
Dengan
gaya marah, dia bangun meninggalkan saya… Apalah? Gaya tangannya
mengunjuk kepada saya ketika bangun itu cukup saya faham.
[Ada juga
bertanya siapa Pak Din – dan Salleh – sebaik membaca entri Malam Pertama… Sila
rujuk entri Budak Batas Paip, Alor Ibus Dan ... Yan
]
Selesai
makan, saya berpindah pula ke lokasi awal tadi. Cikgu Non sedang berbual dengan
seseorang yang lama tidak kami temui – Sahlan Salleh. Difahamkan memang dia
tidak mengenali Cikgu Non mulanya. “Mana nak sangka mai kenduri jauh ‘ni..”
katanya, separuh berdalih.
Sahlan
masa di AlFalah dulu seorang yang periang. Saya memanggilnya S Sahlan, merujuk nama dua artis –
S Sahlan pelakon drama yang agak popular ketika itu dengan watak bapa, serta S
Sahlan, juga pelakon tetapi lebih terkenal sebagai penyanyi dalam trio KEMBARA bersama M Nasir dan A Ali.
S Sahlan memang suka menyanyi jika ada kelapangan baik di
dalam mahu pun di luar kelas. Suaranya mirip suara Rahmat Ekamatra. Dia juga
cukup spontan jika menjawab apa yang kita tanyakan. Tentang hal-hal luarlah,
kalau hal pelajaran … kespontanan itu akan hilang!
Cikgu Non dan saya masih ingat satu hal jika mengingat nama S Sahlan.
Masa itu ada satu iklan yang agak fofular tentang serbuk pencuci Fab. Kalau tidak silap pemegang
watak utamanya arwah Yusni Jaafar. Apabila
seseorang bertanya, ‘baju baru ke?’, Yusni menjawab, ‘Bukan….. Fab Baru!’ merujuk
keberkesanan serbuk pencuci itu menyerlahkan warna asal baju yang sudah lusuh.
Bukan saya tidak tahu atau biasa dengan iklan itu. Tetapi saya alpa juga…
Satu hari Sahlan berada di tepi tingkap kantin yang ketika itu
masih di depan rumah Maklong/Maklang. Saya melihatnya berbaju baru. ‘Baru’nya
ketara kerana warna seluarnya agak kusam. Pelajar lain sedang berebut atau
beratur di bahgian depan kantin. Saya menepuk bahunya dan berkata, “Hai, baju
baru hari ‘ni, Sahlan?” Tanpa menoleh, spontan S Sahlan menjawab, “Bukan… Fab
Baru!” Adus!
Hal itu masih kami sebut ketika melihatnya kali pertama –
semasa dia beratur mengambil makanan – dan diulang ketika berhadapan dengannya.
Dia ketawa. “Takdak Fab Baru ‘dah la ‘ni….”katanya.
Suaranya tidak berubah. Suara anak teruna 32 tahun. Wajahnya juga
tidak berubah, cuma ada pertambahan hiasan – misai dan janggut yang dibiarkan agak
liar.
Berkali-kali dia meminta maaf kerana tidak mengenali kami.
Diulangnya kalimat, “Mana nak sangka mai kenduri
jauh ‘ni…”
Lamalah juga kami berbual. Hal lama dan hal
peribadi, termasuk bab arwah datuknya yang saya dan Cikgu Non kebetulan tahu
dan kenal, hal perkahwinannya yang masih di peringkat mencari agaknya serta hal
perniagaan yang pernah diusahakannya.
Tarmizi, rakan sekelas S Sahlan sesekali
mencelah. Dia semacam membiarkan kami menemubual S Sahlan yang payah ditemui
itu. Saya menunjuk Tarmizi sebagai contoh supaya S sahlan cepat-cepat
berkahwin.Tersipu-sipu S Sahlan, seraya menukar tajuk…
Lama kemudian, S Sahlan bangun meminta diri. Ada
kerja, katanya. Dia bersalam dengan kami. Ada sedikit penambahan ayat di dalam
salam itu yang agak menyentuh. “Minta maaf banyak-banyak cikgu noo. Mana-mana,
hak dulu-dulu ‘tu…” sambil berjanji akan memanggil kami jika dan apabila
menagdakan kenduri perkahwinannya kelak.
Tarmizi menyambung kisah perkahwinannya dengan
anak ustaz itu. Ketika berkahwin, isterinya berusia 19 tahun – tujuh tahun
lebih muda darinya. “Orang tolong kira, cikgu oi… bukan bercinta pun” katanya
lagi. Tidak ada soalan pun tentang itu… Takut sungguh kami bertanya sesuatu. Tetapi sesuatu itu keluar juga…
“Masa sekolah dulu dok main dengan sapa?” Cikgu Non cuba mencungkil.
Menantu ustaz yang kacak itu hanya tersengih. “Takkan tak dak sapa-sapa kut…”cungkilan Cikgu Non makin
besar…
“Takdak aih, cikgu…” balas Tarmizi, “kita pi sekolah
cara betoi…”
Cungkilan tidak berjaya. Maka diamlah seketika.
Isy, lawa dan kemas penampilan Tarmizi. Takkanlah tiada hati terkait sikit?
Sedangkan yang kontra banyak dengan penampilannya pun ada hati yang tersangkut…
fikir saya.
“Tapi kawan ramai…” kata Tarmizi tiba-tiba.
Agaknya dia macam mahu meluahkan sesuatu yang kami tak tanya… “Tapi masa kerja
la… Masa sekolah tak dak..”
Kami tak tanya, na… Dia yang cakap begitu. Dan kami biarkan dia bermonolog
seketika.
“Dulu masa kerja saya kawan ramai. Hari ‘ni bawa
yang ‘ni, esok bawa yang ‘tu, lusa bawa yang lain…”
Saya percaya. Orang sekacak sekemas Tarmizi
cakap begitu, tentu saya percaya.
“Bawa ‘tu cadang ‘nak kenai depa la. Bawa
makan-makan.Tapi tak dak sorang pun yang saya boleh buat orang rumah… Last-last
ada orang Tebengau tolong kira orang rumah saya la ni….”
“Kira playboy jugak la hang dulu…” kata Cikgu
Non. Saya tergelak dan teringat sesuatu…
“Kita bawa niat baik. Walaupun tak jadi, sampai
la ni masih kawan. Ada yang sakit demam mak ayah depa pun masih bagitau saya…”
balas Tarmizi, tersenyum. Manis.
“Tu tanda depa pernah menaruh harapan kat hang….”
Saya cuba mencelah, kalau-kalau keluar kisah sampingan…
“Tarak
aih…” kata Tarmizi.
Saya luahkan yang saya teringat tadi. “Yang
orang dok tengok Playboy Itu Suami Aku, ada sangkut paut dengan hang la..”
Tarmizi tersengih. “Tarak aih…” katanya.
Tarmizi tidak pun termakan pancingan kami. Maka kami
pun menukar topik. Tentang kerja. Topik yang tak boleh dipancing apa-apa…
Sedang berbual itu, dengan kebanyakan tetamu tidak
banyak lagi yang tinggal, ada deretan lebih dua puluh orang kecil besar
berjubah putih dan berserban muncul di hujung laman. “Budak tahfiz ‘tu…” kata
Tarmizi.
Saya tahu hanya ada satu pusat tahfiz di jalan
utama di Alor Ibus itu. Tahfiz yang diasaskan oleh Zamri Hashim, budak Falah.
Bukan Tahfiz Amal yang menduduki tapak AlFalah…
Berderet mereka berjalan menuju ke rumah. Di
depan sekali adalah Zamri yang berjanggut nipis dan berserban besar. Dia tidak
menoleh kiri-kanan. Hanya bersalam dengan orang yang berada di sepanjang jalan
masuk dan di dalam rumah. Saya menghitung semua yang datang bersamanya. Dua
puluh lapan orang. Mereka terus masuk ke dalam ruang tamu yang memang telah
kosong. Mungkin mereka terlewat kerana menekuni jadual lain setelah solat
Isyak. Lagi pula mereka datang dengan mengederai kaki masing-masing. Lumayan
juga jaraknya tempat mereka belajar dengan rumah keluarga Tan Sri.
Sebentar kemudian mereka beratur keluar sedikit
dari ruang tamu untuk mengambil nasi dan lauk. Paling akhir keluar adalah ustaz
mereka – Zamri. Sedang dia menyenduk nasi, saya melihatnya dibisikkan sesuatu
oleh Tan Sri. Saya tahu isi bisikan itu kerana tangan Tan Sri menuding ke arah
kami. Zamri menoleh. Diletakkannya kembali pinggan dan keluar dari depan rumah
keluarga Tan Sri. “Makan nasi dulu…”suaraTan Sri agak jelas masuk ke telinga
saya. Tidak terdengar pula ugutan: Sat gi depa angkat, tak boleh makan. Cukup jam saja…. Alangkah
tak acinya!
Zamri menerpa ke arah kami. Bersalam. “Minta maaflah, tak
perasan tadi. Sihat, cikgu noo?” Kami menjawab apa yang patut. Berbual dalam
tiga puluh perkataan. “Saya minta diri nak pi makan, cikgu noo? Assalamu ‘alai
kum!” Kami menjawab salam dan melihat Zamri yang wajahnya mengingatkan saya
kepada Ustaz
Mazlan Mansor[budak Falah dari Kola] berlalu. Lembut sekali suara
dan pergerakannya.
Kami kembali berbual. Najib dilihat sedang membasuh pinggan
berdekatan bilik air bersama saudara-mara yang lain. Berdekatannya Salleh duduk
mendengar perbualan beberapa jiran sekampung. Berdasarkan pengalaman, saya
pasti Salleh memang hanya mendengar dan tersenyum. Tan Sri? Tak kanlah Tan Sri
diajak membasuh pinggan! Dia membawa sepinggan lagi kuih tepung bungkus dan
kuih koci kepada kami.
Datang Pak Din meminta diri. Cikgu Non mengajaknya duduk
berbual. “Alah, awai lagi…”katanya.
“Tak boleh. Aku mai dengan bini aku. Dia nak balik ‘dah!”
Serius wajahnya. Patutlah Salleh ‘jauh’ saja dari Pak Din…
Saya pula mengajaknya duduk namun Pak Din tetap menolak.
Timbul idea…
“Mana nombor telefon hang?” kata saya.
Makin seriuslah wajah Pak Din. Macam marah kepada saya.
Tetapi setelah dua kali meminta, Pak Din pun membuka sedikit gulungan kain
pelikatnya lalu mengeluarkan telefon.
“Mana?”
“Nanti sat! Kacaula hang ni!” kata Pak Din sambil mencari
nombor telefonnya di skrin. Dia tidak mengingat nombor sendiri.
“013…” dia membacakan nombornya.
Saya tekan butang memanggil sebaik menaip nombor yang
diberikannya. Saya letakkan telefon ke telinga. Tiada ‘sambutan’.
“Tak dapat pun…” kata saya. “Mai nak tengok nombor ‘tu…”
“Betoi la…” Pak Din bersuara garang. Saya meminta lagi. Dia
mencari nombornya lalu menunjukkan skrin telefonnya ke pada saya. “Kacaula hang
‘ni!”
Betul nombor yang diberi tadi. Saya panggil sekali lagi. Tetap tiada sambutan.
“Tak dapat juga..”
Pak Din membelek hapenya.
“Ooooh. Line takdak. Hang tengok ‘ni…”
katanya. Saya mengangguk.
Sekali lagi dia bersalam dengan kami dan sekali lagi pula
saya pesankan kepadanya supaya cepat tolong carikan jodoh untuk Salleh. Pak Din
menjegil dan mengisyaratkan dengan tangan. Saya faham: Apalah hang ni?
Kami berbual lagi. Ada murid [bekas] Cikgu Non dari SMA
Sungai Limau. Bab kerja hingga bab rumah. Lama juga.
Pelajar tahfiz mula keluar untuk pulang. Mereka bersalaman
dengan tetamu yang masih ada serta dengan Tan Sri. Ustaz Zamri mereka datang
semula kepada kami dan berbual sekejap sebelum meminta izin untuk berjalan
pulang. “Anak-anak ‘nak tidur…”katanya. Dia pun berlalu dan saya memerhatinya
sehingga hilang ditelan kegelapan malam. Sejuk mata.
Kami berbual terus. Bersama Tarmizi dan bekas murid SMA
Sungai Limau tadi. Tan Sri datang. Berbual lagi tentang rumah. Entah bagaimana
timbul bab rumah yang sedang kami belakangi. Cantik dan kemas. Bukan orang yang membinanya… Adik
beradik Tan Sri juga. [Maaf]
Cikgu Non berkenan untuk melihat dalamannya. Tan Sri mencuba
membuka pintu depan tetapi berkunci. Maka dicarinya kunci dari adiknya yan
berada di dalam rumah ayah mereka. Kami masuk melihat-lihat rumah itu. Tarmizi ikut juga meninjau seketika.
[Esoknya
tukang rumah yang bukan orang dengan Tan Sri itu dibawa melihat rumah Cikgu Non
yang dirancang untuk dibuat ubahsuai…].
Keluar tidak lama kemudian, Tarmizi pun meminta izin untuk
berundur…
Tinggal kami – saya, Cikgu Non dan Tan Sri. Kemudian muncul
Dom, abang Tan Sri serta kemudian lagi muncul pula bapa saudara mereka yang
tinggal di Gelam. Berbual santai sekitar 15 minit lagi.
Ketika itulah baru Tan Sri teringat untuk
merakam suasana.
“Nak masuk dalam Facebook…” katanya. macam pernah dengar saja frasa itu...
“Facebook apa pulak… “kata bapa saudaranya.
“Jangan sampai basi sudah…”kata abangnya, tergelak. Dom
merujuk rakaman pada malam pertama lalu yang mengambil masa seminggu untuk naik
di laman fb grup Alumni AlFalah…
“Nak penaik la ni…” kata Tan Sri. Benar katanya, ketika saya
sampai di rumah dan membuka fb, ada foto itu di timelinenya. Dimuatkan 43 minit yang lalu… "santai slps knduri arwah di alor ibus"
catatnya lebihkurang…
[Sekarang,
memikirkannya, alangkah baik jika semua budak Falah yang kami temui pada dua
kali majlis itu dirakamkan foto mereka untuk simpanan arkib….]
Sekitar jam 11.25
malam kami pun mengundurkan diri. Kata Tan Sri, dia ada menjemput Budak Batas
Paip, yang mungkin akan datang. Tetapi sehingga waktu bertolak pulang, jodoh
kami belum ada untuk bertemu orang kuat perjumpaan raya Aluni AlFalah itu…
Mungkin tahun depan baru dapat kami berjumpanya!
Dalam perjalanan pulang, sempat kami menjeling tapak perniagaan Rosdi, sekitar 500 meter dari rumah yang baru kami kunjungi. Ada beberapa orang pelanggan di sekitar gerai yang khabarnya dibuka sehingga dinihari itu. Patutlah Rosdi hanya mewakilkan ayahnya datang ke majlis keluargaTan Sri pada malam itu...
PERTEMUAN
Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru.
Pertemuan berlaku
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.
(T.Alias Taib, Kuala Terengganu 1974)
Antologi "Di Penjuru Matamu"
Pertemuan berlaku
di penjuru matamu
yang ungu
lalu membiru.
Pertemuan berlaku
di penjuru dadaku
yang sayu
lalu terharu.
(T.Alias Taib, Kuala Terengganu 1974)
Antologi "Di Penjuru Matamu"
No comments:
Post a Comment